QAISER
BERLARI-LARI anak menghampiri pinggir hutan
yang tidak jauh dari tapak perkhemahan mereka. Hari yang gelap menyukarkan
Qaiser untuk mengesan di mana Azeeza sementelah lagi dia langsung tidak
melaporkan perkara yang berlaku ini kepada Ustaz Mustakim. Dia lebih suka bertindak
sendirian.
“Azeeza!” laung Qaiser
sambil menyuluh kawasan hutan itu menggunakan lampu suluh yang dibawa bersama.
Langkahnya terhenti
apabila kelihatan sehelai kertas tersangkut di pokok. Pantas saja Qaiser
mencapai kertas tersebut. Tulisan yang tercatat di kertas itu dibaca dengan
teliti.
“Yasmin…” desis Qaiser
sambil mengetap bibir.
Dia yakin nota itu dari
Yasmin kerana hanya gadis itu saja yang berdendam dengan Azeeza. Terkadang
Qaiser rasakan sikap Yasmin lebih sudu dari kuah. Gadis itu sengaja mencari
pasal dengan Azeeza semata-mata untuk menarik perhatiannya.
“Mana Azeeza ni?” soal
Qaiser sambil meraup wajahnya.
Dia memanndang ke dalam
hutan dengan perasaan yang berbaur. Bagaimana agaknya keadaan Azeeza di dalam
hutan yang gelap begini? Tiba-tiba timbul perasaan simpati dalam hati Qaiser
apabila terkenang nasib gadis itu.
“Tapi kenapa aku ambil
berat sangat pasal minah tu? Lantak dialah nak terbungkam pun dalam hutan tu.
Biar padan muka dia. Suka sangat cari pasal dengan aku.” Qaiser berbicara sendiri.
Dia mula berpusing untuk melangkah pergi.
Namun, kakinya terasa
melekat di bumi. Dia menggigit bibir. Hatinya tidak seiring dengan apa yang
terluah di bibir.
“Tapi dia orang susah.
Kalau jadi apa-apa pada dia, macam mana nasib adik dia nanti? Dahlah dia tak
ada mak ayah. Kesian pulak. Aduhhh…” balas Qaiser sendirian. Dia berbelah bahagi.
Akhirnya, Qaiser berpaling dan terus
melangkah ke dalam hutan. Rasa kemanusiaan masih kuat dalam dirinya walaupun
kebencian yang sering dipamerkan ketika berhadapan dengan gadis itu.
“Azeeza! Mana kau?” laung Qaiser sambil
meredah hutan yang gelap pekat.
Hujan yang mulai turun dengan lebat
tidak menghalang Qaiser untuk mencari Azeeza. Dia terus melangkah dan melangkah
sambil bibirnya tidak henti-henti melaung nama gadis itu.
“Zeeza manalah kau ni?” soal Qaiser
resah.
Dia meraup wajahnya yang basah terkena
air hujan. Baju yang dipakainya turut basah kuyup disimbah hujan yang mula
menggila.
Qaiser menyuluh di sekeliling tempatnya
berdiri. Berkali-kali dia menyuluh namun tiada sesiapa pun yang kelihatan. Rasa
takut mula menyerang hatinya namun tiba-tiba matanya tertangkap sesuatu yang
terbaring berhampiran dengan pokok yang berakar banir.
Perlahan-lahan, Qaiser melangkah
menghampiri ‘benda’ tersebut. Hatinya berdengup kencang. Walaupun dia seorang
yang lelaki yang gagah namun jika berseorangan di dalam hutan yang gelap pekat
ini, timbul rasa takut dan gerun dalam hatinya.
Qaiser membesarkan matanya apabila dia
semakin hampir dengan ‘benda’ yang terbaring di atas tanah dan ternyata dia
cukup terkejut. Dia cukup mengenali susuk tubuh itu.
“Ya Allah, Zeeza!” jerit Qaiser lalu
terus mendapatkan Azeeza yang terbaring tidak sedarkan diri.
