Tiga hari
Samirah merajuk. Tiga hari juga dia
berendam airmata. Akibatnya kepalanya
sakit. Selera makannya juga hilang,
walhal di dalam kapal terbang ketika berbual dengan lelaki kacak itu, berjenis-jenis
makanan tempatan dibualkan. Ayam golek,
rojak buah, kambing panggang, rendang kerang, laksa, pecal dan macam-macam lagi
terbayang di mata sehingga lidahnya kecur.
Dan jejaka tampan itu pula tambah menyedapkan cerita dengan memberitahu
di mana boleh dapat makanan-makanan tersebut dengan murah dan yang paling
penting, sedap rasanya.
Jetlag
belum hilang, ditambah pula dengan kepala yang sakit dan tiada selera makan,
akibatnya Samirah merasa badannya sangat lesu dan tidak bermaya. Fikirannya lagilah lesu. Lesu, beku dan tepu dengan
persoalan-persoalan yang enggan pergi dari mindanya. Puas papanya dan Aidid memujuk, namun mereka
pula dimarahi. Selepas tiga hari Samirah
masih berkecil hati kerana mereka merahsiakan perceraian papa dan mama dari
pengetahuannya.
Telefon
bimbit dicapai. Nombor mama didail lagi,
untuk kali yang entah keberapa dalam hari ini saja. Sama seperti sebelum-sebelum ini, panggilan
tidak berjawab. Samirah melepaskan satu
keluhan. Sampai hati mama tidak menjawab
panggilanku, getus Samirah di dalam hati.
Satu
keluhan berat dilepaskan. Telefon bimbit
dicampak semula ke atas katil. Samirah
berjalan ke arah tingkap biliknya. Di luar sudah gelap rupa-rupanya. Sekejap lagi akan masuk waktu Maghrib dan
pada bila-bila masa sekarang Papa dan Aidid akan tiba di rumah. Terfikir pula oleh Samirah bagaimana Papa dan
Aidid boleh menjadi kuat untuk menanggung masalah yang melanda keluarga
mereka? Kalau Papa dan Aidid kuat,
kenapa aku tidak boleh? Fikir Samirah.
Telefon
bimbitnya berbunyi. Mama! Itulah yang terlintas di kepala, lalu Samirah
pantas menuju ke katilnya dan mencapai telefon yang tercampak ke hujung
katil. Namun bukan nombor mamanya yang
tertera di skrin. Satu nombor yang tidak
dikenali. Lama Samirah merenung skrin
telefonnya, hingga deringan berhenti.
Malaslah nak bercakap dengan sesiapa pun, melainkan mama, kata Samirah
dalam hati.
Telefon
berdering lagi.
“Siapa
ni?” Samirah bertanya kepada dirinya
sendiri. Boleh jadi mama. Mungkin mama sudah menukar nombor
telefonnya. Pantas Samirah menekan
butang hijau dan melekapkan telefon ke telinga.
“Assalammualaikum,”
satu suara garau memberi salam. Riak
wajah Samirah berubah.
“Bukan
mama,” Samirah berbisik halus kepada dirinya.
Sekali lagi suara di hujung talian memberi salam. Mungkin lelaki itu si kekasih mama!
“Waalaikumussalam.”
“Cik
Samira?”
“Ya.”
“Apa
khabar?”
“Alhamdulillah. Siapa ni?”
“Irsyad
Rifqi.”
“Irsyaaad…”
panjang Samirah menyebut, sambil cuba mengingati siapa pemanggil bernama Irsyad
ini.
“Cik
Samira dah lupa? Kad saya dah buang ke?”
Kad
apa? Samirah menggaru kepala yang tidak
gatal sambil berfikir.
“Awak
duduk sebelah saya berbelas jam masa balik dari LA, tak ingat?”
MasyaAllah! Irsyad yang itu! Samirah menepuk dahinya. Macam mana aku boleh terlupa, soalnya dalam
hati.
“Irsyad! Sorry,
I am so sorry. Saya ingat awak. It’s
just that… tak sangka awak telefon
saya.”
Suara
garau di hujung talian ketawa kecil. Tawanya
menimbulkan kehairanan kepada Samirah.
“I am very happy today.” Kata Irsyad.
“Kenapa?”
“Sebab
dapat dengar suara awak.”
Samirah
terdiam, tidak tahu bagaimana hendak menjawab kata-kata Irsyad Rifqi.
“Bila
saya sampai rumah… saya teringatkan awak… dan saya… tertunggu-tunggu
bila awak akan telefon. Dah tak sanggup menunggu, sebab tu saya telefon
awak hari ini.”
Samirah
terkedu.
“Papa, esok Ira
nak keluar jumpa kawan.” Kata Samirah
kepada papanya ketika mereka duduk makan malam bersama. Baharin mengangkat kepala dan memandang tepat
ke arah Samirah dan kemudian berkalih pandang ke arah Aidid. Kedua-dua anak dan bapa saling memandang
dengan kehairanan. Satu keajaiban
apabila setelah tiga hari, malam ini akhirnya Samirah turun untuk makan malam
bersama ayah dan abangnya. Satu
keajaiban lagi bila tiba-tiba Samirah memberitahu esok dia hendak keluar
bertemu seorang kawan.
