DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 8

AKU suruh Bos 1B3K duduk di pangkin
berdekatan dengan badminton court sementara aku mengajar
tekwando. Inilah yang aku buat setiap hari Sabtu, melainkan
kalau aku ada hal. Harapan aku, satu hari nanti dapat belikan
setiap anak-anak ini sepasang uniform tekwando. Aku juga
berharap dapat melatih mereka sehingga mahir. Kalau
mereka hendak belajar di tempat lain, yurannya mahal.
Sambil membetulkan posisi dan pergerakan mereka,
aku kerling bos. Dia sedang pandang badminton court tapi
aku rasa fikiran dia melayang ke tempat lain. Padan muka dia.
Hendak sangat ikut aku berdating. Tentu dia ingat bila aku
kata berdating, aku akan keluar dengan lelaki.
Aku terus mengajar dan kali kedua aku menoleh ke
pangkin, bos sudah tiada di situ. Ke mana dia pergi? Agaknya
dia sudah bosan, jadi dia angkat kaki dulu. Agaknya dia kecewa
sebab tidak dapat ganggu aku berdating. Hahaha... aku suka!
Biasanya aku mengajar mereka selama satu setengah
jam. Tapi hari ini disebabkan aku sampai lambat, pengajaran
terpaksa dipendekkan. Pengajaran harus dihabiskan sebelum
waktu asar kerana di sini mereka dididik untuk solat
berjemaah.
Aku duduk bersila di atas lantai, berdepan dengan
adik-adikku. Tiba-tiba sepasang kaki berbalut seluar bermuda
sampai di sisi aku.
“Siapa nak coklat?” Bos bertanya sambil
menunjukkan dua beg plastik yang penuh berisi dengan bar
coklat Kit Kat.
Adik-adikku datang meluru ke depan. Bos bagi setiap
seorang satu bar Kit Kat. Berselera mereka makan. Aku
nampak bos macam terharu tengok mereka makan coklat.
Aku sudah biasa. Aku faham bagi anak-anak ini makanan
yang biasa-biasa bagi orang lain adalah sesuatu yang istimewa
bagi mereka.
“Terima kasih uncle. Sedap. Am jarang dapat makan
coklat sesedap ni.”
Kali ini aku yang terharu. Setakat coklat Kit Kat,
bukannya Ferrero Rocher atau coklat mahal yang lain.
Tapi bagi Amri coklat yang sedang dimamahnya sekarang
adalah yang terbaik. Aku berpaling ke arah bos. Dia sedang
menyuapkan coklat ke dalam mulut Sakinah.
“Bos.”
Bos pusing kepala dan pandang aku.
“Terima kasih belikan diaorang coklat.”
Bos paling semula ke arah Sakinah dan suap lagi
coklat.
“Jadi inilah date kau?”
“Ya. Setiap minggu kalau tak ada urusan lain, saya
akan datang sini. Malam pulak saya pergi ke date yang lagi
satu. Hari Ahad saya rehat, luangkan masa dengan mama.
Esok nak tengok badminton dengan mama. Final Piala
Thomas, Malaysia lawan Jepun. Ini kali pertama Jepun masuk
final. Saya harap Malaysia menang.”
Aku bangun dan suruh adik-adikku masuk mandi
kerana sebentar lagi akan masuk waktu asar. Mereka beredar
ke arah bangunan setingkat yang menempatkan satu bilik
anak perempuan, satu bilik anak lelaki, dua bilik air, dan
ruang makan. Ruang makan yang lapang tanpa sebarang
perabot ini juga digunakan sebagai ruang solat dan tempat
belajar.
“Bos, saya nak bersihkan diri. Lepas tu solat dengan
diaorang.”
Bos mengangguk saja, tak cakap pun dia hendak ikut
solat sekali. Hmm, suka hati dialah. Takkan yang itu pun aku
kena uruskan.
Selepas bersolat aku panggil semua adik-adikku.
Mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan lalu dengan
segera mereka duduk dalam dua bulatan. Satu bulatan
perempuan dan satu lagi lelaki. Ada dua belas orang anak
yatim yang tinggal di sini. Yang menyertai aktiviti ini
hanyalah yang sudah bersekolah dari tahun satu hingga
tahun enam. Mereka keluarkan buku latihan Bahasa Inggeris
dan buat latihan seperti yang aku suruh.
