“HI. Welcome, sir.”
“Selamat pagi, puan.”
“Selamat pagi, encik.” Jasmine pamer gigi putihnya.
Seikhlas mungkin dia cuba untuk berlemah lembut dan
mesra kepada penumpang-penumpang kapal. Baginya,
penumpang yang gembira akan memberikan satu kepuasan
yang bermakna kepadanya.
Anis, rakan sekerjanya, merangkap kawan baiknya
juga tidak kurang ramah kepada penumpang. Siap dengan
bonus ala-ala gedik lagi. Tua muda Anis pukul sama rata.
Lebih-lebih lagi penumpang lelaki. Anis itu pula memang
cantik manis orangnya, bukan main gembira lagi penumpang
lelaki dilayan begitu.
Tekak hampir kering dek ucapan selamat. Kepala
pula asyik tertunduk-tunduk memberi hormat sejak beberapa
minit lalu. Dah macam burung belatuk! Lenguh juga leher.
Jasmine memerhatikan sahaja kabin kelas perniagaan
dan ekonomi yang semakin penuh dengan penumpang.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tokyo sebentar sahaja
lagi akan berlepas meninggalkan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Beb, macam nak tanggal rahang aku ni duk sengih
dari tadi. Flight kali ni boleh tahan penuh. Berpeluhlah ketiak
kita, beb.” Keluh Anis sambil mengurut tulang rahang.
Jasmine tersengih. Waktu cuti musim panas
memanglah dikategorikan sebagai waktu kemuncak.
Mana-mana syarikat penerbangan pun pasti akan dibanjiri
dengan penumpang. Lapangan terbang pun berubah menjadi
lautan manusia.
“Itu petanda yang bagus. Ramai penumpang, syarikat
untung. Kalau syarikat untung, ada harapan bonus kita tahun
ni naik. Positif beb, positif!” Jasmine buat tarian kening. Anis
mencebikkan bibirnya.
“Menyampah! Semangat nampak? Tak padan dengan
muka bengkak, mata sembap macam Kung Fu Panda. Haih...
ada berita baik ni. Lebat ke semalam orang tua tu bagi?”
Giliran Anis pula mengangkat-angkat keningnya.
Jasmine menjeling.
“Lebat apanya? Renyai-renyai aje. Kau bukan tak
tahu peranan sebenar aku macam mana. Lagipun, kau kan
tahu Adam tu ikon lelaki tua kedekut!”
Anis gelak sakan. Langsung tidak mengendahkan
beberapa pasang mata yang mencuri pandang ke arah mereka
berdua.
“Excuse me.” Ada penumpang lagi rupanya yang
baru menaiki kapal terbang itu.
Jasmine kalih muka ke arah suara garau di
belakangnya. Hah??? Senyuman manisnya serta-merta ditarik
balik.
“Kau buat apa kat sini?” soal Jasmine.
Anis tersentak, spontan dia menyiku rakan
sekerjanya itu.
“Buat bodoh, boleh?” jawab Yusuf tenang.
Jasmine ketap bibir geram. Orang tanya betul-betul!
“Kau kenapa, beb? Lupa makan ubat? Err... maaf
encik. Apa yang boleh saya bantu?” Anis menyelitkan
rambutnya ke belakang telinga. 'Gila apa si Jasmine ni?
Depan mamat sikit punya kacak macam ni boleh pulak dia
buat perangai.'
Jasmine juling mata ke atas. Tidak tahan biji matanya
melihat gaya Anis yang sudah seperti ulat gonggok. Laju
jarinya mencubit pinggang anak Pak Cik Karim itu. Gatal!
“Beb! Gelilah wei...”
“Padan muka. Gatal!”
“Ehem! Nak kerja ke nak bergurau senda ni?”
Serentak Jasmine dan Anis memaku pandang kepada
Yusuf yang sudah bercekak pinggang. Masih lagi setia tercegat
di hadapan pintu masuk. Mujur saja Yusuf penumpang
terakhir yang masuk. Kalau tidak, tentu teruk kena kompelin.
Pramugari buat perangai macam budak-budak!
“Ermm... maaf encik. Apa yang boleh saya bantu?”
ulang Anis sekali lagi. Matanya cekap menangkap renungan
Yusuf kepada Jasmine. Jasmine pula buang muka ke arah lain.
