DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 15

BADANNYA tersengguk-sengguk melepaskan
tangis. Sungguh tidak disangka-sangka, Wadi Ridhuan
tergamak melukakan hatinya hanya disebabkan pertelingkahan
kecil yang berlaku malam tadi.
Tangisnya terhenti tatkala mendengar ketukan di
pintu bilik. Dia mendongak. Air mata disekanya pantas. Kaki
melangkah lemah menuju ke pintu. Terjojol wajah suaminya
sebaik sahaja pintu dibuka. Sepasang matanya merenung tajam.
Sakit hatinya apabila terpandangkan wajah itu.
“Abang nak apa? Tak puas lagi sakitkan hati Far?”
Soalnya keras. Wadi Ridhuan melemparkan senyuman kelat.
Dia tahu, dia sudah membuat kesalahan.
“Kalau ya pun, bagilah abang masuk dulu.”
Farha tersenyum sinis lalu membidas, “Tak perlulah
abang nak masuk sini. Nanti kalau Datin tahu, dituduhnya
pulak Far yang heret abang masuk semata-mata nak goda
abang. Lagi satu, abang kan dah nak kahwin dengan Cik Bella.
Kan tak elok kalau abang masuk ke bilik perempuan lain.”
“Far jangan nak merepek boleh tak? Far kan isteri
abang. Perempuan lain apa pulak?”
“Oh, sedar pun yang Far ni isteri abang. Kalau dah
tahu macam tu, yang abang duduk berkepit dengan Cik Bella
depan-depan Far tadi tu kenapa?” Farha mengecilkan mata.
Bibir diketap rapat. Kelihatan tubir matanya masih lagi basah.
Tanpa menghiraukan bebelan Farha, Wadi Ridhuan
melangkah masuk. Pintu bilik ditutup tetapi tidak dikunci.
Tangan kanannya memaut lengan Farha sehingga melangkah
rapat ke katil. Diarahkan supaya isterinya duduk.
Farha akur.
“Jom kita pergi klinik.”
“Tak mahu.”
“Abang tahu Far tak sihat. Marilah abang bawa Far
jumpa doktor.”
“Far cakap tak mahu, tak mahulah!”
“Kenapa dengan Far ni? Abang dah baik-baik macam ni
pun, Far masih lagi nak marah-marah?”
“Baik konon. Baik apanya kalau depan isteri pun abang
sanggup bermesra dengan perempuan lain? Baik ke macam tu?”
Wadi Ridhuan menahan senyum sebaik sahaja Farha
berkata begitu. “Cemburu tandanya sayang, maksudnya cinta.
Cara Far cakap malam tadi, macam menyesal aje kahwin
dengan abang. Tapi hari ni, Far nampak cemburu pulak bila
abang layan Bella mesra macam tu. Ingatkan Far dah tak sayang
abang lagi dah,” ujarnya dalam nada mengusik.
Kemudian, dia menyambung bicara, “Abang tahu
dalam hal ni, biarlah abang saja yang mengalah. Tak ada
gunanya abang terus bersikap dingin dengan Far. Alih-alih,
Far jugak akan buat perkara yang sama pada abang. Hidup
berumahtangga, salah seorang mesti mengalah. Mana boleh
dua-dua nak tunjuk keras kepala. Lebih-lebih lagi abang ni
suami. Tak begitu, Far?”
“Tahu pun...” nada suara Farha sudah mendatar.
Ketegangan yang dirasainya tadi nampaknya sudah berkurangan
sedikit.
“Meh la kita pergi klinik.”
“Tak perlulah. Abang kan nak pergi kerja. Siap nak
bawa Cik Bella pergi pejabat lagi. Nanti Far ni mengganggu
pulak,” Farha membalas dalam nada menyindir.
“Aik? Marah lagi nampaknya.”
“Mahunya tak marah,” Farha ketap bibir. Masih
terbayang di matanya apa yang berlaku di meja makan tadi.
