DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 26 June 2016

Tak Mampu Menjaga Cintamu - Bab 1

UNIFORM berwarna putih yang tersangkut
di dalam almari dikeluarkan. Dengan senyuman di bibir,
uniform itu disarungkan ke tubuh. Rambut yang masih
basah dikeringkan dengan hair dryer yang terletak di
atas meja solek. Kemudian, rambut lurus yang sudah
panjang melepasi bahu itu disikat sebelum menyanggulnya
dengan rapi.
Bedak nipis ditampal ke muka. Lip gloss yang
tidak terlalu terang warnanya dicalitkan di sekitar dua
ulas bibir mungilnya. Tidak perlu solekan yang terlalu
tebal, wajahnya sudah cukup berseri dengan senyuman
manis yang sentiasa menghiasi wajahnya itu.
Tudung yang juga berwarna putih yang sudah
siap digosok dicapai dan disarungkan ke kepala.
Dibetul-betulkan agar sempurna kedudukannya. Setelah
puas hati dengan penampilannya, barulah dia mencapai
tas tangan dan beberapa barang lagi yang diperlukan
untuk tugasannya nanti. Langkah diatur keluar dari bilik.
Bau aroma nasi goreng yang datang dari arah dapur
menariknya untuk masuk ke ruangan itu.
“Wadah! Kau masak ke?” tanya Anatasya dengan
riak wajah bagai macam tidak percaya dengan apa yang
lihatnya.
Mawaddah yang sedang membancuh minuman
segera berpaling ke belakang. Sengihan menghiasi
wajahnya.
“Ha’ah, duduklah dulu. Penat aku masak tau…”
katanya sambil meletakkan seteko teh O panas yang telah
siap dibancuh di atas meja makan.
Anatasya menarik kerusi dan terus duduk.
Riak wajahnya masih terkejut, tidak percaya Mawaddah
memasakkan sarapan untuknya. Biasanya, hanya dia yang
rajin turun ke dapur memasakkan makanan untuk gadis
itu. Jika sampai syif untuk dia bekerja dan Mawaddah
berada di rumah, gadis itu lebih senang keluar membeli
makanan di kedai.
“Nah, makanlah…” Mawaddah menolak pinggan di
depannya dekat dengan Anatasya.
Anatasya mencapai sudu. Suapan pertama
disuakan ke mulutnya.
“Sedap tak? Sedap tak?” Tidak sabar-sabar
Mawaddah bertanya. Dia menarik kerusi lalu duduk di
sebelah Anatasya. Matanya bersinar-sinar, teruja untuk
mendengar jawapan gadis itu.
Anatasya mengerutkan mukanya. “Hmm…
okeylah, tapi masin sikit,” komennya. Senyuman kelat
diukirkan buat Mawaddah apabila terlihat gadis itu
menarik muncung panjang.
“Alah… penat aje aku masak! Semangat tau
bangun pagi-pagi macam ni nak masakkan kau sarapan!”
Mawaddah merengus tak puas hati. Bibirnya dimuncungkan
ke depan.
Anatasya tertawa lucu. “Tak apa, lain kali aku bagi
kau can masak lagi eh?” pujuknya sambil mencapai cawan
untuk menuang air teh O yang masih panas di dalam
teko itu.
Mawaddah mencemik. Diperhati saja Anatasya
bangkit mencapai beg tangannya dan bersedia untuk
keluar dari dapur.
“Habis nasi banyak-banyak ni siapa nak
habiskan?” Dia bertanya kalut. Bukan senang dia nak
keluar dari bilik selepas waktu subuh semata-mata
menyiapkan sarapan.
Lagipun waktu kerja syif pagi bermula
jam 7.00. Sebab itulah dia sanggup meninggalkan
walaupun rasa mengantuk masih terasa.
“Kau habiskan ajelah, tak pun nanti bawa pergi
hospital. Aku dah lewat nak masuk kerja ni,” ujar
Anatasya sambil mencapai sepasang kasut yang berada
di atas rak kasut bersebelahan pintu. Memang awalnya
tadi dia tidak berniat untuk bersarapan di rumah
memandangkan waktu kerja sudah hampir tiba. Tetapi
apabila Mawaddah sudah bersusah-payah memasakkan
nasi goreng itu untuknya, terpaksalah dia menjamah
walaupun sedikit.
“Yalah…” balas Mawaddah perlahan. Tiba-tiba dia
teringatkan sesuatu. Langkah Anatasya yang sudah
sampai ke kereta dihampiri. “Tasya! Nanti kau kirim
salam kat Doktor Rusdi eh?” pintanya sambil tersengih.
Sengaja mengusik rakannya itu.
Anatasya menjeling dengan ekor mata.
