DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 17

HOI!!” jerkah Qaiser apabila sampai di tempat Azeeza ‘dikendurikan’.
Suara-suara yang bising mula terdiam serta-merta. Qaiser tergamam melihat Azeeza yang diikat pada sebatang pokok dengan mulut disumbat dengan sapu tangan. Tubuh gadis itu kelihatan kotor akibat dibaling dengan telur, tepung dan tanah. Malah, tubuh gadis itu kelihatan basah kuyup. Mungkin disiram dengan air paip. Terdapat luka-luka di wajah yang pucat itu.
Terasa darah panas mula menyirap hingga ke kepala apabila mata Qaiser terpandang wajah Yasmin, Rizwan dan Zafuan yang kelihatan girang kerana dapat memperlakukan Azeeza dengan kejam.
“Apa kau orang buat ni? Tak guna! Kau orang ingat dia binatang ke?!” tempik Qaiser lagi. Rasa amarah mula memenuhi ruang hati Qaiser.
Lantas, tanpa berfikir panjang, Qaiser mula mengamuk. Habis semua pelajar-pelajar lelaki ditendangnya. Wajah mereka yang membuli Azeeza ditumbuk satu persatu. Paling teruk dibelasah Qaiser adalah Zafuan dan Rizwan, sampaikan mereka tidak ada ruang untuk membela diri. Amukan Qaiser tidak mengira kawan atau lawan.
Tiada siapa yang dapat menenangkan Qaiser. Sesiapa yang cuba mendekati Qaiser, akan mendapat habuannya. Natijahnya, sepuluh orang yang mengerumi Azeeza sebentar tadi akhirnya tumbang menyembah bumi akibat dibelasah oleh Qaiser.
“Sejahat-jahat aku, aku tak pernah pukul perempuan!” ujar Qaiser lantas mencekak kolar baju Zafuan.
Satu tumbukan dilepaskan di wajah sahabatnya itu buat kesekian kalinya. Wajah itu pecah berdarah. Zafuan lembik. Lantas, tubuh lelaki itu ditolak ke tanah. Qaiser menarik pula baju Rizwan yang sudah tersungkur di atas tanah.
“Walaupun aku benci dia, tapi aku sedar yang dia masih seorang manusia. Apa yang kau buat ni memang melampau. Sekarang kau rasa kesakitan yang dia rasa!” ujar Qaiser. Serentak dengan itu, dua penumbuk lekat di muka Rizwan.
Qaiser sudah hilang pedoman. Amarahnya sudah tidak mampu dibendung. Kesemua pelajar-pelajar lain lari bertempiaran melihat amukan Qaiser. Cuma yang tinggal hanya Rizwan dan Zafuan yang sudah pengsan akibat dipukul teruk oleh Qaiser.
Kini perhatian Qaiser beralih pada Yasmin yang berdiri kaku melihat Qaiser yang kelihatan ganas. Selama ini dia belum pernah melihat Qaiser segarang dan seganas ini. Kecut perutnya. Air liur ditelan terasa pahit di kerongkong. Melihat mata Qaiser yang melotot memandangnya membuatkan Yasmin ketakutan. Dia menggigil.
Firman yang sampai tidak lama selepas itu hanya mampu tergamam melihat Azeeza yang terikat di batang pokok. Apa dah jadi? Detik hatinya. Tidak lama selepas itu pandangannya beralih pada Zafuan dan Rizwan yang terbaring di atas tanah dengan wajah yang berlumuran darah.
“Qaii…” panggil Firman perlahan apabila melihat Qaiser sedang merenung tajam ke arah Yasmin. Firman yakin mangsa amukan Qaiser seterusnya adalah Yasmin. Dia harus menghentikan Qaiser dengan segera. Baran lelaki itu jangan sesekali diuji, impaknya memang tidak terjangkau oleh akal yang waras.
“Kau ingat kau kaya, cantik dan popular kau boleh buat orang lain sesuka hati, Yasmin? Aku dah pesan pada kau, jangan sesekali masuk campur dalam urusan aku dengan dia. Tapi kau degil. Tengok apa kau dah buat pada dia. Kau ingat dia binatang yang kau boleh pukul sesuka hati?” soal Qaiser dengan suara mendatar. Tangannya dikepal kemas.
Wajah cuak Yasmin direnung dengan tajam bersama dada yang berombak ganas. Bila-bila masa wajah cantik Yasmin akan mendapat habuannya.
“I mintak maaf, Qai. I ingat you akan suka kalau I balas dendam untuk you…” jawab Yasmin tergagap-gagap. Dia berundur setapak ke belakang. Wajah Qaiser menakutkan dia saat ini.
