BUNGA yang sudah siap digubah diletakkan di
atas rak yang disediakan. Kemudian Ivy bergerak ke arah
bunga-bunga segar pula. Kedai bunga Kak Liza satu-satunya
kedai bunga yang ada dekat bandar ni. Dia pula jenis yang
tak suka bunga tapi nampaknya rezeki dia dekat sini pula.
Tak apalah, sekurang-kurangnya bolehlah dia belajar tentang
perkara baru.
“Buat apa Vy?” tegur Kak Liza yang baru keluar dari
bilik belakang.
Ivy menoleh ke arah Kak Liza buat seketika sebelum
kembali memandang ke arah bunga-bunga segar yang
diletakkan di dalam bekas yang berisi air bagi mengekalkan
kesegaran bunga-bunga tersebut.
“Tengok bunga ni kak. Macam cantiklah pula.”
Jawab Ivy.
“Dah berkenan dekat bunga tu ke?”
Ivy geleng. “Tak juga. Suka tengok je. Akak memang
suka bunga, eh? Sebab tu ke akak buka kedai bunga ni?” Ivy
bergerak mendekati Kak Liza yang sedang menyusun bunga
segar di atas meja untuk digubah.
“Haah Vy, akak memang suka bunga. Itu yang beria
usahakan semua ni. Ditambah pula dengan sokongan dan
dorongan daripada Abang Zarul, bertambah semangatlah
akak.” Kak Liza ketawa di hujung kata. Teringat kembali
betapa bersemangatnya suami dia mendaftarkan nama dia ke
kelas gubahan bunga serta membeli buku dan majalah yang
berkaitan dengan bunga dan gubahan. Macam suaminya pula
yang terlebih teruja.
Ivy turut tersenyum. “Untunglah Kak Liza dapat
buat apa yang akak suka.”
Kak Liza memandang ke arah Ivy. “Vy pula macam
mana? Apa yang Vy suka?” soal Kak Liza kembali.
Ivy angkat bahu. “Entahlah akak, Vy pun tak tahu
apa yang Vy suka.”
“Eh, macam tu pula. Tak boleh macam tu Vy.”
Tangan Kak Liza bergerak memotong bahagian bunga yang
tidak diperlukan supaya senang untuk digubah. “Kita hidup
mesti ada matlamat dan cita-cita Vy.” Sambung Kak Liza lagi.
Ivy menarik kerusi sebelum duduk di sebelah Kak
Liza. “Tapi akak, Vy selesa dengan kehidupan Vy sekarang.”
“Tapi sampai bila?” Kak Liza memandang ke arah
Ivy. “Akak dulu pun macam Ivy juga, tak ada matlamat dan
cita-cita. Tapi lama-lama akak jadi bosan, rasa macam hidup
dekat dunia ni tak ada fungsi je. Macam tak berguna pun ya.
Sejak dari itu, akak mula gali minat akak.”
Ivy menongkat dagu di atas meja. “Mungkin Vy pun
akan jadi macam akak juga kut. One fine day Vy akan gali
minat Vy macam yang Kak Liza buat. But for now, Vy nak
macam ni je.”
Sekali lagi Kak Liza menoleh ke arah Ivy. “Eh budak
ni, macam tu pula. Akak nak encourage Vy supaya cari
matlamat hidup, bina cita-cita sekarang. Bukan one fine day
nanti...” Bebel Kak Liza dan Ivy hanya ketawa.
Entah la, dia selesa dengan keadaan sekarang.
Tinggal dengan Nek Munah, kerja dengan Kak Liza. Ini sudah
cukup untuk dia. Sedang Ivy ralit memandang Kak Liza
menggubah bunga, telefon di dalam poket seluar jeans dia
berbunyi. Tertera nama mama di skrin.
“Assalamualaikum, ma...” Salam diberi lalu Ivy
bangun menjarakkan diri dengan Kak Liza.
“Waalaikumussalam... Ivy dekat kedai ke?” soal
Puan Intan di sebelah sana.
“Ye, ma. Ada apa mama call Ivy?”
“Amboi, tak boleh ke mama call anak mama ni?” soal
Puan Intan semula.
Ivy tersengih. Salah soalan pula. “Mama sihat?”
