“Aidid!” Samirah menjerit. Pintu bilik abangnya diketuk lagi. Dia tahu Aidid belum tidur. Sengajalah Aidid ni nak menyakat aku.
“Did
bukalah pintu ni.” Samirah sudah
memperlahankan nada suaranya. Ada nada
seperti hendak menangis. Lenguh
tangannya mengetuk, si abang di dalam buat derk saja.
“Aidid
kata dia dah tidur!” Terdengar laungan
dari dalam bilik, diikuti dengan gelak riang si abang yang suka sangat menyakat
adik kesayangan.
“Aidiiiiid! Samirah bengang semula. Diketuknya pintu bilik sekuat hati, sama kuat
dengan jeritannya. Tombol pintu
dipusing-pusingkan, dengan harapan pintu boleh dibuka walaupun dia tahu Aidid
sengaja mengunci dari dalam. Takutlah
tu, sebab dah buat salah, desis hati Samirah.
“Kenapa
Ira?” Soal papa sambil kepala papa muncul dari balik pintu biliknya.
“Papa…
papa belum tidur?”
“Awal
lagi ni, baru pukul 9.30. Papa tengah
buat kerja sikit, terdengar kamu marah-marah panggil Aidid. Dah lama rumah ni sunyi, bila kamu balik
barulah bising sikit.”
“Sorry papa… Ira ganggu papa.”
Baharin
keluar dari bilik dan datang mendekati Samirah yang masih tercegat di hadapan
bilik Aidid.
“Eh
taklah, mana ada mengganggu. Papa rindu suasana bising-bising macam
ni. Aidid tu pun rindu tu nak bergaduh
dengan Ira.”
Samirah
memandang papanya dengan rasa bersalah.
Gigih juga papa ni, tak cukup bekerja di pejabat, dibawa pula kerja tu
balik ke rumah. Yang Aidid ni memang
sengajalah ni nak mendera aku. Siap kau
Did, dengus Samirah dalam hati. Dapat
nanti aku luku-luku kau.
“How was dinner with Irsyad?” Membulat
mata Samirah sebaik sahaja mendengar soalan papanya. Ini mesti
Aidid yang beritahu papa.
“Errmmm, okey.”
Baharin
senyum. Kalau jawapannya okey maknanya
semuanya berjalan dengan lancar. Elok
juga ada jejaka bernama Irsyad itu berkawan dengan Samirah, sekurang-kurangnya
dapat mengalih perhatian Samirah daripada asyik teringatkan mamanya.
“Kata
Aidid he seems like a good man.”
“Yes he is. Tapi Ira baru lagi kenal dia. Ira anggap dia sebagai kawan saja. Ira tak nak bercinta.”
“Sebab
Ira nak cari mama?”
Merenung
mata papa yang bening, ditambah pula dengan soalan papa, Samirah tiba-tiba sebak. Sudahnya dia hanya menjawap dengan anggukan.
“Mama
Ira dah ada kehidupan dia sendiri. Papa
tak larang Ira cari mama, tapi janganlah sampai Ira hilang kehidupan Ira. Kalau Irsyad tu baik, jangan jadikan
pencarian mama penghalang kepada perhubungan yang lebih baik antara kamu dan
Irsyad.”
Samirah
mengangguk lagi. Hati terkesan dengan
nasihat yang papa berikan. Kenapalah
mama sanggup meninggalkan lelaki sebaik papa?
Matanya direndahkan, tidak sanggup menatap wajah papa. Walaupun papa kelihatan tenang, Samirah tahu
di sudut hati papa masih tersembunyi kedukaan.
“Lelaki
yang baik tak ramai zaman sekarang ni.”
Baharin mengusap rambut Samirah. “Kalau Ira suka dia, jagalah
persahabatan itu, perhaps it can grow
into a more serious relationship.”
“Terima
kasih papa nasihatkan Ira. Ira belum bersedia nak bercinta.”
“Papa
percaya Ira dah cukup besar dan matang untuk memikirkannya. No one can force you, if you don’t want to. So treat him as a friend, tapi jangan
bagi dia harapan palsu. Nanti dia kecewa. Tak baik kecewakan orang.”
