DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 14

IDDIN capai kotak rokok dan lighter dari atas meja
kecil di dalam biliknya. Kemudian dia menghilang di belakang
rumah. Habis sebatang, sebatang lagi rokok dia keluarkan dari
kotaknya. Selepas hujung rokok dinyalakan, dia sedut asap
beracun itu dalam-dalam. Dia bukan perokok tegar. Tapi apabila
dilanda masalah, inilah jalan keluarnya. Sedangkan dia tahu,
rokok tak boleh selesaikan masalah. Makin tambah penyakit
adalah. Tapi nak buat macam mana, dia dah ajar dirinya dengan
cara ini. Asal ada masalah, hisap rokok.
Dia tension kerana Suriya masih tak nak tegur dia.
Masih melancar perang dingin. Dah masuk seminggu mereka
begini. Dia tahulah silap dia sebab tengking Suriya. Tapi takkan
selamanya gadis itu nak lancar perang dingin. Dia dah minta
maaf pun. Takkan tak nak maaf-maafkan lagi?
“Din, Ya Allah! Din merokok balik?” Sergahan suara
Mak Yam mengejutkan Iddin. Asap rokok yang dihisap oleh
Iddin telah membawa Mak Yam ke belakang dapur itu.
“Hmm… Mak Yam kan tahu, Din memang merokok.”
“Tapi, Din dah berhenti kan dulu,” Mak Yam masih
ingat. Bertahun lalu, Iddin pernah berjanji dengannya mahu
berhenti merokok. Nampaknya janji hanya tinggal janji.
“Din masih hisap rokok tapi kadang-kadang aje. Untuk
release tension.” Perlahan Iddin menjawab. Dia sedar, dia yang
salah.
“Din, Din. Kalau tension, bukan ini jalan keluarnya.
Merokok bukan boleh selesaikan masalah. Tapi, boleh bagi
penyakit pula nanti. Isy, sudahlah tu. Mak Yam dah sesak nafas
nak hidu bau rokok tu.” Mak Yam memberi nasihat seperti
seorang ibu kepada anaknya.
“Apa masalah Din sebenarnya?” Wajah sugul di
hadapannya, Mak Yam pandang lama.
“Din, Din tersilap tengking dia.” Lurus Iddin
memberitahu.
“Dia?” Serius, Mak Yam blur.
“Din silap tengking Anggerik.”
“La… Kenapa pulak Iddin tengking anak dara orang
tu?”
Sungguh Mak Yam terkejut. Iddin yang dia kenal
amat-amat susah nak marah orang. Paling-paling teruk pun
dia diamkan diri. Pendam masalah sorang diri. Tapi kalau dah
sampai marah, tengking orang ni... memang masalah serius!
Iddin pandang Mak Yam. Puntung rokok yang masih
berbaki di celah jari, dia tenyeh pada astray. Lambat-lambat
dia membuka mulut, menceritakan kembali detik permulaan
pergaduhan antara dia dan Suriya. Semuanya diceritakan, tak
tertinggal walau satu pun.
“Sekarang macam mana? Apa plan Din?” Mak Yam
bertanya.
“Mak Yam, kalau Din tahu macam mana nak pujuk
Anggerik, tak adalah Din lepas tension macam ni.” Geram pulak
Iddin rasa.
“Oh, Mak Yam lupa.” Mak Yam berfikir. Sampai
berkerut dahinya kerana berfikir.
“Mak Yam tengok kat dalam TV, tak susah pun pujuk
perempuan. Alah, Din bagilah bunga ke, coklat ke. Atau pun
Din bagi hadiah. Tak kiralah hadiah apa pun. Asalkan sesuai.
Janganlah bagi hadiah yang boleh buat dia tambah marah.”
Tuu dia… Cadangan bernas sudah keluar dari mulut Mak Yam.
Jangan pandang sebelah mata dengan Mak Yam, okey!
“Bunga? Hadiah? Boleh guna pakai ke Mak Yam?
Macam idea lama aje,” Iddin musykil. Memanglah semua
cadangan tu selalu ditayangkan dalam drama-drama tempatan.
Tapi, boleh guna pakai ke untuk pujuk Anggerik? Perempuan
sekarang bukan ke suka demand tinggi-tinggi?
