“MACAM MANA?” tanya Nuh Qays.
Walaupun dia seakan-akan tahu jawapan yang bakal
didengarnya namun dia mahu Qisya Zulaikha berkata sesuatu
padanya.
Qisya Zulaikha menyeka air mata. Telefon bimbit
disimpan semula ke dalam beg. Pertanyaan Nuh Qays itu
dibiarkan sepi seketika.
“Zulaikha..” panggil Nuh Qays bila melihat Qisya
Zulaikha hanya diam membisu tanpa menjawab
pertanyaannya. Dia tahu Qisya Zulaikha tidak rela dengan
semua ini, dia juga tidak mengharapkan akan jadi sebegini
walaupun keinginan untuk memiliki Qisya Zulaikha sangat
kuat sekali. Namun dia tidak menyesal dengan apa yang telah
berlaku. Pasti agendanya akan terlaksana bila dia sudah sah
memiliki Qisya Zulaikha.
“Kita akan menikah bila mak su saya dah sampai.
Saya nak dia ada di sisi saya ketika ni.” Tanpa memandang
wajah Nuh Qays, Qisya Zulaikha memberitahu lelaki itu. Dia
sudah tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Dia cuba untuk
mempertahankan diri tapi bila kata-katanya tidak didengar
sama sekali, apa lagi yang harus dia katakan?
Memang dia sedar, dalam situasi begini, bermacammacam
alasan yang diberikan oleh pesalah tapi dia dan Nuh
Qays tidak buat sesuatu yang menyalahi agama. Silapnya
juga, tidak merenggangkan pintu rumah Nuh Qays.
Nuh Qays pula membangkitkan tentang maruah.
Qisya Zulaikha tahu, maruah sangat penting dalam diri
seseorang, jika maruah sudah tercemar pasti orang ramai
akan memandang serong, terutama sekali manusia yang
bernama Afiah. Wanita itu akan semakin besar kepala untuk
mencemuh dirinya.
Qisya Zulaikha menoleh ke sisi, Nuh Qays tersandar
lesu. Wajah pucat lelaki itu sangat kelihatan. Terdetik di
hatinya, belas kasihan tatkala dia memandang wajah Nuh
Qays.
“Macam mana dengan mak ayah encik?” Dengan
suara yang sengau disebabkan terlalu banyak menangis,
Qisya Zulaikha bertanyakan tentang ibu bapa Nuh Qays.
“Mereka pergi umrah petang tadi.”
“Hah?” Lemah terus semangat Qisya Zulaikha
mendengar jawapan Nuh Qays itu. Apalah yang akan terjadi
kepadanya selepas ini? Hatinya merintih pilu. Sudah pasti
Nuh Qays tidak memberitahu ibu bapanya tentang perkara
ini. Jika dia di tempat Nuh Qays, dia juga tidak akan
memberitahu ibu bapanya untuk sementara waktu ini, takut
nanti akan mengganggu ibadah mereka di sana.
Sementara menunggu mak su sampai, Qisya
Zulaikha dan Nuh Qays disuruh masuk ke dalam satu bilik.
Di sana terdapat beberapa orang pegawai agama. Tiga lelaki
dan dua wanita. Di sanalah mereka diberikan taklimat seperti
kursus kahwin. Dalam mendengar taklimat itu, air mata
Qisya Zulaikha tidak putus-putus mengalir.
Dalam menghayati kata-kata imam kadhi itu, Nuh
Qays sempat melirik ke arah Qisya Zulaikha. Banyak kali
wanita itu menyeka air matanya. Kalaulah dia dapat
meredakan kedukaan hati Qisya Zulaikha, pasti dia akan
melakukan saat ini. Sedangkan dia juga seakan-akan tidak
bermaya saat ini.
Sebenarnya mereka boleh saja membela diri di
mahkamah dan membayar denda yang diberikan tapi Nuh
Qays yang memutuskan supaya mereka bernikah saja. Itulah
jalan yang sangat mudah untuk dia mendekati Qisya
Zulaikha. ‘Maafkan saya, Qisya Zulaikha,’ bisik hatinya.
