DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

Semusim Kasih - Bab 3

BERDEBAR-DEBAR dada Olynn. Hari yang
ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Dalam kalangan peserta
saringan, hanya Olynn seorang saja yang tidak ditemani
sesiapa. Sebentar tadi, Nadia menghantar Olynn hingga ke
pintu pagar kompleks Nusa TV dan selepas itu, Nadia harus
ke pejabat secepat yang mungkin.
Tercangak-cangak Olynn seketika dan kemudian
terpaksa dia meminta bantuan di pondok pengawal bertanyakan
di mana tempat yang tertera di atas surat panggilan yang dia
terima. Mujurlah pengawal itu menunjukkan bangunan besar
stesen Nusa TV yang paling hadapan sekali dengan pintu
masuk. Tak perlulah dia membetis terlalu jauh.
Setelah urusan pendaftaran selesai, dia bersama
19 orang lagi gadis duduk di kerusi yang dikhaskan dalam
sebuah bilik kecil. Apabila dimaklumkan acara hari ini
bukanlah siaran langsung, Olynn cukup merasa lega.
Buat permulaan, mereka diberikan taklimat tentang
rancangan Pilihan Hati dan juga bagaimana proses pemilihan
akan dijalankan. Dalam debar, Olynn teringat segala butiran
dan borang-borang yang dia serahkan sewaktu mendaftar
masuk tadi. Salah satunya tentang persembahan yang
diwajibkan untuk setiap peserta. Adakah mereka akan dinilai
dari segi bakat juga?
Faham dengan penerangan yang diberikan, selepas
itu mereka semua diminta ke bilik persalinan untuk disolek.
Seorang demi seorang mula bangun dan mengikuti seorang
petugas keluar dari bilik taklimat.
“Cik Ailyn Batrisya.”
“Ya, saya… ada apa encik?” Gugup Olynn apabila
ditahan daripada terus melangkah ke bilik persalinan.
“Untuk persembahan awak, confirm ke awak nak
main piano dan lagu yang awak pilih... lagu duet?”
“Ya… betul encik. Saya akan menyanyi sambil
mainkan piano. Berkenaan lagu tu, saya cuba menyanyi solo
dengan cara saya.”
Lelaki itu tersenyum.
“Kalau ada yang tawarkan diri nak berduet dengan
awak, awak okey ke?”
“Hah! Ada yang nak berduet dengan saya? Siapa dia
encik?”
“Siapa dia... rahsia! Satu kejutan untuk awak, cuma
saya nak awak bersedia. Awak menyanyi line awak saja.”
“Baiklah, saya akan cuba untuk tak panik.”
Lelaki itu ketawa dengan kata-kata Olynn.
“Good girl! Sekarang, awak boleh pergi make-up.
Bilik sebelah kiri, nombor dua dari sini.”
Cepat-cepat Olynn ucapkan terima kasih dan
bergegas ke bilik yang ditunjukkan.
Di hadapan cermin besar, beberapa orang jurusolek
sedang menunggu bersama senyuman manis. Lima orang
peserta paling awal mendaftar diminta duduk di kerusi. Yang
lain-lainnya menunggu penuh sabar termasuklah Olynn.
Bermulanya rakaman...
LELAKI YANG sama di Berjaya Times Square bertindak
sebagai pengacara. Rusman kelihatan segak di atas pentas
memegang mikrofon.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat
datang juga kepada tetamu yang hadir di bawah sana. Kita
sekarang berada di peringkat saringan bagi memilih dua
belas peserta akhir rancangan realiti Pilihan Hati yang
akan bersiaran di kaca TV tidak lama lagi. Dengan ini, saya
mempersilakan calon-calon finalis rancangan realiti pertama
anjuran Nusa TV, naik ke pentas.”
Seorang demi seorang mula melangkah ke atas pentas.
Tepukan gemuruh diberikan oleh penyokong-penyokong
yang hampir memenuhi ruang. Sambutannya di luar dugaan.
Olynn yang mendapat giliran ketujuh memperkenalkan nama
penuh, umur dan juga daerah kelahirannya. Mungkin kerana
dia tidak membawa penyokong, jadi siulan dan tepukan
untuknya kedengaran amat sederhana. Tidak mahu terlalu
fikirkannya, dia tetap senyum dan terus tersenyum.
Tamat sesi pertama memperkenalkan diri
masing-masing, Olynn sudah mampu menarik nafas lega.
