RUANG
RESTORAN Makmur kelihatan sesak dengan pengunjung yang
datang untuk menjamu selera malam itu. Bunyi sudu dan garfu berdentum-dentam
sudah menjadi perkara biasa di restoran ini. Dari jauh kelihatan Qaiser dan
Firman melangkah masuk ke dalam ruang restoran.
Mereka terpaksa melilau-lilau mencari tempat duduk
kerana hampir semua meja di ruang dalam restoran itu sudah dipenuhi oleh
pengunjung. Kedengaran keluhan terbit dari bibir Qaiser.
“Kita cari restoran lainlah, Fir. Ramai sangatlah
ni…” ujar Qaiser sambil mengajak Firman pulang.
“Eh, tunggulah dulu. Aku memang teringin nak makan
nasi kukus ni. Alang-alang kita kat sini, kita makan jelah dulu. Lagipun aku
dengar, nasi kukus dekat sini sedap tau. Rugilah kalau kita tak cuba,” ajak
Firman.
Qaiser terdiam. Dia hanya membuntuti langkah Firman
menuju ke satu meja yang telah dikosongkan. Dia melabuhkan punggung sambil
menunggu pelayan datang mengambil pesanan.
“Mana pelayan ni? Lambat betul.” Omel Qaiser sambil
matanya melilau-lilau mencari pelayan.
“Sabarlah. Orang ramai ni. Mesti dia orang tak
perasan,” ujar Firman.
Qaiser hanya mengeluh. Matanya menangkap seorang
pelayan yang sedang membersihkan pinggan dan cawan di meja sebelah.
“Waiter!”
panggil Qaiser sambil mengangkat tangannya pada pelayan tersebut.
Pelayan tersebut menoleh. Qaiser terkaku seketika.
Begitu juga dengan pelayan tersebut. Mata bertentangan mata. Dada Qaiser mula
berombak menahan rasa benci yang mula menyerang dadanya.
Firman pelik apabila melihat Qaiser kaku memandang
ke satu arah. Pantas, Firman berpaling ke belakang.
“Eh, Zeeza. Tak sangka jumpa awak kat sini,” tegur
Firman dengan senyuman manis.
Azeeza hanya membalas dengan senyuman hambar. Dengan
rasa malas yang menebal, dia menapak menuju ke arah meja yang menempatkan
Qaiser dan Firman. Pen dan kertas yang berada di dalam saku apronnya
dikeluarkan.
“Ana tak cakap ke yang saya kerja dekat sini?” soal
Azeeza tepat memandang wajah Firman. Kehadiran Qaiser yang berada di hadapan
Firman langsung tidak diendahkan.
“Ada tapi saya terlupa pula.” Ujar Firman tersengih.
Azeeza hanya tersenyum nipis. Dia kembali mendongak
memandang wajah Firman.
“Awak nak minum apa?” soal Azeeza lembut.
“Bagi saya Nescafe Ais jelah. Qai, kau nak minum
apa?” soal Firman bagi pihak Azeeza.
Qaiser yang hanya mendiamkan diri tersentak. Pantas
saja pandangannya beralih ke wajah Firman.
“Kau pelayan dekat restoran ni ke?” soal Qaiser
bersahaja.
Firman mengerutkan dahi. Kurang mengerti dengan
kata-kata Qaiser.
“Aku cuma tanya je. Takkan kau tak nak minum atau
makan apa-apa?” giliran Firman pula yang menyoal.
Qaiser tersenyum sinis. Lantas, wajah gadis yang
memakai baju t-shirt berlengan panjang dan bertudung hitam itu dipandang dengan
tajam. Rasa dendam pada gadis itu masih belum terhakis. Sakit hatinya masih
belum terbalas.
“Apa guna ada pelayan depan mata ni kalau kau yang
ambil oder aku?” soal Qaiser sambil menjeling pada Azeeza yang masih tercegat
berdiri.
