DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 13

PETANG itu aku ligat menolong abah dan mak
berkebun di belakang rumah. Kebun cili api kami sudah
banyak yang mengeluarkan hasil dan harus dituai. Pada sebelah
malamnya pula, aku sudah mengalami sakit pinggang yang
teruk. Berpeluh-peluh aku menahan sakit itu apabila ia datang
menyerang. Sakit itu hilang seketika tetapi beberapa jam
kemudian ia datang semula. Emak meminta aku mandi dan
meminum air yang mengalir dari hujung rambutku sendiri.
Tidak lama kemudian, sakit itu datang dengan lebih kerap. Kali
ini lebih teruk lagi rasanya. Bagai mahu tercabut pinggang
kurasakan.
“Kalau makin sakit, tu maknanya Syira dah nak
bersalin ni,” kata emak apabila aku mengadu keadaanku sejam
selepas aku mandi tadi.
Abah kelihatan sedikit menggelabah. Dia mula panik
tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Macam emak pulak yang
nak bersalin.
“Marilah kita hantar Syira ni ke hospital, abahnya.
Nanti kalau sakitnya makin kerap terberanak pulak dia kat
rumah ni. Hospital Segamat tu bukannya dekat!” Gesa emak
apabila melihat keluguan abah.
“Yalah... yalah...” Abah seolah-olah baru mendapat
idea apa yang perlu dilakukan saat ini. Dia menghilangkan diri
seketika ke dalam bilik. Seketika kemudian muncul semula
di bilik aku setelah kain pelekatnya berganti dengan seluar
panjang berwarna kelabu.
Abah dan emak segera memapah aku ke kereta.
Mujurlah saat itu kesakitan yang aku rasai tadi menghilang
seketika. Namun mengenangkan apa yang bakal dilaluiku
sebentar nanti, aku mula dibaluti rasa cemas dalam debaran.
Sepanjang perjalanan ke hospital emak beberapa kali
meminta aku beristighfar agar aku tenang dalam keadaan
aku yang semakin kerap dilanda kesakitan. Abah yang sedang
memandu di hadapan berpeluh-peluh mendengar eranganku
yang semakin kuat. Kereta Toyota Corolla milik abah itu juga
kurasakan amat lambat bergerak.
“Ya Allah, sakitnya mak...” Aku mengerang sudah tidak
tahan. Seperti mahu tercabut nyawa aku dibuatnya. Rupanya
beginilah rasa sakit yang sering dialami oleh seorang wanita
yang mahu melahirkan cucu-cucu Adam ke dunia ini. Hari ini,
sakit itu aku alami sendiri.
“Tahan sikit, Syira. Kita dah nak sampai di hospital
ni,” kata emak dengan ketenangan yang sudah tidak mampu
dipamerkan lagi. Aku lihat, emak juga sudah mula resah.
Sesampai di hospital aku terus diperiksa oleh petugas
perubatan. Aku terus dibawa ke bilik bersalin oleh kakitangan
hospital itu. Seorang doktor menemui aku di bilik itu dengan
ditemani empat orang jururawat.
“Puan Insyirah, suami mana?” Soal wanita yang
memakai topeng mulut itu. Sambil itu dia menyarungkan
sarung tangan getah ke tangannya. Tertera nama Arfah di
bajunya.
“Suami saya takde di sini. Dia di luar negara.” Aku
menguatkan diri menjawab soalan doktor itu.
“Habis tu, siapa yang datang dengan puan?” Wanita itu
menyoal lagi.
“Emak dan abah saya...” Balasku pantas.
“Kita scan dulu ya? Tengok kedudukan baby di mana.”
Lembut sahaja nada doktor itu. Aku mengangguk lagi. Berapa
kali nak scan ni? Tadi... kan dah scan. Hatiku menggerutu
sendiri. Aku dah tak tahan. Kalau boleh, aku mahu anak ini
dikeluarkan sekarang juga!
“Hmm... kedudukan salah satu kepala baby betul-betul
berada di pintu rahim. Tapi kita kena tunggu bukaan pintu
rahim sehingga sekurang-kurangnya enam sentimeter dulu.
Bertenang ya? Sakit ni memang akan datang lebih kerap nanti.
Kalau puan relaks, pintu rahim akan lebih cepat terbuka. Kalau
bukaan dah cukup luas, puan dah boleh bersalin normal,” kata
wanita itu kepadaku.