Qaiser meletakkan lampu suluh di tepi
kepala Azeeza. Teragak-agak Qaiser untuk membalikkan tubuh Azeeza yang
tertiarap.
“Aku nak buat apa ni?” soal Qaiser mula
gelisah. Sungguh dia takut saat ini apabila melihat wajah pucat Azeeza. Gadis
itu kaku tidak bergerak.
“Zeeza, maafkan aku. Aku terpaksa!” ujar
Qaiser lalu dia memangku kepala Azeeza.
Pipi Azeeza ditepuk berulang kali bagi
menyedarkan gadis itu. Namun, Azeeza tetap tidak sedarkan diri.
“Zeeza, please bangun. Jangan buat aku risau macam ni.” Ucap Qaiser.
Dia tetap menepuk-nepuk pipi Azeeza
dengan lembut. Hujan yang lebat menyebabkan mereka berdua basah kuyup.
“Bangunlah, Zeeza.” Rayu Qaiser lagi
seolah-olah bicaranya mampu didengari oleh Azeeza.
Qaiser buntu. Dia tidak tahu apa yang
harus dilakukan saat ini. Mata Azeeza terus terpejam rapat. Qaiser memegang
pergelangan tangan Azeeza untuk memeriksa nadi gadis itu. Ternyata nadi Azeeza
yang masih berdenyut membuatkan Qaiser menarik nafas lega. Dia meraup wajah
Azeeza yang basah dengan air hujan.
“Ya Allah, Kau sedarkan dia. Hanya
kepada Kau, aku memohon kekuatan dan perlindungan. Kau sedarkan dia.” Ucap
Qaiser sepenuh hati.
Sungguh hatinya terasa lain saat melihat
mata Azeeza yang terpejam rapat. Terasa seperti dadanya ingin meletup. Bermacam
perasaan yang melanda dirinya saat ini. Selebihnya rasa bersalah semakin
menguasai fikiran Qaiser.
“Ibuuu….”
Gemersik suara itu menyentak lamunan
Qaiser. Pantas, pandangannya dihalakan ke wajah Azeeza. Dia tersenyum suka
apabila melihat kelopak mata Azeeza mula bergerak-gerak. Bibir pucat milik
Azeeza mula membisikkan sesuatu yang tidak mampu didengari oleh Qaiser.
“Kau cakap apa, Zeeza?” soal Qaiser lalu
mendekatkan telinganya hampir ke bibir Azeeza.
“Seee…see..jukk…” sepatah perkataan
keluar dari mulut Azeeza dengan mata yang masih terpejam.
“Sejuk?”
Qaiser mula kebingungan. Bagaimana dia
ingin menghilangkan kesejukan Azeeza sedangkan dia hanya sehelai sepinggang.
Lalu, dia memandang jaket yang tersarung di tubuhnya. Pantas saja Qaiser
menanggalkan jaketnya lalu dibalutkan ke tubuh Azeeza yang sudah menggigil.
“Bangun sekejap Zeeza. Kita kena keluar
dari hutan ni. Kau sakit teruk ni. Kita kena dapatkan rawatan.” Ujar Qaiser
lalu cuba membantu Azeeza untuk bangun.
Azeeza hanya menurut. Dia menyandarkan
tubuhnya di akar pokok. Kepalanya terasa berdenyut manakala tubuhnya terasa
sangat lemah sehinggakan hendak membuka mata pun dia tidak larat. Tetapi suara
lelaki yang menolongnya ini membuatkan Azeeza menggagahkan diri untuk membuka
mata.
Samar-samar dia matanya wajah seorang
lelaki yang duduk di hadapannya. Dari raut wajahnya dia kenal dengan lelaki
itu. Tapi takkanlah…
“Siapa kau?” soal Azeeza dengan suara
yang terketar-ketar. Dia memeluk tubuhnya dengan erat. Rasa sejuk semakin
mencengkam dirinya.
“Qaiser…” jawab Qaiser sepatah.
Bulat mata Azeeza apabila sepotong nama
itu menyapa di telinganya. Dia mula mengesot ke belakang. Dia yakin Qaiser
punca segala musibah yang melanda dirinya sekarang.
