DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 15 March 2016

ITALIAN BOY - BAB 4

PINTU kereta aku hempas sekuat hati. Biar
tercabut pintu kereta dia tu. Sakitnya hati aku. Angin apa
yang serang dia tu? Lain kali, kalau terpaksa tak payah nak
offer aku ikut sekali atau apa. Tak payah nak muncul depan
aku langsung! Harap muka saja kacak, perangai macam tahi
unta!
Dia meninggalkan aku begitu saja. Memang dasar…
Sepatutnya malam tadi, lepas dia minta maaf dengan tidak
rela dia tu, terus aje dia balik. Apa yang susah?
“Marahnya.” Tegur mama sebaik saja aku
menghempas bagpack aku ke lantai rumah. Tidak cukup
dengan itu, aku pijak-pijak bagpack aku tu bagai aku memijak
Benji. Mama ketawa melihat baranku.
“Dia tu kerek nak mampus, mama. Lain kali, Oddie
tak nak tengok muka dia lagi. Never! Ever! Everrrrr!” aku
menjerit sakit hati.
Bahu mama terhinggut-hinggut menahan gelak.
Mama ni pun, aku bukannya buat lawak. Aku menghempas
tubuh ke sofa sambil berpeluk tubuh.
“Bukan Oddie suka dia ke?”
Mengeluh aku mendengar soalan mama.
“Uh-uh. Tu dulu. Sebelum Oddie dapat peluang
untuk berbual dengan dia. Sekarang hew. Memang taklah,
ma.” Aku menjulingkan mata ke atas. Aku memang bodoh
kalau suka kat dia lagi. Dilayan macam tahi unta saja. Tahi
unta pun dapat layanan lagi bagus daripada ini.
“Baka cantik kalau dengan dia.” Mama menyenggol
bahuku. Kening diangkat-angkat dengan riak nakal.
“Mama ingat kami ni kucing ke? Tak kisahlah baka
macam mana pun. Oddie tak nak dia. Fullstop!” Rasa hendak
mengamuk aje.
Kesian mama kena tempias. Mujur mama
terkekeh-kekeh saja gelakkan aku. Malah, dia gelak sampai
semput. Sampai hati mama.
“Kenapa sampai jadi macam ni?”
“Dia sombong. Oddie tak tahan dengan orang
sombong-sombong ni. Takut tertangankan aje dia. Dia ingat
Oddie ni terhegeh-hegeh sangat nak berkawan dengan dia?
Pigirah! Kalau Oddie tahulah perangai dia sama dua kali
lima aje macam semalam, memang tak ingin Oddie nak join
dia jungle trekking. Ingatkan dah minta maaf, perangai dia
sekolahlah sikit. Rupanya tak.” Aku merungut geram.
Mama tersenyum.
“Oddie, dia mungkin malu dengan Oddie.” Bahuku
mama pegang, cuba meredakan amarahku. Mama berjaya.
Sejuklah sikit hati aku.
“Mama, malu dengan sombong tu besar bezanya.”
Aku mencemik. Tak ada mood langsung aku nak kenang
muka dia. Kerek nak mampus!
“Nanti mama cakap dengan Aunty Marlynn.”
Bagus juga. Tapi...
“Suruh Aunty Marlynn berhenti pujuk dia untuk
dekat dengan Oddie. Kalau dia buat salah pun, cakap kat
Aunty Marlynn, jangan paksa anak dia minta maaf. Biar dia
dapat kesedaran tu sendiri. Menyakitkan hati!” Aku berkata
lantas bangun.
Aku dengar mama mengeluh.
‘Maaflah mama, Oddie tidak dapat penuhi permintaan
mama tu. Cukuplah.’
“WHERE ARE you?”
Tidak perlu kenalkan diri, aku dah tahu dah suara
siapa yang menelefon. Dia lagi, dia lagi! Aku jadi meluat
dengan dia. Nanti cakaplah aku ni mulut bisinglah... apalah...
padahal dia itu tak habis-habis hendak ganggu hidup aku.
Dah berminggu-minggu tidak jumpa dia. Tenteramlah sikit
hati aku. Tak sangka, dia muncul balik. Aku baru nak belajar
lupakan muka kerek dia.
