DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

Semusim Kasih - Bab 1

SEDANG enak dibuai mimpi, terasa bahunya
digoyang beberapa kali. Olynn menggeliat dan seketika
kemudian dia kembali memejamkan mata. Tidak puas hati,
si pengacau lena Olynn menarik-narik pula ibu jari kakinya.
“Olynn, bangun!!! Kau tak nak pergi kerja ke?”
Terpisat-pisat Olynn buka mata. Aduhhh!!! Malas sungguh
dia mahu bangun dari katil bujangnya di pagi yang sungguh
dingin ini.
“Pukul berapa dah?” Kelopak mata separuh
terbuka. Olynn bertanya kepada Nadia yang sedang berdiri
bercekak pinggang di sisi katil. Nadia tunjuk muka garang
mengalahkan mak tiri.
“Dah pukul tujuh. Aku tahu kau tengah uzur, tapi…
kau ada masa tiga puluh minit aje untuk siap. Kalau tak…
sendiri naik bas!” ugut Nadia dan serta-merta mata Olynn
terbuka luas.
“Weh… janganlah macam tu! Kau sayang aku, kan?”
Nadia tidak membalas, sebaliknya terus bangun
ke pintu dan merapatkan kembali daun pintu. Sekilas dia
senyum kecil. Sengaja dia menyakat si ‘Puteri Pelepah
Pisang’, suka berangan lama di dalam bilik air. Berangan nak
kahwin dengan anak raja agaknya si Olynn tu!
Kelam-kabut Olynn ke bilik air dan bersiap sepantas
yang mungkin. Bimbang akan ditinggalkan Nadia. Bukan
mudah baginya untuk berebut dan bersesak-sesak dengan
penumpang bas yang padat setiap hari. Olynn juga serik
diraba lelaki warga Bangladesh yang miang. Sudahlah bau
badan mereka itu semua boleh bikin dia pening kepala sehari
suntuk.
Cukup tiga puluh minit, Olynn menuruni anak
tangga dan capai kasut. Mujurlah dia jenis yang tidak perlu
berdandan lama di depan cermin. Cukup sekadar mengoles
lipstik warna samar dan juga bedak compact diratakan ke
seluruh muka untuk tidak kelihatan terlalu pucat.
“Nasib baik sempat. Lagi lima minit kau lambat tadi,
babai ajelah!”
Olynn mencemik. Memang Nadia selalu merungut
dengan kelewatannya, tapi Olynn tidak pernah ambil peduli
dan menganggap itu hanyalah gurauan. Sejak di sekolah
menengah, sampailah sekarang mereka bekerja satu pejabat,
Nadia sudah arif dengan kerenahnya yang sungguh liat untuk
bangun pagi.
“Aku tahu kau bukan kejam sangat! Budak berdua
tu dah pergi ke?” Olynn merujuk pada dua orang lagi rakan
serumah mereka yang masih menuntut di sebuah kolej
berdekatan.
“Dahlah kut, senyap aje. Jomlah! Tak larat aku nak
tekan pedal minyak kalau jalan jam nanti.” Nadia capai kasut
yang tersusun di rak. Dikerlingnya Olynn yang manis berbaju
kurung biru hari ini.
“Aku nak tolong drive, kau tak kasi.”
“No... no... no! Jangan harap! Aku tak berani. Kau
tu, langkah tangga pun boleh tersadung, ini pulak nak bawak
kereta aku.” Hehehe... terkadang Olynn itu didatangi perangai
cemerkap, tetapi bukannya selalu sangat. ‘Kadang-kadang’
sahaja.
“Aku ada lesen ‘ori’ tau! Tak pernah pulak aku
accident kat mana-mana lagi.” Olynn faham yang Nadia
cukup teliti menjaga setiap harta kepunyaannya hatta
barang-barang kecil sekalipun. Bagi Nadia, setiap yang
dimiliki amat bermakna buat dirinya dan akan dijaga selama
yang mungkin.
