“Demi nama cinta. Telahku persembahkan.
Hatiku hanya untukmu. Telahku jaga kejujuran
dalam nafasku...”
(Cinta Tak Bersyarat – Element)
KEJAYAAN mendera perasaan RY tanpa belas
kasihan malam tadi membuat dia terus tersenyum riang.
Hari ini satu hari kelibat RY tidak kelihatan melintas di
pejabat. Padan muka lelaki tu. Lain kali mahu jadi romeo
pun tengok kakilah, bro. Tangan Aisara merapi meja kerja.
Dia sudah mahu pulang. Baru sahaja kakinya hendak
melangkah keluar, Iphonenya pula berbunyi. Haishhh... Skrin
dilihat. Alisa? Pantas ikon angkat disentuh.
“Helo...” Malas-malas dijawab.
“Sampai hati kau buat mummy macam tu,” terjah
Alisa dingin.
Aisara kerut dahi. ‘Aik, apasal pulak ni?’
“Aku buat apa?” tanyanya pelik. Rambutnya yang
panjang terjurai diselitkan ke belakang telinga.
“Buat apa?” mulalah Alisa geram. Boleh pula
Aisara yang bijak pandai ini buat-buat bodoh dengannya.
Hilang ingatankah dia dengan apa yang sudah dilakukan
kepada ibu mereka sebelum ini?
Aisara merengus. Bosan berteka-teki.
“Tergamak kau tinggalkan mummy masa dia
diserang darah tinggi, kau tanya buat apa?” jawab Alisa
begang.
Laa... ingatkan hal apalah yang besar sangat
tadi. Aisara buat muka tidak peduli. Bukan dia yang sakit
pun. Perempuan terhormat itu yang sakit, pandai-pandailah
hendak cari ubat. Dia tersenyum mengenangkan
perempuan terhormat itu menjadikan Alisa sebagai
tempat mengadu.
“Alah, dia okey aje, kan? Jadi tak payahlah nak
sibuk sangat,” balas Aisara selamba. Bukannya Puan Sri
Marina sudah terlantar di katil hospital.
“Ooo... kau nak tunggu mummy jadi parah, baru
nak peduli?” Sakit hati Alisa mendengar jawapan balas
adiknya itu.Aisara menyengetkan sedikit bibir. Meluat
dengan sikap suka mengadu Puan Sri Marina. ‘Kalau ya pun
nak mengadu, ceritalah dari A sampai Z. Ini tak, asyik
cerita salah aku aje. Puncanya daripada siapa tak nak cerita.
Perangai dari dulu sampai sekarang sama aje. Suka
menyusahkan orang!’ rungut hatinya. Benci dengan pakar
bermuka-muka itu. Kalau jadi artis memang setiap tahun
boleh dapat anugerahlah.
“Kalau boleh, masa dia mati nanti pun jangan
bagitahu aku!” balas Aisara kejam.
“Apa maksud kau? Aisara!” Terkejut Alisa dibuatnya.
Malaslah nak bertekak. Buat rosak mood aje. Aisara
tamatkan panggilan.
“Ah, lantaklah!” Beg tangan disandang ke bahu
sementara briefcase dibimbit kemas. Langkah kaki terus
dihayun keluar pejabat.
Sementara menunggu pintu lif terbuka dia
termenung seketika. Perasaannya sedikit kesal meluahkan
kata-kata tadi. Tetapi Alisa kena sedar, dia memang benci
gila kepada ibu mereka itu. Dia sudah pun mendaftarkan
diri dalam borang untuk terjun ke neraka. Dia rela
menyandang gelaran anak derhaka, walaupun Puan Sri
Marina belum pernah menjatuhkan gelaran itu ke atasnya.
Keluhan berat dilepaskan sebelum melangkah
masuk ke dalam lif. Beberapa orang pekerja turut
melangkah masuk. Melihat Aisara di sini mereka diam
membisu. Tiada siapa yang berani tersenyum atau menegur bos
nombor satu syarikat itu. Aura garang dan sikap kepala angin
Aisara menakutkan mereka.
TING!
