DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 3

TIARA menggenggam baju-baju arwah Chi Cha
lalu mengucup baju-baju itu berulang kali. Baju kartun Dora
kesukaan anaknya itu diusap perlahan-lahan di atas katil. Air
mata Tiara bergenang mengingati detik-detik bersama Chi
Cha, semuanya masih kuat dalam lipatan kenangan. Tiara
pandang jauh ke bawah bangunan flat. Tiara nampak dengan
jelas tempat dia dan Chi Cha berniaga burger setahun lalu.
Tiba-tiba kenangan pada hari terakhir dia berniaga di situ
menjengah.
“Chi Cha, jangan main plastik tu. Kotorlah dik!”
“Chi Cha nak uwang la ni kak.”
Tiara tersenyum mendengar jawapan Chi Cha.
Bahang panas dari tempat menggoreng daging burger makin
kuat terasa. Peluh jernih dari dahi putih Tiara hampir sahaja
menitis di pipi. Cepat-cepat Tiara sapu dengan kain tuala yang
diletakkan di atas bahunya. Jawapan Chi Cha itu memang
sudah diduga. Memang selalu begitu.
“Chi Cha nak makan tak?” soal Tiara walaupun
tahu perut adiknya itu masih kosong. Tadi sebelum turun
berniaga, Cha Cha langsung tidak mahu makan nasi. Tiara
kasihan melihat Chi Cha. Bukan Chi Cha mengada-ada tak
mahu makan di rumah, tetapi emak selalu garang sahaja
dengan Chi Cha. Salah sikit sahaja, terus ditengkingnya
Chi Cha. Berair kelopak mata Tiara apabila teringat hal itu.
Sampai bilalah emak mahu membenci Chi Cha itu agaknya?
“Chi Cha nak bendo,” minta Chi-Cha dengan wajah
yang comel.
Tiara tersenyum sambil menggeleng kepalanya.
Disapunya air yang bergenang tadi biar hilang.
“Bendo, bendo. Bukan bendolah dik. Benjo. Ikut
kakak sebut… Ben… joo,” muncung panjang bibir Tiara
apabila menyebut perkataan itu. Sudah banyak kali dia
mengajar Chi Cha menyebut nama makanan itu namun Chi
Cha tetap juga dengan telornya.
“Ben... do,” ulang Chi-Cha.
“Ben… joooo....”
“Ben... doooooo,”
“Cik, bagi burger daging special dua.”
Pantas Tiara paling ke arah pelanggan yang tiba-tiba
sahaja muncul itu. Namun Tiara tidak pula memandang
wajah pelanggan lelakinya itu.
“Ah, baik. Tunggu sekejap ya,” jawab Tiara ramah.
“Cantik, cantik pun jual burger.”
Tiara tergamam apabila mendengar kata-kata lelaki
berjaket hitam di hadapannya. Ini kategori puji ke perli ni?
Namun Tiara tetap buat tak tahu. Tiara memang begitu
selalu. Kalau ada pelanggan lelaki yang mahu tegur-tegur
dan beramah, dia akan tunduk dan menyibukkan diri.
Berpura-pura tidak dengar lagi baik baginya.
Syed Wafi tidak puas hati. Dia mengacip giginya.
Kenapa gadis penjual burger tidak terkesan dengan
pujiannya? Syed Wafi terus merenung gadis penjual burger di
sebalik kaca mata hitamnya. Namun tiba-tiba dia terpandang
seorang budak kecil di belakang gadis itu.
“Anak ke?” soal Syed Wafi.
Tiara yang asyik menyusun daun salad di atas roti
terkejut sekali lagi. Laju matanya mengerling Chi Cha di
belakang. ‘Sibuk aje nak tahu. Nak beli burger ke, nak soal
siasat aku ni? Dahlah pakai cermin mata hitam. Nyanyuk!
Tengah-tengah malam pun nak bergaya. Ingat dia tu siapa?
Cyclops?’
“Awak ni sombong ek? Dari tadi saya bersembang
dengan awak tapi awak buat tak tahu aje. Nak kata pekak,
takkanlah kut!”
‘Huh! Dia ingat aku ni apa?’ Tiara tersenyum sinis.
“Saya ni tengah masak. Tak sesuai pulak kalau nak
bercakap. Nanti terpercik air liur saya atas daging burger ni,
makin sedap pula jadinya.”
“Biarlah nak terpercik, bukannya saya nampak pun!”
Tiara hairan mendengar jawapan balas lelaki di
hadapannya.
‘Dah kenapa dia ni? Awek dia yang hot tu tak marah
ke dia bersembang dengan aku ni? Kenapa angin semacam
aje mamat ni? Bergaduh dengan awek dia tu ke?’ Sempat
Tiara memandang seorang wanita yang boleh tahan seksinya
berdiri di sebelah motosikal besar berwarna hitam. ‘Fuh!
Motosikal dia hebat betul! Huii… dahsyat, dahsyat....’
Syed Wafi menoleh ke arah motosikalnya.
“Dia tu bukan awek saya, tau!”
Huh! Dia tak tanya pun. Tiara cepat-cepat membalut
burger yang sudah siap lalu dimasukkan ke dalam plastik.
Entah kenapa, waktu ini rasa menyampah dan meluat kepada
lelaki berjaket itu makin meninggi. Kalau boleh, mahu
sahaja Tiara menghalau lelaki itu. Dah sah-sah lelaki itu
kaki perempuan. Tiara menghulur plastik berisi burger yang
sudah siap dimasak kepada lelaki berjaket hitam tersebut.
“Berapa ni?” soal Syed Wafi sambil mengeluarkan
dompet dari kocek seluar jeannya.
