KETIKA aku parkir motosikal Maxsym 400i
berwarna kelabu, kereta Mini Cooper S Coupe Bos 1B3K
sudah terparkir. Kegilaan apakah yang melanda dia ni,
tiba-tiba rajin bekerja? Selama ini tiap-tiap hari dia datang
lambat. Tiba-tiba di hari Sabtu yang sepatutnya hari rehat,
dia datang pukul sembilan pagi pula.
Dia kata mesti datang dalam masa setengah jam.
Aku sudah terlewat sepuluh minit. Macam mana tidak lewat,
selepas dia telefon tadi aku naik atas dan tukar pakaian. Asalnya
aku sudah pakai jean dan t-shirt lengan panjang. Memang
sesuailah untuk kerja-kerja mengeluarkan barang-barang
Naani dan Thia dari kotak. Dan sesuai juga untuk dipakai
petang dan malam ini. Apabila bos kata dia ada mesyuarat,
terpaksalah aku tukar kepada pakaian yang lebih sesuai.
Tukar baju bermakna kenalah menggosok dulu
sebab pakaian pejabat yang sudah digosok cukup-cukup
untuk lima hari. Hendak minta Mak Mah tolong gosokkan,
tidak tergamak sebab dia bukan pembantu rumah aku.
Sebagai orang yang menumpang di rumah mama, aku rasa
tidak wajar menggunakan khidmat Mak Mah seolah-olah aku
ini anak mama sedangkan aku hanya adik kepada menantu
mama.
Selepas tukar baju aku call Naani untuk memberitahu
aku mungkin tak dapat datang ke rumah baru dia. Kalau si
bengkeng benarkan aku balik cepat, aku akan terus pergi ke
rumah Naani. Naani pun hairan kenapa si bengkeng tu suruh
aku datang ke pejabat. Sesuatu yang tak pernah berlaku
sebelum ini.
Pintu bilik dia tertutup ketika aku sampai. Aku letak
helmet di atas kabinet fail, tarik nafas dalam-dalam dan pergi
ketuk pintu bilik dia. Dengar dia suruh masuk, baru aku
buka pintu. Dia sedang duduk atas sofa sambil membaca. Dia
pakai t-shirt berkolar dan seluar bermuda. Tak berkenan aku
tengok seluar bermuda dia yang ternaik sikit bila dia duduk.
Kalau dia berdiri, aku rasa seluar tu paras lutut dia saja.
“Pukul berapa sekarang?” Dia tanya dengan suara
garang selepas aku memberi salam.
“Maaf bos, saya terpaksa uruskan hal rumah sebelum
datang.”
“Kenapa? Kau kena masak untuk anak-anak dulu?”
“Saya belum kahwin.”
“Aku dah agak dah. Muka macam kau ni mana ada
orang nak. Aku tengok pun menyampah.”
Kurang asam, dia kutuk muka aku! Setahu aku
belum pernah orang kata aku tak lawa. Orang puji aku cantik
adalah. Cuma ramai yang kata walaupun aku cantik, aku tak
pandai bergaya. Tiap-tiap hari pakai seluar dan blaus saja.
Tudung pula tak pernah lain daripada tudung Syria. Tapi
itulah yang paling selesa dan sesuai. Tak kenalah pakai kebaya
bagai kalau naik skuter, kan? Kalau aku pakai tudung yang
ada awning atau shawl yang kena lilit bagai, susah nak pakai
helmet.
Aku jeling si bengkeng. Dia buat muka selamba.
Puas hati agaknya dapat kutuk aku. Tapi aku tak puas hati
kalau tak balas.
“Saya tahu saya tak cantik, tapi bos tak payahlah
kutuk. Orang kata kalau Allah nak balikkan, benda yang
kita benci boleh bertukar jadi benda yang kita suka. Kalau
hati bos bertukar, setakat suka kat saya okey lagi. Tapi kalau
ditakdirkan bos jatuh cinta dengan saya, macam mana?
Sanggup ke tarik balik kata-kata bos tadi?”
Dia bagi aku senyuman sinis. Itulah senyuman
paling sinis yang pernah aku lihat. Lepas tu dia balas.
“Selagi otak aku waras, aku takkan jatuh cintalah
dengan kau. Aku tak suka perempuan pakai tudung.
Perempuan pakai tudung ni, nampak saja baik. Tapi
sebenarnya jahat. Hipokrit.”
Menyirap darah aku bila dia kutuk orang bertudung.
Patutlah hari tu dia suruh aku datang kerja jangan pakai
tudung. Oh, tak suka perempuan yang pakai tudung ya?
Baik, aku akan buat dia suka perempuan yang pakai tudung.
Macam mana aku nak buat, nanti aku fikirlah.
“Buatkan aku kopi. Aku belum sarapan lagi.”
“Kopi tak ada bos. Kak Biah tak kerja hari ni.” Dia
ingat aku tea lady ke?