“Dendam aku pada dia dah lama padam itu yang kau tak tahu. Kau satu-satunya perempuan yang tak guna pernah aku jumpa. Kau fikir dengan buat dia macam tu, aku akan tertarik pada kau? Kau silap Yasmin. Aku tak pernah suka dan aku haramkan diri aku untuk suka perempuan tak guna macam kau. Kau sebenarnya sampah pada pandangan aku. Sekarang kau rasa apa yang dia rasa!” ujar Qaiser.
Pantas, tangannya mencapai segumpal kertas yang bersepah di atas tanah lalu digenggam kuat. Kakinya melangkah ke arah Yasmin yang kelihatan terketar-ketar. Qaiser menyambar lengan Yasmin yang berniat ingin melarikan diri. Dia tidak akan melepaskan gadis itu kali ini.
“Qai, lepaskan I!” rayu Yasmin dengan air mata yang bercucuran. Sungguh, dia takut.
“Qai…sudahlah tu…” panggil Firman lalu lari mendapatkan Qaiser. Dia cuba memegang Qaiser tapi dengan pantas, tangannya ditepis.
“Dia takkan merasa kesakitan sehinggalah dia sendiri rasa apa itu sakit!” tegas Qaiser.
Serentak dengan itu, tanpa perasaan bersalah, dia menyumbat kertas yang telah digumpal itu ke dalam mulut Yasmin secara paksa. Lengan Yasmin dilepaskan dengan kasar sehingga tubuh ramping itu terjatuh di atas tanah.
“Qai!” jerit Firman tidak percaya dengan tindakan Qaiser yang agak kasar terhadap perempuan seperti Yasmin.
“Kau tak payah risau, Fir. Kalau hati dia hati manusia, tentu dia takkan buat Azeeza sampai macam ni.” Ucap Qaiser lalu berlalu ke arah Azeeza.
Yasmin memuntahkan kertas yang telah disumbatkan ke dalam mulutnya. Dia termuntah-muntah. Melihat Qaiser yang sudah melangkah ke arah Azeeza, pantas Yasmin bangun dan melarikan diri.
Sementara itu, Qaiser terduduk di hadapan Azeeza yang sudah melutut di atas tanah. Mata itu terpejam rapat. Hanya deru nafasnya saja yang kedengaran menandakan dirinya masih bernyawa. Sayu hati Qaiser. Tersiat jiwanya melihat seorang gadis polos seperti Azeeza diperlakukan seperti itu.
Pantas, Qaiser membuka ikatan yang merantai tubuh Azeeza. Sapu tangan yang disumbat ke dalam mulut gadis itu, dikeluarkan dengan berhati-hati. Sedih. Itulah yang dirasakan oleh Qaiser saat ini. Terbayang senyuman di terukir di wajah yang lesu itu namun semua itu hanya bayangan. Kelihatan lebam memenuhi ruang wajah ayu itu.
“Zeeza…” panggil Qaiser perlahan.
Dia menepuk pipi Azeeza dengan perlahan. Niat hanya untuk menyedarkan gadis itu.
“Allah…” akhirnya Azeeza bersuara. Namun kedengaran lemah sekali.
Qaiser menarik nafas lega. Dia berpaling mencari Firman yang masih setia berdiri di belakangnya.
“Kau ada air tak?” soalnya.
Firman hanya menganggukkan kepala. Dia meraba-raba di dalam beg sandangnya untuk mencari botol air. Kemudian, botol air bertukar tangan. Qaiser terpaksa membantu Azeeza untuk minum. Dia memegang botol air yang diteguk oleh Azeeza. Gadis itu kelihatan begitu dahaga.
“Aku bawak kau ke klinik ya, Zeeza. Kau teruk sangat ni.” Ucap Qaiser lembut.
Azeeza cuba untuk membuka mata. Samar-samar dia melihat wajah lelaki yang berhadapan dengannya. Ya Allah, Kau telah selamatkan aku. Terima kasih kerana Kau masih sudi meminjamkan nafas buat ku. Detik hati Azeeza.
Perlahan-lahan, dia cuba bangkit dengan berpaut pada batang pokok. Seluruh tubuhnya terasa sengal-sengal malah kaki dan tangannya terasa kebas. Pandangannya berbalam-balam namun dia cuba gagahkan diri untuk melangkah. Hari semakin gelap dan dia perlu pulang ke rumah kerana bimbang Fatma akan risaukan dirinya.
“Aku nak balik. Adik aku mesti tengah tunggu aku…” ucap Azeeza dengan suara yang tenggelam timbul. Mulutnya masih terasa sakit akibat disumbat dengan kain untuk jangka masa yang lama.
“Aku tahu, biar aku hantar kau ke klinik. Luka kau ni teruk…” pujuk Qaiser lagi.
“Tak nak!” balas Azeeza. Dia cuba berdiri tegak namun langkahnya longlai. Akhirnya, dia jatuh semula ke tanah.
