DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 14

“WADI, mak nak cakap sikit ni, boleh?”
“Boleh. Mak nak cakap pasal apa?”
“Mak nak cakap pasal Farha.”
Wadi Ridhuan menutup laptop sebaik sahaja nama
Farha menjengah telinga. Kerja-kerjanya yang terpaksa
dibawanya dari pejabat, terpaksa dialihkan tumpuan sebentar.
“Ada hal apa mak nak cakap pasal Farha?” Soalnya
perlahan. Risau kalau ibunya mendengar walaupun kini dia dan
Mak Hendon berada di bilik.
“Mak rasa, Farha tu dah mengandung,” telah Mak
Hendon lancar tanpa berselindung.
Sebaik sahaja Mak Hendon membuat telahan itu, Wadi
Ridhuan kelihatan serba salah. Duduknya pula serba-serbi tidak
kena. Kemudian, dia menjawab acuh tidak acuh, “Oh, ye ke?”
Apabila melihat kegelisahan Wadi Ridhuan itu, wajah
Mak Hendon mula berkerut seraya membalas perlahan, “Kenapa
Wadi macam tak nak ambil kisah saja ni? Apa, Wadi dah lupa
dengan janji yang pernah Wadi cakapkan pada mak dulu?”
“Bukan saya tak ambil kisah, mak. Tapi...” bicaranya
terhenti. Perlukah dia menceritakan kedudukan yang sebenar
kepada Mak Hendon? Apakah Mak Hendon boleh berjanji
sama seperti Salmiha supaya tidak membongkarkan rahsia
perkahwinannya dengan Farha?
“Tapi apa? Wadi nak lepas tangan? Tak nak
bertanggungjawab?”
“Bukan macam tu, mak.”
“Wadi jangan main-main tau. Dulu Wadi dah janji nak
nikah dengan Farha kalau dia mengandung dan mak masih
ingat lagi Wadi pernah cakap, kalau Farha tak mengandung
sekalipun, Wadi tetap nak kahwin dengan dia untuk tebus
kesalahan Wadi,” ujar Mak Hendon panjang lebar semata-mata
untuk mengingatkan Wadi Ridhuan.
“Ya, mak. Saya masih ingat janji yang saya buat tu.
Sebab itulah saya...” bicaranya terhenti lagi. Ke muka pintu
bilik dia memberi tumpuan. Manalah tahu kalau tiba-tiba
sahaja ibunya masuk.
“Kenapa cakap pun tersekat-sekat ni? Nampak sangat
Wadi tak mahu bertanggungjawab. Kesian budak Farha tu kalau
Wadi tak nak kahwin dengan dia.”
“Mak, sebenarnya saya dah...”
“Borak apa tu?” Datin Wasilah muncul di muka pintu
secara mengejut. Dia melangkah menghampiri Wadi Ridhuan
dan juga Mak Hendon.
Sebaik sahaja ibunya mendekati, laptop dibuka semula.
Helaian-helaian kertas yang berada di atas meja, diberikan
tumpuan serta-merta.
Kemunculan Datin Wasilah secara tiba-tiba itu
membuatkan Mak Hendon tiada keinginan untuk menyoal lagi.
Lantas, dia meminta diri untuk keluar.
“Borak perkara biasa-biasa aje. Err... Ibu tak tidur lagi?”
“Kalau ayah kamu tak ada, ibu susah nak tidur,” jawab
Datin Wasilah seraya melabuhkan duduk di sebelah Wadi
Ridhuan.
“Baru saja dua hari ayah pergi ke China, ibu dah rindu
ke? Kenapa ibu tak ikut sekali?”
“Malaslah ibu nak ikut. Ayah kamu tu bukannya dapat
beri perhatian pada ibu pun, kalau ibu ikut dia. Mahunya ibu
ni terperap aje kat dalam bilik hotel. Bosan tau,” Datin Wasilah
merungut sambil matanya liar memerhati helaian-helaian
kertas yang diberikan tumpuan oleh anak lelakinya itu.
Wadi Ridhuan hanya tersenyum apabila mendengar
ibunya merungut dan sekaligus menghilangkan rasa gelisahnya
apabila Mak Hendon cuba mempersoalkan tentang Farha
sebentar tadi.
“Esok kita pergi ke rumah Datin Kesuma, ya?” Datin
Wasilah tiba-tiba membuat usul.
