DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 12

“TENGKU Harith bin Tengku Haji
Ismail, aku nikahkan kau dengan Nur Balqis Maisara binti
Abdul Hamid dengan mas kahwinnya lapan puluh ringgit
tunai...” ucap seorang kadi sambil menggenggam tangan
Tengku Harith yang kelihatan terpinga-pinga lagi untuk
melafazkan akad nikah berkenaan. Sudah tiga kali Tengku
Harith tersilap lafaz, membuatkan semua orang sudah berasa
risau. Tambahan lagi, ibu bapa kepada Tengku Harith sendiri.
Kalsom juga sudah beristighfar serta memanjatkan doa
kepada Allah SWT supaya melancarkan majlis akad nikah
berkenaan.
Balqis hanya tenang di belakang para hadirin di
dalam masjid berkenaan. Dia menundukkan wajah.
Fikirannya melayang mengingatkan riak Tengku Harith
sewaktu ternampaknya tadi. Lelaki itu menjeling tajam ke
arahnya, seakan-akan ingin memakannya. Wajah lelaki itu
tidak ubah seperti seekor singa yang kelaparan. Tidak lama
juga lelaki itu memandang ke arahnya dengan pandangan
tersebut sebelum Tengku Ismail datang. Tiba-tiba sahaja
Tengku Harith mengukir senyum manis kepada Balqis sebaik
sahaja ternampak papanya muncul. Hairan juga Balqis ketika
itu, namun Balqis tidak mahu mengambil pusing. Apa yang
penting sekarang ini, kelancaran majlis ini.
“Alhamdulillah...” ucap semua hadirin yang berada
di situ sebaik sahaja Tengku Harith berjaya mengucapkan
lafaz akad nikah setelah 3 kali tidak dapat melafazkan dengan
sempurna.
“Aku terima nikahnya Nur Balqis Maisara binti
Abdul Hamid dengan mas kahwinnya lapan puluh ringgit
tunai...” Kata-kata Tengku Harith masih kedengaran bergema
di dalam kepala otak Balqis. Terasa berdebar hebat
jantungnya ketika itu. Air mata hampir menitis ke pipi, dia
sungguh terharu. Begitukah perasaannya ketika diri sudah
bergelar isteri orang? Begitu indah sekali rupa-rupanya
perasaan ini, Ya Allah! Aku bersyukur kepada-Mu.
Alhamdulillah, semuanya kini sudah sempurna. Engkau
jadikanlah perasaan bahagia ini berkekalan buat selamalamanya,
Ya Allah..
Tiba-tiba..
“Ya Allah! Mak Som!” teriak Ustaz Amirul tiba-tiba.
Dia yang tadinya sedang khusyuk melayan perasaan kecewa
dan juga pasrah dengan ketentuan Allah SWT kini sudah
terperanjat sambil memangku tubuh Kalsom yang kebetulan
berada tidak jauh darinya. Balqis yang juga berada
berdekatan ibunya terus meluru mendapatkan wanita tua itu.
“Mak!! Ya Allah!! Makkk!!” panggil Balqis dengan
linangan air mata. Ustaz Amirul terus mengangkat tubuh
Kalsom lalu segera membawanya ke kereta. Semua hadirin
yang berada di situ semuanya amat terkejut dengan keadaan
yang tiba-tiba sahaja berlaku. Balqis ingin segera mengikut
Ustaz Amirul, tetapi dia pantas teringat bahawa dia kini
sudah bergelar seorang isteri. Dia perlukan keizinan
suaminya terlebih dahulu untuk ke hospital bersama-sama.
Balqis berlari-lari anak mendapatkan Tengku
Harith yang kelihatan selamba bersandar pada dinding
masjid. Lelaki itu kini berseorangan kerana semua hadirin
sudah keluar untuk menyaksikan suasana cemas yang
berlaku. Wajah Tengku Harith ketika itu langsung tidak
beriak apa-apa. Tangisan Balqis langsung tidak dihiraukan.
Dia memandang kosong wajah Balqis yang sudah kuyup
dibasahi air jernih.
“Abang, izinkan Balqis pergi ke hospital?” Balqis
kini meminta izin kepada suaminya. Tengku Harith berpurapura
tidak dengar. Hah! Rasakanlah wahai betina! Kau
rasakannn... Ini baru permulaan untuk neraka kau,
perempuan tak tahu malu! Kata Tengku Harith dalam
hatinya. Puas hatinya melihat kesengsaraan Balqis.
“Abang, tolong izinkan Balqis pergi ke hospital
dengan Abang Mirul...” tangis Balqis namun langsung tidak
dipedulikan oleh Tengku Harith. Lelaki itu boleh lagi bersiulsiul
kecil tanpa menghiraukan tangisan Balqis yang kini
berlagu pilu. Tiada langsung perasaan simpati kepada
isterinya itu.