Ha??? Tunggu lagi??? Relaks? Nak kena relaks sambil
makan kacang ke? Aku sakit dah macam nak tarik rambut
orang ni. Sakit ini bukan setakat semakin kerap, tapi dah tak
mahu berhenti! Namun aku hanya mengangguk sahaja. Yalah...
takkan nak marah doktor tu pulak. Ada pulak yang kena bersalin
seorang diri nanti. Dalam pada itu aku mula teringatkan
suamiku. Aku harus menghubungi Ariff segera.
Setelah ditinggalkan oleh doktor wanita itu, aku segera
mencapai telefon bimbitku. Tidak lama selepas aku mendail,
aku sudah mendengar suara Ariff di hujung talian. Mujurlah dia
menjawab panggilanku.
“Awak kenapa ni, sayang?” Soal Ariff mula cemas
apabila terdengar suaraku agak berbeza daripada selalunya.
“Saya dah nak bersalin. Awak di mana sekarang?”
“Saya baru balik rumah. Awak dah pergi hospital?
Siapa dengan awak sekarang?” Bertalu-talu soalan lelaki itu. Dia
mulai cemas apabila mendengar berita itu.
“Saya di hospital dengan mak dan abah saya. Ariff,
saya cuma nak dengar suara awak. Saat-saat macam ni...
saya memang perlukan awak, tapi saya faham... keadaan tak
mengizinkan. Saya cuma nak minta maaf atas segala kesalahan
saya kepada awak.”
“Kenapa awak cakap macam ni? Awak menakutkan
saya, sayang. Apa kata doktor? Semuanya baik-baik aja, kan?”
Balas Ariff semakin cemas. Hatiku digayuti rasa sayu entah
kenapa.
“Saya cuma bimbang saya gagal nanti. Sebelum semua
itu berlaku, saya harus bersiap sedia dengan segala kemungkinan
yang ada. Awak maafkan saya, kan?” Ujarku semula.
“Tak! Awak jangan cakap macam tu. Saya tahu awak
kuat. Sayang, awak tak pernah buat salah pada saya. Saya tahu
awak akan selamat nanti. Jangan bimbang... saya akan segera
ke sana jumpa awak dan anak-anak kita. Awak bertenang ya?
Semuanya akan okey nanti,” pujuk Ariff lembut. Keinginan
hatiku saat itu ialah mahu berbual lebih lagi dengan suamiku
bagi menenangkan perasaan cemasku. Namun kesakitan yang
semakin teruk merencatkan kemahuanku.
“Saya tak boleh lama ni. Nanti awak datang ya.”
“Ya. Saya akan datang nanti, sayang. Bila selesai
semuanya, minta abah telefon saya? Saya tunggu. Jangan
bimbang. Awak takkan apa-apa. Saya tahu Tuhan akan
selamatkan awak dan anak-anak kita. Saya sayangkan awak,”
balas Ariff lembut.
Beberapa saat kemudian panggilan itu terpaksa
aku matikan. Jururawat meminta aku mengiring bagi
mempercepatkan bukaan pada pintu rahimku. Setengah jam
kemudian aku sempat meminta jururawat supaya memanggilkan
doktor apabila kesakitan sudah tidak tertanggung olehku. Jarijemariku
sudah terasa kebas. Namun aku diminta menanti untuk
seketika lagi. Aku seperti mahu menangis pula mendengar katakata
jururawat itu. Sakit ini langsung tidak mahu pergi sehingga
berpeluh-peluh aku dibuatnya. Namun selepas diperiksa Dr.
Arfah lima minit kemudian, aku dimaklumkan yang aku akan
bersalin sebentar lagi.
“Puan bersalin secara normal ya? Boleh tahan sakit?”
Soal doktor itu lembut.
“Boleh!” Putusku spontan tanpa berfikir lagi. Kalau tak
tahan pun, kena tahan jugaklah...
“Bertenang ya... puan ada dua baby kat dalam ni.
Mungkin akan susah sikit. Tapi kalau pergerakan baby kedua
menuju ke pintu rahim, maknanya cepatlah puan bersalin.”
Wanita itu cuba menghilangkan keresahanku.
“Saya takde masalah untuk bersalin secara normal,
kan?” Tanyaku sambil memandang Dr. Arfah yang sudah berada
di hujung kakiku.