Sesampai di pejabat, tinggal hanya dua puluh minit
lagi untuk memulakan tugas. Tanpa membuang masa, Olynn
dan Nadia ke pantri. Dua mug Milo panas Olynn bancuh
untuk mereka berdua. Nadia tadi sempat membeli nasi lemak
di gerai tidak jauh dari bangunan pejabat. Usai bersarapan,
Olynn terlebih dulu tinggalkan pantri untuk ke meja kerjanya.
SEMENTARA MENUNGGU nasi ayam dan juga air buah yang
mereka berdua pesan tiba ke meja, Olynn ralit memerhatikan
orang ramai yang mula berpusu-pusu masuk ke restoran
yang sama. Maklumlah sekarang sudah pukul 1.15 petang,
waktu puncak bagi pekerja seperti mereka keluar untuk
mengisi perut.
Nadia ralit menyelak helaian demi helaian majalah
hiburan yang baru dibeli di Seven Eleven tadi. Tiba di satu
ruangan iklan, matanya terpaku. Mulutnya terkumat-kamit
membaca bait-bait perkataan yang menguja hatinya. Lantas
dia berpaling ke sebelah. Laju saja lengan Olynn dicuit.
“Olynn, cuba kau tengok iklan ni!”
“Apa tu?”
“Ni… ada uji bakat reality show.”
“Alah... apa nak dihairankan? Berlambak-lambak
dah reality show kat TV sekarang.” Omel Olynn tanpa mahu
memandang tulisan di majalah yang dipegang oleh Nadia.
“Yang ni lainlah. Bukannya nyanyian ataupun tarian
tau.” Geram juga hati Nadia apabila Olynn langsung tidak
berminat mahu ambil tahu apa yang cuba disampaikannya.
“Habis tu, apa?” Malas sungguh Olynn mahu
membaca apa yang tertulis di naskhah itu buat masa ini.
“Rancangan realiti TV Pilihan Hati. Kau dengar ni...
‘seorang lelaki bujang mencari seorang gadis untuk dijadikan
teman hidup. Terbuka untuk gadis-gadis dari umur sembilan
belas tahun dan ke atas’.” Bersungguh-sungguh Nadia
membaca iklan yang tertera.
“Eh... Dulu kan dah pernah ada kat TV3? Dah lama
dah… apa tu? Err... kalau tak silap aku, ‘Mencari Cinta’
tajuknya,” Olynn menjawab sambil mencongak-congak. Cuba
memerah otak mengingatinya. Dia cukup yakin dengan tajuk
yang baru disebutnya tadi.
Olynn masih ingat lagi dengan rancangan realiti
‘Mencari Cinta’ sewaktu dia masih lagi di sekolah menengah.
Walaupun tidak berapa mengikuti rancangan di TV3 yang
bersiaran setiap minggu itu, serba sedikit dia ambil tahu
juga. Sebabnya, itulah kali pertama kisah mencari jodoh
disiarkan di kaca TV. Memang agak janggal apabila seorang
gadis Melayu yang penuh adab dan sopan mencari pasangan
hidup. Bagaikan perigi mencari timba pula rasanya.
“Yalah, aku pun tahu pasal rancangan tu. Dulu,
perempuan cari pasangan hidup. Yang ni pulak, lelaki. Eh!
Aku macam pernah dengarlah nama lelaki ni... Tengku Budriz
Aizuddin Tengku Mahmood. Dahsyat tu!” Nadia menekankan
suaranya saat menyebut nama hero rancangan realiti itu.
“Apa nama dia? Panjang giler!” Mendengar nama si
hero, barulah Olynn tampak berminat.
“Yang Mulia Tengku Budriz Aizuddin.” Nadia
mengulangi sekali lagi.
Terangkat kening Olynn. ‘Tengku?’
“Peliknya! Kan ramai anak-anak raja kat Malaysia
ni? Takkanlah sorang pun Tengku tu tak boleh pilih untuk
jadikan pasangan hidup dia? Buat apa susah-susah nak masuk
rancangan realiti?” Olynn panjangkan leher ke kolum yang
dibaca oleh Nadia.
