“ASSALAMUALAIKUM ibu, mana Kaka?”
Balik saja daripada bekerja, Nuh Qays terus ke rumah ibu
bapanya. Hatinya sudah tidak sabar untuk berhadapan
dengan Qairina. Nuh Qays mencium kedua-dua pipi Puan
Nurain.
“Waalaikumsalam. Kenapa ni abang? Macam mana
abang tahu Kaka ada dekat rumah?” Risau Puan Nurain
melihat wajah Nuh Qays itu. Nampak benar seriusnya. Nuh
Qays jarang berwajah sebegitu kecuali ketika benar-benar
marah.
“Abang dah call ofis dia tadi. Abang naik atas dulu
ibu.” Pantas Nuh Qays menaiki anak-anak tangga. Puan
Nurain berasa gusar dengan apa yang bakal berlaku, lantas
dia mengekori Nuh Qays.
Sampai saja di hadapan bilik Qairina, terus Nuh
Qays memulas tombol pintu dan menolak kasar.
“Kaka, apa yang kau dah buat dekat Zulaikha hah?!
Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni?”
Qairina terkejut dengan kedatangan Nuh Qays itu,
dia yang sibuk melakar rekaan di atas kertas putih itu juga
terus terhenti. Mencerlung matanya bila mendengar tuduhan
kembarnya itu. Dia berdiri tegak menghadap Nuh Qays.
“Hei, kau tak payah nak sibuk dengan apa yang aku
buat la! Dulu tak pernah pun kau sibuk dengan urusan aku
tapi bila dah betina tu muncul, kau dah macam orang gila
pula nak bela dia ya. Sial betulkan perempuan tu!”
“Jaga mulut kau, Kaka!” Nuh Qays menghampiri
Qairina, ringan saja tangannya naik dan menumbuk dinding
di tepi Qairina itu.
Qairina memejamkan mata, dia ingat Nuh Qays
mahu menumbuknya. Kecut perutnya melihat perbuatan
Nuh Qays itu. Tidak pernah kembarnya itu buat sebegitu
walaupun mereka selalu bertengkar.
“Abang... Beristighfar abang. Ibu mohon.” Puan
Nurain mengusap lembut bahu Nuh Qays agar anak lelakinya
itu lembut hati.
“Kaka ni dah melampau ibu. Dia ganggu hidup
orang yang tak bersalah. Dia cuba nak musnahkan kehidupan
orang lain.” Nuh Qays menguak kasar rambutnya. Nampak
kecil saja Qairina di matanya.
“Kau memang perempuan yang tak sedar diri Kaka!
Dalam hal ini, kau kena siasat Diyad, bukannya Zulaikha. Dia
tak ada kena-mengena dengan semua ni. Kenapa kau tak fikir
tentang tu? Aku yakin, kau dah ugut Zulaikha macammacam,
kalau tak, dia tak kan nak tinggalkan syarikat.”
“Itu lebih baik. Aku berbesar hati kalau dia tak ada
di Malaysia sekalipun,” jawab Qairina perlahan. Jika dia
menguatkan suaranya, takut Nuh Qays meneruskan niat
menumbuk wajahnya. Walaupun dia tahu, Nuh Qays bukan
jenis yang suka naik tangan pada perempuan.
“Hei!” Nuh Qays mencengkam kuat lengan Qairina.
Panas hatinya mendengar jawapan Qairina itu.
“Abang..” seru Puan Nurain. Dia sentiasa dekat
dengan Nuh Qays, takut Nuh Qays hilang kawalan dan
mengapa-apakan Qairina.
“Abang kena ajar Kaka ni ibu. Kalau tak, dia tak
akan sedar dengan kesalahannya.”
“Lepaslah abang! Sakit tahu tak?” Qairina merontaronta
minta dilepaskan.
“Ohh.. Yang ni tahu pula kau rasa sakit tapi kau
sakitkan hati orang, tak sedar pula. Kau dengar sini Kaka,
aku tak akan biarkan Zulaikha disakiti oleh kau lagi. Kalau
aku dapat tahu kau cuba nak ugut atau sakiti dia, kau akan
dapat nasib yang sama nanti.”
Qairina mengetap bibir, kali ini Nuh Qays pula yang
mengugutnya. Kurang ajar punya betina, sekarang kau
mengadu dekat Nuh Qays. Memang dasar perempuan tak
sedar diri! bentak hati Qairina. Lantas dia mengambil kunci
kereta setelah merasa cengkaman Nuh Qays itu semakin
longgar. Dia meninggalkan rumah tanpa menghiraukan
panggilan ibunya.
