DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 10

PINTU bilik Datin sentiasa terbuka, pintu
bilik Bos 1B3K pulak sentiasa tertutup. Bilik mereka
sebelah-menyebelah. Di luar bilik Datin ada meja kerja Naani
dan di belakang Naani tempat Kak Razia, pentadbir pejabat
yang membantu Naani. Meja kerja aku di luar bilik Bos
1B3K. Dulu meja itu kosong dan sekarang tempat Naani pula
kosong.
Datin memanggil aku masuk ke biliknya.
“Macam mana mesyuarat dengan wakil syarikat
interior tu?” Datin menyoal sebaik saja aku duduk di
hadapannya.
Aku ceritakan kepadanya apa yang terjadi pada hari
Sabtu, termasuk kes Bos 1B3K mengikuti aku ke Rumah
Perlindungan Anak Yatim Umi Sarah dan memberi makan
kepada orang gelandangan.
“Sepatutnya Suleyman masuk mesyuarat tu dan
selepas jumpa dengan mereka, dia kena buat kertas cadangan
untuk kelulusan saya dan Rifqi. Dia sepatutnya senaraikan
kelebihan dan kekurangan ketiga-tiga syarikat dan justifikasi
kenapa dia cadangkan syarikat yang dipilih. Rifqi ni, bukan
dia tak tahu prosedur. Kenapa dia buat macam tu?” Datin
mengomel.
Aku tadah telinga saja. Agaknya inilah yang Naani
katakan, emak dan anak ada konflik, dia yang menjadi mangsa.
“Jumlah yang kita nak belanjakan ni besar, kita
tak boleh terburu-buru pilih vendor dan kita kena buat ikut
prosedur yang betul. Sebab tu saya nak bawa mereka ke Kuala
Selangor dan tengok resort supaya mereka dapat beri anggaran
harga yang paling hampir tepat.” Datin mengetuk-ngetuk
pen di mejanya. Dia kelihatan seperti sedang berfikir. Datin
menyandarkan tubuhnya di kerusi. Kemudian dia menggosok
dahinya beberapa kali.
“Rifqi belum masuk?”
“Belum.”
Datin melepaskan keluhan.
“Apalah saya nak buat dengan Rifqi? Dulu dia
sayangkan syarikat ni. Sekarang dia ada, tapi macam tak ada.
Semua urusan dia buat tak endah. Tengoklah ni, dah pukul
sepuluh belum masuk lagi. Dulu pukul lapan, dia dah mula
kerja.”
Aku diam saja. Hendak bersuara tidak tahu apa yang
patut aku katakan.
“Malam tadi dia tak balik. Entah ke manalah dia
pergi, dengan siapa dia keluar?”
Aku rasa ayat Datin itu pelik. Bunyinya macam Bos
1B3K tak ada kawan.
“Saya harap dia tak minum lagi. Dahlah tak mahu
solat sekarang ni. Dulu Rifqi anak yang patuh. Sekarang…”
Ayat Datin putus di situ.
Aku rasa sangat-sangat kasihan kepadanya. Kalaulah
aku boleh tolong, aku tidak teragak-agak untuk berikan
bantuan. Tiba-tiba aku teringatkan emak di kampung.
“Datin, doalah banyak-banyak. Doa seorang ibu yang
kesedihan pasti didengari oleh Allah. Datin pilihlah waktu
mustajab untuk berdoa.”
Datin Nuridah toleh kepala ke arah aku. Dia pandang
aku lama. Entah apalah yang bermain dalam fikirannya. Datin
tegakkan badannya. Diari di meja sisinya dicapai.
“Beritahu Suleyman, Tan dan Razali, saya nak jumpa
mereka dalam masa setengah jam dari sekarang. Buat salinan
sebut harga yang kita dah dapat. Kalau Rifqi dah masuk,
suruh dia jumpa saya.”
Aku mengangguk dan bersedia untuk bangun.