“Kau? Kau yang pukul aku dan aku campak
aku ke sini, kan?” soal Azeeza. Dia bagaikan mendapat semangat baru walaupun
jiwanya masih lagi lemah.
“Apa kau merepek ni, perempuan. Kalau
aku campak kau ke sini, tak ada maknanya aku cari kau sampai ke sini. Buang
masa aku aje.” Balas Qaiser tetap kasar.
“Habis tu kenapa kau cari aku? Lebih baik
kau biarkan aku mati aje dalam hutan ni.” Jawab Azeeza pantas.
Qaiser mengetap bibir. Rasa geram pun
ada dengan sikap dingin yang ditunjukkan oleh Azeeza.
“Kaulah manusia yang tak reti bersyukur
yang pernah aku jumpa. Aku selamatkan kau sepatutnya ucaplah terima kasih ini
tak, membebel aje kerja kau. Lebih baik aku balik. Kau duduklah dalam hutan ni
seorang diri! Huh!” marah Qaiser lalu bangun dan berura-ura untuk meninggalkan
Azeeza.
Azeeza mula cuak. Kawasan hutan yang
gelap pekat membuatkan dia kecut perut. Rasa takut mula menjalar dalam dirinya.
Azeeza cuba untuk bangun dengan berpaut pada batang pokok yang berada di
belakangnya. Anak matanya tuntas memandang tubuh Qaiser yang mula mengatur
langkah.
‘Apa yang aku nak buat ni? Takkan aku
nak tinggal sorang-sorang dalam hutan macam ni. Dahlah sejuk.’ Omel hatinya.
“Qai!” panggil Azeeza akhirnya.
Qaiser menghentikan langkah. Bibirnya
mengorak senyuman nipis. Senyuman yang tidak mampu dilihat oleh Azeeza. Dia
yakin pasti Azeeza akan memanggilnya. Lantas, dia berpaling. Senyuman manis
terus hilang dari bibirnya. Dia hanya menayang muka ketat.
“Kau nak apa?” soal Qaiser garang. Dia
menyuluh wajah Azeeza yang berdiri tidak jauh darinya.
“Tunggulah aku, aku pun nak balik
jugak.” Lirih suara Azeeza kedengaran.
Bagaikan mahu runtuh tembok kebencian di
hati Qaiser apabila mendengar gemersik suara itu merayu padanya. Terus dia
mendekati Azeeza.
“Cepatlah. Tercegat dekat situ lagi buat
apa?” soal Qaiser sambil mengawal nada suaranya agar tidak terlalu lembut. Ego
mesti dijunjung. Itu prinsip Qaiser apabila berhadapan dengan Azeeza.
Azeeza mengangguk laju. Kakinya terus
dihayunkan ke arah Qaiser sambil memegang kepalanya yang masih lagi berdenyut.
Belakang tengkuknya juga masih terasa sakit akibat dihentak dengan benda keras
sebelum dia terbaring di keseorangan di dalam hutan.
“Kau jalan depan.” Arah Qaiser sambil
menunjukkan jalan pada Azeeza.
“Tapi aku tak tahu jalan.” Jawab Azeeza
perlahan.
“Nanti aku tunjuklah. Lampu suluh ada
dengan aku ni. Tak payahlah risau.” Ujar Qaiser memberi jaminan.
Azeeza hanya menurut. Dia hanya
mengikuti arahan Qaiser. Sesekali dia mengurut tengkuknya yang terasa lenguh.
Rasa sejuk makin bertambah apabila angin mula menghembus dengan lembut. Azeeza
berpeluk tubuh. Dia mula tersedar ada jaket yang tersarung di tubuhnya. Buat
seketika dia berpaling ke belakang. Bulat matanya apabila melihat Qaiser hanya
memakai t-shirt nipis, baju lelaki itu kelihatan basah kuyup akibat terkena air
hujan. Dia yakin pasti Qaiser kesejukan saat ini. Perlahan-lahan, dia
menanggalkan jaket milik Qaiser lalu dihulurkan pada lelaki itu.
