DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 14 March 2016

SAAT KAU LAFAZKAN - BAB 11

Izureen

“Mesti mama kamu rindukan kamu”, ucap Mak Jah lembut. Menimbulkan kesan di dalam
hatiku. Rasa bersalah mula terbit.
“Dah dekat dua minggu kamu di sini, walaupun kamu menghantar pesanan setiap
hari, dia mesti risau. Lagi pulak dia tak tau di mana kamu sebenarnya berada”.
Sesiapa pun yang berada di tempat aku sekarang, pasti tersentuh hati dengan
kelembutan Mak Jah. Dia bercakap dengan sangat berhemah, penuh berhati-hati
menasihatiku agar aku tidak berkecil hati.
“Reen jangan salah faham. Mak bukan tak suka Reen di sini, tapi sebagai anak, Reen
ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Cuba fahami perasaan Mama Reen”.
Tumpah airmataku dengan kata-katanya. Terbekas di dalam hati ayat terakhir itu.
Betulkah Mama risaukan aku? Sejak berada di sini, hanya sekali aku bercakap dengan
Mama. Selebihnya, setiap selang sehari aku menghantar pesanan ringkas kepadanya.
Jawapnya hanyalah “OK”. Aku tahu Mama memang tidak gemar menggunakan pesanan
ringkas untuk berhubung, tapi apa salahnya bertanya sedikit akan keadaanku? Sesungguhnya,
aku tidak pernah cuba memahami Mama. Namun selalu menganggap Mama tidak pernah
memahami aku.
“Reen bukan datang ke sini kerana masalah dengan Mama kamu, kan?” Mak Jah
menebak. Aku mengangguk. Pastinya bagi orang yang sudah banyak pengalaman
sepertinya, dia dapat mengagak daripada kelakuan dan pertuturanku.
“Mak dah agak dah. Ini masalah dengan pakwe kan?” Mak Jah menebak. Aku
mengangguk, walaupun sebetulnya Muaz bukan pakweku. Tetapi lebih mudah mengiyakan
sahaja.
“Jadi, kalau ada masalah percintaan, kenapa Mama kamu pulak yang jadi mangsanya?
Melainkanlah Mama kamu menentang percintaan kamu dan sebab itu kamu lari ke sini?”Aku
menggeleng. Airmata yang masih jatuh aku seka dengan lengan t shirt. Mama tidak pernah
menghalang persahabatan aku dengan Muaz. Dia terlalu sibuk untuk mengambil tahu akan
hal persahabatan atau percintaanku. Tidak pernah selama ini dia bertanyakan apakah aku
sudah mempunyai teman lelaki. Yang selalu disebut-sebutnya ialah dia mahu aku bekerja
keras, mengumpul pengalaman dan pengetahuan sebanyak yang boleh kerana satu hari nanti
aku akan mengambil alih pengurusan syarikat.
“Reen fikir-fikirkanlah. Bagi Mak, sebaik-baiknya kamu balik. Hadapi masalah
dengan matang dan selesaikan. Minta pertolongan daripada Allah. Allah tidak pernah lokek
dengan bantuanNya. Kita sebagai hamba yang selalu leka, sebab itu Allah beri masalah atau
dugaan kepada kita, supaya kita kembali kepadaNya. Itu tanda Allah sayangkan kita.”
Timbul rasa kagum yang amat mendalam terhadap Mak Jah. Cara dia memberi
nasihat sangat menyentuh hatiku. Ada kebenaran dalam kata-katanya. Memang, aku hamba
yang lalai, yang alpa dengan kehidupan duniawi. Ibadat yang paling asas pun selalu terbabas,
inikan pula ibadat-ibadat sunat penguat iman. Solatku jarang sekali cukup lima waktu sehari.
Di sini sangat berbeza. Aku dapati keluarga Mak Jah sangat memberatkan solat. Pak
Akob dan Naim selalu ku lihat berjemaah di masjid. Fina dan Mak Jah bukan sekadar
bersolat, malah memastikan solat mereka dilaksanakan di awal waktu. Pada usia yang lebih
muda daripadaku, Fina menutup auratnya. Hatta ke anak sungai yang berdekatan dengan
rumahnya pun, dia memakai tudung.