Azeeza mengetap bibir. Dia tahu maksud lelaki itu.
Satu dengusan terbit dari bibirnya.
“Qai, kita kat luar sekarang bukan kat kolej,” tegur
Firman.
“Hah, kau nak minum apa?” soal Azeeza malas. Dia
sudah bersedia untuk mencatatkan pesanan di atas kertas.
“Kau siapa nak panggil aku macam tu? Aku tak kenal
kau. Sekarang aku customer kau,
hormat sikit!” suara Qaiser sudah mula meninggi. Beberapa pasang mata asing
memandang ke arah mereka bertiga.
“Qai…” Firman bersuara. Pantas, Qaiser mengangkat
tangan meminta supaya Firman menghentikan bicaranya.
“Encik nak minum apa?” Azeeza kembali menyoal sambil
menekankan perkataan Encik. Rasa sebal sudah menyelubungi hati Azeeza.
Dia tahu sekarang ini Qaiser adalah pelanggan yang
patut dilayani dengan sebaik mungkin walaupun hatinya membentak untuk melarikan
diri daripada tempat itu. Mata dan hatinya sakit sebaik saja melihat wajah
Qaiser. Walaupun wajah itu tiada cacat celanya.
“Aku nak orange
juice.” Balas Qaiser.
“Makan?”
“Bagi dua nasi kukus ya.” Pinta Firman dengan ramah.
Azeeza hanya menganggukkan kepala dan beredar menuju
ke dapur untuk menghantar pesanan.
“Qai, kau janganlah buat dia macam tu. Dia tengah
cari rezeki. Kalau pengurus dia nampak kau tengking dia, nanti dia pula yang
kena marah.” Tegur Firman tidak berpuas hati dengan sikap Qaiser.
Qaiser mencebik. Dia tidak peduli semua itu. Baginya
dendam harus dibalas. Siapa yang suruh cari pasal dengan aku kan?
“Yang kau asyik bela dia sangat ni kenapa? Kau dah
syok dekat dia ke?” tempelak Qaiser geram.
“Ini bukan masalah syok ke apa, Qai. Aku tahu kau
suka buli student kat kolej tu tapi
cukup-cukuplah tu. Minggu lepas kau dah kenakan dia cukup-cukup. Takkan dendam
kau tak terbalas lagi?” keluh Firman.
“Cuba kau tengok muka aku ni, Fir. Kau ingat aku
akan maafkan dia macam tu je ke? Dia tumbuk muka aku depan kau. Depan
kawan-kawan kita yang lain. Kau ingat aku tak ada maruah ke? Dia yang cari
pasal, biar dia yang selesaikan sendiri.” Balas Qaiser. Hatinya enggan menerima
kata-kata nasihat daripada Firman.
“Okey, itu masalah kau dengan dia. Tapi aku mintak
sangat kau jangan buat hal dengan Zeeza tu dekat tempat dia cari rezeki. Dia
bukan senang macam kau, Qai. Kau tak kenal dia…”
Belum sempat Qaiser membalas, Azeeza datang menatang
dulang yang berisi pesanan Qaiser dan Firman. Dengan berhati-hati dia
meletakkan gelas di atas meja sambil diperhatikan oleh Firman. Qaiser hanya
menjeling
“Awak dah makan, Zeeza?” soal Firman prihatin.
Azeeza memandang sekilas. Pantas, dia menggelengkan
kepala.
“Tak sempat. Customer
ramai.” Jawabnya.
Firman hanya menganggukkan kepala. Manakala, Qaiser
hanya memerhatikan tingkah Azeeza. Wajah gadis itu kelihatan tidak bermaya.
Penat sangat ke? Soal hatinya. Namun, Qaiser tidak membiarkan hatinya tercuit
melihat wajah Azeeza yang kepenatan. Gadis itu adalah lawannya. Musuh yang
perlu ditentang habis-habisan.
