DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 27 June 2016

1st Class Mistress - Bab 7

PUNAT alat kawalan jauh televisyen ditenyeh
geram. Tengah seronok maraton cerita kegemarannya
Criminal Minds, tiba-tiba saja loceng rumah berbunyi.
Jasmine mendengus geram. Baru hendak melayan Derek
Morgan buat siasatan, ada pula makhluk yang dengki.
'Siapa agaknya yang sibuk ganggu aku santai hujung
minggu ni?' Lubang intai digital di tengah pintu diperiksa.
'Eh? Siapa pulak ni?'
“Ya?”
Gadis di skrin gadget tersebut melambai mesra.
Mulut didekatkan ke alat interkom yang disediakan.
“Kak Hannah, kan?”
Angguk.
“Kak! Mak long nak minta tolong kat akak sikit. Saya
Melati Azzahrah!” Jari telunjuk diacukan ke dada.
“Mak long?”
“Ops!” Si gadis menepuk dahi. Menambah kerut di
dahi Jasmine yang semakin bingung.
“Mak long Melati tu Datin Khadijah la. Umi Abang
Yusuf, jiran akak tu. Melati ni adik sepupu dia.” Terang Melati
sambil menunjuk ke muka pintu rumah Yusuf.
Jasmine mengangguk tanda faham. Kombinasi
nombor ditombol ditekan pantas, daun pintu pun terbuka
luas.
Melati senyum lebar. Tangan kanan Jasmine dicapai,
kemudian kekura tangan yang halus itu dikucup hormat.
Terkedu Jasmine dengan tindakan Melati. Tidak pernah
tangannya dicium sebagai tanda hormat.
“Maaf ganggu, kak. Mak long yang minta Melati cari
akak. Mak long cuba telefon akak, akak tak jawab.”
“Aduh! Memanglah tak dapat. Sebab phone akak
tengah cas dalam bilik. Tak dengar.”
“By the way, love your name!”
“Thanks, kak.”
“Mention not, dear. Eh! Masuklah Melati. Mak long,
err... Datin Khadijah nak minta tolong apa ya?”
Melati tergelak lagi.
Menguntum senyum di bibir Jasmine. Anak gadis ini
ceria sangat. Asyik tergelak dan tersenyum. Bahagia sungguh
hidupnya.
Melati menyuakan mangkuk tingkat moden
berwarna hijau ke arah Jasmine. Jasmine geleng kepala tidak
faham.
“Ni bubur ayam kegemaran Abang Yusuf. Anak
kesayangan mak long a.k.a. Abang Yusuf tu tengah sakit,
kak. Sekarang duk terlantar kat rumah dia tu. Mak long tak
dapat nak hantar bubur ayam ni sendiri, tu yang minta Melati
tolong hantar.”
'Oh! Mamat tu sakit rupanya. Patutlah tak nampak
batang hidung dari semalam!'
“Mak long... err... Datin Khadijah kat mana
sekarang?”
“Mak long temankan pak long outstation ke Dubai.”
“Okey, jadi... Melati nak akak tolong apa, ya?”
Melati kenyit mata.
“Abang Yusuf tu, kalau jatuh sakit memang teruk.
Tapi, yang paling teruk... perangai buruk dia yang satu tu,
takut nak makan ubat. Mak long minta Melati pastikan dia
makan bubur ni kemudian makan ubat. Tapi, tak elok Melati
pergi seorang. Tu yang mak long minta akak temankan Melati.
Kata mak long, rasanya akak tak duty hujung minggu ni.”
Barulah Jasmine faham. Amboi! Tua bangka macam
tu pun masih nak manja dengan mak dia lagi? Siap order nak
makan bubur ayam tu!
“Kalau macam tu, jom kita pergi sekarang.”
“Jom, kak.”
Beberapa minit berlalu, setelah menekan loceng
pintu berkali-kali, barulah kelihatan wajah muram Yusuf di
atas skrin digital.
“Siapa?”
Jasmine geleng kepala.
“Akulah. Takkan tak sampai 24 jam kau dah hilang
ingatan pulak? Virus dah menyerang kotak memori kau, eh?”
tanya Jasmine selamba.
Melati yang bersembunyi di tepi pintu menekup
mulut menahan ketawa.