“Saja kut, stesen TV yang tak berapa popular tu nak
naikkan rating dia.” Komen Nadia kedengaran logik juga.
Olynn angguk kecil.
“Agaknya la... kira boleh diguna pakai la alasan
kau tu. Kita tengoklah nanti sambutan rancangan realiti tu
macam mana. Aku rasa, mesti berderet perempuan nak cuba
nasib. Kalau menang, boleh jadi pasangan ‘Tengku’. Siapa tak
bangga beb...” Olynn menjawab sambil tergelak-gelak.
“Olynn, apa kata kau cuba uji bakat tu. Kau cantik,
apa?”
“Hah? Aku?” Jari telunjuknya dihalakan ke wajah
sendiri. ‘Nadia ni, biar betul?’
“Ya... apa salahnya?” Nadia tak berkelip pandang
Olynn.
“Kau gila? Langsung tak masuk dek akal! Aku
bukannya pandai bergaya. Kalau kau cabar aku, aku heret kau
sekali, amacam?”
“Aku ni kulit rentung. Tak macam kau, putih
melepak.” Pantas Olynn tarik majalah hiburan tempatan di
tangan Nadia dan membacanya baris demi baris.
“Hah! Aku baca, kau dengar tau! ‘Calon-calon
mestilah seorang yang cerdik, berketerampilan menarik,
dan punya ciri-ciri kewanitaan yang asli’. Kau ingat, aku ada
semua tu?”
PINTU BILIK yang sememangnya terbuka diketuk Nadia.
Olynn yang sedang ralit mencoret di dalam diari, mendongak.
“Assalamualaikum! Kau tengah sibuk ke sekarang?”
Salam Nadia Olynn sambut bersama senyuman. Apa kenalah
kawannya itu, tersengih-sengih saat melangkah masuk ke
biliknya.
“Tak adalah sibuk mana. Ada apa?”
“Esok kita pergi Times Square, nak?” Nadia cuba
memancing. Memang dia berniat mahu paksa Olynn sertai
uji bakat rancangan realiti Pilihan Hati.
“Nak buat apa?” Pelik juga Olynn dengan ajakan
Nadia yang tiba-tiba. Selalunya Berjaya Times Square
bukanlah tempat kegemaran Nadia untuk membeli-belah.
“Kau ingat lagi tak, pasal rancangan realiti Pilihan
Hati? Esok ada uji bakat kat situ, tau.”
“Ermmm, malaslah! Esok, aku ingat nak kemas bilik
aku ni,” Olynn mencari alasan. Tak kuasa mahu berasak-asak
di tempat yang sudah tentu menjadi tumpuan orang ramai
esok.
“Alah... kemas bilik kecik ni, bila-bila masa aje
boleh buat. Aku nak sangat tengok Tengku Budriz tu, mesti
handsome giler.”
Olynn angkat kening. Sejak bila Nadia begitu
berminat dengan selebriti? Ini bukan perangai Nadia ni!
“Macamlah kau tak pernah tengok lelaki kacak. Kat
pejabat kita ramai apa lelaki yang ganteng-ganteng. Kau aje
yang buta mata.” Olynn tergelak, cuba membuat lawak yang
tak berapa kelakar.
“Lelaki-lelaki kat opis tu? Semua tak ada ciri-ciri
lelaki sejatilah! Sorang pun tak ada kriteria yang layak dibuat
suami.” Nadia cuba mengingati satu per satu kawan sepejabat
mereka yang berlainan jantina. Ah!!! Seorang pun daripada
mereka tiada yang menarik hatinya.
“Amboi kau ni, sesedap rasa aje mengutuk orang.”
Ujar Olynn membidas kritikan Nadia itu.
“Macam ni la... kalau aku cabar kau cuba uji bakat
tu, ada berani?” Mendengar cabaran Nadia, Olynn yang masih
berbaring terus saja duduk tegak.
