DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 15 March 2016

SEWANGI CINTA ANGGERIK - BAB 20

SURIYA bersiap-siap mahu ke pejabat. Sudah empat
hari pejabat itu dia tinggalkan. Sakit kaki je, tapi dapat MC
sampai empat hari. Entah apalah rakan sekerja di pejabat cop
dia nanti. Melangkah ke dapur, dia terpandangkan memo yang
ditampal pada peti sejuk. Memo itu dia capai dan baca.
Assalamualaikum Su. Pagi ni along tak ada.
Along terbang ke Abu Dhabi. Tapi balik nanti
along nak jumpa Su. Perkara ni takkan selesai
selagi Su mengelak daripada bercakap dengan
along. Jaga diri.
Suriya mengeluh. Kertas di tangan dia gumpal dan
campak masuk ke dalam tong sampah. Memang masalah
takkan selesai kalau dia bersikap begini. Tapi dia tak sanggup
nak berdepan dengan semua ni. Tambah lagi apabila melibatkan
sebaris nama milik Iddin Amsyar Ikmal. Dia tak sanggup!
Pin… Pin… Pin…
Bunyi hon kereta mengejutkan Suriya. Eh,
mengelamun panjang pulak aku ni sampai tak sedar Pak Mail
dah sampai depan rumah. Kelam-kabut dia keluar dari rumah.
Setelah dipastikan semua pintu berkunci, cepat-cepat dia
masuk ke dalam perut teksi Pak Mail.
“Maaf Pak Mail, saya lambat sikit,” pohon Suriya.
“Tak apa.”
Teksi bergerak meninggalkan rumah itu.
MELANGKAH MASUK ke dalam pejabat, suasana masih suram
dan sunyi. Hanya beberapa biji lampu saja yang terpasang.
Biasanya pagi-pagi macam ni, dia akan mendengar suara
Noraini. Suara pertama yang akan menyambutnya. Tapi pagi
tu, tiada suara Noraini. Tambah lagi selepas dia cuti panjang
macam sekarang. Mesti ada punya perkataan rindu yang keluar
dari ulas bibir Noraini.
“Bad, Kak Ani tak sampai lagi ke?” Suriya pantas
bertanya pada Badrul sejurus ternampak batang tubuh Badrul.
“Eh, Su dah masuk kerja ke?” Suriya anggukan kepala
dan senyum dengan pertanyaan Badrul.
“Kak Ani cutilah Su. Anak dia demam,” maklum
Badrul.
“Oo… Berapa hari Kak Ani cuti?”
“Dua hari. Hari ni dan esok.”
“Okey, terima kasih Bad.”
“Sama-sama.” Mereka berbalas senyum sebelum
Badrul berlalu ke mejanya.
Suriya termenung seketika sebelum menekan butang
on pada komputernya. Semestinya kerjanya bertimbun-timbun
selepas habis bercuti. Sah-sah kena balik lambat lagi. Huwaaa…
Terasa nak menangis!
Ah, buat air dululah. Sebelum mula kerja, kita minum
dulu. Sorak hati Suriya. Dia angkat punggung dan berlalu ke
pantri. Buat minuman segera sudahlah... Koyakkan mulut
plastik, masukkan ke dalam mug. Tuang air panas, kacau-kacau.
Dah siap! Sedia untuk diminum!
“Su, Encik Iddin nak jumpa.”
Suriya baru aje nak duduk di atas kerusinya, Badrul
tiba-tiba mengeluarkan arahan.
“Nak apa?” Suriya bertanya tapi matanya sudah sampai
di pintu bilik Iddin. Ditenung pintu itu bagai mahu tembus.
“Entah. Dia dah tunggu dalam bilik dia,” ujar Badrul
lagi.
Malas banyak cakap, Suriya terus ke bilik Iddin. Pintu
diketuk dari luar. Selepas mendengar laungan ‘masuk’, dia
pulas tombol pintu dan tolak pintu itu perlahan-lahan.
“Yes, Encik Iddin Amsyar?” Tanpa nada Suriya menyoal.
Wajah yang dia tak nak pandang, akhirnya terpaksa pandang
jugak. Di pejabat kenalah professional. Hal peribadi tolak ke tepi
dahulu. Yang penting kena jaga periuk nasi sendiri. Kalau kena
buang kerja, di manalah dia nak mengadu nasib. Sudahlah kerja
susah nak dapat sekarang ni.
Iddin diam tak berkutik. Matanya tak beralih langsung
daripada memandang fail di tangan. Heh... kalau panggil aku
setakat nak suruh jadi patung cendana kat sini, baik tak payah!
Kerja aku banyak lagi kat luar tu. Protes Suriya di dalam hati.
Iddin capai mug di hujung mejanya dan dia tolak mug
itu ke arah Suriya. Mukanya masih tak bereaksi seperti tadi.
Suriya jongket kening. Ni apasal pulak tolak mug kat aku ni?
Demam ke apa? Sekali lagi hati kecil Suriya berbisik.
“Buatkan air untuk saya,” mendatar suara itu. Dia
faham maksud kening Suriya yang terjongket itu.