“Yang tadi tu abang cuma berlakon aje,” Wadi Ridhuan
menjelaskan niatnya yang sebenar.
“Lain kali kalau abang berlakon macam tu lagi, Far
lari!” Ugut Farha sambil meluaskan biji mata.
“Ooo... nak lari ye? Far lari, abang kejar!” Usiknya
dengan bibir yang melebar. Gelak kecil mula terlepas keluar.
Baginya, kemarahan dan rajukan Farha tidak boleh dilayan
panjang-panjang. Nanti makin menjadi-jadi pula. Adalah lebih
baik kalau dia buat-buat bodoh dan bergurau sahaja.
“Abang ni kan!” Farha kacip gigi.
“Okey, okey... abang tak buat lagi,” kedua-dua tangan
diangkat rapat ke dada. Lagak seperti orang meminta ampun.
“Sampai hati abang tak makan nasi goreng yang Far
buat,” Farha tunduk. Sangat berjauh hati nampaknya dia.
Wadi Ridhuan mengeluh. Kaki melangkah mendekati
isterinya yang sedang duduk di birai katil itu. Dagu Farha
disentuh dan diangkat lalu dia pun berkata, “Abang minta maaf.
Disebabkan abang marahkan Far malam tadi, nasi goreng Far
pulak yang jadi mangsa.”
“Abang memang..” pinggang Wadi Ridhuan pantas
dicubit. Suaminya itu pura-pura mengaduh sakit. Hilang pula
segala luka di hatinya sebentar tadi.
“Pergilah bersiap. Abang nak bawa Far pergi ke
klinik untuk buat pemeriksaan kesihatan. Lagipun sejak Far
mengandung, abang tak pernah bawa Far pergi jumpa doktor.”
“Habis tu, kerja abang macam mana?” Soal Farha
hairan.
Wadi Ridhuan tersenyum lalu membalas, “Abang
masuk lewat sikitlah ke pejabat hari ni. Erm, dah. Jangan
banyak alasan. Pergi bersiap sekarang. Abang tunggu.”
“Nanti Far nak bagi alasan apa pulak kalau Datin
nampak Far keluar?”
“Laaa... Far janganlah keluar ikut pintu depan. Keluar
ikut pintu belakanglah macam biasa.”
“Banyak hensem muka abang? Nak suruh Far buat
macam tu? Mahunya Datin cari Far satu rumah nanti, Far nak
jawab apa bila balik dari klinik?”
“Apa, tak cukup hensem lagi ke abang ni?” Wadi
Ridhuan sudah mula mengusik. Dia tersengih.
Farha ketap bibir. Geram sungguh dia dengan gurauan
seperti itu. Lagi sekali tangannya pantas mahu mencubit tetapi
Wadi Ridhuan cepat-cepat mengelak.
“Tak kena!” Tawa halus mula pecah tetapi tawa itu
tidak berlarutan kedengaran apabila isterinya sudah berwajah
mencuka.
“Okey, okey... macam ni lah. Cakap dengan ibu, Far
nak pergi klinik. Tentu ibu izinkan. Dia kan dah dengar tadi
Far muntah-muntah. Tentulah dia tahu Far tak sihat. Alah, ibu
tu bukannya teruk sangat pun,” usul Wadi Ridhuan memberi
keyakinan.
“Baiklah, Far cuba,” Farha bersetuju untuk menurut
cadangan itu.
“Okey, cepat bersiap. Abang tunggu,” gesanya sambil
menyeluk kedua-dua tangan ke dalam poket seluar.
Farha mendongak memandang si suami yang masih
tercegat. Dahinya berlapis. “Yang abang berdiri kat sini lagi
kenapa? Pergilah keluar dulu. Far nak tukar baju ni.”
“Eh, salah ke kalau abang nak tunggu Far kat sini?”
“Salah tu taklah tapi Far nak tukar baju... err... Far...”
“Kenapa? Malu nak tukar baju depan abang?”
Potong Wadi Ridhuan dengan bicara Farha yang tidak selesai.
