DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 2

“TAK nak! Kau faham tak, aku kata tak nak!”
Aku goyang-goyangkan tangan betul-betul di hadapan muka
Thia. Kalau masih tidak faham juga, tidak tahulah aku apa
lagi hendak dikatakan. Dari tadi aku sudah berhujah kenapa
cadangan Thia dan Naani tidak boleh aku terima.
“Tolonglah Fin. Kau saja harapan kami. Kau tak
kesiankan kami ke?”
“Ini bukan soal kesian, Thia. Aku tahu selama ni
Naani banyak tolong aku. Tapi pertolongan yang kau orang
minta ni terlalu payah untuk aku buat. Ini kerja gila!”
“Apa yang gilanya? Aku suruh kau jadi PA bos, bukan
suruh kahwin dengan dia! Lagipun sementara saja.” Akhirnya
Naani yang sedari tadi hanya mendengar dan memerhatikan
Thia memujuk aku hilang sabar.
“Wei, baik kau suruh aku jadi mak guard. Aku lagi
sanggup jadi mak guard, screen orang yang nak masuk
bangunan ni, daripada menguruskan anak Datin yang
bengkeng dan kerek tu!”
“Alah Fin, tolonglah. Sebulan saja. Kerjanya lebih
kurang macam kerja Azwan saja, tak susah.” Kata Thia.
Aku rasa hendak telan Thia hidup-hidup. Senanglah
dia cakap, kerja tu senang. Cuba dia duduk di tempat Naani,
larat ke tidak dengar si bengkeng tu bertempik. Tiba angin
kerek dia pulak, orang tegur dia buat tak dengar, orang
senyum dia buat tak nampak.
Jeda. Kami bertiga melayan perasaan masing-masing.
Aku simpati terhadap Naani, tapi tidak masuk akal langsung
cadangan dia. Naani cadangkan aku jadi pembantu peribadi
Bos 1B3K sementara dia cuti. Kalau tempoh sementara itu
dua hari, bolehlah aku buat. Ini sebulan! Isy aku tak sanggup.
“Fin, tolonglah.” Suara Thia ada nada merayu. Muka
Thia ada riak minta simpati.
“Haah Fin, tolonglah kami. Kau tak kesian kat kita
orang ke? Majlis kita orang dah tak boleh tunda, tinggal tiga
minggu saja lagi.” Naani pula merayu. Apabila dua orang
sahabat karib, yang sudah kenal aku bertahun-tahun, merayu
depan aku, serba salah aku dibuatnya.
Aku pandang Thia, lepas tu pandang Naani. Diaorang
berdua, lebih-lebih lagi Naani, memang banyak tolong aku.
Masa ada masalah dengan Rasydan Miang, Naani menyamar
jadi kekasih aku supaya lelaki miang itu berhenti mengurat
aku. Masa aku tolak pinangan Pejal pun Naani juga jadi
kekasih tiruan aku.
Aku pandang Thia semula. Mata Thia pejam,
mulutnya terkumat-kamit.
Aku hela nafas dalam-dalam, biar penuh oksigen
dalam paru-paru. Lepas tu aku garu kepala yang tidak gatal.
Mata aku berkalih daripada Thia ke Naani, ke Thia semula dan
akhirnya ke Naani lagi. Mereka berdua tayang muka sedih.
“MUMMY, QI dah besar! Qi tahu apa yang Qi buat. As long as
I come to the office and help you, you should stay out of my
personal affairs.”
Jatuh dagu aku apabila aku dengar dia bercakap
begitu kepada Datin Nuridah. Kurang ajarnya dia. Aku rasa
hendak pergi tampar mulut dia. Aku memang pantang kalau
orang kurang ajar dengan ibu bapa sendiri. Emak dan abah
didik aku, kalau marah sekalipun jangan sampai bercakap
ikut sedap mulut. Walaupun aku becok, seingat aku belum
pernah lagi aku bercakap dengan kasar kepada emak, abah,
along dan kak ngah. Paling kuat pun dengan Rasydan Miang
saja aku pernah berkurang ajar sikit. Itu pun sebab dah
terpaksa sangat.
