“EHEM!” Suriya pantas angkat muka. Matanya
bertembung dengan Noraini. Ni mesti nak korek pasal pagi tadi.
Ah, malaslah nak layan. Suriya buat muka bodoh. Dia pandang
kembali skrin komputer. Konon-konon sedang sibuk buat kerja.
“Amboi, buat-buat sibuk pulak kau ni ye. Saja nak
mengelaklah tu.” Noraini letak tangan di atas meja Suriya. Tau
tak apa, sahut hati Suriya.
“Su!” Panggil Noraini apabila Suriya tak endahkan
kata-katanya.
“Apa Kak Ani ni? Su banyak kerjalah.”
“Orang lain pun banyak kerja jugak. Kak Ani pun
banyak kerja jugak. Tapi takkanlah tak nak keluar makan tengah
hari.”
Tengah hari? Suriya pantas pandang ke bahagian
bawah skrin komputernya. Sudah melewati 1.00 tengah hari.
Macam mana tak perasan ni. Suriya tarik laci mejanya dan
mengeluarkan dompet.
“Sorry Kak Ani, tak perasanlah. Kak Ani tapaukan saya
nasi ayam ye, saya malas nak keluar hari ni.” Suriya hulur duit
kertas warna merah kepada Noraini.
“Hmm… Pertolongan ni akak nak caj upah ye,” Noraini
kenyit mata.
“Upah? Berapa akak nak?”
“Eh, eh. Bukan duit yang akak maksudkan. Su hutang
dua cerita dengan akak, so balik nanti, nak tak nak Su kena
ceritakan kat akak. Tak ada alasan nak mengelak lagi. Wajib!”
Jelas Noraini. Mencicip dia berlari anak mendapatkan rakan
sekerja yang lain.
Kak Ani suka mendera aku! Huh! Suriya mendengus.
Paling tak suka kena paksa macam ni.
TENGAH HARI itu, Suriya hanya membancuh air Milo. Sempat
dia termenung sementara menanti makanan tengah hari
sampai. Fikirannya berputar ke arah gelagat Iddin sejak akhirakhir
ini. Selepas menumpangkan dia balik malam itu, diikuti
dengan paksaan berjumpa client dan pagi tadi. Iddin datang
menjemputnya di rumah. Apa makna semua ni?
“Pelik, memang pelik.” Suriya bercakap sendirian.
“Haip! Apa hal cakap sorang ni?” Noraini yang tiba-tiba
muncul, terus tegur Suriya. Bungkusan berisi nasi ayam dia
letak di atas meja, berhadapan dengan Suriya.
Terkejut Suriya dengan sergahan Noraini. Nasib
baik tak tersembur air dari mulut Suriya. Suriya memandang
makcik mulut kepoh kat depan dia yang sedang menjongketkan
keningnya itu, tanda mahukan jawapan.
“Tak ada apa-apalah kak, tak penting pun.” Balas
Suriya. Dia bangun mendapatkan mangkuk kecil. Nak letak sup
nasi ayam.
“Su, cepatlah.”
“Cepat nak pergi ke mana?” Suriya buat-buat tak
faham. Sedangkan dia dah agak, akan terkeluar juga soalan itu
dari mulut kecoh Noraini.
“Eh, eh. Buat-buat lupa pulak. Su berhutang dua cerita
dengan akak.” Dua batang jari Noraini naik bermaksud dua
cerita yang dia sebutkan itu.
Suriya membisukan diri. Berpura-pura sedang sibuk
menjamu selera. Perut tengah lapar. Wajib isi perut dahulu.
Soalan Noraini tu, tak wajib jawab pun.
“Su, cepatlah cerita.” Melihat Suriya terus menyudu
nasi ke dalam mulut tanpa menghiraukannya, Noraini
merengek.
“Nak cerita apa Kak Ani? Tak ada yang menarik pun,”
balas Suriya sambil terus menyudu nasi ke dalam mulut.
“Ala… Biarlah tak menarik. Yang penting akak nak
dengar,” Noraini terus merayu. Kedua-dua keningnya terjongket
sama membalas pandangan Suriya.