Nuh Qays terduduk lemah di birai katil Qairina, dia
kesal dengan sikap Qairina itu. Sampai bila Qairina harus
begini? Tidak mahu mendengar kata teguran. Selalu merasa
dirinya sentiasa betul daripada orang lain.
“Abang, siapa Zulaikha?” tanya Puan Nurain. Dia
juga ikut serta duduk di birai katil itu. Hatinya sedih melihat
kelakuan Qairina. Adakah selama ini dia mahupun suami
salah mendidik Qairina? Tapi kenapa perangai Qairina sangat
berbeza dengan Nuh Qays? Itulah yang menjadi persoalan
setiap kali mengenangkan sikap Qairina.
“Dia junior abang ketika di U dan dia juga salah
seorang pekerja di tempat abang bekerja sekarang ni. Dari
dulu sampai sekarang, Kaka tak habis-habis seksa dia bu.”
“Tapi kenapa marah benar Kaka pada dia? Apa kena mengena
dengan Diyad pula?”
“Dia tuduh Zulaikha ada hubungan dengan Diyad.
Bukan ibu tak tahu dengan Kaka, terlalu taksub dengan cinta
Diyad. Cemburu tak bertempat!”
“Tapi betul ke Zulaikha tu tak ada hubungan
dengan Diyad?” Bukan mahu mencurigai, cuma Puan Nurain
ingin memastikan saja. Dia belum melihat siapa sebenarnya
empunya diri yang bernama Qisya Zulaikha.
“Ibu...” Seru Nuh Qays lembut. Dia tidak mahu
ibunya memikirkan yang bukan-bukan tentang Qisya
Zulaikha. Walaupun kadang-kadang hatinya meragui namun
akalnya menidakkan dengan secepatnya.
“Ya, ibu tak akan prasangka yang bukan-bukan. Tak
payah risaulah. Macam manalah nanti kalau ibu dan ayah
pergi umrah? Ibu risau dengan kamu berdua.”
“Ibu tak payah risau, abang tak akan datang ke
rumah ni kalau ibu dan ayah tak ada.”
“Memanglah abang tak datang ke rumah ni, tapi
kalau gaduh di tempat lain, sama jugakan?” Puan Nurain
amat risau sekali, tidak lama lagi, dia dan suami akan
berangkat ke tanah suci Mekah untuk mengerjakan umrah.
“Insya-Allah, abang akan cuba elakkan daripada
berjumpa dengan Kaka. Ibu jangan lupa doakan Kaka cepat
berubah ya. Doakan juga supaya abang cepat dapat jodoh.”
“Setiap hari ibu doakan supaya Kaka berubah dan
ibu juga selalu mendoakan agar anak-anak ibu mendapat
jodoh yang baik-baik,” ujar Puan Nurain.
“Abang suka Zulaikha? Ibu nampak cara abang
cakap tadi macam lain saja,” tanya Puan Nurain pula. Dia
mencapai tangan Nuh Qays lalu digenggam erat.
“Ibu rasa macam tu ke?” tersenyum Nuh Qays,
ibunya sudah dapat menghidu rahsia hatinya.
“Ya, ibu rasa dialah wanita yang istimewa di hati
anak ibu ni.”
“Hmm.. Ayah mana ibu?”
“Pandai tukar topik ya. Ayah ke masjid dari
maghrib tadi, lepas sembahyang Isyak, baliklah dia nanti.
Abang dah solat?”
“Maghrib dah tadi, sebelum datang sini. Abang solat
Isyak dekat sini saja.” Puan Nurain mengangguk.
SETELAH solat zohor, Qisya Zulaikha menghubungi Ifa. Dia
merebahkan badannya di atas katil. Hujung minggu sebegini,
dia memang jarang keluar rumah. Lagipun, inilah masanya
untuk dia meluangkan masa dengan mak su.
“Kau dekat mana sekarang ni Ifa?”
“Aku dekat rumah. Kenapa? Daripada suara macam
ada masalah aje,” teka Ifa.
“Entahlah Ifa... Sebenarnya dah lama aku nak
bagitahu kau tapi yalah.. kalau nak bagitahu masa kerja,
memang tak bekerja kita dibuatnya nanti. Tapi kali ni aku
dah tak tahu nak luahkan pada siapa lagi.”
“Kan aku dah kata, kau luahkan saja dekat aku. Aku
akan dengar Ikha. Jomlah keluar. Hujung minggu ni, kalau
kita keluar, best juga,” cadang Ifa.
“Aku tak dapatlah. Kesian mak su, dia tinggal
seorang saja nanti. Nak harapkan Fiah, awal pagi lagi dia dah
lesap.”
“Haih.. Minah tu memang, syok sendiri! Hmm...
