DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 11

SEMUA PELAJAR berkumpul mengikut kumpulan yang telah ditetapkan oleh Ustaz Mustakim. Hari ini bermula kem ibadah bagi pelajar yang mengambil subjek Pendidikan Islam. Azeeza cuba ikhlaskan hatinya apabila terpaksa berdepan dengan Qaiser saat ini.
Setiap kumpulan diberikan sepuluh orang ahli dan Azeeza menjadi penolong kepada lelaki yang sangat menjengkelkan. Sepanjang tempoh persediaan sebelum kem berlangsung, tidak pernah sekali pun Qaiser membantunya. Lelaki itu hanya menampakkan diri saat kem sudah bermula.
Azeeza melambaikan tangan pada Liyana dan Izz yang telah berpecah mengikut kumpulan masing-masing. Kem yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini cukup melelahkan bagi Azeeza. Sudahlah semua ahli kumpulan tidak dikenalinya terpaksa pula menjadi penolong kepada Qaiser. Macam manalah dia hendak menghadapi dua hari yang mendatang.
“Okey, awak semua boleh bawa barang-barang ke tapak perkhemahan. Ingat, khemah lelaki dan perempuan tidak boleh bercampur. Mesti ada jarak dan penghadang, faham?” jerit Ustaz Mustakim melalui pembesar suara.
Kedengaran pelajar menjerit tanda faham. Azeeza terus menggalas beg di belakangnya. Manakala tangan kanannya membimbit dua buah beg kecil yang berisi barang-barang untuk masakan. Di sebelah kirinya pula membimbit beg pakaian yang terisi baju-baju persalinannya. Azeeza mengeluh apabila ada satu lagi beg plastik yang memuatkan alatan perkhemahan tidak dapat dibawa.
“Aduh, macam mana nak bawa ni. Tangan aku semuanya penuh…” omel Azeeza sendirian.
Tidak dapat tidak, akhirnya Azeeza terpaksa membongkokkan badannya untuk mencapai beg plastik tersebut. Namun, belum sempat tangannya mencapai beg tersebut, ada tangan lain mengambil beg tersebut membuatkan Azeeza terpempan. Dia mendongak.
Kelihatan Qaiser tersenyum sinis sambil menunjukkan beg yang berada dalam genggamannya.
“Kau ni kalau tak kacau aku sehari, tak tenang ke hidup kau?” soal Azeeza dengan muka masam mencuka.
Qaiser menggelengkan kepala. Dengan selamba dia memegang kemas beg plastik tersebut.
“Bukan tak tenang tapi rasa macam tak lengkap aje. Bila kau marah, muka kau macam badut jadi bolehlah buat aku gelak.” Jawab Qaiser selamba.
Azeeza merengus. Tajam anak matanya menikam wajah Qaiser yang kelihatan bersahaja.
“Sekarang ni aku tak ada masa dan tak ada mood nak layan lawak bodoh kau tu. Jadi kau simpanlah lawak tu untuk kau sorang, ya. Aku banyak kerja lagi nak buat!” balas Azeeza.
Dia cuba melangkah meninggalkan Qaiser tapi entah di mana silapnya, kakinya tergelincir menyebabkan dia jatuh terduduk di atas tanah. Azeeza menjerit kecil apabila barang-barang yang dibawanya turut jatuh bertaburan.
Qaiser terkejut tetapi tidak lama selepas itu dia ketawa sebelum mendekati Azeeza. Dia duduk mencangkung sambil memandang Azeeza dengan tawa yang masih bersisa.
“Selalu orang tua cakap, orang tamak selalu rugi tapi untuk kes kau ni, orang sombong selalu dapat musibah. Kalau berjalan tu jangan mendongak terlampau tinggi ke langit sampai lupa tanah yang kau pijak. Kalau tak jadi macam nilah. Macam nangka busuk!” ejek Qaiser lagi.
Azeeza mengetap bibir. Geram dengan kata-kata Qaiser. Siapa yang sombong sekarang? Aku atau dia? Kenapalah aku boleh satu kumpulan dengan mamat poyo ni. Rungut hati Azeeza.
