DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 27 June 2016

Ivy Raihana - Bab 2

FAYED melangkah perlahan ke dalam pasar raya
Tesco. Aktiviti yang paling malas dia nak buat di hujung
minggu adalah shopping barang dapur, tapi yang itu jugalah
yang umi dia suruh buat. Kak Farah dengan Fatin bukan
nak tolong, siap gelakkan dia lagi ada. Sepatutnya anak-anak
perempuan umi yang tolong belikan. Ini tidak, dah terbalik
pula. Kak Farah dengan Fatin pun mengada-ada, bila orang
ajak semua tak nak ikut. Memang suka mendera.
Tapi sebab ini jugalah dia kenal dengan segala jenis
bawang dan bahan-bahan masakan yang lain. Kira boleh
berterima kasih jugalah dengan umi sebab suruh dia buat
semua ni.
“Fayed!”
Fayed memandang sekeliling. Belum pun sempat
dia menolak troli ke dalam, sekali lagi terdengar namanya
dipanggil.
“Fayed Nazmi!”
Fayed memandang ke kiri dan kanan, langsung tiada
wajah yang dia kenali. Suara yang memanggil semakin jelas
kedengaran. “Oit, kat sinilah.” Bahunya ditepuk dari arah
belakang.
Pantas Fayed menoleh ke belakang. “Arif! Ya Allah,
kau rupanya...” Fayed terjerit teruja lantas dia memeluk bahu
Arif dengan erat.
“Yelah aku. Dari tadi perati kau jalan menonong
je. Aku nak kejar pun tak sempat. Itu yang aku jerit panggil
nama kau tu.” Arif turut membalas pelukan Fayed.
“Ya Allah sungguh aku tak perasan kau tadi Rif.
Ingatkan siapalah yang panggil nama aku dekat tengah-tengah
pasaraya ni. Perasan glamour dah aku tadi.” Ketawa mereka
pecah. Walau dah lama tak jumpa, perangai tetap tak berubah.
Suka berlawak.
“Ke mana kau menghilang ha, Yed? Sekarang baru
nampak batang hidung.” Arif memandang Fayed atas bawah.
Sudah agak lama juga mereka tidak berjumpa. Setelah
habis tingkatan lima, masing-masing membawa haluan
masing-masing. Kali terakhir dia berjumpa dengan Fayed
adalah sebulan sebelum dia berlepas ke Jordan, melanjutkan
pelajaran dekat sana.
Fayed tersenyum. “Aku baru balik dari Kanada
bulan lepas. Kau apa cerita sekarang Rif? Anak dah berapa
orang?” Arif memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan
manakala dia pula memilih untuk melanjutkan pelajaran
ke Kanada dalam bidang farmasi. Setelah habis belajar, dia
memilih untuk bekerja di sana selama setahun dan baru
bulan lepas dia pulang semula ke Malaysia.
“Aku macam inilah. Anak dah masuk tiga, isteri tetap
satu.” Arif gelak dengan kata-katanya sendiri.
“Tiga dah anak kau? Last kita jumpa hari tu kau baru
je kahwin, kan? Wah, cepat betul kau proses, ye?” usik Fayed.
Sebelum Arif melanjutkan pelajaran ke Jordan, kawannya
itu terlebih dahulu menamatkan zaman bujang dengan
gadis pilihan keluarga dan kemudiannya mereka sama-sama
sambung belajar di sana.
“Woi, kita dah berapa lama tak jumpa, bro? Memang
patutlah pun kalau aku dah ada tiga orang anak. Lagi pun
aku kan kahwin awal. Yang tak patutnya kalau kau tu tak
ada anak lagi atau pun masih membujang sampai sekarang.”
Arif membalas usikan Fayed berserta cuba mengorek rahsia
kehidupan Fayed sekarang.
Fayed terdiam seketika sebelum kembali senyum.
“Memang aku belum kahwin pun Rif.” Jawab Fayed bersahaja.
“What?! Kau biar betul, Yed...”
“Betul... tak tipu langsung.” Jawab Fayed dengan
wajah selamba.
“Sumpah?” soal Arif tidak percaya. Tetapi belum
sempat Fayed menjawab tiba-tiba ada suara yang mencelah.
“Nak main sumpah-sumpah ke, sesumpah ke,
boleh pergi main jauh-jauh sikit tak? Orang datang sini nak
membeli-belah, bukan nak main-main macam encik berdua
ni. Dahlah block jalan orang. Tak nampak ke orang kiri kanan
berhimpit nak lalu sini. Encik berdua ni boleh pula seronok
bersembang macam tak ada masalah.”
