DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 5

“Balqis...” panggil Kalsom apabila
ternampak kelibat Balqis yang melalui pintu biliknya. Tentu
anak gadisnya itu baru pulang dari rumah Dayana.
“Ya, mak...” jawab Balqis lembut sambil datang
memeluk bahu ibunya sepenuh kasih. Tangan orang tua itu
dicapai lalu disalami penuh rasa hormat.
“Baru balik?” soal Kalsom seraya mengusap rambut
ikal Balqis. Pandangan matanya merayap ke seluruh muka
gadis itu. Cantik betul anaknya ini... puji Kalsom dalam hati.
“Ya, mak. Baru aje ni... Tadi Dayana dengan Abang
Mirul kirim salam kepada mak...” jawab Balqis sambil
mencium pipi ibu kesayangannya. Tangan wanita tua itu
dicapai lalu diusap-usap perlahan. Diciumnya pula tangan
ibunya yang sudah agak berkedut-kedut itu. Sayang benar dia
kepada ibunya. Balqis mengukir senyum indah buat ibu
tersayangnya.
“Waalaikumussalam... Ermmm, Balqis...” panggil
Kalsom sambil mengukir senyum manis. Senang hatinya
melihat wajah ceria anak gadisnya.
“Hmmm? Ya, mak...”
“Mak nak cakap sesuatu ni…”
“Apa dia, mak? Cakaplah...” getus Balqis sambil
mencium lagi tangan ibunya.
“Tadi, Tengku Ismail datang...” beritahu Kalsom
dengan suara yang teragak-agak. Dia mulai merenung ke
wajah Balqis yang ternyata agak terperanjat.
“Kenapa dia datang, mak? Dia ada tertinggal apaapa
ke kat rumah kita ni? Atau Balqis ada buat salah kepada
dia?” Balqis mulai tertanya-tanya dengan perasaan risau.
Kalsom kelihatan menggeleng-geleng perlahan lalu
tersenyum kecil.
“Tak adalah, nak. Dia datang merisik kau untuk
anak lelaki dia...” jawab Kalsom tanpa berlapik. Hampir luruh
jantung Balqis mendengar kata-kata yang baru sahaja ibunya
tuturkan. Takkanlah orang kaya dan ternama seperti Tengku
Ismail itu teringin bermenantukan gadis miskin sepertinya
yang tidak punya apa-apa ini?
“Pak cik Ismail? Tapi, kenapa pula, mak? Balqis ni
bukanlah layak pun nak bergandingan dengan anak lelaki dia
tu, mak. Lagipun dia orang tu orang kaya dan ternama. Tak
ke busuk nama keluarga dia orang bermenantukan Balqis ni,
mak?” ujar Balqis, merendah diri. Dia betul-betul tidak dapat
mempercayai perkara yang baru sahaja ibunya sampaikan
sebentar tadi. Kepalanya tergeleng-geleng kecil, walaupun
sehebat manapun dia berfikir, dia masih lagi tidak percaya.
Tak tercapai dek akalnya tentang sebab sebenar Tengku
Ismail yang tiba-tiba datang merisiknya.
“Manalah mak tahu, nak. Mak beritahu kau ni
sebab mak tahu Tengku Ismail tu memang ikhlas. Dia sendiri
yang datang tadi tu... Dia cakap, dia memang dah lama
sangat berkenankan kau. Dia nak jadikan kau menantunya...”
kata Kalsom lagi. Wajah anak gadisnya kelihatan berubah
sedikit demi sedikit. Berkerut dahi Balqis tika itu.
“Hesy... Takkanlah, mak? Dia salah cakap kut?”
sanggah Balqis, masih dalam perasaan tidak percayanya.
“Takkanlah dia nak tersalah cakap pasal perkara
penting macam ni, nak... Hmmm... Lagipun, elok juga kau
kahwin. Tak payahlah kau nak hidup terseksa lagi kat sini.
Lagipun mereka tu orang kaya dan keluarga mereka pun
keluarga yang baik-baik, mak dah tak perlu risau dah walau
selepas mak dah mati nanti... Mak boleh mati dalam keadaan
yang tenang...” kata-kata Kalsom itu ternyata mengundang
sebak dalam hati Balqis. Dia tahu ibunya itu hanya berfikir
demi kepentingan dirinya. Ibunya tidak mahu dia hidup
terseksa lagi selepas ibunya itu memejamkan mata. Tidak
sanggup Balqis bayangkan ibunya yang bakal pergi pada bilabila
masa sahaja selepas ini.
“Tapi…” Hati Balqis berdebar hebat tatkala
membayangkan wajah kacak Tengku Harith. Wajah itu
sememangnya mampu menggoncang jiwa wanitanya.
Namun, Balqis teringat kembali bagaimana
buruknya Tengku Harith melayannya tempoh hari. Ternyata
