DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 4




“Irsyad,” meletus dari mulut Samirah sebaik sahaja dia berpaling. Seorang lelaki kacak berpakaian kemas kini sedang tersenyum memandangnya.  Samirah pula tidak ada mood hendak senyum.

“Maaf, ada hal di pejabat tadi yang menyebabkan saya lambat keluar.” 

Samirah mengangguk, tetapi dalam hatinya masih tidak dapat menerima bahawa dia dibiarkan menunggu selama hampir 20 minit.  Kalau lewat setakat 5 minit masih boleh diterima, tetapi terpaksa menunggu lama bikin hatinya panas.  Apatah lagi hati masih lara dengan perkisahan mama yang disampaikan oleh Aidid.

Irsyad Rifqi merenung dengan penuh minat wajah gadis peneman bicara yang sudah menimbulkan satu rasa ingin tahu dalam hatinya, sejak berkenalan dalam penerbangan tempoh hari.  Terpamer riak kurang senang di wajah Samirah.  Wajah mencuka itu kelihatan comel di mata Irsyad Rifqi.

“Samira, I am very sorry.  I know this is very wrong for our first date.  Perkara di pejabat tadi tak dapat saya elakkan.  Maafkan saya.”

Dahi Samirah berkerut, keningnya hampir bercantum.  Date?  Why is he thinking that this is a date?  Bukankah kita sekadar nak makan tengahari bersama?  Hmm, Aidid pun sebut dating semalam?  Otak Samirah berbicara.  Irsyad Rifqi masih tersenyum, suka melihat wajah Samirah bertukar dari masam mencuka kepada berkerut.

“Jom,” Irsyad Rifqi mempelawa.

“Pergi mana?”

“Makan.  Dah lunch time kan?”

Kerut di dahi Samirah muncul semula sambil dia berjalan menyaingi Irsyad Rifqi.  Peliklah mamat rambut pacak ni, restoran sebelah belakang kenapa pula mereka berjalan ke arah pintu?  Lebih pelik lagi apabila tiba di pintu utama, sebuah SUV BMW X5 berwarna perak sudah menunggu mereka.

“Silakan,” ujar Irsyad Rifqi sambil memegang pintu kereta yang sudah dibukakan untuk Samirah.  Samirah memandang Irsyad Rifqi dengan wajah penuh tanda tanya.

“Jangan risau, saya nak bawa awak pergi makan bukannya nak culik awak.”

Akhirnya Samirah masuk sambil hatinya tertanya-tanya ke mana dia akan dibawa.  Irsyad Rifqi tersenyum sambil mengambil tempat di sebelah Samirah.  Rasa teruja kerana akhirnya dapat berjumpa si gadis manis yang tidak mahu pergi dari mindanya sejak peristiwa dalam penerbangan.

“Gerai Payung Abang Di,” Irsyad Rifqi memberi arahan dan tanpa sebarang soalan pemandu bernama Rafidi menggerakkan kereta.

Lebih kurang 15 minit kemudian mereka tiba di sebuah gerai berdekatan dengan kawasan Kampung Bahru.  Samirah keluar, matanya melihat ke arah gerai di hadapan.  Tertera nama ‘GERAI PAYUNG’ dan bertepatan dengan namanya banyak payung-payung besar berbagai warna menaungi meja-meja yang penuh dengan orang ramai yang sibuk menjamu selera.

“Kita makan kat sini?”  Samirah menyoal sambil berpaling ke arah Irsyad Rifqi di sebelahnya.

“Ya.  Awak tak biasa makan di gerai?  Kalau awak nak makan di restoran, kita boleh pergi semula ke Pavilion atau mana-mana tempat yang awak mahu.”  Irsyad Rifqi sudah memalingkan bahunya, ke arah kereta yang masih belum bergerak.

“Eh tak!  Saya boleh makan di sini,” ujar Samirah dan secara spontan tangannya menangkap lengan Irsyad Rifqi untuk menghalang Irsyad dari berpatah balik ke kereta.  Dia tidak menyedari tindakan spontan itu rupa-rupanya memberi satu getaran di dalam hati Irsyad.  Matanya segera melurut ke arah lengan yang sedang dipegang oleh Samirah.

