DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 10




Aku mula menceritakan segalanya kepada Izyan bermula dari detik aku disaman oleh Tuan Megat hinggalah ke kisah ibuku yang pandai-pandai menyerahkan gambarku kepada ibu pegawai polis itu.
“Kau dah habis cerita ke?  Boleh aku mengulas kisah tragis kau ni?”, Izyan meminta kebenaran dariku setelah melihat aku menamatkan kisahku itu.
“Hmmm…..tapi pastikan ulasan kau tak menyakitkan hati aku!”, balasku tegas kerana aku cukup kenal dengan Izyan yang bermulut laser itu.
“Sebuah kebenaran itu memang menyakitkan….aku nak komen jujur pada kau….terpulang pada kau nak terima atau tak nasihat aku yang dah lebih sikit pengalaman berumahtangga dari kau tu…..”
“Yelah Puan Izyan….apa dia?”
“Pada pendapat aku, memang Tuan Megat tu dah tangkap syok dekat kau.  Dari apa yang kau ceritakan pada aku, nampak benar dia bersungguh-sungguh nak berkenalan dengan kau….aku nampak keikhlasan dia….”
“Macam tu ikhlas kau cakap Yan?  Sakit hati….sakit telinga aku dengar kata-kata dia tau!”, aku memotong kata-kata Izyan yang nampaknya sangat berpihak kepada Tuan Megat sedangkan dia langsung tidak mengenali pegawai polis itu.
“Dah kau tu kasar sangat dengan dia….dah tentulah dia terpaksa berkasar juga dengan kau….nanti nampak sangat dia tu terkejar-kejar kat kau.  Dia pun kena jaga reputasi dia sebagai seorang pegawai polis.  Wani….aku nak tegur perangai kau sikit…itu pun kalau kau boleh terima sebab sebagai kawan lama kau, aku sayangkan kau….jadi aku wajar menegur….”
Aku hanya diam menanti apa yang hendak disampaikan oleh Izyan.  Aku tahu Izyan ikhlas ingin menegurku.
“Sebagai seorang perempuan, aku rasa kau kena kurangkan sikit sikap ego kau tu….aku tengok sikap kau pada lelaki kadangkala cukup sinis terutama pada lelaki-lelaki yang cuba nak mendekati kau…kau layan mereka yang suka pada kau tu macam musuh….macam pesalah jenayah berat.  Kau seolah-olah seorang yang anti lelaki.  Itu apa yang aku nampak.  Walaupun aku tak tahu apa masalah kau yang sebenarnya, tapi pada aku sikap kau tu sangat tidak wajar…..”, Izyan meluahkan pendapatnya dengan begitu berhati-hati.  Mungkin dia tidak mahu aku terasa hati dengannya.
“Kau tak tahu apa yang telah aku alami selama ni Yan…..”, keluhku.
“Macam mana aku nak tahu....kau terlalu berahsia dengan aku….kita dah duduk serumah sejak kita posting lagi….sebenarnya, aku sentiasa ternanti-nanti untuk mendengar kisah kau Wani….sebab aku rasa pasti ada sesuatu yang telah berlaku pada kau hingga kau bersikap begini.  Aku pelik…dah lama pelik.  Kau seorang yang cukup cantik, malah lebih cantik dari aku….tidak keterlaluan kalau aku katakan, kalau kat sekolah kita tu, kaulah anak dara yang paling cantik….kalah cikgu-cikgu muda yang baru posting sekolah kita…..tapi setelah lima tahun kita serumah, aku tengok kau memang takde seseorang yang istimewa dalam hati kau….aku tengok kau macam dah hilang selera pada lelaki!”
“Hishh!!  Apa yang kau merepek ni Yan?  Kau jangan nak fikir yang bukan-bukan fasal aku ye….aku masih normal….tetap meminati lelaki!”, sanggahku setelah melihat Izyan sudah mulai salah faham mengenaiku.
