Izureen
Hari ini aku masuk bekerja semula. Aku bersetuju dengan Kak Rina bahawa aku perlu
menyibukkan diriku dengan berbagai aktiviti untuk melupakan kekecewaanku. Patutlah Kak
Rina mahir dalam pelbagai perkara. Ketika cinta pertamanya putus, dia belajar menjahit.
Putus cinta kedua, dia masuk kelas aerobik. Setiap malam dia menyibukkan dirinya dengan
beraerobik. Bila badan sudah letih beraerobik, balik ke rumah terus tidur. Putus cinta kali
ketiga pula Kak Rina mendaftar kelas tajwid. Tiga kali seminggu selepas waktu bekerja Kak
Rina belajar mengaji, memperbaiki bacaan mengikut tajwid yang betul. Di kelas tajwid
itulah Kak Rina berkenalan dengan Abang Aeril.
Niat dihati hendak mengelak dari mama, takut dimarahi kerana seminggu tidak
bekerja. Namun rancanganku gagal.
“Apa ni Reen, baru putus cinta sikit dah hilang semangat. How are you going to
survive if you are not strong.” Mama menjegilkan matanya ke arahku sambil bersandar di
kerusi.
“Sorry Ma. Reen tak kuat. Reen akan cuba. I’ll get rid of this frustration soon.”
“Good. I want you to focus on your work. Bersusah-payah Mama usahakan syarikat
ni. Dari asalnya syarikat katering, kita dah berkembang jadi pembekal frozen food. Semua ni
perlukan usaha, semangat dan komitmen. How are you going to manage this company when
I am no longer around? Kalau baru putus cinta sikit dah monyok, tak boleh kerja, macam
mana nak uruskan syarikat?” Mama sudah membebel.
Aku diam menikus. Tiada gunanya menjawab bebelan Mama, hanya akan
meningkatkan amarahnya.
“Malam ni pindah balik ke rumah!” tegas arahan Mama. Tapi arahan ini memang
aku tak boleh akur. Aku tak sanggup dipantau 24 jam oleh Mama. Cukuplah dia memantau
pergerakanku di pejabat.
“Ma, Reen dah OK. You don’t have to worry about me” aku meyakinkan Mama.
Dalam hati berdoa meminta agar Mama berlembut denganku.
“OK apanya? Tengok muka tu sembap. Tu menangis tiap-tiap malam lah tu. Don’t
be stupid Reen. You are still young, banyak lagi lelaki kat luar tu yang boleh dijadikan
boyfriend. Budak Muaz tu jugak yang kamu gila-gilakan”.
“Mama ni, orang nak lupakan dia…Mama pulak sebut nama dia,” aku mencebik.
Mana mungkin aku lupakan Muaz. Apa yang aku boleh lupakan ialah impian untuk hidup
dengannya, namun melupakan orang yang telah menjadi sebahagian hidupku selama tujuh
tahun adalah sesuatu yang mustahil.
“Reen, Mama cuma ada kamu. Abang Iz kamu tak berminat dengan perniagaan ni.
Siapa lagi yang boleh Mama harapkan untuk mengambil alih syarikat ni? I am not getting
younger,” kali ini lembut bicara Mama, menusuk ke tangkai hatiku. Aku akui kebenarannya.
Tetapi hakikatnya aku juga tidak berminat dengan perniagaan ini. Kenapa aku seorang yang
harus Mama harapkan?
“Sampai bila Mama nak pinggirkan Kak Rina? Dia anak papa juga. Dia berkelulusan
dan berpengalaman. Kenapa mama tak nak bagi dia peluang?” Kak Rina juga berkelulusan
perakaunan sepertiku. Sekarang dia sudahpun memegang jawatan pengurus tetapi Mama
masih dengan dendamnya terhadap emak Kak Rina.
“Don’t change the subject! We are talking about you now, bukan pasal mama, bukan
pasal Rina!” Kan betul, kalau dilawan Mama akan naik angin. Aku berdoa di dalam hati
agar Allah melembutkan hati Mama untuk menerima Kak Rina sebagai anaknya sendiri.