Samirah perasan pandangan Irsyad jatuh ke atas tangannya, cepat-cepat lengan Irsyad dilepaskan.  Mukanya merah, malu dengan tindakannnya.  Ish, apalah aku ni, nanti dia ingat aku saja-saja gatal nak pegang lengan dia, omel Samirah di dalam hati.

Gelagat Samirah membuatkan Irsyad Rifqi tersenyum. 

“Jom.” 

Samirah mengikut dari belakang, lalu di celah meja-meja yang sesak dengan orang.  Sampai di meja besar di mana lauk-pauk dihidang, Samirah terpempan.  Buntang matanya melihat berjenis-jenis juadah, ulam-ulaman, sambal, gulai dan sayur di hadapan mata. Semuanya nampak sedap.  Lidahnya kecur, Samirah menelan air liur.  Sudah lama makanan Melayu seperti yang terhampar di depan mata tidak dijamah.  Irsyad Rifqi ralit memandang Samirah dengan senyuman melebar di bibirnya.  Gelagat gadis ini sungguh menghiburkan.

“Bos!  Nasi penuh ya?”

Irsyad Rifqi mengangguk sambil menyuakan tangan, menyambut sepinggan nasi yang masih berasap.  Kemudian pinggan itu dihulurkan kepada Samirah.  Tanpa sepatah kata Samirah menyambut pinggan itu dan mula bergerak, mendekati lauk yang ingin dimakan.  Kalau diikutkan hati, semuanya hendak dimakan, tetapi perutnya tidak mungkin mampu menerima sebegitu banyak makanan.  Akhirnya sebiji telur itik dimasak lemak cili api, sesenduk kerabu perut, sekeping hati lembu masak hitam dan sesenduk pucuk paku goreng memenuhi pinggannya. 

Samirah mengangkat mukanya dan terus memandang ke arah Irsyad Rifqi yang sedang merenungnya dengan penuh minat.  Irsyad Rifqi sekadar tersenyum dan berlalu ke arah sebuah meja.  Samirah menuruti dari belakang.  Di atas meja tersebut, sudah terhidang sepiring kari nangka muda, seketul ayam goreng berempah dan sepiring kecil sambal belacan. 

“Penuh pinggan tu, boleh habis ke?”  Soal Irsyad Rifqi sambil menggulung lengan bajunya.  Tali leher sudah dilonggarkan.

Samirah mengangkat bahu.  Dia pun tidak pasti apakah boleh dihabiskan semua makanan di dalam pinggannya.  Yang pasti, sudah terlalu lama dia tidak menikmati masakan kampung.  Dulu makanan sebeginilah yang dijual di restoran mama.  Kini setelah mama pergi… ah, lupakanlah tentang mama sekejap, nanti hilang pula selera terhadap makanan lazat yang terhidang di depan mata.

Samirah makan dengan sungguh berselera sehingga dia tidak peduli di hadapannya seorang CEO muda yang baru dikenali memerhatikan dia makan dengan penuh minat.  Selamba, langsung tak kisah nak control vogue, desis hati Irsyad Rifqi.  I like, desis hatinya lagi.

Dengan mudah Samirah melicinkan pinggannya.  Nampak di wajahnya kepuasan kerana dapat menikmati makan tengahari yang sangat lazat.  Sedikit peluh terbit di dahi, mungkin akibat kepedasan.  She’s cuter with those sweats on her forehead, hati Irsyad berbisik. 

“Sedap kan makanan kat sini?”

Samirah hanya mampu mengangguk.  Sungguh dia kekenyangan.  Wajah kacak Irsyad yang sedang tersenyum dikerling sekilas.  Aduhai, bukan perutnya saja kenyang, mata pun puas dapat menatap wajah kacak yang menyenangkan.  Berbaloi aku tunggu 20 minit, bisik hati Samirah.

“Kalau awak suka, we can come here again.”  Dengan yakin Irsyad mempelawa. 