“Hmm… Akak nak dengar yang mana satu?” Akhirnya,
selepas bermain tarik tali, Suriya bersetuju juga. Letih dia tadah
telinga dengar Noraini merengek. Meremang bulu roma pun ya
juga. Suriya meneguk Milo sebelum membuka mulut.
“Yang minggu lepas tu, tak ada apalah. Encik Iddin
ajak Su pergi jumpa client. Hari tu Bad cuti. Jadinya terpaksalah
Su ikut. Encik Iddin cakap, projek tu Su yang akan kendalikan.”
Lebih baik dia ceritakan yang ini sahaja. Tak payah nak
berpanjang lebar cerita satu demi satu. Nanti apalah pula kata
Noraini.
“Projek apa?”
“Sistem perumahan di atas talian. Untuk syarikat
Mewah Padu Holdings. Akak pernah dengar ke pasal syarikat
tu?”
“Mewah Padu? Syarikat besar tu. Eh, tapi biasanya
Encik Iddin akan pass projek besar pada Maria atau Huzair.
Kenapa kali ni Su yang kena handle?” Dahi Noraini berlapis,
lagaknya seperti sedang memikirkan masalah besar.
“Itu saya tak tahu. Tapi rasanya Maria ada satu projek
besar dengan Muslimah Anggun. Kedai di atas talian terbesar
kat Malaysia ni. Huzair pulak sibuk dengan projek syarikat
perumahan jugak. Yang dekat Semenyih tu. Entah apa nama
syarikat Su tak tahu pulak.” Baki nasi terakhir dia sudu masuk
ke dalam mulut.
“Tapi… Saya pun ada projek yang tengah handle dalam
tangan ni. Aduh! Hari-harilah balik lewat macam ni.” Suriya
mengeluh. Dia bangun dan berlalu ke arah singki. Peralatan
pantri yang baru digunakan tadi dia cuci bersih-bersih.
“Kira rezeki Su lah tu. Dapat projek dari syarikat besar
ni, masyuk tau!” Sahut Noraini sambil senyum lebar.
“Masyuk tu masyuk la jugak. Tapi letihlah Kak Ani.
Sekarang pun saya dah rasa kurang rehat. Saya rindu nak
macam dulu. Bebas tidur lama-lama.” Suriya meluahkan rasa
hati. Dia mengeluh perlahan.
“Kesian adik akak ni. Okey, stop cerita tu. So, kes pagi
tadi macam mana pulak?” Noraini mengalihkan topik perbualan.
Allah! Ingat juga makcik ni. Ingatkan bila aku dah
beralih topik, siap cerita pasal rehat yang tak cukup ni, makcik
ni lupalah cerita pagi tadi. Isy!
“Cerita apa?”
“Ha… Nak mengelak lagilah tu! No! Jangan cuba-cuba
nak tukar topik. Ceritalah, akak nak dengar.” Keluar sudah
Noraini versi yang suka merayu-rayu.
“Perlu ke?” Suriya pandang wajah mengharap Noraini.
“Wajib!” Bersemangat suara Noraini.
“Yalah, yalah. Su pun tak tahu nak cerita macam mana
dengan akak pasal yang pagi tadi tu. Masa tu, Su tunggu Pak
Mail datang ambil Su. Dengar saja bunyi hon, Su apa lagi...
kelam-kabutlah keluar dari rumah. Su dah lewat sangat masa
tu. Sampai depan pintu pagar, Su tengok kereta lain yang
tercongok depan pagar. Bukannya teksi Pak Mail. Jadi, asalnya
Su nak masuk balik dalam rumah. Along Su ada kat rumah,
ingatkan nak mintak tolong dia aje. Tapi, bila bos besar akak tu
tekan hon sekali lagi, nak tak nak terpaksalah saya naik kereta
dia. Siap paksa-paksa lagi.” Dia mendengus di hujung ayatnya.
Melopong mulut Noraini mendengar cerita Suriya.
Pertama kali pekerja perempuan di pejabat itu menerima
pelawaan Encik Iddin. Terasa dunia berhenti berputar untuk
beberapa saat.
“Akak!” Panggil Suriya sambil tepuk bahu Noraini.
