DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 3

FARHA mendengus kasar. Buat penat sahaja dia
masuk semula ke bilik Wadi Ridhuan. Ternyata, pakaian kotor
tertinggal yang dimaksudkan Wadi Ridhuan itu langsung
tidak ada. Sudah merata tempat dan sudut dia meninjau tetapi
pencariannya hanya sia-sia. Memang benar, Wadi Ridhuan
sudah mempermainkannya.
“Farha tak jumpa ke pakaian tu?”
Hampir terputus nyawa Farha dibuatnya dengan suara
teguran daripada Wadi Ridhuan yang sedang berdiri tercegat di
belakangnya. Farha memejamkan mata untuk menenangkan
dirinya.
Sudahlah hati dan perasaannya menjadi sebal akibat
‘permainan’ Wadi Ridhuan sebentar tadi, ditambah pula dengan
sikap lelaki itu yang tiba-tiba sahaja muncul tanpa disedarinya.
“Saya tak jumpa pun. Dah saya katakan tadi, semua
pakaian Encik Wadi saya dah cuci. Tak ada lagi yang tinggal,”
Farha menekankan suaranya. Giginya dikacipkan.
“Mungkin Farha tak cari betul-betul. Selalunya, kalau
kita cari dengan menggunakan mata hati, tentu akan jumpa.
Tapi, kebanyakan orang suka cari hanya dengan menggunakan
mata ni..,” Wadi Ridhuan menyentuh bawah mata kanan gadis
itu dengan hujung jari.
Farha segera mengelak lalu menjarakkan diri. Dia
tidak selesa dan tidak suka apabila disentuh dengan sewenangwenangnya.
Wadi Ridhuan tersenyum apabila melihat reaksi wajah
masam yang terpamer di wajah Farha. Kemudian, dia menuju
ke arah almari pakaian.
“Farha, mari sini..,” arahnya apabila melihat Farha
masih terpaku di tempat yang sama dan langsung tidak
berganjak.
Tanpa banyak bersoal-jawab, Farha mengikuti arahan
tersebut dengan perasaan tidak puas hati. Buat apa pergi ke
situ? Mustahil pula pakaian yang tertinggal untuk dicuci itu
disimpannya dalam almari? Dia mula berteka-teki sendiri.
“Tolong buka,” arah Wadi Ridhuan lagi sambil bibirnya
tidak henti-henti tersenyum daripada tadi.
Farha memandangnya dengan dahi yang sudah
berlapis-lapis.
“Encik Wadi simpan pakaian kotor tu dalam almari
ke?” Soalnya.
“Tak,” sepatah Wadi Ridhuan menjawab. Senyuman
mesranya masih lagi terukir. Sebenarnya, ada satu barang
istimewa yang mahu diberikannya kepada Farha dan barang itu
sengaja pula diletakkannya dalam almari pakaian itu.
Alasan pakaian kotor miliknya yang tertinggal diambil
oleh Farha, adalah penipuannya semata-mata. Sengaja dia
mencipta alasan itu hanya kerana mahu memberikan kejutan
kepada Farha.
Tanpa banyak membuang waktu, perlahan-lahan
Farha membuka pintu almari besar itu dengan perasaan raguragu.
Kelakuan pelik yang ditunjukkan Wadi Ridhuan, sedikit
menggusarkannya.
Sebaik sahaja pintu almari itu terbuka luas, dia
mula memandang semula ke arah Wadi Ridhuan sambil
menjungkitkan bahunya. Dia tidak mengerti untuk apa pintu
almari itu dibuka sekiranya tiada sebarang tujuan.
“Tolong ambil sampul surat tu,” Wadi Ridhuan
memuncungkan bibir ke arah satu sampul surat berwarna
putih.
“Sampul surat?” Farha tidak mengerti. Satu sampul
surat berwarna putih diamati sebelum diambilnya lalu dibuka.
Sebaik sahaja dia mengoyakkan sampul surat berkenaan, seutas
rantai emas terjatuh ke lantai.
“Kasihan sungguh pada rantai tu. Dahlah mahal, kena
buang pulak tu..,”
“Saya tak sengajalah,” Farha membongkok untuk
mengutip kembali seutas rantai emas yang sudah terjatuh itu.