Samirah meneguk air limau ais yang masih berbaki.  Again?  Maknanya dia nak jumpa aku lagi?  Dah…jangan perasan Ira.  Takkanlah si kacak kaya raya ni tak ada girlfriend?  Fikiran Samirah berkata-kata.
 
“Samira,” panggil Irsyad.  Dia kehairanan kenapa si gadis yang banyak cakap semasa dalam penerbangan, tiba-tiba pendiam pula orangnya hari ini.  Samirah mengangkat wajahnya.  Dua pasang mata bertemu.

It’s Samirah, with an ‘h’ at the end.”

Irsyad senyum.  Aduh, boleh lebur hati Samirah melihat senyuman itu. “I know, I hope you don’t mind me calling you Samira.”

Tak kisahlah, asalkan bunyinya dekat-dekat, kata hati Samirah.  Kepada Irsyad dia hanya mengangguk dan tersenyum. 

“Awak ni sebenarnya pendiam atau peramah?”

Hilang senyuman di bibir Samirah.  Timbul kerutan di dahi.  Wajah Irsyad yang sedang memandangnya dengan dua belah tangan di bawah dagu dipandang dengan kehairanan.

“Awak diam sangat hari ni, berbeza dengan masa kita dalam flight?  Awak… malu atau masih marahkan saya?”

“Nasib baik awak bawa ke tempat makan yang marvelous, marah saya dah hilang.”  Pantas Samirah menjawab.

“Okey, memandangkan awak dah tak marah, maknanya awak malu ya?”

Dahi Samirah berkerut. “Taklah.  Kenapa saya nak malu pula.”

Ya, memang selamba dan telus.  That was her character in the plane, bisik hati Irsyad.  “You are not angry, you are not shy…so…is there something bothering you?”

Samirah memandang tepat ke wajah Irsyad.  Dia merenung lama wajah kacak itu tanpa sebarang kata. 




Where do you live?” soal Irsyad Rifqi sebaik sahaja mereka memasuki kereta usai makan tengahari.

“Taman Melati.”

“Saya hantar awak balik.”

“Eh tak payah.  Hantar saja saya ke Pavilion.  Saya boleh balik sendiri.  Awak perlu sambung kerja, kan?”  Samirah yang terlalu kekenyangan menolak tawaran Irsyad Rifqi.

 “Saya hantar awak dulu dan kemudian balik ke office untuk sambung kerja.”

No.  Saya nak balik sendiri.”  Samirah bertegas.  Dia sungguh-sungguh tidak mahu Irsyad Rifqi menghantarnya pulang.  Aku belum kenal dia, takkan mengada-ngada nak dihantar pulang, akalnya berasional.

Mata Irsyad Rifqi menerawang ke seluruh wajah Samirah.  She’s different, bisik hatinya.  Kalau perempuan lain ni, belum aku offer, dah buat macam-macam alasan supaya aku tak dapat tidak terpaksa menghantar dia balik.  Let’s see if she’s really different, otak Irsyad Rifqi memberi cadangan.

No, saya akan hantar awak balik.  Just tell Abang Di how to get to your house.”  Irsyad Rifqi buat muka serius, tiada langsung senyuman di wajahnya.  Samirah sudah mula rimas.  Apahal dia ni beria-ia nak hantar aku balik? Fikirnya.

“Encik Irsyad Rifqi, I can go home on my own.  Saya tak mau menyusahkan awak.”

“Cik Samira, awak langsung tak menyusahkan saya.  Abang Di yang drive, I am just sitting here dan borak dengan awak, just like what we did in the plane.”  Irsyad Rifqi masih belum berputus asa.  Samirah pula sudah bertambah rimasnya dengan sikap mamat rambut pacak yang tidak reti bahasa.  Otaknya mula ligat memikirkan alasan yang tidak boleh dinafikan oleh Irsyad.

“Irsyad, kalau awak berdegil nak hantar saya balik, saya tak mau jumpa awak lagi.”  Kali ini ayat Samirah membuatkan Irsyad Rifqi tersenyum.  Sama seperti ketika dalam penerbangan, sentiasa saja dia tersenyum dan ketawa mendengar cerita Samirah.  Wajah manis Samirah ditenungnya lama-lama.  Samirah pula buat muka selamba, memandang ke hadapan walaupun sebenarnya hatinya berdebar direnung begitu. 