“Kau kalau setakat nak berceramah dekat telinga aku ni, lebih baik kau berambus. Aku tak perlukan khidmat nasihat kau walaupun percuma!” balas Azeeza tidak mahu mengalah. Dia cuba untuk bangun.
Qaiser tidak membalas sebaliknya dia mengutip semua barang-barang milik Azeeza lalu dibawa bersama dengan barang-barang miliknya.
“Kau nak bawak ke mana pulak barang aku tu? Tolonglah Qaiser, aku malas nak cari pasal dengan kau.” Ujar Azeeza selepas dia kembali berdiri dengan tegak. Dia mengibas belakang seluarnya yang berpasir.
Qaiser berpaling ke belakang untuk seketika.
“Inilah sikap manusia, cepat sangat buruk sangka dengan orang lain. Walaupun aku nakal tapi aku bukan jahat.” Jawab Qaiser lalu berlalu meninggalkan Azeeza menuju ke tapak perkhemahan mereka.
Dahi Azeeza berlapis mendengar kata-kata Qaiser. Biar betul Qaiser menolong membawa semua barang-barang miliknya? Hampir tidak terkatup mulut Azeeza apabila melihat Qaiser meletakkan barang-barangnya di tapak perkhemahan. Dia hanya perlu membawa satu beg saja. Betul ke lelaki itu Qaiser? Soal hati Azeeza seakan tidak percaya.
Tanpa Azeeza sedar, ada sepasang mata memerhati dari jauh dengan pandangan yang cukup tajam.

YASMIN MERENGUS benci apabila matanya terpandang gelagat Qaiser dan Azeeza dari jauh. Dia perasan perangai Qaiser sejak kebelakangan ini seakan-akan berubah malah lelaki itu tidak suka jika dia mencampuri urusannya dengan Azeeza. Dia yakin pasti ada yang tak kena dengan Qaiser.
Tengoklah, lelaki itu tanpa segan silu membawa beg-beg milik Azeeza dan meletakkan di tapak perkhemahan. Yasmin hanya mampu memandang dari jauh apabila kelihatan Qaiser cuba membantu Azeeza untuk menaikkan khemah. Bukankah Qaiser pantang berjumpa dengan Azeeza tapi sekarang kenapa sinar mata lelaki itu tidak menunjukkan benci?
“Ini tak boleh jadi. Minah tu sengaja nak tarik perhatian Qai.” Dengus Yasmin sendirian. Dia menghentak-hentakkan kakinya.
Manakala, Azeeza hanya mampu menjeling pada Qaiser yang cuba membantu untuk menaikkan khemahnya.
“Kau ni cakap aje besar. Konon budak dekan setiap semester tapi pasang khemah pun tak reti. Tak cukup pandai lagilah kau ni…” omel Qaiser sambil mengetuk besi untuk mengikat tali khemah.
Azeeza cuba bersabar.
“Yang kau tercegat kat situ kenapa? Tak reti nak tolong ke? Kau ingat kau tu tuan puteri ke?” bebel Qaiser lagi.
Azeeza terkulat-kulat. Dia memandang sekeliling. Kawan-kawannya yang lain hanya mampu tersenyum sumbing melihat perangai Qaiser yang kalahkah diktator.
“Kalau nak tolong tu biarlah ikhlas. Mulut tu tak payah nak berjalan sama dengan tangan!” tempelak Azeeza mulai geram apabila Qaiser tak henti-henti mengomel.
Qaiser yang sedang tertunduk mengukir senyuman nipis. Yes, dia dah bersuara! Jerit hatinya. Lantas, Qaiser berpaling pada Azeeza yang berdiri tidak jauh darinya. Dia bangun dan mengibas-ngibas tangannya yang berpasir.
“Kalau semua berkaitan dengan kau, aku payah sikit nak ikhlas. Buat apa ikhlas tolong orang yang tak guna macam kau ni.” Ujar Qaiser sengaja membakar hati Azeeza.