Rasa gementar di atas pentas juga sudah semakin hilang.
Namun begitu, tidaklah setinggi mana pun harapannya
untuk terpilih menjadi salah seorang daripada dua belas
orang finalis.
Kembali ke belakang pentas, Olynn terpempan.
Kelihatan seorang lelaki berjambang kemas dengan cap di
kepala, sedang berdiri memeluk tubuh dan bersandar dengan
santainya di tepi dinding. Dan lelaki itu merenung Olynn
tajam.
Olynn masih ingat siapakah gerangan pemuda itu.
Lelaki itulah yang menegur dia semasa uji bakat di Berjaya
Times Square tempoh hari. Lelaki itu juga sering muncul
dalam mimpinya sejak kebelakangan ini walaupun tidak
pernah sekali pun dia ceritakan kepada Nadia.
“Seksi awak hari ni.” Tiba-tiba dia menegur. Suara
garaunya masih sama sewaktu dia menegur Olynn dulu.
Bersahaja lagaknya, namun tetap menawan dengan jean
lusuh dan t-shirt hitam tanpa kolar.
Olynn tunduk menilik baju di tubuh sendiri.
Sepasang kebaya labuh dengan korset hitam di dalam dan
juga kasut tumit tinggi tersarung di kaki. Apa yang seksinya?
“Saya seksi? Awak ni, rabun ke?” Olynn tergelak kecil
sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Olynn berlalu dari situ dan berkumpul semula
dengan gadis-gadis di kerusi menunggu. Masing-masing
mula seram sejuk dan ada yang mengusap-usap tangan mahu
menghilangkan gemuruh. Sekejap lagi, sesi persembahan
akan dimulakan.
Sesi kedua dimulakan...
GADIS PERTAMA dipersilakan keluar ke pentas. Dia
menyerlahkan bakatnya dengan menyanyi satu lagu Inggeris
daripada Alicia Keys. Hebat! Kagum Olynn dan para penonton
di dewan auditorium itu bertepuk tangan dengan kuat.
Dan selepas itu, seorang demi seorang mula
menunjukkan bakat masing-masing. Rata-rata menyanyi dan
ada juga yang mendeklamasikan sajak. Salah seorang daripada
mereka menyanyi sambil memetik gitar. Wah, semua calon
punya bakat yang tersendiri.
Giliran Olynn yang ke-16. Masih banyak masa untuk
dia bersedia. Lirik dan not lagunya sudah dia hafal sejak azali,
tetapi dia tetap risau jika ada membuat salah di mana-mana.
Mungkin di sini, hanya dewan rakaman. Tapi… mampukah
dia melihat sendiri persembahan solonya di pentas apabila
rakaman ini disiarkan di TV nanti? Sewaktu di kolej, Olynn
pernah juga mengadakan persembahan berkumpulan tetapi
inilah persembahan sulungnya secara solo.
“Peserta seterusnya... dan… satu-satunya calon
finalis yang akan bermain piano sambil menyanyi sebuah lagu
dari seberang, berjudul Butterfly dendangan Melly Goeslaw.
Dipersilakan, Cik Ailyn Batrisya binti Mokhtar!”
Terasa hambarnya tepukan yang Olynn terima.
Lampu difokuskan kepadanya yang mengatur langkah ke
piano yang sudah tersedia. Dia duduk tegak, melaraskan
kakinya ke pedal dan menekan mata piano memulakan intro.
Hening seketika bilik rakaman itu. Sekarang, Olynn bersedia
untuk melontarkan suaranya.
Ketika waktu mendatangkan cinta
Aku putuskan memilih dirimu
Setitik rasa itu
Menitis dan semakin parah...
Olynn hanyut dalam alunan melodi lagu
kegemarannya.
Bisa kurasa getar jantungmu
Mencintaiku apa lagi aku
Jadikanlah diriku
Pilihan terakhir hatimu...
Refleks, Olynn segera angkat muka. Kedengaran
tepukan gemuruh mengiringi suara lelaki yang menyambung
nyanyiannya. Sedaya upaya dikawal rasa terkejutnya.
Lelaki itu... Ya! Lelaki yang baru Olynn ketemu
sebentar tadi dan mengatakan bahawa dia seksi. Dan lelaki
itu juga sempat mengenyitkan mata kepadanya.
Butterfly... terbanglah tinggi
Setinggi anganku
Untuk meraihmu
Memeluk batinmu yang sama kacau
Kerna merindu... oh oh oh..