Wadi Ridhuan menjungkit kening. Tidak menjangka
dengan cadangan ibunya. Kemudian, dia menyoal, “Nak pergi
rumah dia buat apa, ibu?”
“Nak pergi merisik.”
“Merisik?” Kedudukan dibetulkan seraya tangannya
pantas menutup laptop. Sudah mati keinginannya untuk terus
membuat kerja.
“Ya, merisik. Ibu nak pergi merisik Bella untuk Wadi.”
“Apa ni ibu? Dah berapa kali saya cakap, saya tak nak
kahwin dengan Bella. Kenapa ibu masih tak faham-faham jugak?
Saya penatlah, ibu. Saya penat dengan sikap ibu yang suka
memaksa macam ni,” Wadi Ridhuan bingkas. Dia mendengus
kasar. Pinggang dicekak dengan lagak tidak berpuas hati.
Ketika suasana tegang itu hendak bermula, Farha
muncul dengan membawa sepiring kek coklat dan milo panas
untuk dihidangkan kepada Wadi Ridhuan. Matanya terbuntang
sebaik sahaja terpandangkan Datin Wasilah yang turut sama
berada di bilik suaminya itu. Kalaulah dia tahu, sumpah dia
tidak akan masuk ke situ.
Datin Wasilah mencerlung mata ke arah Farha. Dalam
nada kasar dia bersuara, “Dah berani pulak kau masuk ke sini?
Siapa yang benarkan kau masuk ke dalam bilik anak aku pada
lewat malam macam ni? Nak menggatal dengan anak aku ke?
Tak cukup kau masukkan ubat guna-guna dalam makanan dia,
sekarang ni kau datang nak goda dia pulak? Perempuan jenis
apa kau ni, hah? Langsung tak ada harga diri!”
“Ibu!” Wadi Ridhuan menoleh pantas ke arah si ibu
yang sudah melampau membuat tuduhan melulu.
“Saya minta maaf, Datin. Err... mak cik yang suruh
saya hantarkan kek dan minuman ke sini. Tak ada niat pun saya
nak buat perkara yang tak baik macam tu,” balas Farha lembut.
Cepat-cepat dia meletakkan dulang kecil itu ke atas meja kopi
sebelum beredar.
Wadi Ridhuan tidak sempat hendak menjadi tukang
bela di hadapan Farha sebaik sahaja isterinya itu meluru keluar.
Timbul rasa kasihan pada Farha apabila dituduh dan diherdik
sebegitu rupa. Tanpa menghiraukan panggilan ibunya, dia turut
sama melangkah keluar.
“Wadi!” Laung Datin Wasilah tetapi laungannya itu
tidak diendahkan si anak yang sudah menutup pintu.
Sementara itu di tingkat bawah, Farha menapak laju
menuju ke bilik. Dia sedar suaminya mengekori dari belakang.
Langkahnya sengaja dipanjangkan. Dia mahu bersendirian
sekarang ini dan tidak mahu bersua muka dengan suaminya
itu buat sementara waktu. Tuduhan demi tuduhan yang
dilemparkan Datin Wasilah, benar-benar membuatkan hatinya
terguris.
Pintu bilik dibuka. Kemudian, lekas-lekas dia mahu
menutupnya kembali tetapi tangan Wadi Ridhuan terlebih
dahulu menghalang.
Dengan segala kudrat yang ada, dia cuba menolak
pintu dari dalam seraya berkata, “Abang pergilah ke bilik abang.
Far nak bersendirian!”
“Janganlah tolak pintu ni, Far. Bagilah abang masuk!”
Wadi Ridhuan berusaha menolak pintu itu dari sebelah luar.
“Far tak nak cakap dengan abang sekarang. Berilah
masa untuk Far duduk sorang-sorang!” Pintu masih ditolaknya
dari sebelah dalam sementara suaminya pula tetap berusaha
menahan pintu itu kembali.
Entah bagaimana, ketika berlakunya tolak menolak
itu, pintu bilik akhirnya tertutup juga. Namun, ada pula yang
menjadi mangsa. Kelima-lima jari Wadi Ridhuan tersepit.
“Aduh!”
“Abang!” Farha kelihatan panik. Segera dia menarik
Wadi Ridhuan masuk ke bilik.
“Aduh... sakitnya...” Wadi Ridhuan mengaduh sambil
menggosok-gosok tangannya.
“Far minta maaf, abang. Far tak sengaja,” sambil
meminta maaf, dia membelek tangan suaminya yang sudah
kelihatan kebiru-biruan.