“Itu aku tahulah!  Aku pun tak maksudkan macam tu….yang kau nak fikir sampai ke situ tu kenapa pulak?”
“Manalah tahu….yelah, kau kan pelik tengok sikap aku yang pelik ni…”
“Wani….kalau dah ada lelaki yang sukakan kau, kau patut beri peluang….”
“Maksud kau Tuan Megat?”
“Ada lelaki lain lagi ke?”
“Mana ada!”
“Dah tu….kenapa tanya lagi?”
“Aku tak bolehlah Yan….”
“Kenapa pulak tak boleh?”
“Tengok muka dia aje aku mula nak hot….dengar suara dia, aku mula nak hot…baca mesej dia pun lagi aku hot….so, macam mana kau nak suruh aku berkawan dengan orang macam tu.  Lagi pun, aku tak tahu entah betul entah tak dia nak berkawan dengan aku sebab dia pernah tercakap sekadar nak test aku macam mana…..aku tak rela kalau dicop perasan pulak….biarlah aku tak kahwin dari lelaki mengata aku macam tu!”
“Tengok tu!  Egonya kau ni Wani…”
“Itu bukan ego!  Itu menjaga maruah diri namanya…”
“Hishh!!  Susahnya cakap dengan kau ni….”
“Baru macam tu kau dah rasa susah…..kalau kau ada kat tempat aku ni lagilah….”
“Macam nilah Wani, apa kata kau balik kampung kau nanti, kau bincang elok-elok dengan ibu kau.  Kau kena ingat, kau tak boleh membelakangkan orang tua kau.  Aku tahu niat ibu kau tu sangat baik….mana ada orang tua kat dunia ni nak tengok anaknya menderita.  Aku nampak kesungguhan ibu kau nak carikan kebahagiaan untuk kau Wani.  Kau berbincanglah elok-elok dengan ibu kau….itu je yang boleh aku cakapkan….”
“Itu lagi satu masalah….aku tak fikir aku boleh berbincang dengan baik dengan ibu aku bila melibatkan soal jodoh sebab akhirnya nanti aku juga sakit hati….apataknya, ibu aku tetap dengan pendirian dia yang aku pulak tetap dengan pendirian aku….sampai bila-bila pun takkan selesai masalah ni….tu yang buat aku malas nak balik kampung!”
“Wani….sekarang ni siapa ibu siapa anak?  Walau apa pun status kau, kau tetap seorang anak….sampai ke satu peringkat memang kau kena akur pada arahan ibu kau….macam aku cakap tadi, apa yang ibu kau lakukan adalah semata-mata untuk kebahagiaan kau sebagai anaknya….ingat tu!”, balas Izyan tegas.
Aku hanya membisu mendengar kata-kata Izyan.  Memang ada benarnya apa yang diucapkan oleh Izyan.  Cuma masalahnya, mampukah aku jadi seorang anak yang hanya patuh pada arahan orang tuaku tanpa perlu aku membantah?  Apatah lagi apabila melibatkan soal jodohku.


MALAM itu aku tidak dapat lelapkan mataku.  Entah kenapa tiba-tiba sahaja aku merasakan kepalaku cukup berserabut.  Masalah yang pada peringkat awalnya aku anggap langsung tidak menjadi masalah, kini tiba-tiba sahaja membelenggu diriku.  Aku benci berada di dalam situasi sebegini.  Aku jadi lemas.  Aku sudah lama tidak berperasaan begini tetapi selepas kehadiran Tuan Megat, aku rasakan hidupku kembali tidak tenteram.  Sebelum ini, aku rasakan hidupku aman.  Jadi apa perlunya lelaki untuk muncul dalam hidupku jika sekadar ingin menghuru-harakan perasaanku yang telah kembali aman.