Ivy menjeling dua orang makhluk yang tercegat
berdiri di hadapannya. Mamat poyo dekat kaunter farmasi
hari tu. Wajah yang tak akan dia lupa. Hari tu seronok sangat
bebelkan dia dekat kaunter, kan? Hari ni giliran mamat ni
pula yang kena bebel. Dekat tengah-tengah pasar raya ni pula.
Puas hati betul.
Fayed memandang Ivy dengan mata yang garang.
Minah pekak dekat farmasi hari tu. Memang taklah dia nak
lupakan. Spesies tak sedar diri. Dah kena marah boleh pula
dia marahkan kita balik. Padahal dah terang-terang dia yang
salah.
“Nak balas dendam pasal yang hari tu ke, cik kak?”
soal Fayed tanpa rasa bersalah menghalang laluan Ivy. Kalau
tengok pada gaya memanglah minah ni nak balas dendam
pasal yang hari tu. Tengok muka tu pun dah tahu.
“Eh, ingat lagi ke cik abang?” soal Ivy pula dengan
nada yang sinis. Tangan disilangkan ke badan. Niat nak
membeli buah-buahan tadi terus dilupakan. Mamat kat
depan ni la yang punya pasal.
Fayed ketawa. Tapi ketawa yang menyakitkan hati.
“Mana boleh lupa minah sewel macam cik kak ni.” Jawab
Fayed selamba dan turut menyilangkan tangannya ke badan.
Ivy turut ketawa tetapi ketawa yang sangat jelik
bunyinya. Cuba menahan rasa marah bila Fayed mengutuk
dia. “Saya pun takkan pernah lupa muka asam keping yang
suka meroyan tak tentu pasal macam encik ni.” Balas Ivy
dengan bangganya.
What did she call me? Asam keping? Seriously?
Wajah Fayed berubah tegang. “Awak! Memang tak reti adab
sopan, kan? Main kutuk orang macam tu je. Selamba saja
cakap cakap muka saya muka asam keping. Habis tu muka
cik kak ni ingat cantik sangat ke? Dahlah tak cantik, sewel
pula tu.” Marah Fayed. Tangan digenggam kemas menahan
amarah.
“Dah tu encik ni seorang yang beradab sangatlah?
Tak sedar ke yang encik tu pun tak ada adab lebih daripada
saya? Orang dah minta maaf, tetap juga nak marah. Lepas
tu cakap orang sewel pula. Mulut encik ni macam mulut
longkang!” Tangan Ivy sudah beralih ke pinggangnya pula
dengan kepala mendongak memandang Fayed. Dah kenapa
pula yang tinggi sangat ni. Lenguh dah leher nak mendongak
macam ni. Bebel Ivy dalam hati.
“You!” Jari telunjuk Fayed betul-betul di depan mata
Ivy. Rahangnya pula bergerak-gerak. Mulut cabul betul minah
pendek ni. Sesedap rasa saja cakap orang mulut longkang.
Memang nak kena la.
“You what?!” Cabar Ivy dengan mata yang membulat.
Masih setia mendongak memandang Fayed walaupun leher
dah lenguh macam nak tercabut.
“Enough, guys! Tak malu dekat orang ramai ke?”
Arif mencelah. Segan dah dia bila orang ramai sudah mula
memandang.
“You shut up!” Jerit Fayed dan Ivy serentak.
Masing-masing masih dengan amarah yang menggunung di
dalam hati. Arif cuma menggelengkan kepala.
“Ivy!” Jerit Aieen sambil berlari anak ke arah Ivy.
Dekat sini rupanya sepupu dia ni. Dari tadi dia cari. Ingatkan
ke manalah budak Ivy ni hilang. “Weh Vy, kau kenapa?” Aieen
menarik tangan Ivy. Perasan yang orang sekeliling sedang
memandang ke arah Ivy dan encik... Aieen memandang Fayed
tanpa kelip. Eh, encik yang dekat kaunter hari tu la.
Ivy dan Fayed masih saling memandang dengan
pandangan mata yang membunuh. Keadaan sekeliling
langsung tak diendahkan. Arif di sisi Fayed juga mula rasa
tidak selesa bila mereka sudah menjadi tumpuan orang ramai.
“Cik, kawan awak ke ni?” tanya Arif kepada Aieen.
Aieen menoleh ke arah Arif yang berdiri di sebelah
Fayed. “Tak, ini sepupu saya.” Jawab Aieen lurus.
