DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 28 June 2016

Aku Dan 1B3K - Bab 5

“MASUK bilik aku.” Dia mengarahkan dengan
gaya kereknya sebaik saja aku melabuhkan punggung selepas
balik dari makan tengah hari. Naani yang bekerja untuk hari
terakhir hari ini sebelum bercuti masih belum pulang ke
pejabat. Sahlah Bos 1B3K ni tak solat Jumaat.
Aku capai buku nota dan pen sebelum melangkah
masuk ke biliknya. Ketuk pintu dua kali dan masuk. Pintu
bilik, aku tutup seperti yang dia arahkan semalam. Aku terus
duduk di hadapannya.
“Batalkan mesyuarat di Kuala Selangor minggu
depan.” Dia bercakap tapi tidak pandang wajah aku. Aku tak
kisah pun sebab sudah tahu dia memang kerek macam tu.
“Tak boleh bos. Mesyuarat tu penting. Bos kena
jumpa wakil syarikat hiasan dalaman tu, dengar proposal
mereka dan…”
“Aku cakap batalkan! Kau faham tak?” Dia potong
cakap aku dan pandang aku dengan muka bengkengnya.
Wajah kacak dia nampak tidak berseri apabila dia bengkeng.
“Kenapa?” Aku perlu tahu sebab kalau Datin tanya,
aku mesti boleh jawab.
“Jangan tanya kenapa, batalkan saja!”
“Mana boleh suka-suka nak batalkan. Banyak pihak
yang terlibat. Lagipun kalau tak ada alasan yang wajar, mesti
Datin tak suka. Projek ni dah lama tergendala, sejak bos
pergi overseas. Bukan ke semua pihak dah bersetuju untuk
sambung semula projek ni?”
Bos 1B3K renung aku dengan riak tidak puas hati
di wajahnya. Nasiblah! Kau puas hati ke tak. Aku sekadar
menjalankan tugas aku. Datin sudah pesan, pastikan projek
resort di Kuala Selangor tu diberi keutamaan sebab sudah
lama tergendala.
“Siapa bos kat sini, aku ke engkau? Aku suruh
batalkan, just do it.”
“Memang sekarang saya lapor diri kepada bos, tapi
ketua saya yang sebenar-benarnya Datin. Saya rasa bab resort
Kuala Selangor ni, saya kena dengar cakap Datin. Maaf bos,
saya tak akan batalkan, kecuali kalau bos boleh beri alasan
yang Datin akan terima. Itu pun lebih baik kalau bos sendiri
bercakap dengan Datin yang bos nak batalkan mesyuarat hari
Isnin depan.”
Naani sudah ajar kalau dia banyak songeh, gunakan
saja nama Datin. Walaupun dia bengkeng dan kerek dengan
kakitangan, dia masih hormatkan Datin. Cuma tahap
kehormatan dia mungkin rendah. Sebab itu dia tak rasa
bersalah jika bercakap kasar dan meninggikan suara kepada
emaknya.
Mata dia masih melekat di wajah aku. Nampak muka
dia bengis. Dada dia berombak, macam dada orang yang
sedang marah sangat. Mesti dia benci dekat aku sekarang.
Baru dua hari jadi pembantu peribadi dia, aku sudah berani
melawan.
‘Nasiblah bos, Datin sudah bagi saya lesen besar.’
Aku berkata dalam hati.
“Okey, kau dengarlah cakap Datin. Carry on with the
meeting.” Akhirnya dia bersuara.
Aku rasa hendak senyum sebab baru hari kedua
bekerja dengan dia, aku sudah menang. Tapi aku tahankan
senyuman daripada terkeluar. Senyum dalam hati sajalah.
“Berambus sekarang.” Lembut saja nada suara
dia. Tidak macam nada menghalau. Agaknya sudah letih
tinggikan suara.
Aku bangun. Dalam hati aku mengucapkan syukur
kerana berjaya mempertahankan mesyuarat itu.
“Bos dah makan?” Aku tanya sambil berdiri.
“None of your business.”
Sah dia marah.
“Bos tak pergi solat Jumaat ke?”
“That is also none of your business.”
Sah dia semakin marah sebab nada suara dia sudah
jadi naik semula. Aku buka langkah dan terus keluar dari
bilik dia. Niat asal hendak sambung lagi, tapi cukuplah dulu.
Kesian pula tengok wajah muram dia.
Bila Naani balik dari solat Jumaat, aku ceritakan
tentang kejadian tadi. Naani tersengih. Terlebih sangat
sengihan dia sampai aku naik rimas.
“Kenapa kau sengih macam tu?”
“Aku lega. Kau boleh kawal si kerek tu. Bolehlah aku
pergi bercuti dengan tenang. Boleh kahwin, masuk rumah
baru dan pergi honeymoon. Harap-harap kau dan Datin tak
telefon aku masa aku cuti. Esok jangan tak datang tau.” Naani
mengingatkan tentang rancangan kami.
“Jangan risaulah, aku mesti datang. Tapi aku tak
boleh tunggu sampai petang. Aku ada date.”
“Tak habis-habis dengan dating. Kalau minggu ni tak
berdating, tak boleh ke?” Suara Naani sudah bunyi macam
merungut.