Pintu lif terbuka. Aisara melangkah keluar. Dia
sudah terbiasa bersikap tegang tanpa segaris senyuman,
jauh sekali mahu berterima kasih kerana diberi laluan
medahului mereka yang lain dalam lif itu.
Jam 5.30 petang, tetapi cahaya matahari masih
mewah menyimbah ke bumi. Hangatnya terus menggigit
setiap isi bumi yang terkena sinarnya. Aisara mencari
sesuatu dari dalam laci dashboard keretanya. Kaca mata
hitam diletak ke muka sebagai melindungi matanya yang
cantik daripada pancaran UV berbahaya. Sebaik lampu
isyarat berwarna hijau, dia terus menekan pedal minyak
dan memandu ke destinasi yang ingin dituju.
Petang itu dia tidak mahu bersendirian di
apartmennya. Balik dari bercuti, dia dipanggil Puan Sri
Marina dan sedikit pertengkaran bersama RY membuat
hatinya seperti tidak tenang. Dia perlukan seseorang yang
rapat dan sangat memahami dirinya.
SAMPAI saja di hadapan pintu pagar sebuah rumah
teres berkembar dua tingkat. Aisara menekan hon
keretanya. Beberapa saat kemudian dia melihat pintu pagar
automatik di hadapannya mengelunsur perlahan dan
terbuka. Dia tersenyum. Keretanya dipandu masuk.
Seketika kemudian dia masuk ke dalam rumah itu.
Matanya melihat segenap ruang tamu yang kemas dan
bersih. Kemudian pandangan matanya terhenti kepada
seorang pemuda yang sedang duduk tersandar di atas sofa
panjang. Begitu asyik menonton televisyen nampaknya,
sehingga kehadirannya pura-pura tidak diendahkan. Kalau
pemuda itu tidak perasan dengan kehadirannya, siapa
yang membuka pintu pagar tadi? Hantu?
Perlahan Aisara menghampiri. Sebaik sampai
berdekatan, dia mengambil tempat untuk berbaring dan
merebahkan kepalanya ke atas peha pemuda itu. Pemuda
itu tersenyum lebar. Senang melayan perilaku tanpa segansilu
Aisara. Muka Aisara yang sedikit keletihan itu
dipandang. Rambut Aisara diusap.
“What happened?” Perlahan saja pemuda itu
bertanya. Aisara kalau tidak ada masalah, jangan haraplah
akan mencarinya.
“Nothing.”
“Nothing?”
Aisara tergelak kecil. Dia tahu pemuda itu tidak
percaya. Dia pun tidak suka hendak menyembunyikan masalah
dalam hatinya dari pengetahuan pemuda itu. Elok berterusterang
saja.
“Hati aku tengah bermasalah,” adunya. Tekaannya
benar. “Kenapa? Jiwa yang dah kau kebalkan pun masih
runtuh dilanggar perasaan ke?” Pemuda itu tersenyum
dan menggeleng kecil mengenangkan setiap tindakan Aisara.
Senyuman yang terukir di bibir pemuda itu
mendamaikan hati Aisara. Dia rindu dengan senyuman
sama seperti itu. Hatinya terhiris mengingatkan senyuman
Tan Sri Megat Izzudin. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum
dilepaskan perlahan. Hatinya ingin melupakan semua
kenangan lalu.
‘Sudahlah... pergi! Pergi... jangan hantui aku lagi.
Kalau dikenang pun bukan aku boleh patah ke belakang. Yang
dah lepas, lepas. Lainlah kalau mesin merentas masa wujud,
bolehlah aku pinjam. Aku nak peluk daddy dan dia,’ cebik hati
Aisara hampa.
Kemesraan mereka dicuri pandang dari celah
dinding batu yang memisahkan ruang itu dengan ruang
tengah. Terdetik perasaan cemburu di hati perempuan di
sebalik tembok itu. Matanya terus memerhatikan tangan
suaminyayang bermain-main dengan rambut Aisara yang
lurus dan cantik. Tidak seperti rambutnya, kerinting halus.
Menyusahkan setiap kali hendak disikat. Dia mengemam
bibir, menahan perasaan.
