UNTUK hari ini, Nadia jugalah yang
menumpangkan Olynn sekali lagi ke kompleks Nusa TV
untuk sesi fotografi. Sempat juga Olynn hulurkan borang
cuti tanpa gajinya kepada Nadia.
Mujurlah pihak Nusa TV telah memberi sekeping
cek tertera RM2,000.00 untuk setiap finalis. Dia meminta
Nadia depositkan cek itu ke dalam akaunnya dan juga tolong
bereskan segala bil rumah sewa yang mereka kongsi bersama.
Mulai Jumaat depan, mengikut kontrak, Olynn dan sebelas
lagi finalis akan dikuarantinkan selama sebulan untuk
rancangan realiti itu.
Sama seperti semalam, wajah mereka ditatarias
terlebih dulu. Setelah siap, mereka diarahkan pula ke bilik
fotografi. Dengan memakai t-shirt lengan pendek bertulis
Pilihan Hati dan bercorak love, mereka diminta bergaya di
depan kamera dengan pelbagai aksi. Seperti di Berjaya Times
Square juga, Budin ada sewaktu sesi fotografi. Oh! Rupanya
dia bekerja di belakang tabir untuk rancangan itu.
Hari ini Budin kelihatan amat serius. Olynn cuba
mencari anak mata lelaki itu tetapi dia hanya merenung
Olynn sepintas lalu dan kembali memberi tumpuan kepada
jurugambar. Mulanya Olynn agak geram juga kerana Budin
pandai sungguh berlakon seolah-olah mereka tidak pernah
kenal.
‘Relaks… relaks... dia profesional dan kerja harus
diutamakan.’
Sesi fotografi tamat dan finalis diarahkan ke bilik
taklimat. Petugas mula mengedarkan sesuatu. Setiap finalis
dibekalkan dengan fail tebal yang mana di dalamnya penuh
dengan segala macam peraturan dan undang-undang di
bawah kontrak Nusa TV.
Seketika kemudian, para finalis diperkenalkan
kepada penyelia dan juga pembantunya sepanjang sebulan
mereka akan berada di Awana Genting nanti. Awana Genting?
Olynn senyum sendirian. Sudah lama juga dia tidak ke
Genting Highlands. Along Fidz pernah membawa dia dan
adik manjanya itu bercuti sambil berlibur di sana. Itu pun
sudah menjangkau dua tahun lebih rasa-rasanya.
Selesai sudah acara untuk hari itu. Makan tengah
hari dihidangkan secara bufet dan disertai semua krew
yang terlibat dalam rancangan Pilihan Hati. Olynn dan
finalis di sebelah tempat duduknya yang bernama Marsha
mula berkenalan. Umur Marsha lebih dua tahun bezanya
daripada Olynn. Cantik, dengan lesung pipit di kedua-dua
belah pipinya, nampak sungguh ketara apabila dia tersenyum
ataupun ketawa. Gaya Marsha lincah, peramah dan periang.
Olynn yang perempuan pun boleh terpesona, apatah lagi
kalau lelaki yang tengok.
“Bila agaknya kita dapat jumpa Tengku Budriz tu
ya? I rasa tak sabarlah.” Tanya Marsha seraya mengangkat
kening.
Olynn tersengih.
“Ermm… masa uji bakat hari tu, mereka beritahu
kena tunggu episod pertama baru Yang Mulia Tengku Budriz
akan muncul.”
“Lama lagilah tu. Tentu dia handsome, kan? Eh, you
ni mix ke? Kulit you putih melepak, macam Chinese,” Marsha
meneliti wajah Olynn. Matanya agak kecil, hidung juga taklah
mancung mana tapi bibir Olynn terbentuk cantik. Comel,
macam anak patung.
Olynn hanya ketawa perlahan kerana dia tiada
jawapan untuk soalan yang diajukan kepadanya.
“You pulak, dah lama duduk KL?”
“I memang lahir kat KL. My parents pun orang KL.”
Jawab Marsha bangga. Patutlah dia kelihatan bergaya sekali.
Orang bandar rupa-rupanya.
Mendengar sahaja pengumuman yang acara untuk
hari ini sudah tamat dan para finalis boleh pulang ke rumah
masing-masing, Olynn segera angkat punggung. Duduk
lama-lama di situ pun buat apa? Nak makan lagi, perut sudah
teramat kenyang. Bukan Olynn sahaja yang mula mengemas
beg dan fail yang mereka terima tadi. Ramai lagi yang berhajat
meninggalkan bilik taklimat itu untuk pulang.