Entah kenapa, secara tiba-tiba aku tergerak ingin menghubungi Tuan Megat.  Sememangnya sesuatu yang tidak pernah aku lakukan dan tidak mungkin aku akan lakukan tetapi setelah keadaan menjadi semakin rumit begini, aku rasa aku perlu membuat perhitungan dengannya.  Sebelum keadaan semakin parah dengan campur tangan ibuku dan ibunya.
Aku beranikan diri untuk menghubunginya.  Sebenarnya, aku amat takut pada penolakan.  Setelah detik hitam dahulu, aku lebih rela tidak menjalinkan apa-apa hubungan istimewa kerana aku takutkan penolakan.  Aku takut ditolak dan aku fobia dengan perasaan itu.  Apatah lagi ditolak di hadapan saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakanku.  Aku lebih rela mati dari terpaksa menanggung rasa itu lagi.  Adakah bermakna aku seorang yang terlalu ego disebabkan perasaan itu?  Apa yang pasti, aku memang takut!
Tetapi demi masa depanku, aku perlu juga bersemuka dengan Tuan Megat.  Bersemuka di telefon sahaja.  Tidak mungkin aku mahu bersemuka dengannya.  Biarlah wajah dan penampilannya kacak melangit, aku langsung tidak peduli.  Malahan rasa fobiaku semakin ketara dengan kelebihannya itu.  Risiko akan diperlakukan lagi seperti sebelum ini,  amat tinggi dengan wajah dan kedudukannya itu.
Aku hanya merenung telefon bimbitku yang sudah lama kupegang.  Aku jadi serba salah sama ada ingin menghubunginya atau tidak.
Come on Wani…..buang ego kau tu!”, aku memberikan semangat kepada diriku sendiri.
Setelah keadaanku semakin tenang, akhirnya aku dail juga nombor Tuan Megat.  Lama aku menunggu jawapannya, malangnya panggilanku tidak dijawab.  Aku mula rasa menyesal dengan tindakanku.  Aku sudah mula rasa aku ditolak dengan tindakannya itu.
“Mungkin dia dalam bilik air!”, aku cuba menyedapkan hatiku sendiri.
Aku cuba lagi mendail nombornya.  Sama seperti tadi, panggilanku sekali lagi tidak dijawab.  Kali ini aku betul-betul rasa menyesal.  Aku campakkan jauh telefon bimbitku ke atas katilku.
“Kan aku dah cakap jangan call, yang kau gatal-gatal nak call dia tu kenapa Wani?  Hah!  Sekarang padan dengan muka kau!  Mesti dia tengah ketawakan kau sekarang ni!”, jeritku geram.  Geram pada kedegilan diri sendiri.
Aku terus sahaja menghempas diriku ke atas katilku.  Aku mencapai bantal, lalu menutup mukaku untuk menghilangkan rasa maluku itu. 
Seketika kemudian, telefon bimbitku pula berbunyi.  Aku segera mencapai telefon bimbitku dan perkataan ‘Jejaka Perasan’, gelaran untuk Tuan Megat tertera.  Tiba-tiba aku rasa berat hati pula ingin menjawab panggilannya walaupun tadi aku agak marah kerana dia tidak menjawab panggilanku.  Aku sengaja membiarkan telefon bimbitku menjerit lama.  Saja nak balas dendam!
Bunyi deringan kali kedua, barulah aku jawab panggilannya.
“Assalamualaikum…”, aku memulakan bicara.
Wah! Sopannya aku!  Aku sendiri tidak sangka aku boleh sesopan itu dengan Tuan Megat.
“Waalaikum salam warahmatullahiwabarakatuh…..”, jawab Tuan Megat dengan lengkap salamku.  Entah kenapa aku terasa seperti disindir dengan cara dia menjawab salamku atau aku yang terlalu berfikiran negatif?
Lidahku tiba-tiba menjadi kelu.  Tidak tahu apa yang harus aku katakan kepada lelaki itu.  Hilang sudah semua ideaku untuk membuat perhitungan dengannya.
