DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 14

SYED Wafi menguis-nguis nasi di dalam
pinggannya berulang kali. Baru dua suap nasi masuk ke
mulutnya tapi perutnya sudah terasa kenyang. Biarpun lauk
hidangan malam ini adalah lauk kesukaannya, tetapi hati
dan seleranya tidak tertarik langsung dengan hidangan itu.
Kejadian pagi tadi masih bermain-main dalam ingatannya.
‘Sampai hati kau buat Tiara macam tu Khalid?’ luah
Syed Wafi dalam hati. Selama ini hal Tiara, mereka bualkan
bersama. Apa sahaja yang Tiara gaduhkan dengannya, dia
cerita kepada Khalid. Tetapi dia tidak sangka dalam diam
Khalid menyimpan hati terhadap Tiara. Patutlah lain macam
sahaja Khalid menegur Tiara. Rupa-rupanya ada udang di
sebalik batu. Cis!
“Pak su tak nak ke ketam tu? Bagi Basirlah.”
“Nah,” Syed Wafi meletakkan seekor ketam ke dalam
pinggan Syed Basir.
“Terima kasih pak su,” Syed Basir tersengih-sengih.
“Wafi, esok balik kerja awal tau. Jangan lewat.”
Tiba-tiba Datin Sharifah bersuara.
Syed Wafi mengangkat wajahnya hairan.
“Wafi tak boleh balik awallah umi. Wafi ada hal.”
“Hal apa pulak?”
“Adalah umi.”
“Umi cakap balik awal tu balik ajelah. Oh ya, umi
dengar Khalid kena buang kerja. Umi tak sangka dia boleh
buat perangai macam tu dekat tempat kerja. Macam mana
dengan setiausaha Wafi tu? Dia okey?”
Syed Wafi cuma mengangguk kepalanya perlahan.
Bukan umi sahaja yang tidak sangka dengan tindakan
Khalid itu, tetapi dia sendiri terlebih lagi. Dia tahu Khalid
boleh tahan liar orangnya jika di luar waktu kerja. Mereka
sama-sama teruk dan kuat bersosial. Tetapi sikap Khalid itu
sudah tidak boleh dikawal lagi. Sampai ke tempat kerja pun
Khalid bawa bersama.
“Hurm… macam mana dengan Khalid tu, Wafi?
Maksud abi, hubungan dia dengan kamu?”
Syed Wafi memandang wajah abinya. Mereka semua
sedia maklum bahawa dia dan Khalid teman akrab. Tak ada
sesiapa boleh sangkal hal itu. Tetapi sejak peristiwa tadi, Syed
Wafi mula tawar hati terhadap Khalid. Dia lebih memihak
kepada Tiara. Tetapi rasa bersalah dalam hatinya terhadap
Khalid tetap ada. Nantilah, bila keadaan sudah tenang dia
akan bertemu Khalid dan perbaiki hubungan mereka semula.
Dia pasti Khalid akan faham tindakannya itu.
Usai menjamu selera bersama seluruh ahli keluarga,
Syed Wafi bergegas menemui Syed Waris untuk bertanyakan
sesuatu. Dia tahu abang longnya itu pasti tahu rancangan
umi mereka.
“Along, boleh beritahu Wafi apa yang umi sedang
rancang sekarang ni?”
“Rancang apa? Mana along tahu.”
“Ah, along jangan nak kelentong Wafilah. Along
mesti tahu kenapa umi beria-ia sangat nak buat jamuan
malam esok.”
“Hesy! Kau ni Wafi, kau ingat along kau ni ada masa
ke nak ambil tahu semua hal dalam rumah ni? Kalau kau nak
tahu sangat, kau tanya ajelah umi tu terang-terang.”
Syed Wafi cuba berfikir sejenak. Mungkinkah jamuan
itu ada kaitan dengan dirinya? Sah ni! Umi ni memanglah!
Syed Wafi tak puas hati. Dia kemudian bergegas ke biliknya
dan terlentang memikirkan rancangan uminya itu.
“Macam mana kalau umi bawa perempuan dan
kenalkan dekat aku? Buatnya dia cari jodoh untuk aku dan
paksa aku kahwin, macam mana? Hesy! Habislah kalau
orang tua tu buat macam yang aku fikir ni!” Syed Wafi
menggaru-garu kepalanya yang mula berserabut.
“I TAK fahamlah dengan perangai Wafi sekarang ni, Khalid.
Kenapa dia tak nak jumpa I, hah?” Lily meneguk air Cola yang
sudah ditambah alkohol beberapa teguk.
Khalid menjeling Lily yang sudah mula mabuk.
Sakit telinganya mendengar nama Syed Wafi disebut-sebut.
“Hei Lily, you jangan nak sebut-sebut nama mamat
tu depan I la!” Khalid memberi amaran keras.
“Hesy! Apa kena dengan you ni hah, Khalid? Apasal
you tiba-tiba nak marah pulak? Bukan ke you dengan Wafi
tu sahabat dunia akhirat?” Lily dengan mata yang layu dan
lemah tersenyum mengejek. Dulu bukan main lagi Khalid
dengan Syed Wafi. Ke mana sahaja berdua hingga dia sendiri
naik cemburu. Tetapi malam ini, buat pertama kalinya Khalid
tidak mahu dengar nama Syed Wafi.
Khalid berdengus kasar. Sejak Syed Wafi mengheret