“Nanti sekejap. Saya nak minta maaf pasal semalam.
Rifqi dah menyusahkan Fina, mengganggu hari libur kamu.
Sebagai ganti, kamu ambillah off satu hari, bila-bila yang
kamu suka.”
Aku mengangguk. Sebenarnya aku tak kisah pun
kalau tidak diberi cuti gantian untuk semalam. Sebabnya aku
tetap dapat tengok final Piala Thomas, walaupun tak sampai
habis. Tapi aku dapat keseronokan yang lain pula. Dapat
menemani Dato’ Ibrahim mengambil angin di taman rumah
banglonya.
“Terima kasih sebab datang rumah saya semalam.
Dato’ suka Fina.”
Leganya hati bila dengar ucapan terima kasih Datin.
Sebenarnya semalam ada masa-masanya aku tak faham apa
yang Dato’ Ibrahim cakap. Jadi untuk mengelakkan dia
bertanya, aku bercerita. Aku ceritakan tentang zaman belajar
di Australia. Rupa-rupanya Dato’ Ibrahim pun akauntan dan
belajar di Australia dulu.
PUKUL DUA petang baru dia masuk. Masuk dengan muka
selamba, tanpa ada rasa bersalah langsung. Elok saja dia
melangkah, maknanya kaki dia tidak cedera. Dia masuk terus
ke biliknya tanpa memandang aku langsung. Sikit pun aku
tak kisah dia tak pandang aku. Tapi bila banyak perkara yang
perlu dibereskan jadi tertangguh, aku kisah.
Dokumen yang perlu diluluskan sudah dua belas inci
tingginya. Datin tak akan tandatangan dokumen-dokumen
ni selagi Bos 1B3K belum tandatangan. Aku sudah rimas
melihat Kak Razia menjawab panggilan telefon daripada
setiausaha dan kakitangan jabatan lain yang bertanyakan
bilakah dokumen mereka akan ditandatangani.
Aku masuk ke bilik Bos 1B3K.
“Bos, tolong sign semua dokumen tu. Dah ramai
yang telefon hari ni bertanya bila bos akan sign dokumen
mereka.”
“Nanti aku sign.”
“Tak boleh nanti. Bos kena sign hari ni jugak. Ini
dah tertangguh sejak hari Khamis lepas. Diaorang dah tanya
bila bos nak bagi approval. Lagi satu, Datin nak jumpa bos.
Datin marah sebab bos masuk lambat hari ni. Setahu saya,
bos tak ada apa-apa appointment pagi ni. Kenapa bos tak
masuk pagi tadi?”
Dengan dahi yang dikerutkan dan renungan tajam,
Bos 1B3K pandang aku.
“Hei, ini syarikat aku, suka hati akulah bila aku nak
sign document, pukul berapa aku nak masuk. Kau buat kerja
kau, jangan sibuk hal aku.” Suara dia sudah tinggi. Muka dia
cemberut.
“Dah tahu syarikat bos, kenapa tak buat kerja
elok-elok? Kenapa tak jaga syarikat ni dengan baik? Bos
tak takut ke bisnes syarikat ni terjejas disebabkan sikap tak
ambil peduli bos ni? Datin suruh bos balik untuk tolong dia
uruskan syarikat, bukannya balik untuk berfoya-foya. Bos tak
kesian ke dengan emak bos?” Aku main redah saja dengan
soalan-soalan tu sebab aku sudah bengang sangat-sangat
dengan dia.
Bos 1B3K bangun. Dengan wajah bengis dan dadanya
berombak dia menengking aku.
“Shut up! Jangan campur urusan peribadi aku.
Dan ingat sikit aku ni bos engkau. Kalau kau tak sedar
diri… berlagak macam syarikat ni bapak kau yang punya…
tunggulah! Aku akan buat kau susah.”
“Qi!”
