DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

Ivy Raihana - Bab 7

KELIHATAN masih ramai pesakit dan orang
awam yang sedang menunggu giliran untuk mengambil ubat.
Jam pula sudah menunjukkan hampir ke pukul dua petang.
Perut Fayed sudah berbunyi minta diisi. Keadaan di farmasi
utama memang selalu sibuk jika dibandingkan dengan
farmasi satelit. Kadang nak keluar makan pun tak sempat
sebab orang ramai sangat.
“Yed, dah makan belum?” soal Ridhuan sewaktu
Fayed sedang menyerahkan ubat kepada pesakit yang berdiri
di depan kaunter. Fayed menoleh ke arah Ridhuan seketika
sebelum menggeleng dan tugasnya diteruskan.
“Kau pergilah makan dulu. Aku dah belikan nasi
untuk kau, ada dekat belakang.” Kata Ridhuan sebelum
mengambil alih tugas Fayed.
“Thanks, Wan.” Ucap Fayed sebelum bangun dan
lalu berlalu ke pantri di belakang.
Kelihatan sebungkus nasi dan segelas teh ais sudah
tersedia di atas meja. Fayed tersenyum lalu duduk dan
mengisi perut yang sedang berkeroncong. Sedang Fayed
menjamu selera, Kak Anis iaitu salah seorang pegawai di situ
masuk dengan membawa plastik berisi goreng pisang.
“Baru makan, Yed?” tegur Kak Anis mesra. Pisang
goreng yang dibawanya tadi diletakkan di atas meja dan dia
melabuhkan duduk di hadapan Fayed.
“Haah, kak. Makan kak...”
“Makanlah, akak dah makan dah tadi. Yed, ada
dengar cerita tak?” soal Kak Anis dengan suara berbisik.
“Cerita apa, kak?” soal Fayed pula dengan kerutan
di dahi.
Kak Anis membuka plastik pisang goreng yang
dibawanya tadi lalu diletakkan ke dalam pinggan. “Minggu
lepas ada junior tersalah prescribe ubat.”
“Junior mana, kak? Habis tu, apa jadi?” Fayed
meneruskan suapan yang masih berbaki.
“Junior yang baru masuk lepas Fayed hari tu. Kaisara
kalau tak silap nama dia. Jadi apa, overdose la. Nasib baik tak
teruk.”
Kaisara. Macam tak pernah dengar je nama tu.
“Habis tu, apa jadi dengan dia, akak?”
“Kena warning. Kesian dekat dia Yed, baru masuk
kerja dah jadi macam ni pula.” Masih terbayang wajah muram
Kaisara selepas dipanggil berjumpa dengan pegawai atasan.
Bukan main pucat lagi. Kerja ahli farmasi bukan senang.
Antara cabaran yang terpaksa dihadapi yang macam kes yang
nilah. Memang teruk nak menjawab bila dah tersalah bagi
ubat macam ni.
Belum sempat Fayed bertanya dengan lebih lanjut,
telefon di dalam poketnya berbunyi. Kelihatan nama Amir
yang tertera di skrin.
“Waalaikumussalam, bang.” Jawab Fayed.
“Yed, kereta kawan kau dah siap dah ni. Petang ni
dah boleh ambil.”
“Ouh cepatnya, bang.”
“Yed punya pasal, abang siapkan cepat-cepat.”
Ketawa Fayed mendengar jawapan Amir. “Okey
abang, nanti saya beritahu dekat tuan kereta tu.” Fayed
sempat mengucapkan terima kasih kepada Amir sebelum
menamatkan panggilan.
“Akak keluar dulu la, Yed.” Kak Anis bangun untuk
beredar. Sudah lama sangat dia dekat sini. Kerja masih banyak
lagi dekat luar sana tu. Bagi orang lain pula yang berehat.
“Pisang goreng ni, akak.”
“Akak tinggal dekat sini je. Nanti sesiapa yang nak
bolehlah makan. Akak gerak dulu, ye?” Kak Anis terus berlalu
meninggalkan Fayed sendirian.
Setelah selesai makan, Fayed kembali mengambil
telefon yang diletakkan di atas meja seketika tadi. Jarinya
bergerak mencari nombor telefon yang disimpan sebagai
Minawel dan seketika kemudian nombor tersebut dihubungi.
Panggilan pertama tidak bersambut. Fayed mendengus
kebosanan. Inilah yang dia paling tak suka, bila call tak ada
yang jawab. Sekali lagi Fayed mencuba dan seperti tadi,
panggilan tetap tidak bersambut.
“Tenang Yed, tenang...” Fayed mengusap dada
sendiri. Fayed mencuba untuk kali yang terakhir. Tetap
juga tidak berjawab. “Okay that’s it.” Fayed mencampakkan
telefon ke atas meja lalu mendengus geram. Nasib baik tak
tercampak ke bawah.
“Aku nak bagi nombor telefon Abang Amir hari tu
tak nak. Sekarang dah menyusahkan aku pula.” Bebel Fayed.
Seketika kemudian telefon dia pula yang berbunyi.