What? Buat air? Dia panggil aku masuk bilik dia pagi ni
hanya nak suruh aku buat air??? What the… Suriya betul-betul
bengang. Dia rasa seperti dipermainkan. Laju dia sambar mug
itu dan berlalu keluar dari bilik Iddin. Apabila hati bengang,
malas dia nak tanya lagi bosnya perlukan apa lagi. Ah!
Iddin senyum sambil pandang kelibat Suriya yang
sudah melangkah keluar dari biliknya. Dia tahu wanita pujaan
hatinya sedang bengang. Sengaja dia nak uji Suriya.
“Comel!” spontan mulutnya menyebut. Senyuman
menghiasi bibirnya.
“BOS NAK apa?” Ketika melintasi meja encik setiausaha Iddin,
Badrul menyoal Suriya.
Malas bercakap banyak, Suriya tunjuk mug di tangan.
“Dia suruh buat air?”
“Hmm…”
“Macam-macamlah Encik Iddin ni. Dahlah, baik Su
cepat-cepat buat air dia.” Suruh Badrul sambil tersenyum.
Tanpa cakap banyak, Suriya berlalu ke pantri. Di
matanya senyuman Badrul seperti mengejeknya. Sebab Encik
Iddin sorang, habis orang lain dia nak marah. Adoi! Suriya,
Suriya...
“Kau nak sangat air ye. Hmm… Meh Cik Suriya
Anggerik buatkan. Yang pasti... inilah air yang paling sedap
di alam semesta ini!” Kata Suriya pada diri sendiri. Niat jahat
sudah datang.
Dia capai botol Nescafe. Dua sudu besar serbuk Nescafe
dia masukkan ke dalam mug. Cukup ke tak ni? Rasa macam
tak cukup aje. Lalu dia tambahkan sesudu besar lagi Nescafe.
Dia pandang botol gula. Ah, tak payahlah. Kita kan nak buat
rancangan jahat. Kalau masuk gula, dah tak jahat namanya.
Suriya menyelongkar isi kabinet. Dia terjumpa sepaket kecil
berisi serbuk putih. Dia bawa sedikit serbuk putih itu ke lidah.
“Masin.” Gumamnya perlahan.
Lantas serbuk itu dituang masuk ke dalam mug. Lalu air
panas dituangkan. Air dikacau-kacau. Aroma Nescafe menusuk
ke dalam hidung. Harum! Sah-sah lepas ni dia berulang-alik ke
tandas aje. Hahaha… Suriya ketawa jahat.
“Air, encik.” Ujar Suriya sambil tolak mug ke arah
Iddin. Dia senyum. Senyum penuh makna!
“Terima kasih. Dah tak ada apa-apa,” balas Iddin. Dia
pandang mug itu sekilas.
“Okey, saya keluar dulu.” Suriya pusingkan tubuh dan
mula melangkah.
“Err… Kaki awak dah okey?” Soal Iddin. Sebenarnya
soalan itu yang dia nak tanya sejak tadi. Sengaja dia pusingpusing
hingga suruh Suriya buat air untuknya.
Suriya pusingkan sedikit badan. Tangan sudah
mendarat di tombol pintu.
“Dah okey.”
“Hmm…”
Suriya keluar dari bilik bosnya. Sejurus pintu tertutup,
dia ketawa. Ambik kau! Rasakan! Air yang aku buat memang
sedap! Tersangat sedap! Jerit Suriya di dalam hati.
“Amboi, senang hati nampak.” Tegur Badrul. Ketawa
Suriya mati mendadak. Pantas kepalanya memandang Badrul.
Terlupa pulak yang dia ketika itu masih lagi berdiri di depan
pintu bilik bos besar. Dekat sangat dengan meja Badrul.
“Err… Tak ada apa-apa.” Suriya pantas melangkah ke
mejanya. Hesy! Entah macam mana boleh terlepas ketawa kat
situ. Tak pasal-pasal malu sendiri.
SEMENTARA ITU, di dalam bilik bos besar.
Iddin ke tepikan fail yang tadinya hampir-hampir
menutup muka. Alah, lakonan aje tadi tu. Saja dia nak tengok
reaksi wanita pujaan hatinya. Mug yang masih berasap itu
ditarik rapat ke depannya. Aroma Nescafe menusuk rongga
hidung. Bau macam sedap aje ni, desis hatinya. Lantas air di
dalam mug dikacau perlahan. Setelah berpuas hati, dibawa mug
ke bibir. Tegukkan pertama masuk ke dalam mulut dan…
“Puiiii! Hak tui!!!” Belum pun sempat air menuruni
rengkung, ia keluar kembali.
Ya Allah! Pahit dan masin! Berapa tan Nescafe dia letak
ni? Gula dah habis ke sampai guna garam untuk buat air? Mug
ditolak menjauh. Anggerik, Anggerik... Main kasar nampak!
Iddin gelengkan kepala dan tersenyum kemudiannya. Anggerik,
nampak saja menurut arahan tapi ada muslihat di balik semua
ni. Terkena aku!