Sampai saja mak su ke pejabat agama, majlis akad
nikah dimulakan dengan segera memandangkan sudah
menginjak hampir lewat malam. Dua orang pegawai agama
sebagai dua orang saksi pernikahan mereka. Hanya sekali
lafaz saja, Qisya Zulaikha sah menjadi isteri Nuh Qays.
Qisya Zulaikha terkenangkan kata-kata Encik
Kamal pagi tadi, lelaki tua itu ingin mendoakan agar jodoh
Qisya Zulaikha dipercepatkan. Tidak perlu menunggu lama,
jodohnya sudah ada di depan mata. Kini dia sudah bergelar
isteri kepada Nuh Qays.
“SABAR Ikha... Mungkin semua ni ada hikmahnya. Jangan
terlalu meratapi semua ni. Kalau Ikha berterusan begini,
ibarat Ikha tak dapat menerima takdir Allah,” nasihat mak
su ketika mereka berdua ingin menuju ke tempat letak
kereta. Dia juga sudah tahu cerita sebenar kejadian yang
telah berlaku antara Qisya Zulaikha dan Nuh Qays. Mak su
mengusap lembut bahu Qisya Zulaikha yang sudah terlentok
di bahunya.
“Mak su hantar kau orang ke rumah Nuh ya?”
“Ikha tak nak mak su. Ikha tak rapat pun dengan
dia. Dia cuma salah seorang ketua Ikha.” jawab Qisya
Zulaikha pantas. Dia tidak bersetuju dengan cadangan mak
su. Dia menoleh ke belakang, Nuh Qays masih jauh di
belakang mereka. Lambat benar lelaki itu berjalan. Qisya
Zulaikha lupa Nuh Qays tidak sihat.
“Ikha, jangan macam ni nak... Dia dah jadi suami
Ikha. Lagipun, dia tak berapa sihat tu. Ikha kena ingat,
jangan menidakkan jodoh yang sudah ada. Syurga Ikha
dibawah kaki suami,” bisik mak su. Suara diperlahankan bila
Nuh Qays semakin menghampiri.
“Percayalah dekat dia. Mak su tengok, dia elok saja
Ikha. Dia yang nak Ikha bernikah dengan dia, itu bermakna
dia juga mempercayai Ikha untuk menjadi isteri dia,”
sambung mak su lagi.
“Tapi baju Ikha, tak ada. Dahlah esok nak pergi
kerja.” Qisya Zulaikha cuba memberikan alasan. Dia melihat
Nuh Qays sudah tersandar lesu di badan kereta mak su.
“Mak su ada bawa sikit pakaian Ikha. Sebab kalau
dah nikah, bermakna Ikha kena tinggal dengan dia kan?”
Bulat mata Qisya Zulaikha mendengar kata-kata mak su.
Maknanya dia tidak dapat memberi alasan lagi.
IPhone Nuh Qays berbunyi nyaring. Nuh Qays
mengeluh bila melihat nama yang tertera di skrin kecil itu.
Badan masih tersandar lesu di badan kereta mak su Qisya
Zulaikha.
“Helo..”
“Abang dekat mana sekarang ni?” tanya Qairina
kasar.
“Kenapa?” Pertanyaan dijawab pertanyaan juga.
“Aku cari kau dekat kondo, tapi kau tak ada. Kau ke
mana sebenarnya?”
“Aku tak balik kondo,” jawab Nuh Qays pendek.
“Dari tadi kau tak balik-balik?”
“Hmm..”
“Kau tidur rumah Diyad ke?”
“Tak. Rumah kawan aku.”
“Kawan mana?” Tiba-tiba saja Nuh Qays berasa
pelik dengan pertanyaan Qairina itu. Sibuk benar kembarnya
itu ingin tahu di mana dia berada.
“Aku penat Kaka. Dah malam sangat ni. Aku nak
tidur.” Tanpa menunggu lama, Nuh Qays memutuskan talian.
Matanya merenung Qisya Zulaikha yang memandangnya itu.
Pasti wanita itu terdengar perbualannya tadi.
Qisya Zulaikha terfikirkan sesuatu bila terdengar
nama Kaka disebut oleh Nuh Qays. Dia tidak mahu Qairina
tahu tentang hubungan mereka ini, kalau kembarnya tahu
pasti Qairina naik gila.