“Zeeza, cuba dengar cakap Qai tu. Biar kami hantar awak ke klinik.” Sampuk Firman lalu mendekati Qaiser dan Azeeza.
“Qai? Qaiser?” soal Azeeza kemudian dia membuka matanya dengan luas. Terpampan wajah Qaiser di matanya. Pantas saja rasa amarah meluap-luap dalam dirinya. Semua yang terjadi pada dirinya hari ini disebabkan oleh lelaki yang duduk melutut di hadapannya saat ini. Sungguh, dia benci lelaki itu. Teramat benci.
“Aku takkan terima bantuan dari lelaki yang hanya tahu bergembira melihat penderitaan aku. Kau boleh berambus dari sini! Biar aku mati dari terima pertolongan daripada kau!” jerit Azeeza dengan suara yang tenggelam timbul. Dia menarik nafas mengumpul kekuatan. Tenanganya makin berkurangan tetapi digagahkan jua untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya.
“Azeeza…” Qaiser tergamam.
“Aku orang susah, Qai. Kenapa kau seksa aku sampai macam ni sekali? Apa yang aku buat pada kau sampai dendam kau tak pernah padam pada aku? Salah ke aku jadi orang susah? Salah ke aku belajar dekat kolej ni semata-mata untuk setitis ilmu. Kenapa kau tak pernah nak faham kesusahan aku? Aku tak pernah harap apa-apa pun daripada kau. Aku cuma nak belajar. Kau faham tak?” luah Azeeza dengan air mata semakin laju menuruni lekuk pipi.
Dia sudah tidak berdaya untuk menjerit atau bertempik. Dia hanya mampu menangis dan mengongoi meluahkan rasa yang terpendam selama ini.
“Zeeza, bukan aku yang…”
“Sudahlah, Qai. Mungkin ini nasib aku. Takdir yang perlu aku terima. Aku mengalah. Kau dah menang Qai. Kau dah menang. Aku tak larat untuk menanggung dendam kau. Aku akan pergi dari sini. Ini janji aku. Kau nak sangat tengok aku melutut mengaku kalah kan? Hari ni, depan Firman aku mengaku kalah pada kau. Aku melutut depan kau. Aku takkan muncul depan kau lagi. Aku akan pergi dari sini buat selama-lamanya…” ucap Azeeza penuh perasaan.
Air mata yang merembes laju tidak dipedulikan. Dia cuba bangun setelah penat berlutut. Reaksi Qaiser yang diam tidak dipedulikan. Begitu juga dengan Firman. Apa yang ada dalam fikiran Azeeza adalah ingin pergi secepat mungkin. Tekadnya sudah bulat dan dia tidak akan berganjak dengan keputusannya.
“Awak tak boleh macam ni, Zeeza. Kita boleh bincang hal ni. Kita boleh buat repot pada dekan apa yang berlaku hari ni.” Firman bersuara.
“Repot atau tidak, saya tetap akan keluar dari kolej ni. Ini keputusan saya…” ujar Azeeza.
Dia cuba melangkah namun langkahnya kelihatan sumbang. Kepalanya berdenyut dengan kuat malah semakin berpusing-pusing. Tidak sampai beberapa langkah, Azeeza rebah menyembah bumi. Matanya terus terpejam rapat. Dia pengsan.
“Azeeza!”

APA YANG Qai nak terangkan pada mama sekarang?” soal Puan Qarina dengan tegas. Dia memeluk tubuh sambil wajahnya dihadapkan pada Qaiser yang tertunduk. Firman yang berada di sebelah Qaiser turut mendiamkan diri.
“Macam mana kes ni boleh jadi? Rizwan dan Zafuan tu kawan Qai kan? Qai tahu kan kes ni dah jadi kes buli?” Puan Qarina menyoal lagi tanpa sempat Qaiser menjawab.
“Tapi bukan Qai yang buat semua tu?”
“Bukan Qai yang buat tapi Qai juga pernah terlibat dalam kes buli bersama-sama dengan Rizwan dan Zafuan. Qai ingat Qai boleh terlepas macam tu aje? Memang mama salah seorang penyumbang dana terbesar dalam kolej ni tapi mama takkan berkompromi dengan kes buli macam ni.” Tegas Puan Qarina.
“Qai mengaku Qai pernah buli dia tapi kali ni Qai tak campur tangan. Qai tak tahu menahu apa yang berlaku. Qai cuma selamatkan dia aje. Percayalah, mama!” rayu Qaiser lagi.
Puan Qarina meraup wajahnya yang kelesuan. Mereka bertiga masih berada di hospital untuk menunggu keputusan pemeriksaan Azeeza. Sehingga sekarang, Puan Qarina masih belum berpeluang untuk mengenali Azeeza yang dikatakan menjadi mangsa buli di kolej mereka. Paling mengejutkan Puan Qarina apabila diberitahu bahawa anak lelakinya terlibat sama.