Dia tersenyum nipis. Seronok melihat wajah si isteri yang
kelihatannya sudah kemerah-merahan itu.
Farha tunduk dan mengangguk tanda mengiakan
telahan yang dibuat suaminya.
“Nak malu apa lagi ni? Erm? Dengan abang, tak perlu
nak malulah,” sengih Wadi Ridhuan lalu duduk di sebelah
Farha.
“Tapi Far masih lagi tak biasa. Abang pun tahu kan,
bilik kita berasingan. Keadaan tu buat Far masih segan dengan
abang,” ujar Farha secara jujur.
“Habis tu, yang Far dah tiga kali tidur dengan abang,
tak rasa malu?” Giat Wadi Ridhuan mahu menyakat.
“Itu lain cerita,” jawabnya perlahan. Merah pipinya
untuk menjelaskan maksud yang sebenar.
“Oh, abang faham. Erm, malam ni nak tidur dengan
abang lagi tak? Lagipun malam tadi abang tidur sorang-sorang.
Kesian abang tak ada orang peluk. Sejuk!” Wadi Ridhuan
berpeluk tubuh dengan aksi seperti orang kesejukan lalu
disambut tawa kecil oleh Farha.
Tawa kecil itu terhenti lalu dia membalas, “Far pun
tidur sorang-sorang jugak malam tadi. Abang merajuk dengan
Far, kan?”
“Dah Far marah-marah. Abang merajuk la...”
“Ee... tak malu orang lelaki merajuk. Kalah orang
perempuan,” tumbukan kecil dilepaskan ke bahu Wadi Ridhuan.
“Alah, malam tadi kalau Far tahu abang merajuk, ada
Far nak pujuk abang? Tak ada, kan? Alih-alih hari ni, abang
jugak yang mengalah.”
“Malam tadi pun Far merajuk jugak. Abang tu yang
sepatutnya pujuk Far.”
“Hah, elok sangatlah tu. Dua-dua merajuk! Habis tu,
siapa yang nak pujuk siapa ni?” Wadi Ridhuan tertawa kecil di
hujung bicara. Tangannya kemas merangkul bahu Farha.
“Kalau dua-dua merajuk, biar mak saja yang pujuk!”
“Mak cik!” Farha segera bingkas. Wajahnya cemas!
Wadi Ridhuan tersenyum. Lagaknya hanya biasa-biasa
sahaja apabila melihat kelibat Mak Hendon yang masuk ke bilik
secara tiba-tiba.
“Mak cik dah tahu semuanya, Farha.”
“Tahu apa, mak cik?” Soalnya gugup. Dia menoleh ke
arah Wadi Ridhuan yang masih tidak beriak apa-apa. Tingkah
suaminya yang selamba itu membuatkan dia berasa hairan.
Mak Hendon tersenyum tawar dan kemudiannya
menjawab, “Tahu yang kamu berdua dah jadi suami isteri.”
“Abang ke yang beritahu mak cik?” Soal Farha kepada
Wadi Ridhuan yang sedang mendongak memandang ke arahnya.
Suaminya itu hanya mengangguk perlahan.
Barulah kini dia faham kenapa Wadi Ridhuan tidak
terperanjat apabila Mak Hendon muncul dan ternampak dia
bersama Wadi Ridhuan bergurau senda dan bermesra di dalam
bilik itu. Farha memejamkan mata sambil menarik nafas lega.
Sekurang-kurangnya Mak Hendon sudah tahu. Lepas sedikit
‘seksanya’.
“Wadi, mak harap lepas ni Wadi ubah-ubahlah sikap.
Ubah sungguh-sungguh. Wadi dah ada Farha. Dia adalah isteri
yang diamanahkan untuk Wadi jaga. Bimbing dan didiklah dia
dengan sebaik mungkin. Jangan asyik melayan Cik Bella tu
lagi.”