'Dia orang berdua ni kenal ke apa? Ini ada bau-bau hanyir
yang tidak menyenangkan. Mesti ada cerita best ni!'
“Kalau boleh saya nak tukar tempat duduk.
Downgrade ke kelas ekonomi pun saya tak kisah.” Yusuf
menyuakan boarding passnya ke tangan Anis.
'Yalah, nak harapkan pramugari yang seorang tu,
minta maaflah. Tengoklah tu! Dia boleh buat tak kenal aje
dengan aku? Padahal baru aje habiskan duit aku, belanja
dia makan roti telur dua keping semalam. Jangan pulak
lupa hutang budi dia dekat aku. Eh! Kalau bukan aku hulur
bantuan, dia dah siap kena ganyang, tahu tak?'
Jasmine memang sedar dirinya diperhatikan.
'Eleh! Nak mengungkit dia belanja aku roti telur
semalamlah tu. Ni lagi sorang ikon lelaki kedekut. Bukan
aku yang nak sangat, mak dia yang ajak minum lewat malam.
Dahlah tu, kat kedai mamak aje pun nak berkira. Bukan
makan kat hotel mewah. Datin Khadijah pun satu spesies
pelik jugak. Baru kenal, tapi ramahnya memang menakutkan.
Berbeza betul dengan anaknya yang sorang ni. Macam langit
dengan bumi! Jangan-jangan anak angkat tak?'
Jasmine tersenyum. Pun begitu, dia senang
dengan wanita itu. Datin Khadijah memang penuh dengan
gaya keibuan. Personalitinya hangat dengan kasih sayang.
Kehangatan yang sudah lama diidam-idamkan Jasmine.
Haih... Jasmine mengeluh dalam diam.
“Kan, Jasmine?” Jasmine tersentak saat namanya
dipanggil.
“Hah?”
“Beb! Kau mengigau ke apa ni? Dengar tak apa yang
aku cakap tadi?”
“Hah?”
Anis ketap bibir geram. Kenapalah pulak minah ni
jadi bebal pagi ni? Siap dengan pakej pekak tiba-tiba. Depan
penumpang pula tu. Penumpang yang kacak woo!
“Encik ni nak tukar tempat duduk. Aku cakap tak
boleh, sebab kita ikut prosedur keselamatan. Penumpang
patut duduk ikut tempat yang telah ditetapkan. Lagipun,
kapal sekarang penuh.”
“Err... haah. Ya. Be... betullah tu.” Jawab Jasmine
tergagap-gagap.
Yusuf menjongketkan bahu. Dia lebih daripada
tahu permintaannya itu bertentangan dengan prosedur
keselamatan. Tapi, dia tetap ingin mencuba nasib. Sebabnya..
Yusuf mencuri pandang tempat duduknya. Alahai! Minah
senget itu... Sarinah Nour. Duduk betul-betul di sebelahnya.
Bekas pekerja Hotel Impiana Sutera.
Sarinah pernah menaruh hati kepadanya suatu ketika
dulu. Dia memang terpaksa tolak. Bukan Sarinah tidak cukup
baik, tapi... alahai! Perempuan macam Sarinah perlu lelaki
yang berjiwa kental. Dia perlu lelaki yang betul-betul faham
dengan perangainya yang... err... gila-gila itu. Bukan sedikit,
banyak! Sebab itu kalau boleh dia mahu mengelak daripada
duduk bersebelahan dengan minah senget tu. Kekok, okey...
“Encik?”
Yusuf tersedar daripada lamunan.
“Encik boleh ambil tempat duduk sekarang.
Sebentar saja lagi kita nak berlepas.” Ujar Anis lembut. Masih
tidak lekang dengan senyuman manisnya.
Yusuf cuma mengangguk perlahan. Kakinya diheret
masuk ke perut kapal. Langkahnya gontai. Jasmine yang tegak
berdiri beberapa langkah di hadapan tunak memerhatikannya.
“Hujung minggu ni, macam mana?” soal Yusuf
tiba-tiba, saat kedudukan mereka selari.
“Hah?” Kening Jasmine berkerut seribu. Hujung
minggu?
“Janji dengan umi, kan?” soal Yusuf.
“Oh! Ya...” Jasmine angguk sedikit.