Samirah
sebak lagi. Apakah apa yang papa
tuturkan itu gambaran perasaan papa yang dikecewakan? Lebih teruk lagi dikecewakan setelah lebih
dua puluh tahun hidup bersama? Adui
Samirah, sudah-sudahlah melayan duka.
Waktu bukannya boleh diputarkan balik.
Move on with life Ira, hati
memberi pesan.
“How was your meeting, pa?” Soalan ditanya agar perhatian sendiri dan
papa dapat dialihkan dari berbincang tentang soal perhubungan, perasaan dan
yang sewaktu dengannya.
“Meeting yang mana?” Dahi Baharin
berkerut. Samirah panggung kepala,
pandang wajah papa.
“Yang
petang tadi?
“Oh
yang itu. Meeting dengan Mr Lim dari Syarikat Bina Maju. Papa tak jadi pergi meeting tu, Aidid yang gantikan
papa.”
Baharin
senyum. Muka Samirah pula tawar. “Oh,” kata mulutnya. Siap kau Aidid, sengaja kau nak aku keluar
dengan Irsyad ya. Apa motif kau? Eeeee geramnya aku. Ada ubi ada batas, ada hari aku balas. Kata hatinya.
“Good night Ira. Papa nak masuk, sambung kerja sikit.”
Samirah
hanya mampu mengangguk. Mata bening
papanya ditatap lagi. Sebuah senyuman
dipalsukan, agar papa tidak tahu hatinya meruntun kesedihan apabila
mengenangkan nasib papa.
“Good night papa. Assalammualaikum.” Tangan papa disalami dan diciumi. Baharin mencium ubun-ubun anak gadisnya.
Samirah
bersandar di pintu bilik Aidid sambil matanya memandang ke arah papa yang
menghilang di sebalik pintu bilik.
Hatinya sayu memandang papa yang kelihatan sudah dimamah usia. Bukankah di kala usia semakin lanjut, teman
hidup penghilang sepi sangat diperlukan di sisi?
Leka
memikirkan tentang papa, Samirah tidak sedar tombol pintu dipusingkan dan pintu
ditarik dari dalam. Apa lagi, Samirah
terjatuh ke belakang. Mujur sempat
ditangkap oleh Aidid yang sedang tersengeh bak kerang busuk.
“Aidiiiid!” Jeritan nyaring kedengaran lagi, serentak
dengan satu cubitan sekuat hati di atas lengan Aidid. Aidid menyeringai.
“Oiii
sakitlah. Lebam lengan aku nanti”
“Rasakan. Main-mainkan aku lagi.”
Aidid
mengusap bahagian tangan yang baru terkena cubitan Samirah. Sakitnya dicubit bukan kepalang. Rasa-rasanya sudah lama jari Samirah tidak
mengetip, sekali mengetip ya ampun, teramatlah sakit. Samirah menolak Aidid ke tepi dan terus
berjalan masuk ke bilik Aidid dan duduk di atas kerusi.
Aidid
melabuhkan punggungnya di tubir katil.
“Wei
tengok, dah lebam.”
Samirah
memandang Aidid dengan pandangan separuh marah, separuh geram. Marah kerana Aidid sengaja menyuruh Irsyad
Rifqi menghantarnya pulang dan membenarkan pula Irsyad membawanya makan malam. Geram kerana sudahlah Aidid mengenakan dia,
sampai di rumah sengaja pula Aidid tidak mahu berbual dengannya.
“Yang
kau pandai-pandai suruh dia hantar aku balik buat apa? Kau tipu ek, kata meeting papa habis lambat… walhal papa tak pergi meeting tu.”
“Aku
kesian kat kau. Daripada kau menapak
pergi stesen LRT, lepas tu kena tukar pula naik PUTRA, kan lebih baik kalau ada
orang yang menghantar kau balik. Jimat
masa, tak meletihkan. Dapat naik kereta
besar pula tu, and the driver is
jejaka idaman Malaya.”
