DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 29 June 2016

Bahagia Dalam Rahsia - Bab 13

BELLA membelok keretanya memasuki
pekarangan villa itu. Hatinya dihambat rasa tidak sabar mahu
berjumpa Wadi Ridhuan sebaik sahaja dimaklumkan Datin
Wasilah mengenai kepulangan lelaki itu daripada bercuti.
Saat hadirnya Bella, Wadi Ridhuan bersama Datin
Wasilah sedang bersarapan sementara Dato’ Wan Chik pula
tiada di rumah kerana sudah bertolak ke lapangan terbang. Dia
terpaksa pergi ke China atas urusan perniagaan.
“Morning auntie,” sapa Bella sambil menarik kerusi
lalu melabuhkan duduk di sebelah Wadi Ridhuan yang sedang
enak mengunyah nasi goreng buatan tangan isterinya, Farha.
“Morning sayang,” Bella tersenyum sambil melirik
mata menggoda ke arah Wadi Ridhuan yang menoleh sekilas
padanya.
“Awalnya Bella datang ke rumah auntie ni. Datang nak
jumpa Wadi ke?” Soal Datin Wasilah sambil memberi senyum.
“Ya, auntie. Bella datang nak jumpa Wadi. Kalau
terlambat datang nanti, tak sempat pulak nak jumpa dia.
Sekejap lagi dia dah nak pergi kerja,” ulas Bella. Kemudian,
ringan sahaja tangannya memaut lengan Wadi Ridhuan yang
masih belum selesai bersarapan. Tanpa segan silu, kepalanya
dilentokkan ke bahu lelaki itu dengan lagak manja.
“I belum habis sarapan lagi ni,” Wadi Ridhuan
bersuara seraya menarik lengannya kembali supaya Bella tidak
memautnya lagi.
“I rindu sangat pada you. Kenapa you pergi bercuti
tak ajak I? Sampai hati,” rengek Bella manja dengan menarik
semula lengan lelaki kesayangannya itu supaya dapat dipautnya
semula.
Wadi Ridhuan meletakkan sudu dan garfu di pinggan.
Kepala digaru sebentar. Tindakan Bella mengundang rasa
tidak senang di hatinya. Bimbang kalau Farha tiba-tiba sahaja
muncul dan sekaligus akan menyakiti hati isterinya pula.
“Tolong lepaskan tangan I boleh tak? I nak makan pun
tak selesalah.”
“Tak mahu lepas,” Bella merengek lagi.
Datin Wasilah berdehem kecil tetapi tidak
mengendahkan tingkah bakal menantu kesayangan. Dibiarkan
sahaja si Bella berbuat sesuka hati.
“Perangai you ni, macam budak-budaklah. I rimas!”
“Wadi, kenapa dengan you? Selama ni kalau I buat
macam ni pada you, sikit pun you tak pernah marah. Suka lagi
ada, kan? Tapi kenapa sekarang ni tiba-tiba saja you berubah?”
Soalnya bersungguh-sungguh.
Ketika itu, Farha muncul dengan membawa cawan
berserta piring untuk Bella yang baru sahaja tiba. Matanya
tertancap ke arah tangan Bella yang sedang mesra memaut
lengan suaminya. Melihat keadaan itu, hatinya tercalar.
Wadi Ridhuan sedar air wajah Farha mula berubah
keruh. Segera dia menarik kembali lengannya agar terlepas
daripada pautan Bella.
Selepas air dituangkan, Farha cuba menyembunyikan
perasaan cemburunya dengan mempelawa Bella minum.
Kemudian, dia bergegas menuju ke dapur semula sebelum
sempat dihalau Datin Wasilah.
Wadi Ridhuan mengeluh panjang. Seleranya mati
sebaik sahaja Farha berlalu. Tidak sampai hatinya mahu
membiarkan Farha mengasingkan diri selepas insiden isterinya
itu terpandang Bella memaut lengannya sebentar tadi. Lantas,
dia berdiri meninggalkan meja makan.
“Auntie, kenapa dengan Wadi tu? Sombong sangat
dengan Bella sekarang ni. Dulu dia tak macam ni tau,” adu
Bella sambil berpeluk tubuh. Sikap dingin Wadi Ridhuan
membuatkan wajahnya masam mencuka.