Yang kau nak bagitahu aku ni, berkaitan dengan perempuan
yang selalu datang jumpa kau tu ke?”
Berat keluhan Qisya Zulaikha. “Dia juga salah
seorang manusia yang buat hidup aku jadi haru-biru. Dulu
aku ada bagitahu kau tentang Kak Rina, kan?”
“Haah.. Aku ingat nama tu tapi aku tak ingat dia
berkaitan dengan siapa. Aduh, aku dah hilang ingatan
gamaknya.”
“Kak Rina, kembar Encik Nuh dah muncul dan dia
serang aku tempoh hari. Dialah perempuan yang selalu
jumpa aku.”
“Oh ya! Dia juga girlfriend kawan Encik Nuh tu
kan? Yang tegur kau hari tu?”
“Ya. Dua-dua makhluk ni buat hidup aku tak
menentu Ifa. Aku rasa tertekan sangat. Kak Rina lagilah, dia
siap ugut aku macam-macam.”
Qisya Zulaikha sudah tidak tahan dengan semua
ini. Dia rasa terganggu dan tertekan.
“Gila ke perempuan tu? Kurang ajar betul, kalau
aku tahu dialah perempuan yang hina kau dulu, aku sekeh
kepala dia.”
“Aku tak tahu nak buat macam mana lagi Ifa.
Abang Diyad pun macam tak tahu perangai girlfriend dia
macam mana tapi still nak jumpa aku. Sampai aku jumpa
Encik Kamal, minta untuk ditukarkan ke Johor.”
“What?! Kau nak tinggalkan aku Ikha? Kau tak
boleh mengalah Ikha. Nanti senang-senang mereka buli kau.
Mereka tahu kau jenis yang tak suka melawan dan jika kau
pindah ke tempat lain, kau yakin ke, mereka tak akan ganggu
kau lagi?” ujar Ifa. Pertanyaan Ifa itu membuatkan Qisya
Zulaikha terdiam sejenak.
“Kenapa kau pula yang kena pergi sedangkan
semua ni bukan salah kau? Jangan mudah mengalah Ikha
kalau kau yakin, kau di pihak yang benar,” sambung Ifa lagi.
Benar kata Ifa, kenapa dia yang harus pergi jauh
meninggalkan semua ini sedangkan bukan dia yang mulakan
semua ini.
“Kau tak kenal Kak Rina tu macam mana orangnya.
Kalau kau rasa Fiah dah teruk, Kak Rina lebih teruk daripada
Fiah. Dia tak sama macam Encik Nuh, walaupun mereka
kembar.”
“Nanti kau kenalkan dia dekat aku. Dia ingat dia
terror sangat ke? Dia belum kenal siapa Ifa yang sebenarnya.
Kalau dia main penampar, aku main sepak penumbuk. Nak
cuba, suruh dia datang jumpa aku pula lepas ni.”
Tiba-tiba Qisya Zulaikha tergelak. Ifa memang
seorang kaki gaduh. Kalau ditengok dari luaran, Ifa seperti
wanita melayu terakhir, nampak saja sopan tapi jika tahap
kesabarannya dicabar, pasti wanita itu akan melenting dan
melawan habis-habisan.
“Aku rasa bangga sangat dapat kawan macam kau
ni, Ifa. Untung Irfan dapat kau nanti.” Qisya Zulaikha
menyambung tawanya. Hilang sudah rasa gusar di hati.
“Aik? Apa pasal lu sebut nama itu mamat? Nanti tak
pasal-pasal dia call aku.”
“Jangan terlalu membenci Ifa, nanti kau akan
terlalu mencintai dia.”
“Dah, dah. Aku tak nak dengar falsafah cinta kau tu.
So sekarang kau dah okey?”
“Dah... Terima kasih kawanku. Aku akan seru nama
kau kalau Kak Rina datang lagi. Kalau Abang Diyad datang
jumpa aku lagi, kau sekeh dia sekali ya?”
“No hal! Aku layan aje.” Besar ketawa Qisya
Zulaikha. Ifa nampak serius bila berkata sebegitu.
Qisya Zulaikha akan kuatkan hati, semua ini bukan
salahnya! Dia tidak akan lari dari Qairina mahupun Izdiyad.
Dia tidak keseorangan, Ifa akan sentiasa menyokongnya. Dia
percaya, Allah menguji hamba-Nya adalah untuk mengukur
sejauh mana tahap iman dalam diri seseorang, kesabaran
dalam menempuh dugaan yang mendatang. Setiap manusia
akan dilanda badai, dugaan, suka dan duka dalam menjalani
kehidupan seharian dan dia tidak terkecuali menerima semua
itu.
No comments:
Post a Comment