“Mak, kat meja makan tadi tu saya berlakon aje sebab
nak tengok isteri saya ni sungguh-sungguh sayangkan saya atau
tak. Malam tadi kami ada salah faham sikit dan saya fikir Farha
menyesal kahwin dengan saya.”
“Tapi itu bukan caranya untuk Wadi menguji. Tak
ada cara lain lagi ke yang Wadi boleh buat? Cara yang macam
tu, boleh melukakan hati dia. Wadi tahu kan Farha sedang
mengandung. Perempuan mengandung ni mudah terasa. Ingat
tu,” panjang lebar Mak Hendon membebel sambil ‘membasuh’
Wadi Ridhuan dan bekas anak lelaki asuhannya itu hanya
mengangguk faham tanpa membalas apa-apa lagi bicara.
PULANG DARI klinik, Wadi Ridhuan tidak terus memandu
balik ke rumah. Sengaja dia mahu membawa Farha bersiar-siar.
“Eh, abang nak ke mana ni?” Soal Farha dengan
kepalanya tertoleh ke sebelah kiri apabila mendapati suaminya
memandu menuju ke arah pusat bandar.
Mendengar pertanyaan itu, Wadi Ridhuan tersenyum
seraya membalas, “Nak bawa isteri abang jalan-jalan.”
Farha mengerutkan dahinya. Hairan barangkali dan
kemudian menyoal lagi, “Tapi abang kan kena pergi ke pejabat
nanti?”
“Dah alang-alang abang bawa Far keluar hari ni, kita
pergi bersiar-siar ajelah. Lagipun, abang nak belikan sesuatu
untuk Far.”
“Habis tu, abang tak nak pergi kerja?”
Wadi Ridhuan mengangguk. Bibir yang lebar dengan
senyuman tadi semakin melebar pula senyumnya.
Farha menggeleng sekali dua lalu menyambung
bicara, “Isy, apa abang ni? Hari tu dah kena marah dengan Dato’
sebab banyak kali tak masuk pejabat. Hari ni abang buat lagi ye?
Mentang-mentanglah Dato’ tak ada.”
“Alah, sayang ni. Dah mula la tu nak membebel.”
“Far bukannya membebel tapi Far cuma nak ingatkan
abang aje. Abang buatlah selalu perangai macam ni. Nanti
anak kita dalam perut ni pun akan ikut jejak langkah abang
pulak,” sindir Farha sambil mengusap perutnya perlahan.
Perut yang masih kecil itu tidak menampakkan yang dia sedang
mengandung.
“Okeylah. Lepas ni, abang tak buat lagi dah. Sekali ni
aje,” Wadi Ridhuan tersengih sambil tangannya ringan sahaja
menggosok kepala Farha.
Selepas memarkir kereta, Wadi Ridhuan memimpin
tangan Farha untuk melintas jalan. Ketika memasuki pusat
membeli-belah Billion, Farha tersenyum panjang. Tiba-tiba
sahaja ingatannya kembali segar sewaktu Wadi Ridhuan
membelikannya beg tangan. Ketika itulah benih-benih cinta
untuk suaminya itu mula tumbuh dan semakin menjalar di
segenap ruangan hati.
“Bila Far dah ada telefon bimbit sendiri, nanti senang
kita nak berhubung,” bicara suaminya mengejutkan Farha dari
lamunan.
Wadi Ridhuan memerhati beberapa buah telefon
bimbit yang berada di bawah meja berkaca itu. Farha sekadar
memandang sekali imbas kerana dia tidak berapa mahir dalam
selok-belok memilih barangan canggih seperti itu. Jadi, dia
menyerahkan sahaja tugas memilih dan membeli kepada
suaminya.
Selepas urusan membeli telefon bimbit itu selesai,
mereka berjalan sambil menjamu mata memerhati barangbarang
yang dijual mahupun pengunjung yang lalu lalang.
“Abang nak belikan pakaian perempuan mengandung
untuk Far. Jom kita masuk situ.”
