DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Kapcai Girl Vs Encik Superbike - Bab 9

TIARA tertunduk merenung plat nama ketua
pengarah di hadapannya. Jari-jemarinya dari tadi bertaut,
bercangkuk sesama sendiri. Mulalah peluh keluar membasahi
setiap jari runcingnya itu. Tidak sanggup lagi dia mahu
angkat wajahnya bertentang mata dengan lelaki yang dari
tadi merenung tajam ke arahnya. Rupanya lelaki yang asyik
bergaduh dengannya itulah bosnya. Sungguh kecil dunia ini.
Sungguh kecil Kuala Lumpur. Sungguh sempit bangunan
Ibnu Holdings!
“Ketuk ketampi sepuluh kali, sekarang!”
“Huh???”
“Huh, huh apa? Aku cakap ketuk ketampi sepuluh
kali. Kau dengar tak?”
Tiara menjeling tajam. Darahnya naik mendadak
hingga ke paras muka. ‘Kurang ajar punya orang jahat! Hii…
macam manalah aku boleh jadi setiausaha mamat ‘hidung
tinggi’ ni pulak! Kak Habsah ni pun satulah! Bukannya nak
beritahu awal-awal. Hiii… sedap dialah nak kenakan aku
nanti ni!’
“Saya nak berhenti kerja sekarang jugak!” jawab
Tiara lalu bergegas ke pintu. Namun tidak sempat pun
dia menarik tombol pintu, Syed Wafi sudah pun menarik
lengannya.
“Kau nak pergi mana hah?”
“Suka hati akulah! Kau peduli apa! Kan aku cakap
nak berhenti tadi. Kau dengar ke tak?”
“Wah, sedap hati kau aje nak berhenti macam tu?
Kau fikir syarikat ni bapak kau punya!”
Tiara menoleh pantas. Ringan tapak tangannya
mahu singgah ke pipi Syed Wafi.
“Kau boleh maki aku kalau kau nak. Kau boleh
hina aku kalau kau suka. Tapi jangan kait nama bapak aku.
Faham!”
Syed Wafi tergamam. Dia merenung ke dalam bola
mata Tiara yang berkaca.
“Kau tak boleh berhenti macam tu aje. Kena ada notis
dan kebenaran aku. Syarikat ni dah banyak habis duit nak cari
pekerja. Paling teruk pun kau kena siapkan notis sebulan.
Faham!” luah Syed Wafi tegas. Dia rasa bersalah kerana
terlepas cakap tadi. Namun tidak sesekali dia memohon maaf.
Orang yang perlu ucap perkataan itu terlebih dahulu ialah
Tiara.
Tiara berdengus kasar lalu meloloskan diri keluar
dari pejabat Syed Wafi. Tetapi lain pula yang menantinya.
Tiara hampir terjatuh apabila memandang seraut wajah di
hadapannya.
“Masya-Allah!” ucap Tiara perlahan. Matanya tidak
berkelip memandang wajah tenang itu. Sudah lama mereka
tidak bersua sejak dia membuat keputusan untuk putus dulu.
“Sayang? Awak buat apa dekat sini?”
Tiara terjegil mendengar Khalid menyebut panggilan
itu terhadapnya. Apakah Khalid sudah gila memanggilnya
begitu di khalayak ramai? Bukan Tiara tidak tahu apa status
Khalid sejak tiga tahun lalu. Memang dia sudah lama tidak
bertemu Khalid, tetapi Tiara tahu Khalid sudah berumah
tangga. Apakah Khalid fikir dia tidak tahu semua itu? Selama
ini dia tidak pernah ketinggalan apa-apa pun. Cuma tadi
sahaja dia terlambat mengetahui bahawa Syed Wafi itulah
bosnya. Dia lambat beberapa minit sahaja.
“Encik nak jumpa Encik Wafi ke?” soal Tiara serius.
Biarpun Khalid sedang tersengih seperti kerang kena celur air
panas di hadapannya, Tiara tidak ada hati hendak membalas.
Kerana lelaki itulah dia hilang kesuciannya. Kerana Khalidlah
dia hilang kasih sayang emaknya hingga ke hari ini.