“Nak cabar aku? Ada hadiah ke?” Bibir sudah senyum
herot. ‘Nak cabar ya? Hehehehe...’
“Mestilah ada. Kalau kau berani, aku belanja prepaid
top-up kau untuk tiga bulan. Lima puluh ringgit sebulan.
Amacam?” Wah... bukan main lagi si Nadia ni! Bersungguh
benar dia.
“Betul ni? Serius?”
“Aku serius la. Kau ada package. Rugi tau, kalau kau
tak ‘cuba-try-test’!” Kalau tak lepas uji bakat pun, aku belanja
steamboat kat Johnny's.”
“Okey set! Kau jangan menyesal...” Olynn jongket
sebelah bibir, tersenyum sumbing kepada Nadia. Dengar dapat
makan steamboat free, terus berkobar-kobar semangatnya.
‘Alah… belasah sajalah! Tak terpilih pun no hal,
bukannya aku rugi apa-apa.’ Desis hati Olynn.
“Aku tak menyesal punya. Aku takut kau yang bakal
‘terjatuh cinta’ pada Tengku Budriz tu. Dengar-dengar... dia
tu hot & spicy.”
‘Wahahaha... hot & spicy? Macam ayam goreng KFC
aje,’ detik hati Olynn.
“Huh! Aku uji bakat sebab nak sambut cabaran kau
aje. Tak kuasa aku nak berangan jatuh cinta tergolek dok
dengan kerabat diraja.”
“Jangan bongkak. Esok-esok kau yang cair tengok
dia.”
Terjongket kening Olynn.
“Tengok kaki la. Bukan senang tau, aku nak jatuh
cinta kat orang. Okey, kita pergi esok. Tapi tak boleh janji,
entah-entah sampai sana nanti, aku tukar fikiran.”
Nadia senyum meleret tanda berpuas hati dengan
persetujuan Olynn. Dia yakin dengan firasatnya yang Olynn
bakal terpilih.
BEGITU SESAK ruang legar Berjaya Times Square hari
ini. Berpinar mata Olynn melihat barisan gadis-gadis yang
beratur panjang untuk pendaftaran. Berlingkar-lingkar
hingga ke tangga eskalator.
“Nad... ramainya! Larat ke nak beratur? Kau
tengoklah semua yang datang tu. Semuanya vogue giler
kau. Errrr... tak jadilah!” Olynn pusingkan badan dan mahu
cepat-cepat keluar dari celah orang ramai.
“Eh, mana boleh! Kita dah datang penat-penat ni.
Tak apa, aku temankan kau beratur.” Nadia tolak juga tubuh
kecil molek Olynn memasuki barisan dan sekejap sahaja,
ramai lagi gadis-gadis yang ingin mencuba nasib beratur di
belakangnya.
Suasana hingar-bingar seperti ada pesta sedang
berlangsung. Anak mata Olynn mencari-cari kelibat Yang
Mulia Tengku Budriz Aizuddin yang menjadi agenda utama
mereka hari ini. Manalah tahu dia boleh main kenyit-kenyit
mata ke. Amboi! berangan tak nak kalah.
Hampir tiga puluh minit beratur, barulah tiba
giliran Olynn sampai di meja pendaftaran. Nasib baik, kalau
lama lagi kena beratur, harus kejang betisnya.
“Ada bawa kad pengenalan?” tanya petugas di meja
pendaftaran.
“Ada... ada... sekejap ya encik.” Kelam-kabut
Olynn cari kad pengenalan di dalam beg silang di bahunya.
Kad pengenalan diserahkan. Seketika Olynn pelik apabila
lelaki itu merenungnya tajam dan kemudian meneliti kad
pengenalannya semula.
“Ailyn Batrisya binti Mokhtar?” tanyanya dengan
dahi yang berkerut.
“Ya, saya.”
