DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 26 June 2016

Hanya Milikmu - Bab 8

TENGKU Harith mundar-mandir sendirian
sambil mengerutkan dahinya. Tidak sabar-sabar lagi untuk
bertemu dengan sahabatnya Faiz. Dia mengerling jam tangan
berjenama Rolexnya. Cakap pukul tiga, sekarang ni dah nak
masuk pukul empat petang! Akhirnya apabila penat berdiri,
Tengku Harith merengus sambil duduk di atas kerusi batu di
sebuah taman permainan kanak-kanak.
“Rith! Sorry... traffic jam! Serius aku tersekat
tengah jalan tadi...” Faiz memberi alasan yang sudah lapuk,
membuatkan Tengku Harith mencemik. Dia faham benar
dengan sikap Faiz yang terlalu banyak alasan itu. Dan satu
pun alasan yang diberikan oleh sahabatnya itu, memang tak
boleh dipakai langsung!
“Alasan kau ni memang cukup bagus. Time
sekarang ni, mana ada traffic jam! Orang balik kerja pun
pukul lima hingga enam petang. Kau ni kalau nak beri alasan
pun, berilah alasan yang logik!” perli Tengku Harith sinis.
Faiz mengeluh besar sambil tersengih macam kerang busuk.
Tengku Harith memang jenis yang sukar mempercayai
orang. Dan untuk mempercayai alasan lapuknya itu, lagilah
susah.
“Ala kau ni, Rith. Macam tak kenal aku ni. Lagipun
aku lewat ni pun bukan sampai sejam pun?”
“Biar aku betulkan. Kau lewat ni dah hampirrrrr
sejam, tahu? Sepuluh minit lagi nak pukul empat. Kau tau
kan aku benci menunggu?” getus Tengku Harith keras. Dia
menyilangkan kakinya lalu membetul-betulkan duduknya.
Faiz melabuhkan punggung di sebelah Tengku
Harith sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Dia
memikirkan bosnya yang marah betul ketika dia memohon
cuti dengan tiba-tiba pada pagi tadi. Sudah banyak
sebenarnya cuti yang diambilnya, itu yang membuatkan
bosnya meradang hebat tadi.
Habislah aku lepas ni! Ini semua sebab Si Harith ni
la! Sempat Faiz bermonolog dalam hatinya apabila
teringatkan perihal dirinya yang dimarahi bos hanya kerana
Tengku Harith meminta tolong daripadanya untuk menyiasat
tentang seseorang.
“Kau ni kan. Tunggu sekejap pun tak boleh ke? Kau
tahu tak hari ni bos aku dah marah-marah aku pasal ambil
cuti lagi. Ni semua pasal kaulah! Cakap ada emergency,
tengok-tengok suruh aku pergi jadi penyiasat persendirian
pula!” rungut Faiz dengan wajah tidak puas hati. Tengku
Harith memandang tajam ke arahnya.
“Dah memang kerja kau, kan? Buat apa kau kerja
kat syarikat tu? Bukan tu syarikat penyiasatan ke?” sinis lagi
kata-kata Tengku Harith. Faiz membesarkan matanya. Ya tak
ya juga! Dah memang kerja aku! Apalah bongok sangat aku
ni? Faiz menepuk dahi pula. Termalu sendiri.
“Ah, ni kali pertama kau minta aku siasat pasal
seseorang. Kau ada apa-apa dengan perempuan tu, ke? Satu
aje yang buat aku tak sedap hati ni. Walaupun kau ni kawan
aku, kau kena bayar tau? Jangan cakap kau nak suruh aku
tolong kau free aje ni?” ujar Faiz dengan kerutan di dahinya.
Memang dia sudah ingat Tengku Harith tak ingin
membayar upah hanya kerana mereka berkawan. Sebabnya,
Tengku Harith tak pernah walau sekali memintanya
menyiasat sebelum ini! Mungkin permintaan lelaki itu kali
ini membawa makna tertentu. Supaya boleh dapat free-ofcharge?
Oh, tidak! Fikir Faiz lagi dalam hati.
“Cis, kau ingat aku ni tak ada duit nak bayar upah
kau ke? Duit aku berlambaklah!” kata Tengku Harith dengan
riak bangga. Faiz hanya memandang kosong ke mukanya.
Menyampah pun ada juga apabila Tengku Harith itu tetap
dengan sifat menyombongnya.