Pandangan mata Wadi Ridhuan tertala pada tubir mata
Farha yang basah. Tanpa menghiraukan sakit yang sedang
dialaminya, dia mula menyoal ringkas, “Far menangis?”
Apabila soalan itu yang diajukan, lekas-lekas Farha
menyapu air matanya. Tidak pula dia sedar bila agaknya dia
menangis. Memang perasaannya sebak sebentar tadi apabila
dituduh secara membuta tuli oleh Datin Wasilah. Tetapi
langsung dia tidak sedar bila masa pula air matanya jatuh.
“Far sedih, abang. Far sedih bila Datin tuduh Far
macam tu,” dia tunduk.
“Abang tahu Far tak buat semua tu. Abang percayakan
Far.”
“Datin dah tak suka Far sejak abang beritahu nak
kahwin dengan Far. Kalaulah dia tahu yang Far ni dah jadi isteri
abang, tentu dia akan membenci Far seumur hidup dia. Tak
mustahil juga dia akan halau Far keluar dari rumah ni.”
“Far janganlah buat andaian yang bukan-bukan.
Kalau rahsia kita terbongkar sekalipun, abang kan ada? Abang
ni suami Far. Dah memang jadi tanggungjawab abang untuk
memberikan Far perlindungan,” ujarnya sambil menarik Farha
dalam pelukan. Digosok belakang isterinya itu berulang kali
dengan lagak memujuk.
Kedua-dua tangan Farha merangkul erat pinggang
Wadi Ridhuan. Wajahnya disembamkan pada dada suaminya itu
sambil melepaskan tangis yang sepertinya tidak mahu berhenti.
“Janganlah menangis sampai macam ni sekali. Abang
tak sanggup nak dengar.”
“Far tak boleh, abang. Far betul-betul sedih. Far dah
tak boleh terima semua ni. Hari-hari Far terpaksa berdepan
dengan kemarahan Datin. Dengan tuduhan yang tak masuk
akal macam tu.”
“Boleh tak kalau Far maafkan saja ibu tu? Abang
mohon bagi pihak ibu. Far maafkanlah dia.”
“Far boleh saja maafkan Datin kalau dia dah tahu yang
Far ni adalah isteri abang. Tapi masalahnya, dia masih belum
tahu apa-apa. Jadi, segala apa yang dia cakap tu, Far memang
tak boleh terima. Susah Far nak maafkan.”
Pelukan serta-merta dileraikan Wadi Ridhuan.
Kemudian dia membalas, “Far nak suruh abang berterus-terang
dengan ibu sekarang ke?”
“Kalau abang sanggup.”
“Tolonglah, Far. Dulu kan Far dah janji dengan abang
untuk bagi abang masa. Tapi kenapa sekarang nampaknya Far
macam nak mungkir janji tu? Kenapa Far tak boleh bersabar
sikit?”
“Tapi Far ni manusia, abang. Far bukannya binatang
yang tak ada perasaan. Telinga ni dah tak berdaya nak dengar
semua tu. Kalau sebelum ni Far boleh bersabar dan berkorban
untuk abang supaya merahsiakan perkahwinan ni, kenapa
abang tak boleh buat perkara yang sama untuk Far? Sekurangkurangnya,
abang carilah tempat untuk Far tinggal supaya
isteri abang ni tak dengar lagi caci maki yang keluar dari mulut
Datin tu. Far dah tak sanggup lagi, abang. Tolonglah.”
“Abang minta maaf. Abang tak boleh tunaikan apa yang
Far mahu.”
“Tapi abang dah janji...”
“Ya, abang tahu abang dah janji dengan Far. Tapi Far
kenalah faham jugak macam mana keadaan abang sekarang ni.
Ayah pergi ke China. Mungkin dalam masa dua bulan lagi urusan
dia akan selesai. Sementara tu, takkan abang nak tinggalkan ibu
sorang-sorang? Abang juga tak boleh carikan tempat tinggal
untuk Far selagi abang tak berterus-terang dengan ibu. Kalau
abang buat macam tu, nanti kita akan tinggal berasingan. Far
faham tak? Abang tak mahu kita tinggal berasingan.”
Dua bulan lagi. Ketika itu pasti kandungannya sudah
mencecah usia 3 bulan. Kalau 3 bulan, perut masih tidak
nampak. Adakah ketika itu Wadi Ridhuan benar-benar akan
mengotakan janji? Farha berkira-kira sendiri. Entah kenapa, dia
tidak yakin Wadi Ridhuan akan mengotakan janji itu.