Lalu, Qaiser mencapai jus oren yang dipesan. Dia
meneguk perlahan sebelum wajahnya berkerut.
“Puiii,
air apa ni?!” bentak Qaiser sambil meludah ke lantai.
Firman tersentak. Azeeza tercengang. Dia berpandangan
dengan Firman yang jelas terkejut dengan reaksi Qaiser yang tiba-tiba
membentak.
“Ke..kenapa?” soal Azeeza tergagap-gagap. Dia cuak.
“Kenapa kau tanya? Kau tahu tak yang air ni masam
macam tertumpah cuka. Siapa yang buat air ni?” soal Qaiser dengan suara yang
masih meninggi.
“Tukang bancuh air yang buat. Takkan boleh masam
pula?” soal Azeeza bagaikan tidak percaya.
Dia menelan air liur. Mula kecut perut apabila
banyak mata yang memandang ke arah mereka.
“Habis tu kau ingat aku menipulah?” tekan Qaiser.
Dia mula berdiri bertentangan dengan Azeeza.
Azeeza menarik nafas panjang. Nampaknya, Qaiser
sengaja ingin mencari pasal dengannya.
“Aku tak cakap pun kau menipu tapi selalunya air
yang orang lain pesan okey je. Tak adalah pula yang kompelen masam. Dah nama
pun orange juice mestilah masam
takkan pahit pula,” tempelak Azeeza dengan suara yang perlahan namun sempat
didengari oleh Firman dan Qaiser.
Firman menyembunyikan senyumnya sementara wajah
Qaiser sudah berubah.
“Kalau kau tak percaya…nah! Kau rasa sendiri!” ujar
Qaiser.
Tak semena-mena dia menyimbah jus oren tersebut ke
muka Azeeza. Habis wajah itu basah dengan air oren yang melekit.
Azeeza terjerit kecil. Firman turut terkejut. Dia
bingkas bangun.
“Qai, apa ni?!” jerit Firman.
“Kau jangan menyibuk. Ini urusan aku!” bentak
Qaiser.
Azeeza mula bengang. Dia meletakkan dulang di atas
meja. Kesabaran yang ditahan dirasakan semakin menipis. Kenapalah mamat seorang ni suka sangat cari pasal
dengan aku? Detik hatinya. Lalu, dia menyapu wajahnya dengan kedua belah tapak
tangan. Pandangan daripada pelanggan lain tidak dihiraukan. Apa yang dia tahu,
dia harus menyelesaikan masalahnya dengan Qaiser secepat mungkin.
“Siapa bagi kau hak simbah air ke muka aku?” soal
Azeeza dengan suara yang ditahan-tahan. Dia memberanikan diri untuk menentang
wajah Qaiser.
“Untuk simbah air ke muka perempuan macam kau, aku
tak perlukan apa-apa hak! Memang padanlah dengan muka kau!” sinis Qaiser.
Terasa kemenangan berada di pihaknya.
“Jadi aku tak perlukan hak juga untuk simbah kau
dengan kuah ni…”
Serentak dengan itu, Azeeza mencapai kuah nasi kukus
yang masih panas lalu disimbahkan ke baju Qaiser yang tidak bersedia dengan
tindakan Azeeza. Qaiser tercengang. Melopong mulutnya melihat baju t-shirtnya
dipenuhi dengan kuah kari.
“Kau memang tak guna! Aku nak jumpa dengan pengurus
kau, sekarang!!” lantang suara Qaiser kedengaran.
“Zeeza, Qai, sudahlah tu. Malu orang ramai tengok
ni,” Firman cuba meleraikan kekusutan yang melanda. Dia tidak senang duduk
apabila mereka bertiga menjadi tontonan orang ramai yang sedang menjamu selera.
“Aku dah agak, kau ni memang pengecut..” balas
Azeeza masih lagi mampu bersikap selamba. Sedikit pun tiada riak takut terpamer
di wajahnya ketika berhadapan dengan Qaiser.