Bos 1B3K memandang belakang aku. Aku pun
menoleh juga. Datin sedang berdiri di jenang pintu dengan
wajah yang kelam. Datin datang menghampiri kami dan
berdiri di sebelah aku.
“Mummy, I don’t want her in my office! Dia ni
kurang ajar, bercakap dengan Qi macam dia bos besar di sini.
Apa kuasa yang mummy bagi dekat dia?” Bos 1B3K bercakap
dengan suara yang tinggi kepada Datin.
“Duduk Qi!” Datin pula menengking bos.
Bos akur dengan suruhan emaknya.
“Fina, tolong keluar dan tutup pintu.” Pertama kali
sejak aku bekerja di sini, Datin bercakap dengan nada garang
kepadaku. Aku buat seperti yang Datin arahkan.
“Fina, beraninya awak.” Kak Razia bersuara apabila
aku kembali ke meja kerjaku.
“Terpaksa kak. Fina tak tahan dengan perangai dia.
Akak tahu tak, hari Sabtu lepas Fina kena kerja. Sampai
petang pulak tu.”
“Ya ke? Kesian kamu.”
“Lepas tu kak, hari Ahad dia suruh saya datang rumah
Datin. Katanya ada kerja dia nak bereskan. Terkocoh-kocoh
saya pergi, rupa-rupanya dia sengaja nak sabotaj plan saya
nak tengok final Thomas Cup.” Semakin bersemangat
aku bercerita dan Kak Razia nampaknya semakin seronok
mendengar.
“Ya ke? Kesian Fina. Habis tu, tak dapatlah kamu
tengok Thomas Cup?”
“Dapat. Fina minta izin Datin untuk tengok di rumah
dia. Kebetulan Dato’ pun nak tengok, jadi Datin minta Fina
temankan Dato’. Anak sulung Datin, suami dan anak-anak dia
pun tengok sekali. Meriah.”
Aku senyum. Sudah dua kali Bos 1B3K cuba kacau
aku, dan dua kali juga dia kalah. Aku akan pastikan dalam
masa sebulan ni dia tak dapat kacau aku. Jangan ingat aku
perempuan dan aku kakitangan bawahan, dia boleh buli aku.
Pintu bilik Bos 1B3K terbuka. Datin keluar dan
mengarahkan aku masuk ke biliknya. Bila aku masuk, Datin
suruh tutup pintu. Aku akur juga walaupun rasa pelik sebab
setahu aku, Datin suka pintu biliknya dibiarkan terbuka.
“Apa yang berlaku tadi, sampai kamu dan Rifqi
sama-sama meninggikan suara?”
Aku ceritakan apa yang berlaku kepada Datin. Wajah
Datin tenang saja ketika aku bercerita.
“Rifqi kata kamu biadab. Betul?”
“Maafkan saya Datin. Mungkin tadi saya terlebih
emosi sampai tak sedar saya tinggikan suara kepada Encik
Rifqi.”
“Fina, walaupun saya benarkan Fina lawan cakap
Rifqi, itu tak bermakna Fina boleh cakap sesuka hati. Saya
izinkan Fina lawan dia kalau dia melampau, bukannya
sentiasa saja melawan cakap dia.”
‘Tapi Datin, dia memang melampau. Masuk lambat
lepas tu tak nak sign dokumen yang dah bertimbun-timbun.
Satu hari Kak Razia jadi telefonis jawab panggilan pasal
dokumen yang dia masih belum sign.’ Alangkah bagusnya
kalau aku boleh jawab macam tu. Alkisah sebenarnya aku
diam saja.
“Rifqi janji akan sign semua dokumen sampai habis
petang ni juga. Macam mana kamu nak jaga dia kalau baru
tiga hari kerja dengan dia asyik bergaduh saja? Cuba buat
macam Azwan, jangan melawan.” Inilah pertama kali aku
dengar ada nada marah dalam suara Datin.