“Kau buat apa ni? Kenapa tanggalkan
jaket ni?” soal Qaiser dengan kening yang hampir bercantum.
“Ini jaket kau kan? Kau ambillah balik.”
Ujar Azeeza. Matanya tepat merenung anak mata Qaiser.
Dengan pantas, Qaiser melarikan
pandangannya ke tempat lain. Jantungnya berdenyut tidak menentu saat ini.
Walaupun udara terasa sejuk tetapi entah mengapa, Qaiser merasakan badannya
terasa panas. Hatinya juga terasa hangat semacam. Apa kena dengan aku ni,
Tuhan? Bisik hatinya.
“Tak payah. Kau pakai ajelah.” Balas
Qaiser.
“Tapi kau mesti sejuk. Baju kau nipis
tu. Habis basah semua pakaian kau.” Azeeza masih memujuk. Dia tidak mahu
dikatakan mengambil kesempatan terhadap Qaiser.
“Kau ni banyak bunyilah. Pakai ajelah.
Serabut betul!” ujar Qaiser berpura-pura marah sedangkan suaranya tenggelam
timbul menahan rasa yang mula menjentik di tangkai hati.
Azeeza terdiam. Akhirnya dia menurut.
Dia terlampau penat untuk terus bertikam lidah dengan Qaiser. Mereka meneruskan
perjalanan sehinggalah sampai ke pinggir hutan. Lampu-lampu yang terpasang di
tapak perkhemahan semakin menampakkan sinarnya.
“Alhamdulillah, dah sampai dekat tapak
perkhemahan kita. Itu pun ustaz.” Ucap Azeeza sambil menuding jari pada
sekumpulan manusia yang sedang menuju ke arah mereka.
Qaiser hanya tersenyum nipis. Dia turut
mengucapkan syukur di dalam hati akhirnya mereka berdua selamat.
“Baguslah. Kau pergilah balik khemah.”
Ujar Qaiser.
Azeeza tersenyum lagi. Dia memandang pada
Qaiser yang berada di belakangnya. Walaupun dalam samar-samar cahaya, dia masih
dapat melihat wajah Qaiser dengan jelas. Dia tidak menyangka, orang yang
dibenci itulah yang datang menyelamatkannya.
“Terima kasih sebab sanggup susahkan
diri tolong selamatkan aku. Aku tak tahu siapa yang sanggup buat aku macam ni
sampaikan aku tuduh kau yang aniaya aku. Maafkan aku, ya?” ucap Azeeza lembut.
Walaupun dia cukup tidak suka dengan
perangai Qaiser yang kuat membuli tapi itu bukan alasan untuk dia tidak
mengenang budi. Orang berbudi kita berbahasa, itulah yang sering diajari oleh
arwah ibunya.
Qaiser mula tidak keruan. Senyuman
ikhlas Azeeza membuatkan dia beku tidak beriak malah suara lembut itu
membuatkan dia diam tak terkutik.
“Tapi aku pelik macam mana kau boleh
tahu aku ada dalam hutan ni?” soal Azeeza lagi setelah kata-katanya tidak
mendapat balasan dari Qaiser.
Qaiser bungkam. Otaknya ligat mencari
jawapan.
“Ada ahli kumpulan kita yang mengadu kau
hilang. Sebab itu aku cari kau tanpa pengetahuan ustaz. Aku tak nak ustaz
bising. Lagipun kalau kau tak ada, siapa yang nak uruskan kumpulan kita? Aku
bukan suka buat kerja yang remeh-temeh ni.” Balas Qaiser. Dia menarik nafas
lega kerana itulah jawapan yang dirasakan paling logik saat ini.
Azeeza terdiam.
“Azeeza, Qaiser, Awak berdua dari mana?”
soal satu suara membuatkan mereka berpaling.