“Ira
nak jumpa siapa?”
“That guy… yang Ira jumpa dalam flight.”
Baharin
mengangguk. Dalam hatinya dia melafazkan
kesyukuran kerana sudah ada tanda Samirah sudah pulih dari kesedihannya.
“Yang
kau kata offer kau kerja?” Aidid bertanya sambil mengerling Samirah di
sebelahnya. Tangannya berhenti menyuap
nasi ke mulut.
Samirah
mengangguk. Matanya masih tertancap ke
dalam pinggan di hadapan. Berselera
sungguh dia makan. Apa tidaknya, sudah
tiga malam menahan lapar semata-mata kerana marahkan papa dan Aidid. Panggilan telefon dari Irsyad Rifqi tadi
telah menceriakannya sedikit dan pelawaan Irsyad untuk bertemu esok disambut
dengan gembira.
“Nak
jumpa di mana?” Aidid bertanya lagi.
“Pavilion.”
“Pukul
berapa?” Soal Aidid lagi.
“12.”
“Dia
tak kerja ke?” Satu lagi soalan dari
Aidid. Baharin sekadar memerhatikan dan
mendengar sesi soal jawab di antara dua orang anaknya.
“Kerja. We are
meeting up for lunch.”
“Esok
aku hantar kau.”
“Tak
payah, Ira boleh pergi sendiri.”
“No. I want to meet the guy who’s dating my
sister.”
“I am not dating him! Kami nak jumpa untuk lunch dan borak-borak, itu saja.
Yang kau ni tanya macam-macam apahal?”
Suara
Samirah sudah naik, bengang sungguh dia dengan abangnya yang banyak soal dan
sibuk hendak menghantar dia ke Pavilion.
Bukannya dia tidak boleh pergi sendiri, lagi pun Aidid perlu bekerja.
“Tak
boleh ke aku tanya? I just…”
“Aidid,” tegur Baharin. Aidid tidak jadi meneruskan ayatnya. Bila wajah papanya dipandang, Baharin
menggelengkan kepala, memberi isyarat agar Aidid jangan bersuara lagi.
Blaus merah
labuh mencecah peha dipadankan dengan seluar palazzo berwarna hijau lumut. Skaf berwarna putih dengan corak polka dot
kecil berwarna merah dililit di kepala.
Samirah mengoles bibirnya dengan gincu berwarna koko cair, warna gincu
kegemaran Samirah kerana warna itu tidak terang, kelihatan natural dan tidak menonjolkan bibirnya. Mata sudah dicelak nipis. Minyak wangi disembur sedikit di pergelangan
tangan kiri sebelum digesekkan di atas tangan kanan. Cukuplah, dia tidak mahu wangiannya terlalu
kuat hingga menarik perhatian lelaki.
Penghawa
dingin dan lampu dimatikan. Samirah
turun ke bawah, menuju terus ke kabinet kasut.
Kasut bertumit rendah diambil dan dijinjing ke pintu. Dengan lafaz Bismillah Samirah keluar.
Kasut disarungkan ke kaki. Pintu
dikunci dan sebaik sahaja dia berpaling, sebuah kereta MyVi berwarna putih muncul
di depan pagar. Samirah merenung kereta
dan pemandunya dengan rasa tidak puas hati.
Kepalanya digelengkan.
“Kan
aku dah kata, aku boleh pergi sendiri,” rungut Samirah sebaik sahaja
punggungnya dilabuhkan di tempat duduk penumpang hadapan.
Aidid
memandang adiknya sambil tersengeh.
“Kau
tak payah kerja ke?” Suara Samirah sudah
ada nada bengang.
“Kerja. Aku keluar sekejaplah,” dengan selamba Aidid
menjawab.
“Did,
aku dah besar, dah boleh jaga diri sendiri.
Kau tak payah susah-susahkan diri jemput dan hantar aku.” Samirah meluahkan rasa tidak puas hati kepada
si abang yang tua setahun dari dirinya. Papa
pun tak buat macam ni, rungut Samirah di dalam hati.
“Apa
salahnya aku hantarkan, tak payah engkau susah-susah menapak ke stesen
LRT. Lagi pun sekarang ni banyak kes
ragut. Engkau dah lama tak balik, engkau
tak tau keadaan kat KL sekarang.”
Aidid
mempertahankan tindakannya. Samirah
menjeling ke arah abangnya. Bibirnya
dicebikkan, sambil dia mengajuk percakapan Aidid. Kemudian mereka saling mendiamkan diri. Aidid memberi tumpuan kepada pemanduannnya, Samirah
pula melayan perasaan. Tidak sampai
setengah jam mereka sudah sampai ke pusat bandar, mungkin kerana waktu makan
tengahari masih jauh maka jalan raya belum sesak.
“Ira,”
Aidid menegur. Ira menoleh ke arah
abangnya.