Naani buat muka selamba badak. Dia masih tekun
membaca dan menggariskan dengan highlighter kuning
apa-apa yang perlu dia gariskan. Entah laporan apa yang dia
baca, sikit pun dia tidak terkesan dengan suara Bos 1B3K
yang lantang, sampai aku boleh dengar walaupun pintu
pejabat Datin Nuridah tertutup rapat.
“Berapa kali Qi nak cakap, apa yang keluar tu tak
betul! I never said to anyone she’s my girlfriend. We were just
having fun, ada orang ambil gambar dan tahu-tahu keluar
cerita tu dalam internet. Dan lagi sekali Qi nak cakap, Qi tak
minum. Tolonglah mummy, I am not a kid anymore!”
Isy, dia tengking emak dia lagi. Berasap telinga aku
bila orang bercakap dengan suara tinggi kepada emak sendiri.
Dia tak pernah dengar ke syurga tu di bawah tapak kaki ibu?
Suara Datin Nuridah dari tadi aku tak dengar. Pastinya Datin
yang lemah lembut itu bercakap dengan suara perlahan dan
lembut.
Aku pandang ke arah Naani yang masih tekun
membaca.
“Wei, apa kes tu? Ada gosip baru ke?”
“Haah.” Itu saja jawapan Naani. Dia nampak macam
sibuk sangat. Dia ambil sehelai kertas A4 dari meja sisi dan
hulurkan kepada aku.
‘MITILDA BAKAL KAHWINI CEO’. Terpampang
tajuk artikel yang keluar di blog rotibakar.com. Bebola mata
aku pantas bergerak ke kiri dan kanan, mengikuti setiap baris
perkataan yang terpamer di atas kertas. Selepas habis baca
artikel itu, aku tengok pula tiga gambar yang terpampang.
Kalau aku jadi Datin Nuridah pun aku akan rasa
malu, sedih dan marah. Menurut artikel itu, Mitilda, pelakon
yang sedang menjadi rebutan produser sekarang mengaku
sudah lama bercinta dengan Bos 1B3K. Katanya lagi mereka
berkenalan di London dan hubungan mereka direstui oleh
ibu bapanya.
Itu bab cerita. Bab gambar pun boleh menyesakkan
dada seorang ibu. Dalam gambar yang pertama, pakaian
Mitilda tidak cukup panjang di atas dan tidak cukup labuh di
bawah. Dia sedang memaut leher Bos 1B3K sambil memegang
sebiji botol. Dua orang perempuan yang ada dalam gambar
yang satu lagi, mengapit Mitilda di kiri dan kanan juga sangat
seksi pakaian mereka.
Dalam gambar ketiga pula, mereka semua sedang
duduk dan di hadapan mereka botol-botol tersusun di atas
meja. Bos 1B3K memang sahlah nampak kacak dalam
kesemua gambar-gambar tu. Tapi apa guna muka kacak kalau
akhlak hancur?
Baru saja aku hendak serahkan semula kertas A4
kepada Naani, pintu bilik Datin dibuka dengan kasar. Bos
1B3K keluar dengan muka masam mencuka. Orang yang
ada penyakit gastrik boleh jadi lebih teruk penyakitnya kalau
nampak muka berasid Bos 1B3K ni.
Dia berjalan laju. Sampai depan aku, dia berhenti.
Dia pandang aku sekilas dan kemudian kertas A4 yang aku
pegang dia tarik dengan kasar. Tanpa bercakap apa-apa, dan
tanpa memandang aku mahupun Naani, dia terus berjalan
meninggalkan pejabat CEO. Kurang ajar! Memang sesuailah
gelaran 1B3K tu untuk dia!