“Ya cikgu Wani, ada apa call saya tadi?  Maaf, saya tengah solat isyak tadi….”, Tuan Megat mula bertanya setelah mendapati aku hanya membisu.
“Maaf kalau menganggu…”, aku tiba-tiba jadi serba salah dan rasa bersalah kerana berburuk sangka dengannya tadi.  Payah benar rasanya untuk aku singkirkan sikap-sikap negatifku itu.
“Err….saya jadi musykil pulak bila cikgu Wani sesopan ini….”
“Apa pulak yang musykilnya?  Jahat sangat ke saya ni?”, aku mula panas bila disindir-sindir begitu.
“Eh, taklah….mana ada jahat…setahu saya yang jahat tu kalau penjenayah aje!”
“Dah tu?”, soalku jengkel.  Aku baru saja nak cuba berlembut dengannya, tetapi belum apa-apa aku sudah dipermain-mainkannya.
“Hmmm…..ini barulah betul cikgu Puteri Salwani yang sangat ambitious.  Tiba-tiba saja saya rasa bernyawa semula pulak!”, sambung Tuan Megat beserta dengan ketawa besarnya.
Aku semakin sakit hati.  Memang aku dah agak.  Mustahil untuk berbincang secara baik dengannya.  Hanya menyakitkan hati!  
Takpelah…sorry sebab menganggu Tuan.  Memang saya sudah tersilap masa.  Saya tak sepatutnya telefon Tuan….”, aku sudah fed up. 
Aku sudah hilang selera untuk berbincang secara baik dengannya.  Baru saja aku mahu menamatkan perbualan itu, tiba-tiba aku dihalang oleh Tuan Megat.
“Eh, nanti dulu…nanti dulu.  Janganlah cepat sangat merajuk.  Saya bergurau aje.  Ok…sekarang saya serius.  Ada apa Wani call saya?  Saya rasa mesti ada hal pentingkan?  Kalau tak masakan Wani nak call.  Mati hidup semula pun saya tak percaya kalau Wani saja-saja call saya….”, Tuan Megat cuba memujuk aku.
Hmmm….tahu takut?
“Tahu takpe!”, balasku masih dengan nada geram.
“Amboi! Eksyennya dia….oklah back to the point….ada apa Wani call saya?”
“Ok…dipendekkan cerita, saya nak minta tolong dengan Tuan satu perkara…”
“Sebelum tu, tolong jangan panggil saya Tuan.  Saya tak selesa.  Panggilan tu cuma ketika saya sedang bertugas.  Saya tak suka digunakan di luar tugas rasmi saya!”, tegas arahan Tuan Megat.  Pertama kali aku mendengar dia bercakap dengan penuh ketegasan denganku.
So saya nak panggil apa?”, soalku bodoh.
“Panggillah apa saja yang Wani suka!”, balasnya masih bernada tegas.
Aku garu kepala yang tidak gatal.  Aku nak panggil dia apa?  Aduhai!  Inilah masalah paling besar untuk aku.  Nak panggil nama dia saja terasa macam kurang ajar pulak.  Aku sangat pasti, dia lebih tua dari aku.  Abang?  Uwekk!  Loya tekak aku nak menyebutnya!
“Oklah…kita bersaya awak lagi senang!”, akhirnya aku putuskan.  Hanya itu yang termampu untuk aku panggil dirinya.
Up to you…ok Wani nak minta tolong apa?”
“Saya nak minta tolong dua perkara.  Pertama, tolong pulangkan gambar saya semula dan kedua, saya minta tolong Tuan…err…maksud saya minta tolong awak beritahu ibu awak yang awak tak sukakan saya.  Awak cakaplah yang awak dah ada pilihan hati sendiri dan tidak suka jika dijodoh-jodohkan….”, luahku dengan begitu yakin dan bersemangat.
“Kenapa pulak saya kena buat macam tu?  Awak nak mengajar saya menipu pulak?  Seorang pendidik sedang mengajar saya untuk menipu?”, bidasnya.