“Sebenarnya,
ada benda yang aku nak bagi tau, tapi aku tak boleh bagi tau kau depan papa. Sebab tu aku jemput kau di rumah tadi.”
Hilang
riak sedih daripada wajahnya, timbul pula riak kehairanan di wajah Samirah.
“Mama…
sebenarnya mama dah jauh berubah… bukan dari segi kasih sayang kepada kita,
tapi juga dari segi penampilan. Itu yang
aku nampak bila aku jumpa mama. Papa tak
tau, aku tak sanggup bagi tau papa.”
“Berubah? Berubah macam mana?” Dahi Samirah berkerut dan jantungnya
tiba-tiba berdegup laju.
“She smokes.”
“What?”
Mata Samirah membulat. Wajah
Aidid di sebelah direnung dengan pandangan tidak percaya. Teringat betapa tegasnya mama dulu,
mengingatkan dia dan Aidid jangan sekali-kali merokok, sementelah papa sendiri
tidak merokok.
“Tudung
dah tak pakai.”
Dagu
Samirah jatuh.
“Aku…
aku… aku rasa mama duduk serumah dengan lelaki tu.”
Kedua
belah tangan Samirah dibawa ke muka dan mulutnya ditekup. Matanya buntang dek terkejut. Ada rasa antara percaya dan tidak percaya
dalam hatinya. Terlalu sukar untuk
diterima kerana dia tahu mamanya perempuan baik.
“Jangan
sampaikan semua ni kat papa, nanti papa lagi kecewa.” Aidid mengarahkan. Masalahnya sekarang ini Samirah yang kecewa,
terlalu kecewa selepas mendengar cerita Aidid.
“Aidid,
betul ke apa yang kau cakap ni?” Samirah
bertanya kerana berita yang disampaikan oleh Aidid itu kedengarannya terlalu
susah untuk diterima. Ada nada sebak
dalam suaranya.
“Betul
Ira. Aku jumpa mama dua minggu
lepas. Mama yang call aku, dia nak jumpa kerana nak minta aku sampaikan barang
kepada engkau. Hari tu aku tipu sebab
aku tak nak papa tau.”Aidid menerangkan.
Sambil
memandu Samirah dikerlingnya sebentar.
Kasihan dia melihat raut kesedihan di wajah adiknya. Bagi Aidid, dia sudah puas bersedih. Sekarang sudah tidak kuasa lagi untuk memujuk
mama kerana semua itu sudah puas dilakukan sebelum papa melafazkan talak.
“Malam
ni aku akan bagi kau barang yang mama suruh serahkan. Aku tak dapat bagi sebelum ni sebab engkau
berkurung saja dalam bilik.”
Samirah
kelu. Fikirannya kusut. Aidid memberhentikan kereta di hadapan
kompleks membeli belah Pavillion di Jalan Bukit Bintang.
“Cheer up sis. Engkau nak jumpa lelaki kacak, tak sesuai
buat muka macam tu,” Aidid cuba menceriakan Samirah yang duduk tegak, kaku
memandang hadapan.
“Macam
mana aku nak ceria Did …”
“Aku
faham. Itulah yang pernah aku rasakan,
malahan sampai sekarang rasa sedih, kecewa, terkilan, kasihankan papa, marahkan
mama… semuanya masih ada. Tapi aku sudah
boleh menerima takdir ini. Kau kena kuat
Ira, suka atau tidak kita kena terima keadaan ini. Life
has to go on. Go and enjoy your lunch
with this guy. I won’t pick you up later…
sebab kau dah besar kan?”
“Thanks Aidid.” Samirah menjawab dengan lemah.
Aidid
mengangguk, dan memberi satu senyuman kepada Samirah.
Fikirannya
berkecamuk. Setiap butir perkataan yang
dituturkan oleh Aidid kembali terngiang-ngiang di telinganya. Samirah larut dalam fikiran yang menerawang
di sekitar perihal mama, sehingga tidak sedar sudah 10 minit dia menunggu
Irsyad Rifqi. Bunyi telefon bimbitnya
membawa Samirah ke alam realiti. Jam
tangan dikerling, sebelum tangannya menyeluk beg yang terselimpang di atas bahu
kanan untuk mengambil telefon bimbit.
Ada satu pesanan ringkas dari Irsyad Rifqi. Jangan pula dia tak jadi datang, bisik hati
Samirah.
+Maaf
saya lambat sikit. Jangan marah ya.
Telefon
dimasukkan semula ke dalam beg. Samirah
mengeluh. Harap-harap ini bukan tabiat
dia, bisik hatinya lagi. Sebetulnya
Samirah tidak suka lelaki yang datang lambat bila ada temujanji. Baginya lelaki yang datang lambat tidak
budiman kerana membiarkan perempuan menunggu.
Samirah mengatur langkah, menyelusuri kedai-kedai di dalam kompleks
Pavillion. Tidak lama kemudian, satu
suara garau memanggilnya dari belakang.
No comments:
Post a Comment