“Memang takde masalah. Salah satu baby sudah berada
betul-betul di pintu rahim tapi puan kena bertahan sehingga
puan melahirkan kedua-dua bayi tu. Saya takut puan pengsan
kalau tak boleh tahan sakit. Kalau puan pengsan, susah baby
puan nanti,” jelas doktor itu lembut.
“Insya-Allah, saya akan bertahan.”
“Okey. Kalau macam tu kita akan pecahkan air ketuban
supaya kelahiran ni boleh dipercepatkan. Saya pun tak mahu
puan tahan sakit lama-lama. Tapi jangan teran dulu. Tunggu
arahan saya baru puan boleh teran ya,” ujar Dr. Arfah lembut.
Aku hanya mengangguk. Sementara menanti tindakan
doktor itu menguruskan apa yang patut, aku membaca beberapa
potong ayat suci bagi memohon kemudahan dalam proses yang
mencabar ini. Hanya kepada Allah aku bergantung. Moga-moga
aku selamat dan begitu juga bayi kembarku ini. Sementara itu,
aku dapat merasakan ada sesuatu yang dilakukan oleh Dr. Arfah
kepadaku.
“Puan Insyirah, relaks ya...” Pinta doktor itu. Namun
aku yang sudah tidak berdaya hanya akur sahaja. Penyandar
katil itu ditegakkan sedikit oleh jururawat sehingga keadaan
aku saat itu sudah tidak lagi berbaring, sebaliknya duduk.
“Rapatkan lutut kepada badan. Ini kaedah yang paling
mudah untuk puan lahirkan anak-anak puan. Kalau posisinya
betul, tak perlu kita gunting bahagian luar ni untuk anak puan
keluar. Bila saya suruh puan teran, baru teran. Okey?” Ucap
doktor itu lembut.
Relaks lagi? Namun aku hanya terdaya mengangguk
sahaja saat itu. Bersendirian tanpa kehadiran suami dan ahli
keluarga begini memang membuatkan aku cemas sendiri.
Segala tips dan tunjuk ajar yang pernah diberikan emak lenyap
dari benakku. Namun satu-satunya pesanan emak yang masih
utuh dan sangat membantu aku ialah membaca doa yang
diamalkan oleh Nabi Yunus a.s. ketika baginda di dalam perut
ikan. Mujurlah Dr. Arfah sentiasa membantuku. Dia sentiasa
memberitahu aku apa yang sedang berlaku.
“Okey. Saya dah nampak kepala baby. Puan boleh
teran sekarang. Sekali lagi... Tarik nafas dalam-dalam kemudian
teran.” Tidak sampai seminit kemudian, aku sudah merasakan
bayiku sudah meluncur keluar. Kedatangan bayi itu disambut
oleh Dr. Arfah dengan kalimah syukur.
“Alhamdulillah... baby boy,” ujarnya sambil
menyerahkan bayi itu kepada jururawat di sisinya. Keadaan itu
membuatkan aku mula terleka. Aku mula memandang anakku
yang dipegang oleh jururawat itu. Teringin benar aku untuk
melihatnya. Apatah lagi beberapa saat kemudian, aku terdengar
pula tangisannya lantang berbunyi. Hatiku mula dipagut sayu.
“Puan Insyirah, fokus kat sini. Kita ada seorang lagi
ni...” Dr. Arfah segera menegur gelagatku. Aku segera tersedar
tentang itu. Semakin lama, semakin sakit kurasakan. Setiap
kali aku diminta meneran sekuat-kuat tenaga, tetapi sayangnya
tiada apa-apa reaksi dari dalam sana. Aku pula yang semakin
lemah.
“Cuba teran sekali lagi. Kepala bayi tak menghala ke
arah pintu rahim. Puan relaks, okey? Jangan fikir banyak...”
Keadaan yang tadi agak tenang mula berubah sedikit. Sudah
kedengaran nada cemas dalam bicara Dr. Arfah.
Berkali-kali aku diminta meneran, namun masih tiada
reaksi daripada bayi keduaku itu. Aku mulai cemas. Aku tahu
ada sesuatu yang sedang berlaku kepada diriku dan bayiku itu.
Aku sudah terlalu keletihan, tidak berdaya lagi. Lebih lima
belas minit berlalu namun bayi keduaku masih lagi tidak dapat
dikeluarkan.
“Cuba sekali lagi. Kalau tidak, kita guna forsep ya?”