“Nak kirim salam sangat, kan? Hah, kirim sendiri!
Malas aku layan,” tingkahnya sebelum terus
meloloskan diri ke dalam perut kereta.
Mawaddah memuncung. Dia tahu Anatasya
pasti akan melenting jika nama Doktor Rusdi disebut.
“Alaa… kirim salam aje pun,” rungutnya.
Anatasya tayang muka tak bersalah. “Salam
tak salam. Apa aje yang berkaitan dengan dia aku tak
nak peduli. Ada faham?” Nadanya tegas namun tetap
terukir senyuman penuh makna di bibir. Enjin kereta
dihidupkan dan kemudian tangannya menarik daun pintu
kereta supaya tertutup rapat.
Mawaddah hanya memerhati Anatasya
mengundurkan kereta dari halaman rumah. Sekejap
saja, gadis itu sudah memecut pergi. Nafas panjang
terhela dari mulut Mawaddah. Anatasya dan orang lelaki
macam air dan api. Pantang sebut nama lelaki,
pasti temannya itu akan tayang muka tak ada perasaan.
Agaknya, dia tu memang tak ada perasaan kat
orang lelaki kut. Mawaddah tersengih sendiri
dengan andaiannya itu.
LAGU Andaiku Bercinta Lagi nyanyian Mojo yang
sedang dimainkan di corong radio membuatkan Anatasya
terkhayal sendiri. Bait-bait lirik lagu yang berkumandang
itu benar-benar meresap jauh ke dasar hatinya. Sejenak,
mindanya teringatkan seseorang. Seseorang yang telah
jauh ditinggalkan dalam kotak memori. Mulutnya terus
terkunci rapat dengan rasa sebak yang mula menghuni
ruang hati.
Kini kau tiada
Senafas pun kuperlu mencuba
Kau bawa pergi sebahagiaan dari jiwa raga
Bersendiri hidup umpama hilang erti
Bagaimanakah meneruskan hayat ini
Andai kubercinta lagi suatu hari nanti
Tunjukkan di mana
Ruang hati untuknya yang masih belum kau huni
Apabila tiba waktu bersemuka
Kuperlu pejamkan mata dan memaksa lafaz cinta
Dengan bayangmu di minda
Air jernih yang mula bertakung di kolam mata
pantas dikesat dengan hujung jari. Mata dipejam seketika,
membuang segala rasa yang tidak sepatutnya ada dalam
hatinya saat itu. Mujurlah ketika itu lampu isyarat
merah, dapatlah juga dia menenangkan diri sendiri
sebelum kembali memulakan perjalanan menuju ke
hospital.
Anak mata Anatasya tiba-tiba singgah ke arah
sebuah kereta yang berhenti secara mengejut di birai
jalan. Matanya dikecilkan memerhati kereta Toyota
Camry berwarna silver itu. Entah kenapa, bagai ada
sesuatu yang menariknya untuk menghampiri kereta itu.
Adakah pemandu kereta itu sedang dalam masalah?
Sebaik saja lampu isyarat bertukar hijau,
Anatasya segera memandu mendekati kereta itu. Kereta
Perodua Myvinya diberhentikan di belakang Toyota
Camry tadi. Tanpa mematikan enjin, dia keluar lalu
bergegas mendapatkan kereta itu.
Melalui cermin tingkap di tempat pemandu,
dapat melihat dengan jelas seorang wanita separuh
abad sedang tersandar di kusyen kereta dengan mata
terpejam. Tangannya pula naik memegang kepala.
Melihat situasi itu, Anatasya yakin ada sesuatu yang
sedang berlaku. Anatasya segera mengetuk cermin
tingkap kereta. Wanita yang masih dalam keadaan sakit itu
membuka mata lalu menoleh ke arah Anatasya.
Anatasya memberi isyarat agar wanita itu
membuka pintu. Sekejap saja, arahannya dituruti.
Anatasya menarik daun pintu supaya terbuka lebar.
Kepalanya dijengulkan ke dalam.
“Mak cik… mak cik okey?”
“Mak cik… pening kepala, nak… Rasa
macam nak pitam…” ujar wanita itu dengan suara
tertahan-tahan. Matanya terpejam celik cuba melawan
rasa pening di kepala. Dunia sekeliling terasa
bagai berputar ligat. Tidak larat lagi dia hendak
memandu keretanya pulang ke rumah.
Anatasya jatuh kasihan melihat keadaan wanita
itu. Tiada apa lagi yang ada di fikirannya kini selain
membawa wanita itu ke hospital pada waktu itu juga.
“Tolong mak cik, nak…” rintih wanita tua itu lagi.
Tangannya meraba-raba mencapai lengan gadis yang masih
berdiri di sisi keretanya itu.