“Bila mama call baru nak tanya mama sihat ke tidak,
kan? Kalau mama tak call memang tak adanyalah Ivy nak call
mama tanya khabar ke apa, kan?” sinis Puan Intan bersuara.
Ivy tepuk dahi sendiri. Salah soalan lagi ke apa ni?
Tapi memang betul pun apa yang mama dia katakan itu.
“Sorry ma, Ivy sibuk sikit. Kan Vy dah kerja sekarang.” Ivy
menoleh ke arah Kak Liza dan mengenyitkan mata. Kak Liza
hanya ketawa melihat gelagat Ivy. Kena bebel dengan mama
dialah tu agaknya. Teka Kak Liza.
“Setakat kerja dekat kedai bunga macam tu apa
sangatlah yang sibuknya, Vy?” balas Puan Intan pula. Hadoi,
serba tak kena nampaknya kata-kata Ivy hari ni.
“Mama ni kenapa? Marah sangat dengan Ivy.” Tak
tahan dah dia nak dengar sindiran mamanya itu.
“Ivy tu yang dah kenapa. Dah dua bulan tau tak
Ivy tak balik rumah mama. Mama rindu.” Kata Puan Intan
dengan nada yang sebak. Sungguh dia rindukan Ivy. Dahlah
anak perempuan seorang saja yang dia ada. Duduk jauh
dengan dia pula. Ibu mana yang tak sedih.
Ivy mengeluh lemah.” Ma... Kalau Ivy tak balik ke
sana, apa kata mama yang balik kampung. Dapat jumpa Ivy
dengan nenek sekali.” Ivy memberikan cadangan.
“Pula... Kita pula yang kena jenguk dia dekat sana.”
“Jenguk Ivy dengan nenek, ma. Pakej tu.”
“Bab spin orang nombor satu tau budak ni.” Bebel
Puan Intan. Ivy pula hanya ketawa mendengar bebelan
mamanya itu. “Macam mana kerja dengan Kak Liza? Ayah
sampai hari ni tau tak puas hati dengan Ivy sebab Ivy pilih
untuk kerja dekat kedai bunga macam tu.”
“Vy tahu....”
“Dah tahu kenapa tak balik kerja dekat sini dengan
ayah je? Kan senang.”
“Ma... don’t start, please.” Sejujurnya dia dah penat
nak dengar tentang isu kerja ni semua. Hari tu ayahnya
juga yang izinkan dia untuk lakukan apa saja kerja yang ada
asalkan dia bekerja. Sekarang lain pula jadinya. Ayahnya tidak
puas hati dengan pilihan kerjanya pula.
“Mama dah penat nak dengar ayah membebel Vy. Ivy
dekat sana tak apalah tak dengar. Mama yang dekat sini pula
kena tadah telinga.” Adu Puan Intan.
“Mama buat tak tahu sajalah.”
“Macam mana mama nak buat tak tahu Vy oiii
kalau dah tiap kali bercakap pasal Ivy soal ini saja yang ayah
bangkitkan. Mama ajak bincang pasal jodoh Ivy pun ayah buat
tak endah.”
Ivy tercengang. Jodoh?! “Eh ma, jangan buat hal, ek?
Kenapa nak bincang pasal jodoh Ivy pula?”
Puan Intan ketawa di sebelah sana. “Yelah, dengan
umur Ivy tu sesuai sangat dah kalau nak kahwin pun. Dah ada
calon ke belum? Nak mama tolong carikan tak?”
“Ma!!! Tak naklah mama carikan. Ivy nak kahwin
dengan pilihan Ivy.” Ivy tarik muncung. Apa ke kolot sangat
mama ni. Kahwin dengan pilihan keluarga? It is so not gonna
happen.
“Dah ada calon ke?”
Ivy terdiam seketika. Calon? Kenapa kepala dia
teringat dekat nama yang satu tu. Adakah... “Nope! Tak ada.”
“Haa kalau macam tu mama carikan, eh...”
“Ma... please...” Jangan sampai dia petik nama itu
pula bagi dekat mama. Baru mama nak diam agaknya.
Puan Intan ketawa. “Yelah, yelah, mama tak usik
calon Ivy. Ni mama nak beritahu bulan depanlah kut mama
balik kampung. Ayah cakap nak buat tahlil untuk arwah atuk.”
“Nenek dah tahu belum?”