“Apa bising-bising ni?” tegur satu suara dari arah
belakang membuatkan Azeeza berpaling. Dia menundukkan wajah. Habislah aku kali
ni!
“Zeeza, apa yang berlaku ni? Dari dalam saya dengar
bising-bising.” Encik Azman menyoal sambil matanya memandang wajah Azeeza dan
Qaiser silih berganti.
Azeeza hanya mendiamkan diri. Tidak berani untuk
membuka mulut. Bimbang dia akan hilang pekerjaan.
“Kenapa kau diam? Takut? Encik, cuba encik tengok
apa yang pekerja encik dah buat pada saya. Berani dia simbah kuah kari ni kat
baju saya? Dia ingat dia siapa?!” Qaiser mula memainkan lakonannya. Dia akan
pastikan hidup gadis di hadapannya ini musnah.
Encik Azman tersentak. Pandangannya beralih pada
Azeeza yang hanya menundukkan wajah.
“Betul Zeeza apa yang customer ni cakap? Awak simbah kuah kari ke baju dia?” soal Encik
Azman inginkan kepastian.
Azeeza masih lagi beku. Menggangguk tidak,
menggeleng pun tidak.
“Maknanya betullah, awak simbah kuah kari tu?” soal
Encik Azman sambil menekan suaranya lagi.
Kali ini dengan perlahan-lahan, Azeeza menganggukkan
kepala.
“Lelaki yang tak guna ni mulakan dulu!” bentak
Azeeza cuba membela diri.
Qaiser tersentak. Tajam dia merenung wajah Azeeza.
Terasa ingin ditelan gadis itu hidup-hidup. Baru puas hatinya.
“Zeeza, sekali pun encik ni yang mulakan dulu tapi
tak bermakna awak kena balas balik kan. Dia customer
kita. Customer always right..”
“Biarpun maruah saya dipijak-pijak, harga diri saya diletakkan
di bawah tapak kaki dia. Kesabaran saya diuji, encik masih cakap customer always right? Perkataan itu
hanya sesuai untuk customer yang tahu
menghormati pekerja macam saya bukan customer
sampah macam dia!” bentak Azeeza sambil menuding jari pada Qaiser.
“Encik tengok sendiri perangai pekerja encik macam
mana. Saya tak teragak-agak nak saman restoran encik atas kebiadapan pekerja
encik ni kalau encik tak buang dia sekarang!” Qiaser menyampuk.
Azeeza terkejut. Dia menentang anak mata Qaiser
dengan renungan tajam. Berombak dadanya menahan sisa kesabaran. Firman pula
mula serba salah.
“Qai, jom kita balik. Kau dah melalut ni…” ajak
Firman sambil menarik lengan Qaiser.
Qaiser mendengus. Dengan pantas, dia merentap
tangannya semula.
“Aku takkan pergi selagi perempuan ni tak dibuang
kerja!” ujar Qaiser.
“Encik, saya nak encik pecat perempuan ni sekarang
juga atau saya akan saman restoran ni!” ulang Qaiser lagi apabila melihat Encik
Azman diam membeku.
Encik Azman serba salah. Azeeza adalah pekerjanya
yang baik. Malah, gadis itu bukan gadis yang senang. Tidak sampai hati untuk
dia memecat Azeeza kerana kesalahan pertama gadis itu. Tetapi masa depan
restorannya jauh lebih penting.
“Zeeza…” panggil Encik Azman.
Azeeza tahu apa yang ingin dikatakan oleh Encik Azman.
Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Dia menahan sebak. Jika ini suratan yang
telah ditetapkan, dia harus akur. Perlahan-lahan, dia menanggalkan apron yang
dipakai lalu digenggam dengan kuat. Seolah-olah dengan cara itu dia menemui
kekuatan.