Melihat aku bermenung lama, Mak Jah bangun menuju ke singki. Kebetulan
tengahari ini hanya ada kami berdua. Naim menemani Fina menghadiri temuduga manakala
Pak Akob pula ada urusan di pekan. Boleh dikatakan setiap hari aku makan tengahari di
rumah Mak Jah. Manakala makan malamku sama ada roti, biskut atau mi segera. Pelawaan
Mak Jah untuk makan malam di rumahnya aku tolak. Segan, terlalu banyak pertolongan
yang telah mereka hulurkan.
“Reen terlalu kecewa Mak Jah. Reen sedih sangat-sangat dengan apa yang terjadi.
Reen mahu lari dari dia, mahu tenangkan fikiran yang sangat berkecamuk. Sukar menerima
kenyataan orang yang Reen sayangi rupanya menyayangi orang lain. Rasanya lebih mudah
melupakan dia jika Reen berjauhan daripadanya. Tak terfikir pulak tindakan Reen ini
menyusahkan keluarga”.
Aku luahkan rasa hati kepada Mak Jah. Dia yang sudah siap membasuh pinggan
datang semula ke meja dan duduk di sebelahku.
“Mak Jah faham. Mak Jah dah tengok bagaimana anak-anak Mak Jah kecewa dalam
percintaan. Si Elida tu, sebelum berkahwin dengan Ayin, pernah putus cinta. Berhari-hari
menangis, sampai bengkak-bengkak matanya. Si Naim, lagi teruk. Monyok memanjang.
Disuruh makan tak mau, kerja tak boleh fokus, balik ke sini berkurung aje dalam bilik.
Keluar bilik untuk makan dan mandi saja. Itu pun, makannya dua tiga suap aje. Sampai
hilang selera makan, hilang semangat nak hidup. Teruk juga Mak dan Pak Akob
menasihatinya”.
Aku mendengar penuh minat. Teringat perbualan dengan Naim semalam. Katanya
cintanya dikhianati. Teringin hendak mengetahui dengan lebih lanjut, namun terasa segan
hendak bertanya lebih kepada Mak Jah.
“Sampai sekarang, Mak rasa, Naim masih belum pulih sepenuhnya dari kekecewaan.
Hatinya bagai dah tertutup untuk bercinta. Dah ramai gadis yang Mak cuba jodohkan
dengannya, semuanya dia tolak. Mak dah letih nak padankan dia dengan sesiapa lagi.
Kesian jugak tengok dia, umur dah lebih 30, tapi solo lagi. Kadang-kadang dia termenung,
macam orang kesepian. Ni si Fina dah balik, adalah kawan bersembang. Esok-esok kalau
Fina dapat kerja kat KL, sunyilah balik. Nak harap Mak dengan Pak Akob, apa sangatlah
yang boleh disembangkan”. Mak Jah menyambung cerita.
“Si Fina pulak, dah ada orang berkenan tapi dia tak minat kat budak tu. Lagipun
katanya dia muda lagi, nak kerja dulu baru fikir pasal cinta. Kalau ikut Mak, dah elok ada
orang yang minat, kahwin ajelah. Apa salahnya kahwin muda. Mak dulu, umur 17 tahun dah
kahwin. Umur 19 dah dapat si Naim”.
“Berapa umur kamu Reen?”
“26”
“Kawan kamu?”
“Sebaya”, aku mengagak kawan yang dia maksudkan adalah Muaz.
“Kami dah kenal lama, sejak universiti. Dia layan Reen dengan baik, jadi Reen
sangka dia cintakan Reen. Rupa-rupanya Reen bertepuk sebelah tangan”, giliran aku pula
bercerita, dengan rasa sebak yang kembali menyerang.
“Yang lebih menyedihkan, dia bertunang dengan adik ipar kakak Reen. Lagilah susah
nak mengelak dari dia. Mesti nanti Reen akan jumpa dia masa kenduri kendara, atau masa
raya. Reen rasa tak sanggup melihat dia dengan orang lain” air mataku yang bergenang di
tubir mata, tumpah jua.
“Jodoh adalah ketentuan Allah. Kalau dia bukan jodoh kamu, maknanya dia bukan
yang terbaik untuk kamu. Kalau kamu redha dengan ketentuan ini, hati akan jadi lapang,
fikiran pun tenang. Bersedih itu fitrah manusia, tapi jangan bersedih keterlaluan, nanti
memudaratkan diri sendiri. Dan ingat, apa yang terjadi kepada kamu akan ada kesannya pada
keluarga kamu. Macam sekarang, mereka risaukan kamu. Tak tau kamu berada di mana,
sihat ke idak, mama kamu pulak terpaksa uruskan hal-hal kerja kamu yang terbengkalai bila
kamu tak masuk kerja. Kamu tak kesiankan keluarga kamu?”
