DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

1st Class Mistress - Bab 4

“MARILAH, cepat!” gesa Datin Khadijah.
“Allah, umi... kat tempat macam ni orang tak buat
semua ni la.”
“Siapa yang kata?”
“Yusuflah yang kata.” Datin Khadijah menggeleng
kepala. Rasa hendak saja dia menghempuk kepala Yusuf.
Geram. Inilah budak zaman sekarang. Tahu nak kompelin
aje. Buatnya tidak juga.
Tangan kekar Yusuf ditarik lembut.
“Jangan macam tu. Manalah kita tahu dengan simple
gesture macam ni, orang akan terkesan, akan terharu. Orang
tua-tua kata, budi yang baik akan dikenang, tahu tak? Jadi,
kalau kita perlukan apa-apa pertolongan masa akan datang,
senanglah Yusuf nanti. Umi pun senang hati.”
“Dah tak ada orang prihatin macam tu dalam dunia
moden sekarang ni, umi. We are on our own most of the
time. So why bother?” jawab Yusuf malas. Namun, kakinya
mengikut juga langkah Datin Khadijah di hadapan.
“Sebab itu kita yang kena mulakan, nak oi. Orang
lain kalau dah pilih untuk hidup begitu, kita tak boleh nak
kata apa. Tapi, umi tak nak kita jadi macam tu jugak. Tak
prihatin dengan masyarakat sekeliling. Hidup berjiran
kenalah saling kenal-mengenali. Saling tolong-menolong.
Tak kiralah tinggal di mana sekalipun. Marilah.” Pujuk Datin
Khadijah lagi. Bukan perlu pujuk sangat pun. Sebab, kalau
pun Datin Khadijah tak beri nasihat panjang berjela, ataupun
ceramah sosial, Yusuf tetap tidak punya pilihan lain. Dia tetap
akan patuh juga. Anak umilah katakan!
“Lagipun, takkan ada orang kat dunia ni yang mampu
menolak umi punya shepherd's pie. They'll fall in love with us
in no time. Jom! Mana nak tau jiran sebelah apartmen Yusuf
ada anak dara jelita. Untunglah!” sambung Datin Khadijah
sambil kenyit mata.
Yusuf hanya mampu tersengih. Umi... umi...
Takkan ada sesiapa yang mampu melarang atau menghalang
saat wanita hebat itu sudah tetapkan keinginannya untuk
melakukan sesuatu. Semua akan diredah olehnya. Itulah
Datin Hajah Khadijah yang dia kenal.
Sebenarnya, umi langsung tidak suka dengan
hasratnya untuk berpindah ke apartmen barunya ini. Sedih
betul umi sewaktu dia minta izin tinggal di luar. Kalau ikutkan
hati, pastilah dia tidak akan dapat keizinan daripada umi.
Puas juga Datin Khadijah memujuknya untuk melupakan
saja niatnya itu. Sunyi katanya tinggal berdua hanya dengan
walid, Dato’ Khalil di banglo dua tingkat itu.
Tapi, Yusuf nekad. Dia ingin belajar hidup berdikari.
Umur sudah capai 35 tahun. Sudah tiba masa dia belajar
hidup jauh dari bawah ketiak uminya. Lagipun, jarak antara
kawasan tempat tinggal kedua orang tuanya dengan kawasan
apartmen ini bukan jauh sangat pun. Hanya 20 minit masa
perjalanan yang diperlukan. Bila-bila masa Datin Khadijah
boleh buat spot check! Hehe...
Yusuf menghela nafas panjang-panjang. Langkah
kaki tinggal setapak dua menuju ke depan pintu apartmen
jiran setingkatnya. Setiap lantai tingkat bangunan ini,
mempunyai dua unit apartmen yang terletak berhadapan
antara satu sama lain. Syukur cuma ada dua unit. Bayangkan
kalau ada lebih? Berapa banyaklah pintu rumah yang bakal
mereka ketuk? Rasa macam nak berhari raya pun ada.