Datin Wasilah mendengus perlahan. Dia tahu kenapa
anak lelakinya bersikap demikian. Semuanya gara-gara Farha!
Mungkin anak lelakinya itu sedang menunjukkan perasaan
tidak puas hati apabila hajat mahu mengahwini Farha, ditentang
keras olehnya.
Mahu tidak mahu, Datin Wasilah terpaksa mengambil
keputusan untuk berterus-terang sahaja dengan Bella. Manalah
tahu kalau gadis itu mempunyai jalan untuk berbuat sesuatu.
“Sebenarnya kan, Wadi tu dah tergila-gilakan orang
gaji auntie. Ada ke patut dia nak kahwin dengan budak tu?
Tapi auntie dan uncle tak setuju. Apa kelas kan, auntie nak
bermenantukan orang gaji? Malulah auntie nanti,” Datin
Wasilah mencebik.
Bella mengecilkan mata. Penjelasan Datin Wasilah
benar-benar membuatkan dia berasa tercabar. Manakan tidak,
dia kini mempunyai pesaing baru untuk merebut kasih Wadi
Ridhuan. Kalau sebelum-sebelum ini, pesaing-pesaingnya
adalah Ety, Mezlinda, Rozie dan Maira yang terdiri daripada
anak-anak orang kaya yang sama sepertinya. Tetapi kini, dia
terpaksa bersaing pula dengan seorang gadis yang bertaraf
orang gaji! Apa yang paling menyebalkan hatinya, gadis itu
lebih cantik daripadanya.
“Kenapa Wadi boleh jatuh cinta pada orang gaji pulak
ni auntie? Jangan-jangan, budak tu ada letak ubat guna-guna
dalam makanan Wadi tak?” Bella ketap bibir.
“Itulah, auntie dah tanya budak tu tapi dia kata, dia
tak buat.”
“Alah, auntie ni. Takkanlah orang dah buat salah dia nak
mengaku pulak? Lebih baik auntie pecat aje dia. Jangan mainmain
tau auntie dengan ubat guna-guna ni. Silap haribulan,
Wadi boleh jadi gila!” Ujar Bella dengan nada menghasut.
Datin Wasilah mengerutkan muka. Dahinya berlapis.
Kata-kata Bella ada benarnya.
“Itu yang merisaukan auntie sebenarnya. Auntie tak
tahu nak buat apa. Kalau nak pecat dia, susah jugak auntie
nanti. Nak harapkan Mak Hendon tu sorang, manalah sempat
dia nak siapkan semua kerja dalam rumah ni. Lagipun, susah
nak dapatkan orang gaji tempatan sekarang. Lebih-lebih lagi
orang Melayu. Zaman sekarang ni, dah tak ramai gadis-gadis
Melayu yang nak kerja sebagai orang gaji. Kalau warga asing tu
memang berlambaklah. Tapi, lagilah auntie tak percaya.”
“Habis tu, takkan auntie nak tengok aje Wadi tergilagilakan
orang gaji tu? Auntie kena buat sesuatu!” Keras suara
Bella apabila menggesa Datin Wasilah supaya mendengar
cakap-cakapnya.
“Dalam hal ni, Bella kena tolong auntie.”
“Auntie cakap aje auntie nak minta tolong apa. Bella
akan tolong.”
“Auntie mahu Bella makin rapat dengan Wadi. Ambil
hati dia, pikat dia betul-betul dan ikat dia sungguh-sungguh.”
Apabila mendengarkan cadangan itu, sepasang mata
Bella bersinar-sinar. Besar harapannya untuk berkahwin dengan
Wadi Ridhuan apabila Datin Wasilah sudah memberikan lampu
hijau begitu. Laju sahaja dia mengangguk bersetuju tanpa
mahu membantah apa-apa.
Sementara itu di halaman belakang, Wadi Ridhuan
tercegat di belakang Farha yang sedang menyidai pakaian.
Isterinya itu langsung tidak menyedari akan kedatangannya ke
situ.