“Butik. Why?” penuh kerek aku menyoal dia semula.
“Wait up.”
Tut… tut… mudah aje dia matikan panggilan. Huh,
macam mana dia dapat nombor aku? Lagi satu, adakah ini
bermakna yang dia akan jumpa aku lagi sekali? Hantuk kepala
kat meja dua kali. Aku tak nak jumpa dia dah.
Aku dengar pekerjaku ketawa apabila aku hantukkan
kepala ke meja.
“Bad day, huh?” soal Saleha.
“Not yet. But it’s coming.” Ujarku lemah.
Dia ketawa.
Sepuluh minit kemudian, Mr. Bad Day aku dah
sampai. Ringkas sekali dia hari ini. Hanya berbaju-t kosong
warna putih dan berseluar pendek paras lutut warna kuning
mustard. Cermin mata Ray Ban tersangkut di hidung.
Biasalah, gaya orang kerek. Tahu pulak dia kat mana butik
aku? Okey, aku tak patut persoalkan benda ni sebab jawapan
dia akan tetap sama. Aunty Marlynn!
Dia masuk ke dalam butik dan terus duduk di kerusi
menunggu tanpa aku pelawa. Aku memandangnya dengan
pelik. Amboi, masuk butik orang, tak pandai bagi salam!
Saleha lagilah terkejut, sampai ternganga-nganga. Mesti dia
ingat orang asing datang nak beli pakaian di butik aku.
“Nak apa?” soalku kerek.
“Mama ajak pergi rumah.” Jawabnya. Yalah, diakan
hanya cakap benda yang penting aje.
Aku pandang Saleha. Dia angkat kening menyoal
dengan isyarat ‘ini ke bad day you?’. Aku angguk. Dia kemam
bibir, tahan gelak. Seketika mulutnya bergerak, ‘handsome’.
Aku julingkan mata ke atas, sempat lagi dia.
“What for?” soalku kepada Benji. Nada, mesti kena
kerek macam nada yang selalu dia guna. Padan dengan muka.
Aunty Marlynn ni memang tidak serik agaknya nak
jumpa aku. Aku tidak bencikan Aunty Marlynn, tapi aku
cukup bencikan anak dia ni. Kalaulah ada peluang suatu hari
nanti, aku akan sekeh juga kepala si Benji ni biar berakal sikit.
“Don’t know?” Dia angkat bahu.
“Awak baliklah dulu. Cakap dekat dia, petang nanti
saya datang. Busy ni.” Aku memberi alasan.
Benji menyilangkan kaki dan bersandar ke kerusi
sambil berpeluk tubuh. Oh, itu tanda dia nak tunggu aku.
Aku nak mengelak daripada berhadapan dengan dia.
“Pergilah dulu.” Tak faham-faham lagi ke? Nak aku
cakap bahasa Itali ke? Mujur aku tak pandai.
Dia angkat kening, tayang muka ‘I’ll stay!’.
“Pusingkan OPEN sign tu pada CLOSED.” Arahku.
Siapa suruh menyibuk?
“Why?”
“Waktu rehat ni, waktu untuk menyusun stok dan
mengambil gambar.” Aku berkata dengan tidak rela. Dia
menurut, kemudian kembali duduk dengan keadaan tadi,
silang kaki dan silang tangan. Berlagaknya cara dia duduk.
Aku meninggalkan dia lantas ke stor, mencapai stok
baju baru untuk dicuba. Biasanya, akulah yang kena jadi
model. Nak jimat kos katakan. Onesie corak harimau bintang
aku pakai di bilik persalinan. Okey, aku kena bawa balik yang
ini sebab comel! Ini akan jadi koleksi onesie terbaru aku.
Yeay!
Pekerja aku, Saleha yang tidak banyak bunyi itu terus
mencapai kamera lantas mengambil gambarku. Aku beraksi
ala-ala harimau comel di depan kamera. Okey, itu saja cara
untuk aku tarik minat pelanggan untuk memiliki onesie ini.
Benji menjatuhkan kakinya lantas menongkat
siku ke kepala lututnya. Dia memandang ke lantai.
Bahunya terhinggut-hinggut. Ketawa? Lucu sangat ke?