“Dah, pergi buat kerja”, akhirnya Mama bersuara setelah kami lama berdiam.
Setiap hari aku balik lewat, menyiapkan kerja-kerja yang bertimbun setelah seminggu aku
tinggalkan. Kesibukan bekerja membantu mengurangkan ingatan kepada Muaz. Sejak
peristiwa di tasik Putrajaya, dia langsung tidak menelefon aku. Mungkin sibuk dengan
kekasihnya, maklumlah orang sedang asyik bercinta.
Bunyi pesanan di telefon bimbit mengalih perhatianku daripada computer riba.
Telefon di meja sisi aku capai.
“Hi dear! Apa khabar? Senyap je. Busy ek?” aku tenung skrin telefon lama-lama.
Perlukah aku menjawab soalannya? Ah, biarlah dahulu. Kalau nanti hatiku tergerak untuk
menjawab, akan aku jawab soalannya.
“Jom bowling sabtu ni. Boleh berkenalan dengan girl aku sekali” masuk satu lagi
pesanan daripada Muaz. Kali ini lebih panjang renungan aku pada skrin telefon. Dan tanpa
sedar air jernih tumpah dari tubir mataku dan menitis di atas skrin. Rasa sedih singgah lagi di
tebing hati. Dia di sana berbahagia, aku di sini memendam rasa.
Telefon aku matikan. Takut kalau-kalau ada lagi pesanan daripadanya. Tidak mahu
larut dalam kesedihan, aku teruskan kerjaku. Tidak lama kemudian telefon di atas meja pula
berbunyi. Suara Kak Rina di hujung talian, menjemput aku ke majlis pertunangan adik
Abang Aeril.
“Cepatlah adik, nanti lambat.” Kak Rina menggesa aku yang sedang bersolek.
“Jap, sikit lagi” aku mengoles pemerah pipi. Kemudian menyapu gincu di bibir.
Bunyi hon menandakan Abang Aeril sudah tiba untuk menjemput kami ke rumahnya. Malam
tadi aku tidur di rumah Kak Rina untuk memudahkan Abang Aeril menjemput kami. Aku
boleh pergi sendiri tetapi diminta oleh Kak Rina pergi bersama dari rumahnya.
Selepas kira-kira 40 minit perjalanan, kami sampai di sebuah rumah banglo setingkat
di pinggir Gombak. Inilah kali pertama aku sampai ke rumah Abang Aeril. Cantik
rumahnya. Kak Rina memperkenalkan aku kepada bakal mertuanya. Ramah sungguh
keluarga Abang Aeril, membuatkan aku tidak rasa kekok di sini.
Setelah berkenalan dengan keluarga Abang Aeril, aku mengikut Kak Rina ke bilik
bakal adik iparnya. Gadis yang Kak Rina perkenalkan kepadaku sebagai Naurah sedang
didandan oleh mak andam. Manis orangnya. Rasa-rasanya dia mungkin setahun dua lebih
muda daripada aku.
Akhirnya rombongan pihak lelaki sampai. Berderau darahku melihat wajah-wajah
yang aku kenali. Mengapa mereka datang bersama rombongan pihak lelaki? Hatiku mula
tidak keruan. Dan sebaik sahaja majlis pertunangan dimulakan, hatiku robek.
Aku tidak mampu untuk terus berada di majlis ini. Ketika emak Muaz melangkah ke
arah bilik Naurah untuk menyarungkan cincin, aku bingkas bangun dan menuju ke pintu.
Aku harus beredar. Takkan mampu aku menyaksikan detik Naurah menjadi tunangan Muaz.
Air mata yang hampir tumpah gugur jua akhirnya. Aku berjalan sepantas yang
mampu sambil mengesat air mata di pipi. Sambil berjalan aku berpaling ke belakang, melihat
kalau-kalau ada teksi menghampiri. Akhirnya sebuah teksi datang dan membawa aku pulang
ke kondo.
Aku rebahkan badan ke katil. Baju kurung berwarna merah jambu dari fabrik swiss
cotton yang diperincikan dengan taburan manik dan labuci sudah lencun dengan air mata.