“Tak mengapalah, Encik Azman. Saya faham. Restoran
ni lebih penting untuk Encik Azman. Encik Azman tak payah pecat saya sebab saya
dengan sendiri akan berhenti agar hati orang yang busuk tu puas. Dia bukan nak
lihat Encik Azman bankrap tapi dia nak saya menangis dan melutut untuk minta
maaf pada dia. Tapi maaflah, kemaafan saya terlalu berharga untuk manusia yang
tak ada hati perut macam dia.” Ujar Azeeza tenang.
Dia melangkah untuk meninggalkan ruang restoran
tersebut. Namun, langkahnya terhenti sebelum dia berpaling dan menghampiri
Qaiser yang masih tegak berdiri. Kelihatan lelaki itu tersenyum kemenangan.
“Kau mungkin gembira melihat penderitaan aku. Kau
mungkin bahagia dengan kesengsaraan aku tapi kau harus ingat, kau buat aku
kehilangan pekerjaan aku tapi bukan maruah aku. Kau boleh hancurkan periuk nasi
aku tapi kau lupa bukan kau yang memberi rezeki. Kau boleh benci aku semahu
hati kau kerana aku takkan pernah memaksa kau untuk berhenti membenci aku. Kau
tak kenal aku jadi kau tak tahu apa yang aku tanggung. Semoga kau terus
berbahagia dengan penderitaan aku,” ucap Azeeza. Dengan selamba dia
mencampakkan apron ke muka Qaiser sebelum berlalu meninggalkan tempat itu.
Setitis demi setitis air matanya tumpah dan jatuh
menitik di bumi. Terbayang wajah adik kesayangannya di ruang mata. Maafkan
kakak, Ma. Kakak tak dapat nak belikan baju uniform untuk Ma kali ni. Desis
hatinya.
Qaiser terkedu seketika dengan kata-kata Azeeza. Dia
biarkan saja apron itu melurut jatuh ke lantai.
“Puas hati kau sekarang? Kau dah menang, Qai. Kau
dah berjaya hancurkan hidup Zeeza. Itu yang kau nak kan? Berapa kali aku cakap
pada kau, dia bukan orang senang macam kau. Kenapa kau tutup periuk nasi dia?
Dia anak yatim piatu, Qai. Dia tiada siapa-siapa dalam dunia ni. Aku tak sangka
kau sekejam ni!” luah Firman sebelum berlalu meninggalkan Qaiser yang termangu
sendirian.
Qaiser kembali melabuhkan punggung di atas kerusi.
Kata-kata Firman terngiang di telinganya. Azeeza anak yatim piatu? Mustahil.
Habis tu macam mana dia boleh lepas masuk ke kolej itu sedangkan kolej itu
adalah kolej persendirian yang memerlukan belanja yang besar? Hatinya
tertanya-tanya.
“AWAL AKAK
balik hari ni?” tegur Fatma lalu mendapatkan Azeeza yang berada di muka pintu.
Azeeza hanya tersenyum hambar. Sedaya upaya dia cuba
menayangkan wajah yang ceria di hadapan Fatma. Dia tidak mahu Fatma tahu
kegelisahan yang melanda hatinya.
“Ma buat apa tadi? Ulangkaji ke?” soalan dibalas
soalan oleh Azeeza.
Fatma hanya menganggukkan kepala. Dia dapat mengesan
perubahan di wajah namun bibirnya berat untuk menyoal.
“Kakak dah makan? Lauk yang akak masak tadi ada
lagi. Nanti Ma panaskan.” Ujar Fatma dengan senyuman.
Azeeza menggelengkan kepala. Dia menapak menuju ke
kerusi rotan. Dia melabuhkan punggung di situ sambil menekup wajahnya.
“Akak ada masalah ke? Ma tengok akak macam tak sihat
je,” Fatma memberanikan diri untuk bertanya. Dia duduk di atas lantai sambil
mengadap kakaknya.
Lama dia menunggu balasan daripada Azeeza tetapi
tiba-tiba dia melihat bahu Azeeza terhinjut-hinjut. Menangiskah kakaknya ini?