Kemudian, Wadi Ridhuan segera mengambil rantai itu daripada
tangan Farha.
Dengan senyuman yang masih terukir, dia mendekati
Farha. Seutas rantai emas yang berada di tangannya, segera
dipakaikan pada leher gadis itu. Farha tergamam dan langsung
tidak memahami apa-apa.
“Ini rantai peninggalan arwah nenek saya. Dia berikan
saya rantai ni untuk dihadiahkan kepada bakal isteri saya.
Kahwin dengan saya, ya?” Wadi Ridhuan merenung mata gadis
itu seketika dan kemudiannya matanya jatuh memerhati rantai
emas yang kelihatan sangat sempurna terletak cantik di atas
tudung yang dipakai Farha.
Farha tunduk sambil matanya memerhati pada rantai
itu. Dia menggeleng tanda tidak bersetuju dengan tindakan
Wadi Ridhuan. Dia menanggalkan semula rantai emas tersebut
lalu diberikannya semula kepada lelaki itu.
“Kenapa?” Soal Wadi Ridhuan. Tindakan Farha
menanggalkan semula rantai tersebut menimbulkan rasa tidak
senang dihatinya.
“Encik Wadi melamar saya dengan cara ni?”
“Ya, kenapa? Salah ke?”
“Memang salah. Dahlah Encik Wadi memperkosa saya,
sekarang ni Encik Wadi melamar saya dengan cara macam ni
pulak? Sungguh tak ada adab!” Marahnya tiba-tiba.
“Farha, janganlah marah dulu.”
“Macam mana saya tak marah kalau sewenangwenangnya
Encik Wadi buat saya macam ni? Encik Wadi
melamar saya dengan cara ni seolah-olah mempersendakan
maruah saya. Saya nak tahu, Encik Wadi nak kahwin dengan
saya atas dasar apa? Encik Wadi tak cintakan saya. Adakah
kerana mahu menutup kesalahan yang Encik Wadi buat pada
saya?” Soalnya bernada marah.
“Saya sukakan Farha.”
“Sejak bila? Dah dua tahun saya kerja di sini. Usahkan
Encik Wadi nak datang berbual-bual dengan saya, nak bertegur
sapa pun tidak. Sejak bila pulak Encik Wadi sukakan saya?
Jangan nak menipu,” tekannya dengan soalan yang bertubi-tubi.
Marah benar dia dengan tindakan Wadi Ridhuan yang dilihatnya
seperti mengambil mudah dalam soal lamar-melamar ini.
“Sejak, sejak... sejak malam semalam,” jawab Wadi
Ridhuan tergagap-gagap.
Farha terpempan sebentar. Ingatannya segera berputar
pada malam kejadian itu. Kemudian, dia menunduk. Perasaan
marah bercampur pula dengan perasaan sedih dan malu. Dia
memejamkan matanya sebentar untuk mengawal diri supaya
tidak menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada
Wadi Ridhuan.
“Saya rasa, saya dah mula jatuh hati pada Farha. Saya
percaya, sikit masa lagi perasaan ini tentu akan bertukar menjadi
cinta. Maksud saya, cinta yang sesungguhnya,” sambung Wadi
Ridhuan. Nada suaranya begitu bersungguh-sungguh sekali.
“Maaf, Encik Wadi. Saya perlu segera keluar dari bilik
ni. Dah lama saya ada di sini. Tak elok pulak rasanya,” balas
Farha sambil menapak menuju ke arah pintu.
“Farha, nanti. Tolong jangan tinggalkan saya sebelum
saya habis bercakap. Kalau Farha selalu melarikan diri, macam
mana saya nak tahu jawapan daripada mulut Farha?”
Langkah Farha terhenti. Kata-kata yang terlontar itu,
ada betulnya. Sampai bila dia mahu lari daripada menjawab
soalan itu? Sampai bila? Kalaulah ditakdirkan dia hamil akibat
daripada perbuatan Wadi Ridhuan, bagaimana dia mahu
memberikan jawapan sekiranya ada yang bertanya? Lebihlebih
lagi neneknya yang tinggal di kampung itu pasti akan
memarahinya kerana mengandung tanpa suami!
