DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 27 June 2016

Semusim Kasih - Bab 6

SELESAI makan, finalis diberi penghormatan
untuk menyerahkan jambangan bunga kepada keluarga
masing-masing. Olynn cium pipi Puan Nora Aisyah dan
ucapkan selamat tinggal. Grand Ballroom kini lengang.
Tinggal hanya krew-krew Pilihan Hati, para finalis dan juga
heronya Yang Mulia Tengku Budriz.
“Sebelum balik ke bilik masing-masing, acara
terakhir malam ini… Dancing with the Star. Tetapi ini tidak
diwajibkan. Jika ada finalis yang ingin menari dengan Yang
Mulia Tengku diminta tunggu. Yang mahu pulang ke bilik
juga dibenarkan. Sekarang, dipersilakan Yang Mulia Tengku
Budriz.” Nizar Nasrin memberi kata-kata akhir dengan
ucapan selamat malam.
Dengan lagak budiman, Tengku Budriz
menundukkan badannya di depan Anne. Anne terkesima.
Tapak tangan yang ditadah segera bersambut. Anne dibawa
ke ruang kosong di depan pentas untuk menari.
Alunan irama perlahan mula berkumandang. Anne
paut sebelah tangannya di bahu Tengku Budriz dan serentak
tangan Tengku Budriz jatuh ke pinggang Anne. Masih
ada jarak di antara mereka. Olynn kagum. Selain pandai
menyanyi, Tengku Budriz boleh menari dengan baik juga.
Daripada dua belas finalis, hanya tinggal lapan orang
saja. Empat finalis sudah pun tinggalkan dewan. Sama ada
mereka letih, ataupun segan mahu menari dengan Tengku
Budriz, Olynn tidak pasti. Mungkin juga ada antara mereka
yang langsung tidak tahu menari.
Olynn memerhatikan pasangan yang sedang
menari. Sekarang ini Tengku Budriz sudah tiga kali bertukar
pasangan. Secara jujur, ada sedikit rasa cemburu kerana
Ariana yang cantik jelita mendapat perhatian Tengku Budriz.
Lebih sejam menunggu, Olynn mula terasa bosan.
Sudah lima orang gadis, Tengku Budriz tukar pasangan
menarinya. Olynn juga yang masih tercangak-cangak di kerusi
kerana dia sudah berjanji dengan Marsha mahu sama-sama
naik ke bilik. Marsha yang hanyut dalam alunan irama muzik
perlahan sentiasa tersenyum kepada Tengku Budriz. Lesung
pipitnya nampak ketara. Tentu saja Tengku Budriz terpikat.
Lagu berhenti dan semua yang tinggal bertepuk
tangan. Tiada tanda-tanda yang Tengku Budriz mahu
tamatkan acara ini. Olynn bingkas bangun dan ajak Marsha
keluar, tapi Marsha enggan.
“Tunggulah sekejap lagi. Tengok tu, dia sedang layan
yang lain berbual. I pun nak berbual dengan Tengku Budriz
juga.”
Olynn mengeluh. Buat penat saja dia menunggu
Marsha dan Tengku Budriz selesai menari. Sudahlah dia
terlalu penat campur mengantuk.
“Kalau macam tu, I naik dululah.” Olynn tinggalkan
Marsha dan beberapa orang rakan yang sedang bersembang
di satu sudut. Tengku Budriz kemudiannya, menari dengan
seorang lagi finalis. Olynn tidak tahu siapa namanya.
Lantaklah! Lebih baik dia naik tidur daripada membuang
masa di situ.
Mandi air panas dan gosok gigi sudah. Solat Isyak
pun sudah, Olynn panjat katil dan rebahkan badan ke tilam.
Hampir sejam, tapi Marsha tidak juga naik-naik. Seronok
agaknya dapat berlama-lama dengan Tengku Budriz. Ah!
Biarlah, tahulah Marsha tekan loceng nanti.
Baru sekejap Olynn pejamkan mata, loceng pintu
berbunyi bersama ketukan di pintu. Dia bingkas bangun.
Marsha masuk dan peluk Olynn dengan girang.
“Seronoknya you! Dapat borak dengan Tengku
Budriz. You nak tahu, dia belanja we all kat kafe.”