Yusuf buat riak muka selamba. Walaupun kepalanya
berdenyut-denyut, seronok rasanya melihat wajah seorang
ini.
“Identify yourself please.”
Jasmine jongket kening. 'Seriously, Yusuf? Nak
bergurau eh? Okey! Bukan aku yang tengah sakit pun.'
“Jasmine Hannah.”
“Nama penuh?”
“Jasmine Hannah James Abdullah.”
“Ada darah campuran, eh?”
“Haah. Belah papa aku.”
“La... Ya ke? Aku baru tahu. Okey, pekerjaan?”
Jasmine terdiam. Permainan ini rasanya sudah tidak
seronok lagi.
“Come on Yusuf. Buka pintu ni.”
“Jawab dulu.”
Jasmine mengeluh.
“Pramugari.”
“Pramugari? Betul ke ni? Pramugari mampu tinggal
kat tempat mewah ni ke? Ada buat part time tak?”
“Yusuf!”
“Kau prefer santan kelapa tua ke, air kelapa muda?”
Jasmine ketap bibir. Bukan dia tidak perasan riak
Yusuf menahan ketawa. Kurang asam! Tak sedar diri sakit,
nak bergurau pulak! Lengan Melati yang mengekek-ngekek
ketawa ditarik kuat ke muka pintu.
“Jangan nak mengada-ada, sepupu kau dalam tangan
aku ni. Kau nak aku apa-apakan dia ke?”
Yusuf tayang gigi. Geli hatinya melihat gaya Melati
yang ikut saja kerenah mereka berdua.
“Hek eleh. Setakat budak comot tu, buat apa aje yang
kau nak buat. Tak hairanlah.”
“Abang Yusuf! Mengada-ada, eh? Bubur ayam yang
sedap hasil air tangan mak long ni nak kena campak dalam
tong sampah ke? Biar kempunan!” Mangkuk tingkat disua di
hadapan skrin.
Daun pintu pun terbuka. Jasmine dan Melati terus
saja masuk melangkah ke dalam rumah.
“Ni apa ni? Umi hantar ahli kelab bunga-bunga
setaman ke? Jasmine dah ada, ni lagi satu, Melati! Bunga tahi
ayam takde ke?” Melati mengekek ketawa.
Sementara Jasmine yang agak terpesona dengan
pemandangan di dalam rumah itu cuma mampu terlopong.
Langsung dia tidak menyangka rumah Yusuf yang bujang
ini berhias indah. Perabot moden kontemporari kombinasi
warna putih dan merah melatari hiasan dalaman rumah itu.
Sedangkan seluruh rumah itu dilapisi dengan cat berwarna
putih. Suasana jadi damai dan bersih. Sangat memukau!
Jasmine benar-benar terpikat.
“Kau yang hias sendiri ke?”
“Apa?”
“Rumah ni.”
“Tak.”
“Jadi, siapa?”
“Jiran tingkat bawah!”
“Hampeh!” Jasmine menjeling tajam. Meninggalkan
Yusuf yang masih berdiri bersebelahan pintu masuk.
“Teruklah perangai abang ni, dah sakit buatlah cara
sakit. Berlakon jadi detektif pulak. Lepas tu nak ejek nama
orang. Nama kita orang unik tau, kan kak? Ni bubur ayam,
mak long suruh bawakan. Melati bawa ke dapur, pindah ke
mangkuk dulu, ya? Abang makan bubur ni, lepas tu makan
ubat. Hesy... dah tua-tua pun takut makan ubat. Abang...
abang...” bebel Melati panjang lebar.
Yusuf hanya mengangguk perlahan. Tubuh yang
masih lemah direbahkan ke atas sofa mewah berwarna merah
di ruang tamunya. Tubuh pun masih lagi berbungkus baju
kerja. Sayangnya, mesyuarat dengan beberapa orang pelabur
terpaksa ditangguhkan kerana keadaan kesihatan yang tidak
mengizinkan.
Jasmine pula masih tekun berlegar-legar
memerhatikan keadaan sekeliling. Kagum betul dia dengan
cita rasa Yusuf.
'Tak sangka mamat berlagak ni pandai menghias
rumah. Aku dah boleh bayangkan kalau tinggal di rumah
macam ni.' Erk? Seketika, Jasmine baru tersedar. Perhatian
kembali kepada tuan rumah. Ke mana pulak? Aik? Dah tidur?