Kemudian kepalanya yang masih tertunduk ke bawah itu
tergeleng-geleng.
“Baik awak balik dulu. Saya lambat lagi ni. Stok baju
banyak sampai. Saya kena tengok semua saiz, ada yang rosak
ke tak.” Ujarku. Ya, memang kena periksa dulu satu per satu.
Takut ada customer dapat yang rosak nanti.
Dia panggung kepala. Mata tidak habis-habis
pandang aku dari atas sampai ke bawah. Lepas tu aku tengok
matanya berhenti di ‘ekorku’.
“Apa tengok-tengok? Tak pernah nampak orang ada
ekor?” Aku menjelingnya lantas melibas ekor ke arahnya.
Mujur ekorku pendek. Tak kena.
Dia berdiri dan menggeliat. Seketika kemudian, dia
menghampiri aku.
“I’m gonna help you.” Tapak tangannya jatuh ke atas
kepala aku.
Aku tersentak. Dia ni ada berapa sikap hah? Sekejap
okey, sekejap tidak okey. Rasa gayat aku makin teruk apabila
dia sentuh kepala aku. Saleha pula pura-pura busy. Aduh.
Janganlah aku dijadikan bahan gosip dia dengan Linda. Linda
bercuti hari ini, sebab itulah aku di butik. Kalau mereka
berdua di butik, aku singgah sekejap aje sebelum merayap
ke mana-mana. Memang payahlah aku nak lekat dekat butik
ini memandangkan aku dah serahkan sepenuh kepercayaan
kepada mereka berdua.
“Nak tolong macam mana? Ketawa?” soalku sinis.
Dia senyum sekejap.
“I’ll be your model.” Dia mencari stok onesie yang
bercorak sama denganku dan bersaiz besar lantas ke bilik
persalinan.
Sebaik sahaja dia keluar, aku dan Saleha ternganga
berjemaah. Oh Tuhan, cutenya! Rasa nak jadikan dia dalam
bentuk keychain dan sangkut dekat kunci kereta aku. Comel!
Lupa terus rasa marah aku kepadanya. Aku tersenyum. Saleha
itu mengawal senyumnya juga.
“How do I look?”
‘Perfect!’ Jawabku dalam hati.
“You look okay.” Ujarku dengan penuh ego.
Dia tersenyum. Manisnya, ya Allah! Rasa gayatku
makin teruk. Macam tidak cecah bumi kaki ini.
“THANKS…” UCAPKU.
Dia angguk. Radio dibuka dan dia mengetuk stereng
mengikut rentak lagu. Bila berdua, dia kembali serius.
Kenapa eh? Aku perasan, apabila ada orang lain antara kami,
dia tidaklah seserius ini.
Aku membuka laptop yang aku bawa lantas
memasukkan memori dari kamera aku ke dalamnya. Setelah
dapat diakses, aku mula mengedit beberapa gambar untuk
dimasukkan ke dalam aplikasi Instagram yang berada dalam
Bluestacks.
Tersenyum aku melihat ‘pertolongan’ dia. Dia bukan
bergaya pun, hanya berdiri tegak macam patung mannequin
saja. Mungkin dia segan dengan Saleha agaknya.
Sebaik sahaja gambar dia dimuat turun sebagai teaser
tadi, menderu-deru komen di Instagram yang menanyakan
aku tentang onesie aku. Adalah dua tiga orang yang gatal
sikit tanya aku tentang Benji. Nakal betul customer aku ni.
Kadang-kadang aku tergelak-gelak membaca komen mereka
yang tidak ada kaitan dengan jualan aku.
“You enjoy bekerja sebagai tauke butik?” Aku
pandang ke mukanya sebaik sahaja selesai membalas komen
pelanggan aku yang agak gatal menanyakan tentang Benji itu.
“Yeah. Why wouldn’t I?”
Dia angguk apabila mendengar soalannya dibalas
dengan soalan. Tiba-tiba aku ternampak segaris senyuman
di bibirnya. Aku ikut membalas senyumannya itu. Dia kekok
rupa-rupanya. Fahamlah aku.
“Awak tak kisah ke kena hantar saya balik ke butik
semula?” soalku tidak mahu suasana terus menjadi kekok.