Aku agak terkejut dengan responnya.  Aku sangka kerjaku mudah sebab memang aku tahu dia sekadar hendak mempermain-mainkan aku.
“Sebabnya saya tak mahu dijodohkan dengan awak atau sesiapa pun!”, jawabku geram.
“Siapa yang nak jodohkan saya dengan awak?  Jangan perasan sangat boleh tak?”
Dushh!!  Terkena sebiji tepat ke batang hidungku.
Whatever!  Awak pun jangan nak perasan sangat.  Awak ingat saya ni nak sangat kalau dijodohkan dengan awak?  Sebab tu saya buat macam ni sebab secara logiknya bila seorang ibu memberi sekeping gambar wanita untuk dikenali, apa lagi tujuannya?  Takkanlah nak suruh buat adik angkat kot?  Tapi…tak tahulah saya kalau memang ibu awak suruh buat macam tu.  Kalau betul, sebagai adik angkat pun saya tak sudi!  Satu lagi, memang sangat sukar untuk dipercayai akan kebetulan ini….kebetulan yang ibu awak berkawan baik dengan ibu saya dan persahabatan mereka nampaknya telah menyebabkan saya jadi susah!”, panjang lebar aku meluahkan dengan penuh geram.
Aku dapat mendengar Tuan Megat semakin galak ketawakan aku.  Aku sendiri tidak tahu di mana lucunya kata-kataku itu.  Kalau aku pulak, bila ada seseorang berkata begitu seperti apa yang aku katakan kepadanya itu, pastinya aku sudah menangis….menangis malu!
“Wani….kalau awak nak tahu, sikap awak yang macam ni yang menyebabkan saya mulai bersetuju dengan cadangan ibu saya tu….malangnya kita baru saja berjumpa, kalau dah lama mungkin kita sudah menjadi pasangan yang paling bahagia di dunia ini…..”, sambungnya lagi dengan ketawanya yang masih berbaki.
“Apa yang awak merepek ni?”, soalku geram. 
Aku bercakap dengan penuh perasan, tapi dia langsung tidak serius.  Malah sengaja mempermainkan kata-kataku.  Ah!  Bencinya aku dengan situasi ini!
“Maksud saya…..saya semakin berminat untuk mengenali seorang gadis yang berhati batu seperti awak ni!”
“Huh!  Jangan haraplah!”, bidasku kasar.
“Jangan sombong sangat Wani.  Awak kena ingat, walau keras macam mana sekali pun awak tu, awak masih tetap seorang wanita…..satu masa awak kena akur juga dengan orang sekeliling awak.  Kalau awak tak percaya, awak cuba pegang kata-kata saya ni….”, balas Tuan Megat seolah-olah memberi amaran kepadaku.
“Tak kisahlah apa pun.  Sekali lagi saya minta tolong pulangkan gambar saya dan jangan sesekali bersetuju dengan cadangan ibu awak ataupun ibu saya.  Ok….assalamualaikum…..”, aku terus sahaja memutuskan perbualan kami itu.  Tidak sanggup lagi rasanya untuk mendengar kata-katanya yang hanya akan menambah rasa sakit hatiku ini!
Tidak lama selepas itu kedengaran satu mesej masuk.  Aku terus sahaja membacanya.
Sikap yg cukup angkuh & bongkak!  Perbuatan meletakkan telefon begitu sahaja adlh perbuatan manusia yg tidak bertamadun!  Saya akan pastikan saya akan mengubah awak menjadi seorang manusia yg bertamadun sesuai dgn status pendidik awak tu!
Aku terus sahaja melemparkan telefon bimbitku jauh ke atas katilku.  Hatiku ketika ini bukan sahaja berdarah, malah bernanah dengan kata-katanya itu.  Memang aku tidak boleh berbincang dengannya.  Nampaknya, ini adalah perbincangan pertama dan terakhirku dengannya!















No comments:

Post a Comment