BAB 18
IZZ
TIDAK mampu menghentikan tangisan Fatma yang
semakin menjadi-jadi sebaik saja gadis muda itu melihat kakak kesayangannya
terbaring tidak sedarkan diri di atas katil. Dia hanya mampu memandang tetapi
tidak mampu menghilangkan kesedihan itu.
“Kakak, bangunlah. Ma datang ni…” rayu
Fatma sambil menggoncang lengan Azeeza yang kaku.
Dia memejam mata sejenak kemudian dia
membuka matanya berharap agar Azeeza juga membuka mata tetapi malangnya Azeeza
tetap kaku. Hanya dadanya saja yang berombak tanda gadis itu masih lagi
bernafas.
“Kakak jangan buat Ma takut. Ma tak ada
sesiapa dah kecuali kakak. Kakak janji nak jaga Ma sampai bila-bila tapi kenapa
kakak tak bangun-bangun lagi ni? Jangan biar Ma takut, kakak.” Ujar Fatma
dengan sedu-sedan yang jelas kedengaran.
Dia mengenggam kemas telapak tangan
Azeeza seolah-olah tidak mahu melepaskan kakaknya itu pergi. Air mata yang
bercucuran tidak diendahkan sama sekali. Sungguh, Fatma takut. Takut kehilangan
Azeeza.
Izz tidak mampu menahan perasaan.
Akhirnya, kolam air matanya tumpah juga setelah mencuba sedaya upaya untuk
bertahan. Kata-kata Fatma begitu menyentuh hati lelakinya yang lembut.
“Fatma, jangan sedih macam ni. Kakak
Fatma tak apa-apa. Dia cuma tak sedarkan diri aje.” Pujuk Izz lalu mendekati
Fatma yang duduk di samping Azeeza.
“Macam mana Ma tak sedih Abang Izz. Ma
cuma ada Kak Eza dalam hidup Ma. Selepas ayah hilangkan diri dan mak meninggal,
Kak Eza segala-galanya bagi Ma. Dia sumber kekuatan Ma untuk teruskan hidup.
Saat Ma putus asa, Kak Eza selalu kata, Allah takkan uji kita melebihi
kemampuan kita. Bila Dia berikan ujian, Dia juga yang akan beri jalan keluar.
Walaupun hidup kami susah, tapi Kak Eza tak pernah patah semangat jauh sekali
nak mengeluh walau dia terpaksa kerja sampai lewat malam semata-mata nak sara
hidup kami berdua. Kadang-kadang Ma rasa Ma gagal jadi seorang adik yang baik
untuk Kak Eza.” Luah Fatma lagi. Dia merenung wajah Azeeza yang kelihatan calar
balar dan lebam-lebam.
Izz menundukkan wajah. Air mata
dibiarkan terus menitis. Dia sebagai kawan tidak sanggup melihat keadaan Azeeza
apatah lagi adik kandungnya sendiri.
“Izz, keadaan Zeeza macam mana?” sapa
satu suara membuatkan Izz berpaling.
Satu keluhan dilepaskan apabila dia
terpandangkan wajah Liyana yang agak keruh. Mata sahabatnya itu kelihatan merah
malah masih ada sisa air mata yang menodai pipi mulus itu.
“Keadaan Zeeza stabil tapi dia masih
belum sedar diri, mungkin kesan daripada ubat ataupun Zeeza dah patah semangat
untuk bangkit semula, Ana.” Terang Izz sambil menyapu air mata yang masih
bersisa di pipinya,
Liyana menutup mulut menahan rasa sebak
yang semakin mencengkam jiwa. Pantas saja dia memeluk tubuh Firman yang berdiri
di belakangnya.
“Apa salah Zeeza sampai dia orang
sanggup buat Zeeza macam ni?” keluh Liyana dengan tangisan yang mula
kedengaran.
“Bawa bertenang, Ana. Insya-Allah Zeeza
akan sedar. Dia cuma perlukan kekuatan daripada kita. Orang yang buat Azeeza
dah terima balasan yang sepatutnya.” Pujuk Firman lembut. Dia mengelus bahu
Liyana dengan perlahan. Berharap dengan cara itu Liyana akan tenang.
Liyana terdiam. Matanya tertancap pada
Fatma yang masih memegang kemas tangan Azeeza. Lalu, dia mendekati Fatma. Bahu
Fatma disentuh lembut.
