DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 9

SEPASANG mata tua miliknya dikecilkan.
Penglihatan yang kabur di atas faktor usia itu menghalangnya
untuk melihat objek dengan lebih jelas. Farha ke? Tapi, siapa
pulak lelaki di sebelahnya itu? Umi Kalthum bersoal jawab
sendiri seraya meletakkan penyapu lidi ke atas tanah.
“Nek!” Farha menerpa ke arah neneknya yang baru
sahaja selesai menyapu halaman rumah.
“Farha???” Umi Kalthum membuntang mata.
Kepulangan Farha dalam masa terdekat ini langsung tidak
diduga. Kali terakhir cucunya pulang adalah pada dua bulan yang
lepas. Tempohnya sangat singkat kalau hendak dibandingkan
dengan sebelum-sebelum ini.
“Ya, nek. Farha balik ni,” segera dia memeluk erat tubuh
sang nenek. Pelukan itu juga sebenarnya boleh memberikan
sedikit kelegaan buatnya yang kini sedang menanggung satu
bebanan.
Wadi Ridhuan yang menjadi pemerhati, tiba-tiba
berdehem. Apabila melihat keakraban yang terjalin di antara
kedua beranak itu, dia tersenyum.
“Kamu ni siapa? Apa hal pulak cucu aku balik ke
sini dengan kamu?” Umi Kalthum menyoal keras. Kelibat
seorang lelaki muda yang pulang bersama si cucu tersayang
menimbulkan tanda tanya dan mencuit sedikit rasa amarah.
Farha yang hampir-hampir sahaja terlupa dengan
kehadiran Wadi Ridhuan, segera meleraikan pelukan.
Kemudian, dia berpaling seraya melemparkan senyuman
hambar kepada lelaki itu.
“Nek, ini Encik Wadi. Dia ni anak kepada Dato’ Wan
Chik, majikan Farha tu,” Farha memperkenalkan Wadi Ridhuan
kepada neneknya.
Tanpa menunggu walaupun sesaat, Wadi Ridhuan terus
melangkah rapat ke arah Umi Kalthum untuk bersalam. Belum
pun sempat dia mahu menghulurkan tangan, Umi Kalthum
sudah membuka mulut.
“Ooo... mentang-mentanglah kamu ni anak kepada
orang kaya tu, kamu fikir senang-senang ke kamu boleh ikut
cucu aku balik kampung? Apa orang kampung akan cakap kalau
ternampak cucu aku ni naik kereta dengan kamu? Hah? Kamu
tahu tak ini kampung apa? Ini kampung Tok Kenali. Kampung
ni tak sama dengan tempat kamu. Hormatlah sikit!” Marah Umi
Kalthum tiba-tiba.
Tidak ada angin tidak ada ribut, percuma sahaja Wadi
Ridhuan dimarahi begitu. Dia menelan air liur. Kalau beginilah
penerimaan awal daripada nenek Farha, sanggupkah dia mahu
menceritakan perkara sebenar mengenai hajatnya ke situ?
Aduh! Wadi Ridhuan menggaru kepala.
Dia tahu ini adalah kampung Tok Kenali. Masuk ke
simpang itu tadi dia sudah nampak papan tandanya. Bukannya
dia tidak tahu membaca. Dari dahulu lagi dia sudah tahu
bahawa perkampungan Tok Kenali ini terkenal dengan sekolahsekolah
pondok. Tempat orang-orang yang mahu mendalami
ilmu agama tidak kira usia dan tidak kira dari ceruk rantau
mana datangnya. Inilah tempat kelahiran seorang tokoh agama
tersohor iaitu Tok Kenali. Nama perkampungan itu juga diambil
daripada nama tokoh agama itu sendiri. Jadi, dia faham. Dalam
kampung ini tidak boleh dibuat sebarangan.
“Saya minta maaf. Saya datang ni dengan niat baik. Ada
hajat besar lagi. Err.. Nenek tak nak ajak saya naik ke rumah
dulu ke?” Soalnya dengan muka tidak malu.
Apabila mendengarkan soalan itu, Umi Kalthum sekali
lagi membuntang mata. Sungguh tidak malu dan berani sekali
anak muda ini. Bisik hati tuanya. Kemudian, pandangannya
beralih pula ke arah Farha yang masih berdiri di sebelah.
Namun, lekas-lekas pula cucunya itu melarikan pandangan ke
arah lain.
Dengan tindakan si cucu itu, tiba-tiba hati tuanya
berasa tidak enak. Seperti ada sesuatu yang disorokkan daripada
pengetahuannya.