“Ya, mak cik. Saya tolong mak cik. Saya bawa mak
cik ke hospital ya? Jom…” Anatasya menghulurkan
tangan untuk membantu wanita itu keluar dari kereta.
Kemudian wanita itu dipapah hingga ke keretanya.
“Boleh mintak kunci kereta mak cik?” pinta
Anatasya.
“Ada kat… dalam kereta…” jawab wanita itu.
Anatasya mengangguk dan bergegas menghampiri kereta
Toyota Camry yang ditinggalkan tadi. Enjin dimatikan.
Setelah memastikan pintu kereta itu dikunci,
dia mendapatkan keretanya semula dan mula memandu
menuju ke hospital.
KATA-KATA yang keluar dari mulut Doktor Rusdi
tadi bagaikan terngiang-ngiang di telinga Anatasya.
Kata doktor muda itu, wanita yang dibantu tadi
menghidap hipertensi atau lebih dikenali sebagai tekanan
darah tinggi. Sejenis penyakit yang biasanya berpunca
daripada beberapa faktor antaranya sejarah hipertensi dalam
keluarga, kegemukan, pengambilan alkohol yang tinggi,
merokok, tekanan yang melampau dan beberapa faktor lain
lagi.
Melihat daripada keadaan wanita itu, Anatasya
membuat kesimpulan sendiri mungkin wanita itu
mempunyai sejarah hipertensi dalam salasilah
keluarganya.
Daun pintu wad yang tertulis nama Puan Shima
Sulaiman ditolak dari luar. Dia melangkah masuk sambil
melemparkan senyuman manis buat wanita yang sedang
berbaring di atas katil itu. “Mak cik macam mana? Dah rasa
okey?” tanya Anatasya lembut.
Shima tersenyum mengangguk. Raut wajah
jururawat yang tidak lekang dengan senyuman itu benarbenar
menyejukkan hatinya. Dia berusaha bangkit
daripada pembaringan. Anatasya yang melihat segera
membantu.
“Pihak hospital dah hubungi keluarga mak cik.
Kejap lagi, suami mak cik sampailah tu…” beritahu
Anatasya masih dalam nada suara yang sama. Entah
kenapa, dia berasa begitu dekat sekali dengan wanita itu
walaupun baru saja bertemu beberapa jam yang lalu.
Shima mengangguk. “Menyesal pula mak cik
keluar rumah seorang diri tadi. Asalnya suami mak cik
nak temankan, tapi mak cik beria tolak. Dari awal pagi
tadi lagi kepala mak cik ni dah pening-pening tapi mak cik
ingatkan tak jadi apa-apalah. Manalah tahu tiba-tiba aje
pening tu bertambah sampaikan mak cik dah tak tahu nak
buat apa. Nasib baiklah anak ni ada nak tolong mak cik
tadi…” keluhnya seusai bercerita.
“Lain kali tak bolehlah macam tu. Mak cik
kenalah ajak sesiapa untuk jadikan teman…” ujar
Anatasya masih dengan senyumannya. Walaupun
tugasnya di bilik wad itu sudah selesai, dia sengaja
meluangkan masa untuk berborak dengan wanita itu.
“Biasanya anak mak cik yang temankan. Tapi
semalam dia kena ke Johor, ada kerja kat sana. Sebab itulah
dia tak dapat teman mak cik hari ni,” jelas Shima tanpa
diminta.
“Ohh…” Anatasya mengangguk.
“Eh, lupa nak tanya. Anak ni nama apa?” soal
Shima apabila teringat yang mereka masih belum
berkenalan secara rasmi.
“Anatasya, panggil aje Tasya,” jawab Anatasya mesra.
“Anatasya…” Shima mengulang sebut nama itu.
“Ni kalau mak cik cerita kat anak mak cik pasal Tasya, mesti
dia nak kenal dengan Tasya,” rumusnya dengan nada suara
yang bertambah ceria dari tadi.
Anatasya sekadar menyimpul senyuman. Tak mahu
komen apa-apa. Pintu bilik yang ditolak dari luar mengalih
perhatiannya. Muncul seorang lelaki yang diyakininya suami
Mak Cik Shima.
“Haa… nilah suami mak cik, Pak Cik Hamdan.”
Shima memperkenalkan kedua-dua mereka.
Anatasya menghulurkan senyuman manis
dan dibalas oleh orang tua itu. “Mak cik rehatlah ya?
Tasya keluar dulu. Kalau ada apa-apa, mak cik tekan
butang kat tepi katil tu.” Anatasya meminta diri dan terus
berlalu keluar dari wad itu setelah mengucapkan salam.

No comments:

Post a Comment