Kelihatan Ustaz Mustakim dan beberapa
orang pelajar berdiri di belakang ustaz. Rizwan dan Zafuan turut berada di
belakang Ustaz Mustakim. Wajah kedua sahabat karib Qaiser berkerut seribu
apabila melihat Qaiser bersama dengan Azeeza.
“Syukur ustaz datang. Saya jumpa Azeeza
dalam hutan, dia kena…”
“Saya tersesat masa cari kayu api petang
tadi, ustaz. Alhamdulillah Qaiser datang tepat pada waktunya. Kalau tidak
mungkin saya bermalam dalam hutan hari ni.” Potong Azeeza tanpa sempat Qaiser
menghabiskan ayatnya.
Dahi Qaiser berkerut mendengar kata-kata
Azeeza. Kenapa perlu gadis itu selindungkan apa yang sebenarnya terjadi? Detik
hatinya.
“Alhamdulillah, awak selamat. Lain kali
kalau awak nak ke mana-mana jangan lupa bagitahu kawan awak yang lain. Hutan
ini bukan tempat kita. Ingat itu. Awak pula, Qaiser. Jangan ambil keputusan
sendiri. Apa pun yang berlaku pada ahli kumpulan awak, awak kena laporkan pada
saya terlebih dahulu. Faham?” tegas suara Ustaz Mustakim kedengaran.
“Faham, ustaz.” Ujar Qaiser sambil anak
matanya menjeling pada Azeeza yang kelihatan tenang.
“Ambil tuala ni dan balik ke khemah
masing-masing.” Ustaz Mustakim memberi arahan.
Azeeza menyambut huluran Ustaz Mustakim
lalu dia membalut tubuhnya dengan tuala yang diberikan oleh Ustaz Mustakim.
Rasa sejuk masih lagi terasa sehingga dia dapat rasakan bibirnya bergetar
menahan rasa sejuk.
“Bro,
ini aku ada bawakan baju sejuk dan tuala untuk kau. Mesti kau sejuk kan?” soal
Zafuan sambil menghulurkan tuala dan baju sejuk pada Qaiser.
Qaiser menyambut huluran Zafuan. Baju
sejuk disarungkan ke tubuhnya manakala tuala yang berada di tangan dicampakkan
pada Azeeza.
Azeeza tersentak. Dia memandang Qaiser
dengan penuh tanda tanya.
“Untuk apa ni?” soal Azeeza pelik.
“Untuk makan!” balas Qaiser selamba lalu
melangkah meninggalkan Azeeza yang masih ditemani oleh rakan mereka yang lain.
Ustaz Mustakim yang melihat tindakan
Qaiser hanya tersenyum sendirian. Cuma Zafuan dan Rizwan masih pelik dengan
tingkah laku Qaiser. Kata benci tetapi kenapa sikap Qaiser seolah-olah ambil
berat terhadap Azeeza?
Sedangkan Azeeza masih lagi kebingungan.
Mana satu sikap Qaiser yang sebenarnya? Detik hatinya.
“Tak semua perkara mampu dijelaskan
dengan kata-kata, Azeeza. Jom balik.” Suara Ustaz Mustakim menyedarkan Azeeza.
Pantas, dia tertunduk kemudian membuntuti langkah Ustaz Mustakim ke tapak
perkhemahan mereka.
“ZEEZA!”
panggil Liyana sewaktu melihat Azeeza memasuki dewan makan.
Azeeza hanya tersenyum melihat Liyana
yang sedang menangis sambil ditemani Izz yang turut kelihatan risau. Dia hanya
mampu menyambut pelukan daripada Liyana yang tidak henti-henti menangis.
“Kau okey ke, Zeeza? Macam mana kau
boleh hilang? Aku risau tahu tak?” soal Liyana bertubi-tubi sambil melepaskan
pelukan. Wajah pucat Azeeza dipandang lama.
“Alhamdulillah, aku okey. Dah selamat
pun ni, hah. Tak perlulah kau risau. Allah ada kan?” soal Azeeza pula.
Dia mengalih pandang pada Izz yang turut
tersenyum. Wajah lelaki lembut itu kelihatan tenang.