“Aku tahu, ini mesti kerja kau, Qai! Kau memang suka tengok Azeeza mati kan?” tempik suara halus mengejutkan Puan Qarina dan Qaiser. Mereka mengangkat pandangan.
“Ana!” Firman bangun dan terus mendapatkan Liyana yang sudah tersedu-sedan menangis
“Sabar, Ana. Bukan salah Qai. Ini semua salah Yasmin, Riz dan Zaf. Mereka yang harus dipersalahkan bukannya Qai…” pujuk Firman menyebelahi Qaiser.
Arggh…abang pun sama macam Qai. Dasar lelaki tak guna! Pengecut! Dayus!” jerit Liyana lagi seperti orang gila.
Dia cuba memukul Qaiser tapi dengan pantas dihalang oleh Firman. Firman mengheret tubuh adiknya itu sejauh mungkin.
“Puas hati kau, Qai? Puas? Aku tak tahu nak jawab apa dengan adik Zeeza nanti bila tahu kakaknya jadi mangsa buli oleh lelaki yang tak guna macam kau!” Izz bersuara meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Qaiser menggigit bibir. Kenapa dia dipersalahkan sedangkan dia tidak bersalah?
“Aku tak buat kerja bodoh tu, aku tak buat. Kau faham tak?!” tempik Qaiser lantas bingkas bangun berhadapan dengan Izz.
“Qaiser!” panggil Puan Qarina. Lengan Qaiser ditarik supaya menjauhi Izz. Dia bimbang dengan sikap baran Qaiser itu berlaku pergaduhan di hospital pula. Cukuplah kepalanya pusing dengan kejadian hari ini.
“Kenapa tiada siapa pun yang percaya Qai? Qai bukan bodoh nak seksa perempuan macam Azeeza tu. Qai tahu Qai pernah buat salah pada dia tapi Qai masih lagi manusia yang ada hati dan perasaan!” tegas Qaiser membela diri.
“Oh, ada hati dan perasaan? Mana kau campak hati dan perasaan kau bila kau buli perempuan lemah macam Zeeza tu? Mana?!” tekan Izz lagi.
“Aku tak buli dia. Aku tak pukul dia. Kau dengar tak?!” jerit Qaiser kuat.
Pantas, dia lari meninggalkan Puan Qarina dan Izz.
“Qai! Tunggu!” panggil Puan Qarina tapi sudah terlambat, Qaiser sudah menghilang di sebalik pintu hospital.
“Siapa waris Cik Fahima Azeeza?” sapa satu suara membuatkan Izz dan Puan Qarina berpaling.
“Saya kawan dia.” Jawab Izz lalu mendekati wanita yang memakai kot berwarna putih.
“Ahli keluarganya tak ada ke?” soal doktor wanita itu.
“Dia anak yatim piatu, doktor.” Ujar Izz dengan riak kerisauan terpamer di wajahnya.
Puan Qarina tersentak mendengar kata-kata Izz. Otaknya ligat berfikir. Jika Azeeza anak yatim piatu bermakna, gadis itu adalah pelajar yang menerima tajaan dari Yayasan Qarina. Hatinya semakin meronta-ronta ingin melihat wajah gadis yang bernama Fahima Azeeza itu.
“Boleh saya tengok dia, doktor?” soalan Izz memecah lamunan Puan Qarina.
“Okey, boleh. Dia masih tak sedarkan diri tapi keadaannya stabil.” Ujar doktor itu lagi.
Setelah meminta diri, Izz dan Puan Qarina melangkah masuk ke wad Azeeza. Melilau-lilau mata Izz mencari katil milik Azeeza akhirnya matanya terpandang pada seraut wajah yang pucat tidak sedarkan diri. Dia kenal pemilik wajah itu.
“Itu pun Azeeza!” ucap Izz lalu melangkah pantas meninggalkan Puan Qarina yang masih lambat-lambat mengatur langkah.
Dada Puan Qarina berdetak kencang apabila terpandang seraut wajah lembut itu. Semakin dia mendekat, semakin kencang detak jantungnya apabila matanya tidak lepas dari merenung wajah manis itu. Semakin dekat, semakin jelas. Puan Qarina menggelengkan kepala. Wajah itu mengingatkannya pada seseorang. Ya, masih jelas di ingatannya wajah itu.
Tidak, tak mungkin! Jerit hari Puan Qarina. Dengan pantas, Puan Qarina berpaling dan berlalu meninggalkan katil pembaringan milik Azeeza. Dia tidak mahu gadis itu mengenalinya kerana hal itu akan menambah rasa sakit dalam hatinya.
‘Dia tak sepatutnya ada di sini!’ detik hati Puan Qarina.



No comments:

Post a Comment