Jatuh
dagu Samirah mendengar alasan Aidid.
Mencerun matanya memandang abangnya.
Kalau diikutkan hati rasanya nak saja dicilikan mulut Aidid.
“Amboi
sedapnya kau cakap, kesiankan aku konon.
Sebenarnya kau sengaja nak kenakan aku kan?”
Aidid
tersengeh macam kerang busuk. Memang pun
sebenarnya dia sengaja mengenakan Samirah.
Dia tahu Samirah tidak mahu Irsyad Rifqi tahu di mana mereka
tinggal. Peliklah adik aku yang sorang
ni, lelaki kacak, muda, kaya, macam tu pun tak mau, desis hati Aidid.
“Memang
aku saja nak kenakan engkau dengan dia.
Aku tengok korang sepadan. Yang
kau takut sangat dia tau kat mana kau tinggal tu kenapa? Takut dia tiba-tiba datang meminang?”
“Did,
kau kan tau… I don’t want to be close to
him.”
Ayat
adiknya diabaikan, sebaliknya ditanya pula “so,
dinner kat mana tadi?”
“Kat
Gerai Burger Jali.” Marah Samirah sudah
reda. Selalunya begitulah, kalau dia
marah dengan Aidid, tidak pernah lama.
Mana tidaknya, abang kesayanganlah tempat meluahkan rasa, bercerita dan
mendapatkan nasihat. Kalau marah
lama-lama, dengan siapa dia hendak bercerita.
Mama sudah menghilang, papa pula… tidak mahulah dia memberatkan kepala
papa dengan hal remeh-temeh.
“Boleh
tak kau cerita kat aku, dari A sampai Z?”
Otak
Samirah mula menerawang, mengimbas kembali peristiwa yang berlaku petang tadi.
“Irsyad, saya
belum solat Zohor. Nanti awak keluar ke
jalan besar, depan sikit ada masjid sebelah kanan.”
Irsyad
Rifqi senyum. Tidak sampai lima minit
keretanya sudah meluncur di jalan besar dan masjid yang dikatakan Samirah sudah
tarpaper di depan mata. Sebaik sahaja
tiba di masjid Irsyad Rifqi turut keluar.
Dia sendiri pun belum menunaikan solat Zohor.
“Kita
berhenti minum cendol, nak?” Soal Irsyad
sebaik saja mereka meneruskan perjalanan.
“Boleh.” Sepatah jawapan Samirah. Irsyad memberi isyarat ke kiri, kemudian
memberhentikan kereta mewahnya di tepi jalan.
“Awak
nak cendol biasa atau cendol special?” Tanya Irsyad sebaik sahaja mereka duduk.
“Yang
special tu ada apa?”
“Yang
biasa tu cuma cendol dan kacang, yang special
ada jagung, kacang dan pulut” Irsyad menerangkan.
“Hmm, saya nak yang
speciallah.”
Irsyad
melaung kepada mamak yang berdiri di tepi lorinya, memesan 2 mangkuk cendol special.
“Apa
ni?” Samirah menyoal. Botol berisi
cecair berwarna hitam diangkat dan digoyangkan, sambil matanya mengikut
pergerakan cecair dalam botol.
“Air
gula, untuk orang yang suka lebih manis, boleh tambah air gula sendiri.”
“Oh.” Pendek jawapan Samirah. Sudah lama dia tidak menikmati cendol. Baru hari ini dia tahu ada air gula tambahan
disediakan.
“So, is this one the best in town?” Soal
Samirah sebaik sahaja mamak meletakkan cendol di hadapan mereka. Doa makan dibaca dalam hati, kemudian air
cendol dikacau sebelum disuap ke dalam mulut.
“No.
Kalau awak nak rasa the best
cendol, I can take you to Melaka.”
“Sekarang?” Samirah menduga.
“Of course. Cepat habiskan cendol tu, then we go straight to Melaka.”
Biar
betul dia ni. Kot ya pun nak mengorat
aku, agak-agaklah. Takkan dah petang nak
pergi Melaka, pukul berapa nak balik.