“Cik Ailyn.” Entah dari mana Budin muncul dan
menyeru nama Olynn.
Olynn memberi isyarat kepada Marsha meminta
Marsha keluar dahulu sementara dia bercakap dengan lelaki
yang baru saja menegurnya. Setelah memastikan tiada
siapa-siapa yang berdiri berdekatan dengan mereka, barulah
dia berpaling menghadap Budin.
“Ada apa?”
“Ingat lagi janji saya nak hantar awak balik? Saya
nak awak tunggu kat pondok pengawal macam semalam.”
Ujarnya serius memberi arahan.
Aduh… dia ni, suka sangat macam tu! Dia ingat
Olynn siapa? Budak tadika ke yang boleh disuruh itu dan ini
sesuka hati?
“Awak dengar tak?” tanya Budin kembali mahu
meminta kepastian.
“Dengar...” jawab Olynn mendatar dan tanpa
membuang masa, Budin terus berlalu dari situ.
SETIBA DI lobi utama, Olynn nampak Marsha sedang
menunggunya dengan pandangan sinis.
“Siapa tadi? Wah... belum apa-apa dah ada peminat.”
Terjongket senyuman di hujung bibir Olynn.
“Krew bertugas Nusa TV. Barang I tertinggal tadi kat
bilik fotografi.” Olynn bohongi Marsha walaupun tidak pasti
sama ada Marsha mahu percaya ataupun tidak.
“Okeylah, I balik dulu. Jumpa minggu depan.”
Marsha melambai kepada Olynn dan masuk ke dalam sebuah
kereta yang menunggu di depan lobi.
Olynn mengatur langkah longlai ke pondok
pengawal. Budin sudah menunggu di tepi kereta. Kali ini
dengan Honda CRV. Aik??? Macam mana pula Budin boleh
keluar awal daripada dia? Masa Olynn leka berbual dengan
Marsha tadi agaknya la kut...
“Hai, assalamualaikum.”
Olynn jawab salam Budin dengan perasaan berbelah
bagi.
“Kenapa nampak muram aje? Tak suka naik
kereta dengan saya?” Budin mengerling Olynn yang sedang
mengenakan seat-belt.
“Bukannya tak suka. Tadi Marsha dah tanya siapa
awak.”
“Apa masalahnya?”
“Saya nak jawab apa? Kalau saya kata awak kawan
saya, tentu dia fikir saya masuk rancangan ni sebab ada orang
dalam.”
“Pedulikan dia.”
Olynn tunduk membelek jari-jemarinya. Resah di
hati mula bertapak. Dia tidak suka kalau dilabel mencari jalan
pintas untuk jadi terkenal.
“Awak nak tengok tak rakaman persembahan awak?
Maksud saya... persembahan kita.”
Olynn palingkan muka ke arah Budin dan
mengangguk. Senyuman tipis terukir di bibirnya.
“Ada ke? Macam mana awak boleh dapat?” Olynn
lupa, Budin kan bekerja di Nusa TV.
“Buka laci tu, ada DVD.”
Olynn akur, lantas dia ambil dan menghulurkannya
kepada Budin. Dalam cekap memandu, Budin menekan skrin
sesentuh di panel. Terbuka slot DVD dan kemudian tutup
kembali setelah dimasukkan DVD itu.
Seketika menunggu, terdengar tepukan gemuruh
dan kelibat Olynn berjalan ke arah piano dan mengambil
tempat di kerusi. Sunyi sepi dewan apabila jari-jemari Olynn
mula bermain piano. Malunya dia melihat diri sendiri dalam
skrin LCD itu.
“Awak memang berbakat. Dah lama awak main
piano?”
Segan Olynn dipuji sebegitu rupa. Apalah sangat
bakatnya yang ada.
“Lama juga. Dan awak, macam mana awak tahu
lirik dan melodi lagu Butterfly? Setahu saya, lagu tu jarang
dimainkan kat radio.”
“Saya juga pencinta muzik dan saya pun suka lagu
tu. Lirik-liriknya puitis, sungguh bermakna.”
Olynn seperti tidak percaya. Lelaki di sebelahnya itu
boleh berbicara tentang bahasa cinta yang puitis? Jiwangnya!
“Tak sangka awak ni, jiwang juga.”
Budin ketawa perlahan.
“Kena jiwang ke baru boleh menyanyi lagu tu?”
Sungguh skeptikal pandangan perempuan. Jika lelaki
meminati lagu-lagu berentak sentimental, dituduh jiwang.