Belum sempat Wadi Ridhuan mahu melangkah, Farha
sudah bersuara, “Far rasa pakaian tu kita tak perlu beli lagilah,
abang.”
“Kenapa tak nak beli? Pakaian yang Far ada sekarang
masih muat lagi ke?”
“Erm, masih padan lagi. Cuba abang tengok ni,” ujar
Farha sambil membelek-belek pakaian yang melekat di tubuh.
Kemudian, dia berpusing sekali dua.
Wadi Ridhuan tersengih apabila Farha beraksi begitu.
Dia menggeleng, “Dah macam model pulak isteri abang ni.”
“Isteri abang macam model ye?” Soal Farha bernada
manja.
“Ya, macam model. Tapi model untuk abang saja tau.
Bukan model untuk tontonan orang lain. Lain kali jangan buat
macam ni lagi. Kalau nak buat jugak, buat kat rumah. Dalam
bilik. Biar abang sorang saja yang boleh tengok,” ujar Wadi
Ridhuan bernada cemburu.
Farha mengerutkan muka. Kemudian, mulutnya
ternganga sedikit apabila aksi spontannya tadi mengundang
beberapa mata yang memberi perhatian kepadanya. Mulut
ditutup untuk menyembunyikan senyum.
“Abang marah?” Soalnya sambil menarik lengan Wadi
Ridhuan bermaksud untuk memujuk. Sengaja dia melentokkan
kepala pada bahu suaminya itu.
Wadi Ridhuan tersenyum nipis. Ungkapan maaf yang
menjengah telinga diiringi lagak manja si isteri membuatkan
dia terpanar sebentar. Sungguh, Farha tidak pernah semanja ini
apabila berdua dengannya.
“Tak marah, tapi... abang sayang...”
“Sayang siapa?” Farha pura-pura bertanya.
“Sayang Far la...”
“Banyak mana abang sayang Far?” Nampaknya giliran
Farha pula yang hendak mengusik.
“Banyak yang tak terkira.” Jawab Wadi Ridhuan
ringkas.
“Itu saja?” Farha muncung. Tidak senang dengan
jawapan ringkas yang diberi.
“Tak cukup lagi?”
Farha menggeleng sambil mencebik.
“Tamak betul...” sengih Wadi Ridhuan sambil memicit
hidung si isteri.
“Far cuma tamakkan kasih sayang abang aje. Takkan itu
pun tak boleh?” Senda Farha dengan melemparkan senyuman
manis.
“Kasih sayang abang bukan untuk Far sorang,” sengaja
Wadi Ridhuan berkata begitu. Matanya ditala ke atas. Bibirnya
juga dicebik. Ada-ada sahaja ideanya mahu mengusik. Dalam
hati, dia menyimpan senyum yang ingin meletus.
Wajah Farha berkerut. Maksud di sebalik bicara Wadi
Ridhuan, dia tidak mengerti. Lalu menyoal, “Apa maksud abang
ni?”
“Lepas ni ada orang lain yang perlu abang beri
perhatian,” Wadi Ridhuan pura-pura beriak serius.
“Siapa? Cik Bella ke?” Farha berpeluk tubuh di hujung
pertanyaan itu. Wajah ditarik seketat-ketatnya.
“Bella nak buat apa? Langsung tak ada dalam kamus
hidup abang.”
“Dah tu, siapa?” Farha mendongak ke arah suaminya
yang mempunyai susuk tubuh lebih tinggi.
Wadi Ridhuan menjeling sambil tangannya pantas
memicit hidung Farha dengan memberikan jawapan, “Anak
kitalah!”
“Far ingatkan siapalah tadi. Erm, kalau pasal anak kita,
abang nak bagi lebih kasih sayang daripada Far pun tak apa,”
putus Farha sambil menarik tangan suaminya untuk beredar.
Nampaknya hajat Wadi Ridhuan untuk membeli
pakaian perempuan hamil buat Farha terpaksa ditunda atas
kehendak Farha sendiri. Kata Farha, masih terlalu awal.
