DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 13 March 2016

ROMANTIK RAPSODI - BAB 16

KURSUS selama tiga hari berjalan dengan lancar.
Nani berkemas-kemas untuk pulang. Lega apabila teringatkan
raut wajah Rayyan yang berpuas hati dengan hasil kerjanya
bersama Nita. Nani senyum sendiri. Tiba-tiba wajah Rayyan
bertukar ganti dengan wajah Hakim... Hatinya sedikit terusik.
Dia perlu selesaikan halnya dengan Hakim. Blackberry Bold
Hakim digenggam... Macam mana dia nak hubungi Hakim ni...
Dia mati akal.
Selepas menghantar Nita pulang ke rumahnya, Nani
nekad. Dia terus menghalakan keretanya ke Puteri Palma
Condo. Dia rela menunggu di luar gate dengan harapan Hakim
akan pulang apabila selesai waktu kerja. Jam sudah pun pukul
lima petang. Kebiasaannya Hakim akan sampai ke rumah jam
lima setengah petang kerana selalunya pada waktu itu dia akan
menghubungi Nani.
Nani sabar menunggu. Blackberry masih dalam
genggaman. Seketika, dia nampak kelibat Audi milik Hakim.
Segera dia keluar dari kereta melambai-lambai tangan memberi
isyarat supaya Hakim berhenti.

Hakim memberhentikan keretanya sebaik sahaja
melihat Nani. Hatinya masih terasa sakit. Dia menghampiri
Nani. Neck tie yang menjerut lehernya dilonggarkan... Panas.
Panas luar, dalam!
Nani memerhatikan saja langkah Hakim
menghampirinya. Rindunya dia hendak menatap wajah itu. Dia
cuba mengukir senyum, namun tiada balasan daripada Hakim.
Marah lagikah Hakim padanya?
“You buat apa kat sini?” Soal Hakim nak tak nak.
Wajahnya masam mencuka.
Nani segera menghulurkan Blackberry yang sudah
retak skrinnya itu kepada Hakim. Matanya cuba mencari
anak mata Hakim. Kalau Hakim tak nak faham, dia berharap
pandangan matanya mampu memberi jawapan bahawa dia tidak
berniat membuat Hakim marah dan curiga. Tidak terlintas
dalam fikirannya untuk curang kepada kekasihnya itu. Hakim
tidak menyambut huluran Nani. Dibiarkan saja sehingga Nani
mengalah.
“Orang minta maaf pasal hari tu... Orang tak berniat
nak buat dia marah. Masa tu orang terkejut, dia tengkingtengking
tak tentu pasal. Harap dia faham, orang pun kena jaga
hati bos. Tak ada apa yang berlaku between us. Kawan orang
yang patut sama-sama pergi dinner tu tak sihat, so takkan orang
nak cancel macam tu je. Lagipun bos dah tunggu. Memang
orang salah sebab offkan phone. Orang takut, orang tak boleh
terima dia marah-marah macam tu...” Nani cuba menjelaskan
semuanya.
Hakim masih membatu. Dia menggigit bibirnya yang
kemerahan. Cuba mencerna kata-kata Nani. Nani mencapai
tangan Hakim, Blackberry bertukar tangan.
“Kalau dia tak nak percaya... terpulanglah. Orang dah
explain semuanya,” Nani berpaling untuk melangkah. Tidak
guna dia berlama di situ jika raut wajah Hakim sekeras batu.
“Okay, for this time. Orang terima excuse dia,” Hakim
bersuara.
Excuse dia cakap. Ingat aku kaki putar alam ke apa.
Nani bersuara di dalam hati. Terdetik rasa hampa di hatinya.
“Terpulanglah... kalau dia rasa orang datang sini
straight away from PD semata-mata nak bagi excuse. Orang
pun tak paksa dia percaya,” Nani malas hendak bertekak. Makin
lama dia tunggu di sini, lain pula ceritanya nanti. Elok-elok nak
jernihkan keadaan, tak pasal-pasal makin keruh pula jadinya.
Nani membuka pintu kereta, sebaik dia hendak
menutupnya, pintu kereta dihalang. Dia memandang sepi wajah
Hakim.
