DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 15

“SABAR Lya, ujian ni.”
“Sampai bila Lya nak kena bersabar ni kak? Kenapa
dia buat macam ni pada Lya? Lya ni isteri yang jahat ke
sampai dia sanggup buat macam ni pada Lya?”
Ainur mengusap-usap belakang Lyana yang sedang
menangis tersedu-sedan di sebelahnya.
“Lya tak fahamlah kak. Lya betul-betul tak faham!
Kenapa Lya dapat suami macam dia tu! Lya rasa macam nak
mati kak, Lya tak sanggup nak pandang muka dia lagi!” Lyana
terus meraung di dalam kereta. Sudah masuk tiga tahun
usia perkahwinannya dengan Khalid, namun syurga yang
diharapkan daripada sebuah pernikahan itu langsung tidak
kelihatan sinarnya. Hanya di tahun pertama sahaja watak
baik Khalid terserlah. Namun masuk sahaja tahun kedua, dia
sudah tidak mampu bertahan lagi.
Ainur menggenggam kuat tapak tangan Lyana agar
Lyana dapat rasakan bahawa dia amat bersimpati dan prihatin
terhadap nasib rakan baiknya itu. Namun dia bukan manusia
yang mudah membuat kesimpulan dan menjatuhkan
hukuman. Setiap perkara yang berlaku pasti ada sebab
musababnya. Manusia takkan berubah jika tak ada sebab.
“Lya, jangan cakap yang bukan-bukan. Ingat Lya,
Lya masih isteri Khalid tau. Memang dia buat salah dan dosa
dekat luar ni, tapi Lya keluar tanpa pengetahuan dia ni pun
berdosa jugak, kan?” Ainur cuba menegur Lyana dengan nada
lembut. Dia faham Lyana terlalu marah dan sakit hati. Tetapi
menyokong tindakan Lyana yang salah itu bukan sifatnya.
Dalam keadaan ini dia tidak boleh menyebelahi Lyana seratus
peratus.
Lyana terbungkam mendengar teguran Ainur.
Dia sedar dia juga sudah buat silap namun manalah dia
tahan hendak mundar-mandir di rumah memikir ke mana
hilangnya si suami malam-malam begini. Dia sudah syak
bahawa Khalid pasti ada hubungan liar di luar, namun apa
yang dilihat malam ini lebih teruk sebenarnya. Lelaki yang
dulunya pijak semut pun tak mati kini sedang bergelumang
dengan dosa dan maksiat. Apakah yang mak dan ayahnya
akan fikir nanti jika tahu akan hal itu?
“Lya percaya, wanita yang baik itu untuk lelaki yang
baik, dan wanita yang....”
“Jodoh ni bukan sesuatu yang kita boleh rancang
Lya. Lya ingat kisah Asiah. Dia tu antara empat wanita
yang dijanjikan syurga, tau. Tapi bagaimana kehidupan
rumah tangga dia? Kehidupan ni tak semudah yang kita
sangka. Inilah namanya ujian. Bersabarlah kerana mungkin
ada hikmah di sebalik segalanya. Berdoa kepada Allah agar
Khalid berubah,” luah Ainur perlahan. Dia tahu Lyana mahu
mengungkit tentang sepotong ayat dari dalam al-Quran.
Namun Lyana juga perlu sedar bahawa segala apa yang
berlaku di atas muka bumi ini adalah di tangan Tuhan. Tak
ada sesiapa boleh menyangkal.
“Kakak tak tahu apa yang Lya rasa sekarang ni.
Kakak tak mungkin dapat bayangkan bagaimana sakitnya hati
Lya ni!” suara Lyana tiba-tiba meninggi. Dia berang kerana
sejak dari tadi Ainur langsung tidak memihak kepadanya. Apa
sahaja kata-kata marah yang keluar terhadap Khalid, Ainur
tidak menyokong ataupun menambah. Yang dia dengar
hanya sabar, sabar dan sabar sahaja. Lyana menoleh ke arah
Ainur di sebelahnya.
“Lya sabarlah. Memang benar kakak tak mungkin
dapat rasa apa yang Lya rasa sekarang. Hati kakak juga turut
marah dengan sikap Khalid tu. Tapi Lya kena sedar, selagi Lya
masih bergelar isteri Khalid, Lya tetap kena patuh. Pergilah
berjumpa mak mentua Lya dan bincang perkara ni dengan
dia. Mungkin dia boleh tolong Lya,” cadang Ainur.
