DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 26 June 2016

Puzzle Cinta Aisara - Bab 11

“Aku tak akan berhenti menemani dan menyayangimu
Hingga matahari tak terbit lagi...”
(Doaku Untukmu Sayang – Wali Band)

MELIHAT Fazli sibuk menatap gambar-gambar
yang terpampang pada skrin kamera digital, Rosmaria
datang mengambil tempat di sebelahnya. Leher dipanjangkan
sedikit, cuba hendak melihat sama gambar pada skrin kecil
itu. Fazli menoleh.
‘Kenapalah dia ni belum tidur lagi?’ gumamnya.
Segan bila ada perempuan duduk disebelahnya. Apatah
lagi, merekabukannya rapat sangat.
“Susah nak tengok macam ni. Nanti abang dah
download dalam komputer riba, Ros tengoklah,” beritahu
Fazli.
“Bila abang nak download?” Rosmaria teruja.
“Sekejap lagi.”
“Kira lambat lagilah, kan? Ros nak pinjam komputer
riba abang sekejap,” dengan senyuman Rosmaria meminta belas
kasihan. Meski pun dia tahu komputer riba itu bersifat peribadi
kepada pemiliknya.
Mata Fazli masih terpaku pada skrin kecil di
belakang kameranya itu. Aksi Rosmaria itu tidak diendahkan
sangat.
“Hurm... ambillah.” Tidak mahu tumpuannya
meneliti gambar-gambar terganggu diizinkan juga.
Tersenyum-tersenyum Rosmaria beralih ke meja
kopi tempat komputer riba Fazli terpasang. Dengan gaya
duduk bersila di atas lantai skrin komputer riba itu
ditatap. Dulu sewaktu mula bekerja ada juga dia berangan
hendak membeli komputer riba sendiri tetapi angan-angan
itu masih di awangan. Kos sara hidup di bandar Kuala
Lumpur terus memaksanya bersabar lagi.
“Abang... ni facebook abang, kan?” Rosmaria
memusingkan sedikit dan menayangkan skrin komputer riba
itu kepada Fazli.
Sekilas Fazli memandang.
“Ha’ah... tolong logout,” pintanya.
“Eh, kejaplah. Ros nak add akak tu,” bantah
Rosmaria. Sekali lagi tumpuan Fazli beralih kepada Rosmaria.
Hai, kacau betul! Sangkanya tadi setelah dapat
menggunakan komputer riba tu Rosmaria akan diam. Tetapi
ada saja yang mahu diomelkan mulut gadis itu.
“Akak tu?” Fazli tercengang tidak pasti siapa yang
Rosmaria maksudkan.
Rosmaria sedikit mengeluh. Sudah tua abang
sepupunya itu, hal yang mereka bualkan dalam kereta siang
tadi saja sudah dilupakan. Memang patut juga cepat-cepat
dicarikan jodoh, manalah tahu esok lusa pendek pula
nyawanya. Tidak dapat makan nasi minyak, dapat makan
nasi kenduri orang mati pulak!
“Alah, akak yang Ros cerita siang tadilah,” ujarnya
mengingatkan.
Fazli sedikit tersengih, bukan tidak ingat. Tetapi
kalau sudah memberi tumpuan pada sesuatu pekerjaan
memang dia tidak akan fikirkan hal yang tidak berkaitan
lagi. Rosmaria pula tanpa tajuk perbualan terus menerjah
bertanya pastilah dia keliru.
“Ooo... tak payahlah. Bukan dia sudi pun nak
berkenalan dengan abang” tolaknya ragu-ragu. Masih rasa
tidak biasa menerima kenalan yang belum dikenali di
muka bukunya.
“Tak apalah bang, Ros add aje. Kalau dia sudi
abang tambah seorang lagi kawan. Kalau dia tak sudi,
abang bukan rugi pun,” ujar Rosmaria berdegil.
Fazli terdiam tidak mampu untuk beralasan lagi.
“Hurm... okeylah. Lepas tu terus logout, tau?”
setujunya dalam terpaksa.
Rosmaria tersenyum riang.
“Ros add facebook Ros sekali, ya bang?” pintanya
lagi. Ternyata gadis ini masih belum mahu berhenti
mengomel selagi apa yang diingini tidak tercapai.
Kenapa gadis sekarang terlalu berani sangat?
Tidak segan-segan bergaul dengan sesiapa saja? Fazli tidak
faham.
“Okey,” balasnya mendatar.
Sedang kedua mereka asyik dengan hal masingmasing,
datang Mak Cik Min bersama seteko kecil air kopi