Fayed mengambil telefon yang dicampaknya tadi. Tertera
nama Minawel di skrin. Tanpa berlengah dia terus menjawab
panggilan dari minah senget itu.
“Hello... Siapa ni?” kedengaran suara Ivy menyoal di
sebelah sana.
“Assalamualaikum.” Fayed memberi salam. Minah
ni memang sejenis yang main terjah saja ke.
“Waalaikumussalam.” Jawab Ivy pantas. “Awak ni
siapa? Kenapa call saya?”
“Kalau tak nak jawab telefon, campak je telefon tu ke
sungai, cik kak. Tak payahlah nak menyusahkan orang call
awak berkali-kali.” Marah Fayed. Dari tadi dia menahan rasa
geramnya itu.
“Eh, awak ni siapa ha? Orang tanya elok-elok bukan
nak jawab elok-elok, marahkan orang pula. Yang awak sibuk
call saya berkali-kali tu apa hal? Dah orang tak jawab, orang
tengah sibuklah tu. Tak payahlah nak call banyak kali.” Marah
Ivy pula.
Fayed menahan nafas mendengar bebelan Ivy di
sebelah sana. Memang kena ada kesabaran yang tinggilah
kalau nak bercakap dengan minah ni. “Kereta awak dah
siap, petang nanti dah boleh ambil.” Kata Fayed sebelum
memutuskan panggilan. Menyesal pula dia tolong minah
sewel ni hari tu.
Fayed bangun untuk keluar tetapi belum sempat dia
melangkah, telefon di tangan berbunyi. Fayed mendengus
geram. Apa lagilah yang minah ni nak.
“Asam keping!” Jerit Ivy setelah panggilan
bersambung. “So, awak nak datang ambil saya pukul berapa?”
soal Ivy dengan nada yang ceria. Dah lama dia tunggu
panggilan daripada Fayed. Hari ni baru nak call.
Kening Fayed terangkat. “Apa hal saya nak kena
ambil awak pula?” soal Fayed dengan kerutan di dahi.
“Yelah, kan kita nak pergi bengkel petang ni. So,
awak nak datang ambil saya pukul berapa? Lepas waktu kerja
ke?” soal Ivy dengan selamba.
Fayed menjarakkan telefon seketika. Dia sedang
bercakap dengan siapa sebenarnya ni? Dengan awek dia ke
atau dengan minah sewel tu. Dah kenapa pula minah ni
bercakap dengan dia macam tengah bercakap dengan kekasih
pula. “Hello cik kak, yang nak pergi bengkel tu awak, bukan
saya. Kenapa pula saya nak kena ambil ambil awak?”
“Eh, kan kereta saya ada dekat bengkel sekarang.
Habis tu kalau awak tak datang ambil saya, saya nak ke sana
naik apa?”
“Teksi berlambak, cik kak. Panggil je teksi.” Jawab
Fayed mudah.
“Dekat area rumah nenek ni susahlah nak dapat
teksi.”
“Bukan masalah saya. Dahlah, saya nak sambung
kerja ni...” Belum sempat Fayed memutuskan panggilan, Ivy
memanggil... “Awak... tolong la. Habis tu dekat sana nanti,
macam mana? Takkan saya nak uruskan semuanya sendiri?
Saya mana tahu nak uruskan semua tu. Kalau saya kena
kelentong dengan diorang macam mana?” Dia tak nak ke
bengkel seorang diri. Lagi pula sejak dari awal Fayed yang
uruskan semuanya. Apalah salahnya kalau Fayed uruskan
sampai habis, kan?
“Itu bukan masalah saya.” Jawab Fayed dengan tegas.
“Nenek!!!”
Fayed mengeluh perlahan bila Ivy memanggil
neneknya. Bila teringatkan Nek Munah, dia rasa tidak enak
pula untuk membiarkan Ivy menguruskan semuanya sendiri.
“Okay, fine! Jumpa awak dekat bengkel petang nanti.”
“Tak nak datang ambil saya ke?”
“NO! Jangan nak banyak songeh. Nanti saya text
alamat bengkel dekat awak.” Fayed terus memutuskan
panggilan. Kenapalah dia boleh terjebak dengan minah sewel
ni pula. Fayed menggaru kepala yang tidak gatal.
IVY TURUN dari teksi yang berhenti betul-betul di hadapan
bengkel Amir. Dari jauh dia sudah nampak susuk tubuh
Fayed yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Mata
Fayed sedang merenung tajam ke arah dia. Ivy memandang
Fayed atas bawah. Dengan lengan baju kemeja yang dilipat
hingga ke siku, Fayed nampak lebih kacak daripada biasa.
Ivy meletakkan tangan ke dada. Kenapa tiba-tiba jantung
dia berdegup lebih kencang daripada biasa? Perlahan-lahan
langkah kakinya diatur mendekati Fayed.
“Tak reti tengok jam ke? Tahu tak sekarang ni dah
pukul berapa?” marah Fayed. Hampir sejam dia tunggu,
sekarang baru nampak batang hidung Ivy. Amir juga terpaksa
tutup bengkel lewat hari ini kerana tunggu Ivy datang ambil
kereta.