“Buang masa aje kak. Mak dia tu, sayang sangat
dekat dia. Kalau Lya pergi jumpa mak mentua Lya, pasti
Lyalah yang akan kena balik. Lya yang akan dituduh tak reti
ambil hati suami!” terang Lyana garang.
Ainur terdiam. Dia tak tahu bagaimana Lyana mampu
menahan marah dan sakit hatinya selama ini. Pasti sangat
menyakitkan. Bukan dia tidak mahu menyokong Lyana tetapi
dia tidak mahu menjadi ‘batu api’ dan menambah bahang
yang ada dalam diri rakan baiknya ini. Dia lebih rela menjadi
pengadil yang adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Hal berkaitan rumah tangga memang bukan sesuatu yang
boleh dipandang enteng. Silap dia memberi tunjuk ajar,
orang lain yang terima kesannya.
“Kak, kadang-kadang Lya fikir macam nak bunuh
diri aje daripada menanggung semua ni!”
“Istighfar Lya, ingat Allah!” Terjegil mata Ainur
apabila mendengar keluhan Lyana. Dia menggeleng kepalanya
perlahan.
“Lya tak tinggal solat kak. Lya juga tak buka aurat.
Lya setia pada Khalid walaupun Lya tahu dia asyik minum
arak dan layan Lya dengan buruk. Tapi kenapa Lya dapat
balasan yang makin buruk ni, kak?”
“Lya?” Naik meremang bulu roma Ainur mendengar
ayat-ayat yang meniti di bibir Lyana sebentar tadi. Apakah
Lyana marah pada takdirnya atau marah kepada Tuhan?
“Lya, marah tu makanan syaitan. Lagi Lya marah,
lagi besar syaitan yang sedang berdamping dengan Lya.
Ingatlah Lya, Allah tu sentiasa bersama dengan orang-orang
yang sabar.”
“Kak Ainur, hati wanita mana yang boleh tahan
kalau ada suami macam tu kak? Kalau kakak yang duduk
tempat Lya ni, kakak pun akan marah kak! Kenapalah orang
lain boleh dapat suami yang baik tapi Lya dapat penyangak
macam Khalid tu?”
“Janganlah fikir Tuhan tak adil pada Lya. Teruskan
berdoa dan bermuhasabahlah. Di mata Lya, mungkin Lya
sudah melakukan yang terbaik sebagai seorang isteri. Tetapi
pada pandangan Khalid dan Ilahi belum tentu lagi. Manusia
takkan ada yang sempurna Lya.” Ainur memandang pintu
pagar rumah Lyana. Sudah hampir sejam mereka berada
di dalam kereta di luar rumah Lyana, namun temannya ini
masih belum ada tanda-tanda hendak masuk ke dalam.
“Terima kasihlah kak kerana temankan Lya malam
ni. Lya rasa Lya nak masuk dulu. Lagipun kakak dah lama
sangat dekat luar ni. Nanti mak kakak risau pulak,” Lyana
membuka pintu dan melangkah keluar dari kereta Ainur. Dia
berjalan lemah sambil membuka pintu pagar.
Ainur hanya memerhati tanpa berbicara sepatah
pun. Kasihan dia melihat nasib yang menimpa Lyana.
“Kakak harap Lya tabah dan banyak bersabar,” luah
Ainur perlahan. Kerana masalah seperti itulah membuatkan
dia takut hendak berumah tangga.
SYED WAFI mendongak memandang langit hitam. Jam di
pergelangan tangan tepat 9 malam. Dia ingin keluar sebentar
nanti. Dia harus ke tol itu. Dia mahu lihat wajah Tiara.
Biarpun di tempat kerja dia tidak henti-henti memandang
gadis itu, Syed Wafi tetap tidak puas. Kalau boleh, sepanjang
masa dia mahu merenung wajah bujur sirih Tiara.
Dia sendiri tidak faham kenapa perasaannya boleh
jadi segoyah ini. Bukan dia tidak pernah bergaul dengan
mana-mana wanita sebelum ini. Tetapi hanya gadis ini
sahaja yang betul-betul merentap jiwanya. Setiap kali Tiara
menjawab dan melawan kata-katanya, dia semakin terpaut
dan jatuh hati terhadap Tiara.