“Saya ingat awak ni Chinese. Tak mengapalah, sila
ke sebelah kanan. Kami mahu ambil gambar awak.” Olynn
angguk lantas bergerak ke tempat yang ditunjukkan.
Agak kekok untuk Olynn beraksi di depan kamera
kerana dia langsung tidak pandai bergaya. Apatah lagi apabila
mendapati begitu ramai yang menonton walaupun mereka
bukannya calon-calon yang bakal diuji bakat.
“Miss... senyumlah sikit.” Satu suara menegur Olynn
tidak jauh dari tempat dia berdiri. Seorang pemuda berkulit
sawo matang dengan cap di kepala melemparkan senyuman.
Olynn balas senyumannya dengan hambar. Mungkin lelaki
itu penyelia photo shoot di situ. Pipinya dipenuhi jambang
kasar tapi kemas. Namun begitu, kelihatan agak menarik di
mata Olynn.
Entah mengapa, senyuman yang tidak lekang
daripada lelaki misteri itu menghantar getar ke dadanya.
Daripada senyuman hambar, senyuman manis Olynn ukirkan
dan matanya tidak lepas daripada memandang pemuda itu
yang betul-betul berada di sebelah jurugambar.
“That’s good, nice smile.” Dia memuji lagi.
Serentak sebelah tangan Olynn menekup mulut
dan tertawa kecil. Tersedar yang dia berada di depan kamera,
cepat-cepat Olynn alihkan tangannya dan memberikan pose
yang terakhir.
Hanya itu sahaja setakat ini. Mendaftar dan disuruh
bergaya di depan kamera. Melihat barisan panjang gadis-gadis
yang mahu mendaftarkan nama, terasa menyesal pula
menyahut cabaran Nadia. Sepatutnya, pada hari minggu
begini dia boleh saja bersantai-santai menonton TV atau
bermalas-malasan di katil. Barulah sekarang terasa lenguh
betisnya akibat terlalu lama berdiri. Olynn bersandar di tepi
tiang sementara Nadia sedang khusyuk dengan tablet di
tangan. Tidak hiraukan Olynn yang canggung kebosanan.
Setelah satu jam lebih menunggu, barulah
kedengaran pengumuman di atas pentas.
“Selamat petang dan selamat datang pada semua.
Para hadirin sekalian, dengan ini saya memaklumkan
pendaftaran sudah pun ditutup sebentar tadi. Saya Rusman,
wakil dari Nusa TV mengucapkan terima kasih dengan
sambutan yang luar biasa hari ini. Untuk pengetahuan
semua gadis-gadis yang mendaftar di kaunter tadi, gambar
yang telah siap di tangan calon-calon hendaklah dikepilkan
bersama borang butiran diri yang akan diberikan sekejap
lagi. Tetapi...” Pengacara bernama Rusman berhenti berucap
seketika dan kemudian matanya menyoroti hadirin di bawah
pentas.
“Kepada para gadis yang telah mendaftar, sila ambil
perhatian. Hanya dua puluh borang sahaja akan diserahkan.
Bererti, hanya dua puluh sahaja calon peserta akan terpilih
untuk hari ini. Sekiranya nama anda tidak dipanggil,
bermakna anda tidak layak untuk mewakili Zon Tengah.
Daripada dua puluh orang ini pula, kami akan senarai pendek
dua puluh orang calon dari seluruh negeri dan hanya dua belas
orang finalis yang akan berentap untuk memenangi hati Yang
Mulia Tengku Budriz Aizuddin.” Panjang lebar pengacara itu
menerangkan cara pemilihan calon-calon rancangan realiti
seumpama ini yang bakal disiarkan di kaca TV.
“Untuk gadis-gadis yang hadir hari ini. Maaf jika
ada yang tertanya-tanya di manakah gerangan Yang Mulia
Tengku Budriz Aizuddin. Beliau tidak ada bersama-sama kita
hari ini. Tunggu kemunculan beliau di episod yang pertama
nanti.” Terdengar suara-suara keluhan dari segenap sudut
yang begitu teruja untuk melihat sendiri hero utamanya.