Datin Khadijah siap sedia datang dengan buah
tangan lagi, iaitu sebekas mangkuk porselin berisi shepherd's
pie, dan sebekas Tupperware ungu berisi hidangan pencuci
mulut hasil dari air tangan sendiri. Kata uminya, kalau
hendak berziarah kenalah bawa buah tangan. Barulah manis.
Orang pun senang hati terima kehadiran kita. Yalah tu!
Umi... umi... Masalahnya, zaman sekarang, orang
mana peduli lagi dengan konteks hidup berjiran ni? Ini bukan
kawasan kampung yang budaya tolong-menolong tu memang
masih kekal, sekalipun sudah berkurangan. Ini kawasan kota
metropolitan. Banyak berita dalam TV bersiaran tentang jiran
sebelah rumah yang hanya dijumpai mati setelah berbau
busuk atau berbulan-bulan tak munculkan diri!
'Haih... ikutkan sajalah Yusuf!' Keluhan dilepas lagi.
'Tahu tak baik mengeluh, tapi... haih! Yusuf, wanita yang
sedang menarik tangan kau secara paksa ini kan syurgamu.
Tak salah nak senangkan hatinya dengan akur dan menurut
saja.' Bagai mantera ayat itu diulang-ulang. Nak memujuk
hati sebenarnya.
Punat loceng ditekan. Datin Khadijah memandang
wajah anak kesayangannya sambil tersenyum. Bersemangat
betul dia. Keningnya dijongket-jongket.
“Umi dapat rasa, rumah ni tempat wanita jelita
tinggal. Oh my... untunglah, Yusuf. Adakah ini akan menjadi
permulaan episod cerita cinta yang agung?”
Yusuf tersengih sambil geleng kepala mendengar
usikan uminya. Seketika, terdengar bunyi kunci pintu dibuka.
Kemudian, daun pintu mula terkuak dari dalam.
Erk? Yusuf terlongo. Ini memang ajaib!
Jasmine juga ternganga di muka pintu rumahnya.
Bala apa pulak ni?
“Assalamualaikum. Ya Allah! Kecilnya dunia ni,
Hannah!” Datin Khadijah terus meluru masuk memeluk
tubuh genit Jasmine yang masih terpinga-pinga kehairanan.
Pandangan ditumpukan ke arah Yusuf, cuba mencari maksud
semua yang berlaku ini.
“Waalaikumussalam aunty. Err... silakan masuk.”
Ujar Jasmine teragak-agak. Silakan masuk? Datin Khadijah
sudah selamat melangkah masuk pun.
“Terima kasih, Hannah. Wah! Merah putih!” Datin
Khadijah terjerit kecil, merujuk kepada warna tema hiasan
dalaman rumah Jasmine.
Belum pun sempat Jasmine membuka mulut ingin
bertanya maksud kedatangan kedua orang anak-beranak ini,
tanpa bicara Yusuf terus saja dengan selamba masuk ke dalam
perut rumah itu. Mata liar memandang ke kiri dan kanan.
“Apa korang buat kat sini? Mana kau tau alamat
rumah aku?” soal Jasmine berbisik.
Yusuf kerut kening.
“Kau ingat aku stalker ke?”
“Habis tu?”
“Aku baru pindah kat rumah depan. Hello,
neighbour!”
Jasmine hampir tidak percaya ini semua boleh
berlaku. Tidak sampai seminggu pun pertemuan pertama dan
kedua berlaku antara dia dan Yusuf. Pertemuan yang hanya
meninggalkan memori yang buruk, okey? Sekarang, mereka
berjiran pula? Jasmine tepuk dahi. Takdir antara mereka
berdua memang unik.
“Kau yang pindah kat rumah depan tu?”
“Haah. Aku.”
“Tak percayalah!”
“Tak percaya sudah. Takde makna nak bagi kau
percaya pun.”
“Hannah sayang... meh tolong aunty. Kita hangatkan
shepherd’s pie ni. Sedap tau. Resepi rahsia aunty ni.”
“Coming, aunty. Kau...”
Yusuf melihat saja telunjuk Jasmine yang diacukan
ke arahnya.
“Jangan kacau apa-apa. Duduk diam-diam.” Ugut
Jasmine garang.