“Selalunya macam itulah. Setahu saya, lelaki suka
muzik rock, atau Indie.” Olynn perhati di kiri dan kanan
jalan. Baru Olynn tersedar yang Budin tidak mengikut laluan
ke rumahnya. Kereta itu meluncur laju keluar dari bandar
raya Kuala Lumpur.
“Eh, kita nak ke mana? Ini bukan jalan menghala ke
rumah saya.” Olynn cuak. Budin mahu bawa dia lari ke mana?
“Saya rasa nak makan sate Kajang. Awak kena
temankan saya.” Jawab Budin tanpa riak bersalah. Macam tak
kisah sahaja Olynn yang mula risau.
“Eh! Apa awak buat ni? Saya nak balik. Saya dah
cukup kenyang makan kat dewan tadi. Mana saya larat nak
makan sate lagi?”
“Tak makan banyak, makan sikit pun tak apa. Saya
nak habiskan masa dengan awak hari ni. Esok dan hari-hari
seterusnya, saya sibuk. Hari Jumaat minggu depan, saya tak
tahu sama ada saya bertugas atau tak. Kemungkinan besar
saya tak naik ke Awana. Lagipun macam awak cakap tadi...
tak elok untuk awak, kalau orang tahu awak kenal saya, kan?”
“Owhhhh…” Olynn terdiam akhirnya. Sedar diri pun
Budin... dia bakal menyusahkan Olynn kalau dia tunjukkan
yang dia cuba mendekati Olynn secara terang-terangan.
SESUNGGUHNYA PERUT Olynn masih lagi kenyang. Dia
menongkat dagu merenung sate yang terhidang di depan
mereka. Sungguh banyak yang Budin pesan. Olynn rasa
melebihi lima puluh cucuk kesemuanya. Gila! Sate sebanyak
itu mahu dihabiskan mereka berdua?
Olynn perhatikan Budin yang makan dengan
berselera, mengamati Budin semahunya. Dari rambut yang
agak panjang sampai ke bahu, keningnya yang lebat, berhidung
mancung, kulit yang sawo matang, jambang-jambang kasar di
pipinya hingga ke dagu. Cap di kepala tetap ada, sama seperti
Olynn mula-mula bertemu Budin di Berjaya Times Square.
Penampilannya tidak pernah berubah.
“Dah habis tilik saya? How do I look?” Budin renung
mata Olynn. Ada senyuman di bibirnya. Dalam sedikit masa
saja mungkin tawanya akan meletus.
Alamak! Budin perasan apa yang dia buat! Olynn
menggelabah habis.
“Tak... er... er... saya...” Tergagap-gagap Olynn
seketika. Terasa panas seluruh wajahnya. Malu terkantoi
secara tidak sengaja.
“Comel, macam anak patung.”
“Hah?”
“Saya cakap muka awak comel macam anak patung.
Blushing la lagi banyak-banyak. Suka saya tengok.”
Olynn beri jelingan maut.
“Kenapa tak makan? Sate ni sedap tau, terkenal satu
Malaysia. Sate Haji Samuri.”
Olynn menceber. Dia tahulah! Bukan Olynn tak
nampak papan tanda besar di depan restoran tadi.
“Nah!”
Olynn terkejut. Satu cucuk sate sudah berada di
depan bibirnya.
“Awak!”
“Cubalah rasa. Dari tadi, saya tengok awak tenung
aje sate-sate ni. Saya nak awak makan.”
“Tak naklah! Saya masih kenyang lagi. Tadi saya dah
makan banyak.”
“Setakat badan kecil molek awak tu, bukannya boleh
gemuk kalau awak makan banyak pun.”
“Bukan pasal gemuk. Betul, saya dah kenyang.”
Olynn geram juga. Budin ni tak faham ke apa yang dia cakap?
Nak suruh dia cakap bahasa Arab, baru boleh faham?
“Selagi awak tak makan, selagi itulah saya tak akan
alihkan tangan. Susah-susah sangat, biar saya aje yang suap.”
Budin tersenyum-senyum, sudah mengacah-acah mahu
mulakan suapan.
Segera Olynn capai dan lidi sate bertukar tangan. Tak
rela kalau Budin suapkan. Ini tempat awam, bukannya dalam
ruang tamu di rumah. Olynn gigit sate dan mengunyahnya
perlahan. Mata tajam Budin masih tetap mengawasi apa yang
dia buat.