“Kalau macam inilah cara abang mahu selesaikan
masalah. Untuk menanti dan terus menanti, tak ada gunanya
Far menuntut janji yang abang dah buat,” Farha menjarakkan
diri. Kemudian, dia menapak ke arah katil dan kemudiannya
duduk di situ.
Wadi Ridhuan melangkah perlahan. Di birai katil itu
dia duduk bersebelahan Farha. Ditatapnya wajah Farha dalam
riak bersalah.
“Abang minta sangat-sangat dengan Far. Tolong faham
keadaan abang.”
“Far dah penat, abang. Penat nak menagih janji abang.
Kalaulah Far tahu macam ni keadaannya, dari awal-awal lagi
Far tak mahu kahwin dengan abang. Biarlah Far pergi jauh
dari sini dan membesarkan anak yang ada dalam kandungan ni
seorang diri. Far tak kisah kalau terpaksa lalui keadaan susah
macam tu asalkan hati Far tak sakit seperti apa yang Far alami
sekarang,” ujarnya lemah.
“Jadi Far menyesal kahwin dengan abang?” Soal Wadi
Ridhuan bernada keras. Sungguh dia tidak menyangka Farha
akan berkata begitu.
“Terpulanglah abang nak anggap apa sekalipun. Far
dah tak mahu ambil peduli. Sekarang, baliklah ke bilik abang.
Far nak tidur,” putusnya.
Wadi Ridhuan mendengus kasar. Geram dengan sikap
Farha yang dilihatnya seperti sengaja tidak mahu memahami
situasi yang dihadapinya. Kemudian, bergegas dia keluar dari
bilik itu tanpa memberi salam mahupun mengucap selamat
malam. Dibiarkan isterinya itu tidur dalam kesedihan sambil
bertemankan air mata yang sudah membasahi selimut.
SEPERTI apa yang dijanjikannya bersama Datin Wasilah, Bella
dengan senang hati datang bertamu pada awal pagi di villa
mewah itu. Tanpa dijemput, tanpa disuruh, dia tidak segan silu
untuk bersarapan bersama Wadi Ridhuan dan Datin Wasilah.
“Makanlah, sayang. I suapkan ye?” Bella menyuakan
roti bakar yang disapu mentega kacang ke mulut Wadi Ridhuan
sambil disaksikan Farha dan juga Mak Hendon.
Kedua-duanya sibuk menyediakan apa yang patut di
meja makan itu dan masih lagi tidak boleh berganjak. Farha
memandang perlakuan Bella yang sedang memanjai suaminya
dengan hati yang panas. Wadi Ridhuan pula kelihatannya ringan
sahaja membuka mulut untuk menerima suapan daripada Bella.
Nasi goreng yang dibuatnya selepas solat subuh tadi
langsung tidak dijamah Wadi Ridhuan. Entah kenapa suaminya
itu tidak menjamah nasi goreng itu pada hari ini.
Mungkin kerana pertikaman lidah yang berlaku
lewat malam tadi, membawa kepada perlakuan dingin Wadi
Ridhuan pagi ini. Macam budak-budak! Hati kecil Farha mula
memprotes.
“I dah kenyang la...”
“Alaaa... you tipu...”
“Betul, I dah kenyang. Tadi pun you dah suap banyak,
kan?”
“Betul ni you dah kenyang?”
“Ya, betul. I dah tak boleh nak telan lagi. Tengok ni,
perut I dah penuh,” senda Wadi Ridhuan sambil menepuk
perutnya.
Bella ketawa besar sambil meletakkan kembali roti
bakar itu ke atas pinggan.
Melihat kemesraan itu, jiwa Farha mendidih!
Wadi Ridhuan memandang isterinya tanpa memberi
senyum. Entah kenapa pula dia sanggup melayan Bella di
hadapan Farha. Dalam hati dia mengaku, dia sebenarnya sedang
marahkan Farha. Benar, dia melayan kemesraan Bella sematamata
mahu menyakiti Farha. Dia memang suami yang teruk.
Kutuknya sendiri.
Apabila melihat perlakuan Bella itu, Mak Hendon
mencebik. Cukup dia menyampah apabila setiap kali Bella
bertandang ke situ. Menyampah dengan sikap mengada-ada
Bella dan sifat tidak tahu malu gadis itu.