Yusuf mencebik. Apa saja yang dia hendak kacau kat
dalam rumah ni? Hek eleh. Mata Yusuf meliar ke sana sini
melihat hiasan dalaman rumah itu. Warna merah dan putih
menjadi warna tema utama. Perabot kebanyakannya moden.
Untuk seorang perempuan, Yusuf agak pelik melihat pilihan
gaya hiasan minimalis, Jasmine. Biasanya, lelakilah yang
sesuai dengan ciri hiasan begini. Gaya ringkas yang hanya
memerlukan perabot-perabot utama.
'Semua ini kurang, hmm... apa ya? Ciri-ciri feminin.
Gaya seorang wanita. Tiada barang-barang perhiasan. Tiada
bingkai-bingkai gambar di dinding. Tiada kusyen-kusyen kecil
di atas sofa. Tidak ada satu barang pun yang comel-comel.
Tidak ada sebarang majalah wanita atau fesyen di atas meja
kopi. Rumah ini bukan milik Jasmine?' tebak Yusuf.
Tiba-tiba mata tertumpu ke arah sebuah meja konsol
yang terletak di sudut utama ruang tamu rumah. Di atas
meja tersebut, terdapat satu bekas abu rokok yang diperbuat
daripada kristal.
Yusuf tersenyum sinis. Jasmine tidak merokok.
Dia tahu. Malam dia, uminya dan Jasmine minum di kedai
mamak, Jasmine berkali-kali bersin kerana reaksi alerginya
kepada asap rokok. Kedai mamak la kan... memang
berkepul-kepullah asap rokok keluar dari mulut dan hidung
pengunjungnya.
Tapi, kalau bukan Jasmine yang punya, ini rumah
siapa pula? Mungkinkah? Hmm... Dato’ Adam? Yalah, takkan
rumah kosong tanpa perhiasan ini tiba-tiba ada bekas abu
rokok kristal menjadi center-piece? Pelik tu! Ini membawa
maksud, Jasmine bukan tuan rumah yang sebenar. Yakin
sungguh kamu ni Yusuf!
“Wah! Sedapnya aunty!” jeritan Jasmine memenuhi
ruang rumah. Diikuti pula dengan suara Datin Khadijah
ketawa senang hati.
Teralih perhatian Yusuf dari bekas abu rokok itu.
Sambil menyeluk poketnya, dia berjalan perlahan menuju ke
ruang dapur.
Yusuf terpaku. Pemandangan di hadapannya
benar-benar memukau. Jasmine tergelak di samping Datin
Khadijah yang sedang menyuap sudu demi sudu shepherd’s pie
ke mulut Jasmine. Spontan senyuman terukir di bibir Yusuf.
Entah kenapa, semua ini memberi kesan yang mendalam di
sudut hatinya. Ada garis-garis bahagia yang muncul dalam
dada. Gaya Jasmine yang manja, dan Datin Khadijah yang
penuh keibuan, bagaikan sebuah lukisan potret yang indah.
“Yusuf! Mari sini. Rasalah pie umi ni. Jasmine cakap
sedap sangat.”
Yusuf tersenyum nipis. Matanya terus dipaku tepat
ke bola mata Jasmine yang masih sibuk mengunyah makanan
di dalam mulutnya.
“Nak suap jugak. Aaaa...” Yusuf membuka mulutnya.
Sengaja dia mengambil tempat bersebelahan dengan Jasmine.
“Eww... dah tua-tua pun nak bermanja,” usik Jasmine
mengerutkan muka apabila Yusuf sengaja duduk lebih rapat
dengannya.
Datin Khadijah ketawa mendengar omelan Jasmine.
“Satu-satunya anak aunty, Hannah. Biarlah dia
bermanja sampai kerepot.” Diturutkan juga permintaan
anak tunggalnya itu, langsung tidak sedar perubahan wajah
Jasmine yang merona merah.
Jasmine terus kaku. Pipinya terasa panas. 'Apasal
pulak si Yusuf ni mengada-ada sangat duduk rapat-rapat
dengan aku ni? Mata tu, tak boleh ke alih ke tempat lain ke?