“Dah. Mama dah call nenek sebelum call Ivy tadi.
Kerja elok-elok dekat sana Vy. Kalau rasa tak boleh, balik je
sini kerja dengan ayah.”
“Okey, ma. But not now.”
“Yeah I know. Take care, sayang. Mama love you so
much.”
“Love you too, ma.”
Puan Intan memutuskan panggilan. Tiba-tiba rasa
sebak datang bertandang. Tipulah kalau dia cakap dia tak
rindukan mama dia. Dia juga dah jarang balik ke sana sekarang.
Salah siapa, Vy? Salah sendirilah kan sebab langsung tak fikir
tentang perasaan mama dan ayah. Ivy melangkah ke arah Kak
Liza. Gubahan Kak Liza sudah hampir siap nampaknya.
“Akak yang lebih ni nak buang ke?” Ivy mengangkat
setangkai bunga ros berwarna kuning.
“Elok lagi kan, Vy?” soal Kak Liza tanpa memandang
ke arah Ivy.
“Elok je, kak. Nak letak dalam bekas tu ke macam
mana?”
“Banyak tak lebihnya?”
“Tak akak, ada satu je.” Ivy menilik bunga di tangan.
“Urmmm akak, kalau Vy nak bunga ni boleh tak?”
Kak Liza menyandarkan badannya ke kerusi. Lenguh
pula rasa bila terbongkok macam tu. “Ambil la, Vy. Hari ni Kak
Liza belanja Vy sekuntum ros kuning.” Kak Liza tersenyum.
“Thanks, akak.” Ivy tayang sengih. Dia bukan nak
simpan pun bunga ros ni tapi dia ada sesuatu yang nak
dilakukan dengan ros di tangannya itu. “Akak kalau ros
kuning maksudnya apa, ye?” soal Ivy. Dia memang tak ada
pengetahuan tentang bunga apatah lagi tentang bunga ros.
“Kalau yang warna kuning ni maksudnya
persahabatan, kegembiraan dan kebebasan. Tapi ada juga yang
cakap ros kuning bermaksud permulaan dalam memulakan
sesuatu yang baru.” Ivy tesenyum mendengar penerangan
Kak Liza dan kepalanya sedang ligat mengatur rancangan.
“Kita ni Vy kalau nak bagi bunga dekat orang bukan
kena faham maksud warna je, kena faham juga maksud di
sebalik bilangan ros yang kita nak bagi tu.” Sambung Kak
Liza lagi.
“Ouh ye ke, kak? Urm habis tu kalau bagi sekuntum
je apa maknanya tu?” soal Ivy dengan rasa ingin tahu.
Kak Liza mengemaskan gubahan bunga sebagai
sentuhan terakhir. Kemudian Kak Liza menoleh ke arah
Ivy di sebelah. “Sekuntum bunga ros melambangkan cinta
pandang pertama. Ia juga bermaksud kaulah satu-satunya
untukku. Haa macam tu.”
Rasa tidak tertelan air liur Ivy mendengar
penerangan Kak Liza. Cinta pertama? Pandangan matanya
jatuh pada bunga di tangan. Betul ke dia cinta pertama aku?
soal Ivy sendiri.
“Dah kenapa pula tenung bunga tu macam nak
telan?” soal Kak Liza pelik. Pantas Ivy menggeleng. “Vy nak
bagi dekat siapa bunga tu?” soal Kak Liza lagi bila Ivy hanya
menjawab soalannya tadi dengan gelengan.
“Eh, mana ada Vy nak bagi dekat siapa-siapa. Vy nak
simpan untuk diri sendiri la.”
“Tak agak-agak nak membohong. Bukan kamu tak
suka bunga ke? Tiba-tiba tukar citarasa ni dah kenapa?”
Sekali lagi Ivy tercekik air liur sendiri. “Erk! Urm Vy
nak bagi dekat nenek.” Jawab Ivy, cuba berselindung.
“Ooo... Okeylah Vy, akak nak letak bunga ni dekat
depan sekejap. Tengah hari nanti tuan bunga ni nak datang
ambil bunga ni dah.” Kak Liza bangun untuk ke ruang depan.
Ivy cuma angguk dengan senyuman. Lets do it, baby!