“Far...” panggilnya perlahan. Namun, panggilannya
seperti tidak diendahkan. Dia tahu Farha mendengar tetapi
Farha seperti berpura-pura tidak mendengar. Lalu, dia menapak
mendekati isterinya itu.
“Abang dah siap sarapan ke?” Soal Farha tanpa
menoleh. Tangannya masih ligat menjemur pakaian yang baru
sahaja dicuci.
“Belum,” jawabnya sepatah.
“Kenapa belum? Nasi goreng yang isteri abang masak
tu tak sedap ke? Far tahu, mungkin selera abang lebih kepada
roti bakar yang disapu keju seperti apa yang Cik Bella makan
agaknya. Tak sama dengan lidah isteri abang ni yang lebih
suka makan nasi goreng waktu pagi,” ujar Farha seakan-akan
menyindir. Entah kenapa, hatinya bengkak tiba-tiba apabila
mengenangkan sikap Bella yang mengada-ada apabila duduk
berdua dengan suaminya di meja makan tadi.
Wadi Ridhuan mengeluh kecil. Kata-kata yang berbaur
sindiran itu membuatkan hatinya tidak senang lalu dia pun
membalas perlahan, “Kenapa cakap macam ni, Far? Bukannya
nasi goreng yang Far masak tu tak sedap tapi abang tak selesa
nak makan kat meja makan tu.”
“Kenapa pulak tak selesa? Dah dapat layanan mesra
daripada Cik Bella pun masih tak selesa lagi ke?” Soalnya,
masih lagi dalam nada menyindir. Geram dengan sikap Bella
di meja makan tadi, kepada Wadi Ridhuan pula dia melepaskan
perasaan.
Dia tahu suaminya itu tidak bersalah tetapi nalurinya
sebagai seorang isteri, sedikit sebanyak mengundang rasa
cemburu di hati. Bodohlah dia andai kata perasaan cemburu
itu tidak ada. Baru sahaja malam tadi Wadi Ridhuan datang
bermesra dengannya di bilik tetapi pada hari ini, perempuan
lain pula yang bermesra dengan suaminya. Hati mana yang
tidak sakit? Tidak menggelegak panas?
Dia tahu, tidak sewajarnya dia berkata begitu tetapi dia
tidak mampu untuk menyimpan rasa cemburu itu seorang diri.
Sekurang-kurangnya, biarlah suaminya tahu.
“Far cemburu ke ni?” Soal Wadi Ridhuan seraya
memegang bahu Farha.
“Lepaslah. Nanti orang nampak,” Farha bergerak
sedikit ke tepi. Tidak mahu Wadi Ridhuan terlalu hampir
dengannya.
“Biarlah orang nampak,” balas Wadi Ridhuan selamba.
“Abang nak semua orang tahu rahsia kita? Macam tu?”
Farha menjeling.
“Biar. Biar semua orang tahu. Biar rasa cemburu dalam
hati Far tu dah tak ada lagi lepas ni,” Wadi Ridhuan membalas.
“Aii... abang jugak yang kata, tak nak Dato’ dan
Datin tahu. Alih-alih, abang bersikap macam ni pulak,” Farha
membidas. Geram dengan sikap si suami yang dilihatnya suka
main-main dan tidak serius.
“Habis tu, Far cemburu sangat.”
“Dah suami Far perempuan lain pegang-pegang.
Ingat Far ni tunggul kayu ke? Patung? Tak ada hati? Tak ada
perasaan?” Bentaknya perlahan tetapi masih bernada tegas.
Wadi Ridhuan garu kepala.
“Far janganlah macam ni, sayang... Bella tu memang
macam tu perangai dia. Abang janji dengan Far. Lain kali kalau
dia datang rumah, abang akan keluar.”
“Jangan sebut nama dia. Far tak suka. Abang pergilah
kerja. Dah lambat ni. Far masuk dulu,” Farha mengambil bakul
pakaian sambil berlalu ke dalam rumah.
“Far!” Laung Wadi Ridhuan supaya Farha berpatah
balik ke arahnya tetapi laungannya tidak dipedulikan. Dia
bercekak pinggang dan kemudiannya menggeleng sekali dua.