Haih... hampir lupa dia dengan janjinya yang satu
itu. Datin Khadijah ini bosan sangat agaknya. Dia takde
rakan-rakan sebaya lain ke? Geng seangkatan ke? Yalah,
rakan-rakan Datin? Boleh pulak dia ajak Jasmine lepak. Kenal
tak sampai beberapa jam pun. Tapi, gaya macam dah kenal
bertahun-tahun. Siap bertukar-tukar nombor telefon lagi.
Hmm... tak sampai hati pulak nak tolak pelawaannya. Pasrah
ajelah, Jasmine Hannah!
“Haah. Dah janji. Kita orang confirm masa
kemudian.”
“Oh! Okey.” Yusuf terus berlalu meninggalkan
Jasmine.
Jasmine menghantar Yusuf dengan mata sehingga
lelaki itu melabuhkan punggung ke tempat duduk. Tidak
sampai pun beberapa saat, seorang wanita yang sedang duduk
di sebelahnya terjerit kecil.
'Kenal ke? Amboi! Tuan Yusuf... bukan main lebar
senyuman tu. Mentang-mentanglah perempuan tu boleh
tahan manisnya. Siap bertudung lagi. Agaknya perempuan
macam inilah taste Yusuf. Sesuailah jadi menantu Datin
Khadijah. Hmm...' Jasmine mengeluh, kemudian diperhatikan
pula skirt pendeknya. Spontan tangannya menarik hujung
skirt sedikit ke bawah.
“Kau kenapa beb? Kau mabuk ketum, eh? Yang kau
mengada-ada tarik hujung skirt kau tu yang memang dah
pendek, pasal apa? Kau ingat kau ada magis nak buat skirt tu
jadi panjang serta-merta?”
Anis peluk tubuh sambil memerhatikan Jasmine dari
atas ke bawah.
“Apa kena dengan kau hari ni, beb?”
“Diamlah!”
“Eh! Marah konon. Kau hutang aku tau?”
“Hutang? Hutang apa?”
“Tu! Mamat kacak tu. Ini mesti ada apa-apa ni.
Macam mana kau kenal dia? Kenapa kau tak pernah beritahu
aku yang kau kenal sorang mamat yang kacak macam dia?
Nak makan soranglah tu!”
Jasmine mencebik. Biul betul kawannya yang
seorang ini.
“Dah! Dah! Kerja!”
“Hah! Ubah topik...”
“Diamlah!”
TING! TING!
“Jasmine. Pakwe kau dah rindu tu,” usik Timothy,
ketua pramugara penerbangan tersebut.
Jasmine mendengus kasar. Anis terkekeh-kekeh
ketawa mengejek. Masuk yang ini, sudah lima kali Yusuf
tekan butang ‘puaka’ untuk penumpang itu. Pulak tu, dia
boleh berdegil minta Jasmine yang datang untuk melayannya.
Sekejap minta air kosong. Sekejap minta air kopi. Baru saja
tadi dia minta selimut. Siang buta nak pakai selimut? Dia
ingat kapal terbang ni kutub utara ke apa? Mengada-ada!
Mentang-mentanglah penumpang kelas perniagaan.
Tambahan pula, Yusuf pemegang kad platinum untuk
‘Frequent Flyer Program’ Syarikat Penerbangan Queen.
Mahu tak mahu, kena layan elok-elok. Bertabahlah wahai
Jasmine Hannah!
“Kalau kau tak nak dia, aku nak Jas!” Timothy kenyit
mata gatal.
“Haah. Betul, Tim. Aku pulak yang menyampah dia
main jual mahal. Terang-terang mamat tu nak usyar dia. Dia
boleh pulak berlagak sombong.” Anis menambah perisa.
“Diamlah, korang!”
'Mamat berlagak ni memang nak kena.' Jasmine
orak kaki dengan rasa jengkel. 'Mamat tu nak usyar aku?'
Jangan nak mimpi di siang hari. 'Huh! Korang memanglah
tak tau sejarah tak sampai 24 jam kita orang, sebab itulah
boleh cakap suka hati. Mamat tu memang saja nak kenakan
aku. Hesy!'
Sampai saja Jasmine ke tempat Yusuf, dengan kasar
butang ‘puaka’ itu Jasmine tunjal buat kesekian kalinya.
Sudah hilang kesopanan dan kesusilaannya.