“Kalau dia tak ada, kau buatlah.”
“Saya tak pandai buat kopi. Kalau bos nak jugak,
saya boleh buatkan, tapi jangan salahkan saya kalau kopi tu
rasa kicap.”
Bos 1B3K berdiri. Dia masukkan kedua-dua tangan
dalam kocek dan pandang aku dengan mata yang tajam. Tak
takut pun. Tapi aku malas nak balas renungan dia, jadi aku
rendahkan pandangan. Terpandang lutut dia. Betullah seluar
bermuda dia labuhnya tepat-tepat atas lutut. Dia ni jahil
betullah. Tak tahu ke batas aurat untuk orang lelaki?
Rasa tidak selesa pula apabila dia renung aku
lama-lama macam tu. Aku berpaling, hendak keluar dari
bilik dia. Dia pun tidak menegah. Sampai di meja kerja aku,
aku keluarkan tiga fail nipis yang sudah berisi dengan sebut
harga yang aku semak semalam. Ketika hendak hantar fail itu
ke dalam, tiba-tiba aku rasa kasihan apabila mengenangkan
dia belum sarapan. Macam mana hendak kerja kalau perut
kosong?
Aku angkat gagang telefon. Nombor Restoran
Ketumbar di seberang jalan yang sudah melekat dalam
ingatan, aku dail. Aku pesan sebungkus air kopi dan
sepinggan nasi lemak. Kata Ani pekerja restoran yang sudah
biasa dengan aku, ada lauk rendang paru dan sambal sotong.
Aku pilih rendang paru. Selepas itu aku masuk dan hulurkan
fail kepada Bos 1B3K.
“Kenapa bos tukar meeting ke hari ni?”
“Sebab aku dah suruh batalkan meeting pada hari
Isnin, kau tak nak.”
“Tapi bos, hari ini semua orang tak kerja. Takkan bos
seorang yang nak jumpa dengan wakil syarikat tu? Diaorang
pun tak kerja hari ni. Bos menyusahkan diaorang tau, suruh
diaorang datang hari cuti.” Aku luahkan rasa tidak puas hati.
Sebenarnya aku tak peduli pun bila dia nak bermesyuarat.
Kalau dia suka hari Ahad pun aku boleh aturkan mesyuarat
pada hari Ahad. Tapi aku geram sebab kena datang kerja hari
ni. Kalau beritahu awal-awal, tidak apa juga. Harap-harap aku
kena kerja sekejap saja.
“Firstly, aku tak ada masalah jumpa wakil syarikat
hiasan dalaman seorang diri. Ini syarikat aku, suka hati
akulah. Secondly, mereka tu pemberi perkhidmatan, kita
bayar mereka. Kalau mereka nak bisnes dengan kita, mereka
kena ikut cakap kita. Kalau datang berbincang masa hari cuti
pun tak sanggup, jangan harap aku nak bagi bisnes.”
Okey, aku setuju dengan alasan dia walaupun hati
aku sakit sebab kena kerja hari Sabtu. Bukannya aku tak biasa
bekerja pada hari Sabtu pun. Masa kerja dengan mama dulu,
selalu juga aku ikut mama ke pejabat pada hari Sabtu.
“Saya bukan berkira pasal kerja bos, tapi sebenarnya
hari ni saya sudah ada program.” Aku terangkan kerana tidak
mahu dia anggap aku pemalas dan berkira soal kerja.
Bos 1B3K senyum. Sepatutnya aku suka sebab sejak
dua hari lepas, boleh bilang dengan jari berapa kali dia senyum.
Pada kebanyakan masa, muka dia muram. Ada masanya muka
dia bengis. Tapi hati aku sakit tengok senyuman dia sebab dia
buat senyuman mengejek.
Aku keluar dari bilik dia. Hidupkan komputer.
Sementara menunggu Cik Priya Kumar daripada Syarikat
Anjung Décor sampai, aku hendak buat kerja sikit.
Baru hendak tekan papan kekunci, Lan pekerja
Restoran Ketumbar sampai. Aku bayar harga makanan dan
pergi ke pantri. Kopi aku tuangkan ke dalam mug. Aku ambil
juga sebiji pinggan, sudu dan garpu.
“Saya belikan bos sarapan.” Kataku sambil membawa
beg plastik berisi bekas polistirena, pinggan, sudu, garpu dan
mug yang penuh kopi. Aku letakkan di atas meja bulat yang
terletak di tengah bilik dia. Aku terus keluar. Malas tengok
muka dia. Rasa sakit hati sebab dia sudah ganggu program
aku hari ni masih belum hilang.
Lima minit sebelum pukul sepuluh, Cik Priya Kumar
sampai. Bos 1B3K suruh aku masuk sekali dalam mesyuarat.
Aku kemaskan dulu pinggan, bekas polistirena, mug dan
sudu serta garpu. Licin semuanya. Laparlah tu!