“Nope. I don’t mind.” Jawabnya sambil
mengetuk-ngetuk stereng.
Alah, itu aje yang dijawabnya? Memang berat mulut
betullah dia ni.
“Kenapa mama awak nak jumpa eh?”
“Entah. I dah tanya, dia senyum aje.” Jawabnya.
Hmm. Tak ada ke nak cari idea lain untuk panjangkan
perbualan ni? Akhirnya, aku mendiamkan diri terus. Bukan
salah aku kalau keadaan sunyi sepi. Aku buka mulut untuk
bersuara ini pun dah kira baik.
“HOW’S MY idea?” soal Aunty Marlynn teruja.
Aku terkaku. Benji tertunduk. Buat masa ini,
pergerakan sebesar semut pun aku boleh perasan sebab
keadaan kekok sangat. Aunty Marlynn betul-betul nak
bermenantukan aku sampai sanggup mengemukakan
cadangan sebegini di hadapan aku dengan Benji.
“Mama suka Oddie. Mama rasa Benji pun suka dia.
No, mama rasa Benji akan suka dia... blah blah blah… blah…
blah… yada yada.” Semuanya dah tak masuk dalam kepala
otak aku kecuali… “Mama suka kalau Benji menikah dengan
Oddie.” Mungkin Aunty Marlynn sakit hati tengok kami
berdua terlalu kaku antara satu sama lain agaknya. Jadi, dia
ambil keputusan untuk mengkenenkan kami terus begini.
Aku? Entah. Dengan Benji? Dulu mungkin aku nak.
Sekarang? Euw!
“First, no.” Benji bangkit. Mukanya serius. Bukan
setakat serius. Muka dia merah tahan marah. Keningnya
bercantum. Okey, dia memang sedang marah.
Aku lega apabila Benji kata tidak. Sebab aku pun tak
nak.
“What were you thinking, mama? I baru habis belajar.
Baru berapa minggu I duduk dekat sini. Mama nak suruh I
nikah dengan dia sebab mama suka dia? How ridiculous!” dia
membentak. Okey, apabila dia marah, dia bahasakan dirinya
I dengan mama dia.
“Mama tahu Benji sukakan Oddie.” Aunty Marlynn
menayang sengih.
Kening Benji semakin berkerut-kerut.
“Nonsense! Mana mama dapat berita mengarut ni?
Benji suka Oddie? Oh God! Ma… look at her.” Benji berkata
dengan nada hendak gelak sinis tapi dalam masa yang sama,
dia marah.
Tiba-tiba aku rasa kecil hati sangat-sangat. Tak
perlulah dia bereaksi macam tu. Macam aku ni hina sangat.
‘Look at you! Bongkak! Berlagak. Bajet handsome.’ Geram
aku nak balas balik. Mujur ada mama dia.
“Benji…” Mama dia menjegilkan mata. Memberi
isyarat bahawa aku ada di situ.
Benji pandang aku sekilas. Dia ketap bibir. Muka
mula nampak riak-riak bersalah dia tu.
“Aunty, saya ada kerja kat butik. Saya perlu balik ke
butik. Dan aunty… kami tak ada jodoh berdua. Saya harap
aunty dengan mama saya hentikan sajalah usaha untuk
menjodohkan kami. It’s not working. Saya tak nak lepas ni
keadaan jadi awkward antara saya dengan aunty. Saya pun
bukannya nak menikah dengan lelaki macam dia. Tak tahu
nak hormat orang. Berlagak!” Aku terus bercakap dengan
selamba.
Benji nampak terkejut dengan kutukan aku. Rasakan
kau. Ketar rasanya tangan ini nak bagi penampar kat dia. Apa
dia ingat aku ni sukalah kalau digandingkan dengan dia?
Waktu muda remaja dulu memanglah aku suka. Sekarang
langsung tak suka! Dahlah mulut dia tidak bertapis.
“Tapi mama Oddie kata yang Oddie suka Benji.”
Aduh... kenapa Aunty Marlynn pergi beritahu depan
Benji? Malulah aku! Air muka Benji berubah mendengarnya.
Muka nampak macam bersalah. Aku sudah sesak nafas. Rasa
macam diperangkap pula.