Aku mengangguk. Hendak kata apa lagi? Aku sendiri
yang setuju jadi pembantu peribadi si kerek tu, terima sajalah.
‘Tak apalah Fina, sebulan saja’. Aku pujuk diri aku.
Aku keluar dari bilik Datin dan ketika berjalan
keluar, aku teringat azam aku nak buat dia suka perempuan
yang pakai tudung. Nampak gayanya dengan perbalahan
kami tadi, dia akan semakin tidak suka dengan perempuan
bertudung. Sekarang pun dia sudah mengata perempuan
berhijab macam-macam. Selepas bertekak dengan aku
sebentar tadi, tentu dia akan fikir yang lebih teruk tentang
perempuan berhijab.
Aku tarik nafas dalam-dalam sambil melabuhkan
punggung di atas kerusi. Aku sedar ketika kemarahan sedang
memuncak, sebaik-baiknya aku bersabar. Memarahi Bos 1B3K
tadi tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menimbulkan
masalah lain pula. Tak apalah, aku ni kakitangan bawahan
saja. Biarlah aku mengalah. Mengalah bukan bererti aku
kalah.
Aku telefon pantri dan minta Kak Biah buatkan satu
mug kopi. Kopi itu kemudiannya aku bawa masuk ke bilik
Bos 1B3K. Macam biasa, ketuk dulu sebelum buka pintu. Hati
terasa lega apabila mata aku menangkap beberapa dokumen
sudah ditandatanganinya. Tapi masih ada banyak lagi yang
perlu ditandatangani. Alamak, pukul berapa nak habis ni?
“Nak apa?” Bos 1B3K bertanya dengan suara yang
mendatar. Agaknya dia sudah tidak marah.
“Saja nak tengok bos.” Aku pun tak tahu kenapa
itu yang terkeluar dari mulut aku. Sebenarnya aku hendak
minta maaf tapi lain pula yang keluar. Aku mara ke mejanya
dan letakkan mug berisi kopi panas di hadapannya. Dia
tunduk memandang kertas dan kemudian menurunkan
tandatangannya di atas cadangan menderma ke persatuan
pengusaha hotel yang disediakan oleh Bahagian Komunikasi
Korporat.
“Maaf bos, saya nak tanya, banyak lagi ke?”
Bos 1B3K panggung kepala dan pandang tepat ke
mata aku.
“Yang ini semua belum sign. Aku akan siapkan
malam ni. Kau tak boleh balik selagi aku belum habis sign
semua ni.”
Biar betul! Yang dia sudah semak dan tandatangan
tidak sampai satu inci. Berapa lama aku kena tunggu?
‘Sabar Fina... sabar... Tunjuk kat dia perempuan
berhijab boleh bersikap profesional, tak marah-marah
sampai tinggikan suara. Be professional okay...’ Hati aku
mengingatkan.
“Saya nak ingatkan bos, pukul tujuh nanti makan
malam dengan Dato’ dan Datin.”
Dia tidak menjawab. Matanya masih memandang
dokumen sambil tangannya sibuk menulis. Entah apa yang
dia komen. Jawabnya Bahagian Promosi kena buat semula
kertas cadangan sebab aku tengok banyak yang dia conteng.
Kemudian dia ambil dokumen berikutnya.
Aku angkat kaki, keluar dari bilik dia. Baru jalan
lima langkah, dia panggil nama aku.
“Pukul enam ikut aku balik. Lepas makan, kita
datang sini semula. Kau kena duduk di pejabat sampai aku
habis sign semua dokumen ni. Kau yang kata tadi mesti sign
semua hari ni, kan?”
Kenapa pula aku kena ikut dia balik makan? Ini
mesti kes nak mengenakan aku lagi. Tak apa, kita tunggu
dan lihat. Kalau dia berani kenakan aku macam semalam dan
kelmarin, siaplah dia!

No comments:

Post a Comment