Apasal semacam aje dia renung aku? Datin ni tak nampak ke
anak dia duk menggatal tu?'
“Kenapa pipi kau merah?” tanya Yusuf separuh
berbisik. Mata menjeling Datin Khadijah yang sibuk di singki
dapur.
“Kau apasal rapat sangat ni? Geli, tahu tak?”
Yusuf tergelak.
“Aik? Pelik. Waktu kau cium aku di hotel tempoh
hari, bila aku marah, kau kata itu normal, kecuali aku masih
teruna. Itu lagi teruk, tahu tak?” ujar Yusuf sambil menyuap
sesudu lagi pai Datin Khadijah.
“Perkara dah lama berlalu, kenapa nak ungkit-ungkit
lagi ni?” desis Jasmine perlahan, geram.
“Sekarang ni, aku cuma duduk rapat aje kut. Masih
ada ruang lagi antara kita ni. Hah! Aku tak sentuh kau pun.
Kira normallah tu, kan? Kecualilah...” Yusuf angkat kedua
keningnya. Dalam hati dia hendak ketawa terbahak-bahak
melihat Jasmine menggigit bibir menahan rasa.
“Kecuali apa?”
“Kecuali kau masih dara...”
Jasmine tersentak.
Melihat perubahan riak wajah Jasmine yang semakin
ketara menyebabkan Yusuf berfikir dan teringat akan suatu
perkara yang sangat penting. Mungkinkah?
“Okay guys... sekarang rasa pulak chocolate
almond brownies Hajah Khadijah. The best in Malaysia
and Singapore, and some say Brunei! Hahaha.” Jerit Datin
Khadijah tiba-tiba, membuatkan Jasmine dan Yusuf kembali
ke alam realiti.
Jasmine memanggung wajah, menangkap Yusuf
yang masih merenungnya dengan raut wajah penuh tanda
tanya. Wajah diraup perlahan, pantas Jasmine meninggalkan
tempat duduknya dan berlalu meninggalkan meja makan.
“Nak ke mana, Hannah?” tanya Datin Khadijah.
“Toilet, aunty. Makan banyak sangat agaknya.” Jawab
Jasmine perlahan.
Yusuf tunak menghantar Jasmine sehingga hilang
dari pandangan matanya.
“Sakit perut agaknya.” Ujar Datin Khadijah simpati.
“Lebih kepada sakit hati tu...” bisik Yusuf separuh
sedar.
“Apa dia?”
“Takde umi. Yusuf cakap, Yusuf pulak sakit kaki.
Tergelincir waktu main basketball semalam.”
Datin Khadijah geleng kepala. Macam-macam betul
perangai budak-budak ni.
'Apa sebenarnya kisah di sebalik kehidupan kau,
wahai si bunga melur?' hati Yusuf berkata-kata sendiri.
“I'M HERE, Hannah. Buka pintu.”
“Kejap!” Punat telefon bimbit ditekan kemudian
dicampak ke atas tilam.
Bergegas Jasmine membelek wajah buat ke sekian
kalinya di cermin meja solek. Rambut panjang dibiarkan
terurai malam ini. Biasanya, dia rajin menggayakan salah
satu daripada rambut-rambut palsunya yang banyak itu. Tapi,
hari ini dia selesa dengan rambut panjangnya yang asli.
Apabila bersama dengan Dato’ Adam, Jasmine selalu
merasa dirinya itu palsu. Luar dan dalam. Sehinggakan, gaya
dan tingkah lakunya juga palsu. Semuanya lakonan. Lakonan
hebat untuk tontonan umum, demi kepuasan Dato’ Adam
seorang. Tapi, hari ini dia membuat keputusan untuk cuba
tampilkan kelainan. Puas dia menilik tubuh, mencuba satu
per satu pakaian yang tergantung di dalam almarinya. Dia
mahu mencari pakaian yang tidak terlalu terdedah dan tidak
akan menyebabkan dia terlalu menonjol di khalayak ramai
seperti biasa.
Semua sebab dia. Jasmine tersengih.