“Kenapa awak suka paksa saya?” Wajah tegang Olynn
tayangkan.
“Sebab saya suka awak.”
“Assalamualaikum Olynn...”
Olynn angkat muka. Ya Allah, Along Fidz! Macam
mana lelaki itu tahu dia berada di situ?
“Waalaikumussalam… A… Along Fidz!”
Mata Budin tajam merenung ke wajah Olynn.
“Jauhnya Olynn datang makan sate?”
“Tak... er… Olynn temankan kawan. Kenalkan, ini
Budin. Ini abang sulung housemate saya. Fidzrul.”
“Budin.”
Mereka bersalaman dan baru Olynn perasan, di
sebelah Along Fidz ada seorang gadis bertudung.
“Oh ya Olynn, kenalkan... ini Hawa, Dr. Hawa.
Sama-sama mengajar dengan along.”
Olynn dan Dr. Hawa juga bersalaman. Nampak
wanita itu sedikit berusia daripada Along Fidz.
“Would you join us?” Budin mempelawa. Olynn rasa
ajak-ajak ayam saja tu, bukannya sungguh-sungguh pun.
“Terima kasih saja. I tak nak ganggu korang berdua.
Babai, kirim salam along pada Nad.”
Olynn hanya memerhati Along Fidz berlalu dari situ
bersama temannya. Oh! Baru Olynn sedar sesuatu. Along Fidz
pensyarah sambilan di UKM. Sudah tentu dia biasa datang ke
situ.
“Olynn...”
“Hah, ya?”
“Awak dah kenal lama dengan Fidzrul?”
Olynn terkesima. Aduh! Soal jawab sudah bermula.
“Dari sekolah menengah lagi. Saya dengan adik dia
satu sekolah dan sampai sekarang pun kami tinggal serumah,
lepas habis belajar.”
“Awak dengan dia... ada something ke?”
“Something? Eh, tak adalah! Saya dah anggap dia
macam abang saya. Parents dia pun saya panggil mummy
dengan daddy.”
“Owh, baguslah. Senang sikit hati saya. Tapi… apa
yang saya nampak, dia cemburu.”
“Hah???”
HONDA CRV milik Budin berada di atas jalan raya semula.
Mata Olynn mula terasa berat. Berulang kali Olynn pejam
celik matanya bagi mengurangkan rasa tidak selesa di kolam
mata. Berpasir-pasir rasanya.
“Awak kenapa?” Sekilas Budin menoleh kepada
Olynn yang sekejap-sekejap mengenyeh kelopak mata dengan
jarinya.
“Penat dan sangat mengantuk. Boleh tak kalau saya
nak tidur sekejap? Kenyang sangat makan tadi. Kepala pun
dah mula rasa berdenyut.”
“Okeylah... awak tidur dulu. Sampai depan rumah
awak, saya kejutkan.”
KEPALA YANG terhantuk pada sesuatu yang agak keras
membuatkan Olynn terus terjaga. Terpinga-pinga dia
sebentar. Di mana dia sekarang? Kenapa dia masih ada di
dalam kereta? Ya Allah! Olynn toleh ke sebelah. Budin masih
tenang memandu. Dia tersengguk agaknya tadi dan terhantuk
pada cermin kaca di sisi.
“Awak.”
Budin menoleh.
“Dah bangun?” Dia tersenyum.
Olynn perhatikan jalan raya yang mula menunjukkan
tanda-tanda akan malam. Lamanya dia memandu dari Kajang
ke KL? Mujurlah sebelum tinggalkan restoran Sate Haji
Samuri tadi, mereka sudah pun ke surau menunaikan solat
asar.
“Awak nak bawak saya ke mana ni? Tadi awak janji,
lepas makan sate, awak nak hantar saya balik.”
“Saya belum puas nak habiskan masa dengan awak.
Jangan bimbang, saya akan hantar awak balik dengan selamat
nanti.”
“Awak ni kenapa? Sekarang kita nak ke mana pulak?”
suara Olynn mula meninggi.
Boleh pula Budin sarankan dia supaya jangan
bimbang? Kalau lelaki itu ada niat buruk seperti yang dia
fikirkan semalam, macam mana? Ya Allah! Apa yang bakal
terjadi? Dia mahu dibawa lari ke mana? Kalau mahu culik
dia pun, dia bukanlah anak hartawan. Atau... Budin ada niat
jahat kepadanya? Rogol? Berderau darah Olynn seketika dan
hatinya mula rasa tidak keruan.