“Aku rindu dia...” keluh Aisara. Matanya
dipejamkan sesaat. Dia mahu menghilangkan rasa pedih di
hati. Sukar perasaan tu hendak ditepis pergi.
Pemuda itu memandang anak mata Aisara. Dia
tahu, luka yang tersimpan dalam dada Aisara tidak mudah
sembuh biarpun sudah lama cerita sedih itu berlalu. Apa
lagi setelah Aisara memberitahunya semua yang menjadi
rahsia di sebalik cerita itu sangat merumitkan keadaan.
Kenapa terlalu lewat Aisara berterus-terang? Kalau dari
dulu pasti semua ini tidak perlu Aisara lalui. Dia menarik
nafas berat.
“Aku rasa kau perlukan seseorang yang kasih
sayangnya lebih dari apa yang aku boleh beri sekarang.”
Aisara menggeleng. Tidak semudah itu. Seluruh
hidupnya milik Alif.
“Bila suatu saat kau harus pergi. Jangan paksa
aku untuk cari yang lebih baik. Kerana senyummu
menyedarkanku. Kaulah cinta pertama dan terakhirku...”
luahnya melalui lirik lagu Cinta Pertama nyanyian
Sherina. Lagu yang pernah Alif kirimkan di dinding
muka bukunya sewaktu dia mahu ke Australia dulu.
Pemuda itu menggeleng simpati. Aisara ini
berlagak saja tunjuk perangai keras hati, tetapi dalam
hatinya masih juga Puteri. Hai, tidak tahulah bila semua
ini akan berakhir.
“Aku masih rasa bersalah pada dia. Selagi perasaan
ni ada dalam hati, tak mungkin aku boleh buka ruang hati
untuk orang lain,” ucap Aisara.
“Susahlah kalau macam tu,” balas pemuda itu.
“Susah, kan? Sebab kau tak faham.”
“Macam mana aku nak faham kalau kau buat
orang yang kau sayang tu macam tak ada perasaan,” protes
pemuda itu terkilan dengan sikap terlalu suka beralah
Aisara.
“Mmm... tak nak ungkit lagilah. Lagipun lepas
Puteri mati dia dah bukan milik aku lagi,” balas Aisara
mengelak. Dia bangun dan duduk menyandar.
Pemuda itu menoleh kepadanya.
“Bila Puteri mati? Baru sekejap tadi dia ada.
Kalau Puteri dah mati, tak adalah orang yang sibuk cakap
dia sedang rindu tadi,” bidas pemuda itu lagi.
Aisara terdiam dengan muka yang dimonyokkan.
Dia pun tidak faham macam mana dia boleh rela hidup
dengan identiti kedua macam tu. Dia tidak bahagia pun.
Menderita berterusan adalah. Dia memang perlukan
seorang pakar jiwalah.
“Aisara tu hanya watak ciptaan kau untuk
menyembunyikan Puteri. Tapi dalam satu situasi kau masih
tak mampu pun membunuh Puteri,” sindir pemuda itu.
Aisara kecilkan mata. Adiknya yang hebat berkata-kata itu
direnung. Ini ada yang kena back hand kejap lagi.
“Sudahlah sis, tak payah buat perangai macam
orang sakit jiwa. Puteri atau Aisara tu orang yang sama.
Tak payah juga bodohkan diri sebab nak tunjuk perasaan
dengan mummy. Yang sakit hati tu kau, mummy macam tu
jugak,” ejek Amir. Dalam hatinya kesal juga kebijaksanaan
Aisara semakin terhakis kerana dendam.
Aisara mengeluh. Tewas di depan Amir. Dia
memang selalu gagal berlakon seperti selalu. Sifat seorang anak
manja yang perlukan kasih sayang dalam dirinya selalu
dapat Amir tembusi.
“Aku tak buat semua ni sebab perempuan
terhormat tu ajelah. Tapi aku nak lupakan dia. Aku nak
jadi orang baru. Aku nak buang semua kenangan berkaitan
Puteri tu,” beritahu Aisara masih mahu membela setiap
tindakannya.