“Aku ni perangai macam budak-budak dia cakap? Hai
Tiara, awak cakaplah saya ni macam budak tadika sekalipun
saya tetap sukakan awak. Tapi saya tak tahulah, bilalah kita
nak berdamai.” Syed Wafi mengeluh perlahan. Tiba-tiba dia
meluru ke tepi katil. Telefon yang berdering diangkat.
“Helo,” suara Syed Wafi perlahan seakan berbisik.
“Sayang, you tak datang jumpa I ke malam ni? I
rindulah pada you.”
Suara Lily yang merengek-rengek seperti anak
kecil merimaskan Syed Wafi. Dia terus bergerak ke balkoni
biliknya semula.
“Sorry Lily, I tak rasa nak keluar malam ni.” Syed
Wafi mengerling pintu biliknya. Manalah tahu kalau uminya
tiba-tiba masuk.
“You mesti jumpa I malam ni Wafi. I ada perkara
penting nak cakap dengan you!” suara Lily semakin bertukar
kasar.
Syed Wafi tergamam tidak menyangka. Selama ini
Lily tidak pernah membantah kata-katanya. Gadis genit itu
tidak berani memaksa dan meninggi suara terhadapnya.
“Lily, I takkan jumpa you malam ni, sorry.”
“I pregnant!”
“What? You dah gila ke Lily!” Wajah Syed Wafi
bertukar merah serta-merta. Biarpun dia boleh menuduh
Lily sengaja menggunakan perkara itu untuk mengumpan
dia keluar, tetapi hatinya tidak boleh menolak. Nada suara
Lily tadi tidak kedengaran seperti orang yang sedang menipu.
Lily di hujung talian menarik nafas garang.
“You cakap I gila Wafi?”
Syed Wafi menggaru kepalanya yang tiba-tiba
berpusing. Selama ini dia tidak pernah merasa takut seperti
itu. Dia meniduri Lily dengan yakin dan tidak pernah rasa
bersalah. Namun saat ini segunung penyesalan terhempap
di kepalanya. Gedebuk melenyek! Hingga otaknya tak boleh
berfikir. Ketika dia baru menyedari bahawa hatinya sudah
tertawan kerana seorang gadis, tika dia sedar dia mula
menyukai gadis lain, khabar ini pula yang disampaikan Lily.
“I’m sorry Lily. Baiklah I akan jumpa you malam ni.
You tunggu sana ya….” Syed Wafi tiada pilihan lain. Dia harus
menemui Lily untuk menyelesaikan perkara itu. Dengan
perasaan takut dan berserabut, Syed Wafi bersiap-siap mahu
keluar. Dia harus bertindak dengan cepat supaya kandungan
Lily itu tidak kelihatan. Lantas beberapa kenalan rapatnya
yang menjawat jawatan sebagai doktor dihubungi. Mujurlah
salah seorang daripada mereka sudi membantunya.
Dengan tergesa-gesa, Syed Wafi terus menunggang
motosikalnya laju membelah angin malam. Terlupa terus
dia akan kehendaknya mahu menemui Tiara. Hal antara
dia dengan Lily harus diselesaikan dengan segera. Dia tidak
mahu Lily datang ke pejabat dan menuntut apa-apa. Dia
sudah merancang untuk meninggalkan Lily selepas ini. Dia
mahu berterus terang kepada Tiara dan mahu meluahkan
isi hatinya terhadap gadis garang itu. Itulah yang sedang
bermain-main dalam fikiran Syed Wafi ketika ini.
Setelah hampir setengah jam menunggang, akhirnya
pintu pangsapuri mewah Lily berjaya diketuk. Lily yang setia
menunggu tersenyum lebar kerana putera idamannya sudah
muncul. Dia sangka Syed Wafi akan menolaknya ke tepi namun
telahannya benar. Syed Wafi lelaki yang bertanggungjawab.
“Lily, kemas beg baju you sekarang!” Itulah ayat
pertama yang keluar dari bibir Syed Wafi ketika mula
melangkah masuk ke dalam rumah Lily. Geselan manja
tubuh Lily pada badannya juga langsung tidak dilayan.
“Kenapa Wafi? You nak bawa I pergi mana?”
“I nak you jumpa kawan I,” jawab Syed Wafi
tergagap-gagap.
“Jumpa kawan you? Siapa? Nak buat apa?” Lily mula
merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Syed Wafi.
Lelaki ini sejak dari tadi serius sahaja wajahnya.