Khalid berdiri di hadapan meja Tiara lama. Dia tidak
tahu bagaimana Tiara boleh muncul tiba-tiba di hadapannya.
Dia pelik bagaimana Tiara boleh menjadi setiausaha kepada
Syed Wafi, namun dia pendamkan semua persoalan itu
terlebih dahulu. Pertemuan semulanya dengan Tiara itu
yang lebih penting. Hatinya riang dan girang teramat sangat.
Umpama hari ini adalah hari baru buat dirinya.
“Saya ada banyak perkara nak cakap dengan awak,
Tiara. Tapi saya fikir, kita masih punya waktu yang panjang.
Erm… saya nak jumpa bos awak dulu. Nanti kita jumpa
lagi ya. Saya nak cakap sesuatu dengan awak.” Khalid
meninggalkan meja Tiara dengan secebis senyuman penuh
makna di pipinya. Lupa terus dia akan isterinya Nur Lyana.
Tiara pula terjegil mata. ‘Berani betul kau Khalid!
Kau ingat aku ni siapa? Banyak perkara nak cakap konon!
Huh!’ dengus Tiara garang. Dia tak ada masa hendak layan
semua perkara itu. Perkara dengan Syed Wafi pun sudah buat
dia rimas, inikan pula Khalid.
Tiara tidak membuang masa lagi. Sehelai surat
peletakan jawatan terus diisi. Dia tidak peduli akan kata-kata
Syed Wafi. Dia tidak perlu sebulan untuk buat tindakan
itu. Biarlah dia tidak bekerja sebagai setiausaha pun. Janji
hidupnya tenang dan tenteram tanpa gangguan.
Usai sahaja menaip surat peletakan jawatan itu,
Tiara terus bangun menghampiri pintu pejabat Syed Wafi.
Ingin diserahkan surat itu dengan segera, namun tatkala
mendengar suara Syed Wafi dan Khalid bergelak ketawa,
Tiara kembali ke tempat duduknya semula.
‘Kurang asam mamat dua ketul tu! Mengata aku
rupanya ya!’ Tiara mencebik geram. Tidak sangka rupanya
Khalid berkawan baik dengan Syed Wafi. Surat di tangannya
disumbat kasar ke dalam laci meja.
Hari ini, Tiara terpaksa bertugas di bawah Syed Wafi
biarpun terpaksa. Dalam masam-masamnya, terpaksa juga
dia senyum apabila di hadapan pekerja lain. Seharian dia
bertugas sebagai setiausaha. Banyak perkara baru yang dia
belajar. Yang peliknya, sepanjang sehari itu tak pula Syed
Wafi membulinya. Bercakap kasar pun tidak pula. Lebih
banyak panggilan namanya sahaja yang kedengaran. Bahasa
‘kau’, ‘aku’ juga hilang.
‘Ah! Mungkin dia berlakon aje tu. Mana boleh percaya
sangat mamat ni!’ Sangkal Tiara lalu mencapai beg galasnya
untuk pulang. Terlupa terus akan surat letak jawatannya
yang masih kemas di dalam laci meja.
“HUH? APA hal ni?” Tiara terus menerpa ke arah motosikalnya
yang sudah dihalang oleh sebuah motosikal berkuasa tinggi.
Dalam hati, dia terus menyumpah seranah pemilik motosikal
itu. Dia sudah agak, Syed Wafi memang pandai berpura-pura.
Di hadapan semua pekerja bahasanya memang cantik dan
sopan, tetapi apabila di belakang macam gini pulak jadinya.
Tiara cuba menolak superbike Syed Wafi sekuat hatinya,
namun tidak bergerak sedikit pun.
“Kalau kau kuat, kau tolaklah superbike aku tu!”
tegur Syed Wafi dari belakang.
Tiara terkejut. Dia memandang Syed Wafi yang
tersengih-sengih. Sekarang Syed Wafi yang dikenalinya
sudah pun ‘kembali’. Bahasa ‘aku’, ‘kau’ itu pun sudah wujud
semula. Kalau begitulah caranya, dia pun tak ada hati nak
berbaik budi bicara lagi.