Fatma mendongak. Secangkir senyuman
diukirkan buat Liyana. Senyuman yang dirasakan sangat hambar.
“Kakak Fatma akan sedar, itu janji
akak.” Ujar Liyana turut tersenyum.
Fatma tidak menjawab sebaliknya dia
merenung wajah kakaknya yang pucat. Dia menghela nafas panjang.
“Akak boleh tolong jagakan Kak Eza untuk
Ma tak? Ma nak pergi solat sekejap.” Pinta Fatma tiba-tiba.
Liyana hanya menganggukkan kepala.
Fatma tersenyum nipis. Dia bangun untuk
melangkah keluar. Namun, saat tangannya ingin melepaskan genggaman tangan
Azeeza, tiba-tiba telapak tangannya digenggam erat oleh Azeeza. Fatma
tersentak.
“Kak Eza!” Fatma terjerit kecil.
“Alhamdulillah, Zeeza kau dah sedar!”
Liyana melonjak gembira. Dia meraup wajahnya tanda syukur.
Azeeza masih lagi mamai. Dia hanya mampu
tersenyum hambar apabila terdengar suara memanggil namanya. Genggaman tangan
Fatma tidak dilepaskan sama sekali. Dia bersyukur kerana masih diberi
kesempatan untuk bernafas.
Firman menarik nafas lega. Buat seketika
dia berpaling ke arah pintu masuk wad. Kelihatan seorang lelaki berdiri di
sebalik pintu sambil meraup wajahnya. Firman tersenyum dan senyumannya
berbalas.
BUNTANG
MATA Qaiser mendengar keputusan yang telah
dibuat oleh Puan Qarina. Dia tidak diberi peluang untuk menjelaskan apa-apa
apatah lagi untuk menerangkan hal yang sebenar.
“Qai tak setuju, mama! Ini masa depan
Qai. Qai takkan tukar kolej. Itu keputusan Qai!” tegas Qaiser sambil meraup
rambutnya ke belakang.
Puan Qarina bingkas bangun dari
duduknya. Ruang tamu yang berhawa dingin tiba-tiba terasa panas dengan
penolakan Qaiser.
“Sama ada Qai setuju ataupun tidak,
keputusan mama dah muktamad. Mama tak nak Qai buat perangai lagi dekat kolej.
Cukuplah mama malu dengan kakitangan kolej disebabkan perangai kamu yang tak
semenggah ni. Berapa kali mama dah bagi amaran, jangan guna kedudukan mama
semata-mata untuk menunjukkan yang kamu berkuasa dalam kolej tu. Bukan mama tak
tahu perangai kamu yang suka buli pelajar-pelajar dekat kolej tapi mama
pekakkan telinga aje. Tapi setelah apa yang berlaku tempoh hari, mama dah tak
boleh bersabar dengan kamu lagi. Ini adalah keputusan terbaik untuk masa depan
kamu!” Puan Qarina turut bertegas.
Qaiser mundar-mandir di hadapan Puan
Qarina. Keputusan Puan Qarina tidak dapat diterima oleh akalnya. Dek kerana
kesalahan yang tidak dilakukan olehnya, dia terpaksa menerima hukuman yang
cukup membebankan.
“Tapi takkanlah sampai mama nak tukarkan
Qai ke London? Itu tak logik mama. Kesalahan Qai bukan berat pun. Mama tak
dengar apa yang Firman cakap, bukan Qai yang pukul Azeeza. Qai tak terlibat
langsung dalam kes buli tu. Qai berada di tempat kejadian semata-mata untuk
selamatkan Azeeza. Kenapa mama tak habis-habis nak salahkan Qai ni?” soal
Qaiser dengan geram. Dia meramas rambutnya yang hitam pekat.
Puan Qarina bersikap tenang. Dia memeluk
tubuh. Wajah tampan milik anaknya dipandang lama. Mama terpaksa menggunakan apa
cara sekali pun untuk jauhkan kamu dengan gadis itu. Detik hati Puan Qarina.
“Memang kamu tak bersalah untuk kejadian
hari itu tapi untuk kes sebelum-sebelum ni kamu tak fikir? Anggap ajelah ini
hukuman untuk kedegilan kamu selama ni. Hujung minggu ni kamu ke London. Papa
pun setuju kamu sambung belajar di sana. Kamu tak boleh balik ke Malaysia
selagi pelajaran kamu tak tamat, faham?” tegas Puan Qarina lagi.