Apabila melihat Umi Kalthum berdiam diri, Wadi
Ridhuan sekali lagi berani bersuara lalu berkata, “Kalau nenek
marah saya datang ke sini, bawa cucu nenek naik kereta
saya, sekali lagi saya minta maaf. Tapi nenek percayalah. Saya
datang ke sini semata-mata nak jumpa nenek. Saya nak minta
kebenaran daripada nenek…”
“Kamu fikir aku ni biadab sangat ke sampai tak reti
nak hormatkan tetamu? Dah, pergi naik!” Umi Kalthum segera
memotong penjelasan Wadi Ridhuan yang masih belum selesai
berkata-kata. Farha teguk air liur. Agak keras cara nenek
menerima kedatangan Wadi Ridhuan.
“YA ALLAH! Mana nenek nak letak muka ni, Farha? Kamu
sanggup nak kahwin lari dengan lelaki ni? Lelaki yang sudah
memperkosa kamu?” Umi Kalthum mengurut dada. Penjelasan
Wadi Ridhuan dan cucunya itu membuatkannya hampir-hampir
mahu pitam!
“Maafkan Farha, nek. Tapi Farha dah tak ada pilihan
lain,” balasnya sambil kedua-dua tangan kemas memegang
kaki Umi Kalthum walaupun tangannya ditepis berkali-kali. Air
matanya pula lebat mencurah-curah.
Wadi Ridhuan yang duduk bersila, hanya memandang
pilu. Tidak dinafikan hatinya turut tersentuh. Kalau bukan
kerana dia yang memulakan, perkara ini tidak akan berlaku.
“Apa maksud kamu dah tak ada pilihan lain, hah?
Kamu boleh buat aduan di balai polis. Biar anak orang kaya
ini merengkok dalam penjara!” Bentak Umi Kalthum sambil
menunding jari ke arah Wadi Ridhuan. Walaupun dia sudah tua,
tetapi tenaganya masih ada untuk menunjukkan kemarahan
itu. Hati tuanya benar-benar terluka!
“Farha tak boleh buat macam tu, nek...”
“Kenapa tak boleh? Sebab kamu dah mula sukakan dia?
Dah jatuh cinta?” Soalnya dengan intonasi suara yang tinggi.
“Bukan... bukan setakat Farha dah... dah mula cintakan
dia. Tapi...” secara tidak langsung Farha membuat pengakuan.
Telinga Wadi Ridhuan yang menangkap pengakuan itu,
membuatkannya tersenyum lebar. Rupanya, dia tidak bertepuk
sebelah tangan!
“Cakap pada nenek, apa lagi yang menyebabkan Farha
tak boleh buat aduan pada pihak polis? Cakaplah. Jangan simpan
apa-apa rahsia lagi daripada nenek...” tangisan Umi Kalthum
semakin jelas kedengaran.
“Farha... Farha dah mengandung, nek...,” jawabnya.
Sekali lagi tangisannya pecah.
Umi Kalthum terpempan. Sepasang matanya
dipejamkan rapat. Dadanya terasa sempit. Tubuhnya terasa
kaku. Kedua-dua tangannya dingin dan kesejukan tiba-tiba.
Nafasnya sesak apabila mendengarkan berita itu. Tak mungkin!
Sangkalnya dalam hati.
Kemudian, dia bingkas berdiri dalam kepayahan.
Usianya yang sudah tua itu tidak membenarkan dia bergerak
dengan lebih pantas. Sepasang kakinya diatur menuju ke arah
Wadi Ridhuan yang masih duduk bersila di atas lantai yang
sudah usang.
“Kenapa kamu buat cucu aku macam ni? Kenapa!” Umi
Kalthum seolah-olah hilang kawalan diri. Dia memukul kepala
Wadi Ridhuan dengan segala kudratnya yang ada. Ditampar,
ditolak tubuh lelaki itu dengan semahu-mahunya!
“Saya minta maaf, nek! Saya janji akan
bertanggungjawab,” rayu Wadi Ridhuan sambil kedua-dua
tangan sibuk melindungi bahagian kepalanya daripada terus
menerima pukulan itu.
Apabila melihat situasi Wadi Ridhuan yang dipukul
neneknya, Farha segera mendapatkan mereka berdua. Keduadua
tangannya cuba menghalang pukulan demi pukulan yang
singgah di kepala Wadi Ridhuan.
“Sudahlah, nek! Jangan buat macam ni!” Dia pula
merayu wakil kepada Wadi Ridhuan yang sudah tidak boleh
berkata apa-apa. Hanya tahu mempertahankan diri sahaja.
“Aku malu tahu tak? Malu!” Rintih Umi Kalthum
sambil terduduk. Segala kudrat tuanya habis dengan memukul
lelaki itu.
“Farha tak pernah memalukan nenek sebab dia
langsung tak bersalah. Yang bersalahnya adalah saya. Saya
yang memperkosa dia,” ujar Wadi Ridhuan sambil menggosok
kepalanya beberapa kali. Bahunya juga dipicit-picit untuk
mengurangkan rasa sengal akibat daripada pukulan yang
diterimanya tadi.