“Mama cakap aunty yang beritahu dia. Mana satu
yang betul ni?” Aku kembali menyoal. Saja nak mengelirukan
soalan itu biar Benji fikir aku tak adalah terhegeh sangat
dekat dia. Mama cuma beritahu yang aunty perasan aku
selalu tenung gambar Benji saja. Ah, biarlah!
“Hah?” Aunty Marlynn terkejut.
“Aunty, saya minta maaf. Pekerja saya sorang dan dia
agak busy hari ini. Orang ramai di butik dan saya pun ada
kerja-kerja pengeposan nak kena buat. So... saya kena balik.”
Ujarku dengan satu nafas.
Kalau aku tarik nafas, aku mungkin menangis. Tak
tahu kenapa, aku rasa sedih sangat. Penolakan Benji… cara
dia melayan aku… entah? Kenapa dia tidak suka sangat dekat
aku ini? Apa dosa yang aku dah buat? Aku tahulah aku tak
lawa macam gadis bermata biru dekat USA sana, tapi tak
perlulah dia nak hina-hina aku macam ini.
“I hantar.” Dia menawarkan diri.
“No!” Tiba-tiba aku terkasar dengan dia. Aku dah
seriklah nak tengok muka dia. Muka dia ni buat hari aku jadi
suwey. Disaster betul si Benji ni.
“Oddie…” panggilnya.
“Hei, teksi lalu-lalang. Awak tak payah risaulah.”
Aku menayang gigi. Senak dalam dada, aku cuba untuk tidak
hiraukan. Aku nak menangis sangat. Entah kenapa aku rasa
betul-betul terhina.
“I hantar.” Dia berkeras.
Aku cuba tahan nafas. Tahan air mata daripada
mengalir. Macam-macam cara aku cuba. Akhirnya berjaya.
Aunty Marlynn menayang muka simpati. Aku cuba tidak
menghiraukan perasaan sedih aku setiap kali terpandangkan
wajah simpatinya. Aku tersenyum seikhlas mungkin kepada
Aunty Marlynn.
“Okey. Saya balik dulu ya, aunty? Bye.” Aku bereaksi
selamba lantas mengucup tangan Aunty Marlynn.
“I DIDN’T mean to…” dia memecah kesunyian.
Mataku terkalih ke arahnya. Dari tadi aku terpaksa
berpura-pura sibuk membalas mesej pelanggan yang mahu
membuat pesanan. Aku tak nak layankan sangat perasaan
sedih aku ni tapi… bila dengar aje suara dia, terus hati rasa
bagai dilapah-lapah.
“Hei, tak ada apa-apalah. Saya pun bukannya nak
menikah lagi. Saya dah ada boyfriendlah. Mama saya yang
taasub sangat nak jadikan awak menantu dia. Awak jangan
salahkan mama awak, tau?” Kesian mama. Sorry mama, ini
saja cara untuk pulihkan hubungan Benji dengan mama dia.
Dan ini saja cara untuk aku melarikan diri daripada Benji.
“Oh…”
“I sebenarnya cakap macam tu tadi sebab… uh…
you tauke butik. You ada perniagaan sendiri. Dah kukuh
kedudukan you. I ni apa aje yang ada? I uh…” Terangnya.
Percaya sajalah, Oddie...
“Tak mengapa.” Aku bersuara lagi. Tak okey
sebenarnya, cuma aku tak nak dia berhempas pulas mencari
idea untuk dijadikan alasan atas keterlanjuran dia bersuara
tadi. Dah terang-terang dia tidak rela digandingkan dengan
aku.
“There he is, my boyfriend.” Aku tersenyum apabila
ternampak kereta Honda Accord berwarna kuning spoon di
depan butikku. Aku tahu siapa gerangannya. Yalah, aku yang
menghantar WhatsApp supaya dia datang dan temani Saleha
di butik sewaktu aku dan Benji dalam perjalanan ke rumah
Aunty Marlynn tadi.
Keretanya berhenti di sebelah kereta Ikram. Tepat
pada masanya, Ikram keluar dari butik. Dia berjalan ke
arah kami. Benji menurunkan cermin kereta apabila Ikram
semakin hampir. Tersenyum lebar Ikram. Aku kena buat
mesra dengan Ikram. Dia itu kan ‘boyfriend’ aku?
