DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 1



HARI ini genap setahun enam bulan aku bekerja
di syarikat Duta Holiday Resorts Sdn Bhd, (Duta Holiday)
sebuah syarikat yang memiliki rangkaian beberapa buah
hotel dan resort di Semenanjung Malaysia. Jawatan aku
tidaklah besar, setakat Eksekutif Kanan Akaun saja. Hajat di
hati memanglah hendak pegang jawatan yang lebih tinggi,
sekurang-kurangnya penolong pengurus, tapi belum ada
rezeki. Lagipun dengan pengalaman bekerja yang baru lebih
sikit daripada tiga tahun, aku rasa sesuailah jawatan yang aku
pegang sekarang ini.
Sekejap lagi aku hendak makan tengah hari dengan
Nik Azwan Affendi. Lelaki bujang, kacak bergaya dengan
rambut gaya Orlando Bloom itu memang rapat dengan aku.
Dulu rambut dia gaya pacak-pacak tetapi disebabkan Bos 1B3K
(disebut IBEK) pun berambut pacak macam gaya rambut
Zayn Malik, Nik Azwan Affendi menukar gaya rambutnya. Aku
rasa rambut gaya Orlando Bloom lebih sesuai dengan wajah
jambu Nik Azwan Affendi.
Orang kata lelaki dan perempuan tidak boleh
berkawan rapat tanpa wujudnya rasa cinta. Tapi aku dengan
Nik Azwan Affendi boleh. Hubungan kami platonik, tidak ada
rasa cinta antara kami. Aku sayangkan dia sebagai kawan baik.
Selain daripada along aku, Nik Azwan Affendi ialah lelaki yang
paling rapat dengan aku. Nik Azwan Affendi bukan jenis lelaki
idaman aku, jadi dia tidak boleh dan tidak akan jadi kekasih
aku. Tidak kiralah macam mana rapatnya hubungan kami.
Sudah hampir tujuh tahun aku kenal dengan Nik
Azwan Affendi, sejak aku belajar perakaunan di Deakin
University. Dia memang sangat baik dengan aku. Sebagai
senior, dia sentiasa menghulurkan pertolongan terhadap
pelajar-pelajar junior. Dari situlah aku menjadi rapat dengan
dia. Dalam diam rupa-rupanya Nik Azwan Affendi menaruh
hati kepada rakan sekelas aku, Nur Fathia. Dua tahun aku
menjadi posmen tidak bergaji kepada Nik Azwan Affendi dan
Nur Fathia. Dalam kecanggihan teknologi dengan adanya
Facebook, Twitter dan macam-macam lagi, diaorang berdua
masih menggunakan posmen tidak bergaji untuk bercinta.
Tiga tahun lepas, sebaik saja aku dan Nur Fathia
menamatkan pengajian, mereka bertunang. Seharusnyalah
aku pergi ke majlis pertunangan mereka. Mampus kena
marah dengan mereka berdua kalau aku tidak pergi. Masa itu
Nik Azwan Affendi sudah setahun bekerja di Duta Holiday di
bahagian Akaun dan Kewangan.
Setahun selepas bertunang, apabila Bos 1B3K
meletak jawatan dan berhijrah ke Eropah, Nik Azwan Affendi
ditukarkan ke Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif atau CEO,
untuk membantu Dato’ Ibrahim yang terpaksa memegang
semula jawatan CEO yang sebelum ini sudah diserahkan
kepada Bos 1B3K. Lebih kurang enam bulan kemudian, aku
mula bekerja di Duta Holiday, menggantikan Nik Azwan
Affendi.
Nik Azwan Affendi yang berkelulusan dalam bidang
perakaunan dinaikkan pangkat sebagai Pembantu Khas
CEO. Pada mulanya Nik Azwan Affendi tidak suka jawatan
barunya. Tetapi apabila mengenangkan dia diberi kenaikan
gaji sebanyak 30%, terus juling mata dia dan senyumannya
melebar hinggakan hampir koyak mulut dia. Enam bulan
lepas Dato’ Ibrahim diserang strok. Terpaksalah pula Datin
Nuridah mengambil alih jawatan suaminya sebagai CEO. Tiga
bulan lepas Bos 1B3K balik ke Malaysia dan sejak itulah hidup
Nik Azwan Affendi menjadi huru-hara.
Mana tidaknya, Bos 1B3K tu kepala angin. Bengkeng
tidak bertempat, asyik meroyan saja. Kerek pulak tu.
Sepatutnya dia balik untuk tolong Datin Nuridah uruskan
syarikat, tapi dia lebih banyak habiskan masa bersosial.
Kesian Datin. Mana uruskan suami yang masih dalam proses
penyembuhan, nak urus syarikat lagi. Anak Datin yang dua
orang lagi pula, langsung tidak dapat membantu.
Sekarang Nik Azwan Affendi sudah mula merungut.
Apa tidaknya, dia sangat sibuk sekarang, menguruskan dua
orang bos. Bila dua beranak itu berbalah, habis hal keluarga
pun keluar. Datin banyak makan hati dengan Bos 1B3K. Tapi
apa lagi pilihan yang dia ada sekarang, jadi terpaksalah dia
bersabar dengan perangai anak bongsunya itu.
Nik Azwan Affendi dah dua kali tangguhkan
perkahwinan dengan Nur Fathia. Kali pertama masa dia
baru berpindah ke pejabat CEO. Kali kedua enam bulan
lepas apabila Dato’ Ibrahim kena strok. Mengikut rancangan
asal, mereka sepatutnya bertunang untuk tempoh setahun