Aku diam, tidak mampu menjawab soalan Mak Jah. Otak mula menghadamkan
setiap butir biacaranya. Mengakui dalam diam akan kebenaran kata-katanya.
Tidak lama selepas pulang dari rumah Mak Jah, aku merasa pening kepala. Kepala terasa
berat, lantas aku berbaring. Sambil berbaring, aku memikirkan isi perbualan dengan Mak Jah
tadi. Dalam berfikir, aku terlelap.
Sekitar jam tiga aku terjaga, perut terasa mual, manakala kepala masih berat. Cepatcepat
aku berlari ke bilik air. Sebaik sampai, aku muntah. Keluar segala isi perut. Mungkin
aku salah makan, tetapi bila dikenangkan balik, tidak ada yang pelik dalam hidangan
tengahari tadi. Sayur bayam ditumis air, ikan kerisi goreng dan sambal belacan. Rasarasanya
perut aku tidak ada masalah dengan menu begitu.
Baring semula. Tangan meraba-raba, mencari I-phone yang biasanya aku selitkan di
bawah bantal. Dapat I-phone, aku semak calendar. Oh patutlah, kawan baik sebulan sekali
nak datang. Lega, mujurlah bukan keracunan makanan atau gastrik melanda. Ini memang
kebiasaan sistem badanku. Sebelum kedatangan haid, aku akan mendapat sakit kepala yang
kuat, kadang-kadang diiringi oleh mual dan muntah. Bila keluar sahaja darah haid, pening
dan mual akan hilang tetapi datang pula senggugut. Kebiasaannya senggugutku akan
berlanjutan selama dua hari, kadang-kadang kuat sakitnya, kadang-kadang tidak.
Aku terlena lagi. Bagus juga dapat melelapkan mata, terlupa masalah dan kesakitan
yang mengganggu. Sedar-sedar, kedengaran bunyi azan. Jam di dinding menunjukkan pukul
4.35 petang. Ah, terlepas Zohor. Baru sahaja semalam, selepas mendapat telekung daripada
Mak Jah aku berazam untuk tidak meninggalkan solat. Nampaknya aku perlu berusaha lebih
gigih. Betullah kata orang-orang alim, semakin kita hendak beramal, semakin kuat godaan
syaitan.
Aku duduk di atas katil. Kepala masih terasa berat, tekak terasa mual. Cepat-cepat
aku gapai tuala dan berlari ke bilik air. Muntah lagi, tetapi kali ini yang keluar hanyalah
cecair. Kemudian aku mandi dan berwuduk.
Dengan lafaz bismillahir rohmanir rohim, aku mulakan solat Asar. Selesai bersolat,
aku berdoa.
“Ya Allah, aku memohon ampun dariMu di atas segala dosa-dosaku. Sesungguhnya
aku hambaMu yang sangat hina. Sangat lalai dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai
hamba. Namun, rahmat dan kasih sayangMu tetap mencurah-curah datang”.
“Wahai Tuhanku, lindungilah Mama, Abang dan Kakak. Mereka sahajalah ahli
keluarga yang aku ada dan aku amat menyayangi mereka. Lembutkanlah hati Mama agar dia
tidak marah kepadaku. Berilah rahmat dan kasih sayangmu kepada Mama, kasihani dia
seperti dia mengasihaniku semenjak kecil. Peliharalah seluruh ahli keluargaku dari perkaraperkara
buruk dan dari amarahMu. Cucurilah rahmat ke atas arwah Papa dan tempatkan dia
di kalangan orang-orang soleh”.
“Wahai Tuhanku, semoga dugaan yang menimpa membawa aku semakin dekat
kepadaMu. Ya Allah, tabahkan hatiku dalam menghadapi dugaan ini. Jadikan aku redha
dengan ketentuanMu. Jadikan aku sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan.
Tenangkan hatiku ya Allah, lapangkan dadaku ya Allah”.
“Ya Allah, bila tiba masanya, temukanlah aku dengan jodohku yang sesuai menurut
pengetahuanMu ya Allah. Semoga dia yang Engkau pilih untukku adalah orang yang
bertanggungjawab, menerima aku seadanya dan mampu membimbingku ke jalanMu ya
Allah”.