panas yang diletakkan ke atas meja kecil di sisi kiri Fazli.
“Minum air ni, Li,” jemputnya sambil menuangkan air
ke dalam cawan.
Fazli memandang Mak Cik Min. Senyuman sebagai
tanda ya dan terima kasih dihadiahkan.
“Ros, dah malam. Pergi masuk bilik tidur,” arah Mak
Cik Min. Tidak manis untuk anak gadisnya itu berada di situ
bersama Fazli pada waktu tengah malam begitu.
“Kejaplah, mak. Ros nak tengok ni kejap,” bantah
Rosmaria. Matanya masih pada skrin komputer riba
tersebut.
“Esok pun bolehkan, Ros,” desak Mak Cik Min.
“Sekejaplah, mak,” rayu Rosmaria lagi.
Mak Cik Min diam tidak mahu mendesak lagi. Sambil
duduk di hadapan Rosmaria, matanya memandang album besar
milik Fazli.
“Gambar-gambar yang kamu ambil banyak-banyak
ni buat apa, Li?” soal Mak Cik Min. Elok rasanya
meringankan mulut berbual dengan anak saudaranya itu,
daripada duduk diam dan menampakkan sangat yang dia
sedang menunggu Rosmaria masuk ke bilik.
“Kebanyakkannya Li simpan sendiri. Buat stok,
yang mungkin berguna bila diperlukan nanti. Ada juga yang
Li jual kepada yang berminat,” beritahu Fazli.
Mak Cik Min menganggukkan kepala. Tidak
pula menyangka gambar-gambar seperti itu boleh ditukar
dengan duit. Dunia, dunia... tidak ada lagi hal yang mustahil
hari ini, semua boleh.
Rosmaria faham mengapa ibunya di situ. Setelah
melihat akaun facebooknya sepintas lalu, dia mendaftar
keluar dan terus berdiri dari duduknya.
“Terima kasih bang, Ros nak tidur dah. Selamat
malam,” ucap Rosmaria sambil melangkah riang.
“Ya, selamat malam,” balas Fazli sambil meleretkan
senyuman.
“Mak jomlah tidur, dah malam. Abang nak buat kerja
tu.” Rosmaria mencuit bahu ibunya.
Mak Cik Min tidak membantah. Dia bangun dari
duduk dan menurut kemahuan anak gadisnya itu.
Fazli menggeleng perlahan dengan telatah
Rosmaria. Tahu pula gadis itu dia sedang sibuk dengan
kerja. Andai anak-anak Mak Cik Min yang lain turut berkelakuan
seperti Rosmaria, alamatnya dia terpaksa juga menyewa
bilik hotel malam itu. Mujur tidak!
Setelah ditinggalkan bersendirian, Fazli menyudahkan
niat memuat naik gambar dari memori kad kamera
ke dalam fail komputer ribanya. Gambar-gambar itu dipilih
dan dibahagi-bahagikan mengikut kategori ke dalam failfail
yang sudah disediakan. Hari itu dia banyak merakam
gambar aksi-aksi spontan gelagat manusia. Sedikit saja
gambar berunsur alam yang diperoleh. Kawanan burung
gembala kerbau yang terbang membuat bentuk hati di
udara sempat dirakamnya pada lewat senja. Aksi ibu
kucing yang sedang menggonggong anaknya juga
menarik. Sempat dirakam beberapa keping sewaktu
berehat dan minum di sebuah restoran bersama Rosmaria
tadi. Tafsir Fazli, kedua-dua kejadian alam itu bagaikan
menterjemahkan soal kasih sayang dalam kehidupan.
Usai pekerjaannya, Fazli mengeliat keletihan.
Adik-adik sepupunya yang tidur bergelimpangan tidak jauh
dari situ lena diulit mimpi dilirik. Bibirnya mengukir
senyuman, teringat pula situasi sama pernah dilaluinya
sewaktu seusia mereka. Dia juga pernah tidur di ruang
tamu bersama adik dan abangnya kerana rumah mereka
kecil dan kekurangan bilik. Semua itu sudah menjadi
kenangan.
Komputer riba yang masih terpasang ditatap
kembali. Akaun facebooknya didaftar masuk semula. Masih
ada pesanan yang hendak dihantar kepada kawannya. Talian
Internet yang laju pada waktu tengah malam begitu
memudahkan kerja. Tangannya mengklik pada bahagian
notis yang berwarna merah di situ. Dia sedikit terkejut.
Gadis yang dimaksudkan Rosmaria sudah menerima