lehernya di hadapan staf, dia sudah bersumpah memutuskan
persahabatannya dengan Syed Wafi. Gara-gara Tiara, Syed
Wafi menendang dia ke tepi. Dia sendiri tidak faham kenapa
Syed Wafi begitu marah terhadapnya sedangkan selama ini
Syed Wafi sendiri yang sering mengutuk Tiara.
Banyak hal Tiara yang Syed Wafi kongsikan
dengannya. Syed Wafi tak berhenti mengata Tiara
macam-macam hingga dia sendiri rasa marah. Tetapi pagi
tadi semuanya seakan bertukar. Saat itu dia sedar, kata-kata
Syed Wafi selama ini bukanlah dari hati nuraninya. Semua
itu sekadar di bibir sahaja. Dalam hati Syed Wafi ada perkara
lain sebenarnya.
“Eh Lily! You bila nak beritahu hal anak dalam perut
you tu pada Wafi? You tak takut ke kalau dia tinggalkan you?”
Lily berusaha merenung wajah Khalid biarpun
susah. Dia berdengus-dengus sambil tersenyum sinis. Lily
sedar akan hal itu. Sebab itulah malam ini dia mahu bertemu
Syed Wafi dan menceritakan hal itu. Kandungannya itu sudah
genap pun lima minggu. Tetapi Syed Wafi masih tidak tahu
apa-apa. Mendengar kata-kata Khalid tadi buat dia sedikit
gentar. Bagaimana jika apa yang Khalid fikir itu benar?
“I tak fikir Wafi sanggup tinggalkan I macam tu aje,
Khalid. Dia tu baik orangnya, tak mungkin dia nak buang I
macam sampah.”
“Huh? Ha ha ha….” Khalid ketawa geli hati. Rupanya
pelajar kolej seperti Lily ini lembab jugak otaknya.
“Hei! You jangan nak perlekehkan I la!” marah Lily.
“Lily, Lily... you cakap apa ni hah? You ingat selama
ni Wafi tu anggap you tu berlian? Intan permata? Hei, selama
ni pun dia dah anggap you sampahlah! Mana ada orang lelaki
yang sanggup buat macam ni pada perempuan yang dia
sayang? Kalau betul dia sayang you, dia tak layan you macam
nilah. Dia akan ambil you jadi isteri dia yang sah dulu, baru
dia ‘sentuh’ you! Hii. . apa punya bodoh otak you ni Lily? Hei,
percayalah apa I cakap ni. Wafi takkan terima you dengan
anak you tulah Lily. Lebih baik you cari klinik yang boleh
cuci perut you tu sebelum dia jadi besar.”
“You ingat I nak percaya cakap you ke, Khalid? I
dengan Wafi tu dah dua tahun, tahu tak? Tak mungkin dia
sanggup buat macam tu pada I. Dia tu tak sama macam lelaki
lain yang I kenallah. Dia tak macam you. You percayalah. Dia
akan terima I dan anak ni,” luah Lily sekadar menyedapkan
hatinya sendiri. Padahal saat ini dia sudah mula bingung dan
ketakutan.
Wajah kedua ibu bapanya muncul tiba-tiba. Apa akan
jadi dengan pelajarannya yang tinggal sepenggal sahaja lagi
itu? Bagaimana pula penerimaan mama dan papanya jika
tahu dia sudah mengandung tanpa nikah? Dan bagaimana
reaksi Syed Wafi apabila mengetahui hal itu? Terima atau
menolak?
“You jangan sombong sangatlah Lily. You belum
kenal lagi perangai orang lelaki ni. Once dia dah jumpa orang
lain, sesaat aje dia boleh lupakan you. You tengoklah kalau
perkara tu berlaku nanti....” Khalid tersenyum gatal ketika
mengerling paha Lily yang terdedah.
Lily yang perasan segera berdiri dan berjalan
meninggalkan Khalid. Biarpun langkahnya tidak teratur,
namun otaknya masih mampu merekodkan semua kata-kata
Khalid tadi.
“Uwek!” Lily menekan dadanya yang terasa perit.
“Biar I tolong gosokkan belakang you Lily. Hai…
kalaulah Wafi ada dekat sini, tak adalah orang lain yang nak
Kapcai Girl vs Encik Superbike
urut belakang you ni. Kesian you Lily.”
“Thanks Khalid,” Lily berdiri tegak semula.
“You boleh drive ke Lily?”
Lily memandang Khalid dengan mata yang
berpinar-pinar. Dia tidak mungkin dapat memandu dalam
keadaan mabuk begitu. Tetapi jangan harap dia nak bagi
peluang kepada Khalid. Bukan boleh percaya sangat dengan
Khalid itu.
“I boleh,” jawab Lily terang.
Khalid terus memegang lengan Lily dengan kuat
dan memapah gadis itu masuk ke dalam kereta. Langsung
dia tidak perasan seseorang sedang memerhatikannya dari
seberang jalan. Sebaik sahaja Lily memandu pergi, dia masuk
semula ke dalam pub dan melayan gadis-gadis berbangsa
asing yang bertenggek di atas pahanya. Malam ini dia mahu
melupakan segala yang berlaku terhadapnya hari ini.

No comments:

Post a Comment