“Mamat berlagak tu mesti tak lepas peluang
mengutuk aku, kalau dia nampak aku pakai seksi-seksi.”
Jasmine berbicara di depan cermin. Satu keluhan berat
dilepaskan. Biasan wajah di cermin ditatap lama.
“Kau ni kenapa, Jasmine? Tiba-tiba sibuk nak jaga
hati mamat tu? Kau bukan nak jumpa dia pun. Ke kau
memang berharap terserempak dengan dia?” Tiba-tiba
Jasmine berasa sedih. “Aduh! Jangan nak cari pasal aduhai
hati. Jangan kerana nak cari bahagia sendiri, kau lupakan
janji dan tanggungjawab yang lebih besar. Ingat Jasmine
Hannah. Ini semua bukan untuk kau.”
Jasmine mengeluh berat buat kesekian kalinya.
Tangan melurut blaus daripada kain sutera. Perlahan
Jasmine menuju ke pintu rumahnya. Masa seakan-akan
terhenti saat daun pintu dikuak. Wajah Dato’ Adam terpacul.
Tangan kanan disangkutkan ke tepi pintu. Sebelah lagi
menyuakan sejambak bunga kepada Jasmine.
Segaris senyuman palsu diukir di bibir bercalit
pengilat bibir merah jambu. Bunga? Apa saja yang dia mahu
kali ni?
“You're late.”
“Meeting habis lambat.”
Jasmine memaki dalam hati. Namun, dikawal
rapi perasaannya agar tidak terlihat di wajah. Tangannya
menyambut juga jambangan bunga yang dihulurkan lelaki
itu. Rasuah! Pipinya dielus lembut oleh tangan kasar Dato’
Adam. Baru saja bibir Dato’ Adam ingin mendarat ke bibir
Jasmine, bunyi dehaman kuat kedengaran dari arah belakang.
Dato’ Adam berpaling.
Jasmine tegak membisu. Tangan sudah bersilang di
dada. Entah untuk melindungi diri atau perasaannya.
“Assalamualaikum Dato’.”
“Err... Waalaikumussalam.” Teragak-agak Dato’
Adam menyambut tangan Yusuf untuk bersalaman. Macam
hari raya pulak, fikirnya.
“Dari mana, nak ke mana ni?” soal Yusuf tanpa riak.
Namun, mata menjeling Jasmine yang setia di muka pintu.
“Hai, Jas.” Sapa Yusuf selamba.
“Ha... hai...”
“Saya dari pejabat, nak jemput Hannah pergi lunch.
Kamu tinggal di sini juga ke Yusuf? Tak pernah nampak
sebelum ni.”
“Haah. Baru aje pindah. Dato’ pulak buat apa kat
sini?”
Mata Jasmine terpejam rapat. Kalau boleh, dia
hendak tekap kedua telinganya sekali. Tidak mahu rasanya
mendengar apa-apa lagi butir perbualan kedua lelaki ini.
Takut dia mendapat malu, takut dia bertambah sakit hati.
“Err...” Air muka Dato’ Adam sudah berubah.
Tiba-tiba bunyi telefon bimbitnya menamatkan suasana
janggal yang lahir akibat soalan Yusuf tadi. Thank God!
Cepat-cepat Dato’ Adam menyeluk poket seluarnya.
“Excuse me, I have to take this.” Dato’ Adam
menundukkan sedikit kepalanya, kemudian beredar beberapa
tapak menjauh dari tempat Jasmine dan Yusuf berbalas
jelingan.
“Tak serik lagi?”
“Hah?”
“Tak serik nak cari pasal dengan suami orang?”
“Kenapa kau tiba-tiba nak jadi penyibuk ni?” Nada
suara Jasmine sedikit keras kedengaran.
Yusuf angkat bahu.
“Suatu hari nanti kau akan terperangkap, waktu itu
aku takut, aku tak ada untuk selamatkan kau.”
Lidah Jasmine jadi kelu mendengar kata-kata Yusuf.
Tidak tahu respons bagaimana dia mahu berikan. Sudahnya
Jasmine cuba untuk pekakkan telinga.