“Jomlah kita balik. Ikha duduk belakang ya,
temankan Nuh. Mak su tengok dia lemah sangat tu.”
“Tak apa mak su. Biarlah Zulaikha duduk depan,”
jawab Nuh Qays bila melihat Qisya Zulaikha seakan-akan
tidak mahu bersuara memberikan jawapan.
“Ikha..” tegur mak su dengan nada tegas. Dia tidak
mahu Qisya Zulaikha memberontak dengan keadaan seperti
ini.
Qisya Zulaikha membuka pintu penumpang
belakang dan mengisyaratkan supaya Nuh Qays masuk.
“Terima kasih,” ucap Nuh Qays. Qisya Zulaikha
tidak tahu untuk apa Nuh Qays berterima kasih padanya,
yang penting dia hanya mendengar kata mak su.
“MAK SU, tolong jangan bagitahu Fiah tentang hal ni. Ikha
tak nak dia tahu. Nanti heboh pula.” Mata Qisya Zulaikha
memandang mak su yang khusyuk memandu itu.
“Tapi nak tunggu sampai bila? Lambat laun dia
akan tahu juga.”
“Biarlah semua ni reda dulu. Kalau dah tiba
masanya, bukan saja Fiah yang tahu, semua orang akan
tahu.”
“Err..” Nuh Qays cuba mencelah tapi cepat
dipotong oleh Qisya Zulaikha.
“Saya harap encik tak beritahu Kak Rina tentang
hal ini juga. Saya mohon sangat-sangat,” pinta Qisya
Zulaikha.
Memang Nuh Qays tahu, pasti Qisya Zulaikha
memintanya untuk tidak memberitahu Qairina. Dia juga
terfikir tentang perkara yang sama.
“Tapi saya akan beritahu ibu dan ayah saya, bila
mereka dah balik Malaysia. Saya harap awak faham akan
situasi saya, Zulaikha.”
Qisya Zulaikha mengangguk laju. Memang ibu bapa
Nuh Qays wajib tahu tentang pernikahan ini tapi disebabkan
orang tua lelaki itu mengerjakan ibadah umrah, Nuh Qays
tidak mahu ibunya terganggu dek perkhabaran yang
mengejutkan ini.
“Mak su harap Nuh akan jaga Zulaikha dengan
sebaiknya, jika dia ada salah silap, tegurlah dia. Dialah
permata hati mak su,” Pesan mak su pada Nuh Qays sebaik
saja sampai ke kondominium lelaki itu. Qisya Zulaikha
terlebih dahulu sudah keluar dari kereta.
“Insya-Allah mak su. Zulaikha sudah menjadi
tanggungjawab saya. Saya akan menjaganya sebagaimana
saya menjaga kedua ibu bapa saya,” jawab Nuh Qays. Itulah
janjinya. Dia akan menjaga Qisya Zulaikha hingga ke akhir
hayatnya jika itu yang ditakdirkan oleh-Nya.
“AWAK dah solat Isyak?” tanya Nuh Qays lemah. Sampai
saja ke kondominiumnya, lelaki itu terus merebahkan badan
ke sofa di ruang tamu. Rasanya perjalanan hari ini sangat
panjang sekali.
“Belum,” jawab Qisya Zulaikha pendek.
“Kalau nak solat, telekung ibu saya ada dalam bilik
wardrobe. Kita solat sama-sama.”
“Tapi encik kan demam.”
“Saya masih larat lagi.”
Tidak tahu mahu menjawab apa lagi, Qisya
Zulaikha terus ke bilik wardrobe. Beg yang mengandungi
sedikit pakaianya disimpan di tepi dinding.
‘Mana bilik mandi ni?’ bisik hati Qisya Zulaikha.
Matanya mencari-cari di mana terletaknya bilik mandi.
Selesai saja berwuduk dan memakai telekung, mata Qisya
Zulaikha liar mencari kelibat Nuh Qays. Lelaki itu sudah
tidak ada di sofa. ‘Mana perginya?’ Tanya Qisya Zulaikha
dalam hati.
“Dah siap?” tanya satu suara dari arah belakang.
Qisya Zulaikha menoleh, Nuh Qays sudah menukar pakaian.