“Wahai Tuhanku, terima kasih kerana membawa aku ke sini. Terima kasih kerana
menemukan aku dengan Mak Jah sekeluarga, yang sangat baik penerimaan mereka
terhadapku. Rahmatilah mereka sekeluarga ya Allah dan lindungilah mereka dari sebarang
musibah”.
Aku meraup wajahku dengan kedua belah tangan. Seluruh mukaku basah dengan
airmata yang terus-terusan menitis, seperti sungai yang tidak pernah berhenti mengalir. Rasa
lega bercampur baur dengan kepiluan. Lega dan dada terasa ringan setelah mengadu
kepadaNya. Pilu kerana perasaan bersalah terhadap Penciptaku. Betapa aku telah lama
menjauhinya, kini hanya kembali mengingatiNya bila ditimpa musibah. Ampuni aku Ya
Allah, kasihanilah aku Ya Allah. Tetapkan hatiku ya Allah, agar tidak lagi lalai dibuai
keseronokan duniawi lantas melupakan tanggungjawabku kepadaMu.
Telekung pemberian Mak Jah aku buka dan ku lipat sebelum diletakkan di atas rak
yang disediakan di bilik tidur utama. Bilik ini dilengkapi dengan bilik air. Dua bilik tidur
yang lebih kecil pula berkongsi satu bilik air yang terletak berdekatan dengan dapur. Aku
keluar dari bilik, menuju ke ruang tamu. I-phone yang terletak di atas meja kopi di ruang
tamu ku capai. Ada tiga pesanan masuk, satu daripada Abang, bertanyakan keadaanku. Aku
jawab pesanan Abang. Kemudian aku periksa pesanan kedua, dari Muaz. Termasuk pesanan
yang terbaru ini, sudah tiga pesanan dihantarnya hari ini. Sejak aku tiba di sini, tidak satu
pun pesanannya yang aku jawab. Namun daripada Kak Rina dia mengetahui bahawa aku
dalam keadaan selamat. Kak Rina telah berjanji tidak akan bercerita apa-apa kepada Muaz,
selain dari hanya menyatakan bahawa aku sedang bercuti panjang.
Satu pesanan pula ialah whatsapp daripada Kak Rina. Dia menghantar gambarnya
sedang mencuba pakaian di butik pengantin. Airmata jatuh lagi tatkala menatap gambar Kak
Rina. Terbit rasa rindu padanya. Kakak berlainan ibu yang amat ku sayangi itu kelihatan
ceria mencuba baju untuk majlis nikah dan bersanding. Aku membalas pesanan kakak,
memberitahunya bahawa pakaian yang dicubanya sangat sesuai dengan tubuhnya.
Di luar sedang gerimis. Rintik-rintik halus yang turun dari langit diiringi hembusan
bayu dingin memberi suasana yang sangat nyaman. Dari jendela, aku melihat titisan hujan
yang jatuh menimpa bumi, bersatu dengan air sungai yang mengalir tanpa lesu. Kepala
masih sakit, perut mula terasa lapar. Namun ku biarkan sahaja rasa sakit dan lapar.
Fikiranku menerawang jauh. Teringat semula perbualan dengan Mak Jah tengahari tadi.
Segala kata nasihatnya aku semat dalam hati. Aku pasti akan pulang ke Kuala Lumpur, tetapi
aku tidak pasti bila perkara itu akan berlaku.
Satu perkara yang menghalang aku dari pulang sekarang ialah ketakutan yang
bersarang di sudut hati. Rasa takut untuk menghadapi Muaz. Rasanya aku belum cukup kuat
untuk berdepan dengannya tanpa menunjukkan sebarang riak sedih dan kecewa. Bagaimana
nanti perlu berhadapan dengan Muaz dan tunangnya, mampukah aku sorokkan perasaanku
dari terpamer di wajah? Apa pula reaksi Muaz bila mengetahui bahawa selama ini aku
cintakannya, sebagai seorang kekasih, bukan sahabat? Adakah dia akan rasa bersalah? Jika
ya, itulah yang mahu aku elakkan. Aku tidak mahu menerbitkan sebarang rasa bersalah di
dalam diri Muaz. Jadi sebaik-baiknya biarlah aku terus menginap di sini, sehingga aku yakin
aku mampu berdepan dengannya.
Perut semakin berkeroncong, memaksa aku menuju ke dapur. Aku masak air,
membancuh satu mug milo dan mengambil beberapa keping biskut. Aku bawa ke ruang
tamu dan aku hidupkan televisyen. Boleh dikatakan, beginilah rutinku setiap hari di sini.