FAYED DUDUK bersandar pada tempat pemandu. Kepalanya
berpusing memikirkan tentang masalah yang tidak pernah
habis. Masalah apa kalau bukan masalah tentang rancangan
babah dan papa untuk menyatukan dia dan Lidiya semula. Dia
tidak faham apa yang relevan nya tentang penyatuan mereka
itu dan kenapa harus sekarang? Kenapa tidak sewaktu mereka
mula-mula berpisah dahulu.
“Ahhh! Kusut!!!” Jerit Fayed di dalam kereta.
Mujurlah keadaan di kawasan letak kereta sudah semakin
lengang.
Tangan mula bergerak menukarkan gear parking
kepada reverse. Tetapi belum sempat dia berundur, matanya
tertancap pada cermin hadapan kereta. Kenapa dia tidak
perasan pula tadi? Tanpa membuang masa Fayed keluar
daripada kereta dan tangannya mencapai sekuntum bunga
ros kuning yang diletakkan di atas cermin hadapan. Fayed
memandang ke arah kiri dan kanan. Namun tiada siapa yang
kelihatan.
“Siapa pula yang letak bunga ni dekat sini? Ke salah
letak?” sekali lagi kepalanya bergerak ke kiri dan kanan
mencari gerangan yang meletakkan bunga pada keretanya.
Namun hampa. Langsung tidak kelihatan sesiapa pun di
kawasan yang berdekatan. Tangannya membelek nota yang
kemas terikat pada tangkai ros kuning tersebut.
‘I don’t care how we met, I’m just happy we did.
Salam perkenalan.’
Berkerut-kerut dahi dan kening Fayed membaca
nota tersebut. “Salam perkenalan? Like seriously? Nak kenal
apa kalau dah nama pun tak ada. Toyol mana pula yang
datang selit bunga ni dekat sini ni?!” bebel Fayed. Laju saja
tangannya bergerak mahu membaling bunga tersebut ke
tanah. Namun belum sempat ia menyembah bumi, tangan
Fayed terhenti.
“I bet dia tersalah letak kut. Mungkin dia ingat ini
kereta perempuan. Konon nak mengayatlah tu.” Fayed ketawa
dengan telahan sendiri. Dia kembali masuk ke dalam kereta
dan bunga di tangan dicampakkan di atas kerusi sebelah.
“Tak apalah ros oii, biar aku sajalah yang simpan kau hari ni,
ye?” Kata Fayed dengan tangan yang bergerak menukar gear.
Tidak lama kemudian keretanya laju menderu meninggalkan
kawasan parking.
“WOW, DAPAT bunga ros. Untunglah badan...” Tegur Fatin
yang kebetulan sedang duduk di atas kerusi di tengah laman
sewaktu Fayed tiba di rumah keluarganya. Dari jauh dia
sudah perasan yang abangnya sedang memegang sekuntum
bunga ros kuning. “Demam ke Ayed? Tiba-tiba balik rumah
bawa bunga ros.” Fatin cuba meletakkan tangan di dahi Fayed
sewaktu Fayed melabuhkan duduk di sisinya. Fatin hanya
ketawa bila Fayed mengelak.
“Tak demam la.” Jawab Fayed tanpa nada.
“Habis tu, yang balik bawa ros ni dah kenapa?
Sekuntum je ke?”
“Dah orang bagi Ayed ambil la.”
“Siapa yang bagi?”
Fayed angkat bahu tanda tidak tahu. “Ooo... secret
admirer, ek?” Fatin senyum mengusik. Tak sangka ada juga
yang berkenan dekat abang dia ni. Tapi bagus juga, tak adalah
balik pada yang lama nanti.
“Jangan nak memandailah, Tin. Ayed rasa orang
tu tersalah letak kut? Kalau betul dia nak bagi dekat Ayed,
maknanya orang tu mestilah perempuan, kan? Mana ada
orang perempuan yang berani buat macam ni.”
“Who knows, Ayed. Perempuan zaman sekarang dah
semakin berani tahu tak? Berfikiran ke depan. Tak ada yang
peliknya kalau perempuan buat benda ni semua. Dan tak
pelik juga kalau lelaki yang letak bunga tu dekat kereta Ayed.”
Pecah ketawa Fayed mendengar kata-kata Fatin.
“Lelaki? Ayed masih lurus okey.”