Matanya terpaku memandang lelaki itu, sungguh berlainan
dengan hanya memakai baju putih berkolar dan berkain
pelekat. Wajah yang masih basah disebabkan bekas air wuduk
itu membuatkan Nuh Qays nampak sangat tampan lagi.
Ahh..! Kenapa fikir yang bukan-bukan ni?
“Dah,” jawab Qisya Zulaikha.
“Bilik solat dekat sini, bilik ni saya bahagi dua. Bilik
kerja dan bilik solat. Harap awak selesa.”
Qisya Zulaikha melihat ruang bilik itu, bilik yang
sederhana besar itu sangat elok di matanya. Pandai Nuh Qays
membahagikan ruang. Bilik ini ibarat ada dua bilik pula
rasanya. Ruang solat yang sangat rapi, tersusun buku-buku
agama dan terutama sekali kitab suci Al-Quran di rak
berdekatan.
Siap solat dan mengaminkan doa, Nuh Qays
menoleh ke belakang dan berhadapan dengan Qisya Zulaikha.
Dia tertunggu-tunggu untuk Qisya Zulaikha menyalaminya.
‘Apa nak buat ni? Salam ke tidak? Bila salam, kena
cium ke?’ Beberapa persoalan bermain di minda Qisya
Zulaikha. Akhirnya, dia menghulurkan tangan, sedar bahawa
Nuh Qays sudah menjadi suaminya. Huluran tangan
disambut dan Qisya Zulaikha mencium lembut tangan itu.
Dia berasa sedikit menggigil bila bersentuhan dengan Nuh
Qays.
Sebaik saja Qisya Zulaikha mengangkat wajahnya,
Nuh Qays mendekatkan dirinya dan mencium dahi isterinya
itu. Benarlah... Cintanya tumpah pada wanita di hadapannya
ini. Dia memandang Qisya Zulaikha yang seakan-akan
terpaku tapi tidak dihiraukan.
“Saya nak bincang dengan awak.” Terhenti
pergerakan Qisya Zulaikha daripada terus melipat telekung
bila mendengar bicara Nuh Qays itu.
“Kita bincang dalam bilik, saya nak baring. Kepala
saya masih pening,” sambung Nuh Qays lagi.
Tanpa banyak songeh, Qisya Zulaikha hanya akur.
Dia memimpin Nuh Qays ke dalam bilik. Niat hati Qisya
Zulaikha mahu duduk di sofa yang ada dalam bilik lelaki itu
tapi dengan pantas Nuh Qays menyambar tangannya.
“Duduk kat sini saja.” Nuh Qays memberi ruang
agar Qisya Zulaikha duduk di sisinya, di tepi katil.
“Terima kasih sebab sudi jadi isteri saya. Saya harap
tak ada perkataan menyesal dalam diri awak tentang
pernikahan kita.”
Bergunakah lagi perkataan menyesal itu sedangkan
dia sudah pun bernikah dengan Nuh Qays? Qisya Zulaikha
hanya tunduk, bermain dengan jari sendiri.
“Apa yang nak saya katakan di sini, pernikahan ini
bukan untuk sementara. Ia bukan sekadar tertulis di atas
kertas saja tapi saya nak kan awak menjadi isteri yang
sebenar-benarnya. Saya harap pernikahan ini akan kekal
hingga ke akhir hayat kita. Belajar untuk menerima saya dan
saya juga akan belajar untuk menerima awak.”
Qisya Zulaikha terkedu. Benarkah apa yang
didengarnya ini? Tidakkah Nuh Qays membencinya selama
ini? Tidakkah Nuh Qays sedar bahawa selama ini mereka
mempunyai jurang yang sangat besar? Apa yang dilihatnya
kini tidak sama dengan apa yang dia fikirkan? Nuh Qays
seakan-akan tidak kisah dengan apa yang telah berlaku.
“Tak nak cakap apa-apa ke? Saya yang demam ke
atau awak yang demam ni? Takkan sepatah kata pun tak larat
nak cakap,” ujar Nuh Qays. Dia yang demam pula yang
banyak cakap, Qisya Zulaikha hanya diam tidak kata apa-apa.
Dia mahukan jawapan daripada wanita itu.
“Insya-Allah, saya akan cuba,” jawab Qisya Zulaikha
pendek. Mata masih terarah ke jari-jemari. Tidak berani
untuk memandang lelaki itu.