saja. Mujurlah Nur Fathia masih boleh bersabar. Kalau aku,
mungkin aku sudah pulangkan cincin pertunangan dan tukar
status di Facebook daripada engaged kepada single.
Telefon aku berbunyi. Aku tekan pembesar suara
sebab malas hendak angkat gagang telefon. Lagipun tak ada
orang lain dalam pejabat, mereka semua dah keluar makan
tengah hari.
“Sharkfin!”
“Ya, perlu ke kau menjerit?” Aku kerling jam di
tangan. Baru aku sedar sudah tiga puluh lima minit aku
menunggu Nik Azwan Affendi.
“Sorry, tak sengaja. Jom kita keluar sekarang. Jumpa
kat lobi.” Suaranya seperti tergesa-gesa. Tidak perlu tanya
apa-apa lagi, aku terus mencapai dompet dan telefon bimbit.
Apabila aku tiba di lobi, kelibat dia tidak kelihatan.
Selepas tujuh minit dia masih belum sampai. Hmm, janji
Melayu betul! Aku dail nombor dia.
“Naani, tadi kata keluar sekarang. Aku dah sampai
lobi, kau kat mana?” Aku terus menerjah dengan soalan. Dia
menjawab dengan mengatakan dia sedang menunggu lif.
Aku berpaling menghadap lif. Beberapa saat
kemudian pintu lif terbuka dan susuk tubuh Bos 1B3K
muncul dari dalam lif. Dengan wajah cemberut dia berjalan
terus tanpa mempedulikan orang di kiri dan kanannya. Dia
terus menuju ke pintu bangunan dan menghilang di dalam
kereta BMW X5 berwarna perak yang sudah sedia menunggu
depan bangunan.
“Wei, sorrylah. Aku kena tunggu bos turun dulu.
Angin dia tak baik sungguh, jadi aku tak nak ambil lif yang
sama dengan dia.”
“Tak apalah, aku faham.” Jawapan ringkas yang
paling afdal aku berikan kepada Naani, nama panggilan
yang aku gunakan untuk Nik Azwan Affendi. Kenapa Naani?
Sebab itu adalah gabungan huruf awal nama penuhnya iaitu
Nik Azwan Affendi Nik Ibrahim. Aku sudah gunakan nama
panggilan itu sejak dari zaman universiti lagi. Dia pun
sukakan nama panggilan itu, yang diberikan oleh seniornya
ketika dia baru memasuki universiti dulu.
“Kalau kau tak ada selera makan, buat apa pergi order
banyak-banyak? Siapa nak habiskan? Ke kau nak bungkus
untuk Thia?” Suara aku sudah meninggi. Aku memang tak
suka membazir, lebih-lebih lagi pembaziran makanan. Dari
kecil emak sudah ajar aku begitu. Kata emak lagi, membazir
itu perbuatan syaitan. Aku tak mahu disamakan dengan
syaitan.
“Sorrylah. Tadi aku memang lapar sangat. Tapi bila
teringatkan masalah aku, terus hilang selera makan. Thia
tentu akan marah kalau dia tahu.”
Aku tenung wajah Naani. Timbul rasa kasihan
terhadapnya.
“Anak dengan emak bertelingkah, kau pula yang jadi
mangsa?”
“Itulah... majlis aku dah tak boleh tangguh lagi.”
“Kejam sangatlah Datin bagi syarat macam tu kat
engkau.”
“Memang kejam. Tapi aku pun kesian kat Datin. Aku
faham... sebagai seorang ibu, apa yang dia lakukan adalah
untuk melindungi anaknya.”
“Hoi, bos kau tu dah besar. In fact dah tua pun.
Takkanlah dah setua itu pun perlu perlindungan daripada
maknya? Aku rasa Datin tu over protectivelah.”
“Ni semua pasal gosip dan gambar yang tersiar di
laman blog gosip hiburan itulah. Sebelum ni, walaupun ada
keluar gambar dia dengan perempuan, belum ada yang berani
macam perempuan tu, siap mengaku kepada wartawan yang
mereka sedang hangat bercinta.”
Aku diam. Sebenarnya aku tak pernah tahu akan
kewujudan blog yang disebutkan oleh Naani. Nantilah, bila
balik ke pejabat aku akan layari blog tu.
“Sharkfin, kau tolonglah aku.”
“Hah, tolong macam mana?”
“Tolong fikirkan apa yang aku patut buat.”
“Nak fikirkan apa lagi, kau buat sajalah apa yang
Datin suruh.”
Naani mengeluh.
“Mana aku nak cari pembantu peribadi untuk bos
dalam masa dua minggu?”
“Apa susahnya? Kau iklankanlah. Nak iklan dalam
surat khabar boleh, nak guna perkhidmatan syarikat
penggajian dalam talian, boleh. Dalam laman web syarikat
pun boleh. Tak pun, guna head hunter service.” Aku memberi
cadangan.
“Memanglah boleh. Tapi, by the time iklan tu keluar,
tempoh dua minggu pun habis. Sudahnya aku tak dapat cuti.”
Betul juga kata Naani. Di mana hendak dicari
pembantu peribadi dalam masa dua minggu? Jika Naani
gagal, cuti kahwin yang sudah diluluskan akan dibatalkan
serta-merta. Naani sudah gelabah. Kad jemputan sudah
dicetak. Tempahan katering sudah dibuat, deposit sewa
dewan sudah dibayar. Persiapan-persiapan lain pun sedang
diusahakan. Yang paling ditakuti oleh Naani ialah Fathia
akan mengamuk. Berapa kali nak tangguh majlis kahwin?

No comments:

Post a Comment