“Sepuluh ringgit,” jawab Tiara bersahaja.
Syed Wafi mengeluarkan sehelai duit kertas lima
puluh ringgit lalu dihulur kepada Tiara.
“Duit kecik tak ada ke?”
“Duit tu dah kira keciklah pada saya.”
‘Huh! Kerek punya mat motor!’ Ejek Tiara dalam
hati. Geram pula Tiara dengan perangai berlagak lelaki itu.
“Hurm… tunggulah saya tukar ‘duit kecik’ ni kejap
ek,” balas Tiara geram.
“Baki tu bagi aje dekat adik kecil yang comel tu.
Bye!”
Tiara hanya mampu terdiam. Duit kertas lima puluh
ringgit di atas tapak tangannya direnung lama. Lelaki tadi
pula sudah lama pergi dengan motosikal besarnya.
“Huh, nak menunjuklah tu!” cemuh Tiara lalu
meluru mendapatkan Chi Cha.
“Chi Cha, hari ni hari terakhir kita meniaga burger
tau. Esok kakak kerja dekat tempat lain pulak. Lepas ni Chi
Cha main dengan Abang Fairuz pulak ya. Kakak kena kerja
jauh,” Tiara mengusap kepala Chi Cha dengan penuh kasih
sayang. Dia mengucup kepala Chi Cha sambil merenung
gerai burgernya. Sudah setahun dia berniaga di situ bersama
Chi Cha. Malam ini adalah malam terakhirnya. Esok Tiara
akan mula bekerja secara sambilan di tol lebuh raya.
“Hurm….” Tiara menghembus nafasnya perlahan.
Kalau tidak kerana Chi Cha, sudah lama dia hidup tidak
tentu arah. Tetapi sekarang Chi Cha sudah tiada. Entah dia
boleh kuat atau tidak hendak mengharungi hidupnya. Tiara
memejamkan matanya yang kuyup. Kenangan lalu juga terus
ditutup.
SYED WAFI termenung lama sambil memandang ke luar
cermin bangunan. Pandangannya jauh menjangkaui hutan
konkrit di hadapan. Tiba-tiba Syed Wafi meraba pipi kirinya
yang pernah merasa tumbukan seorang gadis. Sudah beberapa
hari dia menunggu gadis tol itu, namun gadis yang dicari tak
juga muncul-muncul.
“Mana kau pergi hah? Kenapa kau tak kerja? Kau
mesti rasa balik apa yang aku rasa sekarang ni,” luah Syed Wafi
sambil mengecilkan matanya. Sakit hatinya sudah meresap
ke kepala dan jiwanya. Belum pernah ada wanita yang berani
naik tangan ke mukanya. Maruahnya benar-benar seperti
dipijak-pijak oleh wanita itu.
“Hello buddy….”
Syed Wafi menoleh ke arah pintu masuk pejabatnya.
“Kenapa muka kau monyok aje ni? Kau ada masalah
ke?” soal Khalid sambil tersenyum-senyum.
Syed Wafi melangkah perlahan dan duduk di atas
kerusi. Dia merenung wajah Khalid.
“Aku tak ada masalah. Tapi ada orang yang sengaja
cari masalah dengan aku,” ujar Syed Wafi.
“Huh? Apa maksud kau? Jangan cakap awek-awek
kau tu yang cari masalah dengan kau pulak? Tak pun, ada
orang tak puas hati dengan kau? Beritahulah aku. Mana tahu
aku boleh tolong.”
Syed Wafi terdiam seketika. Entah dia mahu
berterus-terang atau tidak. Kalaulah penjelasannya itu boleh
buat Khalid ketawa terbahak-bahak sampai tak ingat dunia,
lebih baik tak payah. Tapi kalau Khalid boleh tolong mencari
maklumat tentang gadis yang berani mengayun penumbuk
ke pipinya itu bagus juga. Lebih cepat dia jumpa gadis itu,
lebih baik. Cepat sikit dia boleh balas dendam.
“Wafi, kau okey ke ni?” Melihat Syed Wafi diam,
Khalid yakin, pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran
temannya itu.
“Hurm… tak apalah Khalid. Aku boleh settle sendiri.
Bukan teruk mana pun.” Syed Wafi tersenyum hambar.
Kalaulah Khalid tahu dia kena tumbuk dengan seorang gadis,
mahu tersebarlah cerita itu ke setiap ceruk bangunan dua
puluh tingkat ini. Malu besarlah dia.
Tak mungkin dia mampu nak tebalkan pipinya yang
sememangnya nipis itu. Malah dia langsung tidak percaya
kepada Khalid. Mulut Khalid boleh tahan juga kalau bab
bergosip.
“Kalau kau dah cakap macam tu nak buat macam
mana, kan? Oh ya, malam ni kau nak pergi club tak? Dah
beberapa malam kau tak datang, kawan-kawan semua tanya
pasal kau.”
Syed Wafi menarik nafasnya.
“Aku ada hallah malam ni, Khalid. Aku tak boleh.”
“Hii… kau ni bosanlah. Tak ada kau mana best.”
“Kau tak best? Selama ni kau tak best ke?” sindir
Syed Wafi. Berani pula Khalid berkata begitu sedangkan
dia sudah berkahwin. Daripada melepak dekat club malam
dengan wanita-wanita yang bukan mahram itu, lebih baik
melayan isteri yang baik dekat rumah. Tapi Khalid lain pula.
Syed Wafi menggeleng kepalanya, pelik dengan sikap
Khalid. Kalau dia hendak tegur, takut dia yang terkena balik.
Dia pun lebih kurang sama saja dengan Khalid. Malah dia
lebih teruk agaknya.

No comments:

Post a Comment