“Apalagi yang dia tak puas hati ni? Nak apa lagi? Nak
gaduh lagi ke?” Nani memberanikan diri bersuara.
“I miss you,” itu saja yang keluar dari mulut Hakim
tetapi sekurang-kurangnya dapat menyejukkan hati Nani yang
sedang geram. Nani senyum.
“Jangan marah-marah lagi okey.”
“Promise, dia balik dulu. Nanti orang call. Bye
sweetheart,” ujar Hakim sebelum Nani berlalu pergi.
MALAM MINGGU... Hakim tidak keluar seperti selalu. Dia
penat. Sekarang ini syarikatnya sibuk menyiapkan kertas kerja
untuk tender kerajaan bagi merebut peluang menguruskan
sebuah event antarabangsa. Pertama kali dia perlu bertungkus
lumus begini. Kebiasaannya kalau ada projek besar, daddynya
akan meminta Rayyan, abangnya menguruskan segala kertas
kerja dan urusan tender.
Dia malas hendak membantah, sekurang-kurangnya
biarlah daddy tahu dia juga berkebolehan. Rayyan! Sudah lama
dia tidak dengar cerita Rayyan. Malas dia hendak bersua muka
dengan abangnya itu. Pasti ada saja hal yang boleh membuatkan
mereka bertegang urat.
Dengar cerita daripada mummy, daddy bercadang
untuk menggabungkan syarikat yang diuruskannya, Phase One
Events dengan syarikat Rayyan, Mekar Events. Rayyan akan
kembali menerajui Mekar Holdings dan Mekar Summerset,
sebuah anak syarikat yang menguruskan rangkaian pusat
peranginan. Baru ura-ura, belum tentu jadi. Kalau jadi, makin
banyaklah kerjanya nanti. Bermakna makin berkuranglah
masanya untuk aktiviti sosial. Hatinya mendengus!
Sedang leka mengelamun, loceng di pintu berbunyi.
Hakim bingkas. Dia tahu pasti sahabat baiknya Jack yang
datang. Telahannya tepat sekali.
“Masuklah,” ujar Hakim sejurus membuka pintu.
“Kau nak lepak rumah je ke malam ni?” Soal Jack
sebaik melangkah masuk.
“Aku penatlah, tak ada mood nak keluar,” Hakim
kembali berbaring di sofa. “Kau ada plan ke?”
“Tak ada... Aku boring kat rumah. Tunggu kau call ajak
keluar. Senyap je. Apa cerita kau dengan awek pakai tudung tu?
Dah settle?” Jack melabuhkan punggungnya di sofa.
“Tadi dia datang cari aku, pulangkan handphone,”
Hakim bangun menuju ke dapur. Dua tin Coke dibawa keluar
bersama sebungkus kacang Cap Tangan.
“Kau serius ke dengan dia?” Jack bertanya lagi.
“Hahaha... aku? Serius? Hahaha,” Hakim ketawa. “Kau
pernah tengok ke aku serius dengan mana-mana perempuan.
Nonsense!” Tempelak Hakim. Bungkusan kacang dibuka.
“Kau tak kesian ke. Aku tengok awek ni lain macam
je. Innocent.” Jack memberikan pandangan dan penilaiannya
tentang Nani.
“Aku try je, dah dia on aku nak cakap apa.” Angkuh
sekali jawapan Hakim. Laju dia mengunyah kacang sambil
berbaring.
Jack menggelengkan kepalanya. Sikap Hakim tetap
tidak berubah. Ingatkan bila dah bertemu gadis bertudung,
hatinya boleh ditawan. Rupanya sama saja. Hakim will always
be Hakim. Kesian budak tu! Detik hati Jack.
“Aku cuba nak serius, tapi bila dia bercerita pasal mak
ayah dia, pasal adik-adik dia, pasal impian hidup dia, aku rasa
aku belum sedia nak bagi komitmenlah. Aku rasa macam nak
kena pikul tanggungjawab besar pulak. Pleaselah, I just want
to have fun, you know me... right. Lagipun dia baik sangat.