Patutlah senyap.
Perlahan Jasmine menghampiri Yusuf yang berbaring
tenang dengan mata terpejam rapat. Jasmine memanjangkan
leher mencari kelibat Melati yang sudah hilang di ruang
dapur. Takut nanti tertangkap pula memerhatikan anak
teruna orang. Terunakah? Jasmine tersengih lucu.
Jasmine duduk melutut di sisi Yusuf. Wajah yang
agak tampan itu diamati dengan hati-hati, takut mengejutkan
empunya tubuh daripada lena.
“Hmm... bila tengok dari dekat tengah lena macam
ni, dengan mulut terkatup rapat, langsung tak bercakap, kau
memang nampak lebih kacak.” Leka Jasmine meneliti kening
Yusuf yang agak tebal. Hidung yang mancung itu memang
terletak sempurna. Kulit wajah Yusuf boleh tahan bagus
kualitinya.
'Mesti dia rajin buat rawatan muka. Eh! Haha...
ada parut kecik la kat dahi, antara kedua kening. Ni mesti
parut nakal waktu kecil!' Wajah yang dilatari jambang yang
mula melata, tidak sedikit pun mencacatkan pemandangan
wajah yang tampan ini. Malahan Jasmine berpendapat, Yusuf
tampak lebih segak dengan ‘five o’ clock shadow’nya. Lebih
macho. Ulas bibir merah itu mencuri perhatian Jasmine.
“Bagus juga kalau kau sakit, kan? Mulut ni tak
boleh nak menyindir macam biasa.” Jari telunjuk hampir
menyentuh bibir tersebut. Tiba-tiba saja lengannya dicekup
oleh tangan kasar Yusuf.
“Argh!!!” Bagai hendak pitam Jasmine kerana
terkejut. Mata melihat tangan berbungkus baju-t lengan
panjang yang dicengkam kemas oleh Yusuf.
“Kau belum jawab lagi soalan aku tadi.” Yusuf
merenung Jasmine dalam-dalam. Nada suaranya
menunjukkan betapa seriusnya rasa ingin tahunya itu.
“Soalan? Yang mana satu?”
“Selain seorang pramugari, kau buat apa lagi untuk
cari duit, Jas?” soal Yusuf tenang, kedua keningnya terangkat
spontan.
Jasmine mengeluh. Dia tidak faham apa tujuan
permainan Yusuf ini.
“Yusuf, tolonglah jangan tanya yang bukan-bukan.”
Jasmine cuba menarik lengannya daripada genggaman Yusuf.
Malangnya dia masih gagal.
“Mistress. I am a mistress, Yusuf. Itu yang kau nak
dengar, kan? Puas hati?” jawab Jasmine menahan rasa.
Entah kenapa lancar bibir menuturkan jawapan itu.
Entah kenapa dia rasa yang dia perlu menjawab soalan Yusuf
yang sangat peribadi baginya. Bukannya Yusuf tidak tahu
siapa dia kepada Dato’ Adam. Hubungannya dengan orang tua
itu, orang bodoh kalau nampak pun boleh tahu.
Yusuf gelak mengejek. Dia bingkas bangun
dari sofa. Kata-kata Jasmine sebentar tadi betul-betul
mengecewakannya. Jujur, betapa dia berharap Jasmine
akan memberi jawapan yang lain daripada itu. Rasa sesal
menyelubungi diri.
“On the contrary, aku tak puas hati pun, Jasmine.
Bangganya cara kau jawab soalan aku. Unfortunately, aku tak
nampak apa-apa pun yang boleh dibanggakan oleh kau, sama
ada daripada jawapan itu, ataupun diri kau keseluruhannya.
Being a mistress menyebabkan kedudukan kau pada
pandangan mata aku, jatuh ke tempat yang paling...”
“Paling? Kenapa berhenti? Teruskan Yusuf.” Suara
Jasmine kedengaran bergetar.
“Paling hina...”
Pang!!!
“Aku ingat kau kawan aku. Atau sekurang-kurangnya,
kau tahu bagaimana untuk jadi manusia yang ada perasaan.
Aku silap.”
Pijar tapak tangan selepas melayangkan penampar ke
pipi Yusuf. Jasmine merentap sebelah tangan yang masih di
dalam genggaman lelaki itu. Tanpa membuang masa, kakinya
dibawa berlari keluar menuju ke muka pintu. Terdengar
bunyi esakan mengiringi Jasmine keluar.