“Kenapa awak fikir saya nak jumpa awak lagi?”

Soalan ni nak mengenakan aku, atau nak menduga aku?  Otak Samirah berfikir dengan ligat.  Wajahnya dipalingkan ke kanan dan matanya menangkap pandangan Irsyad Rifqi yang lama tertancap di wajahnya.

“Awak pasti nak jumpa saya lagi… sebab… bila awak balik nanti… awak akan teringatkan makan tengahari kita, apa yang kita bualkan dan awak akan rasa… rindu.”

Perlahan-lahan senyuman di bibir Irsyad Rifqi menghilang.  Matanya dan mata Samirah masih bertemu.  Young, pretty, smart, confident, different…bisik Irsyad Rifqi kepada dirinya.

Unless…”  Ayatnya dibiarkan tergantung.  Samirah memandang ke depan semula.

Unless what?”  Irsyad menginjakkan badannya, dari bersandar ke depan sedikit agar wajah Samirah dapat ditenung.

“Awak dah ada… girlfriend… atau isteri… and it would not be appropriate for you to see me again.”

Irsyad Rifqi tersenyum.  Rasanya Samirah tidak ingat ketika mereka berbual dalam penerbangan dia sudah mengisytiharkan dia masih bujang dan tidak ada kekasih.  “Abang Di, hantar kami ke Pavilion” arahan dikeluarkan kepada pemandunya.




Jam sepuluh setengah malam pintu biliknya diketuk.  Aidid menunggu di sebalik pintu sambil memegang sebuah kotak kecil.

“Papa dah tidur ke?” Soal Samirah. 

Aidid mengangguk.  Kotak kecil dihulurkan kepada Samirah sambil dia masuk dan duduk di atas kerusi.  Jantung Samirah berdebar sebaik sahaja kotak dicapai.  Debaran kerana teruja hendak mengetahui apakah yang terkandung di dalam kotak itu.

“Cepatnya papa tidur?” Omel Samirah lagi.

“Papa kata dia letih.  Siang tadi memang papa sibuk.”

Samirah mengangguk.  Kasihan pula bila mengenangkan pada usia mencecah 58 tahun papa masih sibuk bekerja.  Harap-harap dalam masa setahun dua lagi Aidid boleh mengambil alih perniagaan papa.

How’s your date?”

Dahi Samirah berkerut.  “Kenapa orang lelaki ni, keluar makan lunch saja, dah dianggap dating?”

“Kalau dia tak ada niat nak date dengan engkau, buat apa dia ajak engkau makan?  Kau ni macam tak pernah keluar dengan lelaki.  Do you think he just wanted to have lunch with you?   It’s more than that Ira.  Masa kat Louisana tu kau tak pernah keluar dating ke?”

Samirah merenung abangnya dan dengan perlahan-lahan dia menggelengkan kepala.  “Aku tak berani keluar dengan lelaki.  Kalau aku keluar pun, ramai-ramai dengan kawan-kawan perempuan lain.  Orang putih ni culture dia lain Did.  Aku takut keluar berdua je.”

 Good girl.  So, sedap tak lunch kau tadi?”

“Sedap sangat-sangat Did.  Dah lama aku tak rasa masakan kampung macam tu.  Tapi… lepas makan aku rasa sedih… sebab kalau mama tak tinggalkan kita…”  Ada nada sebak dalam suara Samirah.  Aidid tahu pastinya Samirah rindukan masakan kampung yang pernah dijual di restoran mama mereka.  Kini, restoran pun sudah ditutup dan mama entah ke mana.

“Dah, buka kotak tu cepat.  Aku pun nak tau apa yang mama bagi.”  Aidid cuba mengalih perhatian Samirah.  Namun ternyata tindakannya salah kerana sebaik sahaja kotak dibuka, sebak Samirah bertukar menjadi tangisan.

No comments:

Post a Comment