“We all?” Olynn keliru.
“Haah! Tengku Budriz temankan kami bertiga. I,
Mila dan Athirah.”
“Oh... tahniahlah.”
“Tapi… I tak puas hati betullah dengan you. Masa
dinner tadi, kenapa dia makan kat meja your family? Apa
yang korang cerita?”
“Nothing… cerita biasa-biasa saja.”
Tidak lama selepas itu, loceng berbunyi sekali lagi.
Berkerut dahi mereka. Siapa pula yang muncul? Giliran
Olynn membuka pintu. Ada seorang lelaki lengkap dengan
uniform resort memberi salam.
“Cik Ailyn Olynn Batrisya?”
“Ya, saya Ailyn.”
“Ini ada kiriman nota untuk Cik Ailyn.”
“Terima kasih ya.”
Olynn buka lipatan kertas berwarna kuning lembut
itu setelah pemuda itu berlalu.
Olynn senyum sinis. Lelaki itu masih lagi
mencatatkan namanya dengan nama Budin, bukannya
Tengku Budriz.
“Siapa yang hantar?” Marsha bertanya. Pelik agaknya
melihat Olynn yang sedang terpaku menatap nota yang baru
diterimanya sebentar tadi.
“Sorry, er... you tidurlah dulu. I nak turun bawah
sekejap. Ada orang nak jumpa I.”
“Tengku Budriz ke?”
“Bukan. You ingat lagi tak, lelaki yang tegur I masa
fotografi hari tu? Salah seorang krew Nusa TV. Dia ada kat
sini juga.”
“Oh… lelaki selekeh dengan jambang tu? You nak
berkawan dengan dia? Isyy... kalau I, jangan haraplah I nak
layan. You nak jumpa dia ke? Pergilah. Asalkan you bukan
nak dating dengan Tengku Budriz.”
Amboi, panjang berjela Marsha menyelarnya. Olynn
hanya angkat kening dan capai sweater yang tersidai di kerusi.
“Good night, I bawak kunci. You rehatlah, tak perlu
tunggu I.”
Tutup sahaja daun pintu, Olynn sarungkan tubuhnya
dengan sweater dan tarik hood ke kepala. Kedua-dua tangan
Olynn sorokkan ke dalam poket dan turun ke aras kolam
renang.
DI TAMAN mini, dengan bantuan cahaya lampu taman,
kelihatan Tengku Budriz sedang duduk di bangku panjang
menghadap kolam ikan. Boleh nampak ke ikan-ikan dalam
cahaya samar-samar tu?
“Assalamualaikum, Tengku.”
“Hai... thanks for coming.” Salam Olynn tidak
bersambut. Hai saja?
“Ada hal apa Tengku nak jumpa saya?”
“Awak marahkan saya?”
“Tak ada apa yang saya nak marah. Saya cuma...
terkejut. Yang Mulia Tengku Budriz dan Budin, orang
yang sama? Saya rasa sangat-sangat tertipu. Pandai Tengku
berlakon sebagai krew dari hari pertama kami diuji bakat,
kan? Sungguh saya tak sangka!”
“Stop calling me Tengku, Olynn. Saya mahukan
awak yang dulu, bukan formal macam ni.”
“Saya terpaksa. Awak bukan Budin. Awak Yang Mulia
Tengku Budriz dan saya kena hormatkan gelaran yang awak
sandang. Saya tak layak bergandingan dengan awak.”
“Tengku Budriz Aizuddin. Saya gabungkan
nama panjang saya jadi ‘Budin’. Kalau dari awal lagi saya
perkenalkan siapa saya, tentu awak rasa tak selesa.”
“Saya dah pun rasa tak selesa bila saya terima hadiah
dress mahal daripada Tengku.”
Tengku Budriz mengeluh perlahan. Bisu antara
mereka.
Olynn juga diam dan sabar menunggu Tengku
Budriz membalas. Malangnya, lelaki itu seakan-akan hilang
dalam dunianya. Lama-kelamaan, kesabarannya makin
menipis. Takkanlah Tengku Budriz mahu dia jadi patung
cendana sampai ke pagi?
“Tengku!” Tengku Budriz tersentak seolah-olah
tersedar daripada mimpi. “Kalau Tengku nak berdiam diri
macam ni, lebih baik saya naik tidur.”