“Abang...” panggil Balqis lagi. Tengku Harith terus
mencerunkan pandangannya ke muka Balqis yang sudah
sembap. Renungan penuh kebencian dihadiahkan kepada
gadis itu, membuatkan Balqis terus menundukkan wajahnya.
Air mata terus sahaja menitis jatuh ke atas lantai masjid
berkenaan.
“Aku tak benarkan kau pergi...” balas Tengku
Harith dengan pandangan sinis. Nada suaranya separuh
berbisik. Dia bimbang mama dan papanya mendengar katakatanya.
“Abang... tolonglah. Biar saya jumpa mak buat kali
terakhir...” rayu Balqis. Dia sudah menangis teresak-esak
ketika itu. Pandangannya dihalakan kepada wajah Ustaz
Amirul yang masih menunggu di luar.
“Hei, betina! Aku dah cakap, kan? Aku tak benarkan
kau pergi…” bisik Tengku Harith keras ke telinga Balqis,
membuatkan gadis itu tersedu-sedan menangis. Dia duduk di
atas lantai pula kali ini, sambil memegang kaki Tengku
Harith.
“Tolonglah, abang... Itu kan mak saya... Kasihankan
saya, bang...” rayu Balqis lagi sambil menyandarkan
kepalanya ke kaki suaminya. Dia amat berharap, suaminya
akan membenarkan dia pergi juga akhirnya.
“Hmm... Kau pergi cakap kepada Abang Mirul kau
tu... Suruh dia pergi dulu. Nanti aje aku bawakan kau...”
balas Tengku Harith apabila ternampak renungan papanya
dari luar masjid. Balqis terus mengangguk lalu bingkas
mendapatkan Ustaz Amirul. Dia memberitahu Ustaz Amirul
supaya pergi dulu ke hospital, dia dan suaminya akan
menyusul kemudian.
Balqis pantas memasuki perut kereta ketika
ternampak Tengku Harith sudah kalut menghidupkan enjin.
Tengku Ismail dan Tengku Salmah pula sudah bergerak
dengan kereta mereka selepas Ustaz Amirul bergerak ke
hospital.
Sepanjang perjalanan, Balqis tidak henti-henti
berdoa kepada Allah SWT. Dia menangis teresak-esak apabila
mengingatkan kembali kata-kata ibunya sebelum dia
diijabkabulkan dengan Tengku Harith. Ya Allah, janganlah
Engkau ambil nyawa ibuku selagi aku tidak dapat berjumpa
dengannya. Aku ingin memegang tangan ibuku dan
melafazkan syahadah di telinganya sebelum dia pergi
menemui-Mu. Ya Allah, berilah aku peluang itu… doa Balqis
dalam hatinya.
“Abang, abang nak bawa saya ke mana ni?
Bukankah hala ke hospital, sebelah sana?” Balqis mula curiga
dengan Tengku Harith apabila lelaki itu memulas stereng ke
arah lain. Tengku Harith hanya tersenyum sinis sambil
memandang tepat ke wajah sembap Balqis.
“Kau betul-betul ingat, aku nak bawakan kau
kepada emak kau ke? Jangan haraplah! Kau ni kan, memang
bodoh sebab percayakan aku. Lagipun, aku kan tak benarkan
kau pergi tadi. Kau tak faham bahasa?” tempelak Tengku
Harith sambil menjeling sakan ke wajah Balqis yang mulai
berubah. Mata gadis itu ternyata membesar. Dia memandang
Tengku Harith dengan air mata yang kian galak menyusuri
pipi gebunya.
“Abang! Tolonglah jangan buat saya begini…
Kasihankan saya. Bagilah saya jumpa mak saya buat kali ni
ajee… Tolonglah, bang...” rayu Balqis. Tengku Harith ketawa
sinis.
“Kau jangan ingat, air mata kau tu berharga. Tak
berharga walau sedikit pun kepada aku! Kau menangislah air
mata darah sekalipun! Kalau aku tak izinkan, jangan kau
pergi juga ke hospital jumpa emak kau! Sekarang ni kau dah
jadi hak aku, so kau kena dengar cakap suami kau ni! Kau
jangan haraplah aku nak bagi keizinan...” balas Tengku
Harith bersama ledakan tawa sinisnya. Sungguh perit hati
Balqis ketika itu. Balqis hanya mampu menangis lagi setelah
mendengar kata-kata kejam suaminya itu. Penat sudah
rasanya Balqis mengalirkan air mata, sehinggakan badannya
terasa lemah longlai. Kepalanya kini berdenyut-denyut.
“Abang….” panggil Balqis lemah, masih tersedusedan.
Belum pun sempat Tengku Harith berkata apa-apa,
pandangan Balqis terus kabur dan kelam. Tengku Harith
yang melihatkan Balqis yang sudah pengsan, tersenyum
suka. Lagi mudah kerja aku kalau macam ni! Tak payah lagi
aku nak dengar dia menangis-nangis. Menyampah aku!