“Mana aku nak letak muka aku ni kalau orang
kampung tahu cucu aku mengandung anak luar nikah?” Rintih
Umi Kalthum lagi sambil menyeka air mata yang sedang jatuh
mencurah-curah.
“Farha minta maaf, nek. Farha tak sangka perkara
macam ni boleh berlaku.”
“Saya yang berdosa. Saya menyesal dengan perbuatan
saya itu. Saya mohon restu daripada nenek untuk bawa Farha
pergi ke Thailand dan menikah di sana. Boleh ye, nek?” Pinta
Wadi Ridhuan bersungguh-sungguh sambil duduk melutut
di hadapan nenek tua itu. Umi Kalthum memejamkan mata.
Mencari sedikit ketenangan yang semakin menghilang.
“Baiklah, kamu pergilah. Buatlah apa yang kamu rasa
perlu.”
“Terima kasih, nek! Farha tak tahu macam mana nak
balas budi nenek. Nenek dah jaga Farha dan adik sejak mak ayah
meninggal. Nenek sanggup bersusah payah untuk besarkan
Farha adik-beradik. Sekarang, bila Farha dah conteng arang
pada muka nenek pun, nenek masih mampu terima. Nenek
sanggup berikan restu untuk Farha kahwin dengan Encik
Wadi.”
“Nenek restu sebab nenek sayangkan Farha. Nenek
tak mahu Farha dapat malu dan nenek nak lihat Farha bahagia
nanti. Tak kisahlah walau kahwin di mana sekalipun. Asalkan
sah di sisi agama,” ujarnya bernada sendu. Walaupun dia sudah
memberi restu, tetapi perasaan kecewanya terhadap Wadi
Ridhuan yang memperkosa Farha, masih dirasakannya.
“Kalau kamu nak bawa cucu aku menikah di sana tu,
ini bermakna mak ayah kamu tak tahu kan?” Soal Umi Kalthum.
Nada suaranya masih lagi tegas kedengaran. Baginya, soalan itu
penting untuk dijawab.
“Saya pernah menyatakan hasrat untuk kahwin dengan
Farha tapi ibu dan ayah saya menghalang.”
“Ooo.. jadi mak ayah kamu yang kaya raya tu memang
tak sangguplah nak bermenantukan orang miskin macam cucu
aku ni?” Soalnya lagi. Sengaja pula dia menekankan suara.
Wadi Ridhuan mengangguk perlahan seraya
menunduk. Tidak sanggup untuk berkata ‘ya’ atau ‘tidak’.
“Aku dah agak. Orang kaya sombong macam mak dan
ayah kamu tu, memang begitulah pendirian mereka,” Umi
Kalthum tersenyum sinis.
“Tapi, mak ayah kamu tahu ke yang kamu dah perkosa
cucu aku ni?” Umi Kalthum nampaknya masih tidak puas
menyoal itu dan ini tetapi soalannya itu hanya disambut dengan
gelengan sahaja daripada Wadi Ridhuan dan itu menambahkan
rasa geram di hati tuanya.
“Kenapa kamu tak berterus-terang saja pada mereka?
Kenapa mesti kamu sorokkan hal ini? Mak ayah kamu perlu
tahu bagaimana buruknya perangai anak mereka ni!” Sambung
marahnya lagi.
“Tak apalah, nek. Farha rasa Dato’ dan Datin tak perlu
tahu buat masa sekarang ni. Nanti-nantilah, ya nek?” Farha
mencelah. Kasihan juga dia kepada Wadi Ridhuan yang terpaksa
berhadapan dengan kemarahan si nenek yang tidak bertepi.
Umi Kalthum menarik nafas yang sudah semakin
semput. Kemudian, dia menyoal lagi, “Kamu nak kahwin
dengan cucu aku secara diam-diam macam ni, kamu fikir ia adil
ke bagi pihak cucu aku?”
“Saya tahu bunyinya macam saya pentingkan diri
sendiri tapi saya pun dah tak ada pilihan. Takkan saya nak
tunggu sampai ibu dan ayah saya setuju? Kalau macam tu,
makin besarlah perut Farha ni sebelum sempat kahwin dengan
saya,” sayu wajahnya apabila melontarkan penjelasan itu.
Umi Kalthum cuba mengawal emosi supaya tidak
lagi menghamburkan kemarahan kepada lelaki yang sedang
duduk melutut di hadapannya itu. Dia harus memandang
ke arah sudut yang lebih positif. Untunglah lelaki itu mahu
bertanggungjawab. Kalau tidak, pasti hancur masa hadapan
cucunya nanti.

No comments:

Post a Comment