“Please... janganlah pergi. Temankan saya untuk
seketika lagi.” Tengku Budriz menahan.
“Kita masih ada masa sebulan, Tengku.”
“Saya tahu. Tapi... saya pasti, selepas ni awak akan
terus dengan sikap dingin awak tu. Too formal.”
Dingin? Dia Dingin? Isyy, biar betul?
“Habis… Tengku nak tengok saya macam mana?
Terkinja-kinja, tergedik-gedik melengser pada Tengku
macam yang lain-lain tu?” Dalam samar cahaya lampu taman,
Olynn nampak Tengku Budriz senyum.
“Awak cemburu? Erm… cemburu tu, tanda sayang
tau.”
“Tak ada maknanya saya nak cemburu. Tengku juga
tahu Pilihan Hati ini kan, dikira macam masuk pertandingan.
Semua finalis tentu ada cara masing-masing untuk pikat
Tengku.”
“Honestly… I am in love with you… love at first
sight. Kalaulah saya kenal awak lebih awal, tentu saya tak
perlu buat rancangan Pilihan Hati ni.”
Olynn terkesima.
“Rancangan Pilihan Hati, idea Tengku?”
Dia mengangguk perlahan.
“Saya penat bila bonda selalu utarakan soal pasangan
hidup. Jadi saya fikir... dengan cara ni, saya boleh puaskan
hati bonda.”
Olynn kerutkan dahi. Sukar untuk dia
mempercayainya.
“Saya tak faham. Takkan tak ada seorang pun
daripada kerabat diraja yang boleh dijadikan pasangan hidup
Tengku?”
“Tak semudah yang awak fikirkan.”
“Apa yang susahnya?”
“Belum masanya untuk awak tahu.”
Mata Olynn sudah terasa berat. Dia kerling jam di
tangan.
“Tengku, sekarang sudah jam dua pagi. Saya
mengantuk sangat dah ni. Saya perlukan katil saya sekarang.”
“Tunggu sebentar, saya ada satu permintaan.”
“Apa lagi, Tengku?”
“Dance with me, Cik Ailyn Batrisya.” Tengku Budriz
bengkokkan kaki sambil menadah tapak tangan.
“Dance? Kat sini?”
“Ya... di sini.”
“Tapi... tak ada muzik.”
“Just follow my steps… follow your heart!”
Tengku Budriz berdiri semula dan merapati Olynn.
Tangan Olynn diraih dan dibawa ke bahunya. Hood sweater
dijatuhkan dan tangannya beralih ke pinggang Olynn. Olynn
terpaksa mendongak untuk bertentang mata dengannya dan
Tengku Budriz mula aturkan langkah.
Ketika waktu… mendatangkan cinta
Aku putuskan memilih dirimu
Setitik rasa itu
Menitis dan semakin parah...
Tengku Budriz menyanyi bait-bait lagu Butterfly.
Olynn dilanda pelbagai rasa. Sebak, terharu…
Bisa kurasa getar jantungmu
Mencintaiku apa lagi aku
Jadikanlah diriku
Pilihan terakhir hatimu...
Tengku Budriz menyambung lirik seterusnya.
Olynn tenggelam dalam kesyahduan. Saat ini, ketika ini,
merupakan momen yang paling manis dan bermakna
buatnya. Terbuai-buai keasyikan dalam rasa cinta yang mula
menyirami sanubari. Dia hanyut, terus hanyut seindah dalam
mimpi.
Deru nafas yang hampir di telinga Olynn, buat dia
kembali ke alam nyata. Tanpa sedar, kedua-dua tubuh mereka
bercantum dan Tengku Budriz memeluk Olynn erat.
“Olynn...” Nafas Tengku Budriz tertahan-tahan. Ibu
jarinya menyapu bibir nipis Olynn. Seolah-olah dipukau,
Olynn membiarkan sahaja perilaku Tengku Budriz. Semakin
berani, Tengku Budriz sentuh hidungnya ke hidung Olynn.
Seketika kemudian, bibirnya diturunkan sedikit, mahu saja
menyapu bibir Olynn.