“You ikut I pergi office, nak?” Wadi Ridhuan menyoal
sambil menarik tangan Bella. Begitu kemas sekali dia mengunci
lengan Bella seolah-olah tidak mahu lepas.
Tidak ada niat sebenarnya untuk dia berbuat begitu.
Kalau boleh, dia langsung tidak mahu mendekati Bella. Tetapi,
tidak tahulah kenapa. Semakin Farha menunjukkan riak
cemburu, semakin seronok dia menujukkan kemesraan kepada
Bella.
Bella tidak menyangka Wadi Ridhuan menarik
tangannya. Hampir-hampir dia mahu melompat kegembiraan.
Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja Wadi Ridhuan berubah
laku dengan memberikan layanan mesra kepadanya.
“You yang ajak, mestilah I nak!”
“Okey, jom. Tengahari nanti bolehlah kita lunch samasama,”
usul Wadi Ridhuan sambil berdiri. Tangannya masih
kejap memaut lengan Bella sementara matanya pula menjeling
ke arah si isteri yang sedang berwajah cemberut.
Dia tahu, Farha kini diulit rasa cemburu. Timbul
pula rasa bersalah apabila dengan sengaja dia menyakiti hati
isterinya.
“Ha, macam inilah bagus. Berbaik-baik, bermesramesra.
Lagipun tak lama lagi, kan dah nak jadi suami isteri,”
celah Datin Wasilah tiba-tiba. Sinis dia tersenyum ke arah
Farha yang masih berdiri di situ.
Farha cuba mengawal emosi. Walaupun kini hatinya
pedih dan terluka apabila menonton kemesraan yang sengaja
ditunjukkan suaminya terhadap Bella, dia masih mampu
berdiri di situ selagi Datin Wasilah tidak mengarahkannya
untuk berlalu.
Namun, ada satu rasa yang tidak enak datang
mengganggu. Perutnya terasa senak tiba-tiba dan tekak pula
berasa mual. Sah! Morning sickness datang lagi. Dia menekan
perut lalu berlari menuju ke arah dapur.
“Apa kena dengan orang gaji you tu? Tiba-tiba pulak
muntah?” Soal Bella sambil mencebik.
“Kurang ajar betul. Hilang selera aku!” marah Datin
Wasilah sambil meletakkan cawan ke atas piring dengan kasar.
Wadi Ridhuan pula memanjangkan lehernya meninjau
ke arah dapur. Lagaknya tidak tenang dan dihambat dengan
rasa ingin memberi perhatian kepada si isteri yang kelihatannya
tidak sihat. Ingin segera dia melangkah ke dapur tetapi sepasang
kakinya tidak membenarkan. Terkunci mati pula di situ.
Mak Hendon menggeleng tatkala melihat layanan
mesra yang diberikan Wadi Ridhuan kepada Bella sebentar tadi.
Tidak terkecuali juga rasa kasihan terhadap Farha.
Dia mula syak gadis itu mengandung tetapi nampaknya
Wadi Ridhuan mahu lepas tangan. Sekarang ini, bekas anak
asuhannya itu memberi perhatian pula kepada Bella. Orang
lelaki semuanya sama, habis madu sepah dibuang! Marah Mak
Hendon sendiri.
“Entah-entah orang gaji auntie tu mengandung tak?”
Bella bersuara selepas beberapa ketika keadaan menjadi sunyi.
“Mengandung? Takkan belum kahwin lagi dah
mengandung?” Datin Wasilah membalas.
“Manalah kita tahu, auntie. Entah-entah dia dah tidur
dengan tukang kebun. Lagipun, Bella tengok tukang kebun
auntie tu pun boleh tahan jugak orangnya.”
Walaupun hatinya sedang memarahi Farha, tetapi
telinga Wadi Ridhuan panas mendengar tuduhan itu. Namun,
dia tidak mampu hendak membela. Risau pula rahsianya akan
terbongkar.
Mak Hendon mengecilkan mata. Geram dengan
perlakuan Wadi Ridhuan satu hal, ditambah lagi dengan tuduhan
Bella satu hal. Akhirnya, Mak Hendon bersuara, “Tak baik
menuduh, Cik Bella. Itu fitnah namanya. Hukum memfitnah
ni, sama besar hukumya dengan membunuh orang.”