Mata mereka bertaut semasa duet yang pertama.
Lelaki itu menyanyi sambil bibirnya mengukirkan senyuman.
Saat ini seperti hanya ada mereka berdua sahaja di situ. Olynn
lupa yang di bawah pentas sana, ramai hadirin yang sedang
menyaksikan persembahan mereka.
Butterfly... fly away so high
As high as hopes I pray
To come and reach for you
Rescuing your soul
That previous messed up thoughts me and
you...
Tumpuan Olynn jatuh semula pada jari-jemari
sendiri yang menari-nari bermain piano.
Butterfly... fly away so high
As high as hopes I pray
To come and reach for you
Rescuing your soul
That previous messed up thoughts me and
you...
Dan dia habiskan not-not terakhir lagu itu dengan
perlahan. Dewan auditorium gamat dengan siulan dan
tepukan gemuruh. Lebih kuat daripada sebelumnya.
Olynn tersenyum puas. Berdiri dan tundukkan
kepala sedikit tanda ucapan terima kasih lalu berjalan ke
belakang pentas. Ah! Olynn terlupa untuk ucapkan terima
kasih kepada lelaki itu. Apabila dia menoleh ke belakang, rasa
hampa menerpa. Si jejaka sudah hilang dari pandangan.
Jam 3.00 petang, barulah diumumkan dua belas
orang finalis yang terpilih untuk rancangan realiti Pilihan
Hati. Pemilihan juga dibuat dengan persetujuan Yang Mulia
Tengku Budriz Aizuddin yang menonton di bilik khas.
Bermakna, wajah sebenar hero idaman Malaya itu masih
dirahsiakan oleh pihak penganjur.
Nama Olynn adalah antara lima peserta saringan yang
paling akhir dijemput ke pentas dan menerima jambangan
bunga. Sungguh, Olynn tidak percaya kerana tempoh hari
Olynn sertai uji bakat hanya untuk suka-suka bagi menyahut
cabaran Nadia.
Sebelum majlis bersurai, mereka dijamu dengan
minum petang serta temu bual bersama wartawan majalah
hiburan. Esok, akan diadakan pula sesi bergambar. Juga di
bangunan yang sama.
ANAK MATA Olynn melirik jam di pergelangan tangan.
Masih ada berbaki satu jam lagi sebelum Nadia datang
menjemputnya. Alangkah bagusnya kalau Nadia juga ada
bersama tadi menyaksikan detik-detik manis dia diumumkan
sebagai finalis. Namun, dia harus akur dengan tuntutan kerja
rakannya itu. Hari ini Nadia harus membentangkan laporan
kewangan terkini kepada Ketua Pengarah.
“Cik Ailyn tunggu siapa?”
Olynn terkejut. Siapa pula yang menegur dia di tepi
pondok pengawal ni? Olynn toleh ke sisi. ‘Eh! Dia lagi?’
“Saya... er… tunggu kawan. Dia akan jemput saya
lepas waktu pejabat.”
“Oh, ya ke?” Seperti Olynn tadi, lelaki itu juga
menilik jam di pergelangan tangannya.
“Sekarang baru pukul empat. Kalau Cik Ailyn sudi,
saya boleh tolong hantarkan Cik Ailyn balik.”
Hah? Dia pelawa Olynn? Boleh ke Olynn percaya
kepada lelaki berjambang ini? Jambangan bunga di tangan,
Olynn pegang erat. Kalau lelaki itu ada niat buruk, boleh
sahaja Olynn libaskan ke mukanya bagi mempertahankan
diri.
‘Ya Allah... jangan mudah buruk sangka pada orang!’
hati Olynn memarahi akal.
“Terima kasih saja, encik. Saya dah janji dengan
kawan saya nak tunggu sampai dia datang. Dia... kawan
serumah saya. Lagipun, saya tak kenal encik.”
“Awak tak kenal saya? Kita dah jumpa dua kali dan
tadi saya menyanyi bersama awak atas pentas. Awak masih tak
percayakan saya?”
“Maaf encik, saya tak boleh.”
“Call kawan awak sekarang, beritahu dia... awak
balik dengan saya. Call her now. Saya tak sanggup tengok
awak berdiri kat sini lama-lama. Bahaya! Dengan pakaian
seksi awak ni, mungkin kurang selamat. Banyak kes ragut kat
area sini sejak kebelakangan ni.”