Olynn tersedar daripada alpa. Bagai terkena renjatan
elektrik, dia tolak tubuh Tengku Budriz menjauh.
“Kita tak patut buat macam ni!” Hood sweater Olynn
sarungkan semula ke kepala dan berlari ke koridor, mencari
pintu lif. Dia nampak bayangan Tengku Budriz di celah pintu
lif sebelum pintu itu tertutup dan bergerak naik.
Olynn menangis semahu-mahunya. Kenapa dia lalai
sangat? Kenapa dia biarkan saja Tengku Budriz sesuka hati
menguasainya? Arghhhh!!! Olynn menjerit sekuat hati tanpa
suara. Benci dengan kelalaian sendiri.
USAI SOLAT subuh, Olynn termenung panjang
mengenangkan kejadian malam tadi. Dia dan Tengku Budriz
menari di taman mini, berpelukan erat dan hampir-hampir
sahaja bibirnya dijadikan habuan bibir Tengku Budriz. Oh!
dia harap sangat itu hanya salah satu babak indah dalam
mimpinya. Bagaimana dia mahu berdepan dengan Tengku
Budriz lagi selepas ini?
Olynn kejutkan Marsha di hujung waktu. Rakannya
itu merengek kecil dan pejamkan matanya semula. Pukul
8 pagi, dia kejutkan Marsha sekali lagi. Malas menunggu,
dia keluar bilik untuk bersarapan di Rajawali Coffee House
memandangkan pagi itu hujan renyai dan acara senaman
dibatalkan.
Lyana ternampak Olynn dan terus melambai
memanggilnya duduk semeja. Olynn seronok kerana dapat
berkenalan pula dengan Hanis dan Zalifah.
“Eh, you all nak dengar cerita tak? Tengah malam
tadi, I tak boleh tidur. I intai-intai ke bawah. Sekali tu, I
nampak satu couple ni tengah menari kat taman. I turunlah
bawah, nak skodeng. Tengku Budriz, dia tengah peluk seorang
perempuan.” Zalifah sungguh-sungguh bercerita.
Olynn terkesima tetapi cuba berlagak seperti dia
juga teruja dengan cerita Zalifah. Tekun memberi perhatian
kepada kawan barunya itu.
“Isy... betul ke dia tu, Tengku Budriz?” Lyana
bertanya.
“Betul! I masih cam lagi muka dia. Tapi, perempuan
tu I tak perasan siapa.”
“Entah-entah orang luar kut, mana tahu special
girlfriend dia ke?” Olynn menyampuk bersahaja. Konon-konon
berlakonlah.
‘Kontrol… kontrol... jangan sampai terkantoi.’
“La... kalau dia dah ada girlfriend, buat apa jadi hero
Pilihan Hati?” Lyana musykil.
“Haah, betul juga tu.” Hanis menjawab.
“Orang lelaki. Kalau dah womanizer, memang
macam itulah.” Pantas Olynn membuat rumusan. Pandai
sahaja dia menuduh, padahal kawan-kawan semeja sedang
hangat berbual perihal dia dengan Tengku Budriz.
“I sokong you, Ailyn. Masa dia kat UK, mesti dah
berapa ramai perempuan dia sapu, kan?” Terangguk-angguk
kepala Zalifah mendengar komen Anne pula.
Menyedari para jurugambar menghampiri meja
dan fokuskan lensa ke arah mereka, serta-merta mereka
mengubah topik berkaitan acara tengah hari itu. Barulah lega
hati Olynn. Persoalan tentang gadis yang menari bersama
Tengku Budriz pada tengah malam tadi hilang begitu saja.
Mengikut jadual, tepat jam 10 pagi, semua finalis
dikehendaki berkumpul di function room. Rupa-rupanya
hari ini ada sesi tatarias diri oleh jurusolek terkenal, Zulfazli.
Para finalis mendengar taklimat dengan tekun. Di atas meja
di depan mereka, tersedia set lengkap alat solek daripada
Avon, salah satu penaja untuk rancangan realiti itu. Yang
seronoknya, set alat solek tersebut akan menjadi kepunyaan
mereka selepas sesi itu. Olynn dan yang lain tersenyum riang.
Selama tiga jam, finalis diajar berbagai perkara.