“Kak, kenapa ni? Kenapa akak menangis ni?” soal
Fatma cemas.
Dia bangun dan duduk di sebelah Azeeza. Bahu Azeeza
dipeluk erat.
“Akak dah berhenti kerja, Ma.” Ucap Azeeza.
Fatma terpempan seketika. Lama dia merenung wajah
Azeeza sebelum bibirnya mengeluh.
“Tapi kenapa kak?” soal Fatma ingin tahu.
Azeeza terdiam. Tidak mungkin dia menceritakan
tentang Qaiser pada Fatma. Adiknya itu masih mentah untuk mengetahui apa yang
terjadi. Mungkin ini adalah salahnya juga kerana mencari masalah dengan Qaiser.
Lagipun bukan dia tidak kenal dengan Qaiser. Seorang lelaki yang sarat dengan
dendam.
“Anggap jelah rezeki akak dah tak ada dekat restoran
tu. Cuma akak terkilan sebab tak dapat nak belikan baju uniform untuk Ma.
Maafkan akak, Ma. Akak gagal jadi kakak untuk Ma,” ujar Azeeza. Dadanya kembali
dihurung sebak. Dia menyapu air mata yang masih bersisa di pipi.
“Tak mengapalah, kak. Kita cuba ikhtiar cara lain.
Rezeki di tangan Allah bukan dengan manusia. Satu pintu rezeki kita tertutup,
insya-Allah pintu rezeki yang lain masih terbuka. Ma yakin dengan kakak,” balas
Fatma memberi kata-kata semangat.
“Tapi dekat mana lagi kita nak cari duit, Ma?
Sekarang ni susah nak cari kerja part
time.” Ucap Azeeza.
Fatma terdiam sebentar. Dalam kepalanya ligat memikirkan
apa yang perlu mereka lakukan.
“Hah, apa kata kalau kita berniaga dekat bawah flat
ni?” soal Fatma tiba-tiba.
Azeeza berpaling pada adiknya. Dahinya berkerut.
“Berniaga? Kita nak niaga apa?” soal Azeeza.
“Kita jual nasi lemak ke, kuih ke. Apa-apa jelah.
Lagipun dekat bawah ni tak ada lagi yang jual nasi lemak,” ujar Fatma memberi
pendapat. Dia tersenyum-senyum.
Giliran Azeeza pula yang terdiam.
“Tapi dik, mana kita nak cari modal. Nak masak nasi
lemak perlukan modal juga,” balas Azeeza. Duit. Itulah masalah mereka
sekeluarga. Sewa rumah yang mereka duduki sekarang ini pun masih ditanggung
oleh Encik Rashid. Entah bila dia akan berhenti menyusahkan bapa saudaranya
itu.
“Kita minta tolong dengan pak long nak tak, kak?”
Fatma memberi cadangan.
Azeeza tersentak daripada lamunan. Kemudian dia
menggelengkan kepala.
“Akak tak mahu menyusahkan pak long lagi. Cukuplah
dia tolong bayarkan sewa rumah kita ni. Budi dia pun kita tak balas lagi,”
jawab Azeeza.
“Memanglah kita dah banyak menyusahkan pak long tapi
Ma rasa pak long tak kisah kalau kita pinjam duit sikit dari pak long. Bila
dapat untung nanti kita bayar balik. Bolehlah kak. Ini je satu-satu usaha yang
boleh kita buat,” pujuk Fatma.
Azeeza mula serba-salah.
“Bolehlah kak, lagipun pak long sendiri yang cakap
kalau perlu apa-apa, mintak aje dengan dia.” Tambah Fatma lagi.
Azeeza mengeluh berat. Dia meraup rambutnya ke
belakang.
“Yelah, yelah. Nanti akak try mintak dengan pak long.” Akhirnya Azeeza mengalah.
Fatma hanya tersenyum manis.