Pagi, aku keluar bersarapan di warung berdekatan. Kadang-kadang aku bungkus dan makan
di rumah homestay. Selepas bersarapan, aku akan duduk di tepi sungai. Kadang-kadang
berfikir, kadang-kadang sekadar bermenung kosong. Kalau ada Lokman dan Hafiz, aku
layan mereka bermain. Kalau ada Fina, aku berbual-bual dengannya. Tengahari, makan di
rumah Mak Jah. Malam, beginilah, mengadap televisyen sambil menikmati biskut dicicah
milo, atau roti, atau mi segera. Hampir dua mingu di sini, aku semakin rapat dengan Mak Jah
dan Fina. Naim, sekadar bertanya khabar dan berbalas senyuman. Setakat ini, hanya
semalam kami berbual panjang. Pada mulanya aku menganggap dia seorang yang pelik,
kerana dia lebih banyak merenung aku daripada bercakap denganku. Kadang-kadang dia
kelihatan seperti sedang berkhayal. Tetapi, setelah mendengar cerita Mak Jah siang tadi, aku
tidak hairan lagi dengan sikapnya. Aku anggap sahaja jiwanya masih kacau.
Sungguh berbeza keadaan ini dengan kehidupan sebenarku. Dahulu, boleh dibilang
dengan jari berapa kerap aku memakan mi segera. Aku tidak pernah susah sedari kecil.
Arwah papa dan mama sentiasa menyediakan semua keperluanku. Arwah papa sangat
memanjakan aku, mintalah apa sahaja, aku mesti dapat. Setelah papa meninggal, mama
masih mampu memberikan apa yang aku minta. Kondo yang aku duduki sekarang pun hasil
pemberian mama. Cuma, yang kurangnya kasih sayang dari mama. Mama semakin sibuk
menguruskan syarikat, hingga masa dan perhatiannya untukku semakin berkurangan.
Tiba-tiba, ada rasa menyucuk-nyucuk di ari-ari. Rasa sakit yang ringan, menandakan
haid akan keluar bila-bila masa dan senggugut akan mengiringinya. Aku habiskan biskut dan
milo, kemudian berlalu ke dapur dan membersihkan mug dan piring. Azan maghrib mula
berkumandang. Aku ke bilik air untuk mengambil wuduk, namun setelah diperiksa, aku tidak
boleh bersolat.
Keluar dari bilik air, aku membuka beg pakaian. Mencari-cari tuala wanita yang
sangat-sangat diperlukan di saat ini. Tidak ada. Berkalih pula kepada beg tangan. Aku
selongkar segala isinya. Alamak, tidak ada juga. Biasanya aku sentiasa menyimpan sekeping
tuala wanita di dalam beg tanganku. Berfikir sejenak, baru aku perasan bahawa beg ini
bukanlah beg tangan yang biasa ku bawa pergi bekerja.
Berfikir lagi, bagaimana hendak mendapatkan tuala wanita di waktu begini? OK,
pinjam dulu daripada Fina. Esok aku akan beli dan gantikan tuala wanitanya. Sudah balik
kah dia? Aku ke muka pintu, menyarung selipar dan berlari-lari ke rumah Mak Jah. Ruparupanya
gerimis ini lebih lebat daripada yang aku sangkakan, menyesal pula keluar tidak
berpayung. Aku lajukan larian, dan tiba-tiba satu susuk tubuh muncul di depanku. Tidak
sempat mengelak, gedebuk, aku terlanggar dia. Aku hilang imbangan dan hampir terjatuh,
namun tangannya cepat menggapai tanganku.
“Masuk kali ni dah tiga kali awak langgar saya” Naim bersuara sambil memaut
lenganku, menghalang aku dari jatuh. Memang betul, kenapalah aku asyik terlanggar dia?
Aku mendongak sedikit untuk melihat wajahnya.
“Kalau teringin nak peluk saya, bagitau saja. Tak payah main langgar-langgar”
katanya sambil mengukir senyuman di pinggir bibir.
Aku menggetap bibir. Geram dengan ayat dan perlakuannya. Dalam keadaan
sekarang, aku tiada mood untuk bergurau. Tiba-tiba kepala terasa berat dan tekak terasa
mual. Melihat aku bagaikan hendak muntah, dia melepaskan tanganku. Segera aku ke tepi
pokok bunga kertas dan mengeluarkan isi perut. Habis tersembur milo yang ku minum tadi.