permintaannya sebagai rakan. Profile gadis itu dilihat
sebentar. Seperti dimaklumkan Rosmaria, gadis itu hanya
dikenali dengan nama Ai dan yang menarik pandangan
mata Fazli gambar bulan mengambang penuh menjadi
gambar profil gadis itu. Hati Fazli terlalu ingin
mengetahui jika gadis itu sedang berada di talian.
Sekatan kotak sembangnya dibuka dan ternyata
nama gadis itu tersenarai. Dia berkira-kira pula mahu
menegur atau tidak? Kerana jika dia menegur itu bererti,
gadis itu akan menjadi orang pertama yang diajak
bersembang di situ. Selama ini hanya peti pesanan saja
yang menjadi medan dia berbalas Mesej dengan rakanrakan
muka bukunya.
‘Ahh... biarlah, bukan rugi pun,’ bisik Fazli sendiri.
Entah kenapa hatinya melonjak-lonjak mahu menyapa gadis
itu.
Azlif : Hai.
AiAi : Hai.
Begitu pantas sapaannya dibalas. Ternyata gadis itu
tidak menghampakan. Fazli tersenyum.
Azlif : Salam perkenalan. Apa
khabar? Tak tidur lagi?
Dia mula beramah mesra.
AiAi : Khabar baik. Belum. Masih
ada kerja nak buat.
Azlif : Oh... maaf menganggu.
Tiba-tiba dia rasa hampa. Memang tidak patut pun
dia menganggu gadis itu yang sedang sibuk bekerja.
AiAi : Tak mengganggulah.
Azlif : Tadi kata ada kerja?
Fazli keliru.
AiAi : Kerja tengok gambargambar
aje. Sambil
upload ke Flickr.
Fazli tersenyum, terasa seperti bertemu kawan
sekepala pula.
Azlif : Awak minat fotografi ke?
AiAi : Minat gila.
Azlif : Saya pun
AiAi : Saya tahu. ^_^
‘ Tahu? Barang kali dia ni ahli sihir agaknya,’ gumam
Fazli dengan dahi yang sedikit berkerut.
Azlif : Macam mana awak tahu?
AiAi : Sebab kebanyakan rakan
yang add saya adalah rakan
fotografi yang saya kenal
secara langsung atau tak
langsung.
Azlif : Ooo... ingatkan awak kenal
saya kat mana-mana.
AiAi : Eh... taklah.
Fazli tersenyum malu. Rupa-rupanya Cik Ai yang
baru dikenali itu suka mengumpul kenalan fotografi di
facebook.
Azlif : Cik Ai? Saya suka gambar
profil awak.
AiAi : Hehehe... saya suka bulan.
Malam-malam bila tidur
pejam mata aje, terus rasa
macam nak terbang ke
bulan.
Azlif : Saya pun suka bulan.
AiAi : Tapi gambar profil awak
kenapa bintang?
Azlif : Sebab bulan kadangkadang
selalu tinggalkan
bintang kesepian.
Fazli tersenyum tawar menaip kata-kata itu. Ada
sesuatu yang mengusik perasaannya.
AiAi : Biasalah. Bulan pun kadangkadang
ada masalah yang
tak boleh nak elak. Dia
tinggalkan bintang seketika
untuk cahaya yang lebih
terang.
Jawapan balas daripada gadis itu membuatkan tubuh
Fazli tegak. Terkejut. Kata-kata itu pernah diluahkan kepada
seseorang yang sangat disayangi suatu masa dahulu. Tetapi
kenapa ayat gadis ini begitu sama?
‘Ah! Mungkin aje kebetulan,’ tepis hatinya. Untuk
sekali lagi dia membaca kata-kata itu. Dia hairan lagi tetapi
tidak mahu banyak fikir.
Azlif : Cik Ai, saya dah nak tidur.
Lain kali ada kelapangan kita
sembang lagi.
Fazli mengosok mata yang sudah mengantuk. Dia
jika sudah mengantuk bukan boleh ditahan-tahan untuk
tidur. Niat hendak menghantar pesanan kepada kawannya
terpaksa ditangguh ke esok hari.
AiAi : Okey, selamat malam.
Azlif : Selamat malam :)
Dia terus mendaftar keluar dan menutup komputer
ribanya. Mata sudah terlalu mengantuk. Air kopi yang sudah
semakin sejuk itu diteguk sedikit sebelum bangun
mengambil tempat untuk turut tidur bergelimpangan di
ruang tamu itu. Badan direbahkan. Doa tidur dan beberapa
potong ayat suci yang menjadi amalannya dibaca. Mata
dipejamkan. Terus dia terlena mencari bidadarinya yang
sudah menanti di alam mimpi.

No comments:

Post a Comment