Amir tergelak kecil. Geli hati kakaknya yang tidak
pandai menipu cuba berbohong. Mulut saja yang cakap
hendak melupakan. Tetapi hati? Hurm...
Dalam pada itu dia rasa kurang senang pula
membiarkan Aisara dan ibu mereka terus bermusuhan.
Apa yang perlu dilakukan? Perlukah sampai mencari dan
membawa Alif pulang? Tetapi mungkin ke semua masalah
itu boleh berakhir dengan kehadiran lelaki itu? Atau Aisara
akan lebih bermasalah nanti. Jenuh hendak fikir. Elok
dilupakan semua itu dulu.
“Lari dari kenyataan hidup. Itu yang kau tengah
buat sekarang. Nasiblah daddy dah tak ada. Kalau tak, dia
akan mati sekali lagi tengok kau macam ni,” keluh Amir.
“Mengarut! Kalau daddy ada lagi mesti aku tak
jadi macam ni. Aku akan bahagia, sebahagianya
dengan... hurm... Lupakanlah.” Aisara mencebik tak
sanggup nak sebut nama Alif.
“Kenapa? Tak boleh nak sebut?” sindir Amir.
“Itu maksudnya jiwa kau tak lapang, hati kau tak
pernah rela. Walaupun mulut kau kata kau dah okey, kau
tak ingat dia, kau dah boleh hidup macam biasa... tapi hati
kau sebenarnya tengah parah. Parah sebab kau tak jujur
dengan diri sendiri,” tekan Amir tepat mengenai sasaran.
Aisara muncung bibir.
“Kenapa buat mulut macam tu? Salah ke apa yang
aku cakap?”
Aisara mengalihkan pandangan.
“Dulu kau cakap dengan aku, cinta yang dari
syurga tu tak payah dirisaukan sangat. Jangan dikejar.
Kalau dah milik kita lambat mana pun pasti akan kita
miliki. Jadi kenapa kau asyik nampak macam ayam berak
kapur aje. Tunggu ajelah malaikat campakkan cinta pada
kau tak lama lagi.” Sengaja Amir pulangkan nasihat yang
pernah Aisara beri kepadanya beberapa tahun dahulu.
Sewaktu buah hati kesayangannya mengambil keputusan
meninggalkan dirinya. Semua kerana darjat mereka yang
berbeza dan kebodohan dirinya sendiri. Pedih betul
hatinya masa itu dan sama jugalah dengan apa yang
dirasakan Aisara sekarang. Kenapalah cinta menyeksakan?
Terkena pula dia balik. Aisara memang tidak
lupalah kisah cinta Amir dan Nurul. Amir cinta setengah
mati kepada Nurul. Bila Nurul pergi, Amir separuh sasau.
Disebabkan mahu pujuk Amir, dia nasihatkan adiknya
dengan kata-kata yang dipinjam daripada Alif untuk
dirinya dulu.
Apa pun yang berlaku antara Amir dan Nurul, itu
memang salah Amir. Sudah Tuhan kurniakan gadis
Melayu terakhir sebaik Nurul, mahu diubah menjadi gadis
Inggeris terhangat. Larilah Nurul. Tujuannya ke kota
London mahu mencari duit lebih untuk menyambung
pelajarannya yang tertangguh, bukan kerana mahu
menawan hati Amir. Nurul rasa mereka tidak serasi. Macam
langit dengan bumi. Tanpa sepatah kata dia meninggalkan
Amir.
Amir mula tidak senang hidup. Hari-hari dia
meminta Aisara buat sesuatu. Disebabkan sayang kepada
adiknya itu dia terbang dari Australia ke Kota London,
semata-mata mahu memujuk Nurul bagi pihak Amir.
Mujurlah Nurul itu jenis gadis yang lembut hati, kalau
tidak melepaslah Amir. Tetapi Nurul bagi syarat, dia mahu
Amir lebih mendekati agama. Kalau tidak mereka jadi
kawan biasa sahaja. Amir tidak ada pilihan, perlahan-lahan
dia mendekati agama.