“Boleh tak jangan nak mengada-ada sangat?” bentak
Jasmine dengan nada yang sengaja diperlahankan. Mujur saja
wanita di sebelah Yusuf sudah terlena.
Yusuf tersengih.
“Rule number one, customer is always right. Rule
number two, if the customer is ever wrong, back to rule
number one, please...” Yusuf buat muka tanpa riak. Tapi,
dalam hati dia rasa hendak bergolek-golek suka. Entah
kenapa, puas betul hati melihat muka cemberut Jasmine.
Jasmine kecilkan mata. Badan sedikit direndahkan.
“Itu memang polisi yang bagus untuk khidmat
pelanggan. Tapi, polisi tu tetap tak boleh dijadikan tiket
untuk orang macam kau berlagak, okey? Kalau kau tekan lagi
butang ‘puaka’ ni, aku hantar kau main kat ‘luar’!”
Yusuf tergelak. Berani Jasmine nak hantar dia main
kat ‘luar’? Butang ‘puaka’? Hahaha. Geli sungguh hati Yusuf
melihat gaya Jasmine kalau marah.
“Eh? Gelak pulak dia. Kau ni betullah. Macamlah aku
tak ada kerja lain selain melayan kau aje!” getus Jasmine. Mata
melotot garang ke arah Yusuf yang masih lagi tergelak-gelak.
Manis pulak cara dia ketawa. Betul cakap Anis, memang
kacak orangnya.
Tak semena-mena, tangan kanan dilekapkan ke
dada. Tiba-tiba saja degupan jantungnya lebih laju daripada
biasa. 'Aku nak kena heart attack ke?'
Haip! Jasmine Hannah, jangan tertipu! Main
debar-debar pula. Kau jangan nak cari pasal, Jasmine!
“Untuk seorang lelaki yang telah menyelamatkan
kau daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga, kau
patut bagi aku muka sikit, Jasmine.”
Jasmine rasa hendak korek telinga. Dia salah dengar
ke apa? Yusuf sebut namanya buat pertama kali! Kenapa sedap
sangat bunyinya, ya? Bunyi macam John Legend nyanyi lagu
cinta untuk dia pula. Eh? Kau dah kenapa, Jasmine? Bak kata
Anis, lupa makan ubat?
“Kita dah kira seri satu sama. Jangan lupa, aku dah
tolong jelaskan kedudukan yang sebenar dekat mak kau.
Untuk seorang perempuan yang telah membersihkan nama
kau daripada tanggapan buruk mak sendiri, kau sepatutnya
tunjuk sedikit rasa berterima kasih kepada aku, Yusuf.”
Yusuf pula telan air liur. Dia rasa dia dengar dengan
jelas tadi, Jasmine memanggilnya dengan nama Yusuf.
Nama sendiri. Nama yang umi dan walidnya beri. Tapi,
kenapa telinga hantar isyarat dekat hati seolah-olah Jasmine
panggil dia ‘sayang’? Buat hatinya rasa terbang melayang aje!
Mengarut betullah kau ni, Yusuf!
“Itu semua tak menjadi hal. Aku tahu aku di pihak
yang benar. Kenapa mesti takut dengan tanggapan orang?
Pasal umi aku, dia lebih kenal dan percaya dengan anak lelaki
dia daripada orang luar. Tak ada apa yang patut aku risaukan
pun.”
“Wah! Berlagak. Cakap tak serupa bikin. Semalam
bukan kau ke yang gelabah beruk?”
“Tak ada siapa yang gelabahlah. Tak ada siapa jugak
yang jadi beruk. Eh! Kau kan sedang bertugas. Sila jalankan
tugas dengan dedikasi, eh? Bukan buang masa nak menggoda
penumpang yang handsome macam aku ni. Lagipun, rasanya
aku ni bukan taste kau. Taste kau kan jenis lelaki yang
lahir zaman P. Ramlee ataupun Elvis Presley? Yang tua tapi
berpangkat. Di pangkal nama mesti ada Dato’. Yang paling
penting jangan lupa, kalau lelaki tua tu... sudah ada isteri itu
lebih afdal! Hehe...”