“Hai handsome.” Tegurku.
Ikram tergelak kecil.
“Hai. Benji ek?” soal Ikram.
Aku ketap bibir. Alamak! Aku menghantar isyarat
mata kepada Ikram, jangan tanya lebih-lebih. Tapi dia berkerut
tidak faham. Ikram inilah lelaki yang mengajarku cara-cara
nak drift bagai tu. Dia bagi aku join kelab dia. Memang syok
gila. Tapi… aku masuk kelab itu pun secara haram. Haram
maksud aku di sini ialah, tanpa pengetahuan mama dengan
papa. Hehehehe. Ikram kawan baikku semenjak kami belajar
di UiTM Puncak Alam.
“Yeap.”
“Ikram. So kaulah Benji yang selama ni
diagung-agungkan oleh…”
Kali ini aku jegilkan mata. Janganlah bikin aku
kantoi!
“Kau dah kenapa, Bedah? Juling?” soalnya kepadaku.
Shit! Bahasa dia tak manja macam pasangan pakwe
makwelah pulak. Aku mendengus. Kantoi! Aduhai, kenapa
hari ni slow sangat ilmu telepati aku dan Ikram? Biasanya
aku jegilkan mata, dia berhenti bercakap.
Benji pandang aku dengan riak… terkejut? Simpati?
Entahlah. Sekarang dia dah tahu Ikram bukan pakwe aku.
Memang kena tanam si Ikram ni kejap lagi. Segera aku
membuka seatbelt dan berjalan keluar tanpa mengucapkan
terima kasih kepada Benji. Malunya aku, malunya… malunya!
“TAK ADA mood nampak.” Tegur papa sebaik saja aku
melangkah ke dapur.
Tak perlu buat muka masam, memang papa dah
tahu kalau aku ini ada mood mahupun tiada. Lihat cara aku
berjalan saja dia dah kenal. Ditambah pula dengan rambut
runyai dan wajah masam aku. Kalau aku tak ada mood, nak
betulkan rambut pun aku rasa malas.
Aku mencemik. Geram apabila teringatkan Benji.
Sabar ajelah. Aku menjeling apa yang aku pandang. Roti,
marjerin, gula di hadapan papa yang sedang duduk di meja
makan. Sebenarnya, semua benda aku nak jeling. Sakit hati
punya pasal.
“Papa suruhlah mama stop kenenkan Oddie dengan
anak kawan dia tu.” Aku mula mengadu.
Papa memandang mama di singki dengan pandangan
amaran. Mama pula menjeling aku.
“Mama dah stop pun okey? Aunty Marlynn yang tak
puas hati.” Kata mama membela diri. Eleh, percaya ajelah
cakap mama tu.
“Why?” papa menyoalku.
Aku melabuhkan punggung ke sebelah papa. Ketiak
papa aku tuju. Ya, aku dah tua… tapi masih belum terlambat
untuk aku bermanja dengan papa, okey?
“Oddie tak sukalah... I hate him.” Rungutku. Hampir
saja aku menangis apabila teringat semula penolakannya.
Perangai dahlah asyik nak kerek. Ingatkan dah okeylah waktu
dia offer nak jadi aku punya model. Rupa-rupanya perangai
tetap sama.
“Mama kata Oddie suka Benji.” Papa bersuara.
Automatik aku julingkan mata ke atas. Dulu, suka. Sekarang,
tak. Menyesal aku pernah suka dia.
“I used to like him. Bukan sekarang. Sekarang dah
tak lagi. Benci lagi ada.” Aku mengutuk.
Papa tergelak.
“Papa, please help me…” rayuku kepada papa. Biarlah
kalau mama tak nak dengar kataku asalkan papa dengar. Dan
kalau papa dengar kata-kataku, mesti mama kena akur. So,
memang aku kena berusaha pujuk papa sampai papa dengar.
“Papa boleh tolong apa?” papaku menyoal dalam
tawa. Seronoknya papa mengejek aku.
“I don’t know. Cakaplah sesuatu yang menyedapkan
hati Oddie.” Aku merengus. Aku harap papa akan sedapkan
hati aku.
“Oddie dah tua dan selayaknya berkahwin.” Papa
berkata sambil mencemik.