Olynn sedikit gerun dengan ugutan lelaki itu, tapi
dia masih kaku tidak bergerak-gerak. Boleh ke dia percaya
kawasan ini tidak selamat sedangkan dia sekarang berdiri di
sebelah pondok pengawal?
“Cik Ailyn... cuba dengar cakap saya.” Dalam tegas,
lelaki itu berusaha memujuk Olynn yang teragak-agak mahu
buat apa yang disuruhnya.
“Ailyn... trust me! Call her.”
Lambat-lambat Olynn keluarkan handphone dari
beg di bahu. Sebenarnya, tidak kena langsung penampilannya
hari ini. Berkebaya labuh dengan rambut tersanggul kemas,
kasut tumit tinggi tiga inci tapi di bahunya sebuah beg labuh
yang lusuh.
Sekejap sahaja Olynn bercakap dengan Nadia dan
memutuskan talian semula.
“Good… come!” Lelaki itu cekup pergelangan
tangan Olynn, tapi mujurlah masih berlapik dengan lengan
baju kebayanya.
“Saya boleh jalan sendiri!” protes Olynn dan segera
tangannya ditarik.
“Owhh.. okey.” Lelaki itu angkat kedua-dua tangan
tanda mengalah.
Olynn ikut langkah lelaki itu yang laju ke tempat
letak kereta di hadapan lobi bangunan utama.
“Get in, Ailyn,” arahnya.
Olynn berat hendak membuka pintu. Masih lagi
ragu-ragu. Sekali lagi dia berfikir negatif. Boleh ke dia
percaya dengan lelaki yang baru beberapa kali bersua muka
ini? Malahan, mereka belum sempat berkenalan lagi.
“Ma… suk! Awak nak saya dukung dan humban
awak ke dalam ke?” ugutan lelaki itu membuatkan Olynn
kecut perut. Lagak mahu menculik dia pun ada. Tadi begitu
lembut memujuk, tapi sekarang sudah menjadi arahan pula.
Pintu kereta dibuka seluas-luasnya dan dia masih di
sebelah Olynn menunggu Olynn masuk. Hendak tak hendak,
Olynn masuk juga setelah menimbang buruk baiknya
beberapa kali.
‘Tawakal Olynn, fikir yang baik-baik saja.’
Pintu ditutup oleh lelaki itu dengan senyuman puas
hati setelah Olynn selamat melabuhkan punggungnya di
kerusi penumpang.
Olynn mengerling geram. ‘Ya, dia menang!’
“Siapa awak?” Terus sahaja tercetus soalan dari bibir
Olynn. Tak sabar dia mahu mengetahui nama lelaki itu. Kalau
ada apa-apa berlaku kepadanya selepas ini, mudah sahaja dia
hendak mencari lelaki ini di Nusa TV. Olynn cukup yakin,
lelaki itu ialah salah seorang krew di Nusa TV.
“Saya Budin.”
“Budin?” Hampir terhambur ketawa Olynn. Pada
zaman moden ini, masih ada lagi manusia yang gunakan
nama sebegitu? Macam nama pada zaman drama P. Ramlee.
Klasik!
“Awak nak ketawa… ketawa ajelah, Ailyn. Saya tahu,
nama saya buruk. Tapi saya tak seburuk yang awak sangka.”
Olynn tutup mulut dengan tapak tangan sebentar dan
akhirnya berlagak seperti biasa. Tetap mengulum senyum.
Macam tahu-tahu aje Olynn berfikir buruk tadi tentang dia.
“Saya minta maaf. Er... awak kerja kat Nusa TV?”
Sengaja Olynn bertanya padahal dia sudah tahu jawapannya.
“Seperti yang awak nampak... saya ada dari hari
pertama awak uji bakat di Times Square. Dan untuk
makluman awak, saya suka pada awak.”
“Apa?”
“Yes… I like you... very… very much Cik Ailyn
Batrisya.”
“Panggil saya, Olynn.”
Budin menoleh sekilas dan gilirannya pula yang
ketawa besar.
“Nama Olynn tu... tadi bukan main awak gelakkan
saya. Likewise, your name sounds funny too.”
Olynn menjeling Budin dengan tajam.
“Marah?” Sekarang giliran bibir Budin pula
mengulum senyum.
“Saya finalis dan bakal jadi pilihan Yang Mulia
Tengku Budriz Aizuddin. Awak mana boleh ambil kesempatan
atas saya? Salah tu!”