Masa mesyuarat, aku tengok Bos 1B3K ni
tersengih-sengih pandang Priya. Memang Priya tu cantik.
Kening dia lebat, hidung dia mancung, rambut dia panjang
dan hitam pekat. Aku suka cara dia bagi penerangan. Jelas
dan terperinci. Dia jelaskan satu per satu bahan-bahan yang
digunakan untuk perabot yang syarikat dia bekalkan. Dia
juga boleh terangkan justifikasi penggunaan bahan, saiz dan
tempat letak. Contohnya kenapa gunakan kerusi fabrik dan
bukan kulit, kenapa cermin digantung di sebelah pintu dan
kenapa pilih terendak lampu yang lonjong.
Aku puas hati dengan penerangan Priya. Tinggal lagi
harga yang dia bagi itu aku tidak pasti adakah berpatutan.
Kalau diikutkan, antara ketiga-tiga sebut harga, harga dia
yang paling tinggi.
Mesyuarat kedua dengan Kelap Kelip Interior. Wakil
syarikat Kelap Kelip Interior muda orangnya. Aku rasa kalau
tidak baya-baya aku, mungkin muda setahun atau dua tahun
daripada aku. Cantik juga. Nama pun sedap, Ili Natasya. Tapi
apabila dia buka mulut, hancus. Boleh nampak keyakinan diri
dia kurang dan banyak benda yang dia tak dapat terangkan
dengan baik. Mungkin kerana dia kurang pengalaman.
Bos 1B3K ni memang jahat. Mentang-mentanglah
budak tu kurang pengalaman, dia buli cukup-cukup.
Macam-macam soalan yang tidak berkaitan dia tanya. Aku
tengok budak itu tergagap-gagap menjawab. Bila budak tu
kata dia tidak pasti dan perlu bertanya dulu dengan ketuanya,
bos marah pula. Kesian aku tengok budak tu, berpeluh dalam
bilik bos yang kuat penghawa dinginnya.
Setengah jam kemudian wakil syarikat Nyatoh
Interior sampai. Aku terkedu tengok dia. Subhanallah,
cantiknya dia. Wajah dia sangat manis. Mekap dia tipis dan
nampak natural. Rambut dia panjang mencecah bahu dan
beralun di hujung.
Cara dia berpakaian nampak profesional. Skirt
potongan A paras lutut dipadankan dengan blaus putih
berlengan panjang dan ada ropol di bahagian dada. Aku tabik
kepada orang yang sanggup berdandan lawa-lawa pada hari
Sabtu yang bagi aku adalah hari bersantai.
Masa dia salam dengan aku, tangan dia terasa sangat
lembut. Dia hulurkan kad nama. Nama dia Azira Mohd
Amin. Patutlah, dia Pengarah Urusan. Sesuailah gaya dan
penampilan dia dengan jawatannya.
Kalau aku terkedu, tidak tahu apa perkataan yang
sesuai untuk aku gambarkan reaksi bos apabila melihat Azira.
Mata bos tidak berkelip ketika Azira melangkah masuk ke
dalam bilik pejabat bos dengan gaya persis seorang model
sedang buat catwalk. Belum pun Azira hulurkan tangan,
bos sudah hulur tangan dia dulu. Bos ni, tak tahu ke haram
bersalaman dengan bukan mahram?
Azira bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa
tersenyum. Bos pun sentiasa tersenyum. Punyalah lebar
senyuman bos sampai macam nak terkoyak mulut dia. Tapi
Azira ni banyak menyimpang ke lain. Sedang cerita pasal
fabrik sofa, boleh pula dia tanya bos suka atau tidak tengok
wayang. Apa kena-mengena fabrik sofa dengan wayang?
Bila bos jawab ya, dia tanya pula pernah atau tidak
terlelap ketika menonton wayang? Bos jawab tak pernah. Dia
kata pula kerusi di panggung wayang tidak selesa, sebab itu
bos tidak pernah terlelap ketika menonton filem.
Ya ke? Aku rasa kalau filem yang ditonton itu
membosankan, aku boleh tertidur. Tidak kiralah kerusinya
selesa atau tak. Rupa-rupanya dia hendak beritahu fabrik yang
dia bekalkan sangat tinggi kualitinya sehingga dapat memberi
keselesaan kepada tetamu resort dan boleh membuatkan
tetamu terlena sambil menonton TV!
Lepas tu cerita pasal gula-gula getah pula. Aku sudah
tak beri perhatian jadi aku tidak tangkap apa kaitan hiasan
dalaman dengan gula-gula getah. Aku teringatkan along. Aku
yakin along tidak macam Azira apabila berurusan dengan
klien. Disebabkan sudah terlalu bosan, aku minta diri untuk
keluar dengan alasan hendak ke bilik air. Sudah pukul satu
lima belas minit. Nampak gayanya memang tidak dapat pergi
tolong Naani dan Thia la...
No comments:
Post a Comment