USAI melakukan kerja-kerjanya, Farha memencilkan diri di
bilik. Jendela dikuak luas seraya melemparkan pandangannya
jauh ke luar. Pemandangan bukit bukau di hadapan mata
menenangkan sedikit hatinya yang kini dihambat dengan rasa
cemburu dan rasa bersalah.
Rasa cemburu apabila melihat Bella menunjukkan
kemesraan kepada Wadi Ridhuan dan rasa bersalah terhadap
suaminya itu apabila dia memulakan pertengkaran kecil yang
berlaku pagi tadi.
Hendak memohon maaf, tiada pula alat untuk
berhubung. Kalaulah dia mempunyai telefon bimbit, sekarang
juga dia mahu mengirimkan SMS kepada suaminya untuk
meminta maaf. Tetapi, apalah daya yang dia ada selain daripada
terpaksa menunggu sahaja Wadi Ridhuan pulang ke rumah.
Sedang asyik dia berperang dengan perasaan sendiri,
tekaknya berasa mual tiba-tiba. Perutnya terasa senak dan
segala apa yang dimakannya pagi tadi mahu terkeluar sertamerta.
Kemudian, dia berlari ke dapur. Sampai sahaja ke sinki,
segala apa yang dimakannya terhambur keluar.
Mak Hendon yang kebetulan berada di dapur, terpingapinga
dengan tingkah Farha. Lekas-lekas dia mendapatkan
Farha untuk bertanya.
“Kenapa Farha muntah ni? Tak sihat ke?”
Farha mengelap mulut selepas berkumur dengan
air paip. Pertanyaan Mak Hendon, serba salah untuk dijawab.
Sekiranya dia menjawab pertanyaan itu, jawapan apa yang mahu
diberikan? Farha mati akal. Kemudiannya hanya menggeleng
lemah.
“Farha tak payah tolong mak cik hari ni. Berehat
ajelah. Farha tak sihat agaknya ni,” ujar Mak Hendon sambil
tangannya menggosok belakang gadis itu.
“Saya... saya masuk bilik dululah, mak cik,” balasnya
perlahan. Wajahnya kelihatan pucat.
“Ya... ya... pergilah, nak,” jawab Mak Hendon dengan
perasaan lain macam.
Hati tuanya dijengah dengan satu soalan. Farha
mengandungkah? Pengakuan Wadi Ridhuan dahulu mengenai
kejadian dia memperkosa Farha di luar sedar, menguatkan lagi
telahan yang dibuat.
Mak Hendon mengurut dada. Dia sudah berkira-kira
mahu memberitahu kepada Wadi Ridhuan mengenai keadaan
Farha. Dia tidak boleh membiarkan Farha yang menanggungnya
seorang diri. Jika benarlah Farha mengandung, Wadi Ridhuan
mesti bertanggungjawab. Bisik hati kecil Mak Hendon sebelum
kembali menyambung kerjanya yang tergendala.
Sementara itu di pejabat, Wadi Ridhuan tidak dapat
memberi tumpuan pada tugasannya. Pertelingkahan kecil
yang berlaku di antara dia dan Farha pagi tadi, menghilangkan
fokusnya sedikit. Ternyata isterinya itu merajuk tetapi dia tidak
sempat hendak memujuk memandangkan dia sudah terlewat
mahu ke pejabat. Lantas, butang interkom ditekan.
“Sal, tolong pergi ke kedai bunga. Beli 100 kuntum
bunga mawar warna merah dan hantar ke rumah saya.”
“100, encik? Nak buat apa banyak sangat tu?”
“Nak buat kenduri.”
“Buat kenduri?”
“Dah tentulah saya nak berikan pada seseorang. Takkan
saya nak makan pulak.”
“Ooo... Encik Wadi nak bagi pada Datin, ya?” Salmiha
membuat telahan dihujung talian interkom itu.
Sudah menjadi kebiasaan buat Wadi Ridhuan, pasti
akan dibelikan bunga buat si ibu di rumah pada setiap bulan.
Pada Mak Hendon juga begitu. Sering sahaja dititipkan
beberapa kuntum bunga dan segala urusan itu, Salmiha yang
dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya.