Naani masuk ke dalam bilik Datin Nuridah. Agak
lama juga. Aku tidak dapat mendengar inti pati perbualan
mereka. Dada aku berdebar-debar. Macam mana kalau Datin
paksa aku jadi personal assistant Bos 1B3K?
Tak mengapa, nanti aku akan berterus terang yang
sebenarnya aku tidak berminat, tidak layak dan tidak sesuai.
Aku berdoa Datin tidak berkenan dengan aku. Elok saja
aku mengaminkan doa, Naani keluar dari bilik Datin dan
menyuruh aku masuk.
Aku berikan salam. Datin menjawab salam sambil
tersenyum. Walaupun bibirnya mengukir senyuman,
garis-garis duka terpamer di wajah penuh keibuan Datin
Nuridah. Datin menyuakan tangannya ke arah kerusi di depan.
Datin bertanya khabar mama. Selepas memberitahunya
mama aku sihat, Datin terus beritahu dia mahu aku jadi PA
sementara Bos 1B3K.
“Maaf Datin, tapi kan di syarikat ni ada ramai
setiausaha senior. Kenapa tak ambil mereka untuk gantikan
tempat Azwan?”
“Kami dah cuba. Saya dah suruh HR tanyakan, tapi
tak ada seorang pun yang sanggup. Mereka takut dengan
Rifqi.”
Habis tu, aku tak takut? Aku dengar suara dia pun
sudah kecut perut. Kalau kena tengking, entah macam
manalah aku nanti. Silap-silap boleh terkucil kalau kena
tengking.
“Tiba-tiba Azwan cadangkan nama kamu. Kebetulan
masa tu Rafiqa ada. Dia pun setuju. Jadi saya nak minta kamu
pertimbangkan. Sebulan saja. Saya tahu ramai kakitangan
yang takut dengan Rifqi. Atas dasar saya kenal mama kamu,
dan Iqa pun kenal kamu, saya rasa kamu mampu handle
kerenah Rifqi.”
Hah? Biar betul Datin ni? Dia ingat layan kerenah
Bos 1B3K tu sama macam aku layan kerenah anak-anak Kak
Iqa ke?
“Saya akan naikkan gaji Fina dua kali ganda dan gaji
tu akan kekal walaupun selepas Azwan balik dan Fina kembali
ke Bahagian Akaun.”
Aku telan air liur. Alamak, lumayan sangat
ni! Lambang $$$ sudah menari-nari depan mata.
Astaghfirullahal'azim. Jangan jadi mata duitan Fina. Apa
guna dapat gaji besar tapi setiap hari kena herdik dengan si
1B3K tu? Hati baik aku berbisik.
“Err, maaf Datin. Saya tak ada pengalaman buat
kerja-kerja PA. Lagipun… saya takut dengan…”
“Tak payah takut. Saya ada. Fina akan lapor terus
dengan saya. Uruskan hal-hal saya dan Rifqi. Kita aturkan
aktiviti untuk Rifqi, biar dia banyak buat kerja luar. Saya nak
dia melawat semua resort yang kita ada dan sambung semula
projek Kuala Selangor yang terbengkalai. Masa dia lebih
banyak di luar daripada di pejabat.”
Aku pandang Datin. Mata kami bertembung. Matanya
merenung jauh, seolah-olah menusuk ke dalam kepala aku.
Dia nampak macam sangat yakin dengan aku.
“Datin, maaf kalau Fina tanya. Dulu, kenapa Encik
Rifqi tinggalkan kerja dan pergi ke Eropah?”
Soalan ini penting buat aku. Walaupun aku kenal
dengan anak sulung Datin Nuridah yang aku panggil Kak Iqa,
aku tak kenal dengan Bos 1B3K. Apa yang aku tahu tentang
dia adalah berdasarkan apa yang Naani ceritakan kepada aku.
Itu pun tak banyak sebab aku tak berminat dengan hal-hal
orang yang tidak ada kena-mengena dengan hidup aku.
Senang cakap, aku bukan jenis yang busybody.

No comments:

Post a Comment