‘Ya Allah ya Tuhanku, tolong lindungi hamba-Mu
ini.’ Bibir Olynn terkumat-kamit. Tak henti-henti dia
membaca ayat penenang hati yang gelisah.
“Apa yang awak baca tu?”
Hah! Budin boleh dengar ke?
“Er... tak ada apa-apa.”
“Awak jangan nak tipu la... kenapa? Awak fikir saya
ada niat buruk pada awak ke?”
Olynn diam dan menunduk. Malu apabila lelaki di
sebelahnya bagai dapat membaca apa yang berlegar-legar
dalam kepalanya.
“Awak... saya nak balik. Saya bimbang Nadia risau.”
Suara Olynn mula mengendur. Separuh merayu dia meminta
Budin hantar dia pulang dengan kadar yang segera.
“Siapa Nadia? Oh... kawan serumah awak?”
“Ya... merangkap kawan baik saya dan juga kakak
angkat saya.”
“Keluarga awak?”
Olynn telan liur dan menggeleng. Soalan Budin, dia
biarkan tanpa jawapan.
“Dalam ramai-ramai peserta, kenapa awak nak
berkawan dengan saya?”
“Sebab saya suka awak.” Lagi-lagi jawapan yang
sama Budin berikan.
“Saya tak nak dengar jawapan yang klise macam tu.
Sebab lain, tak ada ke?”
“Ada...”
“Apa dia?”
“Sebab awak dah tawan hati saya. Awak buat saya
mengigau tiap malam. Saya dah jatuh cinta!”
“Apa? Jangan nak merapu macam orang gila.”
“Tak cukup ke? Nak saya tambah lagi?” Budin
tersenyum-senyum.
“Cukup... cukup! Saya tak nak dengar lagi. Sekarang
hantar saya balik. Lama-lama saya duduk sebelah orang gila,
saya juga akan jadi gila macam awak.”
“Apa salahnya awak jadi gila? Saya suka awak gila.
Gilakan saya!”
“Eiiii...” Olynn buat muka geram dan Budin ketawa
galak melihat aksi Olynn.
“You make my day. Terima kasih Olynn, sudi
temankan saya hari ni.”
“Awak yang suka memaksa. Bukan saya yang nak.”
Olynn menjeling lagi.
Budin masuk ke susur lebuh raya yang menghala
ke Kuala Lumpur semula. Alhamdulillah! Dalam Olynn
tunjukkan protes, Budin masih lagi bersikap rasional dan
akur dengan permintaannya.
“Kalau awak dah terkenal nanti, saya harap awak
tak lupakan saya. Kalau ditakdirkan Tengku Budriz tak pilih
awak, awak carilah saya. Sebabnya, hati saya sentiasa ada
untuk awak.”
“Awak yakin yang saya bukan pilihan Tengku Budriz?
Sebab saya tak secantik finalis yang lain?”
“Ermm... entahlah. Saya pun tak tahu nak cakap
macam mana. Mungkin saya hanya nak sedapkan hati sendiri.
Saya berharap awak bukan pilihan hati Tengku Budriz dan
kemudiannya, awak boleh jadi milik saya.”
“Hah? Awak sedar tak yang kita baru kenal beberapa
minggu?”
“Sedar, kenapa tanya?”
“Awak belum cukup kenal saya sepenuhnya. Saya
takut awak akan menyesal kalau...”
“Saya yakin dengan gerak hati saya. Sejak nampak
awak di Times Square, mata saya tak nak pandang yang lain.
Asyik melekap pada awak aje.” Budin memintas.
Olynn terpanar. Mudahnya Budin berterus terang.
Olynn sendiri yang termalu.
Kebisuan melanda hinggalah Budin memberhentikan
keretanya di depan rumah sewa Olynn. Olynn lihat kereta
Nadia sudah ada di bawah anjung. Dia tarik nafas berat.
Masuk ke rumah nanti, tentu panjang soal jawab Nadia
dengan kelewatannya hari ini.
“Jumpa lagi. Selamat malam.”
“Assalamualaikum. Hati-hati bawak kereta tu.”
Ujar Olynn kembali. Itu sahaja yang mampu dia ucapkan
kerana fikirannya berkecamuk sekarang ini. Lebih-lebih
lagi memikirkan tentang Along Fidz. Menyesal pula dia beri
sedikit harapan kepada Along Fidz. Dan sekarang, dia juga
yang keliru dengan hatinya.
Budin? Sebut aje nama itu, dada Olynn mula terasa
getarnya.
No comments:
Post a Comment