Berasap-asap kepala Jasmine. Asalnya dia ingin
menyakitkan hati mamat berlagak ini. Tapi, asyik dia
juga yang terkena semula. Tak adil betul! Jasmine pantas
meninggalkan Yusuf dengan jelingan tajam. Satu pusingan
kilat dibuat. Sayangnya, kaki pula tersadung antara satu sama
lain.
“Argh!” Seperti Wonder Woman yang sedang buat
lagak ngeri, Jasmine terperosok di lantai kabin. Lebih malang,
skirt pendek merangkap uniform kerjanya pula tersingkap
sampai ke pangkal paha. Cukup untuk memberi tontonan
jelas kepada pakaian dalam merah berendanya. Oh! My God!
“Wei! Kau okey ke?”
Jasmine pejam mata. Sakitnya hati mendengar
soalan Yusuf.
'Okey? Dia nampak aku jatuh macam nangka busuk,
dia lagi nak tanya aku okey ke tak?'
Kepala diangkat sedikit mencari wajah kacak
menjadi rebutan Anis dan Timothy. Jelingan tajam diberikan
sekali lagi. Kalau begini punya kacak tapi perangai serupa
malaun, dia bagi percuma aje dekat Anis dan Tim!
Malunya! Telinga menangkap gelak kecil penumpang
lain. Gelak! Gelak! Sorang pun takde yang nak tolong.
“Kau tengok aje, tolong pun tak!”
Yusuf jongket bahu.
Jasmine mencebik geram. Tahu yang dia terpaksa
menghadapi juga semua ini, Jasmine bersedia untuk berdiri.
Nak tunggu mamat berlagak ni hulurkan tangan? Tak payah!
Tapi, belum sempat Jasmine bingkas bangun, tiba-tiba dunia
jadi gelap. Aik?
Ya ampun! Cepat-cepat Jasmine duduk. Tangannya
menarik selimut yang menyelubungi seluruh tubuh. Yusuf!
Lelaki itu bukannya hendak tolong Jasmine berdiri, boleh
pula diselimutkannya macam mayat! Yusof ingat dia nak
mampus apa?
“Yang kau selimutkan aku tu kenapa? Teringin
sangat nak pakaikan aku kain kapan?” soal Jasmine geram.
Selimut digumpal kemudian dicampak ke atas riba Yusuf.
Jasmine melurut skirtnya ke bawah.
“Eh! Kau patut berterima kasih, tahu tak? Punggung
kau tu, siap tersembul keluar waktu kau jatuh. Tu... yang kat
dalam tu... bukan main merah, sakit biji mata penumpang.
Sekurang-kurangnya aku dah tolong tutup punggung kau,
supaya maruah kau terjaga walaupun terlambat sikit.” Ujar
Yusuf selamba.
“Are you okay miss?” tegur seorang penumpang
dengan wajah simpati.
“Yes. I'm fine, thank you.” Ujar Jasmine dengan
senyum paksa. Renungan makrifat diberi kepada Yusuf yang
jelas menahan gelak, menyembunyikan wajah di sebalik surat
khabar.
“Benci!”
Meledak ketawa Yusuf mengiringi perjalanan Jasmine
meninggalkan kabin kelas perniagaan itu. Cepat-cepat
Jasmine meloloskan diri menuju ke tandas. Pipinya terasa
pijar. Rasanya kalau hendak masak telur mata lembu, dah
sesuai sangat masak kat atas pipinya yang panas ini.
“Malunya...” keluh Jasmine sambil duduk tertunduk
di atas mangkuk tandas. Wajah diraup kasar. Jasmine sempat
berdoa, janganlah dia ditemukan lagi dengan mamat berlagak
tu. Harga dirinya sudah merudum jatuh tak ubah seperti
harga sepinggan nasi goreng ayam.
“Wei... kau okey tak?”
Jasmine tersentak. Yusuf? Sampai ke tandas ke Yusuf
ikut dia?
“Apa kau peduli?”
“Aku tanya aje. Itu pun nak marah.”
“Diamlah!” Pintu tandas terkuak dari dalam.
Yusuf tersenyum nipis melihat wajah kucam
Jasmine. Jasmine pula sengaja melanggar Yusuf dengan kasar
saat keluar dari tandas. Tanda protes.
“Jasmine...”
“Apa lagi kau nak?” bentak Jasmine kasar.
“Stoking kau koyak!”
'Huwaaaa....'
No comments:
Post a Comment