“Tapi kami tetap risaukan kau, Zeeza.
Kalau jadi apa-apa kat kau siapa yang susah? Apa aku nak jawab pada adik kau
tu. Tolonglah jaga diri kau untuk kami, boleh?” soal Izz mula bersuara.
Azeeza hanya ketawa kecil. Dari jauh dia
melihat Qaiser memasuki ruang dewan makan sambil ditemani oleh Rizwan, Zafuan
dan Firman. Lelaki itu memandang ke arahnya tetapi sepantas kilat dia memandang
ke tempat lain.
“Insya-Allah, Izz. Aku mintak maaf sebab
buat kau orang berdua risau tapi benda nak jadi. Aku pun tak tahu macam mana
semua ni boleh berlaku. Sedar-sedar aje aku dah kat dalam hutan.” Ujar Azeeza.
Izz dan Liyana berpandangan. Lantas, dia
menarik kerusi lalu tubuh Azeeza didudukkan oleh Liyana. Mereka berdua
menumpukan sepenuh perhatian pada Azeeza.
“Cuba kau cerita apa yang berlaku
sebenarnya. Takkanlah tiba-tiba aje kau boleh pengsan dalam hutan tu. Mesti ada
sesuatu yang berlaku sebelum tu.” Sampuk Izz sambil mengetuk dagunya sendiri.
Azeeza memicit kepalanya yang terasa
berdenyut. Tubuhnya masih lagi lemah. Namun, demi sahabat baiknya dia gagahkan
diri untuk bercerita. Terlopong mulut Izz dan Liyana mendengar cerita daripada
Azeeza. Mereka berdua menggelengkan kepala tidak puas hati.
“Ini kes penganiayaan ni, Zeeza. Lebih
baik kau laporkan pada ustaz. Kau tak boleh biarkan orang yang buat kau ni
lepas bebas macam tu aje.” Komen Liyana.
“Betul. Aku sokong kata-kata Ana. Kau
kena laporkan pada ustaz. Biar ustaz siasat tak pun biar ustaz buat solat hajat
biar orang yang kenakan tu menggelupur kepanasan!” sahut Izz dengan rasa marah
yang meluap-luap.
Azeeza hanya mampu tersenyum sambil
menggelengkan kepala.
“Mendoakan untuk kemusnahan orang lain
itu bukan sesuatu yang baik, Izz. Biarlah. Lagipun aku selamat. Aku tak berani
nak kaitkan sesiapa pun dalam hal ni apatah lagi nak tuduh orang. Siapa pun
yang kenakan aku tadi pasti akan dapat balasannya nanti. Aku tak nak
besar-besarkan perkara ni. Aku bukan budak manja.” Balas Azeeza sambil meneguk
air mineral yang dihulurkan oleh Liyana.
“Tapi Zeeza, orang tu bermain dengan
nyawa kau! Kalau tak ada yang datang selamatkan kau tadi, apa yang akan jadi?
Sekurang-kuranganya kau mahukan pengadilan untuk diri kau sendiri. Dia kena
tanggung apa yang dia dah buat pada kau. Entah-entah Qaiser yang kenakan kau.”
Bantah Liyana dengan geram.
Azeeza hanya menggelengkan kepala.
“Bukan dia yang kenakan aku sebaliknya
dia yang cari dan selamatkan aku.” Balas Azeeza.
Liyana dan Izz berpandangan.
“Apa?!” jerit mereka serentak.
“Qai selamatkan kau? Wow, interesting. Very interesting. Harimau
dah tukar jadi kucing ke?” perli Izz sambil memainkan keningnya.
“Kau tak payah nak mengarutlah, Izz. Dia
ketua kumpulan aku, bila aku hilang secara automatik dia kena bertanggungjawab.
Jadi sebab tanggungjawab itulah dia cari aku sampai ke dalam hutan tu.” Jawab
Azeeza.
Liyana mencebik. Dia tidak rasa Qaiser
menyelamatkan Azeeza atas dasar tanggungjawab, pasti ada sebab lain yang ingin
lelaki ego itu sembunyikan. Fikir Liyana.