“Saya tahu apa yang saya buat. Saya pasti awak bukan
pilihan yang tepat untuk Tengku Budriz. Selepas sebulan,
bolehlah awak jadi girlfriend saya.”
“Senangnya cakap. Siapa awak yang boleh tentukan
hidup saya? Dan siapa nak jadi girlfriend awak?” Olynn mula
naik darah tetapi Budin yang berfikiran kolot itu hanya
senyum seolah-olah tidak terkesan dengan amarah Olynn.
“Awak tahu kat mana saya tinggal?” Tanpa bertanya
di mana rumahnya, Budin sudah menghampiri deretan
bangunan rumah sewa Olynn.
“Saya krew Nusa TV. Sudah tentulah saya boleh teliti
butiran peribadi awak. Umur berapa, tarikh lahir, di mana
awak tinggal...”
“Jadi... awak hafal semua alamat finalis Pilihan
Hati?”
“Nope… only yours!” Budin senyum manis
memukau pandangan. Dengan tulang pipinya yang tinggi,
kening yang lebat dan mata yang sungguh menawan.
‘Ah!!! Sudah jatuh cinta ke dia?’
Kereta berhenti betul-betul di hadapan pintu rumah
sewa Olynn.
“Terima kasih.”
“Kasih awak saya terima.” Budin senyum lagi.
‘Ada-ada sajalah dia ni!’ Olynn ketap bibir menahan
geram.
“Before you go, esok beritahu kawan awak... tak
perlulah jemput awak lagi. Saya akan hantar awak balik juga
esok. Kalau boleh, jangan pakai seksi lagi macam hari ni.
Awak buat saya geram, rasa nak terkam awak dan bawak awak
lari jauh.” Budin kenyitkan matanya.
Dummmm!!! Kuat sekali Olynn tutup pintu kereta.
Budin nak marah? Lantaklah! Bukan kereta mahal pun.
Hanya sebuah Proton Persona yang ada lambang Nusa TV di
pintunya. Kereta pinjam!
HAMPIR MAGHRIB, barulah Nadia pulang dari pejabat. Olynn
pun baru saja siap menutup api dapur. Tadi dia memasak
nasi goreng, cukuplah untuk hidangan malam ini. Badan
yang sungguh penat sepanjang hari di Nusa TV memudarkan
keinginannya untuk memasak seperti biasa. Tambahan lagi
kepalanya sarat dengan lelaki misteri bernama Budin itu.
Kenapa dalam ramai-ramai peserta yang cantik-cantik tu,
Budin boleh kata dia suka kepadanya?
Masalah besar tu! Bagaimana pula dengan luahan
hati Along Fidz yang begitu mengharapkan Olynn membalas
cintanya?
“Dah lama ke kau balik? Siapa hantar kau tadi?”
Terbang lamunan Olynn tentang Budin. Senyuman
hambar dilemparkan.
“Aku tumpang kawan.”
“Wah… baru sehari kau jauh daripada aku, dah
dapat kawan baru?”
“Kebetulan... kereta dia kosong, jadi dia
tumpangkanlah aku. Program habis cepat. Nak tunggu kau,
lebih sejam lagi. Takkan aku nak terpacak aje tepi jalan
macam tiang elektrik?”
Nadia ketawa.
“So... macam mana?”
“Macam mana apa?” Adakah Nadia hendak tahu pasal
kawan baru dia?
“Kau terpilih tak?”
Owh! Olynn kesat dahi yang tidak berpeluh. Lega,
tersasar sangkaannya.
“Tengok kakilah! Aku dapat jadi finalislah. Janji
tetap janji... jangan lupa dengan top-up prepaid untuk tiga
bulan tau.”
“Kan aku dah cakap, kau mesti boleh punya. Kau
lawa, comel, sweet... baik hati...”
“Dah, jangan nak bodek lebih-lebih. Pergi mandi.
Aku pun nak solat maghrib. Lepas tu kita makan nasi goreng.”
“Nasi Goreng Kampung ke? Walah!!! The best in the
world!!!” Nadia kegirangan sambil mendaki tangga ke biliknya.
Manakala Olynn kemaskan dapur dan hidangkan semangkuk
nasi goreng di atas meja makan sebelum menuruti langkah
Nadia yang sudah mencecah anak tangga paling atas.

No comments:

Post a Comment