“Boleh, apa tak boleh pulak. Atau pun Din boleh cuba
satu cara ni. Tapi Mak Yam pesan awal-awal ya, plan ni nampak
lagi berani daripada cadangan tadi.”
“Lagi berani? Macam mana tu? Dengar pun dah rasa
macam best aje,” tak sabar Iddin nak tahu rancangan Mak Yam.
“Din ajak dia keluar makan. Jangan sampai… Eh, apa
orang putih panggil tu. Kandel dinner... ke apa entah. Susah Mak
Yam nak sebut.”
“Candle light dinner? Tu maksud Mak Yam?”
“Hah… Benda itulah. Tapi janganlah sampai ada lilinlilin
tu semua. Buat biasa-biasa aje. Ajak dia keluar makan tanda
minta maaf. Dalam masa yang sama, Din kenalah pandai main
ayat gula-gula kat dia. Barulah nampak real!” Bersungguh Mak
Yam membentangkan cadangannya. Macam dia pulak yang
kena jumpa Suriya.
“Boleh jalan ke Mak Yam?”
“Tak cuba, Din tak tahu.”
Iddin termenung, memikirkan cadangan Mak Yam.
Macam boleh guna pakai tapi… Apa-apa pun dia kena cuba.
Macam Mak Yam cakap, tak cuba tak tahu. Bagaimana pulak
penerimaan Anggerik nanti? Ah, pasal penerimaan dia, kau
tolak ke tepi dahulu. Yang penting kau cuba! Sahut kata hati
Iddin.
“Eh, fikir apa lagi tu? Sudah-sudahlah tu.” Mak Yam
bersiap-siap mahu beredar dari belakang rumah.
“Dan lagi satu, Mak Yam dah tak nak tengok Din
merokok lagi. Cara paling senang nak redakan tension, Din
ambil wuduk dan solat. Insya-Allah, kita akan tenang selepas
itu. Sudahlah, Mak Yam masuk dulu.” Mak Yam tepuk bahu
Iddin sebelum angkat kaki.
“Okey, terima kasih Mak Yam.”
“Sama-sama.” Iddin pandang tubuh tua Mak Yam
terkedek-kedek masuk ke dalam rumah. Walaupun dia tidak
sempat melihat ibu kandungnya sendiri, Allah kurniakan dia
penjaga yang sangat baik hati untuknya. Yang menjadi pemberi
semangat serta penyokong yang kuat untuknya selama ni.
PUKUL 4.00 PAGI. Rozairul bangun awal-awal pagi dan bersiap.
Pakaian sudah dia letak di dalam beg kecil. Tak banyak dia bawa
baju. Hanya semalaman saja dia akan bermalam di sana. Pagi
ini dia akan bertolak pulang ke Terengganu. Suriya tak nak ikut,
dia balik sorang. Tinggallah Suriya sorang diri. Memang dia tak
beritahu Suriya. Hanya sekeping kertas dia selitkan di atas meja
makan. Pandai-pandai sendirilah Suriya nak hidup.
Hampir pukul 11.00 pagi, dia membelok masuk ke
taman perumahan Telaga Daing. Tempat di mana terletaknya
rumah keluarga angkat Rozairul dan Suriya yang dipanggil
mama dan papa. Rozairul melangkah keluar dari kereta. Dia
menghirup udara yang dirindukan selama ni. Dia rindukan
bayu laut. Rindukan suasana perumahan di sini.
Selepas itu, dia memandang ke rumah yang pernah
dia diami beberapa tahun dulu. Khemah sudah didirikan di
hadapan rumah. Jika pulang beraya setiap tahun, rumah itulah
yang mereka dua beradik tuju. Tapi selepas peristiwa lalu,
Suriya sudah tidak mahu pulang lagi ke Terengganu. Peristiwa
di mana Puan Jamilah membawa mereka berjumpa dengan ibu
kandung mereka.
Kerana peristiwa ditinggalkan oleh ibu sendiri sewaktu
kecil dan pernah hidup merempat di bawah jambatan, Suriya
bencikan ibunya. Baginya wanita itu tidak layak bergelar ibu.
Dan kerana Puan Jamilah mempertemukan Rozairul dan Suriya
dengan ibu kandung mereka, Suriya mula bencikan Puan
Jamilah.