“Boleh bawa sepupu cik ni ke tempat lain? Kawan
saya ni, biar saya saja yang uruskan.” Pinta Arif. Kalau
dibiarkan macam ni sampai bila-bila pun tak habis.
“Kenapa dengan mereka berdua ni?” soal Aieen. Dia
ni memang blur ke apa. Sekali pandang pun dah tahu yang
Fayed dengan Ivy sedang bergaduh. Aieen ooo Aieen, kenapa
slow sangat?
“Mereka bergaduh.” Jawab Arif pendek.
“Taklah!” Jawab Fayed dan Ivy serentak sambil
memandang ke arah Arif pula. Terkejut dibuatnya kawan tu.
Dengar pula orang cakap apa. Ingatkan dah ambil kisah apa
yang jadi di sekeliling.
“Jomlah Aieen kita ke tempat lain. Dekat sini tak
best la. Ada asam keping bau longkang.” Ivy menjeling Fayed
sekilas lalu menarik tangan Aieen untuk berlalu.
Fayed yang mendengar kata-kata Ivy itu tadi menjadi
bertambah berang. Memang kurang ajar cik kak tu cakap dia
macam tu. Dahlah panggil dia asam keping, siap dengan bau
longkang lagi tu. Fayed cuba untuk membalas balik kata-kata
Ivy, namun sempat ditahan oleh Arif.
“Sudahlah Yed, jangan dilayan sangat budak
perempuan macam tu. Orang ramai dah pandang korang
semacam dah ni. Jomlah kita pergi minum.” Arif menarik
tangan Fayed untuk keluar dari situ.
Fayed mendengus geram. Kalau sekali lagi dia jumpa
dengan minah tu, memang penyek minah tu dia kerjakan.
Biar jadi macam ayam penyek.
FAYED MELANGKAH ke arah island table dengan langkah
yang lemah. Puan Fadhilah memandang ke arah anaknya
yang sedang melangkah longlai. Kedua belah tangan Fayed
kosong. Tiada barang yang dipesannya tadi.
“Barang umi mana?” soal Puan Fadhilah setelah
Fayed melabuhkan duduk di atas kerusi yang kosong.
“Tak beli umi.” Jawab Fayed bersahaja.
“Eh, kenapa pula? Kan umi nak guna barang tu Yed.”
Tangan Puan Fadhilah yang sedang menyusun pinggan terus
terhenti. Anak bertuah dia ni selalunya tak macam ni. Ada
apa-apa yang tak kena ke?
“Umi suruh Tin atau Kak Farah sajalah yang
belikan nanti.” Jawab Fayed. Mood dia sudah ke laut sebab
pertengkaran dengan cik kak tu tadi. Terus semua barang
yang umi dia pesan dia tak beli.
“Pula...” Wajah serabut anaknya itu dipandang tanpa
lepas. “Kenapa dengan Yed ni? Serabut semacam saja umi
tengok.”
Fayed senyum. Takkanlah nak ceritakan apa yang
terjadi dekat pasar raya tu tadi dekat umi pula. Macam
budak-budak. Lepas gaduh balik mengadu dekat umi. “Tak
ada apalah umi, Yed okey saja.”
“Betul ke okey? Ke Yed fikirkan tentang seseorang?”
teka Puan Fadhilah.
Faham dengan seseorang yang uminya maksud kan,
pantas Fayed menggeleng. “Kak Farah dengan Tin mana umi?
Tak nampak pun. Tadi cakap nak kemas rumah, kan?” Salah
satu alasan yang Farah dan Fatin berikan ketika dia mengajak
mereka untuk menemani dia ke pasar raya tadi.
“Ada dekat atas. Dah siap dah kemas dekat depan
sana, nak kemas bilik pula katanya.” Jawab Puan Fadhilah.
Tahu yang anaknya cuba untuk mengelak daripada menjawab
soalan dia tadi.
“Kalau macam tu, Yed naik atas dululah, umi.” Fayed
bangun untuk berlalu. Tapi belum sempat dia membuka
langkah, Puan Fadhilah bersuara.
“Sampai bila Yed? Sampai bila Yed nak macam ni?”
Soal Puan Fadhilah perlahan.
Fayed memandang Puan Fadhilah tanpa perasaan.
Tidak lama kemudian dia kembali berpaling dan melangkah
meninggalkan uminya sendirian di dapur. Puan Fadhilah
hanya menggelang. Entah sampai bilalah Fayed nak jadi
macam ni. Keluhan dilepaskan tanpa sedar.

No comments:

Post a Comment