“Pembetulan! Tu harta mak bapak kaulah! Kau ni
mana bekerja lagi. Asyik nak enjoy aje kerja kau... Apa nak
jadilah dengan kau ni!” bebel Faiz, nadanya sinis. Tengku
Harith menjeling marah.
“Habis tu, dah nama mak bapak aku! Tentulah
harta benda dia orang pun hak milik aku! Tak betul?” Tengku
Harith ingin menang juga. Dia merengus kecil sambil
mengalihkan pandangan ke tengah padang di hadapannya.
“Haah, betullah tu. Malas aku kata apa lagi. Kalau
cakap dengan kau ni, 44 ribu tahun pun belum tentu aku
boleh menang...” Faiz mengalah. Dia malas mahu bertekak
lagi. Biarlah Tengku Harith terus bongkak begitu. Dia bagi
nasihat pun, bukannya sahabatnya itu nak dengar.
“Ha, macam mana dengan penyiasatan kau? Dah
settle?” soal Tengku Harith apabila teringat kembali
mengenai tujuan sebenar dia memanggil Faiz datang ke situ.
“Dah. Penat aku tadi berkejar sana, berkejar sini.
Kalau kau cakap awal-awal yang kau nak suruh aku siasat ni,
tak payah aku nak ambil cuti sebab dah memang kerja aku
menyiasat bila klien suruh siasat. Kira kaulah klien aku
sekarang ni. Bos aku pun tak marah, dan aku pun tak payah
nak susah hati...” Sempat lagi Faiz mengungkit-ungkit.
Tengku Harith menarik nafas panjang sambil melepaskannya
dengan berat. Tak tahan rasanya dia mendengar leteran Si
Faiz itu!
“Diamlah kau! So, apa cerita ni? Boleh kau brief
sikit tentang latar belakang si betina kampung tu?” soal
Tengku Harith laju. Dia sudah tidak sabar sebenarnya. Faiz
yang mendengar gelaran ‘betina kampung’ yang diberikan
oleh sahabatnya itu, terus berkerut dahi.
“Nama dia, Nur Balqis Maisara binti Abdul Hamid.
Bapak dia dah meninggal dunia lama dah... Sekarang ni dia
ada bapak tiri dan seorang ibu yang sedang sakit tenat. Barah
paru-paru! Hmmm... Bapak tiri dia ni kaki judi. Selalu pukul
dia kat rumah tu... Hmmm setakat ni, itu aje yang aku tahu!
Kesian betul aku tengok dia tadi kena tengking dengan bapak
tiri dia. Si bapak tiri dia tu, suruh dia cari kerja bagi duit
untuk aktiviti berjudinya... Eee apa jenis lelakilah macam tu?
Dayus betul!” terang Faiz panjang lebar, siap dengan kutukan
lagi tu. Tengku Harith kelihatan terangguk-angguk.
Oh! Patutlah dia terdesak sangat sampai ada hati
nak kahwin dengan aku! Rupa-rupanya dia hidup susah dan
nak lari daripada hidup susah begitu. Rupa-rupanya dia
teringin hidup senang di rumah banglo keluarga aku? Ada
emak pun dah nak mampus! Bapak tiri pula kaki judi... Ahh!
Sahlah dia tu memang sengaja nak ambil kesempatan atas
kebaikan papa aku! Betina jalang! Tak tahu malu! Cari jalan
pintas nak jadi kaya nampaknya. Memang kepala otak dia
bergeliga betul! Ingat aku nak sangat kahwin dengan dia?
Puihh! Kutuk Tengku Harith habis-habisan dalam hatinya
sehingga terjuih-juih mulutnya menahan geram. Faiz yang
memandang, terus berkerut dahi sekali lagi.
“Hah, kau ada apa-apa ke dengan Si Balqis ni?
Sampaikan suruh aku siasat pasal dia ni?” Kening Faiz
terangkat-angkat selepas soalan itu terpacul dari bibirnya.
Mendengarkan nama Balqis, Tengku Harith menjeling Faiz
tajam sambil menahan perasaannya yang mula berombak.
Dia sakit hati apabila mengenangkan papanya yang memaksa
dia mengahwini Balqis.
“Kau jangan sebut nama betina kampung tu! Aku
benci dia!” Tengku Harith memberikan amaran pertamanya.
Faiz sudah mengeluh kecil. Dia mencerunkan pandangannya
ke muka Tengku Harith.
“Aihh? Dah tu apa pasal pula kau suruh aku siasatsiasat
pasal dia ni?”