Dah tu pergi semata-mata nak makan cendol aje. Mentang-mentanglah aku baru balik dari oversea, semua makanan nak disuruh aku
rasa. Hati berkata, mata melekat di
wajah kacak yang sedang tersenyum.
Aduhai senyuman itu, semanis air gula Melaka.
“Err..
Irsyad, awak ni tak payah kerja ke?
Melaka tu jauh tau… setengah jam tak sampai.”
Mata
Irsyad masih tidak mahu meninggalkan wajah manis diselubungi tudung biru
muda. Tangannya menyuap sesudu cendol ke
dalam mulut.
“Demi
awak, jangan kata pergi Melaka, Selat Melaka pun saya sanggup redah.”
Amboi
mengayat. Jangan disangka CEO muda dan
bujang itu only thinks about the bottom
line. Pandai mengayat juga rupanya,
hati Samirah berkata.
“Kalau
redah naik bot, sesiapa pun boleh.”
Jelas kedengaran di telinga Irsyad.
Ada nada mencabar, ada juga nada sinis dalam suara Samirah.
“But my boat is different. It is an exclusive speed boat. Saya bawa sendiri dan kita berdua saja di
atas boat.”
Samirah
memberi renungan tajam kepada Irsyad Rifqi.
Tak mahu mengalah, ok aku kena cari ayat pematah ni.
“Errm,
saya tak …”
“Biasa
naik bot berdua dengan lelaki.” Pantas
Irsyad memintas. Dia yakin itu yang
bakal dikatakan oleh Samirah, sebab dah banyak kali dia mendengar ayat ‘saya
tak biasa dot dot dot’.
Samirah
tergelak kecil. Rasa lucu kerana Irsyad
memandai memberi alasan. Nampak dia yakin benar dengan ayatnya. Well, you got it wrong this time.
“Bukan.
Saya tak suka naik bot… sebab saya mabuk laut.”
Irsyad
tersenyum. Wajah Samirah direnung
lama-lama. Di saat mata mereka bertaut,
dengan yakin Irsyad berkata “saya mabuk cinta…”
Jantung
Samirah berdegup pantas. Entah kenapa
ayat tergantung yang diucapkan oleh Irsyad membawa satu debaran dalam dadanya.
“…dengan
awak.” Matanya tajam merenung, bagai
tembus hingga ke dasar hati. Suaranya
bagai berbisik. Jantung Samirah pula
bagai berhenti berdegup.
“Wow! Dia cakap macam tu? Confirm
Ira, dia dah jatuh cinta kat kau.”
Pantas Aidid bersuara sebaik sahaja Samirah habis bercerita. Samirah memuncungkan bibir. Bukan kerana dia tak suka, tapi kerana dia
risau.
“Itulah
yang aku risaukan Aidid. Aku nak
berkawan saja dengan dia. Sebab tu aku
tak nak keluar dengan dia, aku tak nak bagi dia harapan. Kau pula memandai suruh dia hantar aku balik.
Kau tau tak aku bengang dengan kau?”
Aidid
tersengeh. Itu saja yang dia mampu
buat. Kalau dilawan kata Samirah,
mengamuk pula adiknya nanti dan tak dapatlah dia mendengar kisah seterusnya.
“Lepas
tu, apa terjadi? Macam mana kau orang
boleh sampai ke gerai Jali?”
Samirah
mengangkat bahu. Keningnya juga diangkat.
Kemudian dia senyum. Lain macam
senyumannya. Meleret sambil matanya
mencerun memandang ke arah Aidid.
“Lain
kali ajelah aku cerita,” Samirah bangun.
Kaki mula menapak ke arah pintu bilik.
Aidid
mencebik. Tak nak cerita sudah. Aku pun tak kisah.
“Ingat
Did, jangan buat macam tadi lagi.”
Aidid
diam saja. Mata terpaku ke arah pintu
yang sudah ditutup dari luar. Hai Ira,
kalau perempuan lain ni, dah lama digodanya Irsyad Rifqi yang kacak, muda, kaya
dan berjaya tu. Bisik hati Aidid.
No comments:
Post a Comment