QAISER
MELANGKAH masuk ke dalam rumahnya dengan langkah yang
longlai. Entah kenapa kejadian di restoran tadi benar-benar menganggu
fikirannya. Kata-kata Azeeza kerap kali berlegar-legar di mindanya.
“Hai, Qai. Baru balik?” soal Puan Qarina sewaktu
terpandang Qaiser yang ingin mendaki tangga.
Langkah Qaiser terhenti. Dia hanya menganggukkan
kepala.
“Mama tak tidur lagi ke?” soal Qaiser kembali. Anak
matanya masih memandang wajah mamanya yang tekun menghadap komputer.
“Mama ada kerja sikit. Nak check semula senarai nama pelajar-pelajar yang layak dapat biasiswa
daripada Yayasan Qarina.” Jawab Puan Qarina. Matanya memandang kertas di tangan
dan skrin komputer silih berganti.
Biasiswa? Hati Qaiser bagaikan tergerak ingin tahu
tentang biasiswa yang mamanya berikan pada pelajar-pelajar sebelum dipilih
untuk masuk ke Kolej Antarabangsa Intergriti Pahang. Lalu, Qaiser menghayunkan
kaki ke arah Puan Qarina. Dia duduk bersebelahan dengan mamanya yang kelihatan
sibuk.
“Mama, Qai nak tanya sikit boleh?” soal Qaiser
perlahan.
Puan Qarina mendongak. Dia tersenyum manis.
“Boleh sayang, apa dia?” soal Puan Qarina.
“Macam mana mama bagi biasiswa ni ya? Maksud Qai,
pelajar macam mana yang layak terima biasiswa dari Yayasan Qarina?” soal Qaiser
ingin tahu.
Puan Qarina tersenyum. Dia meletakkan kembali kertas
A4 yang dipegang di atas meja. Wajah kacak milik Qaiser kini menjadi tumpuan.
“Kenapa baru sekarang Qai nak tahu? Selama ni Qai
tak pernah nak tahu pun.”
“Selama ini Qai tak berpeluang nak tanya. Tapi
selepas Qai dapat tahu yang mama ada bagi biasiswa dekat student di kolej tu, Qai rasa Qai patut tahu.” Jawab Qaiser
berhati-hati.
“Kalau Qai nak tahu biasiswa daripada Yayasan Qarina
ini memang untuk pelajar-pelajar yang terpilih saja. Mula-mula mama akan mintak
senarai nama daripada semua sekolah harian biasa di seluruh Pahang ni, kemudian
yang mana pelajar-pelajar yang pandai tapi tak berkemampuan untuk sambung
belajar mama akan bagi biasiswa untuk lanjutkan pelajaran ke Kolej Antarabangsa
Intergriti Pahang.” Jelas Puan Qarina.
Qaiser hanya menganggukkan kepala. Terlintas nama
Azeeza di benaknya. Gadis itu memang seorang yang pandai malah tiap-tiap
semester gadis itu akan mendapat anugerah dekan.
“Tetapi kalau dah terpilih, student tu kena pastikan pointer
setiap semester meningkat ataupun tidak kurang daripada 3.50, jika tidak
biasiswa itu akan ditarik balik.” Tambah Puan Qarina lagi.
“Berapa je yang Yayasan Qarina bagi untuk setiap
pelajar yang terpilih?” soal Qaiser lagi.
Puan Qarina terdiam seketika. Dia cuba mengingati
sesuatu.
“Yayasan akan bayarkan yuran pengajian, hostel, jika
pelajar duduk di asrama dan lima ratus ringgit akan diberikan sebagai elaun
untuk pelajar.” Jelas Puan Qarina.
“Lima ratus ringgit je, mama?” soal Qaiser seakan
terkejut.
Patutlah Azeeza bertungkus lumus bekerja sampai ke
lewat malam, ternyata wang biasiswa yang diberikan tidak mencukupi untuk
perbelanjaannya. Mana nak beli buku rujukan lagi. Nota-nota yang disediakan
oleh pensyarah juga perlu dibayar. Makan untuk setiap hari juga perlu dikira.