lelaki itu langsung tidak sukakannya. Bagaimana pula
Tengku Ismail boleh berfikir mahu menjodohkannya dengan
Tengku Harith? Balqis amat pasti, Tengku Harith tentu
takkan setuju berkahwin dengannya! Dan dia tidak mahu
berkahwin dengan lelaki yang tidak langsung sukakannya,
apatah lagi untuk lelaki itu menaburkan cinta dan sayang
buatnya. Dia tidak sanggup lagi dihambur oleh orang dengan
kata-kata nista selepas berkahwin nanti.
“Kau terima aje, nak... Mak harapkan kau dapat lari
daripada kehidupan macam ni... Kau patut dapat kebahagiaan
yang kau tunggu-tunggu selama ni...” pujuk Kalsom dengan
harapan Balqis akan bersetuju. Balqis tiba-tiba teringatkan
Ustaz Amirul yang baru sahaja melamarnya seketika tadi di
rumah Dayana.
“Mak, Balqis pun nak beritahu sesuatu ni.
Ermmm... Abang Mirul lamar Balqis tadi...” getus Balqis
lemah. Wajah ibunya dipandang lama. Wanita tua itu terdiam
seketika lalu mengeluh berat.
“Tapi, mak dah pun janji dengan Tengku Ismail...
Maafkan mak. Mak hanya fikirkan demi kebahagiaan kau tadi,
nak...” Serba salah Kalsom kini kerana janjinya kepada
Tengku Ismail apabila mendengar berita bahawa Ustaz
Amirul juga melamar Balqis. Kalsom juga suka sangat
dengan Ustaz Amirul itu, bukannya dia tidak suka. Tetapi, dia
tersilap kerana sudah berjanji awal dengan Tengku Ismail
tadi. Kalsom mengeluh lagi dalam perasaan bersalah.
“Mak dah janji?” Balqis mengerutkan dahinya. Dia
terkejut. Benarkah ibunya telah berjanji dengan Tengku
Ismail? Giliran Balqis pula yang melepaskan keluhan kecil.
Namun, seketika selepas itu Balqis tersenyum kepada ibunya.
“Mak... Tak apalah. Bukan salah mak... hmmm...
Balqis tahulah cara nak selesaikan masalah ni, mak... Jangan
risau, ya?” sambung Balqis dengan wajah yang cukup tenang
dan yakin.
“Maafkan mak, nak. Mak ni terlalu tamak. Mak
hanya nakkan kau bahagia… sampaikan sanggup berjanji
tanpa berbincang dulu dengan kau...” ujar Kalsom lagi
dengan wajah bersalah. Balqis menggosok tangan ibunya
lembut.
“Dahlah, mak. Perkara dah berlaku, kita takkan
boleh ulang semula... Tak apa, mak! Balqis tahu macam mana
nak buat...” senyum Balqis akhirnya. Kalsom juga tersenyum
sambil mengelap air mata yang baru menitis ke pipinya.
Bertuahnya dia kerana mempunyai anak seperti Balqis yang
sentiasa tenang menghadapi dugaan hidup!
“Hoi, Balqis! Mana makanan? Kau tak masak ke?!
Hoi, budak bodoh!!! Mana makanan aku? Aku lapar ni!”
Terdengar suara Pak Samad yang sedang meradang dari
ceruk dapur, memanggil nama Balqis.
Baru Balqis teringat yang dia belum lagi memasak
kerana tadi dia ke rumah Dayana. Perginya juga adalah
kerana sengaja ingin melepak. Maklumlah Dayana baru
sahaja pulang bercuti ke kampung halaman. Dayana kini
sedang belajar di sebuah kolej kerajaan di Kuala Lumpur.
Dan kawannya itu sekarang sedang bercuti. Niat Balqis hanya
ingin melawat Dayana. Tidak sedar, terleka pula dia di sana
bersembang itu dan ini.
“Sekejap, pak cik! Saya masakkan. Saya terlupa
sebenarnya! Saya ke rumah Dayana tadi, pak cik!” jawab
Balqis jujur. Dia berlari-lari anak keluar dari bilik ibunya
menuju ke dapur. Kalsom hanya memandang sayu anaknya
yang tidak ubah seperti hamba abdi suaminya itu.
Prannnggg!!! Kedengaran bunyi kaca pecah dan
jeritan kecil Balqis. Tahulah Kalsom bahawa suaminya telah
memukul Balqis lagi. Hanya air mata sahaja yang mampu
mengalir menangisi nasib anak gadisnya itu.
“Bodoh! Bangang! Lain kali kalau nak ke mana pun,
masaklah dulu! Bodoh betul, ada otak tak nak fikir! Cepat
sikit masak! Aku dah laparrr...” tempelak Pak Samad lagi.
Kalsom menangis lagi tanpa dapat berbuat apa-apa tatkala
mendengar esak tangis Balqis yang sayup-sayup kedengaran
dari ceruk dapur. Bersabarlah, sayang…

No comments:

Post a Comment