“Aku tak guna ke atau kau tu tak guna? Nama aje ketua tapi satu kerja pun kau tak buat. Kalau dalam tugasan yang senang macam ni pun kau tak boleh nak bertanggungjawab apatah lagi bila bekerja. Malang sungguh siapa dapat ketua yang hampeh macam kau ni!” sembur Azeeza selamba.
Dia tersenyum sinis. Ahli kumpulannya yang lain hanya mampu menadah telinga mendengar perbalahan mulut di antara Azeeza dan Qaiser. Mereka tidak berani menyampuk kerana takut akan Qaiser cuma Azeeza seorang yang berani melawan lelaki itu.
Berdesing telinga Qaiser mendengar ocehan Azeeza. Lantas, dia mendekati gadis itu yang kelihatan selamba. Lengan gadis itu ditarik supaya berhadapan dengannya.
“Kau apahal tarik-tarik aku? Kau siapa?!” marah Azeeza. Dia merentap tangannya kembali.
“Hey perempuan, kau ingat kau cerdik, pandai kau layak jadi ketua? Entah-entah tak ada siapa yang nak ambik perempuan selekeh macam kau ni bekerja. Cermin muka kau tu dulu sebelum mengata aku!” balas Qaiser. Dia menentang terus ke dalam anak mata Azeeza yang hitam pekat.
Azeeza terdiam. Kata-kata Qaiser mengusik hatinya. Hatinya terguris kerana dia sedar akan tarafnya. Lalu, tubuh Qaiser ditolak kasar supaya menjauhinya.
“Tak perlu kau ingatkan aku tentang itu banyak kali. Aku sedar kedudukan aku. Sekurang-kurangnya aku berusaha untuk mengubah hidup aku tanpa bantuan orang lain. Kau tak pernah berada di tempat aku dan kau tak rasa apa itu keperitan hidup…” ucap Azeeza mendatar. Dia menundukkan wajah sebelum berlalu meninggalkan Qaiser yang termangu sendirian.
Qaiser mengertap bibir. Wajah kelat Azeeza membuatkan dia serba salah. Padahal sepatutnya dia bergembira kerana dapat membuatkan gadis itu kalah tetapi entah mengapa hatinya tidak tenang apabila melihat wajah itu bertukar keruh. Dia hanya mampu memandang Azeeza yang membelakanginya. Kelihatan gadis itu mengesat pipinya. Menangiskah gadis itu?
“Qai….jomlah tolong I pasang khemah. I tak tahu….” Suara Yasmin yang merengek mengejutkan Qaiser dari lamunan. Pandangannya dialihkan ke wajah Yasmin.
Yasmin memeluk lengan Qaiser dan menarik lelaki itu supaya menjejaki langkahnya tetapi Qaiser mengeraskan tubuhnya.
“You ni apahal? I bukan kumpulan you. You pergilah suruh ketua you pasangkan. Kalau ustaz nampak you dekat khemah I ni, mati I nak kena jawab. Dah, you balik ke khemah you sekarang!” arah Qaiser sambil merentap tangannya dari pegangan Yasmin.
Yasmin mencebik. Dia masih cuba menarik tangan Qaiser. Qaiser bengang.
“Jomlah, ikut I!” rengek Yasmin lagi. Agak manja.
“I cakap tak nak, maknanya I tak naklah. You ni tak reti bahasa ke?!” jerkah Qaiser kasar.
Yasmin tersentak. Pautan di tangan Qaiser terlepas. Dia tidak menyangka Qaiser tergamak memalukannya di hadapan khalayak ramai. Dia malu dan bengang. Merah wajahnya menahan rasa lalu tanpa menunggu lama, dia berlari meninggalkan Qaiser.
Qaiser melepaskan nafasnya. Tenang sikit jiwanya apabila Yasmin sudah berlalu. Dia menyambung kerjanya seolah-olah tiada apa yang berlaku namun sedikit sebanyak matanya mengerling pada Azeeza yang sedang menyusun barang-barang perkhemahan.



No comments:

Post a Comment