“Eh, Wan. Bila sampai?” Tepukan pada bahu dan sapaan
soalan itu mengembalikan Rozairul ke alam nyata. Pantas dia
berpaling.
“Abang long. Wan baru aje sampai,” Rozairul salami
tangan menantu lelaki sulung keluarga itu.
“Meriah nampak tu?” Rozairul merujuk kepada suasana
di depan rumah yang sudah siap berkhemah bagai.
“Hmm… Mamalah punya plan tu. Eh, jom masuk
dalam.” Arif sengih mendengar kata Rozairul.
“Kejap. Nak ambil beg kat dalam kereta.”
Usai mengeluarkan beg pakaian dari tempat duduk
belakang, Rozairul mengikut langkah Arif, merapati pintu
pagar rumah setingkat itu.
“Su tak ikut balik ke?” Arif bertanya. Baru dia teringat
nak tanya.
Rozairul gelengkan kepala sambil senyum hambar.
Kemudian dia mendekati Encik Razak. Tangan tua itu dia
salami. Selepas itu, anak-anak Encik Razak mula menyerbu dia.
Akhir sekali dia menyalami Puan Jamilah. Berderai air mata
wanita itu luruh membasahi pipi.
“Su mana?” Itu soalan pertama yang keluar dari mulut
Puan Jamilah. Meliar mata Puan Jamilah mencari kelibat
Suriya. Serba-salah Rozairul jadinya.
“Err… Su tak ikut, ma.”
Puan Jamilah sudah mengagak akan jawapan itu.
Daripada air muka Rozairul sendiri dia sudah dapat baca.
“Su masih marahkan mama, kan?” Sendu kembali
berlagu di wajah itu.
“Ma, janganlah sedih sangat. Su tak marah mama.”
Rozairul cuba untuk memberikan harapan yang manis-manis
saja buat emak angkatnya. Dia tak mahu Puan Jamilah terus
berprasangka buruk.
“Kamu jangan nak tipu mama, Wan. Mama tahu,
Su masih marahkan mama. Kalau tak, dia mesti dah ada kat
sini, bersama-sama kita.” Luah Puan Jamilah bersama esak
tangisnya.
“Milah,” Encik Razak tiba-tiba bersuara.
“Abang, Su masih marahkan saya,” Puan Jamilah
mengadu pada suaminya. Pantas Encik Razak peluk bahu
isterinya. Puan Jamilah mengongoi di bahu Encik Razak.
Hatinya tersangat sedih. Anak yang dijaga sejak kecil sekarang
begitu marahkannya, membencinya.
Ya Allah! Kau mengujiku lagi.
“Sabar, Milah. Ingat Allah.” Ujar Encik Razak sambil
usap bahu isterinya. Seketika kemudian, tangisan Puan Jamilah
terhenti dengan sendirinya.
“Hesy, apa ni. Menangis depan budak-budak,” usik
Encik Razak sambil cuit hidung isterinya.
Puan Jamilah laju alihkan wajahnya dari pandangan
Encik Razak. Malulah tu. Desis hati Encik Razak. Mungkin Puan
Jamilah baru sedar yang anak-anak sedang mengelilinginya.
“Okey, dah. Tak naklah sedih-sedih macam ni.”
Sambung Encik Razak lagi.
“Wan, masuklah berehat dulu. Baru sampai dari KL,
mesti penat lagi. Pergi letak beg dalam bilik uda.” Suruh Arif
selepas suasana yang tadinya gamat dengan tangisan Puan
Jamilah sudah kembali reda.
Uda atau nama sebenarnya, Sabri, ialah anak kelima
kepada pasangan Encik Razak dan Puan Jamilah. Sabri sudah
berkahwin dengan seorang doktor. Mereka tinggal di kampung
sebelah.
“Okey,” Rozairul menuruti arahan Arif.
ASALNYA ROZAIRUL mahu sambung berehat dan tidur
selepas mandi dan bersolat tengah hari itu. Tapi puas dia
baring di atas katil. Pusing ke kiri dan ke kanan juga sudah.
Rasa mengantuk seakan sudah dibawa pergi. Lalu, dia keluar
dari bilik. Mendapatkan isi rumah yang sedang sibuk menyusun
atur keperluan untuk esok hari.