Daripada solekan asas hingga untuk acara formal. Tak
ketinggalan juga, mereka diajar cara-cara duduk, berdiri dan
berjalan dengan betul serta cara-cara menyesuaikan warna
pakaian ke sesuatu majlis. Gelak ketawa usah ceritalah.
Macam-macam gaya ditunjukkan finalis waktu diminta
catwalk di depan Zulfazli.
Olynn yang tadi cuba kawal diri, lama-lama tidak
tahan. Sama-sama gelak besar dengan telatah Lyana yang
lucu hingga tersadung kasut tumit tingginya di karpet.
“Okey semua, sekarang sudah pukul satu. Tamat
sudah sesi pertama kita.” Encik Anwar mula berucap.
“Beri tepukan pada Encik Zulfazli, coordinator untuk
hari ini dan wakil daripada Avon Malaysia, Puan Mazni.”
Tepukan gemuruh mereka berikan kepada
kedua-duanya. Zulfazli menghadiahkan setiap finalis sebuah
buku hasil nukilannya sendiri bertajuk Sanggul. Bertambah
suka para finalis semua.
“Para finalis semua. Tadi nampaknya bukan main
seronok bergelak ketawa. Tapi ingat, selepas makan malam,
Yang Mulia Tengku Budriz akan muncul dan penyingkiran
pertama akan berlangsung malam ni. Jadi anda semua
bersedialah. Seorang daripada fiinalis, terpaksa tinggalkan
Pilihan Hati.”
Serentak, finalis yang seramai dua belas orang
mengeluh. Secepat ini akan ada penyingkiran? Baru tiga
hari mereka di situ. Malah, Olynn belum sempat berkenalan
dengan kesemua finalis lagi.
Duduk semeja di Rajawali Coffee House untuk makan
tengah hari, mereka mula berbincang tentang penyingkiran
malam nanti.
“Agak-agaknya siapa yang akan keluar malam ni,
ya?”
“You rasa siapa?” Marsha menyoal kembali kepada
Anne yang memulakan pertanyaan.
“Tak boleh nak agak. I rasa, I bukan jadi pilihan
untuk disingkirkan.”
“You confident aje. Apa sebabnya?” ujar Mila pula
sambil matanya merenung Anne yang sedikit berlagak.
“Sebab malam tadi, I la jadi orang pertama Tengku
Budriz ajak menari.” Anne membalas dengan bangga.
“Kalau macam tu, kita andaikan saja yang bakal
tersingkir malam ni, orang yang tak dapat menari dengan
Tengku.” Marsha mengerling Olynn. Bibirnya juga terukir
senyuman sinis.
Aik? Marsha perli dia ke?
Athirah pandang Olynn.
“You tak risau ke, Ailyn... you tak dapat menari
dengan Tengku?”
Olynn senyum sahaja. Tidak terusik dengan kata-kata
Athirah.
“Bagi I, kalah dan menang adat bertanding. I tak
kisah, kalau I tersingkir cepat pun. Lagipun, kita dah dibayar
lumayan, bukannya percuma.”
“You tak teringin nak jadi pasangan hidup Tengku
Budriz?” Lyana pula mengasaknya.
Olynn angkat bahu dan terus suapkan nasi ke mulut.
Marsha menjelingnya sekali lagi. Apa kena dengan minah
Marsha ni? Apa salah dia?
Hati Olynn tercuit apabila terkenang kata-kata Anne
tadi. Dia tidak dapat menari dengan Tengku Budriz?
‘Kalau kau nak tahu Anne, aku dah dapat lebih
daripada tu. Tengku Budriz dah pun luahkan cintanya pada
aku tanpa perlu menunggu hingga ke akhir rancangan ni.’
Tapi... boleh ke dia percayakan Tengku Budriz? Jika
setiap hari dikelilingi gadis-gadis cantik, mampukah lelaki
itu mengawal hatinya? Kalau tiba-tiba suatu hari perasaan
Tengku Budriz berubah, macam mana? Rasa gundah tiba-tiba
datang menjenguk.
“Ailyn, kenapa dengan you?” Lyana menyiku
lengannya.
“Hah? Tak ada apalah. Sedap nasi beriani ni, korang
tak makan ke?”

No comments:

Post a Comment