Telefon bimbit berbunyi. Ada panggilan daripada Kak Rina. Tentu dia hairan mengapa aku
tiba-tiba menghilang dari rumah Abang Aeril. Panggilanku biar tidak berjawab. Namun
terbit rasa bersalah terhadap Kak Rina lalu aku hantar pesanan “sorry kak, adik balik dulu.
Perut meragam”. Kemudian telefon aku matikan.
Kondo kecilku bergema dengan tangisanku. Sedih, sangat-sangat sedih. Kecewa
kerana hari ini Muaz sudah menjadi tunangan orang. Terkilan kerana Muaz langsung tidak
memaklumkan akan pertunangannya. Terkejut kerana Muaz bakal bersaudara dengan Kak
Rina. Tentu lebih rumit hendak melupakan Muaz selepas ini.
“Muazzzz!!!” aku menjerit sekuat hati. Kenapa bukan aku yang kau pilih? Tidak
cukupkah layanan aku terhadapmu melambangkan perasaanku? Tidakkah engkau terfikir
bahawa setianya aku di sisimu kerana cintaku padamu. Ramai yang mahu menjadikan aku
kekasih, namun aku tolak kerana aku hanya mahu menjadi kekasihmu. Kau kejam Muaz,
sangat kejam. Sia-sia penantianku selama tujuh tahun. Tapi benarkah Muaz yang kejam atau
aku yang bodoh? Bodoh kerana silap mentafsir perasaannya kepadaku. Dan bodoh kerana
tidak pernah berterus terang kepadanya.
Aku mahu pergi dari sini. Aku mahu lari dari perasaan sedih ini. Aku bangun,
mencapai beg pakaian dan memasukkan beberapa helai pakaian yang sempat ku capai. Air
mata terus melempah, turut menitis ke atas pakaian yang ku sumbat ke dalam beg. Sanggul
di kepala aku rungkaikan. Sebaik melihat wajahku di cermin, terngiang-ngiang suara Muaz
memuji rambutku. Hati menjadi bertambah sakit. Laciku tarik dan dengan tangan terketarketar
aku keluarkan gunting. Rambutku yang panjang mencecah pinggang menjadi mangsa
kekecewaanku. Berguguran jatuh rambut yang ku gunting ke lantai, seperti hatiku yang
robek, berkecai-kecai bagai serpihan kaca.
Telefon bimbit, kunci rumah dan kunci kereta aku capai dan terus keluar dari kondo.
Beberapa mata yang memandang aku ketika di dalam lif dan ketika berjalan ke kereta tidak
langsung menjadi masalah kepadaku. Yang ada di dalam fikiran ketika ini ialah aku mahu
pergi. Aku mahu lari dari dunia ini. Aku mahu lari dari Muaz. Selama-lamanya.
Air mataku bagaikan sungai yang tidak pernah lesu mengalir. Terus-terusan menitis.
Aku bodoh. Aku perasan. Aku syok sendiri. Kasih sayang seorang sahabat aku salah ertikan
sebagai cinta. Kemesraan dan keprihatinannya aku salah anggapkan sebagai cinta. Kenapa
harus begini jadinya. Akukah yang salah kerana tidak berterus terang tentang perasaanku
terhadapnya?
Aku memandu tanpa arah. Tidak tahu ke mana hendak dituju, sekadar memandu
mengikut gerak hati. Rupa-rupanya aku telah memasuki lebuhraya PLUS menuju ke utara.
Tidak banyak kenderaan di atas lebuhraya, membuatkan aku leka memandu melebihi had
kelajuan yang dibenarkan. Aku tidak pasti bila aku memandu keluar dari lebuhraya. Aku
juga tidak pasti bila aku memasuki kawasan kampung ini. Sedar-sedar aku sudah berada di
sini. Tempat yang aku kunjungi dua minggu lepas ketika hati dilanda kecewa dek
pengumuman Muaz di tasik Putrajaya. Aku sampai lagi ke sini. Kali ini dengan kekecewaan
yang lebih besar, luka yang lebih parah dan penyesalan yang tidak berakhir.
No comments:
Post a Comment