“Cepat alih biawak kau ni!” jerkah Tiara kuat.
Bergema suaranya di tempat parkir itu. Dia mengacip giginya
kuat.
Syed Wafi yang sudah mengagak terus tersenyum
sinis. Sengaja dia mahu membangkitkan lagi kemarahan
Tiara. Semasa waktu kerja tadi dia layan Tiara dengan
baik seperti pekerja yang lain. Syed Wafi bukan tak ingat
akan pergaduhannya dengan Tiara. Tetapi sudah menjadi
prinsipnya, apabila tiba waktu kerja tak ada perkara yang
boleh dibuat main-main. Hal peribadi semuanya ditolak ke
tepi.
“Mulut kau ni memang tak pandai nak bercakap
elok-elok ke hah!!” Tiba-tiba Syed Wafi mencekak kedua
belah pipi Tiara dengan tapak tangannya. Akibatnya bibir
Tiara termuncung ke depan.
Pang!!! Satu tamparan kuat hinggap di pipi Syed
Wafi.
“Lelaki gila! Kau ingat Tuhan bagi kau tangan
untuk kau sesuka hati sentuh orang macam ni ke? Huh!”
Dengan mata yang merah, Tiara merengus kuat. Dia terus
menghidupkan enjin motosikalnya tanpa menghiraukan
Syed Wafi yang masih meraba-raba pipinya.
Syed Wafi mengerdipkan kelopak matanya beberapa
kali. Merah menyala matanya kerana terlalu marah dan
kecewa dengan tindakan Tiara. Tanpa mempedulikan
Tiara yang masih bertungkus lumus menghidupkan enjin
motosikal, dia terus menunggang motosikalnya dan beredar
dari tempat itu.
“Kenapa kita ditakdirkan berkenalan dalam situasi
macam ni, Tiara? Kenapa kau tak hadir dalam hidup aku dalam
situasi yang lebih baik?” luah Syed Wafi perlahan. Hatinya
berbelah bahagi untuk meneruskan perjalanan pulang ke
rumah. Masih ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
Tanpa membuang masa, Syed Wafi terus berpatah ke tempat
kerjanya semula. Namun belum pun sampai ke tempat kerja,
dia sudah terpandang seseorang sedang menolak motosikal.
Tiara tercungap-cungap menolak motosikal
kapcainya. Dia mahu menangis melihat keadaan motosikalnya
yang pancit kedua-dua tayar. Dia tahu siapa yang melakukan
perbuatan terkutuk itu. Cuma waktu ini hatinya tidak mampu
hendak marah, lidahnya juga sudah letih hendak meluah
segala rasa. Sebaliknya, kebenciannya terhadap Syed Wafi
yang makin meninggi menjadi menara yang sukar hendak
dirobohkan.
“Tiara!” jerit Syed Wafi dari atas motosikalnya.
Perlahan-lahan dia menunggang motosikalnya di sebelah
Tiara. Kasihan dia melihat Tiara terpaksa menolak motosikal
seorang diri.
Tiara sedar Syed Wafi sedang menunggang di
sebelahnya. Tetapi dia tidak menghiraukan kehadiran lelaki
itu.
Syed Wafi memberhentikan motosikalnya dan terus
mendapatkan Tiara yang masih membisu. Sakitnya hati
melihat gadis itu dengan sombong menolak kapcai yang kian
uzur.
“Kenapa dengan kau ni hah, Tiara! Kau tak nak
marah aku ke? Kalau kau nak tahu, akulah yang pancitkan
tayar kapcai kau ni. Sekarang ni marahlah aku. Tamparlah
pipi aku lagi!” jerkah Syed Wafi di hadapan Tiara.
Tiara menelan air liurnya. Memang ringan tapak
tangannya hendak menampar muka Syed Wafi. Malah
hampir-hampir sahaja dia hendak menendang Syed Wafi
ketika lelaki itu di atas motosikal besarnya. Tapi saat ini dia
terlalu letih hendak melayan kerenah Syed Wafi.