PUKUL 11.00 MALAM barulah Suriya sampai di rumah. Nak
buat macam mana. Kerja sentiasa banyak. Sampaikan nak
rehat pun tak sempat. Letih, letih, letih sangat-sangat! Selepas
dipastikan pintu pagar sudah berkunci, dia melangkah longlai
ke pintu utama. Sudah empat hari Rozairul bertugas di awan
biru. Kadang-kadang rindu juga mahu mendengar celoteh
Rozairul.
Melintasi ruang tamu, biasalah ruang dalam rumah
memang gelap sebab lampu memang tak terpasang. Sudah
nama pun dia tinggal seorang. Suriya terus melangkah ke
tangga berpandukan biasan cahaya lampu jalan. Di dalam
kepalanya kini hanya terbayangkan tilam dan bantal yang
empuk. Dah tak sabar nak berbaring dan dibuai mimpi. Mata
pun dah layu sangat.
“Lambat balik Su.”
Langkah kaki Suriya mati. Terkejut punya pasal...
Suara siapa yang menegur tadi tu? Atau hanya khayalan aku
saja? Hatinya tertanya-tanya. Ah, mainan perasaan aku saja kut.
Lalu dia mendaki anak tangga.
“Su.” Baru dua anak tangga dia daki, suara itu
memanggil lagi.
Ya Allah, suara siapa tu? Suriya diselubungi rasa seriau.
Sedikit-sedikit rasa takut mula menyelubungi hati. Sejak bila
rumah ni ada penunggu? Sebelum-sebelum ni tak ada pun. Jarijemari
Suriya menggigil perlahan. Lampu tiba-tiba terpasang.
“Hei, kenapa ni? Ini alonglah, bukan hantu.” Suara itu
menegurnya.
Suriya pusing tubuh ke kiri. Batang tubuh Rozairul
betul-betul berdiri di sebelahnya.
“Ya Allah, kenapalah along duduk dalam gelap.
Kus semangat!” Akhirnya keluar jugak suara Suriya. Masih
kedengaran getaran di dalam suara itu.
“Along duduk kat sofa tu tadi. Along tunggu Su balik.
Sorry kalau along terkejutkan Su,” terang Rozairul.
“Hmm… Bila along sampai?”
“Tengah hari tadi.”
“Oh.”
“Su, along ada hal nak bincang dengan Su. Bukan hari
ni, tapi malam esok. Su balik lewat jugak ke malam esok?”
“Hmm… Kerja banyak.”
“Kalau boleh along nak Su balik awal. Kita dinner
sama-sama kat rumah. Dah lama... kan kita tak makan sekali.”
“Insya-Allah. Tapi Su tak janji. Su naik dulu ya.”
“Okey.”
Rozairul hanya memandang belakang tubuh adiknya
yang kembali menyambung langkah, mendaki anak tangga
ke bilik. Punggung dilabuhkan kembali di atas sofa. IPhone
dikeluarkan dari poket seluar, dan sekeping kad juga dikeluarkan
dari celah dompet. Ibu jari laju dilarikan di atas skrin telefon,
menyalin kembali nombor telefon yang tertera di atas kertas
itu. Telefon pintar itu dibawa ke telinga.
“Helo,” suara di hujung talian menampar telinga
Rozairul.
“Assalamualaikum, Amsyar.” Rozairul hulur salam.
“Wa’alaikumussalam. Err… Siapa ni?” Iddin menyoal.
Pelik juga apabila nombor tak dikenali tertera di skrin
telefonnya.
“Aku ni, Azwan. Abang Suriya Anggerik.” Rozairul
perkenalkan diri.
“Oh, ehem. Err… ada apa ye kau call aku? Bunyi macam
penting,” Iddin ubah posisi duduknya. Jika tadi dia duduk santai
sambil bersandar pada kepala katil. Tapi sekarang dia duduk
bersila. Mata yang tadi layu tiba-tiba aje segar-bugar.
“Malam esok kau free tak?”
“Malam esok? Insya-Allah free.” Selepas berfikir
sejenak, Iddin menjawab.
“Hmm… Aku nak jemput kau ke rumah aku malam
esok. Boleh kita dinner sekali.” Beritahu Rozairul.
“Orait, set. Insya-Allah aku ke sana esok.” Iddin
bersetuju.
“Jumpa kau esok ya.”
Selepas berbalas salam, perbualan antara mereka
terputus. Rozairul pandang ke skrin TV bagai mahu tembus TV
itu. Matanya langsung tak mengantuk kerana siang tadi, sejurus
sampai di rumah, dia sudah tidur. Lama dia tidur.
Sekeping kertas dan sampul surat yang tersadai elok
di atas meja kopi dia pandang lama. Lambat-lambat dia capai
kertas itu. Isi dalamnya dibaca lagi. Entah yang ke berapa kali
dia baca pun sudah tak terkira.
“Haih, macam manalah nak terangkan pada Su
nanti ni?” Rozairul mengeluh. Dalam kepalanya sudah dapat
mengagak akan reaksi adiknya nanti. Mesti mengamuk sakan.

No comments:

Post a Comment