Hingar seketika ruang legar itu.
“Tanpa melengahkan masa, saya akan umumkan
dua puluh orang gadis bertuah yang terpilih untuk hari ini.
Nama-nama yang akan disebutkan, sila naik ke atas pentas.”
Hingar tadi kini bertukar sepi. Jika dijatuhkan duit syiling ke
lantai, mungkin boleh kedengaran bunyi ‘ting’.
“Diumumkan calon yang pertama. Cik Saliha Anida
binti Sulaiman.” Riuh sebentar dengan jeritan kumpulan
berdekatan si gadis dan tepukan gemuruh kedengaran.
Dengan bangganya gadis bernama Saliha naik ke pentas
untuk menerima borang butiran diri daripada wakil Nusa TV
yang sedia menunggu di sebelah pengacara.
Dan dengan itu, seorang demi seorang dipanggil
naik diiringi tepukan dan sorakan penonton. Sepuluh orang
gadis cantik dan menawan sudah pun naik ke pentas. Pelbagai
ragam dan gelagat mereka yang kegirangan menyambut
borang yang dihulurkan.
“Macam tak ada harapan aje. Steamboat kat Johnny's
jangan lupa. Aku dah mula lapar ni.” Olynn berbisik di telinga
Nadia.
“Tunggulah dulu. Baru sepuluh orang tu, mana tahu
kejap lagi nama kau naik.” Nadia seakan yakin yang Olynn
bakal terpilih.
“Penat dah la nak tunggu. Jom blah.”
“Cool beb... tunggu dan lihat. Jangan takutlah,
steamboat tu tak lari punya. Lepas ni, kau makanlah
puas-puas.”
“Seterusnya diminta Cik Ailyn Batrisya binti Mokhtar
untuk naik ke pentas.”
Hah? Olynn terpinga-pinga. Nadia goyangkan lengan
Olynn yang masih terpaku setelah namanya dilaungkan.
“Olynn, nama kau!” Olynn masih pegun, terperanjat
yang amat sangat. Dia terpilih antara ratusan gadis yang
datang untuk uji bakat ini? Tak mungkin!
Sekali lagi Nadia tolak tubuh Olynn untuk bergerak
ke tangga di hujung pentas. Dengan langkah gementar,
Olynn menghampiri pengacara dan lelaki di sebelahnya
menyerahkan borang kepada Olynn. Kilauan kamera
menyilaukan pandangan. Lutut Olynn bengkokkan sedikit,
menunduk hormat dan ucapkan terima kasih.
Ketika Olynn mahu turun dari pentas, di hujung
tangga Olynn terpaku. Pemuda berjambang yang memakai
cap sebentar tadi, tersenyum lebar sambil menganggukkan
kepala. Ibu jarinya dinaikkan ke atas. Sekejap sahaja dia
mampir di hadapan Olynn.
“Saya cukup yakin yang awak akan terpilih, Cik
Ailyn. Jumpa lagi!”
Olynn angguk tanpa bicara. Hanya senyuman Olynn
lemparkan kepada lelaki itu. Hatinya pantas berbisik.
‘Tak dapat Tengku Budriz, dapat mamat ni pun…
okey jugak, kan?’ Olynn senyum sendiri dan melangkah ke
arah Nadia yang sedia menanti.
“Tak sia-sia kita datang. Lepas ni glamorlah kau,
masuk TV.”
“Habis tu, kerja aku macam mana?”
“Kau applylah cuti tanpa gaji.”
Wah, wah, wah! Macam senang saja Nadia usulkan
cadangan. Cuti tanpa gaji? Habis tu, dia nak makan apa?
Pasir?
Olynn jeling kawan baiknya sekilas. Perutnya sudah
berkeroncong. Olynn tarik lengan Nadia ke Johnny’s seperti
yang dijanjikan Nadia.

No comments:

Post a Comment