Yusuf yang masih terkedu cuma mampu mengurut
perlahan pipinya.
“Tak payah nak sembunyi kat situ, Melati. Abang
nampak.”
Melati pun muncul bersama semangkuk bubur yang
masih berasap. Dia sudah dengar segala-galanya.
“Tak baik abang buat Kak Hannah macam tu. Dia
masuk rumah abang sebab mak long yang minta tolong. Kak
Hannah seorang jiran yang baik. Kenapa nak cari pasal pulak?
Lagipun, apa yang Kak Hannah buat untuk sara hidup dia,
itu perkara peribadi. Abang takde hak untuk masuk campur
apatah lagi untuk judge cara hidup dia.”
“Melati budak lagi. Apa Melati tahu?”
Melati julingkan mata ke atas.
“Oh, yeah? Tapi, berdasarkan perbuatan abang tadi,
Melati rasa abang yang lebih kebudak-budakan!”
Yusuf memejamkan mata, rapat. Ada rasa kesal
dalam hati. 'Yang aku tiba-tiba jadi macam ni, kenapa pulak?
Ni mesti aku masih terbawa-bawa hati yang panas sejak
majlis tempoh hari dan juga hal pagi tadi. Ya, hal pagi tadi.
Ini semua Dato’ Adam punya pasal!'
Oh! Yusuf, pandainya... Sekarang kau nak salahkan
orang lain pulak?
“Aku tak suka kau rapat dengan Hannah, Yusuf.
Tolong jauhkan diri kau daripada dia.” Arah Dato’ Adam
sebaik sahaja dia bersua muka di lobi Hotel Impiana Sutera.
Yusuf terkesima. Matanya meliar melihat keadaan
sekeliling. Mujur ketika itu lobi utama masih lengang.
“Excuse me?” Yusuf langsung tidak menyangka
Dato’ Adam boleh bercakap begitu kepadanya. Tanpa salam,
Dato’ Adam boleh serang dia begitu aje? Panasnya hati!
“Aku dengan Jasmine cuma berkawan, kami kan
jiran? Lagipun, I fail to see kenapa kau nak sibukkan hal kami
berdua.” Yusuf masih cuba untuk berdiplomasi.
Dato’ Adam tergelak kecil, kemudian bibirnya mula
mengoyak senyuman sinis.
“Yusuf, Yusuf... Haih! Macam mana aku nak cakap,
hah? Kau dan aku bukan budak-budak. Aku yakin yang kau
memang dah sedar yang kau mulai jatuh hati kepada Hannah.
Tapi, itu bukan perkara yang perlu aku bimbangkan. Yang
aku bimbangkan adalah kebodohan kau tak boleh terima
kenyataan yang Hannah tu milik aku.”
“Milik kau? Hah! Dah tua-tua masih tak sedar diri,
kan? Kau siapa dengan Jasmine? Suami?”
“Jangan jadi bodoh, Yusuf. Tanpa gelaran suami,
tidak bermakna hubungan kami tidak boleh jadi seperti
suami isteri. Kau dari keturunan yang baik-baik, Hannah tak
sesuai untuk kau. Jauhkan diri daripada Hannah. Itu amaran
pertama dan terakhir aku!”
Yusuf urut kedua pelipisnya. Kepala semakin sakit.
Ingatan tentang peristiwa pagi tadi sewaktu terserempak
dengan Dato’ Adam buat fikirannya semakin terganggu.
Sebenarnya, walaupun Jasmine tidak pernah berterus terang
tentang hubungannya dengan Dato’ Adam, Yusuf bukanlah
naif. Hari pertama bersua muka dengan Jasmine sewaktu di
bilik hotel dulu, sudah cukup buat Yusuf tahu realitinya.
Cuma, entahlah! Akhir-akhir ini, rasanya dia
berharap yang dia mungkin salah faham akan hubungan
mereka. Boleh pulak dia harap yang mereka tu sebenarnya
anak-beranak.
'Hai... Yusuf Dzulkarnain, apa nak jadi dengan kau
ni?' Tangan dibawa ke dahi, rasanya demam dah nak datang
lagi!

No comments:

Post a Comment