Mereka berdua bergegas mahu keluar dari pusat
membeli-belah itu dengan segera. Risau pula Wadi Ridhuan
kalau terlewat pulang ke rumah kerana bimbang sekiranya
Farha dimarahi ibunya.
Namun, sebaik sahaja mereka melintasi outlet yang
menjual jeruk dan asam, tiba-tiba langkah Farha terhenti.
Melihat pada jeruk dan asam yang berbalang-balang itu, dia
meneguk liur.
“Kenapa sayang?” Soal Wadi Ridhuan tidak memahami.
Pertanyaan suaminya tidak dijawab. Pandangannya
hanya tertala pada balang-balang itu. Hendak meminta supaya
Wadi Ridhuan membelikan untuknya, dia tidak berani kerana
selama ini, dia tidak pernah meminta-minta untuk dibelikan
sesuatu.
Tetapi pada kali ini, entah kenapa. Dia begitu kepingin
sekali untuk merasai jeruk dan asam itu. Apakah dia mengidam?
Farha mengeluh.
“Far, kenapa ni? Tiba-tiba saja Far berhenti? Ada apaapa
yang Far nak beli ke?” Wadi Ridhuan menyoal lagi tanpa
melihat ke arah outlet yang menjual bahan makanan jeruk dan
asam itu.
“Far... Err... Far nak tu...” bibirnya memuncung
sementara suaminya pula menggaru kening dengan maksud
tidak memahami.
“Far nak apa ni, sayang? Erm? Nak apa? Nak mintak
cium?” Melihat pada bibir yang memuncung begitu, Wadi
Ridhuan giat hendak menyakat.
“Apa pulak mintak cium? Teruklah abang ni. Far nak
tu la. Tu... tu... tu...” bibirnya memuncung lagi dan pada kali
ini suaminya mula menoleh ke arah sesuatu. Dia mengecilkan
mata untuk melihat dengan lebih jelas.
“Tu?” soal Wadi Ridhuan dengan jari telunjuknya
diangkat. Laju sahaja Farha mengangguk sambil
menghadiahkan senyuman lebar.
“Makanan macam tu tak baguslah. Far kan tengah
mengandung. Tak elok makan jeruk. Erm, tak perlu makanlah
ye?”
“Tapi abang, Far teringin sangat nak makan.
Bolehlah...” lengan Wadi Ridhuan digoncangnya perlahan.
“Tak bolehlah, Far. Cuba Far tengok air warna kuning
dalam jeruk tu. Mesti ada dimasukkan satu bahan yang tak
bagus untuk membuatkan jeruk tu tahan lama. Tentu ada
bahan kimia. Nanti jejaskan kesihatan Far pulak,” ujar Wadi
Ridhuan bernada nasihat.
“Alah, bolehlah abang. Sekali ni aje. Boleh la... abang
tak kesian kat Far ye? Far mengidam ni tau.”
Wadi Ridhuan menggeleng. Nampaknya Farha berkeras
mahu membeli jeruk itu. Timbul pula rasa tidak sampai hati
untuk menghalang selera Farha yang kini sedang berbadan dua.
“Okey, baiklah. Tapi, sikit aje tau.”
“Okey!” Farha seakan-akan mahu melompat. Teruja
benar reaksi wajahnya apabila Wadi Ridhuan memberi
kebenaran.
Sebaik sahaja Farha mahu melangkah, Wadi Ridhuan
menghalang tiba-tiba. “Nanti dulu. Biar abang yang pergi beli.
Far tunggu sini. Kalau Far yang beli, abang tak percaya Far
akan beli sikit. Mesti beli banyak punya.”
Farha ketap bibir dengan menarik muka panjang.
Nampaknya Wadi Ridhuan tidak mempercayainya. Entah
banyak manalah suaminya akan membeli jeruk itu. Sudah tentu
dibelinya dengan kuantiti yang sedikit. Rungut Farha dalam
hati.

No comments:

Post a Comment