Erk! Hilang sudah wajah kacak Fayed tadi. Jantung
dia juga sudah kembali normal. Mamat asam keping ni
memang tak boleh nak cakap elok-elok agaknya. Asyik marah
je. “Kan dah cakap tadi dekat area rumah nenek tu susah nak
dapat teksi. Orang suruh ambil dekat rumah tak nak pula.
Dah tu bising bila orang lambat. Menyampah betul.” Bebel
Ivy.
“Dah, tak payah nak membebel. Mari sini, Abang
Amir nak beritahu apa yang rosak.” Fayed bergerak ke arah
Abang Amir yang sedang menanti. Ivy hanya membontoti
Fayed dengan mulut yang memuncung.
“Banyak ke yang rosak bang?” soal Ivy yang berdiri
di sebelah Amir.
“Dah berapa lama tak tukar minyak gear dengan
filter semua?” soal Amir pula.
“Erk... urm...” Ivy diam berfikir. “Tak pernah tukar
kut, bang. Kenapa?” soal Ivy dengan wajah yang polos.
Amir dan Fayed menggelengkan kepala. “Patut la...
Gear box kereta yang rosak dan abang terpaksa gantikan
dengan yang baru. Nanti jangan lupa tukar minyak gear
dengan filter, ye? Dekat dalam tu abang dah tanda bila kena
tukar semua tu.” Jelas Amir.
“Ooo... saya tak tahu semua tu, bang. Terima kasih.”
Ivy tayang sengih. Memang satu apa pun dia tak tahu tentang
kereta. Yang dia tahu pandu kereta je. Minyak tu pun baru je
pandai isi sendiri.
“Orang perempuan memang macam ni, bang. Yang
diorang tahu mekap tebal-tebal, pakai baju cantik-cantik. Itu
jelah. Knowledge pasal kereta, zero.” Fayed angkat jari tanda
kosong.
Amir hanya tergelak mendengar kata-kata Fayed.
“Betul apa yang kau cakap tu, Yed. Dah ramai dah abang
jumpa perempuan macam tu. Kadang kesian juga dengan
diorang ni, satu apa pun tak tahu. Agak-agak kalau jumpa
yang jenis kaki paw, memang teruklah diorang kena ketuk
agaknya.” Amir dan Fayed ketawa.
Ivy menjeling ke arah Fayed yang sedang saronok
ketawa. “Tak kelakar, okey? Dahlah, berapa total ni, bang?”
Ivy mengeluarkan beg duit untuk membuat pembayaran.
“Ini resitnya.” Amir menyerahkan resit pembayaran
kepada Ivy.
Selesai semuanya, Ivy bergerak ke arah kereta
dan bersedia untuk pulang. Belum sempat dia masuk ke
dalam kereta, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Ivy kembali
menoleh ke arah Fayed dan Amir yang sedang berbual dan
tanpa disangka, sekali lagi jantung dia berdegup dengan
kencang bila melihat Fayed yang sedang ketawa bersama
Amir. Fayed kelihatan bertambah kacak bila ketawa macam
tu. Ivy meletakkan tangan ke dada. Kepalanya sudah mula
membayangkan wajah Fayed yang sedang tersenyum ke arah
dia. Perlahan-lahan kepala melentok ke kanan dengan bibir
yang semakin mekar dengan senyuman. Ah, indahnyaaa...
“Yang duk tersenyum sorang-sorang ni dah kenapa?”
PURFFF!!! Hilang semua bayangan Ivy. Mata dipejam
celik. Fayed sedang berdiri di hadapan dia dengan kerutan di
dahi. “Hah?!” Mulut Ivy terbuka luas.
Fayed menggelengkan kepala. “Sambung berangan
dekat rumahlah cik kak, dah nak senja dah ni.” Usai berkata
Fayed terus berlalu ke arah keretanya. Bersedia untuk pulang.
Ivy menampar pipi sendiri. Apa daa... Buat malu
depan Fayed je. “Errr... Awak!” Panggil Ivy. Baru teringat
yang dia ada sesuatu nak cakapkan dekat Fayed.
Fayed menoleh ke arah Ivy dengan kening terangkat.
“Ada apa?”
“Terima kasih.” Kata Ivy dengan senyuman yang
melebar.
“Sama-sama.” Jawab Fayed sepatah lalu kembali
mengatur langkah ke arah keretanya.
Ivy mencebik. Kerek betul. “Awak... nanti saya
belanja awak makan, eh? Tanda terima kasih sebab tolong
saya.” Kata Ivy tanpa menghiraukan Fayed yang sedang
melangkah ke arah keretanya.
Langkah kaki Fayed terhenti. Seketika kemudian
Fayed berpusing memandang ke arah Ivy yang masih
tercegat memandang ke arah dia. “Saya harap setakat ini saja
pertemuan kita. Saya tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan
awak, cik kak.” Fayed terus berlalu meninggalkan Ivy yang
tercengang di tempat dia berdiri.

No comments:

Post a Comment