“Are you OK?” katanya seraya berdiri di sisiku. Aku hanya mengangguk. Aduh,
kenapa teruk sangat keadaan aku, berlainan sungguh dengan kelazimannya.
“Fina mana?” soalku sambil memegang perut. Sakit kerana muntah dan sakit
senggugut bersatu.
“Di KL, dia tidur di rumah kawan”.
“Tak balik?” menanyakan sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.
“Taklah. Kenapa?”
Erk, macam mana ni? Takkan nak pinjam tuala wanita daripada Mak Jah? Melihat
dari usianya, pasti dia sudah menopause. Aku tidak ada pilihan lain, mesti juga ke kedai
malam ini untuk mendapatkan tuala wanita. Tapi, kedai mana yang buka? Aku tidak pernah
keluar bersendirian dari kawasan ini di waktu malam.
Wajah Naim yang disinari lampu jalan di tepi rumahnya ku pandang. Dia juga sedang
memandang aku dengan penuh kehairanan. Nampaknya tidak ada pilihan lain. Naim sajalah
harapanku di ketika ini.
“Naim, boleh tolong temankan saya pergi kedai?”
Seperti yang dijanjiikan, selepas mandi dan bersolat maghrib, dia muncul di depan pintu.
Aku serahkan kunci keretaku kepadanya. Kedai pertama yang kami lewati telah pun ditutup.
Aku tahu kedai ini, tidak jauh dari rumah Mak Jah. Di sinilah aku membeli roti, biskut, mi
segera dan Milo 3 dalam 1. Kami menuju ke kedai kedua yang lebih jauh jaraknya. Tekak
terasa mual lagi.
“Stop! Stop!”
Naim memberhentikan kereta secara mengejut. Memandang aku dengan penuh
kehairanan. Belum sempat dia membuka mulut, aku keluar. Bersedia untuk memuntahkan
isi perut, namun kali ini yang keluar hanya angin. Naim hanya memandang daripada dalam
kereta, dengan pandangan penuh tanda tanya.
“Awak sakit ke?” soalnya sebaik aku masuk ke dalam kereta. Aku sekadar
menggeleng. Tiada mood untuk bercerita apa-apa. Lagipun takkanlah aku hendak
menceritakan tentang masalah haidku kepadanya. Sebentar kemudian tiba di kedai kedua.
Aku segera berlari ke dalam kedai, mencapai sebungkus tuala wanita dan sepapan Panadol.
Setelah membayar, kedua-dua barang tersebut aku simpan dalam beg.
“Beli apa?” soal Naim kehairanan kerana melihat aku tidak memegang apa-apa
barang ketika keluar dari kedai.
“Adalah” jawabku ringkas.
Badan terasa sangat sakit kerana asyik muntah. Senggugut pula mengganggu
kedamaian di sekitar ari-ari dan pinggang. Akibatnya aku pejamkan mata. Dahi berkerut
menahan sakit.
Gerimis sudah bertukar menjadi hujan lebat ketika kami sampai di rumah. Keretaku
diparkir di sebelah rumah inap, di tempat yang dikhaskan untuk kenderaan penyewa.
“Nanti, saya bawakan payung”.
Payung dibuka dan disuakan kepadaku. Dia pula membiarkan badannya basah
disirami hujan gerimis.
“Terima kasih” aku ucapkan dan mengangkat muka ke arahnya sebaik sahaja sampai
di depan pintu. Aku tutup payung dan serahkan kepadanya.
Matanya merenung tajam ke dalam mataku, menghasilkan debaran yang kuat di
dadaku. Sudahlah kepala sakit, tekak mual dan sakit perut, dada pula mengalami getaran
yang kencang. Boleh sakit jantung aku begini.
“Bagi nombor telefon” ujarnya sambil sebelah tangan menyelok saku lalu
mengeluarkan telefon bimbitnya. Aku sebut nombor telefonku satu persatu dan jarinya
segera menekan nombor-nombor itu.
“Saya dah miss call awak. Kalau perlukan apa-apa, call saya. Tidurlah, awak
perlukan rehat. Jangan lupa solat sebelum tidur”.
Dia berlalu pergi. Meninggalkan aku di depan pintu dengan dada yang berdetak
hebat, diiringi satu perasaan aneh yang menyelinap di pangkal hati, membuatkan aku lupa
sakit kepala dan senggugut yang melanda.

No comments:

Post a Comment