“So...” Mata Yusuf meneliti susuk di hadapannya
sambil mengurut dagu.
Jasmine sudah kecilkan mata. Apa lagi yang tidak
kena?
“Kau kelihatan lebih... ermm... sopan sedikit.” Kata
‘sedikit’ yang keluar dari mulut Yusuf agak ditekankan.
“Memenuhi piawaian kau tak?” soal Jasmine sekadar
melayan.
“Baju kau dah elok menutup. Tapi ketatlah pulak.
Boleh bernafas ke?”
“Kau nampak aku macam perlu bantuan pernafasan
ke?”
Yusuf tergelak. Jasmine juling mata ke atas.
“Kau pulak, bukan main lagi siap pakai warna pink.
Pleaselah...” sambung Jasmine lagi.
“Habis, kenapa? Tak boleh ke? Hei, real men wear
pink, okay? Lagipun, dalam fesyen pink is the new black.”
Jasmine menceber. Kemudian matanya menangkap
sesuatu yang menarik. Hahaha... Jasmine gigit bibir
bawahnya, takur gelaknya terlepas sebelum masa yang sesuai.
“Hannah, jom. We're late.” Dato’ Adam sudah
menunggu di pintu lif. Cuma satu anggukan kecil diberikan
kepada Yusuf yang masih selamba berdiri di depan pintu
rumah Jasmine.
“Okey.” Pintu rumah ditutup. Jasmine segera
mendapatkan Dato’ Adam tanpa meminta pamitan daripada
Yusuf. Namun setelah beberapa langkah diorak, Jasmine
berpaling ke arah Yusuf semula.
“Real men wear pink, huh?”
Yusuf kerut dahi. Tidak faham.
“Tu sebab agaknya sampai yang kat dalam pun kau
hentam pakai warna pink jugak?” soal Jasmine lembut.
Matanya terarah ke bahagian bawah pusat Yusuf. Bibir
dimuncungkan sedikit, memberi isyarat supaya Yusuf
memberi perhatian ke arah yang dia maksudkan.
“Eh?” Secepat kilat Yusuf berpaling ke dinding. Jari
pantas menarik zip ke atas.
“Teringat pepatah lama, ermm... apa tu? Asyik jaga
tepi kain orang, kain sendiri koyak rabak. Atau, should I say...
zip seluar sendiri lupa nak tarik!”
Berdesing telinga Yusuf. Tapi, wajah tetap dikekalkan
tanpa riak. Ikutkan hati, kepala hendak dihentakkan ke
dinding saja. Malu kut. Aduh! Tak pasal-pasal Jasmine tahu
warna pakaian dalam dia hari ini.
Pintu lif tertutup.
“You rapat ke dengan Yusuf tu?”
“Takdelah Dato’...” leret Jasmine. Bibir bergetar
ingin meledakkan ketawa apabila teringat peristiwa tadi.
Wah! Akhirnya dia dapat juga kenakan mamat berlagak tu.
Biasanya mesti dia saja yang kena. Hahaha...
“I tak suka you rapat dengan dia, Hannah.” Lengan
Jasmine dilelar kasar.
Jasmine tersentak.
“Dato’ jangan risau. Kami berkenalan pun sejak dia
pindah depan rumah. Hanya sebagai jiran, Dato’. Nothing
more.” Berkerut wajah Jasmine menahan sakit. Tapi, dia
masih tidak berani untuk menarik lengannya daripada
cengkaman Dato’ Adam.
“You pegang rahsia I yang paling besar, Hannah.”
“I know. You can trust me.”
Dato’ Adam menghela nafas kasar.
“Bagus.”
Kata terakhir Dato’ Adam itu langsung tidak diproses
oleh otak Jasmine. Sementelah mindanya penuh dengan
wajah gelabah Yusuf dengan kemeja pinknya.
'Cute!' pujinya dalam hati. Langsung tidak
membenarkan kata-kata Dato’ Adam merampas apa juga
rasa bahagia yang mulai bersarang dalam jiwa. Telinga
dipekakkan. Hati cuba ditabahkan.

No comments:

Post a Comment