Sudahnya, Tengku Harith terus memulas stereng kereta
memandu entah ke mana, asalkan jauh dari hospital. Tempat
yang ingin isterinya itu pergi.
Balqis membuka matanya. Dia memegang kepalanya yang
terasa berat. Aku kat mana ni? Fikir Balqis sendirian sambil
memandang sekeliling tempat berkenaan. Tiada sesiapa di
situ, di tempat yang berlatar belakangkan semua putih itu.
Balqis bagaikan berada di dalam sebuah bilik yang dicat warna
putih keseluruhannya.
“Ya Allah, aku kat mana ni?” bisik Balqis sendirian
sambil terus memandang sekeliling. Ke mana pun dia
pandang, semuanya berwarna putih.
Balqis terduduk lesu sambil menangis teresak-esak
apabila ingatan mengenai ibunya tiba-tiba menjelma. Balqis
teringatkan Tengku Harith yang tidak membenarkannya
pergi ke hospital untuk menjenguk ibunya yang mungkin
sedang nazak. Dan kini dia dikurung pula di dalam sebuah
bilik berwarna putih seperti ini? Dugaan apakah ini, Ya Allah?
Kuatkanlah hati hamba-Mu yang lemah ini..
“Assalamualaikum, Balqis… anak mak...” panggil
seseorang. Seperti suara ibunya Kalsom. Balqis terus
mengangkat kepala. Wajah putih bersih ibunya datang
menyapa pandangan Balqis. Dia terus bangun sambil
menyeka air mata di pipi.
“Waalaikumussalam, mak. Mak, mak tak apa-apa?
Mak okey?” tanya Balqis laju sambil memegang pipi ibunya.
Kalsom hanya tersenyum manis memandang wajah anak
tersayangnya itu. Kalsom memegang tangan Balqis sambil
sebelah tangannya lagi mengusap kepala anak gadisnya itu.
“Mak okey, Balqis. Kau janganlah risau. Kau jangan
sedih, mak tak nak tengok kau sedih. Nanti hati mak tak
tenteram. Kalau boleh, mak nak tengok kau bahagia
selalu…” ujar Kalsom dengan wajah berseri-seri. Balqis terus
sahaja menangis.
“Tapi, mak...”
“Tak ada tapi-tapi lagi, nak. Mak tak mahu tengok
lagi air mata kau. Jangan menangis lagi, ya? Nanti mak
takkan tenteram. Kau nak mak pergi dalam keadaan yang tak
tenteram ke?” pujuk Kalsom lagi sambil mengusap air mata
di pipi Balqis.
“Mak nak pergi mana, mak? Jangan tinggalkan
Balqis seorang diri kat sini…” tangis Balqis lagi. Dia menatap
wajah Kalsom yang putih bersih itu semahu-mahunya,
bagaikan tidak mahu berpaling lagi ke arah lain. Wajah
ibunya yang bercahaya itu dipandang sayang.
“Balqis, mak harapkan kau gembira dan bahagia
selalu. Mak akan sentiasa doakan kau... Ingat tu...” balas
Kalsom dengan suara yang lembut.
Senyuman terukir lagi di bibirnya. Wajah anaknya
ditatap penuh kasih sayang. Balqis kini tenang apabila
terlihatkan senyuman penuh kegembiraan ibunya itu. Balqis
reda andai ibunya berbahagia. Dia perlu tenang menghadapi
semua ini. Senyuman manis penuh keikhlasan diukir buat
Kalsom akhirnya. Dia ingin ibunya melihat kegembiraan
dalam dirinya.
“Balqis tahu, mak. Balqis akan bahagia juga suatu
hari nanti, insya-Allah... Mak janganlah risaukan Balqis. Allah
SWT itu sentiasa ada dengan hamba-hamba-Nya yang selalu
mengingati-Nya... Balqis sayangkan mak...” ucap Balqis
akhirnya. Dia sempat mencium kedua-dua belah pipi ibunya
sebelum orang tua itu melepaskan pelukan.
“Mak juga sayangkan Balqis... Sayang sangat!
Assalamualaikum... Semoga berbahagia selalu...” ujar Kalsom
lagi. Balqis nampak ibunya tersenyum sambil berjalan pergi
daripadanya. Semakin jauh dan semakin jauh. Air mata
Balqis mengalir setitis di pipi namun pantas diseka oleh
jemari runcingnya. Ibunya kini hilang daripada pandangan
membuatkan Balqis terduduk lesu.
“Waalaikumussalam, mak…” jawab Balqis lemah.
Badannya kini terasa longlai semula lalu dia jatuh terbaring
pula. Matanya sudah terpejam rapat.

No comments:

Post a Comment