Qaiser benar-benar terkejut dengan
keputusan Puan Qarina. What the…?
Keluh hati Qaiser.
“Tapi mama final exam cuma tinggal sebulan. Biarlah Qai habiskan semester ni
lagipun ni dah final year mama.
Takkan mama tak boleh kompromi langsung?” Qaiser cuba memujuk.
Puan Qarina menggelengkan kepalanya
dengan pantas.
“No
means no. Hujung minggu ni kamu fly
ke London. Tiket mama dah booking.
Segala urusan pertukaran kamu, mama dah uruskan.” Puan Qarina memberi kata
putus.
“Mama!” terjerit kecil Qaiser dibuatnya.
Namun perbincangan mereka diganggu
dengan bunyi telefon bimbit milik Puan Qarina. Qaiser membiarkan mamanya
mengangkat panggilan sedangkan otaknya ligat memikir cara untuk memujuk Puan Qarina
walaupun dia tahu keputusan Puan Qarina tidak boleh diubah apatah lagi
dibantah.
“Okey, dia yang rela atau dipaksa?” soal
Puan Qarina dengan wajah yang serius.
“Rela? Kalau macam tu kita nak buat
macam mana. Terima ajelah. Kita dah bagi peluang tapi dia yang sia-siakan. Dia
yang rugi bukan kita.” Ucap Puan Qarina sebelum mematikan panggilan selepas
memberi salam.
“Mama, please untuk kali ni, Qai janji Qai akan jadi budak baik. Qai
takkan buli sesiapa pun lagi. Tapi please
mama jangan hantar Qai ke London. Qai tak nak…” rayu Qaiser lagi sambil
mencantumkan kedua belah tangannya.
“Dah terlambat Qai, budak perempuan yang
jadi mangsa buli kamu tu dah hantar surat untuk berhenti belajar…” ujar Puan
Qarina mendatar.
Mati terus kata-kata Qaiser. Berita yang
disampaikan oleh Puan Qarina membuatkan darah Qaiser berhenti mengalir.
Terkebil-kebil dia memandang Puan Qarina yang kelihatan bersahaja tanpa
perasaan.
“Maksud mama, Azeeza berhenti belajar?”
soal Qaiser inginkan kepastian. Dia terduduk di sebelah mamanya.
“Itu berita yang mama terima.” Jawab
Puan Qarina.
“Tapi kenapa, mama?” soal Qaiser lagi.
Dia bagaikan tidak percaya dengan. Bukankah Azeeza terlalu ingin menamatkan
pengajiannya? Kenapa semua ini boleh berlaku?
“Aku akan pergi dari sini. Ini janji
aku. Kau nak sangat tengok aku melutut mengaku kalah kan? Hari ni, depan Firman
aku mengaku kalah pada kau. Aku melutut depan kau. Aku takkan muncul depan kau
lagi. Aku akan pergi dari sini buat selama-lamanya…”
Kata-kata Azeeza terngiang di telinganya
membuatkan Qaiser terdiam sejenak. Jadi inilah yang dikatakan oleh Azeeza
tempoh hari. Dia tidak menyangka Azeeza akan mengotakan apa yang dikatakan.
Qaiser meraup wajahnya. Rasa bersalah mula menyerang dirinya.
“Mungkin dia tidak tahan dengan sikap
samseng kamu tu.” Jawab Puan Qarina.
“Tapi dia salah seorang pelajar tajaan
mama. Takkan mama tak nak halang?” Qaiser masih tidak berpuas hati.
Puan Qarina mengeluh. Wajah kecewa
Qaiser dipandang lama.
“Dah dia yang nak berhenti bukan salah
mama. Kita tak boleh paksa kalau orang dah tak nak. Kamu ni kenapa beria-ria
sangat nak sebelahkan budak tu? Kamu suka dia ke?” soal Puan Qarina dengan
penuh rasa curiga.
Qaiser tersentak. Dengan pantas dia
menggelengkan kepala.
“Qai keluar dulu, mama.” Ucap Qaiser
tanpa menjawab soalan Puan Qarina. Dia bingkas bangun dan terus mencapai kunci
motosikalnya lalu hilang di sebalik pintu.
No comments:
Post a Comment