Ucap doktor itu mula mengakui ada masalah sedang melanda
aku saat itu.
Aku cuba menarik nafas panjang dalam kepenatan
yang hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kata-kata Ariff sebentar
tadi berlegar dalam fikiranku... ‘Saya tahu awak kuat’. Itulah
katanya. Aku kena kuat!
“Puan Insyirah, kita terpaksa guna alat untuk sedut
dia keluar ya? Kalau kita tunggu lagi, bayi ni akan lemas,” ujar
doktor itu akhirnya.
“No! Saya tak mahu guna forsep tu. Biar dia lahir
macam biasa aja,” balasku tegas dalam keadaan lemah itu. Aku
tahu apa risikonya jika anak disedut keluar menggunakan alat
itu. Paling nyata ialah kecacatan pada tengkorak kepalanya
boleh berlaku.
“Keadaan dah kritikal ni, puan. Kalau kita tunggu
lagi... baby akan lemas. Puan pun dah keletihan ni,” seru doktor
itu cemas.
“Saya memang dah tak kuat. Tolong selamatkan anak
saya,” balasku lantas berpaling ke kiri. Air mataku menitis tanpa
mampu disekat lagi.
“Puan...” Panggil jururawat itu kepadaku.
“Puan Insyirah, bertahan dulu! Bangun! Jangan tidur,”
Ucap doktor itu cuba menarik perhatianku. Namun aku sudah
tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Hanya Allah yang aku ingat.
Aku tidak tahu apa yang akan berlaku. Namun paling akhir
nanti ialah... aku akan kembali juga kepada-Nya.
“Kita buat persediaan untuk operate sekarang!” Tegas
doktor itu. Setelah itu aku rasa dunia ini sudah berputar ligat.
Dan aku terus terlelap!
SAAT AKU tersedar, aku sudah pun berada di wad. Sewaktu aku
membuka mata, pertama yang aku lihat ialah wajah emak yang
penuh dengan kelegaan setelah melihat aku tersedar. Tetapi
tiada abah di sisi emak saat itu.
“Alhamdulillah... Akhirnya Syira sedar jugak,” ucap
emak penuh kesyukuran.
“Anak Syira macam mana, mak? Baby selamat, kan?”
Itulah soalan pertama yang terbit dari mulutku.
“Baby Syira selamat kedua-duanya. Alhamdulillah...
jangan risau. Dua-dua sihat.” Syukur... Lega benar hatiku
mendengar khabar itu. Tiada apa lagi yang penting buatku
melainkan kesihatan anak-anakku.
“Abah mana, mak?” Soalku.
“Abah tadi lepas tengok budak-budak tu, dia balik
sekejap. Kejap lagi datanglah tu,” jawab emak sambil mengusap
kepalaku lembut.
“Lama betul Syira kat dalam bilik bersalin tadi. Mak
dah risau benar. Alhamdulillah... semuanya baik.” Emakku
menambah lagi.
Aku tidak menjawab sebaliknya kembali mengimbas
apa yang telah kualami ketika di bilik bersalin itu. Satu
pengalaman yang amat dahsyat kurasakan. Cemas, takut dan
bermacam-macam perasaan berbaur kala itu. Hanya Tuhan
sahaja yang tahu.
“Ada rasa sakit lagi?” Soal emak lembut.
Aku hanya menggeleng sahaja. Memang sudah tiada
rasa sakit sebaliknya rasa lemah dan keletihan yang masih ada.
Mungkin juga ini kesan daripada ubat bius. Alhamdulillah,
segala kesengsaraan itu sudah lenyap. Aku masih diberikan
peluang untuk melihat dan membesarkan anak-anakku itu.
“Syira dapat anak lelaki. Makin ramailah ahli keluarga
kita. Mak seronok sangat tengok budak-budak tu tadi. Tak sabar
pulak mak nak tengok diaorang tu membesar,” ujar emak
teruja nadanya. Senyuman emak tetap utuh dibibir. Aku terus
tersenyum mendengarnya.
“Syira nak tengok baby-baby Syira, mak.” Perasaan
keibuan bagaikan tidak mampu ditahan lagi. Aku mahu melihat
anak-anakku itu saat ini juga. Di mana mereka berdua? Aku
mahu kedua-dua mereka dekat denganku. Aku masih tidak
dapat melupakan suara anak sulungku yang kudengar ketika di
dalam bilik bersalin tadi.