Inilah aktiviti yang susah sikit sebab mereka sangat
lemah dalam Bahasa Inggeris. Kadang-kadang aku mati akal
bagaimana hendak menerangkan agar mereka faham. Tapi
aku tidak pernah putus asa. Aku rasa bahagia apabila dapat
membantu mereka, biarpun dengan sekecil-kecil bantuan.
Bos 1B3K tidak kelihatan. Entah ke manalah
perginya. Pandai-pandailah dia bawa diri. Kalau dia bosan,
nasiblah! Siapa suruh ikut aku berdating.
“Okey, tutup buku semua. Siapa dah siap, bagi buku
kat Kak Fina. Siapa yang tak siap latihan, nanti sambung buat
ya?” Aku bersuara apabila jam tangan menunjukkan pukul
enam setengah petang. Hanya tiga orang yang dapat siapkan
latihan. Aku berharap dan selalu mendoakan adik-adikku
berjaya dalam pelajaran agar mereka dapat hidup senang
nanti.
“Dah boleh balik?” Tahu-tahu bos muncul dan
bertanya.
“Kenapa, bos dah bosan ke? Sorrylah kalau sesi
dating saya ni membosankan. Saya tak suruh bos ikut, kan?”
Soalan aku tidak berjawab. Dia hanya pandang aku.
Mak Cik Piah dan Mak Cik Leha datang sambil menatang
dulang. Dua adik perempuanku juga datang membawa dulang.
Umi Sarah bentangkan tikar dan susun dulang-dulang atas
tikar.
“Apa tu?” bos berbisik.
Isy... dia ni, suka-suka saja datang dekat dan bisik di
telinga aku. Aku jauhkan sikit tubuh daripadanya.
“Makan malam. Kat sini diaorang makan dalam
talam.”
Dahi bos berkerut. Aku tinggalkan dia dan
tuangkan air ke dalam gelas. Aku hulurkan kepada bos dan
suruh dia berikan kepada mereka. Dia tidak membantah.
Terbongkok-bongkok bos menghulurkan gelas kepada
adik-adikku. Rasa seronok pula kerana berjaya menyuruh bos
buat kerja. Kalau di pejabat, belum tentu boleh.
“Okey, semua dah boleh makan. Baca doa
sama-sama.” Kata-kataku disambung dengan suara nyaring
adik-adik membaca doa makan.
“Bos, jom.” Aku mengajak bos ke dapur. Di situ
ada meja makan. Di atasnya sudah tersiap satu dulang kecil
mengandungi nasi dan lauk untuk Abi Yusuf dan bos, dan
satu lagi dulang besar untuk Umi Sarah, Mak Cik Piah, Mak
Cik Leha dan aku. Selepas abi bacakan doa, kami mula makan.
Aku tengok bos macam kekok saja makan satu talam dengan
Abi. Agaknya ini kali pertama dia makan dalam talam.
Usai makan, adik-adikku bersama-sama
membersihkan tempat makan. Nasi dan lauk yang tumpah
dikutip. Tikar diangkat dan tikar yang lain pula dihamparkan.
Kemudian ada yang membentangkan sejadah, ada yang ke
bilik air mengambil wuduk. Aku turut bersiap untuk bersolat.
Bos, macam petang tadi. Buat muka selamba badak dan lesap
entah ke mana ketika kami semua solat maghrib dengan
diimamkan oleh Abi Yusuf.
Tiba masa untuk aku beredar. Adik-adikku datang
dan bersalam denganku. Mereka turut bersalam dengan
Bos 1B3K. Lokman yang kuat makan dengan mesra rakyat
meminta bos datang lagi dan bawa coklat yang sedap-sedap.
Bos jawab dia akan datang lagi kalau aku ajak. Rasa-rasanya
aku tak akan ajak. Segan pada semua di sini sebab bos tidak
bersolat. Kalau ada adik yang bertanya kenapa Uncle Rifqi
tidak solat, apa aku nak jawab?
“Terima kasih belikan budak-budak makanan. Kalau
senang datanglah lagi, tuan.” Kata Abi Yusuf sambil dia dan
umi menghantar aku dan bos ke kereta. Berkali-kali mereka
mengucapkan terima kasih kerana datang dan belikan coklat
dan biskut untuk adik-adikku. Baik hati juga Bos 1B3K ni.