Syed Wafi menarik lengan Lily agar duduk di atas
sofa, sebelum dia menerangkan tujuan sebenarnya dia
berkunjung ke situ. Syed Wafi mengambil nafas dalam-dalam.
Dia tahu, apa yang keluar dari bibirnya itu nanti pasti akan
menggores perasaan Lily. Tetapi Syed Wafi sudah nekad
untuk melupakan Lily.
“I nak you gugurkan kandungan ni, Lily.”
“What? Are you crazy! No! I won’t do that, Wafi! I
nak anak ni. Ini anak I dengan you!” Lily terus bangun dari
sofa dan menjauhi Syed Wafi yang cuba memujuk. Barulah
dia tahu bahawa kata-kata Khalid malam tadi adalah benar.
Syed Wafi tak pernah menyimpan perasaan terhadapnya. Syed
Wafi juga seperti lelaki lain yang hanya mencari dia sekadar
mahu melampiaskan nafsu.
Lily mula menangis di tepi dinding ruang tamu.
“Lily, janganlah menangis macam ni. I minta maaf,
I tak sangka hal ni akan terjadi. But don’t worry, I ada kawan
yang boleh bantu kita. Dia takkan buat you sakit. Percayalah
cakap I.” Syed Wafi terus memujuk Lily dengan lembut.
“You fikir I ni apa, Wafi? You ingat I ni tak ada
perasaan ke? Sanggup you nak suruh I gugurkan kandungan
ni. Bukan ke sepatutnya you kahwin dengan I dan jadi ayah
kepada anak kita ni?”
“Ayah? No, no way! I tak pernah terfikir nak buat
macam itulah Lily,” ujar Syed Wafi jelas lagi terang.
Lily yang mendengar ternganga luas. Berapi-api
kemarahannya terhadap Syed Wafi. Rupanya Syed Wafi tidak
ada beza sedikit pun dengan lelaki tidak guna di luar sana.
Syed Wafi yang berketerampilan menarik itu rupanya hanya
berlakon sahaja selama ini. Dengan hati yang sakit dan kecewa,
Lily terus memukul dada Syed Wafi semahu-mahunya. Lelaki
itu juga turut ditolak keluar dari rumahnya. Dia tidak sudi
lagi mahu memandang wajah Syed Wafi. Kata-kata Syed Wafi
itu tadi begitu merentap jiwanya.
Lily terhenyak lesu di atas sofa menangis sepanjang
malam. Perut yang sudah berisi itu diusap perlahan. Lily
menggigit jarinya lalu mengambil telefon bimbit. Dia
menekan skrin telefon terketar-ketar.
“Helo! Mama, Lily nak minta maaf dengan mama dan
papa. Lily dah berdosa besar mama. Ampunkan salah Lily.”
Lily meletakkan telefon selepas membuat pesanan suara.
Mujur jugalah mamanya tidak angkat telefon itu awal-awal
pagi begini. Kalau tidak, pasti lebih berat hatinya untuk
membuat tindakan.
Lily bangun perlahan menuju ke bilik air. Peti
ubat-ubatan yang tergantung di dalam bilik itu diselak
perlahan. Dengan juraian air mata dan fikiran yang kosong,
Lily mengambil kesemua botol ubat-ubatan yang ada di
dalam peti itu lalu dituangnya isi botol itu ke dalam tapak
tangannya.
Lily menelan beberapa kali air liurnya. Dia takut
hendak memasukkan berpuluh-puluh pil kecil itu ke dalam
mulutnya. Dia tak mampu hendak menelan kesemuanya
sekali gus. Tetapi mengenangkan kata-kata Syed Wafi
dan penolakan lelaki itu terhadap kandungannya, Lily
menguatkan hatinya. Kandungan itu harus digugurkan
dengan segera sebelum membesar.
Tanpa berfikir panjang, Lily memasukkan beberapa
biji pil ke dalam mulutnya lalu menelan rakus. Perbuatannya
itu diulang berkali-kali hingga kesemua pil tersebut
benar-benar habis. Ketika dia cuba memaksa kerongkongnya
agar menelan semua pil itu, beberapa kali Lily termuntah. Air
mata perit mengalir disertakan dengan esakan kekesalan. Lily
terkulai lemah di atas lantai bilik air. Dari nafas yang laju dan
tersekat-sekat kepada nafas yang perlahan dan sayup-sayup.
Akhirnya Lily memejamkan matanya perlahan-lahan.

No comments:

Post a Comment