“Eh, tak tidur ke?” Kak Long atau Razinah menegur
Rozairul sambil mengendong anaknya.
“Tak boleh nak tidurlah Kak Long.” Rozairul sengih
kepada Razinah.
“Abang Long mana?” Mata Rozairul melilau mencari
Arif.
“Entahlah. Tadi Kak Long nampak kat belakang.”
“Okey, Wan cari Abang Long dulu,” Rozairul pinta diri
sebelum berlalu ke belakang rumah.
Ada beberapa orang jiran tetangga yang datang
membantu. Inilah hidup di kawasan kejiranan yang masih
kuat mengamalkan amalan tolong-menolong. Di sini masih
mengamalkan cara hidup kampung. Bukan seperti di bandar
besar. Semuanya tempah katerer. Pemilik kediaman hanya
tunjuk-tunjuk aje nak yang mana. Kemudian sedia duit. Sudah
hilang sikap bergotong-royong.
Mama cakap majlis cukur jambul tapi gaya macam nak
sambut menantu baru. Meriah kenduri. Bisik hati Rozairul.
Pada sebelah malamnya, sesudah menunaikan solat
isyak, semua isi rumah berkumpul di bawah khemah. Banyak
betul cerita yang keluar dari mulut mereka. Setiap orang sibuk
nak bercerita. Sampai satu tahap sudah seperti langau pula.
Bising sangat. Tapi suasana inilah yang Rozairul rindukan.
Riuh-rendah apabila semua berkumpul. Macam hari raya pulak
dia rasa.
“Ha, Wan. Lama tak dengar cerita orang jauh ni.
Macam mana kerja sekarang, okey?” Rizal, anak kedua Puan
Jamilah dan Encik Razak bertanya.
“Okey aje angah. Cuma sekarang ni tengah cuti
panjang. Cuara buruk tengah melanda Eropah dan beberapa
negara lain. Kapal terbang pun tak boleh nak landing,” beritahu
Rozairul.
“Oh. Angah dengar macam best aje orang kerja bawa
kapal terbang ni,” ujar Rizal. Dia sisipkan secawan teh ke bibir.
“Kadang-kadang ada best. Kadang-kadang cuak juga.
Nyawa penumpang di tangan kita. Itu yang bahaya.” Rizal
menganggukkan kepala.
Ramai yang tak tahu. Risiko seorang pilot untuk
menerbangkan sesebuah kapal terbang sangat tinggi. Segalanya
berada di bahu pilot. Yang orang ramai tahu, best kerja jadi pilot.
Pandang belakang segala risiko. Samalah dengan budak-budak
zaman sekarang. Yang best itu yang dikejar. Langsung tak fikir
kemungkinan yang lain. Dan lagi satu... mereka fikir, pilot ni
gajinya memang tak habis dibuat makan sebulan.
“Angah, siapa yang handle Darul Hilmi sekarang ni?”
Sejak sampai tadi, hati Rozairul begitu membuak-buak
mahu menjejak kembali tempat tinggalnya sejak kecil itu. Tapi
melihatkan semua orang sedang sibuk, dia pendamkan seketika
hasrat hati. Tersangat rindu akan tempat yang pernah menjadi
rumahnya. Masih terbayang di ruang mata.
Jika orang lain pulang ke rumah masing-masing,
dia dan Suriya hanya mampu tengok saja. Kerana mereka tak
pernah kenal cuti atau hari biasa. Bagi mereka itu semua sama
saja. Hari sekolah mereka tinggal di situ. Hari cuti pun mereka
tinggal di situ juga. Tiada rumah saudara-mara. Malah mereka
tak pernah kenal saudara-mara sendiri. Mereka masih punya
saudara-marakah? Kadang-kadang soalan itu terbit dalam
benaknya.
“Ayah Chen yang uruskan Darul Hilmi sekarang.”
“Wan rasa nak pergi ke sanalah.”
“Bila? Sekarang ke?”
“Eh, taklah. Bukan sekarang. Maksud Wan mungkin
esok.”
Rizal ketawa besar dengan jawapan Rozairul. Lurus
sangat! Dia bergurau aje. Wan, Wan, kau masih tak berubah.
Macam dulu-dulu jugak. Desis hati kecil Rizal.

No comments:

Post a Comment