“Bos masih nak ikut saya pergi second date?” Aku
tanya apabila dia mula memandu. Aku harap dia jawab tidak.
Malaslah hendak bawa dia, aku segan dengan Nafiz.
“Second date kau dengan anak apa pulak? Yang tadi
anak yatim, yang lepas ni anak tiri ke?”
Kurang ajar punya mulut. Ada ke patut bos cakap
macam tu? Hmm, orang kalau dah ada sifat kerek macam
itulah. Perasan hebat dan pandang rendah pada orang lain.
Baru aku nak jawab kata-kata bos, telefon aku berbunyi. Di
hujung talian Nafiz memberi salam. Selepas aku jawab salam,
dia tanya pukul berapa aku akan sampai.
“Ya, saya on the way. Dengan bos saya.” Aku jawab
soalan Nafiz.
“Awak belum makan? Saya pun. Kita makan
sama-sama ek?” Aku berkata begitu apabila Nafiz bertanya
sama ada dia perlu menunggu aku untuk makan malam
ataupun tidak. Selepas itu aku matikan talian. Simpan balik
telefon sambil tersenyum. Hatiku tersentuh apabila Nafiz
sudi menunggu aku.
“Bukan kau dah makan ke tadi?” bos soal. Maknanya
dia dengar perbualan aku dengan Nafiz.
“Tadi tu makan dengan first date. Lepas ni saya
makan dengan second date saya pulak.”
Selepas aku jawab macam tu, kami sama-sama diam
hinggalah kami sampai ke Rumah An-Nur. Aku beri salam
kepada pak long dan Pak Mail yang sedang bermain dam haji
berdekatan pintu masuk. Kemudian aku sapa Mak Som dan
Aunty Cheng yang sedang bersembang sambil terus menuju
ke belakang. Bos 1B3K mengikut aku tanpa suara.
Nafiz sedang memasukkan satu kotak besar ke dalam
van. Aku beri salam. Nafiz paling ke arah aku, senyum dan
jawab salam aku.
“Kenalkan, ini bos saya.” Aku kenalkan Bos 1B3K
kepada Nafiz. ‘Janganlah dia malukan aku depan Nafiz’,
hatiku berharap.
“Rifqi,” kata bos sambil menghulur tangannya untuk
berjabat.
Nafiz menyebut namanya dan beritahu Bos 1B3K
kotak yang baru dimasukkan itu mengandungi makanan yang
sudah dibungkus dan akan diagihkan kepada orang-orang
gelandangan di sekitar kawasan Masjid India.
“Orang gelandangan? Menarik tu. Saya tak pernah
join aktiviti macam tu. Ramai ke?”
Bila bos cakap macam tu, aku tahu harapan aku agar
dia batalkan hasrat untuk mengikuti kami sudah berkubur.
Alah... kalau dia ikut, tak dapatlah aku naik van dengan Nafiz.
“Ramai juga, biasanya dalam 50 ke 70 orang. Encik
Rifqi tak kisah ke kalau kita pergi naik van?” Nafiz berkata.
Di luar jangkaanku, bos menerima pelawaan Nafiz
untuk naik van buruk milik Rumah An-Nur. Bos siap tolong
tutupkan pintu belakang. Kemudian masuk melalui pintu
penumpang belah depan. Terpaksalah aku masuk ikut pintu
tepi van dan duduk di bahagian belakang.
Sepanjang perjalanan ke Masjid India, Nafiz dengan
ramah melayan setiap pertanyaan bos. Aku sekadar menjadi
pendengar. Cukuplah sebab aku memang suka dengar suara
Nafiz. Suara dia macho.
“Fina, tadi kata belum makan. Awak nak pergi makan
dulu?” Tiba-tiba Nafiz bertanya dan dia pandang aku melalui
cermin belakang.
Aku geleng kepala.
“Saya tak lapar. Kita makan dekat site nantilah.”
Nafiz mengangguk. Kalaulah hanya aku dan dia
dalam van ini, tentu sekali aku terima pelawaan dia untuk
pergi makan bersama. Bukan senang hendak dapat pelawaan
daripada Nafiz. Tapi sekarang Bos 1B3K ada. Kacau daunlah
dia ni!