“Bukan. Bukan untuk ibu saya.”
“Kalau bukan untuk Datin, untuk mak cik agaknya ni,
kan?”
“Untuk mak saya pun bukan,” Wadi Ridhuan ketap
bibir. Kalau dia berterus-terang bolehkah Salmiha menyimpan
rahsia dan tidak menceritakan kepada sesiapa? Ah, susahnya!
Nak bagi bunga pada isteri sendiri pun susah! Jeritnya dalam
hati.
“Okey. Baiklah. Saya tak nak tanya apa-apa lagi. Saya
akan uruskan secepat mungkin.”
“Sal, nanti dulu.”
“Kalau Encik Wadi nak cakap sesuatu, kenapa tak
panggil saja saya masuk ke dalam?” Balas Salmiha seolah-olah
boleh membaca isi hatinya yang sedang gundah ketika itu.
Maklum sahajalah, Salmiha sudah berkhidmat selama 3 tahun
dengannya. Wanita itu juga sudah faham benar dengan sikap
dan tingkah lakunya.
“Okey, baiklah. Awak masuk. Saya akan ceritakan
sesuatu pada awak,” putus Wadi Ridhuan. Dia percayakan
Salmiha nampaknya. Akan diceritakan semuanya kepada
wanita yang sudah dianggapnya seperti kakak sendiri itu.
Salmiha terlopong apabila Wadi Ridhuan selesai bercerita.
Berkerut-kerut mukanya. Keningnya dijungkit beberapa kali.
Seperti tidak percaya. Adakah Wadi Ridhuan hanya bergurau?
Bukannya dia tidak tahu sikap Wadi Ridhuan yang satu itu.
“Boleh awak janji dengan saya? Tolong simpan rahsia
ni baik-baik,” pinta Wadi Ridhuan dengan wajahnya yang
mempamerkan seribu pengharapan dan bersunguh-sungguh
supaya Salmiha memenuhi janji itu.
“Insya Allah, Encik Wadi jangan bimbang. Saya
akan pastikan rahsia ini tidak diketahui oleh sesiapa. Jauh di
sudut hati, saya rasa bersyukur. Encik Wadi nampaknya dah
banyak berubah. Dah tak macam dulu lagi. Nampak lebih
bertanggungjawab sekarang,” Salmiha memuji lantas dia
tersenyum.
Adilah Farha. Ya, dia pernah bersua muka dengan
gadis itu di rumah Wadi Ridhuan. Ketika itu, Datin Wasilah dan
Dato’ Wan Chik menjemputnya untuk makan malam. Gadis
itu memang cantik. Penuh budi bahasa dan bersopan santun.
Memang padan dan begitu sesuai sekali dengan majikannya itu.
Untuk Isteri Abang,
Bersama 100 kuntuman mawar merah ini,
dapatlah menjadi pengubat kepada rajuk
yang sedang membelenggu diri Far sekarang.
Abang minta maaf atas perkara yang berlaku
pagi tadi. Sedikit pun tidak terniat di hati
abang untuk menyakiti hati Far begitu.
Malam nanti abang mahu bawa Far makan di
luar. Pakai cantik-cantik dan keluar melalui
pintu belakang. Abang tunggu di situ.
Abang yang bersalah,
-WADI RIDHUAN
Farha tersenyum lebar seraya menampakkan barisan
giginya yang cantik. Titipan kad kecil berwarna merah
jambu yang diiringi 100 kuntuman mawar berwarna merah,
membuatkan dia hampir-hampir menitiskan air mata.
Sepatutnya, dialah yang mesti meminta maaf dan
bukannya Wadi Ridhuan. Tetapi entah kenapa, suaminya pula
yang mengambil sikap beralah dengan meminta maaf terlebih
dahulu kepadanya melalui kiriman bunga itu.
Waktu yang dinantikan pun tiba. Usai berdandan ala
kadar, Farha mula memboloskan diri melalui pintu belakang.
Dengan senyuman yang melebar, suaminya sudah
tercegat menunggunya di situ lalu menegur, “Masih merajuk
lagi?”