“Hah? Apa dia?” Terpinga-pinga Noraini di situ.
“Akak ni kenapa? Akak suruh saya cerita, saya dah
cerita. Tapi akak macam mengelamun panjang aje, akak dengar
ke tak cerita Su?”
“Akak dengar,” pendek balasan Noraini.
“So?”
“Su tahu tak, Su ni pekerja perempuan pertama
yang datang ke pejabat dijemput oleh Encik Iddin tau. Alahai,
bertuahnya badan.” Noraini senyum meleret.
Pekerja perempuan pertama yang datang dengan
pakcik ais tu? Suriya cuak.
“Betul ke akak ni?” Suriya gusar. Manalah tahu kalaukalau
Noraini saja nak kenakan dia.
“Apa pulak tak betulnya. Su ingat tak, yang akak pernah
cakap orang cop Encik Iddin tu gay.” Suriya anggukkan kepala.
“Ada. Tapi saya tak pernah nampak pun dia keluar
dengan lelaki,” Suriya musykil juga.
Cerita Noraini seperti tak sama dengan apa yang dia
lihat. Kalau keluar dengan lelaki pun, dia keluar dengan Badrul.
Tapi Badrul tu dah kahwin. Takkanlah Badrul masih buat
perkara terkutuk macam tu lepas dah kahwin. Suriya berfikirfikir.
“Sekarang pun akak dah jarang nampak dia keluar
dengan lelaki. Orang cakap sepupu dia si Shahrul tu la pasangan
dia. Dulu selalu sangat nampak berkepit.”
“Shahrul?”
“Yang berselisih dengan Su kat depan pintu bilik Encik
Iddin tu. Alah, masa hari pertama Su kerja kat sini tu.” Ujar
Noraini lagi.
Masa hari pertama? Aku ada berselisih dengan siapasiapa
ke? Suriya bingung sekejap.
“Ada ke kak?”
“Ada. Takkan dah lupa kut.”
“Aiseh! Memang dah lupalah kak. Ah, abaikan aje. Kak,
tak nak sambung kerja ke? Waktu rehat dah nak habis ni.”
“Ha’ah la. Lupa terus bila dah bersembang.”
Mereka beriringan keluar dari ruang pantri itu menuju
ke meja masing-masing. Tanpa mereka berdua sedari, ada
seseorang sedang memasang telinga, mendengar setiap patah
kata yang Noraini dan Suriya bualkan.
Gay? Sudah banyak kali dia mendengar bisik-bisik
orang menggelarkannya begitu. Selisih! Kebenarannya hanya
dia sahaja yang tahu.
“EHEM.”
Suriya terkejut. Pantas kepalanya berpusing ke
belakang. Oh, tuan besar. Suriya tak tahu sama ada nak senyum
atau tidak.
“Awak balik dengan apa?”
“Kapal terbang,” selamba Suriya membalas. Dah
nampak dia tercongok kat perhentian teksi, takkan tengah
tunggu LRT pulak!
Kapal terbang? Mata Iddin tajam memandang Suriya
yang sedang buat-buat bodoh. Minah ni bergurau ke, sedang
buat lawak bodoh?
“Oh, saya tak tahu pulak kapal terbang pun landing
kat sini. Dah lama ke perhentian teksi ni jadi airport?” Iddin
menyindir sinis!
“Dah tahu perhentian teksi, kenapa tanya lagi?” Bisik
Suriya perlahan.
“What?” Iddin seperti terdengar Suriya mengatakan
sesuatu.
“Apa? Apa encik? Saya tak kata apa pun,” pantas Suriya
berdalih.
“Jomlah saya hantar awak balik.” Pelawa Iddin.
“Terima kasih sajalah encik,” Suriya bangun dari
duduknya. Dia sudah terpandangkan kereta abangnya
menghampiri mereka.
“Abang saya dah sampai. Saya minta diri dulu,
assalamualaikum.” Suriya terus masuk ke dalam perut kereta
Rozairul sebaik saja kereta itu berhenti di hadapannya.
Iddin hanya memandang kosong kereta Nissan Latio
yang semakin menjauh. Iddin menundukkan kepala. Hampa.
Melepas…
No comments:
Post a Comment