“Budak-budak di Rumah Umi okey?” Nafiz tanya lagi.
“Diaorang okey. Diaorang tanya kenapa awak tak
datang sekali tadi. Saya beritahu awak sibuk. Ayah awak dah
sihat?”
“Sudah okey sikit.” Jawab Nafiz dan selepas itu kami
tidak berbual lagi. Aku rasa kekok hendak berbual dengan
Nafiz dengan kehadiran bos.
Bila kami sampai di Masjid India, beberapa
sukarelawan sudah menunggu. Aku menegur mereka dan
bertanya khabar. Ada antara mereka yang aku sudah kenal,
ada yang baru jumpa malam ini. Aku tak kenalkan bos kepada
mereka. Tidak perlulah mereka tahu siapa lelaki berambut
pacak yang datang dengan aku.
Bersama-sama dengan sukarelawan yang lain, kami
keluarkan kotak berisi bungkusan makanan dari van. Kami
susun di atas meja lipat yang sudah dibuka. Orang-orang
gelandangan yang berada di sekitar kawasan mula
menghampiri kami.
Aku pergi ke bahagian minuman. Nafiz baru habis
meletakkan dua tong air di atas meja. Aku capai cawan plastik,
penuhkan dengan air sirap dan hulurkan kepada Nafiz. Dia
susun gelas berisi air atas meja sebelah untuk diambil oleh
orang gelandangan.
“Baik bos awak tu,” kata Nafiz.
Aku rasa hendak muntah. Baik apa macam tu? Tapi
tidaklah aku cerita pasal perangai bos kepada Nafiz.
“Minggu depan awak pergi tak majlis nikah Thia?”
Aku harap Nafiz jawab ya. Nafiz dan Thia dulu satu sekolah,
dari tingkatan tiga hingga tingkatan lima. Thia yang kenalkan
Nafiz kepada aku. Sudah dua tahun kami kenal dan sejak itu
aku selalu ikut Nafiz buat kerja amal di Rumah Perlindungan
Anak Yatim Umi Sarah dan Rumah Warga Emas An-Nur.
Yang bagi makan orang gelandangan ni, baru tiga kali aku
ikut, termasuk kali ini.
“Belum tahu lagi. Kalau perlu jaga ayah, saya akan
pergi minggu satu lagi, di rumah Azwan.”
Tidak kisahlah Nafiz pergi belah Thia atau belah
Naani, sebab aku akan berada di dua-dua majlis itu nanti.
Kalau Nafiz pergi ke dua-dua majlis lagi bagus, dapat jumpa
dia dua kali.
Kami teruskan bekerja. Nafiz ni jenis pendiam, jadi
kalau aku tidak bertanya atau bercerita, dia pun senyaplah.
Itu yang aku hairan bila dia ramah dengan Bos 1B3K tadi.
Satu plastik gelas sudah habis. Maknanya kami sudah
isi air sirap dalam 25 biji gelas. Aku tunduk untuk ambil
bungkusan gelas yang baru dari dalam kotak yang diletakkan
di bawah meja. Aku koyakkan plastik, keluarkan sebiji gelas,
isi dengan air sirap dan hulurkan ke kanan.
“So yang ini betul-betul datinglah?”
Errrk, bila masa si bengkeng ni gantikan Nafiz?
Aku pandang muka dia dan kemudian pandang keliling. Tak
nampak Nafiz pun. Mana dia pergi?
“Tak sangka ya, ada juga orang minat dengan
perempuan sewel dan tak lawa di sebelah aku ni.”
Bos 1B3K ni bukan setakat kurang asam, tapi kurang
garam, gula, MSG dan apa-apa saja yang boleh menambah
perisa kepada keperibadian dia. Aku pandang dia dengan rasa
bengang yang penuh dalam hati. Dia sendengkan tubuh dia
dekat dengan tubuh aku. Lepas itu dia bisik dekat aku.
“Buat kerja amal konon. Sebenarnya gatal nak
bercinta. Hipokrit.”
Aku angkat kaki dari situ. Tapi sebelum tu, aku
sempat jeling muka bos. Muka dia basah. Kena siram dengan
air sirap.

No comments:

Post a Comment