“Entah-entah dia dah syok kat kau,
Zeeza. Habislah kau!” gurau Liyana sambil mencuit lengan Azeeza.
“Banyaklah kau punya syok. Aku nak
tidur. Badan aku lenguh sangat ni.” Azeeza mengubah topik perbualan.
“Tengok tu Izz, Zeeza tukar topiklah.
Malulah tu…” usik Liyana lagi.
Azeeza membeliakkan matanya sedangkan
Izz dan Liyana sudah mengekek ketawa. Faham betul dengan perangai Azeeza yang
tidak suka dikenenkan dengan Qaiser.
“Hoi, tak nak masuk tidur lagi ke?
Memekak aje malam buta ni. Ingat tempat ni nenek kau orang punya ke?” laung
satu suara membuatkan mereka bertiga berpaling.
Kelihatan Qaiser dan kawan-kawannya
memandang ke arah Azeeza, Izz dan Liyana. Azeeza hanya terdiam. Dia menundukkan
pandangan.
“Kami memekak pun bukan guna mulut kau.
Suka hatilah kami nak buat apa pun, tempat ni pun bukan nenek kau punya juga.”
Balas Liyana berani.
“Ana, sudahlah tu. Jom balik khemah. Aku
penat ni.” Ajak Azeeza sambil menarik tangan Liyana.
“Fir, adik kau ni memang tak sayang
mulut agaknya. Ada yang nak kena cili ni.” Balas Qaiser. Firman hanya ketawa. Dia
tahu Qaiser hanya bergurau cuma gurauan lelaki itu agak kasar untuk perempuan
seperti Azeeza dan Liyana.
“Hah, elok sangatlah tu balik khemah.
Menyemak aje mata aku tengok korang bertiga ni. Sorang octopus, sorang Mak Lampir dan sorang lagi nenek kebayan. Sesuai
sangatlah kau orang bertiga ni!” tambah Qaiser lagi sengaja membakar hati
Liyana dan Izz.
“Heiii…dasar mamat…”
“Dahlah tu, Izz. Ana. Kita balik khemah
ya? Jom!” ajak Azeeza lagi. Dia menarik lengan Liyana dengan kuat. Bebelan yang
keluar dari mulut Liyana tidak diendahkan.
Izz turut mengikuti langkah Liyana dan
Azeeza. Sempat lagi dia menunjukkan penumbuknya pada Qaiser namun apabila
Qaiser berpura-pura untuk menerkamnya, sepantas kilat, Izz melarikan diri.
Qaiser hanya ketawa melihat tingkah Izz.
Sempat lagi dia menghantar tubuh Azeeza dengan pandangan matanya. Dia menarik
nafas lega apabila Azeeza sudah memasuki khemah. Tanpa Qaiser sedar segala
tindak tanduknya diperhatikan oleh tiga rakannya yang lain.
“Kenapa kau selamatkan perempuan tu?
Patutnya kau biar aje dia tidur dalam hutan tu. Dia kan musuh kau.” Rizwan
bersuara. Sudah lama dia pendamkan soalan itu akhirnya terluah juga.
Qaiser mengawal riak wajahnya. Milo
panas dihirup dengan perlahan.
“Sebab dia musuh aku, aku selamatkan
dia. Kalau apa-apa berlaku pada dia, siapa yang akan jadi musuh aku lagi?” soal
Qaiser selamba.
“Tapi Qai, bila kau dah selamatkan dia
bermakna kau dah biarkan dia menang.” Sampuk Zafuan pula. Firman lebih memilih
untuk menjadi pendengar.
Qaiser bangun dari duduknya. Wajah kedua
sahabatnya itu dipandang lama.
“Apabila berkaitan dengan nyawa, kalah
dan menang itu bukan soalnya.” Jawab Qaiser lalu melangkah meninggalkan mereka
bertiga.
Dahi Zafuan dan Rizwan berkerut. Hanya
Firman sahaja yang tersenyum penuh makna.
No comments:
Post a Comment