Hai... hidup aku, kenapa dia pula yang merungut?
Suka hati akulah nak buat apa!
“Ahad kau datang tak?” Naani menyoal apabila aku
tidak jawab apa-apa.
“Ahad kau orang nak start pukul berapa?”
“Pukul sembilan dah ada kat rumah aku.”
“Awalnya. Aku datang lewat sikit ya, sebab Kak Rina
dan Abang Lan balik. Mestilah aku kena sarapan dengan
diaorang. Tapi aku tak boleh lamalah, petang tu aku ada date
dengan Lee Chong Wei.”
Naani tersengih. Aku paling ke kiri, nak capai folder
plastik yang aku isikan dengan sebut harga hiasan dalaman
untuk projek Kuala Selangor. Masa itu jugalah aku angkat
kepala. Berderau darah aku. Bos 1B3K sedang berdiri tegak
depan pintu. Mata dia memandang tajam ke arah aku. Eh, bila
masa dia buka pintu? Tadi aku tak tutup rapat-rapat ke pintu
tu? Kalau tutup rapat, mesti aku dengar dia pulas tombol
pintu, kan?
Aku buat selamba. Pusing balik ke depan, keluarkan
kertas-kertas dari folder plastik dan baca sebut harga pertama
yang dihantar oleh Anjung Décor. Aku baca sekilas lalu saja
dulu. Lepas tu tengok pula sebut harga daripada Nyatoh
Interior. Hmm, harga yang syarikat ini tawarkan lebih
rendah. Tapi masih perlu disemak satu per satu, kalau-kalau
ada kos tersorok. Tengok pula sebut harga ketiga daripada
Kelap Kelip.
Aku dengar bunyi pintu ditutup. Aku angkat kepala
dan berpaling ke kiri. Lega, Bos 1B3K sudah masuk. Pelik,
kenapa dia berdiri saja di pintu dan tidak cakap apa-apa?
PAGI SABTU memang menyeronokkan. Boleh sarapan dengan
tenang, tidak perlu tergesa-gesa. Boleh juga golek-golek atas
katil sambil telefon emak selepas solat subuh. Minggu ini aku
tak balik kampung sebab hendak tolong Naani dan Thia hias
rumah yang akan mereka duduki selepas bernikah nanti. Jadi
aku bersembang lama sikit dengan emak. Hmm, rindunya
dekat emak. Suka dengar suara emak dan nasihat yang sama
emak berikan setiap kali aku menelefon.
Habis bersembang dengan emak, aku turun bawah.
Mama sedang membaca surat khabar di meja makan. Itu
rutin harian mama. Dia mesti baca surat khabar dan dia baca
banyak surat khabar bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Agaknya kalau mama faham bahasa Mandarin dan Tamil,
mama akan baca juga surat khabar Cina dan India. Kalau
hari bekerja, mama akan sambung baca surat khabar dalam
kereta.
Aku duduk dan buka tudung saji. Wah, ada nasi
himpit, kuah kacang dan rendang paru. Sedapnya. Ini satu
lagi kebaikan hari Sabtu. Kalau hari bekerja, kami sarapan
yang ringkas-ringkas saja. Tapi hari Sabtu, Mak Mah
akan buat sarapan yang istimewa sikit. Apa lagi, aku terus
sendukkan nasi himpit untuk mama dan lepas tu untuk diri
aku sendirilah.
“Fina nak keluar ke?”
Aku mengangguk.
“Hari ni dah janji dengan Naani dan Thia nak tolong
unpack barang-barang diaorang.”
“Tak ajar tekwando?”
“Ajar, tapi petang sikit. Lepas tu Fina pergi terus ke
An-Nur. Fina balik lambat ya mama. Tak makan kat rumah
hari ni.”
Mama mengangguk. Dia sudah faham rutin
mingguan aku.
“Emak kirim salam assalamualaikum.”
Mama menjawab salam.
“Kerja baru macam mana?”
“Setakat ni okey lagi. Baru dua hari ma, minggu
depan tak tahulah macam mana.”
Hanya mama yang tahu pasal pekerjaan aku.
Aku belum beritahu emak dan ahli keluarga di kampung.
Sebenarnya mama kenal dengan Datin Nuridah. Dulu masa
hendak berhenti dari syarikat mama, asalnya mama berat
hendak benarkan aku berhenti. Tapi, apabila dia tahu aku
ditawarkan bekerja di Duta Holiday, mama benarkan kerana
dia kenal benar dengan Dato’ Ibrahim dan Datin Nuridah.
“Kalau Rifqi tu menyusahkan Fina, berhenti saja.
Kerja balik dengan mama.”
“Alah... sebulan saja mama, lepas tu Fina balik
semula ke bahagian akaun.”
Mama teguk kopi. Pinggan mama sudah licin. Aku
pula masih berselera lalu aku tambah lagi nasi himpit. Mak
Mah muncul sambil membawa bakul yang penuh berisi
dengan barang-barang. Baru balik dari pasarlah tu.
Telefon bimbit aku berbunyi. Aku seluk poket dan
keluarkan telefon. Perkataan Bos 1B3K tertera di skrin. Apa
kes dia telefon aku pada pukul lapan setengah pagi, hari
Sabtu?

No comments:

Post a Comment