“Hei, orang tua! Kau siapa berani-berani nak ajar
aku? Tak sedar diri. Kalau dah orang gaji tu, buatlah macam
cara orang gaji. Jangan berlagak nak jadi tuan pulak!” Tinggi
nada suaranya apabila mengherdik Mak Hendon. Kakinya pula
dihentak ke lantai.
Wadi Ridhuan pejam mata. Kata-kata Bella amat
meyakitkan telinga. Lalu dia pun mencelah, “Bella, you
janganlah melampau sangat. You tahu tak tadi you bercakap
dengan siapa? Dengan orang yang mengasuh I daripada I kecik
tau. Bukannya sebarangan orang you boleh bercakap kasar dan
menghina sesuka hati!”
“Alah, dia cuma pengasuh you aje pun. Bukannya mak
kandung. Tak perlulah you nak bela dia sangat!”
PANG!!!
“Wadi!” Datin Wasilah berdiri. Terbuntang luas
matanya tatkala melihat tapak tangan Wadi Ridhuan singgah
ke pipi Bella.
“Auntie, Wadi pukul Bella!” Rengeknya sambil
menghentak kaki beberapa kali seperti anak kecil yang sedang
inginkan sesuatu.
Mak Hendon terperanjat. Tidak menyangka Wadi
Ridhuan bertindak demikian semata-mata mahu membelanya.
Kepalanya digeleng beberapa kali. Tanpa berlengah, tangan
tuanya terus menarik Wadi Ridhuan supaya mengikutinya ke
halaman belakang.
Di situ, dia ‘membasuh’ Wadi Ridhuan cukup-cukup.
“Mak tak pernah ajar Wadi naik tangan pada perempuan!”
“Tapi dia dah melampau, mak.”
“Itu mak tahu. Tapi tak semestinya Wadi boleh pukul
dia. Bella tu perempuan tahu tak? Wadi ni lelaki, tapak tangan
Wadi tu kasar. Mana boleh sesuka hati Wadi letak tangan pada
pipi seorang perempuan?”
“Dia hina mak depan saya dan saya tak boleh terima
kalau ada orang menengking mak macam tu.”
“Ya, memang dia melampau. Tapi Wadi pun apa
kurangnya!”
“Maksud mak?”
“Kenapa Wadi buat Farha macam tu?”
“Saya buat apa?” Soalnya pura-pura tidak mengerti.
Bimbang sungguh kalau rahsia perkahwinannya pecah di
hadapan Mak Hendon.
“Buat apa? Wadi boleh lagi tanya mak?” Tangan tuanya
hinggap beberapa kali pada belakang badan Wadi Ridhuan.
“Aduh! Sakitlah mak,” belakang badannya digosok.
“Dah besar-besar macam ni pun, nak mak pukul lagi
ke? Hah? Hari tu kata dah insaf. Sekarang buat lagi!”
“Mak cakap apa ni? Saya tak faham,” kepalanya digaru
sebentar.
“Ni, dengar sini baik-baik. Farha tu mengandung.
Mana janji Wadi nak kahwin dengan dia? Sekarang ni mak
tengok Wadi macam nak berbaik semula dengan Bella. Apa ni?”
Hati Mak Hendon kian mendidih nampaknya.
Wadi Ridhuan mengeluh panjang. Sudah tidak ada
pilihan lagi, dia terpaksa berterus-terang sahaja dengan Mak
Hendon. Kemudian, langsung sahaja mulutnya didekatkan
pada telinga ibu tua itu lalu berbisik sesuatu.
Mak Hendon memandang Wadi Ridhuan dari atas
sampai ke bawah. Tidak percaya dengan penjelasan yang
dibisikkan ke telinganya sebentar tadi.
“Betul ke ni? Apa, Wadi tak main-main?”
“Betul, mak. Kalau mak tak percaya, mak boleh tanya
Farha sendiri. Kalau cakap Farha pun mak masih tak percaya,
saya boleh tunjukkan bukti pada mak.”
Mak Hendon memejamkan matanya. Kemudian,
kedua-dua tangannya ditadahkan. Mulutnya terkumat-kamit
berdoa sambil bahunya kemas dirangkul Wadi Ridhuan. Dia
bersyukur, sangat-sangat bersyukur apabila Wadi Ridhuan
menepati janji. Walaupun secara rahsia, tetapi dia boleh terima
dan faham bagaimana keadaan yang begitu mendesak Wadi
Ridhuan supaya merahsiakan perkahwinan itu.

No comments:

Post a Comment