Tak kena dengan aku. Dah pakai tudung, nak enjoy lebih-lebih
bukan boleh. Takkan aku nak heret dia ke disco pulak.” Hakim
memeluk tubuh sasanya yang tidak berbaju. Dia lebih selesa
mengenakan boxer sahaja apabila berada di rumah.
“Kesian budak tu nanti. Daripada apa yang kau cerita,
aku tahu dia baik. Aku pulak tak sampai hati nak tengok kau
lukakan hati dia,” Jack cuba memberikan nasihat walaupun dia
tahu setiap kata-katanya tidak memberikan apa-apa makna pada
Hakim.
Kadangkala dia kasihan melihat gadis-gadis yang
menggilai Hakim. Sanggup jadi hamba cinta, sanggup lakukan
apa saja untuk Hakim sehingga mengorbankan maruah sendiri.
Pelik. Tapi itulah Hakim. Kerana rupa dan harta, dia tak perlu
bersusah payah mendapatkan apa yang diinginkan. Perempuan,
sekali petik jari, berbaris yang datang.
“Jack, aku tahu apa aku buat. Sejak bila kau jadi ustaz
ni?” Hakim meneguk Coke yang masih bersisa. Puntung rokok
dinyalakan, disedutnya dalam-dalam kemudian asap dihembus
berkepul-kepul ke udara.
“Kau jangan risaulah, aku belum puas enjoy. I know
the time will come but not now. Aku belum sedia nak ada
komitmen. Aku pun tak cakap aku nak kahwin dengan dia, kan.
Aku tak ada janji apa-apa. Long way to go, man!”
“Aku nasihat je... the rest, terpulanglah kepada kau.
Aku takut satu hari nanti, kau pulak yang jadi hamba cinta...
terhegeh-hegeh kejar budak pakai tudung tu.”
“Wei, wei, kau jangan nak curse aku,” Hakim memberi
amaran.
“Aku bukan curse, aku cuma nak ingatkan...” Tingkah
Jack. Kacang Cap Tangan disumbat ke mulut.
“Dahlah malas aku nak fikir pasal perempuan... Aku ni
dah la penat, kau tahu tak. Minggu depan nak submit proposal
tu... Kalau kalah tender tu, mampus aku kena dengan daddy.
Nanti tak habis-habis dia bandingkan aku dengan Rayyan...
Rayyan lain, aku lain. Aku tak nak hidup macam dia, jadi hamba
kerja buat apa,” ujar Hakim. Puntung rokok disedut lagi.
“Aku faham. Kau ingat kau sorang aje pening pasal
tender tu... aku pun pening. Harap-harap adalah rezeki... Eh!
Lapar pulak, apa ada kat rumah kau ni?”
“Kau pergilah cari kat dapur tu...” Malas hendak layan
si Jack. Dia teringatkan Nani... Buat apa agaknya dia sekarang
ni. Dia sukakan Nani, dia sayangkan Nani... dia akui perasaannya
itu. Namun untuk pergi lebih jauh bersama Nani, dia belum
bersedia. Cukuplah setakat menjadi kekasih buat masa ini. Dia
pun tidak harapkan lebih daripada Nani. Cinta? Entahlah dia
sendiri pun tidak tahu bagaimana ertinya cinta. Bagaimana
mengalami, merasai adanya cinta dalam hati.
“Jack! Esok temankan aku beli handphone,” Hakim
menyergah Jack yang terbongkok-bongkok di celah kabinet
dapur.
“Yalah, kut ya pun janganlah sergah aku. Siot betul.
Nasib baik aku ni tak ada lemah jantung,” ujar Jack sambil
mengurut dadanya. Panjang muncungnya memberi isyarat
yang dia berasa bengang.
Hakim ketawa terkekek-kekek tidak tahan melihat
muka Jack terperanjat.
“Kau gelakkan aku? Siap kau nanti!” Ugut Jack.
Sebungkus Maggi dibaling tepat ke muka Hakim.