Fatin turut ketawa. “Ayed saja yang lurus, orang tu
tak.”
Fayed menggeleng. Geli pula bila memikirkan
tentang kata-kata Fatin tu. Jangan yang datang nanti abang
sado sudahlah. Memang dia minta tukar tempat kerja teruslah
lepas ni. “Sudahlah Tin, Ayed masuk dalam dulu. Malaslah
nak layan Tin mengarut petang-petang ni.” Fayed bangun
untuk melangkah masuk ke dalam rumah namun sempat
dihalang oleh Fatin.
“Ayed kejap, Tin nak tanya pasal Lidiya.”
Tak jadi Fayed melangkah bila mendengar nama
Lidiya disebut Fatin. “Pasal apa?” soal Fayed dengan dahi
berkerut lalu kembali melabuhkan duduk di sebelah Fatin.
“Betul ke Ayed akan balik semula pada Lidiya?”
“Siapa yang cakap?” soal Fayed pantas. Kan dia dah
terangkan semuanya yang dia tidak akan sekali-kali terima
Lidiya semula di dalam hidup dia.
“Leona.” Jawab Fatin sepatah.
Fayed mendengus geram. “Nonsense! It won’t
happen Tin, never. Ayed tak akan terima dia semula dalam
hidup Ayed. Tin dah lupa ke apa yang dia dah buat dekat Ayed
dulu?” soal Fayed dengan nada tertahan.
Fatin menggeleng. “Kalau Tin tak lupa, Ayed lagi la.
Sesaat pun Ayed tak pernah lupa apa yang dia pernah buat
dekat Ayed.”
“Tapi babah dah setuju dengan rancangan papa
untuk satukan Ayed dengan Lidiya semula.”
“Itu yang Ayed tak faham. Kenapa babah boleh
setuju dengan rancangan bodoh macam tu. Bukan babah tak
tahu macam mana merananya Ayed lepas kejadian tu. Kenapa
baru sekarang papa sibuk nak kami kembali bersama semula?
Kenapa bukan empat tahun dulu? Disebabkan Lidiya, semua
orang jadi pelik tahu tak? Buat keputusan tanpa berbincang
sampaikan sanggup memaksa Ayed untuk terima semuanya.
Apa diorang ingat Ayed ni tak ada hati dan perasaan ke?”
marah Fayed. Sungguh dia rasa seperti boneka sekarang.
Sewenangnya mereka mengaturkan hidup dia.
Fatin mengusap bahu Fayed, cuba menenangkan
perasaan abangnya itu. “Ada satu lagi masalah Ayed.” Kata
Fatin perlahan.
Fayed memandang ke arah Fatin lalu mengeluh
perlahan. “Apa dia?”
“Leona...”
“Kenapa dengan Leona?”
“She has a crush on you.”
“What?!” Terbangun Fayed dari tempat duduknya.
“Mengarut apa ni, Tin?” soal Fayed dengan kerutan di dahi.
“Tin tak mengarut. Leona sendiri yang beritahu Tin.
Dia cakap dia sukakan Ayed.” Jelas Fatin. Dia sendiri pun
terkejut bila mendengar lauhan hati Leona.
Fayed menggaru kepalanya. Kenapalah dua beradik
ni boleh wujud dalam hidup dia. Kalau wujud untuk kebaikan
tak apalah juga. Ni bawa masalah pula. Serabut betul!
“Dahlah, Ayed malas nak fikir pasal Leona. Budak baru nak
membesar, apa je yang dia tahu.”
“Tapi dia macam bersungguh nakkan Ayed.”
“But I don’t want her. Ayed tak nak dia fullstop!
Kalau Tin jumpa dengan dia tolong beritahu dekat dia yang
Ayed tak sukakan dia. I’m done with all these nonsense, Tin.
Ayed nak masuk dalam nak mandi.” Usai berkata Fayed terus
melangkah masuk ke dalam rumah.
Fatin hanya memerhatikan langkah kaki abangnya
itu. “Lepas satu, satu... Apalah masalah dua beradik tu. Kenapa
abang dia juga yang mereka nakkan. Padahal berlambak kut
lelaki dekat luar sana yang lebih kacak daripada Ayed tu.”
Bebel Fatin sendirian.
No comments:
Post a Comment