“Nanti esok pagi, nurse akan bawa ke sini. Tadi nurse
dah bawa ke sini tapi Syira masih belum sedar lagi. Mak dah
tengok budak berdua tu tadi. Comel betul cucu-cucu mak tu.
Serupa sungguh macam Syah dengan Apai waktu kecik dulu,”
ucap emak bahagia.
Kata-kata emak itu membuat aku semakin tidak sabar
pula. Bagaimanakah rupa anak-anakku itu? Syukur... tidak
sangka dalam usia semuda ini, aku sudah memiliki sepasang
anak lelaki. Rupanya inilah hikmah yang Allah sediakan
untukku. Hadiah ini terlalu bermakna berbanding yang lain.
Pagi esoknya aku diperiksa lagi oleh kakitangan
perubatan. Seketika kemudian datang Dr. Arfah kepadaku. Dia
tersenyum memandangku sambil menyapa emak yang masih
setia di sisiku. Melihat doktor itu, semakin berkobar-kobar
perasaanku untuk melihat anak-anakku. Sudah terlalu lama
aku menanti.
“Macam mana sekarang, Puan Insyirah? Ada rasa sakit
pada mana-mana bahagian?” Soal doktor itu kepadaku sambil
memeriksa fail di hujung katil.
“Saya rasa biasa je. Takde rasa sakit sangat, cuma saya
rasa badan saya lemah.”
“Lemah tu biasa. Kesan ubat bius ni akan ambil masa
beberapa hari baru dapat hilang sepenuhnya. Lagipun lepas
puan pengsan, kami terpaksa berikan bius... tambahan pulak
puan keletihan lepas bersalin anak pertama semalam. Sebab
tu badan puan rasa begini. Jangan risau.” Dr. Arfah menjawab
biasa. Tiada apa yang hendak dirisaukan dengan itu semua.
Kemudian, luka tempat bersalin aku diperiksa oleh
doktor. Dia mengarahkan pembantunya membersihkan luka
itu. Uniknya aku... orang lain luka satu tempat aja. Aku pulak
atas bawah kena jaga. Sakit tak usah cakaplah... sabar ajalah.
Kata orang, wanita yang melahirkan anak diberikan pahala
jihad. Aku harap aku juga begitu sekiranya aku bersabar.
“Bila saya boleh tengok anak-anak saya?” Tanyaku
setelah selesai upacara yang paling ‘disukai’ oleh semua wanita
yang baru lepas bersalin itu.
“Lepas ni kami akan hantar baby. Puan cuba susukan
mereka berdua ya.”
“Jadi bila pulak saya boleh balik?” Aku bertanya lagi
sementara doktor itu masih ada di hadapan mataku. Aku tahu,
kalau aku tanya pada orang lain selepas ini, jawapannya nanti...
‘Tunggu doktor ya...’
“Puan tak boleh balik dulu buat masa ni sebab puan
baru lepas operate. Kami kena pantau keadaan puan dulu
sehingga kami pasti takde sebarang komplikasi pada puan.
Pasal baby, puan jangan bimbang. Selagi puan di sini, akan
ada orang jaga mereka berdua. Kami akan selalu hantar baby
ke sini untuk puan susukan,” jawab Dr. Arfah. Cukup jelas
penerangannya menurut apa yang aku perlu tahu buat masa
ini. Hampa hatiku mendengar yang aku masih tidak dibenarkan
pulang. Namun aku sekadar akur dalam diam.
“So dah sedia nak jumpa baby?” Dr. Arfah tersenyum
memandangku.
“Dia tak sabar dah tu, doktor. Bagilah pada dia budakbudak
tu.” Emak tiba-tiba menyampuk perbualan kami. Doktor
wanita itu ketawa perlahan. Dia mengangguk memahami
perasaanku. Mungkin kerana dia juga seorang ibu seperti yang
lain.
“Beruntung puan. Muda lagi dah ada anak. Kembar
pulak tu. Bukan semua orang dapat peluang macam ni.
Congratulation!”
“Terima kasih banyak-banyak, doktor...” Sambutku
dengan senyum lebar. Setelah itu Dr. Arfah berlalu pergi
bersama pembantunya. Aku mengalihkan pandangan kepada
emak.
“Mak, siapa yang azankan anak-anak Syira semalam?”