“Ada seperkara lagi saya nak tegur. Cara awak
panggil saya. Adakah panggilan ‘encik’ itu yang selayaknya
untuk seorang suami?”
“Saya panggil abang lepas ni.” Pantas saja Qisya
Zulaikha menjawab pertanyaan Nuh Qays itu, daripada lelaki
itu membebel lebih-lebih, lebih baik dia memberikan
jawapannya.
“Abang? Keluarga saya, semua panggil saya abang.
Tak ada panggilan lain lagi ke? Sayang ke?”
Mahu saja Qisya Zulaikha tersedak dengan katakata
selamba suaminya itu. Tengok wajah lelaki itu, nampak
macam serius saja.
Nuh Qays menahan senyum. Dalam lemah begini,
rasa bahagia bila menyakat Qisya Zulaikha. Wajahnya
dibiarkan serius memandang isterinya itu.
“Err.. Saya rasa, panggilan abang itulah yang
sebaik-baiknya untuk seorang suami.”
“Up to you. And anyway... Dengan suami pun, awak
nak pakai tudung ke? Awak tengok saya ni macam orang
yang tak boleh dipercayai? Jangan risau, saya tak larat nak
layan awak malam ni.”
Kenapa semua yang Nuh Qays katakan,
membuatkan Qisya Zulaikha terkedu? Lelaki itu pula macam
tak kena gaya dengan keadaan yang kurang sihat itu. Masih
larat nak kata macam tu.
Tanpa berkata apa-apa, Qisya Zulaikha
meninggalkan Nuh Qays. Dia menuju ke bilik wardrobe
untuk menyimpan tudungnya ke dalam beg. Rasa tidak selesa
sebenarnya bila secara tiba-tiba saja dia tinggal dengan
seorang lelaki yang bergelar suami.
Nuh Qays tergamam bila melihat Qisya Zulaikha
tanpa bertudung. ‘Cantik sungguh isteri aku,’ bisik hatinya.
Rambut wanita itu dibiar lepas, kelihatan sangat halus dan
licin. Kalaulah dia dapat membelai rambut isterinya. Ahh..!
Belum tiba masanya lagi. Dia tahu Qisya Zulaikha tidak
selesa. Matanya tidak lepas memandang Qisya Zulaikha yang
menghampiri katil dan mengambil bantal. Nuh Qays mula
mengerutkan wajahnya.
“Nak ke mana dengan bantal tu?”
“Saya belum biasa dengan semua ni, jadi saya nak
tidur dekat sofa tu, boleh ke?”
“Ini ke cara awak belajar untuk terima saya?
Dengan buat macam ni? Awak dekat sofa dan saya dekat sini?
Saya rasa, katil saya ni tak kecil mana pun.”
Rasa terpukul dek kata-kata suaminya. Baru tadi
Qisya Zulaikha memberikan jawapan untuk cuba menerima
Nuh Qays. Sekali lagi, Qisya Zulaikha kalah dengan ‘hujahan’
Nuh Qays. Dia mengetap bibirnya. Untuk sekian kalinya,
Qisya Zulaikha akur juga. Berbaring di atas katil itu.
Belajarlah menerima dia Ikha, kan dulu kau suka dengan
lelaki ni. Dia sudah menjadi suami kau. Seorang lelaki yang
selayaknya kau cintai. Satu suara ibarat menyapa ke
telinganya. Dengan perlahan kelopak matanya tertutup,
terlena kerana terlalu letih.
Senang hati Nuh Qays bila Qisya Zulaikha akur
dengan kata-katanya. Walaupun wanita itu tidak banyak
bercakap, namun dia cukup bersyukur Qisya Zulaikha mahu
mendengar katanya. Dia percaya, tidak mudah untuk Qisya
Zulaikha menerima semua ini secara mendadak. Siapa yang
mahu disatukan dengan cara begini? Sudahlah dia tidak tahu
perasaan hati Qisya Zulaikha yang sebenar. Sudah berpunya
ke tidak wanita itu? Ahh..! Malas mahu berfikir panjang, apa
yang penting, dia akan pastikan Qisya Zulaikha akan jatuh
cinta padanya lepas ini.
No comments:
Post a Comment