Ya Allah, betullah kata Firman, aku dah taburkan pasir dalam periuk nasi dia.
Keluh Qaiser dalam hati. Dia meraup wajahnya.
“Yelah, lima ratus ringgit je. Yuran pengajian,
yuran peperiksaan semua yayasan yang tanggung. Selebihnya terpulang pada
pelajar tu sendiri.” Jawab Puan Qarina.
“Tapi Qai rasa macam tak cukup je kalau yayasan bagi
lima ratus ringgit untuk satu semester. Bayangkanlah macam mana pelajar-pelajar
nak makan, nak beli buku dengan duit banyak tu. Kalau Qai kat tempat dia orang,
gerenti Qai puasa tiap-tiap hari,” balas Qaiser.
Puan Qarina tersenyum manis. Memang kalau diikutkan
duit elaun sebanyak itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan di kolej
persendirian yang bertaraf tinggi ini tetapi Puan Qarina yakin pelajar-pelajar
yang dipilih ini mampu berdikari. Mampu mencari duit sendiri untuk meneruskan
perjuangan dalam kolej ini.
“Qai jangan risau, pelajar yang dipilih untuk
menerima biasiswa ini sudah sedia maklum tentang perkara ni. Dia orang setuju
lagi pun dia orang boleh berdikari. Hanya perlu sediakan duit belanja dan duit
buku je. Yang lain ditanggung. Yayasan kita pun perlukan lebih dana untuk bantu
pelajar-pelajar lain,” ujar Puan Qarina.
Qaiser mengeluh. Dia telah melakukan satu kesilapan
yang besar hari ini. Memusnahkan periuk nasi orang yang susah. Tiba-tiba dia
rasa bersalah.
“Satu lagi kalau Qai nak tahu, biasiswa ini bukan
saja untuk pelajar-pelajar yang susah tau tapi untuk pelajar-pelajar yang
kehilangan ibu bapa. Mungkin cara ini dapat membantu mereka meningkatkan taraf
hidup di masa hadapan.” Tambah Puan Qarina lagi menyebabkan lamunan Qaiser
terhenti.
Qaiser hanya mampu memandang wajah Puan Qarina.
Tiada kata yang dapat dilafazkan. Betapa dia berasa menyesal dengan apa yang
terjadi. Tapi salah Azeeza juga kerana terlalu suka melawan kata-katanya.
Qaiser mengeluh. Apa yang harus dilakukan untuk menebus kesilapannya tadi? Soal
hati Qaiser.
“Hmm…Qai
naik dululah, mama.” Ucap Qaiser tiba-tiba.
Puan Qarina tersenyum dan menganggukkan kepala.
“Pergilah tidur. Esok ada kelas pula,” ucap Puan
Qarina.
Qaiser tersenyum hambar. Dia bingkas bangun dan mula
mengorak langkah.
“Qai…” panggil Puan Qarina menghentikan langkah
Qaiser. Dia berpaling.
“Mama dengar kamu suka sangat buli pelajar lain
dekat kolej tu. Sudah-sudahlah tu, walaupun mama ada kaitan dengan kolej tu
tapi mama tak suka kamu gunakan kelebihan tu untuk menindas orang lain.” Ucap
Puan Qarina sambil anak matanya memandang Qaiser yang sedang membelakanginya.
Qaiser menunduk. Mama ni macam tahu-tahu je aku buli
orang. Detik hati Qaiser.
“Baiklah, mama. Qai janji, Qai tak buat dah. Tapi
kawan-kawan Qai yang lain, Qai tak tahu. Kalau ada budak yang cari pasal dengan
Qai, Qai tak ada pilihan lain selain balas balik.” Ucap Qaiser sebelum berlalu
meninggalkan Puan Qarina.
No comments:
Post a Comment