“Wafi, kau sebenarnya hanya nak dengar ucapan
maaf daripada aku sahaja, kan?” soal Tiara dengan suara yang
lemah. Dia betul-betul kepenatan yang teramat sangat kerana
sudah menolak motosikalnya hampir 800 meter.
“Kau berani ke nak minta maaf daripada aku, Tiara?”
Tiara mengangguk kepalanya. Apa yang perlu dia
takutkan? Bukannya perkataan itu boleh mengakibatkan
gempa bumi atau tsunami jika dilafazkan pun.
“Wafi, aku minta maaf sebab tumbuk dan tampar
muka kau dulu. Aku minta maaf sebab tumpahkan air susu
atas baju kau dan baling baju tu dekat muka kau. Aku minta
maaf kalau aku buat kau sakit hati,” ucap Tiara perlahan.
Mulut Syed Wafi sedikit terbuka mendengar
ungkapan maaf dari bibir Tiara. Sungguh dia tidak sangka
Tiara akan mengalah dengan cepat. ‘Tak! Bukan itu yang aku
nak sebenarnya Tiara. Aku sebenarnya....’
“Tiara, aku tumpangkan kau, nak?”
“Aku dah tak larat la Wafi, tolong jangan ganggu aku
lagi. Aku tak ada hati nak tumpang kau dan tak ingin nak
tengok muka kau lagi.”
“Tapi aku tak maafkan kau lagilah, Tiara.”
“Suka hati kaulah!”
“Tiara!” Syed Wafi menggenggam jari-jemarinya.
“Wafi, kau ni dah besarlah! Boleh tak kau sedar sikit!
Jangan buat perangai macam budak-budak boleh tak? Kenapa
dengan kau ni, hah? Dekat tempat kerja aku, kau cari pasal
dengan aku, dekat tempat kerja kau pun, kau tak habis-habis
ganggu aku. Sekarang ni, dekat tepi jalan ni pun?” Tiara
geleng kepalanya.
“Naiklah dengan aku, biar aku hantar kau balik
rumah. Kapcai kau tu tinggal ajelah dekat tepi jalan ni. Itu
pun nak aku ajar ke? Kapcai buruk macam tu tak ada orang
nak curilah!”
“Aku tak sudi nak bertenggek belakang kaulah!”
jerkah Tiara. Jika tadi dia sudah memohon maaf dengan nada
lembut, tetapi tatkala mendengar Syed Wafi terus mengutuk
motosikalnya itu, hati Tiara membuak-buak bagai lava
gunung berapi. Tak apa kalau Syed Wafi tidak sudi hendak
terima permintaan maafnya. Dia pun dah tak sudi hendak
memohon kemaafan lagi.
“Kenapa tak sudi pulak?”
“Sebab aku tak naklah!” luah Tiara sambil mengerling
seseorang yang sedang menghampirinya. ‘Syukurlah dia dah
sampai!’ bisik Tiara.
Hisham memberhentikan motosikalnya di sebelah
Tiara.
“Macam mana tayar motor kau boleh pancit dua-dua
pulak ni, Tiara?” soal Hisham hairan. Dia juga sempat
menoleh ke arah seorang lelaki yang pernah dilihatnya ketika
di tol dulu.
Syed Wafi tercengang melihat seorang lelaki tiba-tiba
muncul.
“Tiara, aku rasa boleh aje kut aku tolak motosikal
kau ni. Kau naik ajelah, biar aku tolak dengan kaki aku. Kau
tu pun bukan berat mana pun. Aku rasa ada bengkel dekat
depan sana tu.”
Tiara mengangguk lalu terus naik di atas
motosikalnya. Langsung tidak dipandang Syed Wafi yang
masih terus memerhati.
Syed Wafi hanya mampu melihat Tiara
meninggalkannya. Dalam benaknya timbul pelbagai soalan.
Siapa lelaki itu? Apa hubungan dia dengan Tiara? Kekasih
‘mat rempit’ Tiara ke? Tiara yang cantik itu berkawan dengan
‘mat rempit’ ke?
Haru-biru jiwa Syed Wafi. Entah perasaan geram
apakah yang sedang muncul dalam benaknya tika ini.
Sungguh pedih hingga ngilu rasanya.

No comments:

Post a Comment