Farha menggeleng. Senyuman simpulnya mahu
disembunyikan tetapi tidak sempat untuk dia berbuat demikian
di saat bibirnya disentuh lembut oleh Wadi Ridhuan.
Bibir yang dicalit dengan sedikit lip gloss itu menjentik
tangkai hati Wadi Ridhuan untuk menghadiahkan kucupan.
Namun niatnya terhalang apabila menyedari lokasinya tidak
sesuai.
“Far minta maaf, abang. Pagi tadi Far tak sempat nak
cium tangan abang. Far tinggalkan abang macam tu aje.”
“Apa-apa hal yang kita nak cakap, nanti-nantilah ye?
Sekarang ni kita pergi makan dulu. Abang dah lapar ni.”
Farha mengangguk bersetuju. Langkah Wadi Ridhuan
diekori daripada belakang sambil tangan kanannya dipimpin
dalam suasana yang sedikit suram itu.
Sambil menikmati makan malam, Wadi Ridhuan
memulakan perbualan, “Suka bunga tadi?”
“Suka,” sepatah Farha menjawab sambil mengukir
senyuman manis. Teringat akan 100 kuntuman mawar yang
diletakkannya di dalam pasu. Gigih dia menghancurkan
beberapa biji panadol bersama air suam untuk melambatkan
proses kuntuman-kuntuman mawar tersebut menjadi layu dan
kering.
“Lain kali Far nak lagi?”
“Boleh jugak,” Farha tunduk.
“Kalau Far nak, merajuklah selalu. Setiap kali Far
merajuk, setiap kali itulah abang akan bagi bunga,” usik Wadi
Ridhuan.
Farha masih lagi menunduk. Dia tidak membalas.
Tidak tahu hendak membahaskan apa sebenarnya. Setiap kali
Wadi Ridhuan berdialog mengusik dan menyakat, setiap kali
itulah mulutnya terkunci rapat.
Pulang daripada makan malam, Wadi Ridhuan
menyanyi sambil bersiul dalam kereta. Sesekali Farha yang
duduk di sebelah tergelak kecil apabila mendengarkan suara
Wadi Ridhuan yang sumbang apabila mendendangkan lagu itu.
Kawe tidok seko, demo buat gitu,
Saloh sikit sajo, sapa maroh gitu lalu..
(saya tidak sangka, awak buat begitu,
Salah sedikit sahaja, sampai marah begitu
sekali)
Lagu Sahiba nyanyian daripada kumpulan Khalifah
yang berkumandang dari stesen Radio Manis FM itu
menarik perhatian Wadi Ridhuan untuk menyanyi sekaligus
menghiburkan Farha yang tidak merajuk lagi dengannya.
“Suara abang tak sedap ek?” Soalnya apabila melihat
Farha hanya tersenyum diselang-selikan dengan gelakan kecil
isterinya itu.
“A’ah. Tak sedap betul. Macam suara katak,” kutuk
Farha secara berterus-terang. Dia tergelak lagi sambil menutup
mulut dengan tangan.
“Katak pun kataklah. Janji isteri abang terhibur dan
tak merajuk lagi dah la. Erm, marah abang lagi tak?”
“Far tak marah pada abang tapi Far geram dengan
Cik Bella tu aje. Suka-suka hati dia saja nak sentuh abang.
Walaupun dia tak tahu yang abang ni dah jadi suami orang, tapi
dia tak ada hak nak pegang-pegang abang macam tu. Abang ni
bukannya muhrim dia,” ulas Farha sedikit berjela.
“Bila manusia dah tak kenal dosa dan pahala, macam
itulah jadinya, Far. Abang dulu pun macam tu jugak tapi sejak
malam kejadian…”
“Dahlah, abang. Jangan disebut-sebut. Far tak
nak abang ingat-ingat lagi peristiwa tu,” lekas-lekas Farha
memotong sebelum Wadi Ridhuan sempat menghabiskan katakatanya.
Wadi Ridhuan tersenyum. Dia menoleh saat Farha juga
menoleh ke arahnya. Pandangan mata kedua-duanya bertaut
dan terikat dalam satu ikatan nikmat bahagia.

No comments:

Post a Comment