“Ahh! Papa akulah punya pasal! Suruh aku kahwin
dengan betina tuuu…” jawab Tengku Harith keras. Matanya
mencerlung memandang sahabatnya itu.
“Terima aje laa... Cantik juga Si Balqis tu, bukannya
dia tak cantik!”
“Hoi! Cantik ke dia tu? Aku rasa, babun lagi
comellah! Kalau setakat betina kampung macam tu, layak ke
dengan aku? Dasar betina tamakkan harta benda aje dia tu!
Kau pun dah jadi buta sampai tak tahu nak bezakan mana
baik, mana buruk? Betina tu nak ambil kesempatan aje, aku
tahulah! Dahlah miskin papa kedana, ada hati nak ada suami
macam aku ni...” hambur Tengku Harith sambil menahan
perasaan sakit hatinya. Mananya dia tidak sakit hati jika
semua orang ingin memuji-muji dan mempertahankan Si
Balqis itu!
“Ya Allah kau ni! Tak baik betul tuduh orang
macam tu... Aku tengok dia tu macam budak baiklah, Rith.
Kau ni janganlah selamanya nak taruh prasangka buruk kat
orang sampai sanggup hina dan caci orang macam ni.
Sombong betul kau ni, ubahlah perangai tu sikit...” Faiz
sudah beristighfar pula selepas membebel.
“Kalau kau nak puji betina tu sangat, kau pujilah!
Kau aje yang kahwin dengan dia! Aku tak sanggup!” balas
Tengku Harith kasar. Faiz tergeleng-geleng selepas
mendengar bait perkataan sahabatnya. Aih? Habis tu awek
aku nak campak mana? Aku sayangkan awek aku ooo... Faiz
sudah menepuk dahinya.
“Ahh! Yalah... yalah... hentam ajelah labuu... Kau
menang lagi! Aku nak kahwin dengan Balqis tu macam mana
pula? Sabrina tu mana aku nak buang? Kau ni pun satu!”
Faiz mengalah lagi, untuk kedua kalinya. Tengku Harith nak
tergelak mendengar keluhan demi keluhan daripada Faiz.
“Tahu pun kau. Baguslah kau fikir macam tu! She’s
not worth it kalau kau sanggup tinggalkan Sabrina yang seksi
tu untuk dia... pilihan yang bijak dan tepat!” getus Tengku
Harith, masih lagi mahu mengutuk Balqis. Ibu jarinya
dinaikkan di hadapan sahabatnya itu lalu Faiz hanya
menggeleng-geleng lagi, tidak percaya dengan sikap Tengku
Harith yang saban hari semakin bongkak dan mulut laser itu.
TENGKU Harith tersenyum-senyum sendirian ketika dia
sedang asyik meminum bir di sebuah kelab malam. Dua
orang gadis kelihatan berjalan ke mejanya lalu duduk di
samping Tengku Harith. Seorang di sebelah kanan, seorang
lagi di sebelah kirinya. Penampilan seksi dan mengghairahkan
gadis-gadis tersebut ternyata membuatkan Tengku Harith
tersenyum penuh makna.
Malam ini tentu aku bertuah lagi dapat habuan
daripada gadis-gadis cantik dan seksi ni! Tangannya terus
merangkul pinggang kedua-dua orang gadis tersebut sambil
berbisik-bisik sesuatu di telinga mereka. Gadis-gadis tersebut
terus mengangguk-angguk lalu tertawa kecil sambil seorang
mencuit-cuit manja hidung Tengku Harith, seorang lagi pula
mengusap lembut pipi lelaki tampan itu.
Tengku Harith terlalu gembira pada malam ni
selepas merangka suatu rancangan jahat ke atas Balqis.
Sebab itulah dia keluar senyap-senyap untuk berseronok.
Hah! Jangan harap kau dah menang wahai betina tak tahu
malu! Kalaulah malam ni kau sendiri yang tak menolak
untuk jadi isteri aku, aku akan buatkan hidup kau jadi neraka
yang paling dahsyat! Kau akan merana seumur hidup kau
lepas ni! Bentak Tengku Harith sendirian dalam hati. Bir di
tangannya terus diteguk lagi. Pening-pening lalat kepalanya
ketika kesan arak tersebut sudah mempengaruhinya. Dia
tersenyum lagi sambil mengusap-usap paha putih melepak
gadis-gadis yang berada di sampingnya.

No comments:

Post a Comment