“Harapan saya adalah untuk berkahwin dengan
seorang lelaki yang boleh membimbing saya. Bukannya lelaki
seperti Encik Wadi yang hampir setiap malam minggu balik
dalam keadaan mabuk.”
“Saya boleh berubah untuk Farha...” jawabnya
perlahan.
“Sepatutnya Encik Wadi perlu berubah untuk diri
sendiri dan bukannya untuk orang lain,” balas Farha pula.
Sejurus kemudian, masing-masing mendiamkan
diri. Lebih-lebih lagi Wadi Ridhuan yang kelihatannya sudah
kehilangan kata-kata untuk memujuk Farha. Dia menarik nafas
seketika sebelum menghembuskannya kembali. Kemudian, dia
menuju ke arah Farha yang kelihatannya sudah bersedia untuk
keluar dari bilik itu.
“Farha, saya betul-betul berhajat untuk memperisteri
Farha. Kalau setuju, katakan sajalah setuju. Beritahu saya, cara
apa yang sesuai untuk saya melamar sekiranya cara yang saya
buat tadi Farha kata tak ada adab. Cakaplah,” nampaknya Wadi
Ridhuan tidak mahu berputus asa.
“Pertama sekali, Encik Wadi perlu berbincang dengan
ibu dan ayah Encik Wadi terlebih dahulu. Sekiranya mereka
setuju, barulah Encik Wadi boleh suruh mereka merisik saya
melalui nenek saya yang tinggal di kampung tu,” jawabnya
secara terang dan jelas. Dia juga tidak mahu lagi berdua-duaan
lebih lama dengan Wadi Ridhuan di dalam bilik yang serba
serbinya mewah itu.
“Tak boleh ke kalau saya tak beritahu perkara ini pada
ibu dan ayah saya?” soal Wadi Ridhuan dan ternyata soalan
yang terpacul keluar daripada mulutnya itu benar-benar
membuatkan Farha tercengang.
“Ini soal nikah kahwin. Ibu dan ayah Encik Wadi perlu
tahu,” jawab Farha sambil membuntangkan sedikit sepasang
mata redup yang dimilikinya.
“Tapi, saya risau kalau ibu dan ayah saya tak setuju.”
“Kalau mereka tak bersetuju, apa tindakan Encik
Wadi yang seterusnya? Adakah mahu membatalkan niat untuk
berkahwin dengan saya?” Soalnya dengan begitu sinis. Dia tahu
apa yang sedang bermain-main di fikiran lelaki itu. Perempuan
miskin dan bertaraf orang gaji sepertinya, sanggupkah Dato’
Wan Chik dan Datin Wasilah yang terkenal itu menerimanya
sebagai menantu?
“Awal-awal lagi Encik Wadi dah tunjukkan sikap
seorang lelaki yang tak ada pendirian di depan saya. Kalau
macam inilah caranya, mampukah suatu hari nanti Encik Wadi
membahagiakan saya? Saya tak yakin,” sambung Farha lagi
sebelum kakinya menapak keluar dari bilik itu.
“Beri saya masa untuk maklumkan perkara ini pada
mereka berdua.”
“Beri masa? Kalau macam tu, lupakan sajalah niat
Encik Wadi untuk memperisteri saya. Tadi bukan main lagi
Encik Wadi tak sabar nak tahu apa keputusan saya samada saya
setuju atau tak. Tapi bila perkara ini saya minta Encik Wadi
ajukan pada Dato’ dan Datin, boleh pulak Encik Wadi suruh
saya berikan masa untuk memberitahu mereka?”
“Permainan apa yang Encik Wadi cuba mainkan
sekarang ni? Kalau saya setuju untuk berkahwin dengan Encik
Wadi tapi sebaliknya pulak yang berlaku pada Dato’ dan Datin,
adakah Encik Wadi nak menikah dengan saya secara senyapsenyap?
Saya tak setuju untuk berkahwin dengan cara macam
tu. Saya tak mahu maruah dan harga diri saya dipersendakan
oleh Encik Wadi buat kali yang kedua,” putus Farha sebelum
dia melangkah keluar dan meninggalkan Wadi Ridhuan
bersendirian untuk berfikir.

No comments:

Post a Comment