Mulanya kerana Nurul tetapi lama-kelamaan kerana
dirinya sendiri. Hasilnya, sekarang sudah empat bulan Amir dan
Nurul berkahwin. Aisara tersenyum sendiri mengimbas
semua itu. Cinta ada pelbagai cerita dan pelbagai jalan,
namun tujuannya masih satu. Mahu hidup bersama dan
bahagia.
“Beranganlah tu.” Amir menyiku perlahan lengan
Aisara.
Aisara memandang Amir.
“Biarlah, banyak mana pun malaikat nak campak
cinta dari syurga. Aku tak kan kutip satu pun daripadanya,”
balas Aisara tidak berperasaan. Cinta buat dia merana.
“Angkuh! Nanti menyesal,” tegur Amir.
“Nak menyesal apa? Tak ada maknanya lagi nak
bercinta-cinta. Cinta aku pada syarikat tu aje,” balas Aisara
manalah ada masa untuk fikir semua tu.
“Hurm... kat syarikat tu dah ada cinta yang
malaikat campakan. Kau aje belum nampak,” usikkan
Amir yang berterusan membuatkan Aisara geram. Suka
pula Amir melihat muka geram Aisara. Comel seperti
masa dulu-dulu.
“Kalau ada pun, aku tak nak! Tak nak! Tak nak!”
bentak Aisara perlahan pura-pura merajuk.
Amir terkekeh ketawa.
“Kan manis bila Puteri dah kembali,” ucap Amir
lantas bahu Aisara disentuh dan menarik tubuh itu rapat dalam
pelukannya.
Aisara tersenyum bahagia kerana masih punya adik yang
menyayanginya. Menggantikan ayah mereka yang telah tiada.
Nurul yang mengintai dari ruang belakang
menjelmakan dirinya di hadapan mereka. Dia berdeham perlahan.
Matanya memandang tepat kepada suaminya yang
sedang mengosok mesra bahu Aisara. Lagak Amir seperti
orang sedang memujuk. Nurul ukir senyum nipis.
Membuang perasaan cemburu yang tidak patut berada di
hati. Suaminya bukan sedang bermesra dengan wanita
sembarangan. Itu kakak kandung suaminya. Amanah dalam
kehidupan lelaki itu. Dia cuba untuk memahami sikap
manja Aisara yang dari kecil memang rapat dengan Amir.
Aisara menoleh.
“Eh, tak kerja ke?” tanyanya langsung tidak sangka
Nurul berada di rumah. Rasanya tadi dia tidak nampak pun
kereta Nurul di perkarangan rumah.
“Hari ni cuti,” beritahu Nurul ringkas.
Aisara mengangguk. Duduknya ditegakan.
“Sayang, mari duduk sini,” pinta Amir mesra. Tangan
dihulurkan meminta isterinya segera datang mendapatkannya.
Aisara sekadar melihat. Terbayang pula dirinya melalui
peristiwa itu bersama lelaki yang bergelar suami. Tetapi itu hanya
mimpi.
Malu-malu Nurul melabuhkan punggung di sebelah
kanan Amir.
Amir mengesot sedikit, memberi ruang yang cukup
kepada Nurul untuk duduk. Kemudian kedua-dua tangannya
diangkat dan satu diletakkan ke atas bahu Nurul, satu lagi di
atas bahu Aisara. Dia menarik tubuh kedua-dua wanita itu
supaya merapati tubuhnya serapat yang boleh. Sebaik keduadua
mereka melentukan kepala atas bahunya. Dia tersenyum
nakal.
“Macam ni agaknya perasaan ada dua isteri,” usik
Amir nakal, membayangkan keseronokkan seorang lelaki bila
disayangi dua orang perempuan dalam satu masa. Ketawanya
berderai.
Sejurus itu Aisara dan Nurul mengangkat kepala dan
mencerunkan mata kepada Amir.
“Adoiii!” jerit Amir kuat. Kedua-dua pehanya dicubit
jari-jari runcing Nurul dan Aisara.
Melihat Amir terjerit kesakitan mereka ketawa
semahunya. Petang itu menjadi ceria dan membahagiakan
buat Aisara. Ternyata di rumah itu kasih sayang masih
melimpah ruah untuk dinikmati seperti masa-masa lalu.
No comments:
Post a Comment