“Papa, that was mean!”
Papa sudah tergelak besar. Mama ikut
terhinggut-hinggut bahu ketawa. Mereka berdua memang
suka sangat kenakan aku.
Ini yang malang bila jadi anak bongsu mereka.
Yalah, hubungan Sofian dengan mama dan papa bukannya
rapat sangat. Maklumlah anak sulung. Aku pula anak bongsu,
mestilah dilebihkan.
“Papa tahu.”
“Papa, he’s so rude. Kalau betul papa rasa Oddie dah
tua dan patut menikah, papa carikan orang lain. Tolonglah
pa. Yang pastinya bukan Benji. Papa tanyalah anak-anak
kawan papa yang kerja sedap-sedap tu.” Aku berkata dengan
nada nekad. Tak tahulah, dengar nama Benji saja pun aku
mula rasa nak meludah. Meluat! Kalaulah papa tahu betapa
terhinanya aku rasa semenjak aku ‘kenal’ Benji ni, tentu papa
pun akan bencikan dia.
Papa mengeluh.
“Nanti papa tengok okey?” soal papa.
“Papa, jangan tengok aje.”
“Abang, budak Benji tu sesuai…” mama mula
masuk campur. Tak senang duduk apabila papa macam nak
berkompromi dengan aku.
Aku kena guna kuasa memujuk lebih lagi ni sebab
mama pun sangat hebat dalam mengubah pendirian papa.
“Dah dia tak suka. Janganlah dipaksa. Awak pun…”
papa cuba memujuk mama.
Yes! Papa sokong aku. Aku jelir lidah mengejek
mama sebaik saja papa memandang mama. Papa sokong aku.
Mama menjegilkan matanya.
“Masalahnya Piah dah janji dengan Lynn.” Kening
mama jatuh, mohon simpati.
“Dah tak ada jodoh diaorang berdua nak buat
macam mana? Awaklah pandai-pandai berjanji sangat. Zaman
sekarang ni dah lain. Budak-budak nak cari jodoh mereka
sendiri.”
Kali ini aku tayang sengih bahagia dekat mama.
Rancangan mama takkan berjaya. Siap aku naikkan ibu jari
lagi di belakang papa. Mama bercekak pinggang. Sebaik saja
papa pandang aku, aku buat muka tagih simpati. Biasanya
mama selalu kenakan aku macam tu bila papa bersetuju
dengan dia dalam menentang keputusan aku. Hari ini aku
dapat balas dendam. Betul-betul rasa dendam terindah.
“Abang tahu dari mana diaorang tak ada jodoh?
Abang ingat Oddie ni nak ke cari jodoh sendiri? Dah lama
hidup, boyfriend pun tak ada lagi. Susah hati ni. Abang tak
susah hati ke?” soalan dibalas dengan soalan. Daripada jadi
pergaduhan, baik aku hentikan.
“Stop! Mama, macam ni. Nak jadikan adil senang aje.
Bagi Oddie cari sendiri jodoh Oddie, okey? Oddie janji, kali
ni Oddie cari. Asalkan bukan Benji.” Aku menayang sengih.
Mama sudah cemberut muka.
“Papa setuju!” Papa memetik jarinya. Sah-sah papa
malas nak masuk campur urusan siapa jodoh aku.
“Mama tak setuju!” Mama membangkang dengan
muka masam.
“Oh mama!” Serentak aku dan papa merengek.
Mama melepaskan keluhan. Mesti dia cair dengar
papa merengek macam tu. Tua-tua pun romantik tau?
Sampai sekarang, mereka masih ada dinner date dan setiap
bulan pasti mereka akan ‘getaway’ ke hotel mewah. Yeah,
sounds gross to me but… aku harap aku dapat jumpa lelaki
yang macam papa aku. My cinta pertama.
“Okey, mama bagi masa dua bulan aje.”
Yes!
“So, dua bulanlah Oddie nak pergi tenangkan
fikiran.” Aku berkata selamba.
“What? No!” Kali ini mama dan papa pula berkata
serentak. Diaorang tidak suka kalau aku sebut perkataan tu
sebab tenangkan fikiran bermaksud, aku bercuti sendirian.

No comments:

Post a Comment