“Yang sulung tu abah yang azankan. Yang kedua tu
Syah dengan Apai. Berebut-rebut nak azan budak tu. Pening
mak dengan abah dibuatnya,” jawab emak lantas ketawa kecil
mengenangkan gelagat dua anak lelakinya itu.
Sayu juga hatiku kerana seharusnya yang
mengazankan anak-anakku itu adalah Ariff. Tetapi aku segera
sedar jika ditakdirkan Ariff ada di sini pun, lelaki itu tidak akan
mampu melakukannya. Aku yakin Ariff tidak tahu bagaimana
untuk melaungkan azan jika diperlukan seperti saat ini. Baca
bismillah pun entah tahu, entahkan tidak...
Akhirnya pagi itu kedua-dua bayi kecil itu dibawa
juga kepadaku. Aku menangis melihat anak-anakku itu buat
pertama kalinya. Dua jururawat setia membantu aku bangun
dari pembaringan untuk proses menyusukan bayiku itu.
“Ini anak sulung yang lahir jam 1:40 pagi semalam...
Tapi yang kedua jam 2:30 pagi. Ini yang sulung ya... tengok tag
di tangan baby ni. Ada tulis nama ibu dan waktu dilahirkan.
Takut nanti puan keliru pulak. Maklumlah kecil-kecil macam
ni nampak macam sama je,” ujar jururawat bernama Juhara itu
sambil menghulurkan bayi pertamaku. Kata-kata itu sempat
membenihkan tawa aku dan emak.
“Jaga leher dia ya? Leher dia lembut lagi.” Jururawat
itu berkata lagi.
Alahai... lembutnya anak aku ni. Comelnya...
Bisik hatiku sayu memandang anak yang terkedip-kedip
memandangku. Sekali lagi air mataku mengalir saat mengucup
dahi putih melepak itu. Namun saat itu perasaan yang menghuni
lubuk hatiku tidak mampu aku tahan lagi. Aku teresak kecil di
katil itu.
“Lah... kenapa menangis pulak ni? Dapat anak ni
sepatutnya happy. Bukannya menangis...” Tegur jururawat itu
sambil tergelak kecil melihat tingkah lakuku.
“Nangis sebab happy ni...” Jawabku dalam rasa sebak
yang semakin mencengkam. Namun aku akhirnya ketawa
mengenangkan gelagat sendiri. Malu pula ditegur begitu oleh
jururawat tersebut.
“Biasalah tu. Anak pertama memang begini,” sambut
jururawat seorang lagi. Aku kembali merenung anak kecil itu.
Ah! Comelnya anak aku! Keluh hatiku sendiri.
“Kami ajar puan menyusukan bayi dulu...”
Aku terus mengangguk akur. Setiap apa yang diajarkan
dan dipesan oleh kakitangan bahagian nursery itu aku sematkan
sebagai panduanku. Paling utama aku diingatkan agar
menyusukan bayi dengan teknik yang betul bagi mengelakkan
bayi tersedak susu.
Sejam kemudian anak-anakku dibawa pergi lagi
dan aku disuruh berehat. Walaupun hatiku amat berat untuk
melihat dua anakku itu berlalu daripadaku, namun aku tidak
ada pilihan lain.
Pada jam 12 tengah hari, abah dan dua adikku masuk
ke wad itu dengan senyuman. Senang hati abah apabila melihat
aku sudah sedar.
“Abah dah jadi atuk sekarang ni...” Ucap abah antara
rasa gembira dan bangga dengan perubahan itu.
“Mana baby? Kita orang nak tengok baby ni. Tak puas
pegang semalam,” ucap Fairuz kepadaku.
“Kak Syira kau ni pun dapat pegang sekejap aja, Apai.
Memang peraturan hospital macam tu. Diaorang tak mahu bayi
terdedah sangat waktu kecil-kecil macam ni,” jawab emak.
“Ariff ada telefon ke rumah malam tadi. Abah ada
beritahu dia keadaan Syira. Sekarang dia dalam perjalanan ke
sini nak tengok Syira. Insya-Allah... nanti sampailah tu,” ujar
abah kepadaku.
Aku sekadar mengangguk kepada kata-kata abah itu.
Terujakah Ariff nanti dengan kehadiran anak-anaknya? Ah!
Mana ada ibu bapa yang tak sayangkan anak.

No comments:

Post a Comment