PADA MASA-MASA aku sendiri menyelami malam sepiku,
terilusi bayangmu walau cuba aku nafi perasaan hatiku yang
tersembunyi kepadamu. Kaulah satu-satunya yang diriku
perlu. Saban hariku menunggu untuk bersamamu, tapi ketika
bersemuka langkahku menjadi kaku. Degup jantungku semakin
bertambah laju. Jelingan manja matamu membuaiku dalam
rindu. Apakah ini sebenarnya yang dikatakan cinta? Yang ada di
dalam hati, yang hadir di dalam mimpi. Tak daya lagi aku rahsia
apa tersirat di hati. Inikah cinta yang aku idami dan aku cari
sehingga kini. Rayyan melayan monolog hati.
Nani… Nani… Nani… kepalanya sarat dipenuhi wajah
gadis itu. Pandang ke kiri nampak Nani tersenyum kepadanya.
Pandang ke kanan nampak Nani kenyitkan mata kepadanya.
Pandang ke atas, pandang ke bawah, pejam mata… semuanya
nampak Nani… di mana-mana! Bayangan gadis itu seakan
mengekori ke mana saja dia pergi.
Parah aku macam ni! Rayyan melepaskan keluhan.
Ingin mendekati, bimbang gadis itu akan terluka lagi. Teringat
dia peristiwa di Port Dickson. Kesian Nani. Kalaulah Nani jadi
miliknya, setitis air mata pun dia tak akan izinkan tumpah,
sebesar zarah pun dia takkan melukai perasaan Nani. Andainya
Nani tahu...
Kenapa gadis itu perlu merana untuk dicintai?
Kenapa gadis itu sanggup membiarkan hatinya remuk diseksa
rasa cinta. Bukankah cinta perlu dibaja dengan kasih sayang,
bukankah cinta itu satu perkongsian rasa? Satu keindahan?
Peliknya cinta atau ini semua memang lumrah orang bercinta?
Rayyan bermonolog sendiri. Jahil sangat ke aku tentang cinta?
“Nani, jangan kacau jiwa saya. I beg you… shooohhh…
go away… go away… pergi tidur sayang… go, go.” Rayyan
bercakap sendirian, menghalau wajah Nani yang sedang
bertenggek di birai katilnya.
Rayyan terlentang di katil dengan tangan kanan
terletak di dahi. Nani, Nani... Ah, kalau setakat ada boyfriend
apa ada hal… kahwin pun boleh bercerai… Rayyan tersenyum.
Panjang akalnya tiba-tiba…
NANI BARU selesai solat Isyak tatkala telefon bimbitnya
berbunyi. Dia pantas mencapai telefon bimbitnya. SMS daripada
big boss? Nani menggaru dahi. Tak pernah-pernah bosnya SMS.
Malam-malam pula tu... Urgent ke? Aku ada buat salah lagi ke?
Nak minta tolong ibu you masakkan nasi
goreng macam kat hospital hari tu…
boleh?”
Berkerut dahinya. Buang tebiat ke apa bos ni. Nasi
goreng telur campur ikan bilis je pun ibu masak hari tu. Sedap
sangat ke?
Insya-Allah, nanti saya bawa hari Isnin
Nani cepat-cepat tekan butang send.
Thanks. Monday, okay.
Okay.
Pelik betul perangai bos ni. Takkan betul-betul tune
lari lepas accident hari tu kut? Layan sajalah selagi dia tak
suruh aku buat benda bukan-bukan. Setakat nasi goreng tu,
apalah sangat. Eh, cup… takkan orang gaji dia tak sediakan
breakfast sebelum dia pergi kerja? Nani berteka-teki sendiri.
Umar Rayyan, nasib baiklah kau tu bos aku. Kalau tak, tak
hingin aku nak layan. Kemaruk nak makan nasi goreng ibu,
macam ada udang di sebalik batu je... erm... Nani garu dagu.
Nani membelek-belek SMS daripada bosnya itu.
Sebelum terlupa, dia cepat-cepat memadamkan SMS tersebut.
Jika Hakim tahu, bimbang dia mengamuk lagi. Tak sanggup dia
hendak menghadapi bahang api cemburu Hakim. Taubat! Penat
nak berendam air mata, penat nak pujuk orang tua merajuk.

No comments:

Post a Comment